Thursday, 8 September 2011

Senyum Lagi 14

 
BAB 14


Aku dan abang berdiri menatap dinding. Kami sudah bersedia menerima hukuman daripada abah. Kulihat abah memejamkan mata setiap kali rotan sebesar telunjuk menjamah tubuh abang. Kemudian beralih pula kepadaku. Kugenggam tanganku sambil menekan ke dinding setiap kali sebatan itu singgah di tubuhku. Terasa pedih. Seketika rotan itu berulang alik antara aku dengan abang.
“Dahlah tu Datuk. Tubuh budak – budak ni dah habis bercalar – balar” rayu Mak Edah.
Kedengaran esakan orang tua itu.
“Biarkan mereka rasa Mak Edah. Saya tak pernah ajar mereka buat perkara tu” ujar abah geram sambil tangannya menyebat tubuh abang.
Aku dapat merasakan sebenarnya abah kecewa dan sedih atas tindakan kami. Mak Edah dengan berani menahan rotan itu dari terus singgah ditubuhku dan tubuh abang.
“Janganlah pukul mereka lagi. Mereka ni jelah zuriat Datuk. Kalau berlaku perkara yang tak diingini, Datuk juga yang susah. Mak Edah tak nak Datuk menyesal nanti” luah Mak Edah cuba menyedarkan abah.
Abah seperti baru sedar dari kena rasuk. Dia terduduk lemah di sofa. Aku sempat melirik ke wajah abah. Kelihatan anak matanya berkaca, begitu juga abang. Namun aku masih lagi seperti biasa. Calar – calar ditubuhku terasa perit.
“Abah beli motor untuk kamu, bukan abah nak suruh buat perkara tu. Abah beli hanyalah semata – mata untuk kesenangan kamu” ujarnya kesal.
“Abah tak sangka anak – anak abah akan lakukan semua ni” ujarnya lagi
 dalam nada sedih. Aku dan abang tertunduk.
“Adik, Adik tu perempuan. Janganlah buat gini, malu abah” sayu saja suara abah. Aku masih tetap membisu. Terpacak di situ langsung tidak bergerak.
“Lan pula anak sulung. Buatlah perangai baik untuk Adik contohi” nasihat abah.             “Maafkan Lan abah” suara abang perlahan saja.

Petang ini terasa bangko ini sunyi sepi. Tiada lagi gelak ketawaku bersama abang. Abang yang sejak tadi keluar belum balik – balik lagi. Aku masih terpaku di depan tv. Sakit tubuhku menghalang aku bergerak aktif. Abah entah ke mana menghilang sebaik saja menjatuhkan hukuman kepada kami.
“Abang belum balik lagi, Adik?” tanya Mak Edah kepadaku.
Aku mengangguk. Jelas terbayang kerisauan di wajah berkedut itu.
“Abah kamu pun menghilang entah ke mana” keluhnya pula.

Di sebuah hotel mewah itu, di sebuah meja yang agak tersorok daripada pandangan umum, sepasang insan sedang menikmati hidangan malam.
“Kenapa abang nampak muram je?” soal perempuan itu lembut.
“Adik dan Lan buat hal lagi” ujarnya tenang.
“Kenapa dengan mereka?”
“Mereka kehilangan kasih sayang seorang ibu, kurang perhatian abang. Mungkin inilah caranya mereka memberontak”
“Maksud abang?”
“Abang tak dapat mengawal perasaan. Abang telah memperlakukan
mereka seperti anak – anak kecil. Siang tadi abang telah memukul mereka. Mungkin mereka berdendam dengan abang sekarang. Abang menyesal Julia” ucap Datuk Izhar dalam nada kesedihan.
“Julia rindukan anak – anak. Bilakah agaknya abang nak bawa Julia menemui mereka?” luahnya dengan pandangan mengharap.
Ditatapnya wajah lelaki itu.
“Sabarlah Julia. Berilah abang masa untuk menerangkan segalanya kepada mereka” pintanya mengharapkan pengertian perempuan itu.
Sepi seketika. Julia tiada pilihan lain selain mematuhi saja permintaan lelaki itu. Kalau ikutkan kehendak hatinya mahu saja pertemuan itu dilangsungkan sekarang. Biarkan kerinduaan yang sarat bermukim di hatinya akan sirna.
“Apa sebenarnya yang berlaku bang?” tanya wanita itu.
“Abang kecewa sangat. Mungkin Julia juga turut kecewa”
“Kenapa bang?”
“Mereka libatkan diri dalam perlumbaan haram, Julia” ujarnya kesal.
“Ya Allah! Betulkah bang?”
“Ya Julia. Jangan disangka Adik jadi gadis lemah lembut seperti Julia. Sedikit pun sifat yang Julia miliki tidak diwarisinya. Abang rasa dia lebih keras dan degil daripada Lan” ceritanya.
“Semua ni salah Julia juga bang. Kalau Julia tak terburu – buru dulu, mungkin semua ni takkan terjadi” keluhnya menyesal.
“Jangan salahkan diri Julia. Yang sudah berlaku biarlah berlalu. Abang yakin dengan kepulangan Julia kepangkuan kami semula, kita akan dapat membina keluarga bahagia” ujarnya yakin.
“Betulkah bang?”
“Yalah Julia” ujarnya sambil mengesat air mata perempuan itu.

