BAB 13
~Semoga cerdikmu secerdik Aishah, cantikmu secantik Ainul Mardhiah, pengorbananmu setinggi Sumaiyah, ikhlasmu seikhlas Rabiatul Adawiyah, dan semoga tempatmu syurga Al-Jannah~
Amin. Itulah ungkapan yang akan keluar dari mulutku setiap kali mataku menatap lalu suara hatiku membaca cetusan ilham Amir Hamzah yang aku tampal di atas mejaku. Lina juga menyukai barisan ayat ini. Sudah pasti juga dia mengetahui si pencipta yang dinamakannya sebagai kekasih gelapku.
Hari ini Cikgu Razali, PK Kokurikulum memaklumkan bahawa aku akan mengiringi pasukan bola baling sekolah ke pertandingan bola baling peringkat daerah bersama – sama Cikgu Robert. Tugas tetap dan tak berpencen. Istilah yang selalu digunakan dalam kalangan guru. Aku menerimanya dengan redha kerana ini sememangnya tugasku sebagai guru sukan.
“Berapa lama kau kena berkampung kat sana?” soal Lina.
“Seminggu. Kalau kalah maybe boleh balik awal sikit. Harap – harap tak ler kalah” ujarku jujur.
Lina tersenyum. Dia memang mengenali aku sebagai manusia yang sentiasa bersemangat berkobar – kobar.
“Selagi kau tak kahwin dan tak beranak piak selagi tu ler nama kau yang akan naik carta hits jadi pilihan utama bawa budak dalam segala pertandingan” rungut Lina mengingatkan aku.
“Biasa ler tu jawatan tetap dan tak berpencen” balasku tersenyum.
“Alaa..., boringnya. Aku kena ler tinggal sorang – sorang dalam seminggu ni” keluhnya. Sebenarnya inilah yang sedang difikirkannya. Keaktifan
pergerakan luarku akan turut memberi kesan kepadanya.
“Ajak ler beberapa orang budak asrama tinggal dengan kau” cadangku.
Aku dan Lina merupakan warden asrama. Aku tahu kalau tidak kerana jawatan itu, sudah pasti sesekali dia akan berulang – alik dari rumah ibu bapanya yang jaraknya kira – kira 40 km dari sekolah. Lainlah aku kiranya jauh juga sekolah ini dari astana mama. Kedengaran keluhan Lina menyahut cadanganku itu.
@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@
Tepat pukul 5.30 petang, kami baru sampai ke perkampungan sukan Lawas. Aku mengambil kunci bilik penginapan di bahagian pendaftaran penginapan peserta. Kunci bilik penginapan lelaki kuserahkan kepada Cikgu Robert. Cikgu Robert terus sahaja mengajak skuad bola baling lelaki SMKBD ke bilik berehat dan menyiapkan diri. Aku pula mengiringi langkah skuad bola baling perempuan ke bilik penginapan mereka. Seketika membuat tinjauan sekitar bilik penginapan itu. Setelah berpuas hati dan meninggalkan pesanan meminta mereka bersiap sedia untuk makan malam pada jam 07.30 petang di Dewan Santapan Ria yang terletak di anjung kompleks penginapan perkampungan sukan ini, aku pun bergerak ke bilik khas untuk guru pengiring. Kubaringkan tubuhku seketika di tilam empuk ini cuba menghilangkan keletihan selepas perjalanan yang panjang tadi.
Tepat jam 07.30 petang, aku dan Cikgu Robert bersama – sama skuad pasukan bola baling sekolah tiba di ambang pintu Dewan Santapan Ria. Beberapa pasukan sekolah lain telah tiba lebih awal. Aku mengarahkan ahli skuad bola baling sekolah kami mengambil tempat dan menyertai peserta – peserta lain. Sempat juga aku dan Cikgu Robert mengingatkan mereka agar menjaga disiplin diri dan menjaga nama baik sekolah. Kemudian aku dan Cikgu Robert bergerak memasuki kelompok guru pengiring dan para jurulatih bola baling. Bertegur sapa dan berkenalan dengan rakan – rakan guru dari sekolah lain. Meriah sungguh makan malam yang sedang berlangsung ini.
“Assalamualikum, Nia....” ada suara yang sedang memanggil namaku.
Aku menoleh ke arah suara itu. Seraut wajah lelaki sedang tersenyum menatapku. Kuamati wajah itu lama – lama. Cuba mengingati gerangan insan yang sedang terpacak di depanku ini. Malangnya daya ingatanku tumpul tika ini. Aku tidak dapat mengingati wajah ini.
“Awak tak ingat saya ke?” soalnya.
Aku diam dan masih berusaha untuk mengingatinya. Mungkinkah dia sahabat lamaku di SMK Seri Tanjong atau pun di SMK Sri Selasih yang sudah terpisah bertahun – tahun lamanya.
“Saya Shahir senior awak di SMK Sri Selasih dulu” jelasnya cuba mengembalikan ingatanku. Shahir.... kata hatiku menyebut sebaris nama itu. Senior di SMK Sri Selasih? Nama ini memang pernah aku dengar. Tiba – tiba ......
