Friday 19 May 2017

NamaKu Bukan Flora...92




BAB 92


Aqel mengangkat kedua-dua belah kelopak mata. Laju dia bangkit dari perbaringan. Dia melontar pandangan ke arah katil itu. Kosong. Katil itu sudah dikemas rapi. Bingkas Aqel bangkit dari sofa lalu melangkah keluar dari bilik itu. Sunyi sepi. Terasa dia bersendirian tika ini. Aqel melangkah ke dapur. Dicapai gelas kaca itu lalu menuang air kosong. Perlahan-lahan diteguk. Lega. Dia menghala pandangan ke arah meja itu. Di bawah tudung saji sudah siap hidangan sarapan. Aqel melangkah ke situ. Tudung saji diangkat. Nasi lemak, sambal sotong dan kerang pedas, ikan bilis goreng, hirisan timun dan tomato. Ada seteko air teh kosong yang masih berasap.
Aqel menatap hidangan yang menyelerakan itu. Nampak dia sedang berfikir. Ditutup hidangan itu kembali. Aqel melangkah laju ke ruang tamu. Diselak langsir dinding kaca itu. Dia memandang keluar. Kereta BMW ActiveHybrid 7 tiada di garaj. Aqel mengorak langkah laju mendaki anak tangga. Tangannya mencapai iPhone lantas membuat panggilan. Dia menanti panggilan itu dijawab dengan perasaan cemas. Panggilan itu tidak dijawab. Tidak mahu mencuba kali kedua, laju langkah Aqel masuk ke bilik air. Lima belas minit kemudian, Aqel bergegas meninggalkan perkarangan banglo itu. Kereta Peugeot RCZ Sports Coupe QL144 yang dipandu Aqel meluncur laju ke destinasi yang dituju.

