Tuesday 2 February 2021

Cinta Jangan Pergi... ! 2

 


                “Awak makan tu je?” Adib melontar pertanyaan kepadaku sambil menatap pinggan yang baru sahaja kuletak di atas meja. Aku senyum dan mengangguk. Dua senduk nasi putih, semangkuk kecil sup ayam dan sayur kacang panjang goreng sudah cukup sebagai hidangan makan tengah hari pemberi tenaga dan penghilang lapar.

“Cukup ke tu?” Adib bertanya lagi.

“Cukup...,” balasku jujur.

“Kan pagi tadi sarapan mi goreng kerang. Tadi makan banyak. Tulah masih kenyang lagi,” tambahku meyakinkan Adib.

“Awak nak jaga badan ye,” serkap jarang Adib. Aku tertawa kecil.

“Takde masa saya nak diet. Mana yang saya suka, saya makan je. Bila kenyang saya berhenti,” jelasku tanpa berselindung. Adib senyum.

“Apa makanan kegemaran awak?” tanya Adib masih berkisar tentang makanan.

“Saya suka semua makanan...yang penting halal,” jelasku.

“Syukurlah...senang  nak jaga awak nanti,” sahut Adib berlapang dada.

“Awak nak jaga saya?” Aku tergelak.

“Tak payah... Saya boleh jaga diri sendiri,” balasku menolak hasrat hati Adib dengan lembut. Adib tersenyum. Dia bukan manusia yang mudah berputus asa.

“Awak boleh berterus terang dengan saya tak?” pinta Adib mula serius.

“Terus-terang apa?” tanyaku.

“Awak ada suka mana-mana lelaki tak?” tanya Adib sambil menatapku. Senyap. Cuba melengahkan masa seolah-olah mahu berfikir.

“Mungkin suatu hari nanti saya akan suka seseorang,” jawabku. Adib pasti sudah menterjemah makna tersirat di sebalik kata-kataku ini.

“Saya harap orang yang awak suka kelak ialah saya,” ujar Adib tidak berselindung menggantung harapan padaku. Aku tertawa kecil. Tidak mahu terlalu serius memikirkan perkara ini. Jodah dan maut sudah menjadi ketentuan Yang Maha Esa.

“Kita doa sama-sama dapat jodoh yang baik,” ujarku cuba menukar suasana serius ini.

“Mudah-mudahan jodoh saya ialah Cahaya Kayyisa binti Abdul Razak. Amin...,” tutur Adib lalu memulakan suapan pertama yang tertangguh sejak dari tadi. Aku tersedak. Cepat tangan Adib menghulurkan segelas air kosong kepadaku. Setengah gelas air kosong kuteguk lalu mengurut-urut dada. Lega.

“Okey tak?” tanya Adib risau. Aku mengangguk.

“Awak cakap apa kat Cahaya sampai dia tercekik,” membutang mata Mila menatap Adib. Lantas meletakkan pinggan di atas meja lalu duduk di kerusi sebelahku. Adib tersenyum.

“Saya cakap mudah-mudahan jodoh saya ialah Cahaya Kayyisa binti Abdul Razak,” tutur Adib mengulangi kata-katanya. Yakin dan bersemangat.

“Jangan bermimpi di tengah hari. Kalau awak nak tahu lelaki impian Cahaya....tengok lelaki kat meja hujung sana tu. Aa...macam tu baru padan dengan Cahaya,” ujar Mila sambil menunding jari ke arah satu sudut restoran ini. Serentak aku dan Adib mengarah pandangan ke situ. Mahu mengetahui jenis lelaki yang sesuai untukku mengikut piawaian mata Mila. Aku tersentak. Bukan calang-calang pilihan Mila.

Handsome tak semestinya berhati mulia dan sayang bini. Mereka spesis buaya darat,” tingkah Adib tidak mahu mengalah. Mudah sahaja stereotaipnya. Pemuda kacak dan tampan suka menjaja cinta. Pendek kata teman wanita keliling pinggang.

“Lelaki jenis macam tu moden sangat...tak sesuai dengan cikgu. Cita rasa dia pun tinggi melangit tu,” tambah Adib.

“Awak nak kata Cahaya tak sepadan dengan dia?” Besar anak mata Mila menatap Adib.

“Cahaya jelita sebab tu awak tak nak dia melepas kat lelaki lain,” tambah Mila selangit memujiku. Adib tertawa. Dalam hati mengakui kebenaran bicara Mila.

