Monday 19 August 2019

Sungguh Aku Cinta Awak....5!




Bab 5

            “Aduhhh....!”
Dia menatap luka di dahinya. Bukan setakat luka tapi turut lebam. Perlahan-lahan ditampaln plaster pada luka tersebut. Dia mengerang kecil menahan sakit. Seketika dia tercengat di depan cermin menatap diri.
            “Berani dia cederakan muka sehandsome ni,” tuturnya sendirian. Wajah pucat gadis itu menjelma. Daniel tersenyum sendiri menampakkan lesung pipinya. Dalam  marah, ada lucunya. Pertama kali dia dipertemukan dengan gadis yang begitu cekal dan nekad. Gadis yang mampu melindungi dirinya sendiri. Gadis yang langsung tidak tertarik akan dirinya persis gadis-gadis lain yang menyesakkannya. Daniel menarik nafas panjang.
            “Daniel, jom makan,” kedengaran suara perempuan memanggilnya. Daniel melepaskan keluhan kecil. Beberapa minit kemudian dia sudah berada di ruang makan. Nenek Jah tersenyum menyambut kedatangan cucu tunggal kesayangannya itu.
            “Kenapa dengan dahi kamu tu?” Pandangannya tepat pada dahi anak muda itu. Daniel tersenyum lalu melabuhkan duduk berhadapan dengan perempuan tua itu. Persoalan itu dibiarkan sahaja.
            “Kamu bergaduh lagi ke?” Dia hanya tersenyum.
“Kamu bergaduhkan?” diulangi pertanyaan itu lagi. Tidak puas hati dengan diam pemuda ini.
“Taklah nek. Ada kawan yang tak sengaja baling batu mengena dahi Daniel petang tadi. Agaknya dia menyampah tengok Daniel,” jelasnya berseloroh.
“Lelaki ke perempuan kawan tu?” soal Nek Jah menyiasat.
Daniel berpandangan dengan Nek Jah. Dia hanya senyum. Susah hendak berterus terang.
            “Ni mesti perempuan. Masakan kawan lelaki nak baling-baling batu pula. Lagipun orang lelaki tak pernah pun cederakan cucu nek ni,” teka Nek Jah berandaian sendiri. Daniel tergelak kecil. Sememangnya bicara neneknya itu betul.
“Daniel laparlah nek, jom makan,” Nek Jah cukup faham dengan perangai cucu kesayangannya itu. Bukan dia tidak pernah menegur perangai Daniel yang selalu bergaduh itu, cuma Daniel yang degil tidak mahu mempedulikannya.
            “Lain kali perkenalkan pada nenek kawan perempuan tu. Mesti dia gadis yang baik,” luah Nek Jah dengan mata yang bersinar-sinar. Daniel tersedak. Laju dia meneguk air di dalam gelas. Dia mengurut -urut dada. Permintaan Nek Jah itu terlalu tinggi.
            “Baik apa... Ganas sungguh,” bisiknya.
            “Gadis yang tak suka lebih-lebih pada kamu itulah yang baik berbanding dengan mereka yang tergila-gilakan kamu,”nasihat Nek Jah.
            “Nek macam tahu-tahu pula apa yang Daniel fikir,” luahnya berterus terang.
          “Nek dah cukup kenal dengan kamu. Makanlah nasi tu,” Daniel patuh sahaja. Tidak mahu bercakap panjang risau Nek Jah akan fikir yang bukan-bukan. Paling penting dia tidak mahu perempuan itu tahu bagaimana perkenalannya dengan gadis itu. Nanti percuma dia akan dimarah. 
            Daniel menatap buku. Terus sahaja meletakkan kepala pada bantal empuk itu. Tenang matanya menatap siling.
            “Gadis yang tak suka lebih-lebih pada kamu itulah yang baik berbanding dengan mereka yang tergila-gilakan kamu,” suara neneknya terngiang-ngiang di telinganya. Daniel tersenyum sendiri.

