Saturday, 11 February 2012

Milik Siapakah Hati Ini? 5



Bab 5

“Aku rindu sangat kat kau” suara Adie lembut berbisik ke telingaku. Aku tertawa bahagia. Aku turut merasakan kerinduan pada wajah yang sentiasa tenang itu. 

“Bila nak balik sini?”

“Dalam seminggu dua nie. Aku akan muncul bila-bila masa je, tunggu ye” terangnya seakan ingin membuat kejutan padaku.

“Aku akan tunggu tapi kalau lama sangat aku akan menghilangkan diri” usikku mengancam.

“Betul ke?”Ada nada keseriusan pada suara Adie. Aku tersenyum sendiri.
 
“Ya dan pastinya susah kau nak cari aku nanti” tambahku. Senyap seketika. Barangkali Adie cuba memikirkan kebenaran kata-kataku. Merajukkah dia? Keterlaluankah aku?
“Dengar sini baik-baik Nitie....... Selangkah engkau pergi seribu langkah aku mengejarmu. Sekelip mata engkau hilang, seluruh pelusuk kucari. Setinggi mana engkau membawa diri akan aku daki. Sedalam mana kau cuba menyembunyi akan aku selami. Biar terbukti, biar bersaksi, cinta kita tersimpul rapi” tutur Adie menyusun rangkap lagu Anis Suraya, Cinta Tersimpul Rapi.

Aku tertawa panjang. Nun jauh di sudut hati aku bahagia dan terharu mendengarkannya. Biarpun Adie sekadar mengulanginya tapi aku tahu hati Adie cukup tulus.

“Macam mana?” soalnya.

“Takut. Nampaknya tak bolehlah nak lepaskan diri” selorohku. Kami sama-sama ketawa. Walaupun aku dan Adie jarang bersama namun hubungan kami cukup mesra. Kesibukan tugas dan tanggungjawab masing-masing tidak pernah menjadi penghalang.
 
“Bila dah segalanya beres, aku akan lamar kau. Lepas tu kita terus je nikah” tuturnya lagi.

“Tak nak” balasku menyakat.

“Kenapa pulak?” suaranya sedikit serius.
                        
                        “Banyak perkara yang aku ingin lakukan. Aku juga ingin belajar semula”

“Jadi isteri sambil belajarlah” cadangnya.

“Tak nak” ujarku berkeras.

“Budak nie degil sangat pulak. Takpe nanti aku ajar” ujarnya geram. Aku tertawa mendengar ancaman Adie. Ting...tong...! Aku menoleh ke muka pintu. Seorang pemuda sedang melangkah masuk.
 
“Adie aku ada pelanggan sekarang. Bye miss you” bisikku. Kumatikan telefon bimbitku. Lantas melayan pemuda yang baru saja tiba.

“Boleh saya bantu?” sapaku ramah. Pemuda itu menoleh kepadaku seraya tersenyum.
“Saya nak ambik bunga mawar yang bos saya tempah semalam” terangnya.

“Siapa nama bos encik?” soalku.

“Fandi” balasnya ringkas. Aku senyum. Sebaris nama yang tidak asing bagiku. Malah tanganku ini sudah cukup berjasa kepadanya. Aku terus saja mencapai 99 kuntum mawar yang sudah siap menjadi jambangan.

“Bos encik romantik orangnya ye” usikku membuatkan pemuda itu tersenyum lebar.

“Orang handsome dan kaya macam dia memang ramai peminat” tutur pemuda itu.

“Kalau cik tengok pun saya jamin gerenti cik berkenan” tambahnya begitu yakin buatkan aku tertawa kecil.

“Ohh... handsome betul bos encik ye” usikku sengaja buat-buat kagum. Dia tersenyum lagi. Jambangan mawar sudah beralih ke tangannya malah kosnya juga telah dilangsaikan. 

“Terima kasih” ucapku tersenyum.

“Cik tak nak tahu nama sebenarnya ke?” ujarnya beria-ia disambut dengan gelak tawaku. Terlalu jauh untuk aku bertindak sedemikian. Langsung tidak terfikir pun untuk mengenali pemuda yang hanya aku anggap sebagai salah seorang pelanggan setia Lady Florist. Sekadar mengirimkan ucapan terima kasih logik juga.