“Belum habis lagi nasi dalam pinggan ni tetiba dah kenyang dengar dipuji setinggi Gunung Everest,”celahku berseloroh. Adib dan Mila tertawa.

“Terima kasih banyak-banyak pada kamu berdua. Kalianlah kawan terbaik saya di dunia dan akhirat,” tambahku bercanda. Adib dan Mila tersenyum lebar.

“Tengok pemuda itu pandang ke sini sebab dia terasa awak kutuk dia,” bisik Mila sekali gus meminta aku dan Adib melontar pandangan ke arah pemuda itu. Sempat bertembung pandangan namun cepat kualih muka. Tidak mahu gadis cantik bersamanya salah tafsir. Silap-silap boleh dikata mengintai kekasih hatinya. Tiba-tiba sahaja Adib tertawa kecil. Aku dan Mila menatapnya. Musykil.

“Dia dah ada girlfriend yang cantik,” ujar Adib tersenyum senang hati.

“Macam mana awak tahu gadis itu girlfriend dia?” tingkah Mila tidak setuju.

“Takkan dia nak pinjam girlfriend lelaki lain nak teman dia lunch,” Adib membalas sinis bicara Mila.

“Mungkin juga mereka macam kita kawan baik,” balas Mila. Aku hanya membiarkan Mila dan Adib saling berhujah. Siapa sahaja yang bersama pemuda itu aku tidak kisah. Itu urusannya. Syukurlah sudah ada teman wanita. Tidak lama lagi bernikah. Kemudian melahirkan zuriat yang boleh menjadi peneman Nek Som menghilangkan kebosanan bersendirian di rumah agam yang tersergam indah itu. Aku lega dan tumpang gembira.

“Tak payahlah bertengkar kerana pemuda itu. Buat kering air liur kamu saja. Cepat habiskan nasi dalam pinggan tu,” arahku mahu segera mematikan topik perbualan tentang pemuda itu. Tidak elok bercakap tentang perihal orang lain. Adib dan Mila tersengih. Lantas mematuhi arahanku mula fokus pada nasi dan lauk-pauk di dalam pinggan. Usai makan, Adib bangkit mendahului aku dan Mila. Selepas ini kami akan bergerak ke perpustakaan awam menyambung tugasan Encik Syamil.

“Saya pergi ke bilik air sekejap,” pintaku. Mila menggangguk. Adib sudah berada di ambang pintu restoran menanti kedatangan kami. Aku bergegas melangkah ke bilik air. Tidak mahu Adib dan Mila tertunggu-tunggu. Sewaktu melewati meja sepasang kekasih yang menarik perhatian Adib dan Mila sedetik tadi, aku dan pemuda itu sempat bertembung mata. Hampir sahaja aku melontar seulas senyuman sapaan. Namun melihat pandangan kosong yang dipamerkan kumatikan hasrat hati. Sombong. Mungkin juga dia tidak mengingati aku. Pertemuaan pertama yang singkat menyebabkan dia tidak mampu meletakkan wajahku dalam memorinya. Mahu berprasangka baik.

“Mari...,” ajakku sekembali dari bilik air. Bingkas Mila bangun. Adib masih setia tercengat di ambang pintu restoran ini. Rayyan yang sedang berdiri di kaunter pembayaran berpaling. Sekali lagi bertembung pandangan. Tiada senyuman yang kuberikan. Anggapanku Rayyan tidak mengenaliku.

Ms. Shining...!” Langkahku dan Mila terhenti. Kami berpaling. Aku dan Rayyan saling bertatapan. Terkesima dipanggil sedemikian. Unik sungguh.

“Awak panggil saya?” tanyaku meminta kepastian. Dia mengangguk.

“Tepat jam 5.00 petang esok saya jemput awak di perkarangan asrama,” jelasnya.

“Apa?” Sekali lagi aku tersentak. Bicaranya sungguh mengejutkanku.

“Nenek nak awak datang ke rumah malam esok. Ada majlis doa kesyukuran hari jadi nenek,” jelas Rayyan lebih terperinci sekali gus menambah deretan terkejutku.

“Nek Som hari jadi esok. Bagaimana aku boleh lupa...,” rungut suara hatiku. Aku melepaskan keluhan kecil. Pasti Nek Som kecewa. Setiap tahun aku tidak akan lupa tarikh keramat ini.

