“ya Allah ya Tuhanku, kembalikanlah Aidil Ikhwan ke pengakuanku. Aku amat memerlukannya. Sesungguhnya Engkau maha pengasih lagi maha penyayang….”
Bisikku sambil menadah tangan penuh mengharap. Kalimah inilah yang sering aku ungkapkan dalam doaku pada akhir solatku. Aku betul - betul berharap Aidil Ikhwan akan muncul. Aku terlalu merinduinya. Tidak salah bukan aku terlalu mengharap kehadiran semula orang yang belum mati. Bukan satu perkara yang mustahil dia akan muncul kembali.
Perlahan – lahan aku meninggalkan sejadah yang terbentang di situ. Kutatap gambar yang berada di kepala katilku. Kutenung lama. Terasa anak mataku berkaca. Kalau aku tahu malam itu pertemuan terakhirku dengan Aidil Ikhwan, aku tidak akan membiarkan dia pergi begitu saja. Sumpah! Aku akan halang dia. Aidil Ikhwan sampai hati kau buat aku begini. Kalau pun kau terluka janganlah biarkan aku dalam keadaan begini. Aku tahu semua itu salah aku tetapi janganlah hukum aku begini. Aku amat perlukan kau, Aidil Ikhwan. Sesungguhnya aku tiada sesiapa lagi di dunia ini selain dirimu. Air mataku menitis ke pipi. Perlahan kukesat. Ini bukan kali pertama aku menangis dan menyesali perkara yang telah berlaku. Aku bukanlah hamba yang tabah mengharungi segala cabaran sebaliknya aku hanyalah insan yang sangat mengharapkan Aidil Ikhwan kembali.
Kring...! Kring....!! Jeritan telefon rumah mengejutkanku. Kubiarkan seketika. ‘Dia’ terus menjerit. Apabila ingat Aidil Ikhwan pantas aku mengangkatnya. Mungkin Aidil Ikhwan yang menelefon aku. Satu perkara yang sering aku harapkan.
“Hello!” suaraku dalam getaran, dadaku berdebar- debar.
“Hello Za!” sapa suara dari sana.
Hampa. Dia bukan Aidil Ikhwan. Aku diam.
“Hello Za! Kau sihat?” suara di sana bertanyakan keadaanku.
“Aku tak apa – apa” balasku perlahan.
“Kau ni selalu buat aku risau. Janganlah fikirkan lagi perkara tu”
Aku menarik nafas panjang. Tidak semudah bicara yang dituturkan. Mustahil aku akan melupakannya. Dia telah menjadi sebahagian diriku.
“Aku yakin dia Aidil Ikhwan, Lin. Cuma kami belum berkesempatan bertemu. Aku nampak dia dari jauh. Memang dia Aidil Ikhwan. Aku takkan silap” tegasku penuh yakin.
“Za, sebenarnya kau belum dapat menerima hakikat ni. Aidil Ikhwan dah takde” balas Linda cuba menyedarkan aku.
“Tidak! Dia Aidil Ikhwan. Aidil Ikhwan masih hidup, Lin” balasku berkeras.
“Kau ingatkan kemalangan tragis tu?”
“Mangsa yang rentung tu bukan Aidil Ikhwan. Dia langsung takde pengenalan diri. Semua orang tak tahu siapa dia” tegasku tidak mahu beralah.
“Sebab keluarganya tak mahu bedah siasat dilakukan tapi aku yakin kau cukup kenal dengan kereta BMW tu” tegas Linda berkeras.
Aku terdiam. Diam yang panjang. Saksi ditempat kejadian memberikan gambaran ringkas sebelum kereta itu meletup sekaligus membakar pemandunya. Nombor plat, model dan warna kereta sempat dipandang sekilas. Namun ciri – ciri pemandunya langsung tidak kelihatan. Jadi belum pasti pemandunya ialah Aidil Ikhwan. Aidil Ikhwan masih hidup.
“Kalau yang kau nampak tu Aidil Ikhwan, kenapa dia tak telefon kau?” soal Linda cuba mematahkan semangatku.
Aku diam lagi. Aku betul – betul yakin pandangan mataku. Memang pemuda yang kutemui dua hari lepas itu ialah Aidil Ikhwan. Ini adalah kenyataannya dan tiada siapa yang mampu untuk mengubahnya. Aidil Ikhwan masih hidup!
“Za, tak elok fikirkan perkara tu lagi. Aidil Ikhwan dah lama pergi. Mulakanlah hidip baru. Aku yakin kau mampu melakukannya” pujuk Linda cuba menyuntikkan semangat kepadaku.
“Tak perlu kau risaukan aku. Aku tahu apa yang perlu aku lakukan” balasku sedikit terkilan dengan sikap Linda yang tidak mempercayai bicaraku.
“Baguslah tu, tak juga aku risau dibuatnya”
“Terima kasih kerana ambik berat kat aku”
“Okey, jangan fikir yang bukan – bukan lagi ye. Esok jumpa aku di pejabat. Bye....” nasihat Linda.