################
           
            “Daniel, apa hal dengan dahi awak tu?” Farhan hairan menatap Daniel. Sudah dijangka tampalan di dahinya ini pasti mengundang persoalan rakan- rakannya. Pertama kali dia tewas bertarung.
            “Ada pergaduhan kecil berlaku semalam,” jelasnya. Mereka beriringan melangkah ke kelas.
            “Tengok di depan tu,” Daniel melontar pandangan ke hadapan. Gadis itu sedang melewati mereka. Tampak tenang. Langsung tidak menghiraukan keadaan di sekeliling. Seakan ada dunia indahnya sendiri. Daniel tersenyum. Ada terpalit cemburu di hatinya.
            “Dangerous girl,” luah Daniel. Farhan tertawa. Tidak sangka itu yang bakal di dengar dari mulut Daniel.
            “Tak pernah aku jumpa perempuan sedegil dia,”
            “Awak dengan dia serupa. Sekurang-kurangnya buku telah bertemu ruas,” usik Farhan. Dibiarkannya sahaja bicara rakannya itu berlalu. Anak matanya masih menyoroti langkah gadis itu.
            “Memang dia gadis yang berbisa,” bisiknya sendirian.
            Aku meletakkan beg di bahu kerusi. Kutoleh ke kiri ke kanan mencari kelibat Fatin, Umie mahupun Zatul. Masing-masing belum kelihatan lagi. Kulirik jam di tangan. Barangkali belum sampai. Kukeluarkan buku catatan. Mahu mempastikan segala tugasan telah diselesaikan.
            “Morning ...,”suara Zatul memenuhi ruang kelas. Aku melontar pandangan ke muka pintu. Zatul, Fatin dan Umie baru sampai.
            “Awal awak hari ni, Liya,” sapa Umie seraya mengambil tempat duduk di hadapanku.
            “Tak dapat tidur nyenyak semalam,” luahku. Mereka menatapku.
            “Kenapa?” suara Zatul sentiasa mendahului dari yang lain.
            “Saya rasa hari ini macam ada  malapetaka je,” tuturku selamba. Masing- masing terkejut mendengar bicaraku. Aku tersengih. Peristiwa semalam tidak akan dibiarkan begitu sahaja. Daniel ada agenda terbaharu untukku.
            “Saya bergaduh dengan Daniel semalam. Dahinya luka,” ceritaku ringkas.
            “Apa? Dahi Daniel luka? Awak buat apa?” berderet soalan keluar dari mulut Zatul. Apa lagi bulat anak matanya menatapku. Masing-masing tergamam mendengar cerita yang aku sampaikan. Mungkin di luar jangkaan mereka aku dapat mencederakan pelajar terhebat dan termasyhur di sekolah ini. Sebenarnya aku pun tidak menyangka akan bertindak sejauh itu. Terasa segalanya berlaku sepantas kilat. Semua tidak dirancang.
            “Saya baling batu tepat mengena dahinya,” sambungku bercerita disambut dengan  keluhan mereka.
            “Awak betul-betul mengundang malapetaka, Liya. Daniel tak mungkin akan lepaskan awak begitu saja,” tutur Zatul melepaskan keluhan. Aku diam. Terasa aku telah masuk ke dalam mulut harimau. Masing-masing diam.
            “Dia pun ada buat salah,” bidasku membela diri.
Kalau Daniel tidak menyimbah mukaku dengan lumpur, semua ini tidak akan terjadi. Kalau dia tidak membocorkan rahsianya bahawa dialah gerangan si pemandu kereta sport merah itu, pasti aku akan melupakan peristiwa itu. Semua ini salah Daniel juga. Dia yang sengaja minta dihukum.
            “Apapun awak kena bersedia dengan sebarang kemungkinan. Kalau boleh elakkan dari bertembung dengan dia. Harap-harap Daniel takkan cari awak,” luah Zatul berdoa. Tidak sedap hati juga aku mendengar bicara Zatul itu.
“Kenapalah budak itu muncul dalam hidupku,” keluhku sendirian. Walau apapun berlaku aku mesti menghadapi Daniel dengan berani. Dia juga manusia biasa seperti aku. Tidaklah menakutkan sangat berhadapan dengannya. Aku menarik nafas panjang. Daniel nampaknya memang ditakdirkan kita bermusuhan.
Loceng berdering kuat. Waktu persekolahan hari ini sudah sampai penghujung. Aku mengemaskan buku-buku ke dalam beg.
“Jangan lupa siapkan tugasan yang cikgu beri hari ni,” suara Cikgu Ghazali guru Pengajian Am berpesan.
“Baik cikgu,” sahut suara ramai.
“Berdiri semua,”
“Terima kasih cikgu,”
Cikgu Ghazali sudah melangkah ke pintu. Disusuli oleh rakan-rakan sekelas yang lain. Masing-masing bersaing mendahului meninggalkan kelas. Aku seperti biasa  akan membiarkan mereka pergi dahulu, kemudian baru aku menyusuli.
“Liya, kami akan melindungi awak,”Aku menoleh. Fatin, Umie dan Zatul sudah terpacak di sisiku. Aku tertawa terasa lucu dengan gelagat mereka.
“Percayalah takde apa -apa akan berlaku nanti,” tuturku yakin.
“Daniel  selalu bertindak di luar jangkaan,” tutur Zatul memperingatkan aku.
“Ini kawasan sekolahlah. Dia tak akan berani apa-apakan saya. Kamu baliklah,” arahku.
“Betul?” soal Umie meminta kepastian. Aku mengangguk.
“Kalau awak terjumpa Daniel nanti terus lari tau,” ujar Zatul memperingatkan aku. Aku tertawa kecil.
“Saya serius ni, Liya. Jangan lupa lari pecut tau,” ulang Zatul lagi. Aku hanya mengangguk.
“Baliklah,” arahku lagi.
“Kami pergi dulu, Liya. Hati-hati,” nasihat Fatin. Aku senyum. Kusoroti langkah mereka sehingga hilang dari pandangan mata. Aku mencapai beg. Kuatur langkah meninggalkan kelas yang masih dihuni oleh beberapa orang rakan yang nampak sibuk melangsaikan tugasan hari ini.
Aku berjalan santai menuruni anak tangga blok yang menempatkan kelas- kelas pelajar tingkatan enam. Beberapa blok bangunan sudah kulewati sebelum sampai ke garaj tempat letakn basikal yang dikhaskan untuk kemudahan pelajar -pelajar yang berbasikal.
“Dania Deliya!” Ada suara perempuan memanggilku. Aku mematikan langkah lalu menoleh ke belakang. Seorang gadis yang tidak kukenali datang mendekatiku.
“Apa yang awak buat pada Daniel? Awak ingat diri awak tu hebat sangat!” suaranya tegang dan keras. Tanpa salam perkenalan, dia terus ,menyerangku. Aku menatapnya hairan.
“Saya nak bayar hutang awak pada Daniel. Nah!”
Tiba-tiba dia menghayun kuat tangannya hampir-hampir menyentuh pipiku. Mujur sempat aku menangkapnya. Kugenggam kuat tangan gadis ini.
“Awak tak malu  pukul kaum sendiri hanya kerana seorang lelaki,” tuturku tegas. Dia menarik tangannya. Kedengaran dengusan kuat.
“Lepaskan tangan saya,” pintanya.
“Daniel tak layak menerima sebarang pembelaan. Kalau awak tak mahu dia disakiti lagi, tolong beritahu dia jangan ganggu hidup saya lagi. Hari ni saya lepaskan awak tetapi kalau kejadian hari ni berulang lagi, saya boleh buat awak jadi macam Daniel sekarang,” tegasku mengancamnya dengan pandangan yang cukup tajam.
Shit! Perempuan jantan,” kutuknya. Kulepaskan tangannya. Aku tersenyum sinis.
“Ingat pesanan saya tadi,” Kutinggalkan gadis itu dengan senyuman sinis. Biar dia bertambah sakit hati.
“Perempuan bodoh. Konon nak bela lelaki yang tak guna tu,” rungutku sendirian.
Aku mendengus. Betapa marahnya aku. Kenapa ada perempuan yang sanggup membelanya sedangkan memang layak Daniel diperlakukan sedemikian. Daniel tidak layak mendapat layanan yang baik. Dia bukan baik sangat pun. Panas hatiku berlanjutan sehinggalah aku sampai di halaman rumah. Mulutku tidak berhenti-henti mengomel sendirian mengutuk Daniel dan gadis itu. Sungguh aku tidak dapat menerima hakikat seorang gadis sanggup memukul gadis lain semata-mata kerana seorang lelaki. Dia telah menjatuhkan martabatnya sendiri, maruah seorang gadis. Memang tidak dapat diterima akal.
“Liya, apa yang dirungutkan tu?” Aku tersentak. Pantas aku berpaling. Abang Zekri hairan menatapku.
“Hey abang Zek, buat terkejut Liya je. Abang takde kuliah hari ni?” soalku semula.
“Hari ni cuma ada satu kelas toturial je pagi tad,i” jelasnya. Itulah istimewanya kalau dapat belajar di universiti. Abang Zekri kata selain kuliah, jadual yang lain boleh ditentukan ikut pilihan sendiri bersesuaian dengan waktu yang disenaraikan oleh pensyarah. Kalau mahu ada masa lapang pada hari-hari tertentu kenalah bijak menyusun jadual waktu sendiri. Pastikan sehari dua dalam seminggu padat dengan kuliah dan kelas toturial. Hari selebihnya boleh digunakan untuk berehat mahupun melakukan aktiviti yang dirancang. Sebab itulah ada segelintir mahasiswa dan mahasiswi sempat buat kerja ‘part time’. Kata abang Zekri lagi di universiti tidak sesusah yang dibayangkan. Kalau rajin dan berdisiplin pasti berjaya menggenggam segulung ijazah. Seronoknya kalau dapat belajar di universiti.
“Petang ni Liya free tak? Abang nak pergi memancing di sungai depan sana. Liya nak ikut tak?” pelawanya. Aku berfikir seketika, mempertimbangkan pelawaan abang Zekri. Seronok juga kalau pergi memancing. Sekurang-kurangnya aku boleh bersantai dan mengisi masa lapang hari ini tetapi tugasan yang diberikan oleh Cikgu Ghazali harus juga diselesaikan.
“Liya nak pergi tapi abang Zek janji akan tolong Liya siapkan tugasan P. A. Liya,” pintaku tanpa segan silu.
“Ohh... takde masalah,” putus abang Zekri bersetuju. Aku apa lagi tersenyum meleret. Bukan perkara baharu aku melibatkan abang Zekri dengan kerja-kerja sekolahku. Dia guru dan sumber rujukanku. Malah idola yang mendorongku terus belajar. Hubungan kami memang rapat bagai adik-beradik. Bahkan ayah kata, Mak Munah, ibu abang Zekri ibarat ibuku sendiri. Ayah memang banyak terhutang budi kepada Mak Munah kerana turut menjagaku semasa kecil khasnya ketika ayah bekerja. Ibu terlalu awal meninggalkan aku dan ayah. Tika ayah terkial-kial mengambil alih tugas seorang ibu, tika itulah Mak Munah menawarkan dirinya untuk menolong ayah menjagaku. Sebab itulah Mak Munah dan Pak Lah prihatin dan sayangkan aku seperti dia sayangkan abang Zekri. Begitu juga dengan ayah, abang Zekri sudah dianggap seperti anak sendiri. Jadi bolehlah dikatakan aku, ayah, abang Zekri, Mak Munah dan Pak Lah ialah sekeluarga.
Seumur hidup ini juga abang Zekri tidak pernah menyakiti hatiku malah jelas sekali dia sentiasa melindungiku. Aku tidak akan melupakan jasa keluarga itu kepadaku dan ayah.
“Jangan lupa petang lepas Asar nanti kita pergi,”
“Okey,” Aku dengan senang hati menyetujui  rancangan abang Zekri. Pasti tiada halangan  aku hendak pergi bersama abang Zekri. Seperti jangkaanku ayah langsung tidak membantah ketika aku mendapatkan keizinan daripadanya. Ayah percaya abang Zekri boleh menjaga dan melindungiku.
Tepat pada masa yang dijanjikan, aku dan abang Zekri bergerak ke destinasi yang dituju. Sepanjang perjalanan kami bersaing ingin mendahului perlumbaan. Aku mengayuh basikal sepantasnya. Tidak mahu kalah dengan abang Zekri. Aku tidak mahu abang Zekri menewaskan aku dengan mudah. Sekurang-kurangnya aku mahu jadi pencabar hebatnya.
“Daniel tengok tu...Dania,” Boney menunding jari kepada gadis dan seorang pemuda yang tampak riang mengayuh basikal. Gadis dan pemuda itu baru sahaja melewati mereka yang sedang melepak di warung itu.
“Dia dah ada pak we. Boleh tahan juga pak we dia,” puji Farhan.
Daniel tersenyum sendiri. Dia masih menatap gadis dan pemuda yang kian hilang dari pandangan matanya.
“Saya boleh rampas dia dari pemuda itu,” tuturnya penuh keyakinan. Farhan dan Boney tertawa.
“Daniel, awak dengan dia tak pernah pun berbaik. Tak semudah itu dia akan tertarik dengan awak,” balas Farhan. Daniel tertawa.
“Awak cabar saya? Okey ... mari kita bertaruh. Saya jamin sebelum kita tinggalkan alam persekolahan ini dia akan bersamaku bukan sebagai sahabat tetapi sebagai kekasih. Pasti dia akan jatuh hati padaku. Kamu tengoklah nanti,” tutur Daniel penuh yakin.
“Okey ... siapa yang menang dalam pertaruhan ini akan dapat apa saja yang diminta. Setuju?” tanya Farhan. Daniel mengangguk. Begitu juga dengan Boney. Nilai taruhan bukan masalah. Mereka punya wang yang banyak. Tangan ketiga-tiga pemuda itu bersatu tanda perjanjian termeterai. Daniel tersenyum. Ada misi yang perlu dilaksanakan sekarang.