“Siapa ni, Rayyan?” Aku berpaling. Gadis itu baru sahaja muncul dan melangkah mendekati Rayyan. Dia menatapku dengan senyuman. Aku membalas senyumannya. Dia tidak sombong.

Ms. Shining... Kawan nenek,” selamba sahaja anak muda ini memperkenalkan aku sedemikian kepada teman wanitanya.

“Unik nama awak,” tutur gadis ini.

“Sarah...,” ujarnya memperkenalkan diri sambil menghulurkan tangan. Aku menyambut huluran tangannya. Begitu juga Mila. 

“Kita pergi sekarang,” ajak Rayyan mahu segera beredar dari situ.

“Jumpa lagi...,” tutur gadis itu. Aku mengangguk. Rayyan dan Sarah beriringan melangkah melewati pintu restoran. Sempat Sarah bertukar senyuman dengan Adib yang hanya menjadi pemerhati sebentar tadi. 

Ms. Shining... Kawan nenek,” ulang Mila disusuli gelak tawanya.

“Lawak sungguh dia,” Mila ketawa lagi.

“Kenapa tak cakap awal-awal tadi yang awak kenal dia,” ujar Mila tidak puas hati. Terasa dirinya dibohongi.

“Awak kenal pemuda itu?” Kali ini Adib pula yang melontar pertanyaan kepadaku.

“Ya...siap panggil Cahaya... Ms. Shining...,” Mila ketawa lagi. Kata-kata Rayyan benar-benar mencuit hatinya.

“Mujur dia tak panggil awak Ms. Light tadi,” Mila menyambung ketawa sedangkan kekesalan yang bermukim dalam hatiku semakin menebal.

“Macam mana saya boleh lupa hari jadi Nek Som. Memang tak patut saya lupa,” keluhku berbicara sendiri tanpa menghiraukan kata-kata Rayyan yang menghiburkan hati Mila.

“Teruknya...,” Aku mengutuk diri sendiri. Kecewa kerana terlupa akan tarikh hari jadi Nek Som.

“Siapa Nek Som tu?” tanya Adib yang sempat mendengar sebaris nama itu.

“Insan yang terlalu istimewa dalam hidup saya...,” luahku bersungguh-sungguh.

“Cemburunya saya,” sahut Adib.

“Rayyan insan istimewa dalam hidup awak?” Mila yang dari tadi tergelak-gelak melontar pertanyaan. Tidak peka pada bicaraku.

“Bukanlah... Nek Som,” laju Adib membetulkan tafsiran Mila.

“Oh, kawan Cahaya...,” Mila tersengih panjang. Hatinya masih digeletek dengan kata-kata Rayyan.

Usai perbincangan di perpustakaan awam, aku dan Mila mencari hadiah hari jadi untuk Nek Som. Sebaliknya, Adib perlu segera kembali ke desasiswa kerana jam 5.00 petang nanti ada latihan bola sepak. Dia harus berehat supaya cukup tenaga untuk menghadiri sesi latihan itu. Kami singgah di Butik Perdana. Akhirnya, aku dan Mila sepakat memilih sehelai selendang baldu sulam berbunga warna hitam putih untuk Nek Som. Sungguh sesuai untuk wanita elegen seperti Nek Som. Tidak kisah setahun sekali berbelanja lebih untuk wanita kesayanganku. Harap-harap Nek Som menyukainya.

Aku memilih baju kurung Riau berbunga kecil berwarna merah putih untuk dikenakan di tubuh. Kucapai tudung bawal merah. Sedodon dengan warna baju kurung. Aku menghias diri seperti biasa. Sekadar mengalas pipi dengan bedak asas dan secelit gincu merah yang tidak terlalu menonjol sesuai dengan warna kulitku. Ringkas dan selesa itulah penampilan kegemaranku.

“Tak perlu pakai maskara,  kening dah cantik...bulu mata dah tebal... melentik,” omel Mila menilaiku. Aku senyum sekilas. Tidak menghiraukan pandangan mata Mila yang sentiasa terarah mengawasiku.

“Kalau nampak pelik tegur tau,” pesanku. Risau ada yang tidak kena pada pandangan mata yang memandang nanti.

Perfect,” pujinya. Tiada sebarang perubahan yang diperlukan. Sesuai di mataku sepadan juga di mata Mila. Cita rasa kami sama sahaja. Ringkas dan kemas. Paling penting selesa dan memudahkan pergerakan. Demikianlah penampilan guru yang bersederhana.