Gagang kuletakkan. Aku menatap lagi gambar yang masih berada ditanganku. Aidil Ikhwan, salahkah aku berkelakuan begini? Kau pun tahukan, aku bukan seorang yang mudah mengalah. Aku masih ingat akan kata - kata Aidil Ikhwan bahawa akulah gadis degil, keras kepala dan berhati batu. Itulah gambaran yang pernah Aidil Ikhwan berikan kepadaku.
%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%
Aku melangkah longlai menuju ke lif. Terasa terlalu berat langkahku. Semalaman aku asyik ingatkan Aidil Ikhwan. Sebaris nama yang tidak pernah luput dari ingatanku. Aku melangkah keluar tatkala pintu lif sudah terkuak.
“Aidil Ikhwan.....”
Terpancul nama ini dari mulutku. Aku mengejar langkah lelaki yang melewatiku sebentar tadi.
“Aidil Ikhwan!” panggilku kepada lelaki yang jauh di depanku ini. Aku tidak mahu kehilangan jejaknya lagi. Dia langsung tidak menoleh. Langkahnya semakin laju meninggalkan aku.
“Aidil Ikhwan!” panggilku lagi sambil terus mengejarnya.
Beberapa langkah saja jaraknya dariku, langkahku terus mati. Aku terpana melihat gadis yang tiba – tiba muncul itu terus memaut lengannya. Nampak begitu intim dan mesra. Aidil Ikhwan tidak pernah memperlakukan aku sedemikian. Adakah dia hendak membalas dendam kepadaku? Siapakah gadis itu?
“Aid....”suaraku tersekat.
Aidil Ikhwan berlalu di depanku bersama gadis itu. Terasa air mata meluncur laju di pipi. Aidil Ikhwan sampai hati kau buat aku begini. Betapa hancurnya hatiku saat ini.
“Lin, aku yakin dia Aidil Ikhwan. Mustahil di dunia ni ada orang betul – betul serupa” tegasku.
“Kau betul dia Aidil Ikhwan, kenapa dia langsung tak kenal tunang dia”
Aku diam.
“Mungkin dia saja nak balas dendam kat aku atau dia takut kalau perempuan tu beranggapan yang bukan – bukan” ujarku dengan andaian sendiri.
“Apa motif dia buat macam tu?” tingkah Linda.
“Aku tak tahu tapi aku memang yakin dia tu Aidil Ikhwan. Aku cukup kenal Aidil Ikhwan, Lin” tegasku.
“Mungkin kau silap tengok tak?”
“Walaupun aku asyik ingatkan Aidil Ikhwan, aku takkan kata orang lain Aidil Ikhwan” balasku waras.
“Tapi yang buat aku hairan kenapa dia tak kenal kau?”
“Ada sesuatu yang tak kena”
“Apa maksud kau?”
“Aku pun tak pasti tapi aku rasa semacam je”
“Tapi.............”
“Aku tahu kau takkan percaya tapi aku akan buktikan yang dia itu ialah Aidil Ikhwan” tingkahku.
Aku bingkas bangun. Kurapati jendela. Melalui kaca ini aku nampak deretan kereta. Pandanganku menerawang jauh. Tiba – tiba aku terpandang seseorang. Walaupun aku tidak nampak seraut wajah itu tetapi aku cukup kenal susuk tubuh itu.
“Lin, cepat ikut aku” arahku sambil menarik tangan sahabatku ini.
Linda terpinga – pinga.
“Kenapa ni?”
“Kau ikut saja aku” perintahku.
“Kita nak ke mana ni?” soalnya lagi.
“Cepat...” arahku tanpa pedulikan persoalannya itu.
Langkah kami terhenti. Aku memerhatikan sekeliling mencari kelibat itu.
“Tengok di sana” arahku menunding jari ke arah seseorang.
“Aid...... Aidil Ikhwan...”
Linda tersentak. Ditatapnya aku. Belum sempat aku melangkah mendekati pemuda itu, Linda pantas menarik tanganku.
“Kau nak ke mana tu?”
“Jumpa dialah”
“Kau tak nampak gadis itu?”
“Aku peduli apa dengan dia. Aku mesti jumpa Aidil Ikhwan juga. Dia tunang aku, Lin” ujarku berkeras.
“Bertenang, sabar. Kau selidik dulu siapa sebenarnya dia”
“Nak selidik apa lagi? Kau sendiri tengokkan dia tu Aidil Ikhwan”
“Mana tahu kembar dia”
“Mengarutlah kau ni”
Pantas aku meninggalkan Linda. Kali ini aku tidak mahu melepaskan Aidil Ikhwan begitu saja. Aku melangkah penuh yakin mendekati mereka.
“Aidil Ikhwan....” panggilku perlahan.
Dia menoleh. Kali ini dia mendengar suaraku. Aku senyum. Tiada sebarang reaksi yang ditunjukkannya. Dia memandangku seolah – olah tidak pernah mengenali aku.
“Maaf, apa hal cik?” soalnya lembut.
Aku tersentak. Betulkah dia tidak mengenaliku?
“Wan kau tak kenal aku?” soalku pilu.
Serasa empangan air mataku akan pecah bila – bila masa saja. Dia berpandangan dengan gadis itu.
