saranghaeyo

Monday, 14 November 2016

Awaklah Sonataku....Saranghae....2



BAB 2
                        Aku dapat gaji hari. Awal-awal lagi aku dan Suzan sudah merancang akan berkunjung ke premis Speedy. Satu kemestian buat kami. Usai waktu kerja, aku solat Zohor dahulu di bilik khas yang disediakan di sini. Kemudian barulah kami berangkat ke destinasi yang dituju.
                        “Awak nak beli cerita apa pula kali ni?” tanya Suzan sebaik sahaja kami berada di premis ini. Pelbagai cerita dalam bentuk cakera padat sudah berada di depan mata. Kami sering berkunjung ke sini.
                        “Lakonon Gwon Sang-Wu. Saya nak koleksi semua movienya. Yang lepas-lepas dan yang terbaru saya dah ada cuma satu saja yang belum dibeli. ‘My Love By My Side’ terbitan tahun 2009” jelasku panjang lebar dan bersemangat.
                        “Awak dah tengok movie tu. Cerita lama” tingkah Suzan.
                        “Betul tapi saya nak miliki juga cerita tu, nak tambah koleksi movie aktor tu. Satupun tak boleh tertinggal tau” jelasku. Anak mataku melilau mencari-cari dalam deretan dvd yang ada di sini. Informasi daripada tuan kedai ini, dvd yang aku cari itu berada di rak belakang ini.
                        “Awak tolong tengok ye” pintaku. Bimbang terlepas pandang.
                        “Okey...” sahut Suzan bersedia menjalankan misi pencarian. Aku dan Suzan berpisah mencari arah haluan masing-masing. Di bahagiann movie Korea ini, aku meneruskan pencarian pada rak kedua. Aku memandang sekitar premis ini jika ada pekerja yang boleh membantuku. Lebih mudah dan menjimatkan masa dan tenaga. Tampak gadis itu sedang sibuk melayan pelanggan lain.
                        “Ke mana pula pekerja yang lain?” keluhku. Aku menatap jam di tangan. Patutlah waktu rehat sekarang. Bukan salah mereka. Aku dan Suzan yang salah pilih waktu. Aku meneruskan pencarian pada rak yang lain lagi. Anak mataku terpaut pada wajah aktor kacak Jung Ji-Hoon atau lebih dikenali sebagai Bi Rain. Pandanganku terus menyusuri deretan movie yang dibintangi oleh aktor kacak ini. Walaupun aku telah memiliki kesemua cakera padat lakonan dan lagunya, namun aku masih mahu menilik-nilik. Belum puas hati. Segar mata menatapnya. Sungguh langsung tiada perasaan bosan mengulangi sekian kali. Bolehlah aku dinobatkan sebagai peminat fanatik aktor-aktor Korea ini. Mereka bukan sahaja tampan-tampan malah lakonan mereka sungguh berkualiti. Tampak hidup bukan sekadar lakonan semata-mata. Tambahan pula jalan cerita pun menarik.
                        “Oh... di sini...” tuturku sendirian lalu memanjangkan tangan mencapai movie yang kucari-cari selama ini. Belum sempat aku mengangkat dvd tersebut dari raknya, ada tangan putih mulus juga turut memegangnya. Aku terpegun seketika melihat kejelitaan gadis di sebelahku ini. Sungguh mempesonakan. Namun solekan tebal sedikit menyembunyikan kecantikan aslinya. Seakan wajah ini sering kali aku temui. Wajah yang tidak begitu asing.
“Saya nak dvd ni” tuturnya memaklumkan kepadaku.
                        “Tapi saya yang dulu dapatkannya” balasku. Kalau bab movie Korea ini apatah lagi  lakonan aktor kesayanganku, aku tidak akan mudah bertolak ansur dan mengalah. Sebegini susah aku hendak mendapatkan, tidak sewenang aku akan melepaskannya. Lainlah kalau dia yang menemuinya sebelum aku. Kedengaran keluhan gadis ini.                       
“Awak minta tuan kedai tu order lagi. Next day awak dapat juga movie ni” arahnya membangkitkan rasa kurang senangku. Pat-pat suku lipat, siapa cepat dia yang dapat. Ternyata dia tidak mahu mengikut peraturan ini.
                        “Minta maaf cik. Cik yang kena tunggu order baru sebab saya yang dulu dapat movie ni” tegasku tidak mahu mengalah.
                        “Tapi saya nakkan movie ni sekarang . Okey... awak beli dvd ni, kemudian awak jual pada saya dengan harga dua kali ganda dari harga asal. Setuju?” cadangnya cuba memancing kesudianku dengan nilai gandaan itu. Tidak! Tidak! Muktamad! Dia ingat aku ini tamakkan duit.  Geramnya. Muka sahaja cantik tetapi tidak tahu bersopan dan menjaga perasaan orang lain. Riak dengan kemewahan yang dimilikinya.
                        “Minta maaf banyak-banyak. Saya tak berminat dengan tawaran cik. Saya pun dah lama cari movie ni. Hari ini baru jumpa” balasku tidak berminat dengan tawaran berganda itu. Gadis seperti ini harus diajar agar dia sedar bahawa tidak semua boleh dibeli dengan wang. Dia mengeluh panjang sambil menatapku. Liar matanya menilikku. Agaknya sedang membuat perbandingan antara aku dengan dirinya. Pasti bagai langit dengan bumi. Jurang yang sangat jauh.
“Kerja restoran?” tiba-tiba terpancul pertanyaan itu dari mulutnya. Aku sedikit tersentak.
                        “Ye... jaga kaunter makanan segera” balasku bersahaja. Tidak ada hina kerja sedemikian asalkan rezeki itu halal. Paling penting aku ada majikan yang baik. Tidak pernah aku lupa tentang kebaikan Encik Rizal.
                        “Beli dvd ni ada lebih wang nanti nak bayar yang lain?” tanyanya seraya tersenyum sinis menjeling sekilas ke arahku. Bicaranya berbaur sindiran dan penghinaan. Aku mengetap bibir. Geram.
“Awak dah dapat ke movie tu?” Panas hatiku melihat kesombongan dan keangkuhan gadis ini. Belum sempat aku membuka mulut melancarkan perang, ada pula suara lelaki yang menyapa di belakangku.
                        “Tinggal satu saja tapi pekerja restoran ni nak juga” tuturnya merengek manja membuatkan aku meluat mendengarnya. Kugenggam erat dvd yang berada dalam tanganku. Aku tidak akan menyerahkan dvd ini kepada gadis ini.
                        Let’s go....” ajak lelaki di belakangku ini.
                        But honey, saya nakkan movie ini juga” tuturnya berdegil. Sebal aku melihat tingkahlakunya. Manja yang sengaja dibuat-buat.
                        “Takpe nanti  saya pergi Korea beli sebanyak mana yang awak mahu cerita tu dan bawa sekali aktor tu datang sini” balas suara itu bersahaja. Aku tersenyum sendiri. Ada lawak di sebalik bicara itu.
