Thursday, 8 September 2011

Senyum Lagi 12

 
BAB 12


Aku bergegas melangkah ke stesen bas. Tanpa disengajakan aku melanggar seorang pemuda. Buku ditangannya terjatuh.
“Sorry...” ujarku sambil menolongnya mengutip buku itu.
“Tak pe, aku yang sengaja berdiri di sini nak minta langgar” pelik benar bicaranya. Aku mengangkat mukaku. Terlopong mulutku bila tengok wajahnya. Sudah terlanjur aku minta maaf. Kalau aku tahu budak alien ini jauh sekali nak minta maaf, menoleh pun aku tidak sudi. Buku yang masih berada ditanganku, kujatuhkan semula. Aku terus melangkah meninggalkannya. Buang masa saja nak layan dia.
Sepanjang perjalanan ini aku terasa bosan. Muka selamba itu asyik saja memandangku menimbulkan rasa rimasku. Aku tahu dia ingin berbual denganku tapi bila melihat gelagatku yang tidak endahkan dunia sekeliling, dia hanya mampu memendam rasa. Abang sejak tadi berkepit dengan buah hatinya itu. Untuk menghilangkan rasa bosan ini, kucapai majalah kartun lawak yang kubeli tadi lalu kuletakkan ke mukaku. Baru saja nak mula pejam mata abang sudah berada di sisiku.
“Kenapa? Boring?” tanyanya sambil menatapku.
“Lama lagi ke nak sampai ni?” soalku.
“Kejap lagi”
“Bila dah sampai nanti abang kejutkan Adik ye”
Abang mengangguk. Aku menyambung kembali tidurku yang tergendala sebentar tadi. Aku tidak tahu berapa lama aku tertidur. Tiba – tiba terasa bahuku digegar.
“Bangun Adik dah sampai ni” suara abang hinggap ditelingaku.
Dua tiga kali aku menggeliat. Kucapai beg sandangku. Aku mengekori langkah abang. Selepas mendengar taklimat daripada ketua ekspedisi, kami mencari tapak perkhemahan yang sesuai.
“Wan, boleh tolong aku tak lepas kau settle kerja tu?”
Kulihat Liza masih terkial – kial menjunamkan tiang khemahnya. Rangka – rangka khemah belum dipasang lagi.
“Tuler kau tak pandai buat kerja lelaki” bidasku.
Liza tersenyum.
“Cuba kau tengok kat sana tu” pintanya sambil menunding jarinya.
Aku membuang pandang ke arah yang Liza tunjukkan.
“Biasa ler tu Liza, buah hati katanya” ujarku selamba.
“Seronok juga kalau macam tu, tak payah susah - susah” ujarnya berbau cemburu. Bagi yang bercouple masa ini hendak tunjukkan kegentleman diri. Kekasih yang serba boleh. Lawak ... lawak!
“Tuler kau tak nak bawa boyfriend” usikku.
Liza menjelingku sambil tersenyum.
“Sayang sangat takut digigit nyamuk” tambahku.
“Merepek ler kau ni, Wan. Kau tu pun apa kurangnya. Kalau nak minta tolong senang – senang je. Tu Boy, Eddy pun ada”
“Hey, Liza jangan libatkan aku tau! Nanti aku tak nak tolong tiada tempat kau tidur malam ni” ancamku.
“Jangan ler gitu Wan, aku gurau je” pujuknya.
“Aa.. pandai pun kau takut ye!”
Petang ini tiada sebarang aktiviti lain melainkan menyiapkan khemah masing – masing. Aku sejak tadi sudah relaks cuma sesekali membantu Liza, jiran khemah sebelahku. Malam tiba, kami berkumpul mengelilingi ungun api sambil menikmati hidangan malam. Makan beramai – ramai ternyata membuka selera walaupun hidangan tidak seistimewa di rumah.
Sepanjang waktu santai, kami berhibur. Abang tidak melepaskan peluang memperlihatkan bakatnya. Petikan gitar abang mendayu – dayu memecah keheningan malam. Tiupan angin malam terasa menyucuk – nyucuk ke tubuhku. Aku memeluk kedua lututku melawan belaian angin malam yang dingin. Kutongkat daguku sambil menatap nyalaan ungun api. Fikiranku melayang mengingati abah. Insan yang tidak pernah mengenal putus asa. Kecekalannya sumber inspirasiku. Terasa ada tangan yang meletakkan jaket dibahuku. Aku mendongak ke atas. Abang sudah berada di sisiku lalu duduk di sebelahku.
