BAB 15
Aku pantas menuruni anak tangga. Kulihat abang sedang menghadap sarapan bersendirian. Surat khabar di tepi meja masih berlipat. Tanda abah belum sarapan lagi. Mataku nakal melirik kepada abang. Kulihat kepalanya tegak saja memandang ke depan. Sepanjang bersarapan kami hanya mendiamkan diri. Mak Edah menatap kami silih berganti. Dia begitu memahami keadaan keluarga ini kerana Mak Edah sebahagian daripada keluarga kami.
Mendengar bunyi deheman abah bagai dijanjikan serentak aku dan abah angkat punggung. Aku mendahului abang melangkah ke pintu. Cepat – cepat kularikan motorku, takut bertembung dengan abah. Datuk Izhar yang sedang menuruni anak tangga kematian langkah. Dilontar pandangannya keluar melihat anak – anaknya masing – masing membawa diri. Mak Edah yang memahami keadaan itu cuma mendiamkan diri.
“Mak Edah, suruh mereka pergi klinik nanti” pesannya.
“Baiklah Datuk”
Di kampus, aku lebih banyak mendiamkan diri. Sejak semalam aku sudah hilang mood. Gelak ketawa kawan – kawan sedikit pun tidak menaikkan semangatku. Kuliah sudah tamat. Aku masih terpaku di dalam dewan kuliah. Pukul 01.00 petang. Ahh, masih awal lagi! Apa yang harus aku buat? Balik? Tidak. Aku tidak akan balik awal hari ini. Tanpa arah tujuan kupecut motorku meninggalkan halaman kampus.
“Hey, kenapa kau nampak muram je ni Wan?”
Jack menepuk bahuku. Aku cuba senyum.
“Alah, tak payah kau senyum!. Aku tahu di sebalik senyuman itu sebenarnya kau ada masalah” duganya.
“Entah ler Jack” keluhku kecil.
“Ni tentu pasal perlumbaan malam tu”
Aku menatap wajah Jack. Kemudian beralih kepada Jojo.
“Aku takkan libatkan diri dalam perlumbaan lagi” ucapku perlahan.
Mereka tersentak. Serentak mereka memandangku.
“Serius ke kau ni, Wan?”
Aku mengangguk. Kedengaran Jack mengeluh hampa.
“Aku sayangkan abahku. Aku tak nak mengecewakannya lagi”
“Abah kau dah tahu?”
Aku mengangguk lagi. Senyap seketika.
“Wan, kalau itu dah keputusan kau kami terima je. Semoga segalanya akan berjalan lancar” ucap Jack mewakili.
Aku senyum. Sungguh besar nilainya pengertian mereka kepadaku. Memang inilah yang aku harapkan. Sedikit terubat gundah dihatiku.
“Nanti kau jangan lupakan kami tau”
“Walau apapun keadaan kamu tetap kawan aku” ucapku serius.
Tangan kami bersatu. Kira – kira jam 5.00 petang baru aku teringatkan rumah. Motor kupecut laju. Tiba di satu selekoh, kedengaran bunyi enjin motorku bermasalah. Di luar dugaan enjin motorku tiba – tiba saja mati.
“Hey, meragam pula mator ni” rungutku sendirian.
Sedang leka memeriksa motor, satu tendangan singgah ditubuhku. Aku
tersungkur. Pantas kudongak wajah itu. Gila! Rupanya Rashid dan beberapa orang temannya. Aku bingkas bangun.
“Keparat! Kau betul – betul lelaki pengecut!” bentakku sambil mengibas – ngibas bajuku.
Rashid senyum senyum – senyum memandangku. Tanpa buang masa satu sepakan mengena tubuh Rashid. Rashid bangun. Aku sudah bersedia untuk menyerang lagi. Rashid cuba menumbukku tapi sempat kuelak. Dia cuba menerjang dari bawah namun aku cepat melompat dan satu tendangan padu hinggap di mukanya. Rashid tersungkur ke belakang. Kelihatan darah mengalir dari hidungnya. Aku tersenyum sinis memandangnya.
“Hah, rasakan!” cemuhku.
Rashid beri isyarat kepada teman – temannya. Tiga orang lelaki yang bertubuh besar itu merapatiku. Serangan serentak mereka sukar untukku tepis. Aku terduduk di tanah. Terasa hangat mengalir dari bibirku. Kukesat darah yang keluar. Aku cuba bangun namun Rashid pantas memukul kakiku dengan sebatang kayu. Aku tersungkur lagi. Kakiku kebas seakan tidak berfungsi. Aku mengerang kesakitan. Cuba kutahan. Saat – saat aku lemah, Rashid dan tiga orang lelaki itu mengambil kesempatan menyerangku. Darah dari mulut dan hidungku semakin banyak keluar. Perutku terasa mual dengan tumbukan yang bertubi – tubi. Kedengaran Rashid ketawa berdekah - dekah.
“Jehanam! Berani kamu sentuh adikku!” laung satu suara.
Satu tendangan kuat mengena kepada ketiga – tiga lelaki itu. Aku terduduk lagi. Rashid terkebil – kebil. Pergelutan terjadi seketika.