                        “Pelik betul orang perempuan ini tergila-gilakan sangat movie macam tu. Kalian ingat aktor-aktor itu akan kenal peminat mereka? Jangan mimpilah” rungutnya pula. Pedas bicara pemuda yang berdiri di belakangku ini. Perlahan-lahan aku berpaling. Maka matapun bertaut. Kami beradu pandangan seketika. Terasa seakan jantungku terhenti berdegup. Jung Ji-Hoon, Gwon Sang-Wu, Lee Dong Geon, Hyeon Bin, Song Seung Heon, Jang Hyun, Song Joongki silih berganti nama aktor-aktor Korea itu berlegar-legar di kepalaku. Hari ini aku ditakdirkan dipertemukan dengan pemuda Korea.
                        “Awak boleh cakap Melayu?” tanpa kuduga perlahan-lahan sebaris ayat itu keluar dari mulutku. Kagum. Aku terpaku pada seraut wajah ini.
                        What?”Terkebil-kebil matanya menatapku. Aku terdiam kembali. Namun sempat juga aku mentenyah-tenyah mataku beberapa kali. Bimbang aku hanya bermimpi kerana aku boleh berkhayal dalam sedar. Kebetulan aku memang selalu didatangi mimpi sebegini.
                        “Kita dah lewat ni, let’s go” ajaknya sekali lagi. Dia langsung tidak terganggu dengan pandangan mataku yang tidak berganjak menatapnya. Terikat di wajahnya yang nan putih bersih itu. Sungguh sempurna hamba ciptaan Allah yang berada di depanku saat ini. Bergetar jiwa ragaku menatap seraut wajah  ini. Mataku membutang menatap pemuda ini. Terpukau.
                        Honey, saya nak movie tu juga” rengeknya lagi. Meremang bulu romaku mendengar suara manja gadis ini. Aku masih terpaku menatap seraut wajah ini. Dadaku berdegup kencang. Inikah yang dinamakan jatuh cinta pandang pertama? Pemuda ini telah memukauku.
                        Are you okey?” sayup-sayup suaranya kedengaran. Lidahku kelu hendak menyahut bicaranya. Dia melangkah mendekatiku lantas mencapai tanganku. Aku terkedu. Terasa panas tangannya tatkala bersentuhan dengan tanganku.
                        Honey, apa yang awak buat ni?” tanya gadis itu kurang senang. Aku tersedar. Laju aku menarik tanganku namun genggamannya begitu kuat. Aku  marah dengan perlakuannya yang kurang sopan ini. Selama ini tidak pernah seorang pun lelaki menyentuhku mahupun memegang tanganku sedemikian. Dialah orang pertama. Tiba-tiba hatiku meraung kesedihan. Dia telah mencemari impianku. Tidak guna punya lelaki! Namun menatap wajah itu marahku tidak terluah. Aku hanya terpaku dan tergamam kembali.
“Kita takde masa lagi. Ini saja caranya” bicaranya yang tidak aku fahami.
                        Sorry ye....” tuturnya lantas menarik tangan gadis ini beredar pergi meninggalkan aku yang masih termangu-mangu. Persis aku telah dipukau.
                        “Iman, kenapa ni?”Aku tersentak. Suzan sudah berada di sisiku.
                        “Dah jumpa movie tu?” Movie? Aku menatap genggaman tanganku. Dvd yang kupertahankan tadi tiada di tanganku. Namun yang ada cuma not RM100. Aku melontor pandangan keluar. Tampak pemuda itu memandangku sebelum kelibatnya hilang di sebalik kereta Mercedez Benz hitam metalik itu.
                        “Wah, tampannya pemuda itu!” puji Suzan terpegun. Pemuda itu bersama kekasihnya telah melarikan dvd yang sepatutnya akulah yang layak milikinya. Betapa jahat mereka. Orang kaya yang suka menindas.
                        “Apa yang berlaku?” tanya Suzan hairan. Aku tidak menjawab pertanyaan Suzan. Sebaliknya terus ke kaunter meminta penjelasan daripada tuan premis ini. Dvd tersebut telah dibayar oleh pemuda itu. Mengapa dia harus meninggalkan not RM100 kepadaku? Dalam perjalanan balik, aku menceritakan kejadian tadi kepada Suzan. Suzan tertawa besar.
                        “Agaknya duit itu ganti rugi untuk awak” sewenangnya amoi seorang ini membuat telaahnya. Aku mengetap bibir. Panas juga hati diperlakukan sedemikian apatah lagi tatkala mengingat tingkahlaku gadis itu.
                        “Nasib baik muka dia pujaan hati awak, kalau tak pasti dah jadi batu kena sumpah” tambah Suzan berlawak. Aku ketawa mendengar gurauan Suzan itu. Amarahku sedikit berkurang.
                        “Pemuda itu memang macam aktor Korea, Sue. Agaknya dia tu aktor Korea yang melancong ke sini. Bestlah kalau dapat jumpa dia lagi” tuturku seakan mengharap pertemuan kedua sekali gus melupakan kemarahanku sebentar tadi. Mahu mendapatkan tandatangannya. Nanti dengan bangganya boleh ditunjukkan kepada Linda dan Kak Leha. Pasti mereka tergamam. Linda sudah pasti akan berhenti memperlekehkanku kerana aku telah berjaya menjejaki jejaka Korea.
                        “Biji mata awak tu dah terlalu banyak tengok cerita Korea, macam itulah jadinya... orang Malaysia jadi mamat Korea pula” kutuk Suzan disusuli dengan gelaknya. Tidak percaya dengan pandangan mataku.
                        “Macam mana awak tahu dia orang Malaysia?” tanyaku hairan. Aku sendiri tidak mengetahui identiti pemuda itu. Ajaib.
                        “Kan awak kata tadi dia cakap Melayu. Pasti orang sinilah tu” tegas Suzan penuh yakin. Aku diam. Berfikir seketika. Betulkah orang Malaysia? Mustahil! Wajah 100% wajah pemuda negara K-POP itu. Penampilan pun trend orang Korea. Rambutnya perang setakat bahu dan tampak sedikit beralun. Kulitnya putih kapas. Agaknya pemuda Korea yang fasih berbahasa Melayu. Mungkin sedang belajar atau bekerja di sini.
                        “Awak kata tadi dia ada girlfriend” Aku mengangguk. Lagak gadis itu buat sakit hati. Kejelitaan wajahnya sedikit terjejas. Kalaulah dia tidak bersolek tebal pasti lebih jelita lagi. Pandai-pandai pula aku membuat andaian sendiri. Aku tersenyum.
                        “Aik.. senyum sendiri nampak. Mesti ada yang tak kena ni” teka Suzan. Kutulikan telinga lalu menyandarkan tubuh kemas-kemas di kerusi. Wajah pemuda itu kembali berlegar di ruang mataku. Terlalu jauh aku hendak berangan-angan memiliki hatinya. Akhirnya aku membuat keputusan cukup sekadar aku memuja aktor kacak Korea kerana mereka memang untuk dipuja oleh sekalian manusia yang meminati mereka. Muktamad!


                        ORDER adik set Chocolate Cupcake, set Cheese Cupcake dan dua set Mini Choc Cupcakes. Empat gelas milo ais. Semua RM20.00” Budak lelaki yang masih berseragam sekolah ini mengeluarkan duit dari poket seluarnya lalu menghulurkan kepadaku. Aku menyambut dengan senyuman yang tidak pernah lekang di bibir. Terasa rindu pula pada zaman persekolahan.