“Kenapa ni Adik, muram je”
“Adik ingatkan abah” ujarku tersenyum sendiri.
“Abah dah kecewa dengan hidupnya. Sekarang apa yang dilakukannya hanyalah untuk kita”
“Tentu dia masih bersedih dan kesunyiankan bang”
Abang mengangguk. Seraut wajah abah kembali terbayang di mataku. Wajah seorang lelaki yang hidup semata – mata demi anak – anaknya setelah orang yang dicintai dan dikasihi meninggalkannya kerana tidak mampu bertahan atas kesempitan hidup tika itu. Kemudian dia bangkit dari kelukaan itu. Abah bekerja keras kerana tidak mahu kehilanganku dan abang. Abah benar – benar takut jikalau aku dan abang akan pergi juga andai kehidupannya masih dibelenggu kemiskinan.Usaha gigih abah akhirnya berhasil. Abah benar – benar telah memberi kemewahan yang melimpah – ruah buat aku dan abang.
Namun aku dan abang tidak cepat lupa daratan. Kisah kehidupan abah menjadi ikhtibar dan pengajaran berguna buat kami. Kami hidup berdikari tanpa bergantung sepenuhnya atas kesenangan yang abah berikan. Kami tidak bermegah – megah atas harta kekayaan yang abah kumpul. Aku dan abang tetap hidup seperti orang lain penuh kesederhanaan. Malah di satu sudut kami kekurangan kasih dan perhatian seorang ibu tidak seperti kebanyakan orang lain. Ahh, aku tidak perlukan seorang insan yang bergelar ibu! Aku boleh hidup dengan baik tanpa seorang ibu! Aku langsung tidak pernah terfikir dan impikan kasih seorang ibu! Aku sudah cukup bahagia adanya abah dan abang dalam hidupku! Abah dan abang adalah pelengkap hidupku.
“Kasihan abah”
Abang menepuk – nepuk bahuku.
“Janjilah kita akan sentiasa gembirakan abah”
Aku mengangguk akur.
“So sekarang kita kenalah bergembira juga”
Aku tersenyum. Di seberang sana, Boy dan Eddy asyik memerhatikan. Aku buat tidak nampak saja. Tepat jam 12.00 malam kedengaran suara Profesor Uzulia mengarahkan tidur. Aku apa lagi letak je kepala terus tidak ingat dunia kerana sepanjang hari ini betul – betul meletihkan.
“Wan bangun!”
Kedengaran suara Liza mengejutkan aku. Kulihat jam tepat pukul 6.00 pagi. Bingkas aku bangun.
“Adik!”
Abang melambaiku. Kulabuhkan punggungku di sisinya. Segelas kopi panas dihulurkan kepadaku. Betul – betul menyegarkan. Apatah lagi dalam kedinginan hutan yang di kelilingi bukit – bukau dan gunung – ganang sebegini.
“Adik mendaki nanti?”|
“Mesti ler bang. Inilah impian Adik selama ni nak tawan puncak gunung – ganang. Kalau tak rasanya tak best ler perkhemahan ni”
“Eleh, pandainya cakap!”
Abang menekan hidungku. Pantas kutepis tangannya.
“Abang ni asyik – asyik nak kacau hidung Adik je. Jealous ke tengok hidung Adik yang mancung ni” rungutku.
“Perasan....” balas abang geram.
Tangan abang menumbuk lembut bahuku buat aku tersenyum. Beberapa pasang mata memandang ke arah kami sambil tersenyum. Mungkin ada yang cemburu melihat kemesraan kami.
Aku mengikat tali kasutku kemas – kemas. Bahuku ditepuk lembut.
“Hati – hati Adik” nasihat abang sambil membetulkan capku. Kedengaran suara kapten mengarahkan kami berbaris. Aku mengambil posisiku.
“Wan.....”
Aku menoleh ke arah suara itu. Boy sedang melemparkan senyumannya. Rupanya Boy juga termasuk dalam kumpulan pertama XPDC pendakian ini. Suara kapten melaung lagi mengarahkan kumpulan pertama mula bergerak. Aku mula bergerak dalam kelompok seramai 30 orang ini. Seketika berjalan panas mentari mula terasa menjamah kulitku. Kuseka peluh yang mengalir.
“Kau tak letih ke Wan?”
Kuperlahan volume walk - manku.
“Apa kau cakap tadi?”
“Kau tak letih?”