“Maaf, cik salah orang. Saya bukan Aidil Ikhwan. Saya Izzan” nafi suara milik Aidil Ikhwan itu sayup – sayup menerjah pendengaranku.
“Mustahil. Aku tahu kau Aidil Ikhwan. Aku kenal suara kau” ujarku berkeras.
“Mesti cik salah orang”
“Kau betul – betul tak kenal aku? Kau tak ingat cincin ni?” tanyaku bertalu.
Dia geleng kepala sambil tersenyum.
“Aku Za” ujarku berusaha mengingatkannya.
“Maaf cik, kami nak cepat ni ada hal penting” ujarnya sambil meninggalkan aku terpacak di situ.
Aku menyoroti keretanya berlalu meninggalkan aku terpacak di situ. Linda mendekatiku. Diusap – usapnya bahuku.
“Dia langsung tak kenal aku, Lin. Kenapa dia begitu kejam terhadapku” ujarku dalam getaran.
Linda memandangku sayu.
“Apa salah aku hingga dia sanggup buat aku macam ni. Kalau dia terluka pun takkan sampai nak tukar nama pula” ujarku sebak.
Linda masih diam. Terus kupeluk tubuh Linda. Aku menangis. Linda, betapa hancurnya perasaanku tika ini.
“Siapa gadis tu, Iz?” soal gadis di sisinya itu.
Dia angkat bahu. Persoalan terhadap gadis itu masih menyelubungi dirinya. Namun ada rasa simpati dihatinya.
“Dia salah orang”
“Kau tak kenal dia?” tanya gadis itu lagi.
Dia mengangguk menjawab persoalan gadis itu.
“Kenapa ni? Kau cemburu?” diliriknya wajah gadis itu.
“Mestilah, kan gadis itu lebih cantik” luahnya tidak mahu berselindung.
“Perempuan ni memang tak sudah – sudah dengan cemburunya”
“Nak mengata orang ye”
Pantas jemari gadis itu mencuit lengan pemuda itu. Pemuda itu terjerit. Mereka tertawa bahagia.
%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%
Aku menatap jam ditanganku. Waktu untuk lunch sudah tiba. Aku harus keluar sekarang. Aku berdiri di satu sudut menanti akan ketibaannya penuh setia penuh pengharapan. Kali ini biarlah Aidil Ikhwan mengenaliku. Aku mahu dia menamatkan saja sendiwaranya itu.
“Aidil Ikhwan!” kulaungkan nama itu.
Langkahnya terhenti. Dia menatapku.
“Hey.... cik”
Dia nampak tersentak.
“Kenapa kau buat aku macam ni, Wan? Aku tahu kau marahkan aku tapi janganlah buat aku begini. Walaupun kau dah jadi Izzan, tapi bagiku kau tetap Aidil Ikhwan” luahku hiba.
“Apa yang cik cakap ni?”
“Terus terang padaku, kenapa kau buat macam ni? Cakaplah! Gadis itu takde kat sini sekarang” pintaku memohon penjelasannya.
Dia nampak binggung. Dahinya berkerut.
“Saya tak faham”
“Tengok aku betul – betul. Kau ingat tak Said? Lelaki yang buat kau marah lalu meninggalkan aku sampai sekarang. Aku langsung takde apa – apa hubungan dengan dia lagi. Dia hanyalah kenangan masa silamku. Malam itu aku jumpa dia sebab nak berterus terang dengan dia. Aku mahu dia melupakan aku segera dan aku dah beritahu dia bahawa aku dah ada orang yang aku sayangi dan cintai. Orang itu adalah kau, Wan. Sumpah!” tegasku.
Terasa anak mataku berkaca. Dia menatapku dengan wajah yang sukar ditafsirkan. Dipandangnya gadis ini dengan penuh tanda tanya.
“Cakaplah sesuatu Wan” pintaku melihat dia terdiam panjang.
“Saya tak kenal cik. Cik salah orang. Saya bukan Aidil Ikhwan, saya Izzan. Izzan Hakime Dato’ Kassim, pengurus Syarikat Sinar Maju. Sumpah saya tak tahu apa – apa tentang cik. Cik memang salah orang” bicaranya tenang.
“Bohong! Aku tahu kau nak tipu aku!” bentakku radang.
Aku sudah cukup letih dengan kepura – puraan Aidil Ikhwan. Hatiku sudah hancur lebur dengan tingkahlakunya sebegini. Sampai bila kau nak seksa aku, Aidil Ikhwan?
“Maaf cik, saya ada hal”
Dia melangkah namun pantas aku menarik tangannya membuatkan dia tersentak. Wajahku ditenung seketika. Dia jadi tidak keruan tatkala melihat aku menangis.
“Cik...cik....”
“Jangan buat aku macam ni, Wan. Aku dah cukup terseksa sekarang” rayuku tidak dapat mengawal emosi lagi.
“Saya bukan Aidil Ikhwan, saya Izzan Hakime” tegasnya.
“Bukan! Bukan! Awak ialah Aidil Ikhwan!!” balasku berdegil.
“Sumpah saya tak bohong, saya Izzan. Tolong lepaskan tangan saya. Saya dah ada teman wanita yang sangat saya cintai. Tolong jangan ganggu saya lagi” tuturnya memohon pengertianku.