Monday 15 July 2019

Sungguh...Aku Cinta Awak...! ...4





Bab 4

                       “Liya, tadi saya nampak Daniel dan kawan-kawannya dirotan pengetua,” cerita Zatul yang tidak pernah ketinggalan dengan cerita terkini Daniel.
             “Baguslah,” celah Umie mendahuluiku disambut dengan senyumanku.
            “Sekurang-kurangnya mereka sedar peraturan tak membezakan yang miskin dengan yang kaya. Paling penting mereka sedar tak boleh buat sesuka hati di sekolah,” tambah Fatin.
            “Kamu rasa Daniel akan berdiam diri je lepas ni?” soal Zatul. Fatin dan Umie berpandangan. Kemudian menatapku.
            “Saya dah sedia nak berhadapan dengannya,” jelasku dengan keyakinan yang tinggi.

               Loceng berdering kuat. Tamat waktu sesi persekolahan hari ini. Aku berpisah dengan Fatin, Umie dan Zatul membawa haluan masing-masing. Di pertengahan jalan aku melihat sekumpulan pelajar sedang bertungkus-lumus menggali longkang sambil diawasi oleh Cikgu Tehran. Tatkala seorang daripada mereka berpaling, jelas nampak wajahnya. Aku melemparkan senyuman sinis selebarnya. Senyuman yang pasti mengundang kemarahan di hatinya. Paling nyata wajah itu tergambar dendam. Aku menyambung kembali langkahku. Aku sudah nekad bahawa aku tidak akan mengalah dan tidak akan membiarkan Daniel memperlakukan diriku sewenang. Apa yang bakal aku terima daripadanya pasti itu yang akan kuberikan kepadanya.

            Aku mendongak awan yang kelihatan hitam. Terbit kerisauan di hati. Semoga hujan tidak turun. Kalau tidak pasti akan mengundang kesukaran untukku menghadiri gerko hari ini.
            “Hari macam nak hujan je,” Ayah mendongak ke langit. Kemudian mengalih pandangan ke arahku.
            “Biar ayah je yang hantar kamu ke sekolah,” pelawa ayah. Aku menggeleng.
            “Tak pelah ayah. Sekolah bukan jauh sangat. Kalau nak hujan pun mesti Liya dah sampai sekolah,” tuturku penuh yakin. Seperti biasa ayah tidak akan memaksa aku menuruti kata-katanya. Ayah seorang yang penuh diplomasi. Betapa beruntung aku memiliki seorang ayah sepertinya. Selepas mencium tangan ayah, aku mengayuh basikal ke sekolah yang jaraknya hanya kira-kira tiga kilometer dari rumah. Ayah juga telah keluar untuk memulakan tugas sebagai pemandu teksi. Di pertengahan jalan, tiba-tiba sahaja hujan turun dengan lebat. Sekelip mata sahaja permukaan bumi habis basah dan lopak- lopak dipenuhi air. Mujur juga aku sudah bersedia lebih awal memakai jaket kalis air. Memandangkan hujan semakin lebat, aku mengambil keputusan  berteduh di warung lama yang tidak beroperasi lagi tepat-tepat di bahu jalan.
           
            Seketika aku terpacak di situ dengan basikal yang sudah tersandar. Aku memerhatikan rintik-rintik hujan yang sudah tidak jelas butiran. Aku berganjak sedikit daripada kedudukan asal mengelak tempias air hujan. Aku leka memerhatikan lopak besar yang sudah dipenuhi air. Dalam hati  menyesal menerpa kerana menolak pelawaan ayah. Kalau tidak kerana kedegilanku tadi, pasti aku sudah selesa berada di dewan sekarang. Kulihat jam di tangan. Nampaknya aku akan terlewat sampai ke sekolah petang ini.

            Dalam kesamaran hujan lebat, aku nampak sebuah kereta sport merah meluncur laju. Gerun aku melihat cara si pemandu memandu kereta seolah-olah tidak hiraukan keselamatan diri dan orang lain. Kereta sport BMW merah itu melewatiku dengan begitu megah.
           
            Tiba-tiba sahaja kereta sport merah itu perlahan. Tanpa kuduga kereta itu berhenti seketika. Barangkali ada masalah. Aku mengalih pandangan mendongak langit. Langsung tidak kelihatan hujan mahu berhenti. Pantas aku berpaling apabila kedengaran bunyi deruan kereta yang kian jelas. Pupp!! Aku tidak sempat mengelak. Tayar kereta itu betul-betul berada dalam lopak yang dipenuhi air. Segalanya berlaku dengan pantas. Akibatnya muka dan jaket yang kupakai disimbahi air lopak yang berlumpur. Habis kotor. Dalam keadaan mata yang terkebil-kebil, aku nampak tangan si pemandu melambai-lambai di luar tingkap kereta. Kemudia kereta itu terus meluncur laju tanpa mempedulikan aku.
            Aku menyumpah. Sungguh aku tidak dapat mengawal perasaan marah dan geram. Sakit hati dengan sikap pemandu yang tidak bermoral itu.
            “1404 ... Aku akan cari siapa tuanmu yang tak berperikemanusiaan itu,” janjiku pada diri sendiri. Akhirnya dalam sisa-sisa kemarahan kukayuh basikal meredah hujan. Alang-alang sudah kotor sebegini lebih baik  bermandikan air hujan. Aku meletakkan basikal di garaj. Sempat ke bilik air sebelum melangkah ke dewan lokasi perjumpaan Kelab Bola Tampar sekolah. Pemandu itu betul-betul melampau. Kubasuh muka bersih-bersih. Kuteliti pakaian di depan cermin. Berbintik-bintik kecoklatan. Sedikit-sedikit kusapu dengan air. Biar sahaja di rumah nanti  aku membasuh sebersih-bersihnya.

            Tika aku menjejakkan kaki di muka pintu dewan, Mr. Wong sedang mencatat kehadiran ahli Kelab Bola Tampar. Mujur ketika aku sampai namaku belum dipanggil lagi. Aku melabuhkan duduk di sisi Serina. Kami berbalas senyuman.
            “Dania Deliaya...,”
         “Saya cikgu,” sahutku sambil mengangkat tangan.
           “Kenapa lewat hari ni?” soalnya sekadar meminta kepastian.
        “Maaf cikgu, hujan lebat,” balasku. Mr. Wong menatapku.
            “Hari ni saya maafkan. Lain kali atasi fenomena sebegini dengan bijak,” Aku hanya mengangguk. Lega. Sekurang-kurangnya aku terlepas daripada hukuman.
           “Daniel Adhwa,” Aku melontar pandangan ke arah pelajar lelaki yang sedang mengangkat tangan. Kebetulan dia juga menatapku. Kami bertentang mata seketika. Tiada senyuman. Masing-masing berwajah masam dan serius. Antara aku dengan Daniel masih ada dendam yang belum dilangsaikan.
            “Okey, buat bulatan. Daniel ketuai aktiviti pemanasan badan,” suara Mr. Wong menyentakkannya. Aku turut tersentak. Dalam beberapa minit sahaja satu bulatan besar telah terbentuk. Aktiviti pemanasan badan terus dimulakan. Aku seperti rakan-rakan lain mengikut gerakannya. Sempat juga aku berimaginasi. Alangkah baik kalau tiba-tiba aku melangkah ke hadapan lalu menghadiahkan sepak terajangku kepada anak muda itu. Mesti dia terkial-kial hendak menangkis seranganku memandangkan saat ini Daniel sedang leka dengan tanggungjawab yang diberikan oleh Mr. Wong. Aku tersenyum sendiri. Lucu.
            “Cik Dania Deliya, apa yang mencuit hati sampai tersenyum-senyum sendiri ibarat orang yang tak siuman,” tegur suara itu. Aku tersentak. Berpasang-pasang mata sedang memandangku. Kulihat Daniel sedang mengangkat-angkat kening menanti jawapan yang bakal aku berikan. Aku melemparkan jelingan tajam kepadanya.
            “Buat serius sikit,” suara Mr. Wong mengembalikan suasana asal.