“Ada ler sikit – sikit”
Kami meneruskan perjalanan kami. Sesekali aku menoleh ke belakang. Sudah jauh kaki gunung kami tinggalkan. Kulihat Boy begitu berhati – hati memijak batu – batu yang kami lalui. Untuk menghilangkan keletihan aku menyanyi – nyanyi kecil mengikut rentak lagu yang didendangkan dari walk – manku.
“Wan hati – hati!” jerit Liza.
Aku tersentak. Kulihat di depanku batu besar bergolek laju. Pantas aku mengelak. Aku terpijak permukaan batu licin. Malangnya aku tidak mampu mengimbangi tubuhku. Tubuhku melayang menimpa batu dan disebabkan keadaan yang curam aku terus bergolek.
“Adik!”
Aku sempat menangkap jeritan abang. Terasa hangat mengalir di kepalaku. Tiba – tiba tubuhku ditahan. Perlahan – lahan mataku semakin mengecil. Akhirnya tertutup rapat. Aku tidak sedarkan diri lagi.

*************************************************************
“Apa dah jadi Lan?”
Samar – samar kedengaran suara Mak Edah. Kugerakkan jariku. Cuba kugerakkan kaki pula. Namun terasa amat berat.
“Mak Edah, Adik dah sedar”
Abang dan Mak Edah merapatiku. Abang, Mak Edah, Liza, Boy dan Eddy melemparkan senyuman kepadaku.
“Harap – harap abah balik lepas Adik keluar dari hospital ni” ujarku meluahkan kerisauan.
Abang menatapku.
“Kenapa pula?”
“Lain kali tak de ler peluang Adik nak ikut ekspedi pendakian lagi”
“Dah nasib kita, apa boleh buat” ujar abang akur dengan keadaan.
Aku menarik nafas panjang. Sepi seketika. Adegan – adegan aku jatuh kembali berputar. Apabila mengingati semua itu terasa ngeri. Pasti kalau tiada tangan yang menahan tubuhku sudah pasti aku akan menjunam masuk ke gaung itu. Tulang – temulangku ini akan retak, kepala ini akan hancur berkecai. Ya Allah ngerinya, tidak dapat kubayangkan.
“Adik tahu tak siapa yang selamatkan Adik?”
Aku geleng kepala. Abang senyum buat seketika. Barangkali Boy yang telah selamatkan aku. Berbanding dengan kedudukan abang tika itu, dialah yang paling dekat denganku. Hanya abang dan Boy yang sanggup berkorban untukku.
“Siapa dia bang? Beritahulah Adik” gesaku mahu mensahihkan andaianku sebentar tadi.
“Eddy. Dialah yang pantas bertindak berlari ke tepi ......”
“Dah ler tu bang” pintasku mula tarik muka masam.
Tidak berminat aku hendak mendengar cerita abang itu, biarpun itu adalah kenyataannya. Aku tidak sudi terhutang budi dengan pemuda alien itu. Abang senyum dan geleng kepala sambil menyorong kerusi roda meninggalkan halaman hospital. Aku mengeluh kecil. Tidak senang dengan  kenyataan itu. Sungguh aku tidak mahu pemuda alien itu ada kaitan dengan hidupku mahu pun hidup abang. Dia tetap musuh tradisi keluargaku.
“Abang balik dulu ye, petang nanti abang datang lagi”
Aku mengangguk. Mataku menyoroti setiap langkah abang yang meninggalkan aku. Aku mula terasa bosan terkurung dalam bilik ini. Kucapai majalah komikku. Buat seketika kutatap, masih juga tidak dapat menghilangkan kebosananku. Dalam keadaan sunyi ini teringat aku akan walk – manku. Gara – gara kecelakaan menimpaku walk – man itu musnah. Aku mengeluh lagi.
“Hah, lebih baik aku tidur je!”
Baru saja hendak membaringkan tubuh, daun pintu diketuk. Pantas aku mengalih pandangan, kemudian memalingkan muka ke jendela. Tidak sudi aku merenung senyuman itu. Apatah lagi menerima kehadirannya di sini.
“Maaf kalau kedatanganku tak disenangi” tuturnya perlahan.
Sejambak bunga lili putih diletakkan di meja di bawah lunjuran kakiku. Pertama kali aku menerima bunga daripada seseorang. Aku tersenyum sinis sendiri. Bunga dan gadis tidak dapat dipisahkan. Aku tidak sukakan bunga, apatah lagi bunga pemberiannya! Bunga ini langsung tidak bermakna buatku. Tanpa disuruh dia terus saja duduk.
“Siapa suruh kau datang sini?” tanyaku kasar tanpa melihat wajah itu.