                        “Terima kasih dan sila datang lagi” ujarku seraya menghulurkan menu yang telah dipesan sebentar tadi. Aku menarik nafas lega. Tugas terakhirku pada hari ini telah selesai. Syukur semua berjalan lancar. Sham sudah bersedia mengambil-alih tugas seterusnya di bahagian chasier.
“Bos suruh awak jumpa dia sekarang” beritahu Arlen. Aku terkejut dan menelan liur. Seingat aku tidak ada kesalahan yang telah aku lakukan hari ini. Sebelum melangkah ke bilik Encik Rizal, terlebih dahulu aku menemui Suzan memaklumkan perkara tersebut agar dia tidak tercari-cari aku. Aku juga memintanya agar balik dahulu kerana khuatir pertemuan ini akan mengambil masa yang lama. Namun Suzan menunjukkan kesetiaan kerana masih mahu menungguku. Lantas aku mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Suzan. 
                        “Encik Rizal nak jumpa saya?” tanyaku tatkala melangkah masuk ke bilik pejabat ini. Dia mengangguk dan tersenyum. Bos muda ini sangat murah dengan senyuman.
                        “Duduk Iman” arahnya lantas menutup fail di depannya. Aku menurut  perintah. Kutatap wajah Encik Rizal yang sudah bersedia hendak berbicara denganku.
                        “Hari ini awak terpaksa amik OT. Nanti bersiap-siap dalam pukul 8.00 malam saya jemput awak di rumah” jelasnya. Aku terkedu.
                        “Nak pergi mana Encik Rizal?” tanyaku hairan. Selalunya kerja lebih masa di premis ini sahaja. Tidak pernah pula aku balik ke rumah kemudian mesti turun kerja semula. Ada dua shif kerja sehari.
                        “Kita jumpa klien di Daejeon Legend Hotel. Kalau berjaya malam ini ada job baru untuk Rozana Cupcake Conner. Important” jelas Encik Rizal bersungguh-sungguh. Aku terkedu. Risau juga Bimbang dengan perjumpaan formal sedemikian. Pasti aku kekok nanti kerana aku tidak pernah menghadiri pertemuan sedemikian. Apatah lagi di tempat ekskulsif sebegitu. Ada perasaan gugup menyelubungiku.
                        “Baiklah Encik Rizal” Lambat-lambat aku memberi persetujuan. Tidak mampu menolak kerana ini melibatkan bidang kerjaku. Arahan majikan selagi tidak memudaratkan diri harus dipatuhi. Namun sedikit rasa tertekan membayangkan pertemuan malam ini. Aku melangkah longlai mendapatkan Suzan. Bimbang aku tidak dapat berfungsi seperti yang diharapkan oleh Encik Rizal. Tanggungjawab besar memikat hati klien agar mahu bekerjasama dengan Rozana Cupcake Conner. Perkara ini bukan mudah. Keistimewaan dan bijaksanaan harus diperlihatkan kepada klien. Mampukah aku?
                        “Kenapa? Nampak tak bersemangat awak selepas jumpa bos” tegur Suzan. Dia menyedari perubahan tingkahlakuku saat ini.
                        “Malam ini kena temankan Encik Rizal jumpa klien. Nak dapatkan job  baru untuk RCC” jelasku. Tiba-tiba sahaja Suzan ketawa mengundang rasa pelikku.
                        Chaiyok...! Chaiyok... Iman! Memang betullah bos ada hati pada awak” usik Suzan dengan sengihan panjang. Terbeliak mataku menatap Suzan. Tidak senang hati mendengar tanggapan sedemikian.
                        “Hey...ini kerjalah bukan keluar dating!” balasku membetulkan kata-kata Suzan. Suzan masih tergelak-gelak. Suka.
                        “Peribahasa kata sambil menyelam sambil minum air” Suzan tergelak lagi. Pandai pula amoi ini berbahasa kiasan. Aku tidak mengendahkan usikan Suzan sebaliknya masih memikirkan tentang pertemuan malam ini. Mampukah aku berperanan seperti yang Encik Rizal harapkan? Malam ini kami mesti berjaya mendapatkan kepercayaan mereka untuk bekerjasama dengan Rozana Cupcake Conner. Maka kami wajib menunjukkan kemampuan dan kekuatan serta keistimewaan yang dimiliki oleh Rozana Cupcake Conner. Bukan senang hendak memikat hati usahawan yang terulung ini.
                        “Pakai cantik-cantik tau malam ni. Chaiyok! Chaiyok Iman” Sekali lagi Suzan memberikan kata-kata semangat buatku namun masih dalam nada usikan.
                        “Saya yakin awak boleh buat. Chaiyok!” ulangnya lagi sebelum meninggalkan aku di perkarangan rumah sewa yang kudiami bersama Linda dan Kak Leha. Aku membalas lambaian tangan Suzan dengan longlai. Kulepaskan keluhan sekian kali. Tepat pukul 8.00 malam aku sudah siap sedia menanti kedatangan Encik Rizal seperti yang telah dijanjikan. Kedengaran bunyi kereta memasuki halaman. Segera aku keluar. Aku menarik nafas dalam-dalam. Banyak-banyak kupanjatkan doa kepada Yang Maha Esa agar urusan malam ini berjalan lancar. Aku tidak mahu mengecewakan Encik Rizal.
                        “Kau boleh buat Iman. Chaiyok!” bisik hatiku. Cuba memotivasikan diri sendiri. Encik Rizal tersenyum menyambut kedatanganku. Terasa segan pula tatkala dia menguak pintu kereta untukku. Janggal dengan tindakannya itu kerana aku hanyalah orang bawahan. Tidak layak mendapat layanan istimewa.
                        “Cantik awak” pujinya sambil menatapku. Aku tersenyum. Aku langsung tidak teruja dengan pujian ini. Jauh sekali bangga. Pujian ini mungkin sekadar mahu menyedapkan hatiku. Ramai gadis yang lebih cantik yang pernah ditemui oleh Encik Rizal selama ini.
                        “Saya tak pandai sangat nak bergaul dengan orang luar, apatah lagi kalau golongan VIP, Encik Rizal” terus-terangku. Tidak mahu Encik Rizal menggantung harapan yang tinggi kepadaku. Bimbang kecewa nanti. Encik Rizal tersenyum.
                        “Jangan stress okey” balasnya. Dia dapat mentafsir perlakuan dan raut wajah yang kupamerkan tika ini.
                        “Dari sekarang awak kena belajar semua ini. Dulu saya pun macam itu juga” tambahnya lagi. Berkongsi pengalaman denganku.
                        “Tapi semua ini takde kepentingan pada saya. Saya ini pekerja biasa je Encik Rizal. Lainlah Encik Rizal...ada bisnes sendiri” tuturku ikhlas dan merendah diri. Sedar dengan kenyataan.
                        “Siapa kata tak penting. Ini pengalaman berguna. Mana tahu suatu hari nanti akan berguna kepada awak” tingkahnya tidak bersetuju dengan kata-kataku. Aku diam seketika memikirkan bicara Encik Rizal. Ada benarnya. Suatu hari nanti jika aku ditakdirkan berkecimpung dalam perniagaan, pasti semua ini begitu penting. Aku tersenyum sendiri kerana sempat juga berangan-angan.