            Aku mengikat tali kasut kemas-kemas. Beberapa orang teman sudah menunggu di gelanggang. Seperti biasa kami mengikut pasukan yang telah dibahagikan oleh Mr. Wong iaitu pasukan senior dan pasukan junior. Pasukan  senior dibahagi kepada A dan B yang terdiri daripada pelajar tingkatan 4 sehingga tingkatan 6. Begitu juga dengan pasukan junior ada A dan B yang diwakili oleh pelajar tingkatan 1 hingga tingkatan 3. Mereka ini merupakan atlet pelapis sekolah. Sebenarnya bilangan ahli Kelab Bola Tampar ini tidak ramai berbanding bilangan ahli kelab yang lain. Mr. Wong mahukan ahli kelab yang  berpotensi yang boleh mewakili sekolah dalam pertandingan bola tampar. Maka dia mahukan jumlah yang tidak ramai agar mudah baginya melatih secara intensif. Kebetulan permainan ini memang tidak memerlukan ramai peserta bagi satu-satu permainan.
            “ Rasanya hari ni ada cerita lawak yang berlaku,” Ada suara di belakangku. Aku menoleh. Daniel tersengih-sengih lalu beredar meninggalkan aku termangu- mangu. Cerita lawak? Aku memikirkan bicara Daniel sebentar tadi. Apa yang lawaknya? Jangan-jangan dia nampak aku disimbahi lumpur. Muka yang comot. Ahh! jengkel aku melihat mukanya. Jangan-jangan semua itu angkara Daniel.
       “Liya, cepat sikit!” suara Angela memanggilku. Aku berlari ke gelanggang mengambil posisiku. Kebetulan Daniel bertentangan denganku. Dia masih tersengih-sengih. Mujur aku dan Daniel tidak berada dalam pasukan yang sama. Kalau tidak pasti kami tidak boleh bekerjasama dengan baik.
            Bicara Daniel kembali bermain di fikiran. Betulkah dia yang memandu kereta sport merah tu? Kereta yang meluncur laju yang tiba-tiba berundur mendekatiku lalu menghadiahkan simbahan air lumpur pada pakaian dan mukaku. Kemudian meninggalkan aku dengan lambaian tangan. Mesti semua itu angkara Daniel. Kejadian bermotifkan dendam. Sememangnya ada dendam yang belum dilunaskannya kepada aku.
            “Liya, adang bola tu!” suara Petrus melaung namaku. Aku tersentak. Bola sudah melambung jatuh ke simen.
            “Apa yang awak khayalkan tu?” tegur Petrus kurang menyenangi perlakuanku. Aku jadi serba salah. Gara-gara Daniel aku hilang fokus.
            “Sorry ...,” hanya itu yang mampu aku luahkan. Sememangnya aku bersalah. Bersalah kerana memberi peluang kepada pasukan lawan untuk mengutip mata.
            “Mana ada orang main sempat berkhayal,” perli Daniel. Aku mengetap bibir menahan gelodak hati. Geram! Rasa mahu koyak-koyak sahaja mulut celupar itu. Kini giliran dia yang servis. Aku menatap Daniel. Tampak dia bersungguh-sungguh. Tatkala dia mengangkat tangannya, mataku menangkap kain balutan merah berjalur putih pada pergelangan tangannnya. Ahh! Kain itu yang aku nampak pada tangan yang melambai-lambai tadi. Memang sah kejadian tadi angkara Daniel.
            Aku meneruskan permainan seperti biasa. Tidak kupedulikan sengihan Daniel yang sengaja mengundang kemarahanku. Pertarungan antara pasukan A dengan B begitu sengit. Keseimbangan kekuatan pasukan menyukarkan permainan dimonopoli oleh satu-satu pasukan sahaja. Hanya menunggu kesilapan sahaja bagi membolehkan kutipan mata. Sekarang mata terikat pada 20. Hanya satu mata  lagi yang akan menentukan siapa pemenangnya. Walaupun ini bukan pertandingan, tetapi kalau boleh aku tidak mahu kalah ditangan Daniel.
            Giliran pihak lawan yang menghantar bola. Aku akan halang mereka daripada mengutip mata terakhir. Pasti akan aku matikan serangan yang mendatang. Servis bola menjunam merentasi jaring. Mujur Alan berjaya menyambut bola lalu memulangkan semula kepada pihak lawan. Keterina menyambut bola itu lalu mengumpan kepada Syamsul di sebelahnya. Syamsul terus sahaja merejam bola ke sebelah. Aku merejam balik bola yang dihantar Syamsul. Namun rejamanku tidak cukup tajam membolehkan Syamsul dengan mudah menyambut bola itu. Dia mengumpan bola kepada Daniel. Posisi bola yang begitu baik. Justeru, Daniel mengambil peluang keemasan itu untuk membuat rejaman tajam. Dia melonjak tinggi melakukan rejaman. Malang sungguh, Petrus tidak dapat mengadang rejaman bola Daniel. Wisel penamat dibunyikan sekali gus mengisytiharkan kemenangan kepada pihak lawan. Mereka tertawa riang.
            “Menang tipis je dah gembira lebih-lebih,” perliku sengaja ditujukan kepada Daniel. Dia mempamer muka seposen sambil terpacak di depanku bersama senyuman panjang. Ketika  melewatinya aku mengambil kesempatan memijak kakinya yang sengaja dilunjurkan menghalang perjalanan.
            “Aduhhh...!” Daniel terjerit kecil. Nampak dia melompat-lompat menahan sakit. Diusap-usap kakinya beberapa kali. Aku tersenyum sendiri. Puas hati dapat mengenakan Daniel.

            Aku mengesat peluh di muka dan di leher. Kusandarkan tubuh ke dinding. Letih.
            “Letihnya...,” keluh Angela seraya melabuhkan duduk di sebelahku. Aku hanya senyum. Mataku terarah ke gelanggang memerhatikan para junior beraksi.
            “Kamu perlu bergerak dan berada di bawah bola ketika mengumpan. Rejaman yang baik dapat dilakukan apabila bola yang diumpan dekat dengan atas jaring,” Sesekali kedengaran suara Mr. Wong menegur. Tampak mereka begitu bersungguh-sungguh. Boleh dikatakan pertarungan mereka begitu menarik sehingga melekakan aku dan Angela terus menonton aksi mereka.
            “Smesh Katty,” ada suara yang memberi arahan. Gadis tinggi lampai itu melakukan aksi yang diharapkan. Smeshnya begitu bertenaga sehingga pihak lawan gagal menyambut bola itu. Aku dan Angela bertepuk tangan meraikan kejayaan mata yang dikutip.
            “Bagus juga smesh dia,” puji Angela disambut dengan anggukan kepalaku mengiyakan. Aku setuju. Ada bunyi tapak kaki yang berhenti dekat denganku namun tidak kuhiraukan. Aku hanya memfokuskan pandangan ke gelanggang menyaksikan perlawanan itu. Memang tepat. Seorang melabuhkan duduk di sebelahku.
            “Memanglah puteri katak tak boleh dipisahkan dengan lumpur. Awak setuju tak?” Aku menoleh. Daniel sudah berada di sebelahku rancak mengesat peluh. Aku menatapnya tajam. Apa maksud bicaranya? Bingkas  Daniel bangkit dari tempat duduk lalu melangkah ke muka pintu meninggalkan dewan.
            “Puteri katak tak boleh dipisahkan dengan lumpur,” perlahan-lahan aku menyambung semula bicara itu. Bingkas aku mencapai beg lalu berlari ke pintu. Niat hati cuba mengejar langkah Daniel.
            “Liya... awak nak ke mana?” laung Angela kehairanan. Aku hanya sempat melambaikan tangan. Daniel sudah berada beberapa meter di depan. Kalau betul Daniel yang punya angkara, apa yang patut aku lakukan kepadanya? Pukul dia atau simbah balik mukanya dengan lumpur? Calarkan kereta sport merah itu? Daniel membelok ke kanan. Barangkali di situ dia meletakkan keretanya. Kubesarkan langkah mengekori. Terpandang kereta merah itu. Sah memang Daniel yang punya angkara. Sebelum sempat Daniel menghilangkan diri di sebalik kereta itu, pantas aku melaung namanya.
            “Daniel tunggu!” Dia berpaling ke arahku. Aku berlari mendekatinya. Daniel tersengih panjang.
            “Awak yang simbah saya dengan lumpur tadi kan,” tekaku. Daniel tersengih panjang. Langsung tiada suara yang menafikan bicaraku.
            “So ... awak nak buat apa?” soalnya bongkak. Aku mendengus. Panas hatiku.
            “Awak nak buat apa hah ... hah...,” Daniel menolak-nolak tubuhku. Aku berundur selangkah demi selangkah tetapi Daniel semakin mendekatiku. Kalau aku beradu tenaga dengan Daniel pasti aku yang tewas.
            “Kenapa awak selalu menyusahkan saya?” tanyaku.
“Susahkan awak? Siapa yang mulakan?” soalnya semula. Bengang! Memang otak dia tidak betul. Tolakan kasar tangan Daniel begitu kuat. Aku tidak dapat mengimbangi tubuhku lalu tersungkur. Daniel tertawa bahagia. Pantas aku mencapai apa sahaja yang berdekatan denganku lalu membaling tepat terkena pada dahi Daniel.
            “Aduuhhh...!” Jeritan Daniel begitu kuat. Tangannya pantas menutup dahi. Ada darah mengalir keluar. Aku tergamam. Sungguh aku tidak berniat hendak mencederakannya sedemikian rupa.
            “Berani awak cederakan saya,” Daniel menarik tanganku dengan kasar. Pergelangan tanganku dicengkam kuat. Aku sudah berdiri menghadap wajah Daniel yang merah merona. Bila-bila masa sahaja Daniel akan menyerangku. Tatkala Daniel mengangkat tinggi tangannya, aku hanya mampu memalingkan muka dan memejamkan mata. Sesaat ... seminit ... Tiada apa-apa yang berlaku. Daniel melepaskan cengkamannya pada pergelangan tanganku.
            “Pergi...!!!” tengking Daniel sekuat hati. Aku tersentak. Bagai lipas kudung aku berlari meninggalkannya terpacak di situ. Sebelum Daniel mengamuk sakan lebih baik aku memanjangkan langkahku menyelamatkan diri. Kelibat Daniel sudah tidak kelihatan. Dia sudah jauh kutinggalkan. Aku menarik nafas lega. Mujur juga Daniel masih ada pertimbangan kemanusiaan.