“Awak Shahir Bahrie?” dugaku seakan mula mengingati insan yang masih tersenyum di depanku ini. Dia mengangguk. Tepat juga tekaanku ini. Shahir Bahrie sudah melabuhkan punggungnya duduk di sebelahku.
“Maaflah saya hampir – hampir tak kenal awak tadi” ujarku rasa bersalah. Tidak mahu aku dikatakan sombong. Itu bukan sifat aku. Dia tersenyum lagi.
“Mula – mula segan juga saya nak tegur awak, takut salah orang. Bila saya perhatikan betul – betul saya yakin awak adalah orang yang saya kenali suatu waktu dahulu” ujarnya bercerita ramah.
Aku tersenyum mendengar bicaranya itu. Tidak sangka Shahir Bahrie juga menjadi seorang guru sepertiku. Mesti di universiti dia ambil Pengajian Sains Sukan dan sekarang dia menjadi orang kuat sukan di sekolahnya memandangkan ketika di SMK Sri Selasih dulu dia merupakan seorang atlet sekolah yang popular dalam kalangan pelajar perempuan. Bukan main ramainya peminat dia tika itu. Aku membuat jangkaan sendiri.
“Dah bertahun – tahun kita tak jumpa, tup – tup kita jumpa kat sini. Betul – betul saya tak sangka. Memanglah agaknya kita ni ada jodoh” ujarnya tersenyum malah aku turut tersenyum sama.
“Awak dah kahwin, Nia?” soalnya.
“Belum sampai seru” balasku berkias dan tersenyum.
“Saya pun belum sampai seru lagi” ujar Shahir Bahrie lagi.
“Ye ke, kan kat sekolah dulu awak ramai peminat, takkan seorang pun tak berkenan dihati” usikku buat – buat tidak percaya. Dia tertawa mendengar bicaraku itu.
“Betul tapi malangnya hati saya dah suka kat orang lain. Kalau orang tu juga peminat saya pasti sekarang saya dah kahwin dengan dia” bicaranya mengimbau kenangan zaman persekolahan dulu.
“Oh, macam tu ke citenya. Sedih juga....” balasku.
“Awak tak tahu ke siapa orang tu?” soal Shahir Bahrie.
Aku geleng kepala. Tidak pasti sebenarnya. Mungkinkah aku gerangan
orang itu? Aku masih ingat Deena pernah menyerahkan beberapa pucuk surat cinta daripada Shahir Bahrie kepadaku. Namun satu pun aku tidak membalasnya. Aku benar – benar hendak fokus pada pelajaran tika itu. Apatah lagi kewujudanku di SMK Sri Selasih adalah pada tahun - tahun peperiksaan yang merupakan era yang sangat penting. Bahkan aku sudah berjanji pada diri sendiri untuk tidak mengecewakan mama lagi. Aku tidak boleh bercinta selagi bergelar pelajar. Itulah pantang larang mama. Aku akur pada pantang larang itu. Aku mematuhi bicara mama. Sebetulnya aku ingin menebus kekecewaan mama terhadapku.
Namun bila saja aku menjejaki kaki ke universiti, persepsi mama soal hati sudah berubah. Walaupun tidak secara terang – terangan, mama sudah pandai memberikan tip – tip lelaki yang baik yang boleh dijadikan teman hidup kepadaku. Tentulah arwah abah yang menjadi contoh lelaki terbaik. Bicara mama berasaskan pengalaman hidupnya. Aku tahu sebenarnya mama sudah memberikan keizinan dan kebebasan untuk aku bercinta.
“Ada masa nanti saya akan cerita kat awak. Jangan lupa beri nombor telefon awak nanti” ujar Shahir Bahrie sedikit teruja.
Aku senyum lagi. Aku dan dia adalah kawan satu sekolah suatu ketika dahulu. Maka bukan menjadi masalah kepadaku untuk memberikannya nombor telefonku itu.
“Jangan lupa Nia. Kali ini awak tak boleh lari dari saya lagi” tuturnya tersenyum lalu bangun dari duduknya.
Sebelum berlalu meninggalkan aku di situ, sempat juga Shahir Bahrie mengenyitkan mata kepadaku buat aku tersengih panjang pada usikannya itu. Aku melontar pandangan kepada Shahir Bahrie yang sudah di kelilingi oleh pelajar
– pelajarnya. Tampak hubungannya dengan pelajar – pelajarnya begitu mesra.
Kupalingkan mukaku ke satu arah mencari mereka. Berpasang – pasang mata sedang menatapku. Mereka tersenyum lebar. Sah Cikgu Robert bersama – sama pelajar – pelajarku sudah salah faham pada situasi yang mereka tonton sebentar tadi.
“Sorry.... Cikgu Nia Deliya dan Cikgu Shahir Bahrie hanyalah kawan biasa, kawan satu sekolah dulu dan bukannya pasangan kekasih yang sedang hangat bercinta” bisik hati kecilku melaung penjelasan kepada Cikgu Robert dan pelajar – pelajarku yang masih tersenyum mengusik itu.
No comments:
Post a Comment