“Nanti pasti ada jejaka yang jatuh hati pandang pertama. Tak dapat bayangkan hancurnya perasaan Adib nanti,” Mila mengusikku. Aku tidak menghiraukan bicara Mila. Paling penting dapat meraikan hari jadi Nek Som insan yang amat bermakna dalam hidupku.

“Kalau orang putih melepak ni warna apa saja dipakai mesti nampak cantik dan menyerlah. Tak berhiaspun tetap cantik,” komen Mila yang sejak dari tadi memerhatikan aku menyiapkan diri.

“Alhamdulillah...,” balasku memanjat kesyukuran. Anugerah Yang Maha Esa. Tidak pasti sama ada aku mewarisi fizikal ayah ataupun ibu. Sedih sebab aku tidak ingat tentang rupa paras mereka. Tidak ingat apa-apa tentang mereka. Perpisahan terjadi ketika aku baru berusia enam bulan.

“Awakpun cantik juga. Hitam manis menawan,” pujiku jujur. Mila mencebik. Tidak yakin dengan kejujuranku. Aku melirik jam di tangan. Lima minit lagi mencecah ke pukul 5.00 petang. Pemuda itu berjanji akan datang menjemputku tepat pada pukul 5.00 petang. Lima minit cukup untuk aku sampai di perkarangan desasiswa. Tidak perlu saling menanti.

“Saya pergi dulu,” ujarku memaklumkan tentang keberangkatanku kepada Mila. Kucapai beg telekung di atas katil. Nanti boleh solat maghrib dan isyak berjemaah di rumah Nek Som.

“Awak balik tak malam ni?” tanya Mila. Mungkin bimbang ditinggalkan bersendirian.

“Mestilah balik,” ujarku yakin.

“Saya ajak awak pergi, awak tak nak,” keluhku sedikit hampa kerana tidak berjaya mengajak Mila bersamaku malam ini meraikan hari jadi Nek Som.

Sorry...,” Mila tersengih setelah menolak permintaanku. Alasannya mahu berehat sepuas-puas malam ini kerana seharian tadi berada di luar.

“Jaga diri baik-baik Ms. Shining. Kirim salam juga kat Mr. Light,” Mila ketawa. Gembira mengusikku. Aku mencebik. Dia langsung tidak lupa perkara itu.

“Oh, dah pukul 5.00, saya pergi dulu,” Aku bergegas ke pintu. Janji mesti ditepati. Tidak mahu cucunda Nek Som menunggu lama.

“Hadiah jangan lupa bawa,” ujar Mila mengingatkan aku.

Thanks... hampir terlupa,” keluhku kerana sering terlupa sahaja. Aku berpatah semula. Kucapai hadiah untuk Nek Som di atas meja.

Bye...saya pergi dulu,” Kutinggalkan Mila sendirian. Aku bergegas turun ke perkarangan desasiswa. Nampak pemuda itu sedang bersandar di lamborghini hitam metalik. Banyak juga mata mencuri pandang ke arahnya. Pemilik dan kereta mewah itu menarik perhatian orang di sekeliling.

“Assalamualaikum...,” sapaku. Dia berpaling. Memandangku di sebalik kaca mata hitam itu. Rasa bersalah membuatkan dia tertunggu-tunggu.

Sorry...saya terlewat sedikit,” jelasku tersengih dan kekok ditenung sedemikian.

“Tak lama pun awak tunggu...cuma lambat tiga minit je,” tambahku cuba menyedarkan masa tiga minit itu hanya kesalahan kecil yang boleh dimaafkan. Aku yakin maklumat lengkap yang diperoleh daripada Nek Som membolehkan dia muncul tepat pada masa.

“Tak sesuai ke pakaian saya ni?” tanyaku. Renungan di sebalik cermin mata hitam itu bagai ada yang tidak kena. Risau kalau penampilanku tidak menepati tema majlis. Senyap. Daun pintu kereta dikuak. Masih tidak bersuara. Dia memberi isyarat mengarahkan aku masuk. Aku patuh. Kereta  lamborghini ini bergerak meninggalkan perkarangan desasiswa. Sepanjang perjalanan ini dia hanya menyimpan suara di peti kerongkong. Tiada perbualan yang berlangsung. Aku turut mendiamkan diri. Bimbang jikalau aku bersuara tiada yang sudi menyahut. Tidak tahu topik yang hendak dibualkan. Jadi berdiam diri lebih baik.