Sungguh...Aku Cinta Awak!...3




Bab 3

“Siapa pelajar di kelas ini bernama Dania Deliya?” Pantas aku menoleh ke muka pintu. Begitu juga dengan teman-teman sekelas lain. Dua orang pelajar lelaki terpacak di situ. Entah, aku tidak tahu siapa gerangan mereka. Namun wajah itu tidak asing dari pandangan mataku.
“Itu...Dania Deliya,” beritahu Zatul mendahului. Mereka melangkah masuk mendekatiku.
            “ Farhan dan Boney... kawan-kawan Daniel,” bisik Zatul yang sempat aku dengar. Pasti Zatul mengenali mereka kerana apa sahaja yang berkaitan dengan pemuda itu tidak akan terlepas daripada pengetahuannya. Sebuah kotak dibalut indah serta dihiasi dengan tali reben merah berada di tangan lelaki itu.
            “Hai...! Kami datang ni nak bawa hajat. Daniel nak berkenalan dengan awak,” tutur salah seorang daripada mereka. Aku menatap wajah itu penuh kehairanan. Aku tidak silap mendengar kenyataan yang baru sahaja keluar dari mulut Farhan. Nama yang tertera pada tanda nama yang aku nampak.
            “Wow... bestnya,” suara Zatul mencelah disusuli bisikan teman-teman yang tidak tentu butirannya.
            “Hadiah salam perkenalan dari Daniel. Harap-harap awak sudi menerimanya dan kalau boleh tolong buka sekarang,” tambah rakannya yang seorang lagi. Aku menatap Fatin dan Umie yang berada dekat denganku meminta kepastian. Ada yang tidak kena. Zatul tersenyum lebar.

            “Liya bukalah hadiah tu,” pinta Zatul sebaik sahaja Farhan dan rakannya melangkah pergi. Aku masih ragu-ragu. Persis ada sesuatu akan berlaku.

“ Apa yang awak fikirkan lagi, Liya? Buka je kotak tu, takkan ada bom kot,” tutur Zatul  lancang dan tidak sabar-sabar. Teman-teman sekelas yang lain juga nampak turut sama menanti.
           
            “Kalau nak tahu apa yang ada di dalam kotak itu kenalah buka,” tutur Umie memberi cadangan.
“Ye, kan tadi dia suruh buka,” tambah Zatul lagi.
            “Bukalah Liya. Nak juga kami tahu apa ada dalam kotak tu,” luah Angela bagai mewakili teman sekelas yang lain.
            Aku menatap mereka. Masing-masing mengangguk menyokong permintaan Angela. Aku menarik nafas. Cuba bertenang. Dengan bacaan ‘bismillahnirahmanirahim’, perlahan-lahan aku mula menanggalkan reben dan balutan pada kotak. Kuangkat penutup kotak. Tiba-tiba melompat satu benda dari kotak itu lalu tepat mendarat ditanganku. Terasa sejuk.

            “Katak...!!!”Aku menjerit sekuat hati. Sepantas kilat menghayun tangan. Kelas kelam kabut. Masing-masing cuba menyelamatkan diri. Aku berlari meninggalkan tempat duduk. Namun malang kakiku tersangkut pada kaki kerusi. Bupp...!!! Aku terjatuh tertiarap ke lantai. Tiba-tiba katak tadi melompat semula ke tubuhku yang terlentang ini.
            “Tolong...!!!” jeritku ketakutan. Fatin, Zatul dan Umie berlari. Sepantas Zatul menghayun buku di tangan tepat mengena tubuh katak itu lalu terhumban jauh.
            “Liya, awak tak apa-apa?” Umie dan Fatin membantuku bangun. Lututku sakit. Kuselak sedikit kain baju kurungku.
            “Lutut awak lebam,” beritahu Fatin. Aku senyap. Katak yang sedang berlegar-legar di ruang kelas dengan susah payah akhirnya berjaya ditangkap oleh rakan lelaki sekelas. Fatin memimpin aku duduk di kerusi.
            “Awak okey?” Aku diam. Masih tergamam. Aku masih terkejut dengan kejadian tadi.
            “Muka awak pucat,” beritahu Umie. Aku masih tidak bersuara. Fatin mengusap-usap lembut bahuku cuba menenangkan. Kedengaran deraian tawa yang panjang memecah kesepian. Beberapa orang pelajar lelaki melewati kelas kami tertawa sakan disusuli dengan bunyi suara katak yang sengaja dibuat-buat. Fatin dan Umie menatapku.      
            “Jahat betul mereka tu,” marah Umie.
          “Lain kali jangan cepat sangat percayakan orang. Muka handsome tak semestinya hati baik,”ada suara lelaki di belakang menyalahkanku.
            “Haris...!” Zatul menegur suara itu. Perasaanku saat ini sukar untuk ditafsirkan. Malu. Terasa maruahku telah diperolok-olokkan. Aku mengetap bibir.
            “Liya sorry,” Zatul mendekati lalu memegang bahuku. Aku menatap teman -teman sekelas. Berpasang-pasang mata sedang memerhatikanku. Pasti pelbagai tanggapan sedang bermain di fikiran mereka.    
            “Saya nak pergi ke bilik air sekejap,” Bingkas aku bangun lalu melangkah laju meninggalkan kelas. Di bilik air, aku menatap wajahku. Pucat. Terasa panas menuruni cerun pipiku. Aku menangis teresak-esak di situ. Betapa malunya aku diperlakukan sedemikian. Sedikit masa lagi pasti ceritaku akan menjadi topik sensasi. Semua orang akan mentertawakan aku terutama peminat-peminat lelaki jahat itu. Mengenang anak muda itu, tangisanku terhenti. 'Daniel, aku tidak akan lepaskan kau sewenangnya. Aku akan pulangkan kepada kau kesakitan yang aku rasa saat ini!'  
           