                        “Sebenarnya semua maklumat yang mereka nak telah difaks. Kita cuma jawab saja pertanyaan mereka nanti. Lebih berkesan komunikasi dua hala. Awak tolong saya catat, tak pun tolong senyum bagi pihak saya” tutur Encik Rizal berlawak. Aku tersenyum. Tolong catat? Kenapa bukan Florina yang ikut sama kerana dia setiausaha Encik Rizal. Ada kemusykilan berlegar di benakku. Barangkali Florina ada masalah menyebabkan dia tidak dapat datang pada malam ini, maka aku menjadi pengganti. Aku berteka-teki sendiri.
                        Beberapa minit kemudian, kamipun sampai di destinasi yang dituju. Aku terpegun melihat bangunan Daejeon Legend Hotel yang tersergam indah dan mewah. Daejeon merupakan tempat kelahiran Gwon Sang-Wu aktor yang bersuara romantik. Fakta ini sudah melekat dalam memoriku. Kedatangan kami disambut oleh senyuman dua orang gadis berpakaian chima-jeogori serta rambut yang bersanggul rapi. Tampak unik dan cantik. Sempat juga mataku melirik ke arah pekerja yang bertugas  lengkap dengan pakaian seragam bercirikan hanbok yang diolah moden. Gabungan warna merah dan putih cukup menyerlah. Pemilik hotel ini mempunyai citarasa yang tinggi dan unik.
                        Kami dipelawa duduk di ruangan khas tempat perbincangan. Sinaran lampu kristal mempamer kemewahan. Deklorasi hotel ini memang bercirikan budaya Korea. Aku begitu teruja berpeluang berada di tempat mewah sebegini. Terima kasih Encik Rizal. Kalau bukan kerana majikanku ini, pasti seumur hidup ini aku tidak berpeluang menjejakkan kaki ke tempat mewah sebegini.
                        “Hotel ini milik orang Korea tapi kahwin dengan orang Malaysia” cerita Encik Rizal menjawab persoalan yang berlegar di benakku. Aku teringat pada pertanyaan Linda. Pasti malam ini buat pertama kali aku akan bertemu dengan generasi kacukan Malaysian-Korean. Satu cerita menarik hendak diceritakan kepada Linda nanti.
                        “Mereka dah sampai” bisik Encik Rizal. Aku melontar pandangan ke situ. Seorang lelaki pertengahan usia bersama dua orang lelaki yang hampir seusia dengan Encik Rizal. Mungkin anak-anaknya ataupun pembantunya. Aku menatap wajah-wajah itu. Wajah-wajah lelaki Melayu. Seorang pun tiada menampakkan wajah orang Korea.
                        “Lama dah sampai?” sapa lelaki yang lebih berusia ini. Aku dan Encik Rizal sudah bangun. Baru jelas wajah lelaki ini. Matanya sedikit sepet. Aku yakin dialah pemilik empayar perniagaan ini yang merupakan generasi kacukan Malaysia-Korea. Namun wajah kemelayuan lebih menyerlah dalam dirinya menenggelamkan ciri-ciri orang Korea. Lebih banyak genetik Melayu. Sukar hendak mendapat kepercayaan Linda jikalau wajah ini dijadikan bukti pertemuanku dengan orang Korea pada malam ini. Mudah sahaja Linda akan mengatakan yang aku berangan-angan lagi.
“Baru sampai sebentar tadi Datuk” Encik Rizal bersalaman dengan mereka dan aku hanya mengangguk seraya tersenyum. Sapaan perkenalan. Sedikit gemuruh. Pengalaman pertama bertemu dan duduk semeja dengan ahli perniagaan yang terulung.
                        “Silalah duduk” pintanya setelah melihat aku dan Encik Rizal masih berdiri. Kami menurut sahaja. Berhati-hati aku melabuhkan duduk. Risau tersilap tingkah yang boleh memalukan diri sendiri.
                        “Datuk, saya perkenalkan ini Cik Iman” ujar Encik Rizal memperkenalkan aku kepada lelaki ini.
                        “Cantik nama secantik orangnya” pujinya. Aku tersenyum mendengar usikan ini. Melihat kemesraan yang ditunjukkan oleh lelaki ini sedikit demi sedikit perasaan gemuruhku hilang. Aku dapat menilai sikap Datuk Kamarudin ini. Dia seorang yang ramah dan merendah diri. Tutur bahasanya sopan dan lembut. Bicaranya penuh motivasi. Dia seringkali memuji-muji kebolehan Encik Rizal malah cukup bangga dengan pencapaian Encik Rizal sekarang. Ternyata perbincangan malam ini tidak sesukar yang aku fikirkan.
                        “Datuk ada hal ke?” tanya Encik Rizal. Barangkali dia juga sepertiku menyedari tingkahlaku Datuk Kamarudin yang kelihatan sentiasa mengawasi pergerakan masa jam tangannya.
                        “Saya menanti kedatangan anak muda saya yang mahu saya perkenalkan kepada Encik Rizal. Dia baru balik dari Korea” tutur Datuk Kamarudin memberi penjelasan. Aku begitu sensitif mendengar perkataan Korea itu. Teruja hendak menatap wajah anak muda itu. Pasti kacak kerana kacukan Korea-Melayu. Datuk Kamarudin segak juga orangnya.
                        “Cuba call dia sekarang” arah Datuk Kamarudin kepada lelaki di sebelahnya. Lelaki itu menurut perintah Datuk Kamarudin. Tampak dia berbual-bual di talian seketika.
                        “Encik Yen dalam perjalanan Datuk” ujarnya memaklumkan. Datuk Kamarudin mengangguk. Perbualan Encik Rizal dengan Datuk Kamarudin semakin rancak. Aku hanya menjadi pendengar setia dan sesekali menjawab pertanyaan Datuk Kamarudin. Adakalanya aku turut diminta memberikan pendapatan dalam sesuatu topik perbincangan.
                        “Saya suka dengan pendapat Cik Iman” tutur Datuk Kamarudin. Aku senyum. Begitu juga dengan Encik Rizal. Pujian yang nampak ikhlas.
                        “Bertuah Encik Rizal ada pekerja bijak seperti Cik Iman ini” pujinya lagi. Kulihat semakin lebar senyuman Encik Rizal. Sebagai bos barangkali dia bangga aku dipuji sedemikian. Kedengaran bunyi derap langkah yang semakin dekat. Semakin lama semakin jelas bunyi sepatunya. Bunyi sepatu itu berhenti tepat-tepat di belakangku. Perbualan yang rancak antara Encik Rizal dengan Datuk Kamarudin terus lenyap.