“Hati-hati cik. Kalau terserempak bos suatu hari nanti takut cik tak terlepas pulak” selorohnya disambut gelak tawaku. Aku geleng-geleng kepala. 

“Pergi dulu” ujarnya meminta diri. Aku mengangguk. Pemuda itu sudah hilang dari pandanganku. Aku beralih menatap bunga-bunga yang memenuhi setiap ruang kedai ini. Tiada sebarang perubahan yang perlu dilakukan. Terasa sunyinya tanpa kehadiran Kak Sofea di sini. 

Aku terus saja menyelak note book di depanku. Ada beberapa tempahan tersenarai di situ tetapi aku tidak perlu tergesa-gesa menyiapkannya. Berdasarkan masa yang tertera di situ, aku masih ada waktu yang panjang lagi.  Hari ini aku hanya perlu menyipakan gubahan Tulip dan Carnation dalam vase dan botol. Sesuatu yang mudah berbanding dengan bunga hidup.

Beberapa orang pelanggan berkunjung lagi. Kuberikan mereka ruang untuk membuat pilihan sendiri. Segalanya berjalan lancar. Tepat pukul 6.00 petang aku menutup kedai mengambil alih tugas yang selalunya dilakukan oleh Kak Sofea. Jam hampir mencecah 7.00 petang, barulah aku tiba di rumah. Aku terus saja membaringkan tubuhku di sofa. Kupejamkan mata cuba mengusir rasa letih yang sangat.

Sayup-sayup kedengaran alunan azan Maghrib. Bingkas aku bangun. Rupanya aku terlelap tadi. Aku bergegas membersih dan menyiapkan diri sebelum menunaikan kewajipanku. Selesai bersolat, aku meluangkan masa menonton televisyen di ruang tamu sambil-sambil menanti Buletin Utama. Malam hujung minggu seperti ini saja aku berkesempatan merehatkan diri sepenuhnya kerana tiada kelas.

Ahh....! Enaknya dapat menyandarkan tubuh di sofa empuk ini. Kulunjurkan kaki. Rambutku yang masih basah kulepaskan terhurai. Sesekali bergerak-gerak disapa angin. Pintu kaca bolkani itu sengaja kubuka untuk menyedut udara malam. Aku betul-betul rasa tenang.

Ting tong...Ting tong! Kedengaran loceng pintu berbunyi. Kutatap jam di depanku. Pastinya bukan Lina yang datang kerana setahuku dia akan habis kerja pada pukul 10.00 malam. Paling awal pun dia akan sampai rumah hampir-hampir mencecah jam 11.00 malam. Siapa pula tetamu yang datang ini?

Lambat-lambat aku mengatur langkah ke pintu. Daun pintu terkuak. Aku tersentak namun senyuman sudah terukir di bibirku. Adie sedang terpacak di depanku bersama beberapa kuntum bunga tulip putih, bunga kegemaranku. Lambang cinta dan tuah.

I miss you so much” luahnya seraya menghulurkan bunga itu kepadaku.

Thanks. Masuklah” pelawaku. Aku betul-betul dikejutkan dengan kehadiran Adie. Siang tadi dia berada jauh dariku tetapi kini dia sudah berada di depanku. Kemunculannya mengundang sedikit persoalan di benakku.
 
“Dah makan?” soalnya. Aku geleng kepala. Aku cadang hendak masak selepas solat Isyak nanti. 

“Dah masak?” soalnya lagi. Sekali lagi aku geleng kepala. 

“Takpe malam nie aku masak untuk kau” pelawanya seraya melangkah ke dapur.

“Betul?” Adie mengagguk. Aku tersenyum panjang. Seronoknya! Nampaknya malam ini bolehlah aku bersenang-lenang sepenuhnya. Adie muncul kembali dari dapur.

“Dalam refrigerator nie takde apa-apalah Sayang” ujarnya sedikit hampa. Alamak! Aku terlupa pula. Sepatutnya tadi aku singgah di supermaket membeli barang-barang keperluan dapur. Aku tatap Adie. Barangkali plan malam ini terpaksa dibatalkan.
 
“Takpe jom kita keluar” ajaknya.

“Tapi aku nak kau masak” pintaku menderanya.