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

                        “Kronngg...! Kronngg...!” Aku mendengar suara katak yang sengaja dibuat-buat ketika aku melewati beberapa buah kelas lain. Mereka sedang menyindir dan memperolokkan aku. Sangkaanku benar belaka. Awal-awal sudah aku dapat agak bahawa situasi ini akan aku hadapiku jua. Sesampai di sekolah, aku tidak terus pergi ke kelas sebaliknya mengatur langkah ke bilik guru disiplin. Aku tidak akan bertolak ansur dengan Daniel dan rakan-rakannya. Aku tidak akan biarkan mereka terlepas begitu sahaja. Sumpah aku akan pastikan mereka akan menerima balasan yang setimpal.    
            “Saya harap cikgu akan ambil tindakan segera kepada mereka. Saya betul-betul   tertekan dengan kejadian ini,” tuturku serius.
            “Saya akan segera panggil mereka,” janji Cikgu Tehran. Beberapa minit selepas aku meninggalkan bilik guru disiplin, aku mendapat berita bahawa Daniel dan rakan-rakannya telah di hadapankan kepada pengetua dan Cikgu Tehran.

Sungguh....Aku Cinta Awak...! ...2





Bab 2

                        Aku dan Fatin bergerak pantas mengekori langkah Zatul dan Umie di depan. Masa singkat 20 minit ini mesti digunakan sebaik-baiknya. Kadangkala rimas kerana sentiasa bersaing dengan waktu. Kalau ikutkan hati, mana cukup masa 20 minit ini. Blok kelas kami ke blok yang menempatkan kafe sudah mengambil masa 5 minit. Bermakna pergi dan balik memakan masa 10 minit. Belum lagi dikira menunggu giliran beratur membeli. Usai membeli makanan dan air, kami singgah pada bangku di tepi taman berdekatan dengan kafe ini. Inilah tempat kegemaran kami.

            Peliknya seolah-olah sudah menjadi kepunyaan kami kerana bangku ini sering  sahaja kosong yang membolehkan kami duduk menghabiskan masa rehat di sini. Sama ada kami awal atau terlewat, pasti bangku ini sudah tersedia meminta diduduki oleh Fatin, Zatul, Umie dan aku. Barangkali pelajar-pelajar lain lebih suka waktu rehat mereka dihabiskan di dalam bilik kelas masing-masing. Memandangkan blok bangunan kelas kami yang paling jauh dari kafe menyebabkan kami menjadi pengunjung setia taman ini dan tidak perlu bersaing dengan pelajar-pelajar lain.

            Kebetulan kebanyakan pelajar yang seblok dengan kelas kami pula tidak gemar mengunjungi kafe. Kafe sekolah pilihan terakhir mereka. Mereka ada alternatif lain. Pasti nasi lemak Hamzah yang menjadi pilihan. Memandangkan keenakan nasi lemak yang ibu Hamzah buat itu, kami sering juga gagal untuk mendapatkannya.
“ Alah kita ada masa 10 minit je lagi,” keluh Umie. Aku menatap jam di tangan. Pukul 10.20 pagi.
            “Cepat makan, jangan cakap lagi,” arah Fatin. Masing-masing berdiam melayan selera sendiri. Tidak jauh dari kami, sekumpulan pelajar lelaki rancak berbual-bual. Langsung tidak menghiraukan masa yang bergerak pantas. Ahh...! Kumpulan anak-anak orang kaya. Suka buat undang-undang sendiri. Di celah-celah mereka ada seorang gadis. Tampak mesra. Barangkali salah seorang daripada mereka mempunyai hubungan intim dengan gadis itu. Kualih arah mataku. Tidak mahu memikirkan hal mereka yang langsung tidak mendatangkan keuntungan. Paling penting tidak mahu mempedulikan hal orang lain.                   
             “ Wow... Daniel dengan kawan-kawan dia,” suara Zatul memecah suasana. Aku memandang sekilas.
            “ Tiada yang istimewanya pun ...,” aku bersuara meningkah keterujaan Zatul. Zatul menoleh menatapku. Kurang senang dengan bicaraku.
            “Siapa kata tak istimewa. Daniel ada segala-galanya. Semua pelajar perempuan mengimpikan untuk bersamanya,” sangkal Zatul. Aku tertawa geli hati. Lucu mendengar kenyataan Zatul yang sudah lama menaruh minat kepada pemuda itu. Mana mungkin semua pelajar perempuan mengimpikan untuk menjadi teman wanita pemuda itu. Buktinya aku. Aku langsung tidak pernah pun melihat kewujudan Daniel yang dianggap terlalu istimewa sehingga bermimpi untuk memiliki hatinya.
“ Buang masa saja...,”Aku mencemuh bosan. Zatul menelan liur geram. Dia  tidak berpuas hati dengan reaksiku.      
“ Hey ... cuba awak tengok betul-betul Daniel tu. Handsome. Bergaya, atlet dan kaya pula tu,” ulas Zatul kagum. Pemuda itu terlalu sempurna di matanya.
“ Oh... bosannya aku. Ada juga otak orang yang tak betul lagi,” cemuhku. Lantas mengetuk kepala Zatul.
            “ Tapi kata-kata Zatul memang tak boleh disangkal. Aku sokong Zatul,” Umie yang hanya jadi pemerhati dan pendengar tadi, tiba-tiba sahaja bersuara.
            “ Ha... tengok tu Liya. Umie pun sokong cakap aku,” Zatul tersenyum puas hati. Umie berpihak kepadanya.
            “Awak pun setuju dengan kata-kataku tadi kan?” pertanyaan dilontar kepada Fatin pula. Fatin hanya tersenyum. Sememangnya gadis ini tidak banyak bicara. Apa lagi  hal yang remeh-temeh. Dia seorang yang tegas dan berfikiran matang. Aku amat menyukai dan mengkagumi sikapnya ini.
“Tengok tu Fatin pun setuju,” tambah Zatul  seolah-olah kemenangan sudah berpihak kepadanya.
“ Istimewa apa benda. Ingat diri sendiri je yang hebat. Berlagak sungguh! Pirrahhhh...!!!” balasku mencemuh. Bulat anak mata Zatul menatapku. Sepantas kilat juga tangannya mendarat menutup mulutku.
“ Hey ... apa ni,” Kutepis tangan Zatul. Aku bukan menuduh anak muda itu sebarangan tanpa penilaian terlebih dahulu. Memang dia suka berlagak. Walaupun aku tidak cukup mengenalinya tetapi penilaianku tidak akan silap. Aku dan dia merupakan atlet pasukan bola tampar sekolah. Jadi kami juga dalam satu kelab. Secara tidak langsung aku berkesempatan mengenali perangainya. Sering kali lewat ketika datang latihan. Suka sangat memeningkan kepala jurulatih Wong.
“Hey... hey Liya...,” suara Umie memanggilku sambil menunding jari. Aku menyorot telunjuknya. Pandangan pemuda-pemuda itu sudah terarah kepada kami. Reaksi wajah pemuda pujaan hati Zatul itu sukar ditafsirkan. Manakala, pandangan gadis itu seolah-olah ingin menghukumku. Tajam. Aku  hanya mempamer wajah  bersahaja. Tenang. 

“ Jom kita balik ke kelas,” Umie menarik tanganku mengekori langkahnya. Tanpa bantahan aku mengikut sahaja. Begitu juga Zatul dan Fatin. Agaknya Umie risau akan keselamatan kami. Mana tahu tiba-tiba sahaja Daniel dengan kawan-kawannya menyerang kami. Selama ini mana ada orang pernah mengutuk dia selain selangit pujian yang sering diterimanya.  Ketika melewati mereka, sekilas pandang aku melihat Daniel masih memandangku. Begitu juga dengan perempuan itu. Namun sempat juga aku tersenyum sendiri.
            “ Dia kutuk awak... Daniel...,”
           “ Siapa nama dia? Dia kelas mana?” soalnya dengan senyuman yang terukir  sukar dimengertikan. Farhan dan Boney berpandangan. Memang sukar hendak diramal sikap sahabatnya itu.


Sungguh ... Saya Cinta Awak...!...1




Bab 1

            Aku melihat sepasang kaki melayang tinggi melibas di awangan. Mudah sahaja menyentuh wajah-wajah yang tidak bijak mengelak. Sepak terajang silih berganti. Lagak drama aksi yang sering kutonton di kaca tv. Sesusuk tubuh berpusing-pusing dengan penuh bergaya lagak hero lalu sepakan padunya mendarat pada tubuh lawan.
                       