Aku tersentak mendengar pengakuannya itu. Aidil Ikhwan sudah ada teman wanita yang sangat dicintainya. Aku tahu gadis itu. Perlahan – lahan aku melepaskan tangannya tanpa sekelumit kerelaan. Betulkah Aidil Ikhwan sudah berubah? Mustahil! Aidil Ikhwan sudah berjanji akan hidup semati bersamaku. Akulah gadis terakhir yang bertakhta dihatinya. Aidil Ikhwan setulusnya mencintaiku.
“Cik, tak apa – apa?” suaranya mengejutkan aku.
Kupandang wajah itu. Hatiku tetap berkeras mengatakan dia adalah Aidil Ikhwan. Dia tidak akan jadi Izzan Hakime. Itu bukan namanya! Tiba – tiba aku rasa amat kecewa. Lantas aku berlari meninggalkannya bersama tangisanku.
“Cik.....!!” panggilnya.
Aku tidak peduli dengan panggilannya itu. Kalau dia Aidil Ikhwan dia tidak akan memanggil aku sedemikian.
Gadis itu menatapnya seketika. Tiada senyuman di wajah itu. Tampak kali dia sedikit berbeza dari hari – hari yang sudah.
“Kenapa nampak muram je ni?” soalnya.
Dia cuba senyum. Cuba mengubah suasana agar lebih ceria.
“Gadis tu masih cari kau?” duganya.
Ditatapnya gadis itu. Kemudian dialihnya pandangan ke satu sudut.
“Kasihan dia...” cetusnya tiba – tiba.
“Kenapa dengan dia?”
“Dia kata aku Aidil Ikhwan. Dia menangis bila aku beritahu dia namaku Izzan dan tak mengenali dirinya. Mungkin rupa aku ni serupa dengan orang yang dicarinya selama ni” keluhnya.
Gadis itu hanya diam. Sepi. Masing – masing tidak bersuara. Dimatanya masih terbayang wajah derita gadis itu.
“Sebegitu dalamkah cintanya terhadap lelaki yang bernama Aidil Ikhwan itu?” bisik hati kecilnya.
%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%
Aku menangis sepuas – puasnya. Gambar Aidil Ikhwan masih dalam dakapanku. Sakit hati, marah dan kecewa bercampur baur. Aidil Ikhwan telah melontarkan aku dalam situasi ini. Mengapa dia tidak berterus terang saja bahawa dia sudah ada gadis lain? Dia tidak perlu mengubah identiti dirinya.
“Aidil Ikhwan!”
Aku terus memeluk tubuhnya. Dia kaget dan kaku diperlakukan sedemikian. Kudongak wajah itu. Kupandang dia dengan linangan air mataku.
“Wan, kau betul – betul tak kenal aku? Aku Za, tunang kau” terangku.
Dia masih terpaku. Gadis di sisinya ini turut terdiam.
“Za!” suara Linda memanggilku.
“Aku tahu kau Aidil Ikhwan” ujarku berkeras.
Linda berlari mendapatkan aku. Cuba dileraikannya pelukanku pada lelaki ini. Tanganku erat berpaut pada tubuh ini.
“Za, dia bukan Aidil Ikhwan, dia Izzan. Janganlah macam ni” rayu Linda.
Linda memelukku.
“Maafkan dia. Sejak akhir – akhir ni dia asyik teringatkan lelaki itu”cerita Linda sambil terus memelukku.
“Takpe. Saya faham”
“ Mari kita pergi, Za”
Linda menarikku membawa pergi. Setiap langkah diatur, aku menoleh menatap wajah itu. Rasa tidak rela meninggalkannya.
“Kasihan dia, Iz” luah gadis itu bersimpati.
Dipandangnya gadis di sisinya itu. Dia hanya diam. Mungkin turut tersentuh hatinya dengan kejadian sebentar tadi.
“Jom kita pergi”
Ditariknya tangan pemuda itu. Sepanjang perjalanan itu masing – masing membisu.
“Andaikan kau adalah tunang dia, apa yang akan kau lakukan?” soal gadis itu memecah kebisuan.
Ditatapnya wajah gadis itu.
“Sekejam itukah aku?” soalnya semula.
Gadis itu terdiam. Tidak berniat untuk meneruskan topik itu. Akhirnya mereka terus diam melayan perasaan masing – masing.
%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%
Dia meninjau – ninjau keluar kalau – kalau gadis itu masih berada di situ. Eyan yang menyedari tingkahlaku pemuda itu cuba tidak mengendahkannya. Dia sedar ada sesuatu yang cuba disembunyikan oleh pemuda itu dari pengetahuannya. Dipandangnya pemuda itu.
“Kenapa Iz?” soalnya.
Pemuda itu tersentak. Dia memaksa dirinya tersenyum.
“Hey...., takde apa – apa!” balasnya sedikit menggelabah.
Dia kembali mengekori langkah gadis itu. Namun sesekali dia mencuri pandang keluar.
“Kau rasa cincin mana yang cantik? Ni cantik kan?” soalnya meminta pendapat sambil menunding jari pada sebentuk cincin yang berada di depan mereka sekarang.