Aku berpaling lalu pandanganku melekat pada sepasang Amerikan boot hitam berkilat kira-kira separuh lagi mahu sampai ke paras lutut. Seluar jeans hitam ketat. Ada jalur-jalur koyak. Sengaja dicipta sedemikian rupa untuk yang berjiwa rock. Berjaket kulit hitam separas lutut. Ada rantai besi melingkari jari sehingga ke telapak tangannya. Dua bentuk cincin besar di jarinya. Di pergelangan tangannya dilingkari gelang besi. Kuangkat sedikit kepala. Ada subang di telinganya. Beberapa utas rantai bertali hitam dan berloket tergantung di leher. Rambut perang sedikit panjang dan beralun diikat di belakang dan berjuntai di depan. Susuk tubuh tinggi sedikit kurus sudah terpacak di sisiku. Aku terus mengamatinya. Kulit putih bersih, hidung mancung, sepasang mata yang menarik sedikit  sepet, kening yang terbentuk indah dan bibir nipis yang merah. Di belakangnya tersangkut sebuah gitar yang tersimpan di dalam casenya. Si Rocker yang cukup mempesonakan. Tiba-tiba pandanganku dengan pemuda itu bertaut.
You....!” “Awak....!” serentak perkataan itu keluar dari mulutku dan mulut pemuda ini. Rupa-rupanya dialah jejaka Korea itu. Yang lain terlopong memerhatikan gelagat kami. Manakala Encik Rizal masih terdiam. Barangkali terkejut melihat penampilan pemuda ini dan tidak menyangka sebegini anak Datuk Kamarudin, pemilik empayar perniagaan yang terulung. Berbeza sungguh dengan identiti anak mudanya persis seorang pemuzik rock. Sungguh berbeza penampilan kedua-dua beranak ini. Sedikit pun tiada persamaan.
“Linda... malam ini aku telah menemui pemuda Korea di bumi Malaysia. Suzan pemuda yang telah melarikan vcd tempoh hari sekarang berada di depanku...” bisik hatiku sambil bertentangan mata dengan anak muda Datuk Kamarudin ini.

Monday, 19 September 2016

Awaklah Sonataku...Saranghae...1




BAB 1

                        Aku tersenyum selebar-lebarnya. Terasa akulah manusia yang paling bahagia di alam semester ini. Apa tidaknya hero pujaanku sedang berdiri di sisiku penuh mesra. Tanganku dipaut erat. Sukar hendak dipisahkan. Pasti mengundang berjuta-juta perasaan cemburu dalam kalangan peminatnya di serata dunia ini.
                        Aku tersenyum bangga. Hatiku berbunga riang. Bahagia sebahagianya. Apa tidaknya, dalam berjuta-juta gadis yang memujanya, akulah pilihan untuk menjadi teman hidupnya. Teman suka dan lara. Siapa yang tidak bangga dan bahagia, malah sepatutnya setiap warganegara yang bermustautin di negara ini juga patut turut berbangga kerana gadis yang lahir di bumi  Malaysia ini telah berjaya mencuri hatinya.
                        Inilah ‘Weeding of The Year!’. Persandingan yang paling hebat pada abad ini. Persandingan yang menyaingi kehebatan persandingan Dato’ Siti Nurhaliza dangan Datuk K. Persandingan dwi Datuk itu hebat kerana kemeterialan melibatkan berjuta-juta ongkos tambahan pula Dato’ Siti Nurhaliza ialah diva. Namun rasanya persandinganku lebih hebat lagi. Apa tidaknya, persandingan yang melibatkan dua negara di benua asia, dua bangsa, dua latar belakang yang berbeza, bersatu dalam perkongsian hidup. Namun asal-usul pertemuan ini tidak pula aku ketahui. Unik dan pelik, tetapi inilah hakikat! Kenyataan yang mengundang cemburu gadis-gadis di alam semester ini.
                        Senyumanku sekalipun tidak pernah padam. Aku dan jejaka pujaan hatiku melangkah ke taman yang dihias indah. Bunga-bunga tulip pelbagai warna menghiasi sepanjang aturan langkah kami. Persandingan dalam taman persis impianku, kini telah termakbul. Sepasang kekasih melangkah beralas permaidani merah laksana puteri dan putera. Lense kamera para wartawan seperti pancaran kilat. Kilauan cahaya tidak putus-putus. Baik wartawan mahupun para jemputan yang ada di sini tidak mahu ketinggalan mahu merakam hari bersejarah kami. Sungguh hebat! Hero pujaan hatiku memaut kemas tubuhku mendampingi tubuh tinggi lampainya. Mesra dan penuh kasih-sayang. Sebuah kucupan hampir-hampir singgah di pipiku. Namun tiba-tiba...
                        “Iman...!”Aku menoleh. Roslinda Ayamor muncul di depanku dengan wajah yang cukup garang seperti singa betina yang sedang kelaparan, menunggu mangsa hendak diterkam. Barangkali dia tidak merestui persandingan hebat ini. Mungkin juga dia cemburu melihat betapa kacaknya heroku ini. Roslinda Ayamor menapak mendekatiku. Sekarang sudah berada di depanku. Tiba-tiba sahaja dia menarik tanganku seakan mahu membawa aku pergi meninggalkan majlis gilang-gemilang ini. Sungguh aku tidak tega meninggalkan Si Jejakaku. Maka berlakulah adegan tarik-menarik antara Roslinda Ayamor dengan heroku.
                        Tubuhku sekejap ke kiri sekejap ke kanan. Ibarat pertandingan tarik tali pula lagaknya. Semakin Roslinda Ayamor berkeras, kian bertenaga pula jejakaku mempertahankanku daripada dibawa pergi meninggalkannya. Dalam adegan tarik-menarik itu sempat juga aku berasa terharu. Terharu kerana jejakaku tidak tega berpisah denganku. Mungkin kerana sudah patah hati dan tidak terlawan lagi,  Roslinda Ayamor melepaskan tanganku. Maka, akibat tarikan sekuat hati jejakaku, tubuh melidiku melayang lalu bercumbu dengan dinding pasu bunga sebesar pemelukku.
                        “ Hoi..., bangun hoi...!” Ada suara kuat menembusi corong telingaku. Perlahan-lahan aku mengangkat kelopak mata. Roslinda Ayamor sudah tercengat sedang terpaku menatapku. Aku menatap sekeliling. Aku bukan lagi berada di dalam taman tetapi sebaliknya di Kamar Sonata. Cuba mencari Si Jejaka tampan, namun heroku cuma tersenyum indah tertampal di muka pintu almariku. Mataku menyoroti tubuhku yang masih terlentang di atas tilam tebal lima inci ini. Tiada gaun putih yang menyarunginya. Yang ada hanyalah sepasang baju kurang merah lembut.
                        “Agaknya mengigau lagilah tu...” kutuk Roslinda Ayamor. Aduhhh...! Baru aku terasa sakit. Rupa-rupanya dahiku berlaga dengan pagar penghadang tepi katil. Bukannya pasu seperti awal-awal cerita tadi.
                        “Yang awak lenggang-lenggok dalam tidur tu... tengah buat persembahan boria ke?” suara perlian Roslinda Ayamor singgah di telingaku lagi. Aku mengesat-ngesat mata. Sekarang baru aku berada dalam dunia realiti.
                        “Hish...kacau betul Si Ayamor ni!” desis hati kecilku. Geram. Cerita bahagia itu belum tamat lagi. Aku menggeliat dua tiga kali. Indah sungguh mimpiku itu. Kalau tidak dapat kahwin dengan aktor kacak pujaan hatiku di dunia nyata ini, dapat kahwin dalam mimpi syukurlah. Aku tersenyum sendiri. Mimpi yang indah.