“Aku sendiri” balasnya tenang.
“Tak perlu kau menyusahkan diri datang ke sini. Baliklah! Aku tak nak tengok muka kau ada kat sini” bentakku.
Kedengaran dia mengeluh kecil.
“Baiklah, aku akan balik”
Dia bingkas bangun. Mula mengorak langkah ke muka pintu.
“Tunggu!”
Langkahnya terhenti. Dia memalingkan tubuh menatapku.
“Bawa bunga tu pergi. Aku tak sudi bunga itu berada di sini. Sakit mataku melihatnya!” tegasku.
Namun dia seperti tidak mendengarnya. Terus memulakan langkah kembali. Daun pintu ditutup.
“Dasar tak reti bahasa” kutukku geram.
Sakit hatiku. Kubaling bunga itu ke pintu. Selimut kutarik kasar menutup kepalaku. Aku terjaga dari tidur tatkala mendengar bunyi langkah yang datang.
“Nyenyak tidur” tegur abang.
Beberapa bekas makanan diletak di meja. Pandangannya menjunam ke lantai kemudian menatapku. Aku buat muka selamba saja. Abang geleng kepala sambil tersenyum.
“Tak baik tau biarkan bunga macam ni” tegurnya sambil mengambil bunga itu.
Beberapa kelopak bunga itu gugur akibat tangan kasar yang membalingnya. Aku rasa puas hati melihat keadaan bunga itu sebegitu.
“Kecik hati pemberinya bila tengok bunganya dibuat gini” tambah abang. Aku hanya diam. Tidak berminat berbicara tentang bunga itu.
“Hey, ada kad ler. Adik nak baca?” soal abang masih mencuba – cuba menarik perhatianku terhadap kewujudan bunga itu.
“Buang je dalam bakul sampah tu bersama bunga tu sekali” putusku.
“Hish...., tak baik tak menghargai pemberian orang” tingkah abang sengaja buat – buat tidak faham dengan keadaan sebenar.
Kad dihulurkan kepadaku. Sedikit pun tanganku tidak bergerak untuk mengambilnya. Kupalingkan mukaku.Bunga lili ini benar – benar menyakitkan mataku.
“Adik bacalah kad ni, jangan biarkan kad ini tak disentuh langsung”
Aku tetap kaku.
“Kalau tak nak biar abang bacakan ye” putus abang berdegil.
Kutulikan telinga. Ketika abang membacanya aku hanya menulikan telinga saja. Langsung tidak peduli bicara yang tercatat di situ.
“Semoga cepat sembuh dan kembali ceria..... Eddy”
Abang tersenyum panjang menatapku.
“Bila dia datang ke sini?”
“Dia datang Adik peduli apa” marahku.
“Adik, Eddy tu orang baik. Jangan layan dia macam ni. Kasihan abang tengok dia tu” keluh abang.
Aku mencebik boring. Tidak suka mendengar bicara abang sedemikian.
“Yalah, abang je yang betul” rajukku.
“Dia dah selamatkan Adik. Jangan pula Adik nak jadi seperti kacang lupakan kulit” nasihatnya.
“Jadi abang nak suruh Adik buat apa?” soalku bengang.
“Senang je, layan dia baik – baik. Tu je tak susahkan”
“Buang masa je” balasku.
“Ingat Adik terhutang nyawa dengan dia. Tu bukan perkara kecik tau”
Diam seketika. Siapa suruh dia selamatkan aku? Semua ini bukan
kehendakku. Aku tidak pernah mengharapkan yang dia akan wujud ketika itu untuk menjadi penyelamatku. Sungguh aku tidak gembira terhutang budi dengannya.
“Semalam Boy ada telefon, bertanyakan keadaan Adik. Abang suruh dia datang sini tapi dia risau Adik marah” cerita abang lagi.
“Budak seorang ni pun sama saja” marahku sudah menjangkit kepada Boy. Semuanya memeningkan kepala dan buat sakit hati saja.
“Alaa..., Adik janganlah macam ni, nanti tak de lelaki nakkan Adik”
“Abang peduli apa, tu Adik punya hal”
“Abang tak nak adik abang jadi andartu tau”
Pantas aku menumbuk bahu abang. Abang tidak sempat mengelak. Kedengaran suaranya mengerang kesakitan, sedangkan tangannya masih mengusap – usap bahunya itu.
“Hey, sakit – sakit ni pun masih sempat nak pukul orang” rungutnya.
Aku hanya senyum.

No comments:

Post a Comment