“ Hoi... berhenti bergaduh!” suara Cikgu Tehran, guru disiplin bergema di awangan. Cikgu Tehran berlari pantas bersama dengan rotan sebesar ibu jari serta diiringi oleh beberapa orang pengawas sekolah. Pelajar-pelajar lain termasuk aku bergerak ke tepi  memberi laluan kepada barisan pengaman sekolah yang diterajui oleh Cikgu Tehran yang terkenal dengan garang. Takut dilanggar mereka. Kedatangan Cikgu Tehran langsung tidak menggentarkan mereka. Aku sempat menatap wajah-wajah samseng di sekolah ini. Ada celitan darah di bibir, muka yang  lebam dan pakaian seragam yang kotor.

“Buat satu barisan!” tegas  suara Cikgu Tehran. Masing-masing patuh dengan arahan itu. Namun sesusuk tubuh itu masih terpacak di situ. Degil.

“Daniel cepat bergerak ke sini!” Sekilas pandang aku menatap wajah itu. Tampak tenang persis tiada yang berlaku. Lagak seorang ketua samseng yang berkuasa. Angkuh. Bongkak.
            “Sombong! Berlagak!” bisik hati kecilku. Wajah itu langsung tiada tergambar keinsafan. Bukan main lagi hebat dia mempertahankan diri sehingga sedikitpun aku tidak nampak kecederaan padanya. Aku yakin dialah yang beraksi hero sebentar tadi. Agaknya memang bergaduh hobinya sebab itu dia pandai sangat berlawan.                 
 “Pelajar lain pergi masuk ke kelas. Jangan tercengat di situ!” sergahan Cikgu Tehran terus mematikan telaahanku terhadap pelajar itu. Aku bergerak bersama- sama kumpulan pelajar lain ke kelas. Kulupakan adegan lasak awal-awal pagi ini. Ketika aku mendaki satu-persatu anak tangga, tiba-tiba sesusuk tubuh gadis hampir-hampir merempuhku. Kami bertatapan seketika. Langsung tiada perkataan maaf selain pandangan tajam seakan menyalahkan aku. Kubiarkan  gadis itu berlalu. Apabila aku amati wajah itu kembali, baru aku ingat. Patutlah nampak cemas, rupa-rupanya kekasih hatinya ditangkap oleh guru disiplin. Betapa serasi sifat mereka. Aku tersenyum sendiri.

Aku meletakkan beg sandang di kerusi. Zatul dan Umie masih terjenguk-jenguk di tingkap bagai menyaksikan sesuatu yang menarik. Begitu juga pelajar perempuan lain di dalam kelas ini. Cuma aku tengok Fatin masih setia tidak berganjak dari tempat duduknya.
“Apa yang mereka tengok?” tanyaku meminta kepastian.
            “Tengok hero-hero sekolah ini beraksi,” cerita Fatin. Aku mencebik bosan. Fatin hanya tersenyum.
            “Tadi saya tengok awak dekat dengan  mereka yang bergaduh tu, Liya. Bagaimana cedera tak Daniel? Hey... sayanglah kalau muka handsome macam tu cedera. Hey... tak rela aku,”  Zatul sudah mendekatiku bersama lagak manjanya. Aku buat aksi mahu termuntah membuatkan Umie dan Fatin ketawa. Pantas aku tepuk kepala Zatul namun laju sahaja dia menepis.
“Muka handsome tak guna kalau perangai buruk sangat,” kutukku.
            “Awak jangan kutuk dia. Nanti tak pasal-pasal awak jadi grienfriendnya,” ancam Umie mengusikku. Zatul tersenyum meleret.
            “Uuwuukkk...Selisih 44 malaikat. Kalau dengan budak itu, saya lebih rela jadi andartu tau,” balasku spontan.
            “Jangan sombong Liya,” tiba-tiba Ijoi menyampuk.
            “Takpelah kalau Liya tak mahu. Bukan kamu tak tahu, diakan berdarah sejuk, tunggul kayu. He... he... he...,” lancang  mulut Zatul menempelak aku. Sepantas kilat  aku menepuk kepala Zatul. Kali ini dia tidak bersedia hendak menepis. Zatul terjerit kecil buat aku ketawa. Puas hati. Berdarah sejuk, tunggul kayu. Itulah gelaran yang Zatul berikan kepadaku sejak aku menolak salam perkenalan daripada Razib, abang sepupunya. Tatkala aku fikir balik, tidaklah teruk sangat gelaran itu jika dibandingkan sebagai perempuan terkedek-kedek. Memuja pemuda yang tidak sepatutnya. Buta membuat penilaian. Aku bukan mengutuk atau mengumpat Zatul he... he ... he...
            “ Hey ... yang awak tersengih-sengih tu kenapa?”Bahuku ditepuk Zatul. Aku tersentak. Belum sempat aku membalas dendam, Zatul sudah melarikan diri. Serentak itu juga Cikgu Amibah, guru mikroekonomi sudah terpacak di depan pintu. Aku mematikan niat mahu menyerang Zatul.
                       
          Rutin pengajaran pembelajaran bermula lagi. Aku membuat catatan ringkas untuk penerangan Cikgu Amibah. Ingat semua penerangannya adalah mustahil. Justeru itu, aku mesti membuat catatan atau nota ringkas. Abang Zekri pun ada mengingatkan aku agar memiliki nota ringkas sendiri. Dia kata kalau dapat belajar di universiti tidaklah terlalu kekok hendak buat catatan sendiri. Corak belajar di sekolah berbeza dengan belajar di universiti. Abang Zekri kata, belajar di universti agak santai. Kebanyakan pensyarah di depan akan cakap-cakap sahaja mengeluarkan seberapa banyak ilmu yang termampu. Jadi pandai-pandailah mencatat perkara yang perlu sebagai nota rujukan. Dalam santai-santai itu, ramai juga yang gagal malah ada juga pelajar yang dihalang daripada meneruskan pengajian. Itu info yang aku dapat daripada abang Zekri, idolaku. Aku mahu jadi seperti abang Zekri berjaya menjejakkan kaki ke universti. Setahun lagi sudah layak bergelar graduan siswazah. Pasti Mak Munah bangga akan kejayaan anak teruna tunggalnya itu.

               Terbayang wajah ayah. Kalau aku berjaya seperti abang Zekri, pasti ayah juga akan berbangga. Aku dapat kerja yang lebih baik. Jadi tidak payah ayah bersusah payah lagi untuk menyara hidup kami berdua. Pada masa itu, aku mahu memenuhi segala keperluan ayah. Aku mahu memberikan kesenangan dan hanya kegembiraan buat ayah. Itu tekadku.
            “Liya, petang ni boleh tak awak join kami diskus di library?” tanya Umie.
            “Petang ni tak bolehlah. Semalam dah saya tak pergi ke kedai. Nanti apa pula kata Kak Anie,” ujarku serba salah.
            “Alah... Kak Anie tu ok. Dia mesti faham punya,”
            “Saya tak nak ambil kesempatan atas kebaikannya. Sudah beruntung dia beri saya kerja partime di sana,” luahku berterus-terang.         
            “Yalah betul kata Liya tu. Takpelah lain kali je awak join kami. Kalau kami jumpa bahan yang berkaitan nanti kami inform,” putus Fatin lebih bertimbang rasa. Aku tersenyum lebar.
            “Sayang Fatin...,” Kupeluk bahu Fatin. Zatul mecebik.
            “Bila dan dapat gaji nanti, jangan lupa belanja makan tau sebagai balasannya,” ujar Zatul memperingatkan aku.
            “ No problem. Dasar mata duitan,” kutukku.
            “Aduuhhhh...,” Zatul terjerit kecil tatkala aku mencubit pipi gebunya. Belum sempat Zatul bertindak balas terhadapku, aku sudah berlari meninggalkan mereka bersama lambaian tangan. Zatul menarik muka masam. Umie dan Fatin hanya tertawa.    
“Bye... esok jumpa lagi,” Aku terus  mencapai basikal di garaj lalu memulakan kayuhan. Sudah tidak sabar hendak tiba di rumah.
            “Liya tunggulah saya,” laungan Zatul tidak kupedulikan.
       "Saya dah lewat ni. Awak balik  dengan Ijoi nanti,” balasku sempat mengusiknya.
            “Liya...!” Zatul melaung. Nampak sangat dia sedang geram. Aku melirik jam di tangan. Sudah hampir mencecah ke pukul 1.40 petang. Kupercepatkan kayuhan basikal. Sampai sahaja di rumah,  aku menggantung beg sandang ini. Kucapai tuala. Usai mandi dan solat zohor, aku bersiap-siap hendak keluar semula. Di meja sudah tersaji hidangan tengah hari. Begitu prihatin ayah. Awal-awal lagi sebelum dia pergi kerja, dia sudah memasak untukku. Aku hanya sempat meneguk segelas air sejuk. Kiranya balik nanti barulah aku menjamu selera bertemankan ayah. Lebih seronok dan bermakna.