                        “ Hey, yang awak sengih-sengih tu apa hal!” Sebiji bantal dibaling ke arahku. Mujur juga sempat kutepis. Si Ayamor ini memang suka buat kacau. Garang semacam pula.
“ Hey...dahlah dalam mimpi tadi awak kacau majlis saya, sekarang pun awak nak kacau saya juga! Memang sesuailah awak ni pegang watak jahat” omelku sendirian mengutuk Linda.
“ Apa awak kata?” Terbiak mata Linda menatapku. Aku mempamer sengihan panjang. Langsung tidak terniat hendak membuka cerita kepadanya. Nanti tidak pasal-pasal memanjang pula ceramahnya. Penghujungnya telinga ini juga yang bingit mendengar kutukan dan perliannya.
“Awal awak habis kerja hari ni” Linda tersenyum lirih kepadaku.
“Saya sakit kepala tadi. Bos suruh saya balik berehat. Kebetulan hari ni tak busy” jelasku.
                        “Baik betul lelaki itu pada awak ye” Suara Linda berbaur usikan. Aku bingkas bangun lalu mencapai tuala yang tergantung. Terasa mahu mandi sekarang agar badan segar-bugar. Aku berpaling. Linda masih menatapku dengan sengihannya.
                        “Kenapa? Jangan fikir yang bukan-bukanlah Ayamor” Tanganku singgah di bahu Linda membuatkan dia terjerit kuat. Rasanya tepukan padu itu sudah cukup menyedarkannya. Lantas bagai lipas kudung aku berlari ke bilik air menyelamatkan diri. Kukunci pintu kamar. Aku tertawa sendirian. Padan muka Linda. Dia suka sangat menyakat aku.
                        “Iman...!” bentak Linda geram. Aku menulikan telinga. Pura-pura tidak mendengar laungan geram Linda sambil tersenyum-senyum sendiri.
“Apa hal ni?” Kedengaran suara Kak Leha bertanya kepada Linda. Agaknya dia baru sahaja sampai rumah. Kutulikan telinga mendengar Si Ayamor membuat adunan. Yang pasti aku sudah tenggelam di bawah simbahan air yang sungguh menyegarkan.

     
                        “ARLEN, pastikan stok bahan yang sampai hari ini dicatat dengan betul. Hantar juga rekod dua hari lepas kepada saya. Saya nak semak” suara Encik Rizal kedengaran memberi arahan kepada Arlen, penyelia Rozana Cupcake Conner atau RCC akronimnya.      
                        Yes bos” balas Arlen tersenyum-senyum memandangku.
                        “Nasib baik semalam saya dah buat final check dan siapkan semua data. Syukur ... syukur ...” Arlen mengurut dada. Lega.
“Awak dah sihat Iman?”Aku tersentak dan berpaling. Encik Rizal sudah berada bersama kami. Arlen juga nampak terkejut. Kemunculan Encik Rizal yang tidak kami sedari. Aku senyum.
                        “Sudah Encik Rizal” balasku pendek.
“Baguslah. Buat kerja baik-baik semua. Hari ini target mesti tercapai” suara Encik Rizal berkumandang di setiap ruang premis RCC ini.
                        “Baik bos!” suara pekerja-pekerja menyahut memberi tindak balas. Itulah kalimah karamat yang akan Encik Rizal laungkan setiap pagi pada pertemuan pertama kami dengannya. Arlen masih senyum-senyum memandangku.
                        “Bukan main lagi lembut dia bertanya pada awak. Dengan saya bergegar jantung ini dengar suaranya tu” usik Arlen. Aku tertawa. Kata-kata Arlen mencuit hati.
“Awak jangan buat tak tahu pula Arlen, bos kan ada hati pada kawan kita ni” sampuk Sham di sebelahku. Aku meneruskan tawaku. Malas aku hendak melayan berlebih-lebih usikan mereka ini. Tidak menyokong mahupun menidakkan. Itu sahaja yang respons yang aku berikan. Petua mujarab hendak meredakan usikan mereka itu. Kedengaran bunyi bising Ravi melepaskan gril aluminium seterusnya membuka pintu lot premis ini. Bermakan rutin kerja sudah bermula. Belum sampai 10 minit beroperasi, beberapa orang pelanggan melangkah masuk. Pastinya tidak sempat bersarapan pagi ini.
                        “Selamat pagi dan selamat datang ke Rozana Cupcake Conner. Puan nak makan sini atau take away?” sapaku ramah. Perempuan bersama seorang budak lelaki itu tersenyum. Cukup menyenangkan melihat senyumannya. Memulakan hari ceria buatku.
                        “Akak nak breakfast di sini” balasnya lembut.
                        “Puan dan adik nak makan apa?” tanyaku tersenyum sambil menatap budak lelaki itu. Dia tersenyum membalas tatapanku.
                        “Nak per set Magnolia Bakery Vanilla, Cupcake Butter dan untuk Aiman, Cupcake Coco Glaze dan  Fruity Orange Butter Cupcakes. Air milo dan kopi panas” pesan perempuan itu lancar sambil menatap senarai menu di depannya.
                        “Puan order per set Magnolia Bakery Vanilla, Cupcake Butter, Cupcake Coco Glaze dan Fruity Orange Butter Cupcakes. Air milo dan kopi panas. Semuanya RM20.00” ulangku seraya mengambil wang yang dihulurkan oleh perempuan ini.
                        “Terima kasih. Puan sila ambil tempat duduk, sekejap lagi kami akan hantar pesanan puan” tuturku ramah.
                        “Terima kasih” Aku mengangguk dan tersenyum lagi. Dua beranak itu melangkah ke ruang santapan, lalu memilih tempat duduk.
                        “Selamat pagi dan selamat datang ke Rozana Cupcake Conner. Encik nak makan di sini atau take away?” tanyaku sopan melayan pelanggan seterusnya.
                        “Saya nak makan di sini. Saya nak order set Gebulicious Butter Cupcakes dan Choc Strawberry Cupcakes serta milo panaspinta lelaki bermisai ini. Aku mengangguk.
                        “Okey, order encik ialah set Gebulicious Butter Cupcakes dan Choc Strawberry Cupcakes dan milo panas. Semuanya RM12.00. Terima kasih. Sebentar lagi kami akan hantar order encik dan sila ambil tempat duduk tuturku mesra. Lelaki ini mengangguk dan beredar pergi.
                        “Selamat pagi. Saya mahu take away” ujar pelanggan seterusnya.
                        “Selamat pagi. Boleh. Pesanan encik?” Aku tersenyum kepada seorang pemuda yang lebih awal menyapaku.
                        Set Gebulicious Butter Cupcakes dan Choc Strawberry Cupcakes” pintanya.
                        Set Gebulicious Butter Cupcakes dan Choc Strawberry Cupcakes. Semuanya RM8.00. Terima kasih” Huluran wangnya kusambut. Aku segera memasukkan cupcake yang dipesan ke dalam bekas. Lantas menghulurkan kepada lelaki ini.