“Jomlah kita beli barang” Pantas tanganku ditariknya. Aku mengekori langkah Adie sambil tersenyum lebar. Tidak kempunan juga aku hendak merasa masakan Adie. Sebenarnya ini bukan kali pertama Adie memasak untukku. Kerapkali juga!
 
Hampir sejam kami menghabiskan masa di pusat membeli-belah. Banyak juga barang yang kami beli, rasanya cukup untuk keperluan beberapa minggu. Aku membantu Adie membimbit beg-beg plastik yang penuh dengan segala barang dapur lalu meletakkannya di sink. Nampaknya malam ini bakal makan besarlah aku. Adie menarik nafas panjang lalu melepaskan sekuatnya. Barangkali keletihan. Aku hanya senyum sambil berpeluk tubuh memerhatikannya memulakan kerja.

“Sayang pergilah tengok tv” arahnya. Aku senyum lagi. Barangkali dia rasa kekok diperhatikan sedemikian. 

“Masak sedap-sedap tau” usikku seraya berlari meninggalkan Adie. Mujur juga aku sempat melepaskan diri sebelum Adie menggeletekku. Aku terus saja membaringkan tubuhku di sofa menanti Adie menyiapkan hidangan malam. Aku menguap beberapa kali. Terasa mengantuk pula. Kupejamkan mata.

“Nitie....” panggilnya. Adie menjengukkan kepalanya dari dapur. Dia tersenyum sendiri melihat gadis itu tertidur lena. Sekarang dia perlu menyelesaikan perkara terakhir. Setiap langkah diatur perlahan. Dia menarik nafas lega. Diperhatikannya di meja, segalanya sudah terhidang. Perlahan-lahan dia mendekati gadis itu lalu melabuhkan punggung di depan gadis itu. Ditatapnya seketika wajah putih bersih itu dengan penuh kasih sayang. Dia tersenyum sendiri.

“Nitie jom makan” lembut suaranya memanggil. Perlahan-lahan aku membuka mata. Adie tersenyum menatapku.

“Lapar...” ujarku.

“Lap air liur tu” Baru saja aku ingin menghadiahkan sebiji tumbukan kepadanya, Adie sudah pun bangun meninggalkan aku. Kedengaran dia tertawa. Aku menjelingnya tajam sambil melangkah ke sink mencuci muka. Adie sedang menantiku di meja makan. 

“Wah....!” luahku kekaguman. Beberapa jenis hidangan sudah berada di depannya. Semuanya nampak sedap. Kutatap Adie. Dia tersenyum lebar.

“Tengok apa lagi cepatlah hidangkan untuk aku” arahku buat-buat marah Adie hanya geleng kepala. 

“Nah tuan puteri!” perlinya sambil meletakkan pinggan berisi nasi dengan beberapa jenis ikan dan sayur di depanku. Aku tersenyum lebar. Bukan selalu dapat layanan seistimewa ini.

“Buat apa sayur nie letak kat sini. Kita tak nak” rungutku dengan wajah masam.

“Mari.... Banyak songeh pulak budak nie” keluhnya. Aku tertawa gelihati. Pantas saja aku menarik pingganku bila saja Adie berniat hendak mengambil sayur itu semula.
 
“Tadi kata tak nak” marahnya. Aku hanya senyum. 

“Seronoklah tu dapat main-mainkan orang” rungutnya lagi.

“Janganlah marah abang oi....” usikku. Adie kembali tersenyum. Sepantas itu juga tangannya menepuk kepalaku. 

“Aa...makan banyak-banyak” arahnya. Aku menikmati sepuasnya hidangan yang telah Adie sediakan. Begitu juga dengan Adie. Seketika masing-masing leka melayan selera.

“Adie...”

“Ya...” Adie menatapku.

“Terima kasih kerana hidangkan makanan sedap-sedap malam nie” ucapku berbesar hati. Adie hanya senyum.

“Makanlah banyak sikit, aku tengok kau tu dah kurus sangat” komennya. Aku senyum lagi. Cukup rasa senang dengan keprihatinan yang Adie berikan kepadaku. 

“Kenapa tiba-tiba je balik?” soalku meminta penjelasan tentang kemunculannya yang tiba-tiba ini. Aku menatap Adie. Dia menghabiskan kunyahan terakhirnya. Wajahku turut ditatap.

