Thursday, 8 September 2011

Senyum Lagi 13

 
BAB 13



Aku tiba sebaik saja perlumbaan hendak bermula. Kulihat teman – teman yang dari tadi kerisauan kembali ceria. Elvat mendekatiku.
“Aku ingat kau tak nak datang. Maklumlah takut tewas”
“No way man! Aku tak punya prinsip pengecut macam tu. Sebentar lagi kau akan tahu juga siapa yang jaguh antara aku atau bos kau” ujarku bersemangat.
“Okey, aku akan saksikan sendiri” ujarnya senyum – senyum.
Barangkali dia tidak yakin dengan kebolehanku memandangkan aku seorang perempuan. Tidak apa, sekejap lagi saksikanlah kemenangan itu akan berpihak kepadaku. 
“Jojo, aku guna motor kau. Motor aku ni ada masalah sikit”
“Okey, Wan hati – hati. Malam ni gerenti kau menang” sokongnya.
Aku mengangguk. Wisel dibunyikan melepaskan pelumba – pelumba. Kutekan gear. Sepuluh orang sudah berjaya kulepasi. Aku mengejar motor di depanku. Ternyata bos Elvat bukan calang – calang orangnya. Seketika aku mencari ruang untuk memintasnya. Nasib baik ruang di sebelah kiri lupa ditutupnya. Aku ambil kesempatan, motor kupecut. Tepuk sorak teman – teman menantiku di garisan penamat.
“Yahoo!!!!”
Belum sempat tanganku menanggalkan helmet di kepala, teman – teman menyerbuku. Aku terus diusung sebagai juara.
“Irwan!”
Kami menoleh. Elvat tercengat memandang kami. Wajah yang tidak gembira. Mesti dia sakit hati dengan kemenanganku ini. Aku segera turun.
“Bos aku nak jumpa kau”
“Beritahu bos kau kalau berhajat datang sini” balasku.
“Ya betul” sokong Jack.
“Okey”
Elvat memberi isyarat kepada geng – gengnya. Seketika kemudian kulihat seorang pemuda bertubuh segak dibaluti dengan pakaian serba hitam melangkah ke arah kami. Helmet masih ditangannya. Semakin lama semakin dekat lelaki itu. Dalam cahaya samar – samar itu aku dapat menangkap raut wajahnya. Ya Allah, betulkah ni.....!
“Macam Mat Salleh je bos dia” bisik Die di telingaku.
“Hai, aku Eizlan!”
Dia memperkenalkan dirinya sambil menghulurkan tangan kepadaku. Buat seketika aku terdiam. Tangannya masih belum kusambut.
“Alah, buka ler dulu helmet kau tu” arah Jack.
“Betul juga. Saya nak tengok wajah jaguh ni” sokongnya.
Aku tiada pilihan lain. Perlahan – lahan tanganku menanggalkan helmet. Kaca mata hitam kuangkat ke rambut. Bulat mata abang menatapku. Dia jadi panik.
“A...Adik..” perlahan – lahan namaku meniti di bibirnya.
Semuanya jadi hairan melihat kelakuan kami.

Aku memecut motorku mengejar motor abang. Tanpa menunggu aku, abang terus saja masuk. Anak kunci dan helmet dibalingnya ke sofa. Aku masih relaks lagi. Kedengaran bunyi barang – barang berlaga di dapur. Jam menunjukkan pukul 2.00 pagi.
“Alaa, abang ambik cawan tu jangan kasar sangat, orang lain tengah tidur tau” tegurku dari ruang tamu.
Kedengaran bunyi tadi lebih kuat lagi. Tanda protes abang ke atasku.
“Abang ni dilarang macam disuruh” rungutku.
“Adik tahu tak, Adik telah malukan abang. Kat mana abang nak letak muka ni nanti” marahnya tiba – tiba.
Aku buat muka selamba saja. Bukan salahku pun kalau dia hendak tewas. Lagipun bukan aku tahu pun lawanku adalah abang. Kalau aku tahu sudah pasti awal – awal lagi aku tidak mahu bertanding dalam perlumbaan tadi.
“Dah kalah apa boleh buat. Janganlah emosional sangat” balasku.
“Adik jangan nak main – main lagi. Abang serius ni!” tengkingnya.
“Adik juga serius bang!” balasku meninggikan suara.
“Semua ni pasal Adik”
Abang masih menyalahkan aku. Lelaki ini tinggi sangat egoisnya sampai sakit hati aku dibuatnya. Tidak dapat menerima kenyataan kalah di tangan seorang perempuan. Mungkin yang membuatkan abang parah kerana aku adalah adiknya. 
“Pasal apa pula?” tanyaku janggal.
Senyap seketika.
“Abang dalam pertandingan ni memang adatnya ada menang, ada kalah. Apa hal nak dipersoalkan lagi” jelasku cuba menyedarkannya.
“Tapi Adik telah menjatuhkan maruah abang!”
“Abang janganlah berfikiran kolot dan sempit”
“Adik jangan pula nak berlagak tau. Sedarlah Adik tu perempuan, lemah tak layak aktiviti – aktiviti lasak macam tu, yang sesuai duduk je kat rumah ni tunggu orang pinang!” bentak abang melalut.
Aku tersentak. Terasa terlalu ringan tanganku. Di luar dugaanku sebiji penumbuk disinggah di pipi abang. Abang tergamam.
“Adik!”
Serentak aku dan abang menoleh. Abah sudah tercengat di anak tangga. Abang menatapku. Kemudian dia berlalu ke bilik meninggalkan aku yang masih tercengat di ruang tamu. Abah merapatiku. Terasa subuh ini bukan setakat malang buat abang malah malang juga buatku. Semua ini pasti akan terbongkar.
“Apa hal kamu berdua bergaduh hah!” suara abah lantang sambil menatapku tajam.
Aku hanya mendiamkan diri. Tidak mahu bercakap takut terbongkar rahsia. Sedaya – upaya aku cuba menyimpan kejadian punca kemarahan abang dari sampai kepengetahuan abah. Abah tidak akan bertolak – ansur dengan perkara tersebut.
“Hah, Adik dan Lan nak sembunyikan sesuatu daripada pengetahuan abah ye!” duga abah mendesakku.
Aku angkat bahu.
“Cepat cakap Adik, apa sebenarnya yang berlaku?” gesa abah.
Aku jadi serba salah melihat renungan abah. Mahu tidak mahu akhirnya aku terpaksa juga bongkarkan rahsiaku dan abang. Kulihat wajah abah bertukar menjadi bengis. Sungguh mennggerunkan dan menakutkan.

No comments:

Post a Comment