Beg sandang yang sering kubawa ke hulu ke hilir sudah tergantung di bahu. Kukunci pintu kemas-kemas. Kucapai basikal yang tersandar di laman lalu bergerak ke destinasi yang dituju. Nasib baik bahang mentari tidak terus menerus memancar kerana pada hari ini awan nampak agak tebal. Kudongak ke langit. Harap-harap cuaca hari ini elok sahaja. Janganlah hujan turun kerana ini akan menyukarkan kelancaran perjalananku nanti.
“Assalamualaikum Kak Anie,” sapaku mesra kepada wanita yang sedang menanti kedatanganku dengan senyuman. Salamku disambut.
“Apa khabar hari ni?”
“Sihat...,” Aku melirik ke arah jam di tangan. Lima minit lagi ke pukul 2.30 petang. Mujur juga aku tidak terlewat. Beberapa orang pelanggan yang sedang berada di kedai ini sedang mencari-cari buku yang dihajati. Aku bergerak ke belakang ke arah sebuah bilik kecil yang menempatkan bahan-bahan bacaan yang perlu aku hantar sebentar nanti. Hari ini aku mesti menghabiskan penghantaran ke tiga lokasi utama sebelum balik semula ke kedai ini untuk mengambil surat khabar yang perlu aku hantar awal pagi esok. Aku memasukkan seberapa banyak naskhah buku dan majalah ke dalam beg sandang. Dua ikatan sederhana tinggi bahan bacaan berada di kedua-dua belah tanganku untuk diletak ke dalam bakul basikal nanti.
            “Kak Anie, saya pergi dulu,”
            “Hati-hati Liya,” seperti biasa itulah ungkapan Kak Anie yang cukup menyenangkan telingaku  mendengarnya. Aku mengayuh basikal mengikut perancangan otakku. Lokasi pertama, Plaza Muhibbah. Perlu menghantar majalah-majalah ini ke beberapa lot kedai di sana. Kuletakkan basikal di tempat biasa lalu menguncinya.
            “ Good afternoon tauke Chan,” sapaku kepada lelaki Cina setengah usia itu.
            “Oh....Amoi dah datang ya. Semalam kenapa Amoi tak muncul-muncul? Manyak lindu sama Amoilah,”Aku tersenyum. Tauke Chan memang suka mengusikku. Mujur juga Ah Chun tiada bersamanya ketika ini. Kalau tidak anak teruna itu pun sepertinya suka menyakat. Bapa borek anak rentik. Di mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Itulah ibarat mereka dua beranak Chan Chun he ... he ... gandingan sepadan.
            “Sorrylah tauke Chan. Saya ada hal semalam,” Aku meletakkan buku itu di kaunter sambil menanti tauke Chan menurunkan tandatangan pada rekod sebagai bukti dia sudah menarima tempahan bulanan.
            “Thanks tauke Chan. Kirim salam pada Ah Chun nanti. Jumpa lagi,”
            “Take care Liya,” Aku mengangguk-angguk. Aras satu bangunan ini tinggal sebuah kedai lagi. Kemudian aku harus bergerak ke aras tiga pula. Di sana ada tiga buah kedai yang perlu aku mampir. Paling akhir ialah di aras 5 yang menempatkan butik milik Datin Habibah, seorang usahawan wanita yang berjaya. Melihat persekitaran butik itu membuatkan aku teruja. Cukup eksekulsif. Hiasan dalaman menyenangkan dan tampak elit. Apatah lagi pencahayaan lampu- lampu antik mewah dari luar negara itu sangat menarik. Sesuai dengan citarasa tinggi pengunjung-pengunjung yang terdiri daripada golongan berada. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja aku lama-lama di sana untuk menjelajah di setiap ceruk butik itu. Mahu membelek-belek gaun-gaun dinner yang mewah  mencecah harga beribu ringgit. Pasti begitu selesa dan terasa hebat dapat memakai gaun-gaun cantik sebegitu. Malah aku juga berkesempatan melihat model-model terkenal menghabiskan masa di situ.

            “Afternoon...,” sapaku menjengukkan kepala di sebalik pintu kaca itu.
            “Afternoon. Hey ... Liya, come in,” Seperti biasa Vinice yang akan menyambut kedatanganku sekali gus berurusan denganku. Aku tidak pernah sekalipun menemui Datin Habibah. Mana mungkin dia akan melibatkan diri untuk menguruskan hal yang remeh-temeh ini. Pasti wanita itu penuh dengan keeleganan.
            “You punya bos tak datang ke hari ni Vinice? Kalau tak boleh juga saya curi-curi tengok mukanya,” risikku. Vinice ketawa.      
            “Apalah you ni Liya. Bos perempuanlah. Kalau bos lelaki bolehlah you curi- curi tengok,” balas Vinice tanpa berselindung.
            “Kalau lelaki tak berani saya nak curi-curi tengok nanti tak pasal-pasal lebam biji mata ni kena tumbuk, ” balasku bergurau. Kali ini Vinice ketawa besar.
            “You ni lawaklah,” Aku hanya senyum sambil memerhatikan Vinice menurunkan tandatangan pada dada rekod itu.
            “Bos di Itali sekarang. Ada show di sana,” cerita Vinice. Serta merta terbayang di mata barisan pragawan dan pragawati yang hebat sedang menggayakan pakaian mewah di atas pentas peragaan. Pasti pertunjukan itu gilang-gemilang.
            “Mesti you punya bos tu seorang yang hebatkan,”
            “So pretty macam you,” Aku tersenyum. Vinice mengangguk-angguk. Sudah cukup menggambarkan kekagumannya. Alangkah seronok kalau aku berkesempatan terserempak dengan wanita itu. Wanita yang sudah berjaya melangkahkan kaki ke peringkat antarabangsa.
            “Oklah Vinice saya pergi dulu. See you again,” Senyuman menawan gadis kacukan India-Cina ini menghantar aku sehingga ke pintu. Datin Habibah seorang yang mementingkan kesempurnaan. Tengok sahaja butik itu sehingga kepada pekerja-pekerja semua nampak sempurna. Selepas ini aku perlu ke Taman Perumahan Damai dan kedai-kedai di sekitar perumahan itu. Aku mengayuh basikal ke destinasi seterusnya. Kira-kira lima minit mencecah ke pukul 5.00 petang, aku berjaya membereskan semua tugasan. Aku kembali semula ke kedai Kak Anie untuk menghantar rekod penghantaran. Memandangkan esok bukan hujung minggu, maka aku tiada kerja tambahan. Pada hari Sabtu dan Ahad sahaja aku perlu bangun lebih awal daripada biasa untuk menghantar surat khabar ke rumah-rumah di sekitar Taman Perumahan Damai.
            “Assalamualaikum.. Ayah Liya dah balik,” panggilku sambil meletakkan basikal di laman. Ayah muncul di depan pintu menyambut kedatanganku.
            “Bau masam anak gadis ni,” perli ayah membuatkan aku ketawa. Aku memeluk bahu ayah. Hubunganku dengan ayah memang  akrab.
            “Bagaimana dengan kerja ayah hari ni?”
            “Baik. Kamu?”
            “Baik dan seronok dapat bersiar-siar,” jawabku nakal. Ayah hanya geleng kepala.
            “Ayah kesian tengok kamu bersusah payah macam ni. Pasti meletihkan kamu. Kalau boleh kamu berhenti saja buat keja tu. Ayah tak mahu pelajaran kamu terganggu nanti,” luah ayah gusar. Sudah banyak kali keluhan ini tercetus.
            “Liya tak letihlah ayah. Liya seronok buat keja tu. Lagipun bukan setiap hari Liya kena keja. Ayah jangan risau. Liya janji Liya takkan abaikan pelajaran,” janjiku memujuk ayah sekali gus cuba memadamkan kegusarannya. Ayah menatapku. Aku senyum.
            “Lagipun ayahkan tahu Liya tak boleh duduk diam di rumah,” pujukku lagi. Ayah senyum. Tangannya mengusap lembut rambutku. Sungguh kasih sayangnya tidak pernah padam untukku.
            “Pergi mandi cepat. Lepas solat kita makan. Liya kena buat homework sekolah lagi,” bicara ayah mengingatkanku.
            “Ok bos,” Aku membuat tabik hormat kepada ayah sebagai tanda patuh kepada arahannya. Ayah hanya geleng-geleng kepala.