“Abang!” jeritku kuat melihat Rashid berdiri di belakangnya dengan kayu pemukul.
Abang terhoyong – hayang sambil memegang kepalanya. Darah mengalir keluar. Mereka mengambil kesempatan memukul abang. Bagai ada kekuatan yang baru kumiliki. Aku bingkas bangun dan berlari menyerang mereka. Kayu yang berada di depanku terus kucapai lalu kuhayun tepat mengena tubuh mereka. Abang terlepas dari tangan mereka. Kudekati abang yang terkulai lesu. Darah sudah berlumuran di mukanya. Abang tidak sedarkan diri lagi.
“Abang!” jeritku sekuat hati.
Aku terus bangun. Bagai disampuk aku menyerang mereka. Setiap detik aku tidak memberi peluang kepada mereka untuk membalas balik.
“Wan!”
Kutoleh, Jojo dan Jack datang. Melihat teman – temanku datang Rashid dan gengnya bertempiaran lari. Aku terduduk lemah di situ. Jojo dan Jack merapatiku.
“Wan, kau tak apa – apa?”
Aku mengangguk. Telunjukku menunding kepada abang yang masih terbaring tidak bergerak – gerak. Aku dan abang segera dikejarkan ke hospital.
@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@
“Adik, bagaimana dengan Lan?”
Abah mendapatkanku. Aku tersandar lemah. Jariku hanya mampu menunding jari ke bilik itu untuk menjawab persoalan abah. Abah mengeluh dan terduduk di sisiku. Ditatapnya wajahku.
“Adik tak apa – apa? Muka Adik pucat”
Aku geleng kepala dan cuba senyum. Daun pintu bilik itu terkuak. Pantas aku dan abah bangun. Abah melangkah mendapatkan lelaki berjubah putih itu.
“Bagaimana dengan anak saya doktor?”
“Sabarlah Datuk, bertenang. Anak Datuk selamat tapi dia sedang koma sekarang” ucapnya tenang.
Wajah abah berubah. Berita ini bukan suatu yang menyenangkan untuk didengar. Terasa tubuhku semakin lemah. Seminit..... sesaat.... ahh! Tubuhku disambut.
“Adik!”
Kedengaran langkah dan suara abah. Pandanganku gelap. Aku terlena.
Datuk Izhar berulang – alik dari satu wad ke satu wad. Kelihatan anak – anaknya masih tidak sedar terlantar di katil. Satu – persatu wajah putih bersih itu nampak lesu dan pucat. Perempuan di sisinya itu tidak henti – henti menangis.
“Anak kita bang. Kenapa harus terjadi begini?” keluhnya dalam sendu.
“Sabarlah Julia, mereka akan selamat” balasnya dengan penuh harapan. Terasa sebak. Kuatkan hatinya menempuhi kejadian itu.
“Aku mesti bunuh dia! Aku akan bunuh kau Rashid!” jeritku sambil cuba meronta – ronta melepaskan diri dari pegangan teman – temanku.
“Bawa mengucap Wan”
Jack dan Jojo memegangku cuba menenangkan. Aku menepis tangan mereka. Kakiku berkuat. Boy dan Eddy hanya terpaku memandangku di tepi sudut. Tidak berani masuk campur atau menghampiriku. Daun pintu dibuka. Abah berlari masuk. Dipegangnya kuat bahuku.
“Bertenang Adik, Lan tak apa – apa” ujarnya lembut.
Aku terpaku.
“Abang! Abang! Aku akan balas dendam kepada mereka!” jeritku lagi bagai disampuk.
Bagai ada kuasa ajaib aku menepis tangan yang memegangku. Kutolak Jack dan abah yang cuba menghalangku. Aku berlari ke muka pintu. Boy dan Eddy cuba menghalangku. Kutatap wajah mereka dengan renungan tajam.
“Tepi!” jeritku.
Boy dan Eddy berundur membuka laluan kepadaku. Aku terus saja berlari keluar. Beberapa langkah mengejarku.
“Abang!”
Kugegar tubuh abang. Langkah yang mengejarku tadi terhenti. Masing – masing terpaku melihatku.
“Abang tengoklah Adik datang! Eda pun ada. Bangunlah abang jangan biarkan Eda menangis. Abang sayangkan dia bukan” tuturku berbicara sendirian.
Abah mendekatiku.
“Adik, abang akan sedar nanti” pujuk abah.
“Abah...”
Kupeluk tubuh abah. Sungguh menakutkan melihat keadaan abang sekarang. Aku tidak rela sesuatu yang buruk menimpa abang.
“Abang bangunlah!”
Kupegang bahunya. Tiba – tiba kulihat jarinya bergerak. Seluruh tubuh abang mula bergerak.
“Adik.... A... Adik...” panggilannya tenggelam timbul.
“Abang dah sedar bah” ujarku sambil tersenyum memandang abah.
Abah tergamam panjang. Seolah – olah dia tidak menduga akan keadaan ini. Ditatapnya wajah abang. Abang mula membuka matanya.
“Abang!”
Kupeluk tubuh abang yang masih terbaring. Terasa tangannya lembut mengusap belakangku.
No comments:
Post a Comment