“Aku takut kau lari” balasnya bersahaja. Terbeliak sedikit mataku mendengar jawapannya itu. Sesungguhnya bicaranya itu cukup besar maknanya padaku. Biar betul!

“Kau ambik serius cakapku?” soalku lagi. Adie mengangguk sambil meneruskan melayan seleranya. Aku hanya geleng kepala. Tidak sangka seserius begitu Adie menerima kata-kataku itu. Gila!

“Kenapa tak percaya ke?” soalnya semula tanpa memandang kepadaku. Aku hanya diam sambil memerhatikannya yang masih giat melayan selera. Tidak tahu sama ada aku harus bergembira atau menyalahkan diri kerana mengundang kesukaran buat Adie. Bukankah aku patut berbangga sebab Adie telah membuktikan betapa pentingnya kewujudanku padanya. 

“Nitie....  I  need you like I need the air to breathe” ucap Adie serius sambil menatapku.

Terasa pandangan Adie begitu dalam. Aku terdiam. Sungguh aku terharu mendengar kata-kata Adie itu. Tidak pernah terfikir yang aku seistimewa itu di hati Adie.

“Kalau betul kau akan tinggalkan aku, lebih baik aku mati saja” ujarnya bersahaja.

“Gila...” marahku. Adie tertawa kecil. Akhirnya aku pun turut tertawa sama. Malam ini aku betul-betul rasa istimewa sangat atas layanan dan pengucapan Adie. Bukan setakat menyediakan hidangan makan malam malah Adie jugalah yang mengemaskan segalanya termasuk mencuci pinggan mangkuk. Aku sekadar membantunya.
 
“Esok aku kena balik semula ke tempat kerja, banyak perkara belum beres. Aku balik dulu dan kau tu mesti tidur awal sikit sebab esok kau kena banyak gunakan tenaga” nasihatnya. Aku hanya tersenyum sambil mengekori langkahnya ke muka pintu. Langkah kami terhenti. Adie berpaling menatapku semula.

Thanks for everthing” tuturku. Adie senyum. Dicapainya jari-jemariku lalu digenggamnya erat. Ada sinar kasih sayang di matanya. Aku tahu berat hatinya untuk meninggalkan aku sepertimana aku bersedih atas perpisahan sementara kami ini. 

“Jaga diri baik-baik. I’ll miss you

I’ll miss you too Pautan tangan kami terleraian. Seketika bayangan Adie sudah tidak kelihatan lagi. Aku kembali merehatkan diriku di sofa ruang tamu. Sepi. Aku tidak perlu banyak membuang masa untuk  melaksanakan nasihat Adie sebentar tadi. 

“Lina.... I  make special dinner for you. Jangan lupa makan tau...” Nota ringkas itu aku tampalkan di daun pintu bilik Lina, satu lokasi yang paling mudah dilihatnya. Kemudian aku terus saja masuk ke kamar membaringkan tubuhku untuk berehat sebenar-benarnya. Yang pasti malam ini aku ingin tidur lena bertemankan mimpi-mimpi indah bersama Adie. Aku tersenyum sendiri.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Kring....kringg! Kring.... kringg! Jeritan telefon serta merta mematikan perbualan suami isteri itu. 

“Siapa pula yang telefon nie” rungutnya sendirian kurang senang. Gagang telefon diangkat. Dia mencebik bosan apabila mendengar suara di hujung sana. 

“Fandi dah keluar tadi. Tak tahu pulak sama ada dia tertinggal phone” jawabnya acuh tak acuh.

“Sama-sama” balasnya mematikan perbualan singkat itu. Gagang diletak kembali. Nek Gayah melepaskan keluhannya. Pening kepalanya memikirkan hal cucu tunggalnya itu.
 
“Siapa?” tanya Tun Adam ingin tahu.

“Siapa lagi kalau bukan kawan pempuan cucu teruna abang tu” rungutnya geram. Tun Adam tersenyum. Sudah dijangkanya, namun untuk memuaskan hati diutarakannya juga soalan itu.

“Apalah nak jadi dengan Fandi tu, bang. Hari nie dah tiga kali pempuan cari dia, orang yang berbeza pulak tu” ceritanya.

“Hebat juga cucu kita tu ye” usik Tun Adam. Nek Gayah menjeling pada suaminya. Tun Adam tertawa kecil. 