Pantas saja pemuda itu geleng kepala.
“”Yang ni lebih cantik. Aku suka design cincin ni” ujarnya.
Eyan tersentak. Ada sesuatu yang tergambar dalam memori ingatannya. Begitu jelas. Ditatapnya cincin itu lama – lama. Cuba membandingkan. Memang sama 100%. Dia terdiam seketika.
“Eyan...”
Dia tersentak.
“Macam aku pernah tengok cincin ni. Apa kata kita beli je cincin ni” cadangnya.
“Kau suka cincin ni?” soal gadis itu meminta kepastian.
Dia mengangguk. Muktamad memang cincin itu pilihan hatinya. Gadis itu mengangguk bersetuju dengan pilihannya.
“Saya nak cincin ni” pintanya kepada penjual itu.
Gadis itu hanya memerhatikan gelagatnya. Sepanjang perjalanan itu, mereka hanya berdiam diri. Pemuda itu sesekali memandang ke arah gadis itu. Kelihatan Eyan kurang berbicara sejak dari tadi.
“Sejak keluar dari kedai emas tu, kau diam saja. Kenapa? Kau tak suka cincin tu?” soalnya.
“Takdelah” nafinya lantas mengukir senyuman.
Dia tidak mahu meluahkan apa yang terbuku dalam hatinya saat ini. Segalanya belum pasti. Dia tidak mahu terburu – buru memutuskan sesuatu perkara itu. Nun jauh di sudut hatinya dia berkeinginan sangat majlis pertunangan mereka berlangsung dengan lancar.
Aku membuang pandangan kosong ke hadapan. Linda di sisiku dari tadi asyik mengeluh. Ada sesuatu yang menimbulkan rasa tidak puas hatinya. Mungkin angkara sikapku selama ini.
“Izzan ada jumpa aku. Dia simpati dengan kau. Dia juga tanya keadaan kau” suara Linda memecah kesepian.
“Katanya banyak kali dia nampak kau. Aku tahu kau masih mengekori mereka kan. Janganlah buat macam tu, nanti apa kata gadis tu pula. Pastinya Izzan juga rimas kalau kau terus - terusan bersikap macam nie. Takkan kerana Aidil Ikhwan kau nak musnahkan kebahagiaan orang lain pula” nasihatnya.
Aku tetap membisu. Dimataku masih terbayang betapa bahagianya mereka. Dahulu aku dan Aidil Ikhwan pun begitu juga.
“Walaupun rupa sama, tapi dia tetap Izzan. Dia takkan jadi Aidil Ikhwan. Ingat tu, Za” tegas Linda.
Senyap seketika.
“Bulan depan mereka akan bertunang. Kalau kau tak keberatan dia nak jemput kau ke majlis tu nanti” beritahu Linda.
Aku tersentak. Kutatap Linda. Hatiku dipagut sayu dan pilu. Tiba – tiba saja aku menangis. Serasa cintaku telah sampai ke penghujungnya. Jodohku dan Aidil Ikhwan terhalang. Aku kecewa Aidil Ikhwan akan meninggalkan aku.
“Za, kau tak perlu menangis. Dia bukan Aidil Ikhwan” pujuk Linda membelaiku ibarat anak kecil yang malang.
“Aku tahu....” balasku dalam esakan.
%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%
Sejak sejam lalu aku tercengat di situ menanti kedatangannya. Kali ini niatku lain. Aku datang bukan untuk mencari Aidil Ikhwan lagi.
“Aid.... Izzan!” panggilku sedikit janggal tatkala menyebut nama itu.
Dia berpaling. Jelas dia tersentak melihatku.
“Maafkan aku dengan apa yang terjadi selama ni. Aku telah banyak menyusahkan kau” ujarku perlahan.
“Saya okey je” balasnya tenang.
Diam seketika. Aku menarik nafas panjang.
“Aku tak mahu menyesal seumur hidup. Aku nak kepastian darimu buat kali terakhir” luahku berterus terang.
“Apa maksud kau?”
“Buktikan diri kau sebagai Izzan Hakime” pintaku.
Dia tersenyum lebar. Mesti di hatinya berkata aku tidak waras sekarang.
“Aku serius, aku tak main – main” tegasku.
“Macam mana saya nak buktikan sedangkan saya tak pernah berbohong. Memang macam ni ler keadaan saya” balasnya.
“Saya boleh buktikan siapa Aidil Ikhwan” tegasku.
Kudekati pemuda ini. Aku sudah nekad. Pantas kubuka butang di hujung kemeja itu lalu kuselak ke atas.
“Awak buat apa ni?” soalnya terpinga – pinga.
Dia kebinggungan menatapku. Tiba – tiba saja aku tersenyum dalam tangisan.
“Tengok parut dilengan kau ni. Kau tak ingat macam mana kau dapat parut ni? Kau jatuh gara – gara nak kejar aku. Aku yang tolong balutkannya. Masa itulah kau berterus terang dengan aku yang kau cintakan aku” ceritaku mengingatkannya kembali pada kenangan lalu.