                        “Terima kaish. Sila datang lagi” Dia mengangguk tersenyum. Beginilah tugasku di Rozana Cupcake Conner melayan pelanggan dengan penuh tatatertib dan mesra. Tepat pukul 01.00 petang shif bertukar. Baru aku berpeluang berehat. Walaupun sudah biasa dengan rutin sebegini namun keletihan tetap terasa setelah berdiri begitu lama. Semakin masa berganjak semakin ramai pelanggan yang berkunjung. Kek cawan Rozana Cupcake Conner mempunyai ramai peminat kerana keistimewaannya. Makan sekali pasti hendak makan banyak kali lagi. Sedap hingga boleh buat ketagih. Aku bukan hendak buat iklan bombastik ye...
“Awak dah siap?” Aku menoleh. Suzan sudah terpacak di depanku. Aku mengangguk lantas bangun. Kami beriringan melangkah meninggalkan Rozana Cupcake Conner atau lebih dikenali sebagai RCC lalu bergerak ke laman parkir kereta.
“Kita singgah sekejap di  Plaza Wangi. Saya ada barang nak beli” beritahu Suzan sebaik sahaja kereta membelok memasuki kawasan parkir bangunan tersebut. Aku menurut sahaja. Sementara menanti Suzan muncul, aku merayau-rayau di ruang legar bangunan ini.
“Selamat pagi cik” Aku berpaling. Seorang gadis menyapaku lantas menghulurkan satu brosur. Aku mengambilnya.
“Terima kasih” ujarku. Gadis ini mengangguk sambil tersenyum manis.
“Hujung minggu ni akan diadakan hari bertemu pelanggan bersama Institusi Pengajian Tinggi Awan Malaysia. Beberapa buah universiti luar negara juga terlibat sama. Jika berminat, cik silalah datang” terangnya sebelum sempat aku membaca brosur yang berada di tanganku. Aku mengangguk. Kemudian beredar dari situ. Kutatap brosur yang diberi oleh gadis tadi.
                        “Kamu tak payah terima tawaran belajar di USM tu. Dah takde duit nak hantar kamu sambung belajar. Gara-gara nak biayai kamu belajar, tengok Lili yang terpaksa berkorban berhenti sekolah tak sempat nak ambik SPM” suara Mak Long kedengaran di telingaku. Aku melepaskan keluhan kecil. Kalau aku terima tawaran itu, pasti aku sudah berada di kampus sekarang. Ternyata faktor kewangan menjadi penghalang. Aku menarik nafas dalam-dalam. ‘Wahai Iman, peluang itu masih terbuka luas andai kau gigih berusaha dan tidak pernah patah semangat. Chaiyok, chaiyok, Iman!’. Bisik hati kecilku. Aku tersenyum sendiri.
                        Sorry, lama tunggu?” Suzan sudah berdiri di sisiku bersama barang di tangannya. Aku menggeleng dan tersenyum.
                        “Apa tu?” tanya Suzan sambil menatap brosur di tanganku.
                        “Brosur iklan...” jawabku acuh tidak acuh. Tidak mahu membicarakan perkara ini dengan Suzan. Segan. Risau dikata angan-angan Mat Jenin. Lantas kami terus bergerak meninggalkan bangunan Plaza Wangi ke destinasi seterusnya. Terima kasih Suzan kerana masih sudi dan bermurah hati menumpangkan aku balik ke rumah.


                        HUJUNG minggu begini ramai pelanggan yang berkunjung menjamu selera di RCC sehingga aku tidak sempat duduk berehat seketika. Mujur juga masing-masing cekap menjalankan tugas. Tiada pekerja yang curi tulang. Semuanya cuba memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada para pelanggan. Kepuasan pelanggan menjadi keutamaan warga RCC dan kebajikan pekerja tidak diabaikan. Prinsip inilah tonggak kejayaan empayar perniagaan Encik Rizal.
                        “Ahh... letihnya!” Aku menepuk-nepuk lembut pipiku.
                        “Lenguh mulut senyum” sahut Suzan di sebelahku. Aku ketawa. Rupa-rupanya dia juga turut merasakan seperti yang aku alami.
                        “Agaknya kita boleh jadi pramugarikan” Suzan mengaju pertanyaan.
“Kenapa pula?” tanyaku sambil menatap wajah Suzan. Hairan.
                        “Selamat datang, sila datang lagi. Kan itu word yang selalu pramugari katakan sambil tersenyum lebar seperti kita” Suzan tergelak sendiri. Aku tersenyum. Ada kebenarannya. Persamaan yang nyata kedua-dua sentiasa berhubung dengan orang ramai yang tidak dikenali.
                        “Awak memang layak jadi pramugarilah, Iman”
                        “Apa?” Terkejut aku mendengar kenyataan Suzan ini.
                        “Awak cantik, ada personaliti menarik dan sentiasa ceria. Result exam awak pun cemerlang” puji Suzan melangit. Aku mencebik. Jauh panggang dari api.
                        “Takde dalam senarai impian saya. Awak sajalah yang jadi pramugari. Nanti boleh saya tumpang pergi melancong ke Korea” balasku. Destinasi impianku. Alangkah seronok jikalau dapat menjejaki bumi Seoul. Aku mula berangan-angan. Bilakah angan-angan ini termakbul? Bolehlah aku mula menabung untuk ekspedisi ke Korea. Ajak Linda dan Suzan sekali. Kak Leha pasti kurang berminat.
                        “Apa impian awak?”Aku senyum. Kutatap Suzan yang sedang menunggu aku bersuara. Berminat dia hendak mengetahui impianku, gadis yang kurang bernasib baik ini.
                        “Saya ada dua impian, tapi saya tak boleh beritahu awak sebab saya hanya boleh cakap pada seseorang” jelasku bersyarat. Suzan mencebik tidak puas hati. Namun dia tidak memaksa.
                        “Mr. Right?” Aku mengangguk.
                        “Wow... you so romantic!” Suzan teruja. Aku senyum. Bilakah agaknya MR. Right itu akan muncul dalam hidupku. Siapakah gerangannya? Aku yakin akan tiba detik itu nanti. Aku dan Suzan beriringan meninggalkan bangunan ini.
                        “Betulkah ni awak belum nak balik?” tanya Suzan meminta kepastian. Aku mengangguk. Ada perancangan.
                        “Nak pergi mana? Biar saya hantar awak” pelawanya.
                        “Takpe saya boleh jalan kaki...dekat saja” balasku tidak mahu menyusahkannya.
                        “Awak ada temu janji dengan Mr. Right ke?” Aku tergelak besar mendengar pertanyaan Suzan ini. Sungguh jauh dia berimaginasi. Kutinggalkan Suzan di laman parkir. Sempat juga kami saling berbalas lambaian tangan. Santai aku menyusuri lorong pejalan kaki ini. Tidak mahu bergegas-gegas ke  destinasi yang dituju. Tidak kuhiraukan manusia di sekelilingku. Sesekali tanganku membetulkan kedudukan cap yang kupakai. Walaupun aku sudah mengikat kemas rambutku, namun masih terasa kehangatan bahang mentari. Langkahku terhenti di kedai buku ini. Kucapai majalah hiburan luar negara yang memaparkan aktor-aktor kacak Korea.