Matanya tenang menatap air tasik di depannya. Gadis di sisinya itu turut membisu seketika. Masing – masing menyelami perasaan sendiri.
“Semua yang abah awak lakukan adalah demi kebaikan awak, Lan” ucap gadis itu dengan tenang.
Eizlan menatap gadis itu mencari kebenaran dan kepastian.
“Dia abah awak. Dia ada hak menegah awak dari melakukan sesuatu yang tak mendatangkan faedah. Kalau aku berada di tempat abah awak, aku juga akan bertindak sedemikian” tutur gadis itu lagi.
Eizlan masih membisu. Kata – kata gadis itu menyilap di sanubarinya.
“Aku harap awak akan minta maaf kepadanya dan tak salahkan dia. Jangan biarkan dia terus kecewa” nasihatnya lagi.
   Eda menatap Eizlan. Dari sinar matanya dia mengharapkan kekeruhan akan sirna juga. Terasa tangannya digenggam erat. Eda senyum cuba mendamaikan hati kekasihnya itu seketika.
“Aku akan cuba” ucap Eizlan perlahan.

Aku sudah dua tiga kali turun naik. Tiada apa yang menarik minatku. Hendak tidur tubuh rasa tidak sedap pula. Aku tidak boleh tahan bila tidur langsung tidak boleh bergerak. Di halaman kedengaran enjin kereta berhenti. Pasti abah sudah balik. Aku sudah nekad malam ini aku hendak berkurung di dalam bilik ini saja.
“Adik dah makan Mak Edah?”
“Dia kata tak de selera Datuk”
Kelihatan wajah lelaki itu berubah. Dia mengeluh panjang.
“Lan mana?” tanyanya lagi.
“Keluar petang tadi sampai sekarang belum balik lagi” adu perempuan itu lagi. Datuk Izhar menyandarkan tubuhnya ke sofa. Beberapa kali dia mengeluh mengenangkan anak – anaknya. Kerisauan berputik kembali.
“Datuk nak makan?”
“Tak payahlah Mak Edah, saya masih kenyang”
Sunyi seketika. Baru dia menyedari banglo ini kehilangan gelak tawa anak – anaknya. Bunyi radio, petikan gitar Eizlan. Jeritan dan gelak ketawa Adik bermain SP2.
“Dah lama Adik dalam bilik tu, Mak Edah?”
“Sejak dari tadi Datuk. Sekejap – sekejap je dia turun”
Mendengar bunyi derap langkah memijak anak tangga, cepat – cepat aku matikan suis lampu. Kupejamkan mataku. Seketika kemudian daun pintu terkuak. Langkah itu datang mendekatiku. Terasa tangan lembut itu menyelak bajuku.
“Ya Allah apa yang telah aku lakukan.........”
Aku sempat menangkap suara abah walaupun seakan berbisik. Tiba – tiba terasa panas jatuh ke tubuhku. Seketika kemudian kudengar sendu abah. Tahulah aku rupa – rupanya abah menangis. Diusapnya lembut rambutku. Perlahan tubuhku diselimuti. Daun pintu ditutup kembali. Aku bingkas bangun. Di halaman kedengaran bunyi motor memasuki halaman. Sah abang yang datang. Asyik terkurung dalam bilik ini akhirnya aku tertidur juga.

No comments:

Post a Comment