Perlahan kukesat airmataku. Aku sudah cukup puas hati sekarang. Sesungguhnya kata hatiku tidak pernah silap. Terbukti sudah memang dia ialah Aidil Ikhwan. Tidak kisahlah kalau dia tidak mahu menerima kenyataan ini. Aku tidak peduli kalau pun orang lain masih tidak mempercayaiku. Sudah cukup aku mengetahui Aidil Ikhwan masih hidup.
“Maaf. Walaupun kau kata kau Izzan, aku tetap yakin sepenuh hatiku kau ialah Aidil Ikhwan. Ya Aidil Ikhwan” putusku seraya melangkah meninggalkannya tercengat di situ bersama senyuman dan deraian airmataku.
Aku tersenyum kerana Aidil Ikhwan masih hidup. Aku menangis kerana
hati Aidil Ikhwan sudah dimiliki oleh gadis lain. Bermakna cintaku dan Aidil Ikhwan sudah sampai penyudahnya. Tabahlah hati.
Sepanjang perjalanan balik itu, Izzan asyik teringatkan kata – kata gadis itu. Sesekali matanya menatap parut dilengan kirinya yang dibiarkan dari tadi terdedah. Terlalu banyak persoalan yang bermain di fikirannya.
“Ibu, Iz nak tanya sesuatu”
“Apa dia, Iz?”
“Sejak bila Iz dapat parut dilengan ni?” soalku.
Perempuan itu nampak terkejut mendengar persoalan itu. Dia cuba mengingati sesuatu.
“Parut......”
Datin Zaiton rasa tidak senang hati melihat renungan pemuda itu.
“Aa... ooo... parut dilengan kanan kamu tu. Kamu jatuh tangga masa umur dua tahun. Ibu ingat betul kejadian tu” ceritanya pendek.
Izzan terdiam. Ditatapnya parut dilengan kirinya itu. Bukan dilengan kanan. Ada kekeliruan yang timbul.
“Bukan lengan kanan tapi lengan kiri ibu” ujarnya membetulkan.
Datin Zaiton tersentak lagi. Dia tersilap tingkah.
“Hey..... betul juga. Ibu ni dah tua, pelupa sangat” ujarnya cuba melindungi kesilapan itu.
“Kenapa tiba – tiba je nak tahu ni?” soalnya sangsi.
“Kawan Iz tanya tentang parut ni. Iz langsung tak ingat” ujarnya berdalih.
“Ibu tak bohong dengan Iz kan?”
Datin Zaiton tersentak lagi. Namun pantas saja dia mengangguk.
“Aa... makanlah, Iz. Jangan banyak cakap lagi” perintahnya.
“Yalah ibu” balasnya akur.
Sesekali Datin Zaiton mencuri pandang ke arah anak muda itu. Diam – diam dia menarik nafas panjang. Hatinya dipagut kerisauan. Dia rasa bersalah. Namun dia tiada pilihan. Kehendak hatinya terpaksa diutamakan daripada akal warasnya. Hanya anak muda ini sajalah buah hati pengarang jantungnya dan penyeri hidupnya tika ini. Dia tidak mahu hidup bersendirian setelah kepergian Izzan Hakime buah hati tunggalnya itu buat selama – lama. Dahulu dia masih memiliki Dato’ Kassim tetapi sekarang suaminya itu pun sudah pergi menuruti jejak anak mudanya itu. Bairlah hakikat sebenar berkubur bersama jasad suami yang dicintainya itu buat selama – lamanya. Datin Zaiton sudah tidak sanggup melalui kehidupan murungnya lagi. Izzan Hakime yang ada sekarang adalah anugerah Allah yang diberikan kepadanya pada saat yang tepat. Pemuda itu muncul menggantikan tempat Izzan Hakime yang telah tiada.
%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%
Malam ini aku menangis lagi. Sanggupkah aku biarkan Aidil Ikhwan menjadi milik orang begitu saja tanpa berbuat apa – apa untuk kali terakhir? Bagaimana untuk aku meyakinkan dirinya bahawa sebenarnya dialah Aidil Ikhwan? Ya Allah, berilah aku petunjuk. Tunjukkanlah aku jalan yang terbaik buatku. Janganlah biarkan aku kalah dengan keadaan ini. Aidil Ikhwan adalah milikku selamanya. Izzan Hakime adalah milik gadis itu. Aku harus kembalikan Aidil Ikhwan seperti azali.
“Aku ada sesuatu nak tunjukkan pada kau buat kali terakhir. Lepas tu terpulanglah untuk kau menentukannya” ujarku cuba bertenang.
Kutatap wajah pemuda ini. Kami saling berpandangan. Aku tiada pilihan pantas kutarik tangannya. Peliknya dia langsung tidak membantah malah menurut saja langkahku. Kuberhentikan kereta tepat di muka pintu sebuah rumah. Kutarik tangannya masuk ke dalam rumah itu. Rumah ini milikku dan Aidil Ikhwan. Sebaik saja menjadi sepasang suami isteri yang sah kami akan tinggal di sini. Namun rancangan itu tertangguh sekian waktu. Aku terpaksa melupakan seketika impian itu gara – gara Aidil Ikhwan hilang jejak. Sehinggalah aku menemui pemuda di depanku ini beberapa bulan lepas. Dia menghidupkan kembali impian itu.