Kutatap wajah kacak Jang Geun Suk yang menjadi penghias depan majalah ini malah diselitkan sekali poster aktor kacak ini. Jang Geun Suk popular dengan lakonannya dalam drama ‘Mary Stayed Out All Night’. Aku sangat menggemari cerita-cerita arahan tulisan Won Son Yeon persis aku tidak pernah bosan menonton banyak kali drama ‘Full House’ yang juga merupakan ilham pengarah tersebut. Aku terus menyambung langkah dengan tujuan asalku. Seketika berdiri di depan papan pameran yang dipenuhi dengan gambar aktiviti kampus dan ragam kehidupan warga universiti. Kelihatan seronok.
                        “Maafkan Pak Long, Iman. Pak Long telah mengecewakan Iman”Kutatap wajah Pak Long. Bebola matanya berkaca. Sungguh dia berasa bersalah.
                        “Takpe Pak Long. Suatu hari nanti Iman akan tetap menyambung pelajaran Iman. Iman akan hadiahkan pada Pak Long segulung ijazah atas susah payah Pak Long sekeluarga menjaga Iman selama ini” balasku lembut tidak mahu melukai perasaannya. Aku cuba menjadi tabah dan kuat.
                        “Semua ini salah Pak Long. Pak Long gagal menjalankan tanggungjawab dan amanah yang diberikan kepada Pak Long. Kalau nenek kamu masih hidup, pasti dia juga kecewa” rintih Pak Long lagi. Dia tetap juga menyalahkan dirinya. Aku melepaskan keluhan berat. Kalau bukan faktor kewangan penghalang, pasti aku akan turut mengalami suasana kehidupan sedemikian. Suatu hari nanti aku akan tunaikan janjiku kepada Pak Long. Itu ikrarku.

AKU memasukkan beberapa keping contoh borang maklumat yang perlu diisi untuk permohonan belajar di universiti yang kuambil di pameran siang tadi. Ketika kuselak helaian fail, tanganku terhenti. Kutatap surat tawaran belajar di USM setahun lalu masih rapi tersimpan di situ. Ada sedikit kekecewaan tersemat dalam diri! Aku masih ingat, di depan Pak Long aku cuba bertahan menjadi kuat. Reda dengan nasib yang kuterima. Namun pada malam itu tanpa diketahui oleh Pak Long sekeluarga air mataku menitis jua. Kecewa menolak peluang keemasan itu. Aku menangguhkan impianku.

“Iman... kau tak boleh patah semangat. Teruskan usaha. Chaiyok! Chaiyok!” Aku bercakap sendiri cuba memotivasikan diri. Kucapai majalah yang kubeli siang tadi. Setelah menyelaknya berulang-ulang kali, kucapai buku yang berlabel ‘My Treasure’. Di sinilah aku menyimpan gambar-gambar hero Korea yang kuminati. Koleksi kesayanganku ini memang cukup terjaga dan tiada sesiapa pernah menyentuhnya selain aku. Si Ayamor pun hanya berkesempatan melihat tanpa sentuhan. Tiba-tiba daun pintu diketuk. Muncul Si Ayamor di sebalik pintu laju melangkah masuk mendekatiku.
                        “Tak habis-habis dengan aktor-aktor kacaknya ni” perli Si Ayamor  melihat aku sedang menampal poster di  sudut bilik ini.
                        “Sedikit masa lagi wajah-wajah bermata sepet ni jadi wallpaper bilik ini. Silap-silap hari bulan boleh jadi galeri pula” tambahnya memperliku. Aku hanya menulikan telinga. Linda Si Ayamor memang tidak pernah letih memberikan komentar. Aku menoleh ke arahnya. Dia sudah terbaring di atas katil sambil memerhatikan gelagatku.
“Bosanlah takde kerja nak buat” rungutnya.
                        “Jom kita pergi tengok wayang” cadangku.
                        “Cerita menarik?” tanyanya.
                        Train to Busan...” ujarku menyebut filem yang ditayangkan.
                        “Aik... kan minggu lepas awak dah tengok movie tu!” Besar anak mata Linda menatapku. Janggal.
                        “Saya nak tengok lagilah. Tak puas tengok lakonan Yoo Gong...” balasku tersengih mendekatinya. Pupp! Laju sahaja tangannya menepuk kepalaku. Aku mengaduh kesakitan.
“Otak awak ini longgar sikit” marahnya. Senyap seketika. Linda masih setia memerhatikan setiap pergerakanku.
“Orang kata kalau perempuan mengandung tengok gambar yang sama tiap-tiap hari, anak yang lahir akan seiras dengan orang yang dalam gambar tu” cerita Linda.
                        “Saya tak perlu buat semua tu sebab suatu hari nanti saya akan kahwin juga dengan lelaki Korea. Jadi anak pun cute macam orang Korea ...ha...ha...ha...” balasku melawak mengusik Linda.
“Amin. Harap-harap termakbul” balas Linda buat-buat muka serius. Kemudian kami sama-sama tertawa.
“Duduk di bumi Malaysia, tiba-tiba awak dapat laki orang Korea. Betul- betul rezeki awak, Iman. Ha... ha... ha..” Linda memperliku lagi.
                        “Awak ingat orang Korea takde kaki nak jalan-jalan. Mana tau jumpa masa melancong, jumpa di pasar malam, atau pun di jalan raya .. he...he...he...” balasku tersengih. Linda menjelingku tajam. Sakit hati Linda Si Ayamor mendengarnya.
“Saya seumur hidup, tak pernah jumpa anak kacukan Korean-Malaysian. Awak pernah jumpa, Iman?” tanya Linda serius.
                        “Tak pernah, tapi takpe saya akan cipta sejarah berharga untuk awak. Nanti saya kahwin dengan lelaki Korea, bakal  anak-anak saya akan merealisasikan semua tu” ujarku tersengih memandang Linda Si Ayamor. Linda mencebik. Begang mendengar kata-kataku.
“Jangan nak mimpilah cik adik hoi... Daripada saya layan angan-angan awak yang sia-sia itu, lebih baik saya buat tahi mata” rungut Linda lantas bangun dari perbaringan lalu bergerak ke muka pintu. Aku tergelak besar.
                        “Tak jadi pergi tengok movie?” tanyaku mengusiknya.
“Kalau tayangan yang sama tak naklah. Buat bazir duit je” sahutnya.
                        “Saya kalau movie Korea sepuluh kali tengok pun takpe” balasku.
                        “Awak tu tak heran saya” balas Linda Si Ayamor disusuli dengan ketawaku. Sengaja menyakatnya. Seronok melihat dia geram. Linda ialah sahabat baikku. Perkenalan kami sudah sekian lama. Seingatku, aku  mengenali Linda ketika berada di tingkatan satu. Linda terlebih dahulu merantau ke sini sebaik sahaja tamat SPM sedangkan aku meneruskan pelajaran ke tingkatan 6.

Aku meninggalkan kampung selepas menolak tawaran melanjutkan pelajaran ke USM.  Dengan pelawaan Linda dunia baruku bermula di sini. Syukur juga kedatanganku ke sini mengubat kekecewaan itu. Paling penting membuatkan Mak Long mendiamkan diri seketika. Kasihan juga aku melihat Mak Long sentiasa bercakap panjang tanpa jeda. Bukan mudah hendak menjana idea panjang berjela-jela ini. Yang pasti Mak Long tidak pernah ketandusan idea. Mak Long... Mak Long... Aku tersenyum sendiri. Tiada siapa yang mampu menyaingi Mak Long.