“Nak bangga apa? Langsung tak bawa faedah” marahnya. Senyap seketika. Dihirupnya perlahan minuman panas di cawan. Fikiranya masih ligat memikirkan tentang Fandi. Tun Adam mula memberi tumpuan pada akhbar di tangannya.

“Bang, kita tak boleh terus biarkan Fandi hidup macam tu. Kita kena bertegas sikit dengan dia” luah Nek Gayah serius dengan apa yang terbuku dalam hatinya selama ini. Tun Adam mengalih pandangan pada isterinya.

“Serius macam mana pulak?”

“Kita kena paksa dia kahwin bang” Ditatapnya lagi wajah isterinya itu. Sukar untuknya melakukan perkara tersebut. Bukan sesuatu yang menyenangkan apabila memaksa seseorang melakukan perkara yang bertentangan dengan kata hati. Lebih-lebih lagi perkara ini melibatkan cucu kesayangannya, pewaris tunggal keluarganya. Tegakah dia?
 
“Boleh ke kita buat macam tu?” soalnya tidak pasti.

“Kalau kita takde pilihan lain, kenalah buat macam tu” tegas Nek Gayah sudah tidak mahu berkompromi lagi.

“Tak keterlaluan tu?” Tun Adam masih binggung. Berat hatinya untuk membuat Fandi tidak gembira.
 
“Dah lama kita manjakan dia bang. Kali nie biarlah dia pulak yang menyenangkan hati kita. Minta dia berkorban sikit. Apa yang kita lakukan pun demi kebaikan dia” tambah Nek Gayah. 

Nek Gayah sudah tidak tahan dengan perangai gila-gila cucunya itu. Dia tidak senang hati melihat Fandi sewenag-wenangnya mempermainkan hati gadis-gadis yang sudah tertawan dengannya. Hati seorang perempuan dan seorang yang pernah bergelar ibu tidak mengizinkannya membiarkan Fandi berkelakuan sedemikian. Dia takut kalau suatu hari nanti ada di kalangan teman wanita Fandi yang akan sakit hati dan berdendam dengan cucunya itu. Pasti ada musibah akan menimpa. Perkara itulah yang cukup dikhuatirinya.

“Abang rasa sebelum kita ambik sebarang tindakan, ada baiknya kita nasihatkan dia dulu” putus Tun Adam masih mahu berdiplomasi. Dalam fikiranya itulah terbaik. Nek Gayah mengeluh. Kurang senang dengan cadangan suaminya. 

“Fandi tu kalau pasal pempuan takkan dengar nasihat kita. Dah berbuih mulut Yah nie nasihatkan” rungutnya.

“Kita cubalah lagi” tingkah Tun Adam.

“Baiklah. Abang nasihatkan je budak tu. Kalau dia masih macam tu juga, abang serahkan je pada Yah. Tahulah Yah nak buat apa tu nanti” putusnya.

Tun Adam menatap wajah itu lagi. Dia tahu kali ini isterinya itu betul-betul nekad. Dia mengeluh kecil. Sebenarnya dia pun turut risau dengan perangai buaya darat Fandi. Namun dia masih mampu mendiamkan diri kerana pada mulanya dia beranggapan anak muda seperti Fendi sekadar bersuka-suka apatah lagi kewujudan gadis-gadis di samping Fandi adalah dengan rela hati mereka.

Gadis-gadis itu sendiri yang datang pada cucunya. Dia cukup kenal perempuan seperti itu juga tidak serius mana. Jadi rasanya dia tidak perlu berasa risau sangat. Dia tahu Fandi berjaya menguruskan A&B Holdings dengan cemerlang sekali. Malah Tun Adam begitu yakin Fandi terlalu bijak untuk diperdayakan. Namun melihat kerisauan isterinya yang berpanjangan, sedikit sebanyak telah mengheretnya berperasaan sedemikian.

“Selemah mana orang perempuan, silap tingkah boleh runtuhkan kejayaan lelaki dengan sekelip mata. Abang jangan pulak lupa tentang tu” tuturnya memberi peringatan. Tun Adam terdiam. Memang dia mengakui akan kebenaran bicara isterinya itu. Akhirnya dia yang terkeliru dengan tindakan yang bakal diambilnya.

No comments:

Post a Comment