“Tengoklah rumah ni masih sama seperti dahulu. Aidil Ikhwan selalu datang ke sini. Tengok gambar – gambar yang tergantung di dinding tu. Itulah Aidil Ikhwan bukan Izzan. Tengok betul – betul” pintaku dengan satu harapan aku masih berpeluang mengubah kenyataan sekarang.
Kukesat airmataku. Ditatapnya satu persatu gambar itu. Dia nampak terkeliru.
“Tengok, ini gambar aku dengan Aidil Ikhwan. Di sinilah Aidil Ikhwan melamarku dan di sinilah juga dia menyarungkan cincin ini ke jariku. Bila semua orang kata Aidil Ikhwan sudah tiada, aku langsung tak percaya. Aku yakin Aidil Ikhwan masih hidup sebab itulah aku tak pernah ziarahi pusaranya. Dia janji akan jaga aku seumur hidup dia tapu dia mungkir janji” luahku kesal.
Senyap. Pandangan pemuda ini masih terarah kepadaku. Aku harap dia akan mengerti dengan kesukaran yang kulalui selama ini.
“Maafkan aku” ujarku menyedari tingkahlakuku sedikit keterlaluan.
“Walaupun kau tak pernah mengaku diri kau Aidil Ikhwan, sekarang aku rasa lega setelah melepaskan segala yang terpendam selama ni” luahku.
Aku tertunduk. Pilu.
“Aku rindukan Aidil Ikhwan. Aku nak dia kembali ke pangkuanku semula. Aku tak minta apa – apa cuma tolonglah kembalikan Aidil Ikhwan kepadaku” rayuku.
Aku terduduk di situ. Kutelengkup wajahku dengan kedua – dua belah tanganku. Aku menangis lagi. Sedetik kemudian, ada tangan yang mendarat dibahuku. Aku mendongak. Dia memandangku dengan pandangan begitu simpati. Aku tidak perlukan semua itu. Aku cuma hendakkan Aidil Ikhwan kembali kepadaku.
%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%
Eyan langsung tidak mengalih pandangannya daripada Izzan Hakime. Nampak tekun anak muda itu melangsaikan kerjanya.
“Iz...” panggilnya nama itu.
“Ya...”
Pandangannya dialih pada gadis itu. Beberapa hari lagi gadis itu bakal menjadi tunangnya. Mengikut perancangan ibunya sebulan selepas bertunang majlis pernikahan dan persandingan akan dilangsungkan.
“Kalau aku buat salah, adakah kau akan maafkan aku?” soalnya.
Tangan pemuda itu terhenti. Direnungnya seketika wajah gadis itu.
“Kenapa kau cakap macam tu?” soalnya.
“Entah, hati aku yang suruh aku cakap macam tu” balasnya bersahaja.
“Kau ni ada – ada sajalah Eyan. Berat sangat ke salah kau tu?” usiknya.
“Boleh lukakan seseorang”
Izzan Hakime menatap wajah itu lagi. Pelik dirasakannya tingkahlaku gadis ini. Bagai ada sesuatu yang telah menjadi rahsia.
“Kau mash ingatkan gadis tu?”
Dia diam. Dialihnya pandangannya.
“Hari tu sebelum kau berkunjung ke rumah keluargaku untuk makan malam bersama, kau ada jumpa dia kan” soalnya mencari kepastian.
Izzan Hakime tersentak. Dia diam. Tidak tahu apa yang harus dibicarakan. Gusar tindakannya itu bakal mewujudkan kemarahan pada gadis itu mahupun mengecewakan hatinya.
“Betulkah kau langsung tak tahu tentang Aidil Ikhwan, Iz?”
Anak muda itu mengangguk. Baru saja dia hendak mengangkat fail itu, ada sesuatu yang jatuh. Pantas saja gadis itu mengutipnya. Dia menatap pemuda itu.
“Gambar siapa tu?”
Tanpa bersuara gambar itu terus diletakkannya di depan lelaki itu. Izzan Hakime tersentak. Mereka saling berpandangan seketika.
“Aku harus beritahu siapa kau sebenarnya” nekadnya.
“Maksud kau?” soalnya binggung.
“Sejak pertama kali aku jumpa gadis itu, aku takut kalau apa yang dikatanya itu adalah kenyataan. Kesungguhannya membuatkan aku yakin dia tak pernah berbohong. Bila kau pilih cincin pertunangan kita cincin berlian sebegitu menyedarkan aku yang kau adalah Aidil Ikhwan. Gadis itu juga memakai cincin seperti itu. Kau tertarik cincin itu sebab itulah pilihan pertama kau tapi kau dah lupa” jelasnya panjang lebar.
“Aku tak faham semua ni” keluhnya.
“Kau adalah Aidil Ikhwan. Mereka yang kau anggap keluarga kau sekarang terpaksa menyembunyikan identiti sebenar kau kerana takut akan kehilangan kau. Mereka terlalu sayangkan kau dan hanya kau satu – satunya harapan mereka setelah Izzan Hakime terkorban dalam kemalangan tiga tahun lalu. Beberapa bulan kemudian, sewaktu mereka balik dari percutian, mereka menemui kau di suatu kawasan yang terpencil dalam keadaan cedera parah . Kereta kau dilarikan dan kau dibiarkan terdampar di situ. Dato’ Kassim dan Datin Zaiton yang kau ingat ibu bapa kau telah membawa kau balik ke rumah mereka. Mereka telah jadikan kau Izzan Hakime, anak mereka kerana kau hilang ingatan akibat kemalangan itu. Dato’ Kassim terpaksa melakukan semua ni memandangkan Datin Zaiton betul – betul perlukan kehadiaran kau sebagai anaknya. Dato’ Kassim tiada pilihan selain menyembunyikan identiti sebenar kau dan menjadikan kau Izzan Hakime anak lelaki tunggalnya. Kau dah lupa orang yang pernah berada di sisimu suatu waktu dulu? Setahu kau, kau adalah Izzan Hakime anak Dato’ Kassim pemilik syarikat ini. Semua orang ingat Aidil Ikhwan sudah tiada kecuali gadis itu masih setia menanti kemunculanmu. Dia tetap yakin kau masih hidup”
Dia terduduk lemah mendengar bicara gadis itu. Betapa maha besar kejutan yang telah diterimanya. Wajahnya pucat. Ada peluh dingin di dahinya. Tangannya bergetar sedangkan fikirannya buntu. Serta merta dia terbayangkan wajah derita gadis itu. Derita kerana kehilangan dirinya. Disusuli wajah arwah Dato’ Kassim dan Datin Zainab. Selama tiga tahun dia beranggapan kedua insan itu adalah ibu bapanya. Bahkan kasih sayang dan perhatian pasangan suami isteri itu langsung tidak menimbulkan kecurigaan terhadap status sebenar dirinya. Hanya beberapa hari lalu sikap Datin Zaiton sedikit mengundang kesangsian dirinya. Sekarang segalanya telah terbongkar. Sememangnya dia ialah Aidil Ikhwan insan yang dicintai oleh gadis itu. Bahkan kepulangannya sentiasa dinantikan.
“Aku turut bersalah pada kau, Iz. Akulah yang bertanggungjawab memusnahkan segala maklumat tentang diri kau. Bila aku tahu kaulah sebenarnya Aidil Ikhwan, aku sungguh kecewa. Aku takut akan kehilangan kau tapi bila tengok penderitaan gadis itu, aku rasa bersalah sangat. Perbuatanku itu tidak adil. Dia lebih menderita dari aku sebab dialah kekasih dan tunang kau. Dia lebih awal mengenali kau. Justeru, dia lebih berhak ke atas kau. Aku tak harus pentingkan diri. Aku juga ada memikirkan andainya suatu hari ingatan kau dikembalikan, pasti kau akan cari gadis itu juga. Aku akan lebih menderita kalau tika itu aku kehilangan kau” luah gadis itu tenang lantas mengesat airmata yang bertakung di birai matanya.
“Sekarang terpulanglah untuk kau menentukan sama ada kau nak kembali kepada asalmu sebagai Aidil Ikhwan atau terus jadi Izzan Hakime seperti sekarang. Ingat, kalau kau jadi Aidil Ikhwan, kau ada gadis itu tapi kalau kau nak terus jadi Izzan Hakime, aku akan tunggu kau” tutur gadis itu jujur.
Diam seketika. Dia binggung.
“Apa saja keputusan kau, aku dan Datin Zaiton takkan menyalahkan kau. Bahkan kami perlukan kemaafan daripada kau atas perkara yang berlaku selama ni” tambah gadis itu lagi.
Senyap. Dikesatnya airmatanya untuk kali kedua.
“Satu perkara kau perlu tahu sama ada kau ialah Aidil Ikhwan atau Izzan
Hakime, aku ikhlas mencintai kau” ujarnya lagi.
Izzan Hakime menatap gadis itu. Tiada dendam yang terdetik dihatinya. Terus dipeluknya gadis itu. Kedengaran tangisan Eyan. Betapa pilu hatinya kerana sebentar lagi dia akan kehilangan pemuda itu.
Loceng pintu berdenting mengejutkan aku. Tetamu manakah yang tidak diundang di tengah malam ini? Perlahan – lahan aku mengatur langkah ke muka pintu. Barangkali Linda yang datang untuk menemaniku. Mungkin dia khuatir aku akan memudaratkan diri atas pertunangan Aidil Ikhwan dengan gadis itu. Sebaik saja aku menolak daun pintu, aku tersentak menatap wajah di depanku ini.
“Kau dah tahu siapa Aidil Ikhwan?” soalan itu terpancul dari mulutku.
Dia geleng kepala.
“Baliklah. Aku akan tunggu sehingga kau kenal siapa Aidil Ikhwan”
“Aku perlukan kau untuk mengenal siapa Aidil Ikhwan” balasnya.
Aku tersenyum. Terus kupeluk pemuda ini kerana aku tahu dialah Aidil Ikhwan. Betapa bahagianya hati ini. Aidil Ikhwan sudah kembali ke pangkuanku.
- TAMAT -
No comments:
Post a Comment