Aku berdiri di depan pintu dobi ini. Pintu kaca ini dirantai. Pandanganku menembusi dinding kaca ini. Bangunan ini sudah dikosongkan. Baru beberapa hari lalu aku berkunjung ke sini buat kali kedua. Teringat pada lelaki yang misteri yang memerhatikan aku di sebalik dinding kaca ini. Sekarang premis ini sudah tidak beroperasi lagi. Pakaian-pakaian yang telah aku hantar hilang begitu sahaja. Kemudian diganti dengan sejumlah wang yang banyak dan dokumen yang ditemui di dalam laci mejaku. Aku tersenyum sendiri. Baru aku mengerti. Kurenung papan tanda yang digantung di depan pintu premis ini. Dobi Cenderawasih Nilam. Laju aku mengatur langkah ke hadapan. Selang tiga buah dari Dobi Cenderawasih Nilam ini aku nampak nama yang sama pada premis itu. Langkahku mati. Aku mendongak. Kupandang papan tanda yang tertulis Dobi Cenderawasih Nila. Terkedu. Nama yang hampir sama. Sekali imbas nampak sama sahaja. Pasti mengelirukan banyak mata. Apatah lagi jikalau hanya memandang sekilas.
“Maaf...cik cari apa? Nak cuci pakaian?” sapa seorang gadis sambil beralih pandangan ke  tanganku. Aku datang dengan tangan kosong. Tiada pakaian yang hendak dicuci. Gadis ini kehairanan menatapku.
“Betul nama ini Dobi Cenderawasih Nila?” tanyaku meminta kepasatian. Dia mengangguk. Terpancar kehairanan di wajah gadis ini. Pertanyaanku ini pasti mengundang persoalan.
“Ya...saya Nila, pemilik dobi ini” ujarnya memperkenalkan diri. Aku menatap gadis ini.
“Boleh saya masuk ke dalam?” tanyaku memohon keizinan memandangkan aku datang ke sini bukan untuk menghantar pakaian yang hendak dicuci.
“Boleh. Silakan...” ujarnya memberi keizinan sambil menguak pintu kaca itu luas-luas untukku. Aku melangkah masuk lalu ke kaunter. Kupandang sijil perniagaan yang dipamer di dinding. Pendaftaran perniagaan yang sah di sisi undang-undang. Tidak ada keraguan yang timbul.
“Apa yang boleh saya bantu cik?” tanya gadis ini. Aku menatapnya.
“Selang tiga buah dari premis ini, ada sebuah dobi di sana” jelasku berhati-hati menyusun kata. Tidak mahu menimbulkan keraguan dan perasaan tidak senang gadis ini.
“Oh... Dobi Cenderawasih Nilam... Ada pekerja saya mengadu nama dobi itu hampir sama dengan nama dobi ini. Beza satu huruf saja” cerita gadis ini tersengih. Dia menyedari nama yang hampir serupa itu.
“Kenapa dengan dobi itu?” Dia menatapku. Hairan.
“Sebenarnya...saya ada hantar banyak pakaian syarikat di sana. Bila saya datang tadi nampak premis itu seolah-olah tak beroperasi lagi. Saya risau pasal pakaian itu” ujarku.
“Ya...saya pun rasa pelik juga. Baru dua bulan mereka beroperasi sekarang dah tutup” tambah Nila menyentakku. Dua bulan selepas beroperasi terus tutup. Bukan. Ditutup setelah  kunjungan keduaku di premis itu. Bermakna misi mereka telah berjaya.
“Betul ke dah tutup?” tanyaku meminta kepastian. Nila mengangguk. Aku berharap mereka pergi tidak lama. Namun harapan hanyalah tinggal harapan. Sia-sia sahaja.
“Saya ada nampak mereka angkut mesin-mesin dan peralatan lain dengan beberapa buah lori beberapa hari lalu. Nampak bergegas saja mereka. Mungkin ada hal kecemasan” cerita Nila masih beranggapan baik. Aku melepaskan keluhan. Mereka menghilangkan diri setelah aku didakwa melakukan pecah amanah pada syarikat. Mereka telah berjaya melaksanakan misi itu. Sempurna rancangan mereka. Sekarang mereka jadikan aku pesalah yang sedang menunggu hukuman dijatuhkan. Selagi bukti-bukti yang ada tidak diragui maka aku akan diserahkan kepada pihak polis. Kemudian mahkamah akan menjatuhkan hukuman ke atasku. Maka berakhirlah kebebasanku. Aku melepaskan keluhan kecil.   
“Awak tahu arah tuju mereka?” tanyaku masih berusaha menjejaki mereka. Nila mengeleng kepala.
“Mereka kurang mesra dengan orang di sekeliling ini. Kebetulan juga mereka orang baru di sini” ujar Nila. Aku mengerti. Mereka hanya singgah buat sementara waktu. Tidak perlu mengenali orang sekeliling. Sasaran mereka ialah aku. Mereka hanya menunggu kunjunganku.  
“Kasihan cik. Saya simpati dengan nasib cik” suara gadis ini memecah kesepian. Aku tersenyum sekilas. Nampak Nila ikhlas menuturkannya.
“Takpelah. Terima kasih...” ujarku hampa. Aku melangkah longlai ke pintu. Sudah jelas sekarang. Sudah terlambat. Aku kembali ke Dobi Cenderawasih Nilam. Lama aku terpacak di depan pintu premis ini. Memandang dan terus memandang premis ini. Terbayang lelaki yang berdiri di depan dinding kaca ini sambil memandang aku. Ternyata di sinilah permainan nasibku bermula. Aku melepaskan keluhan panjang.
“Saya ada letak alamat di atas meja awak. Pastikan esok awak hantar pakaian ini ke situ” suara Bella mengarah kedengaran di telingaku. 
“Saya tak puas hati dengan service mereka. Tak nak ambil risiko menanggung kerugian berpuluh ribu ringgit kalau pakaian ini rosak walaupun sedikit” suara Bella masih terngiang-ngiang. Itu alasan Bella meningkah pertanyaanku. Dia tidak mahu menghantar pakaian-pakaian itu ke CNFL sebaliknya ke premis ini. Ada alasan tersendiri.
“Sampai satu masa nanti Haqem takkan mampu melindungi awak” ujarku berbicara sendiri mengulang kata-kata ancaman yang pernah terbit dari mulut Bella. Butiran bicara itu masih jelas. Aku sudah terperangkap dalam jerat mereka. Aku tersenyum sendiri. Pasti saat ini Datin Sofea dan Bella tergelak panjang. Sungguh mudah mereka mempermainkan nasib hidupku.
“Flora...” Aku berpaling. Tersentak menatap Aqel yang sudah berdiri di depanku.
“Apa awak buat di sini?” tanya Aqel hairan. Kemudian mendongak menatap papan tanda premis ini. Aqel merenung nama yang tertulis. Kemudian mengalih pandangan ke arahku.
“Mari ikut saya ke pejabat. Encik Mahroof call tadi. Dia minta awak datang sekarang” jelas Aqel. Kupandang Aqel. Seketika aku dan Aqel beradu pandangan. Aku masih statik berdiri di sini. Sukar hendak berganjak meninggalkan tempat ini. Kalau Aqel membenarkan pasti aku akan berada di sini menunggu salah seorang daripada mereka memunculkan diri. Mungkin lelaki itu akan kembali ke sini lagi. Siapa tahu kalau-kalau masih ada barang penting yang tertinggal.
“Mari...” Tangan Aqel sudah memaut tanganku. Aku terpaksa mengikut langkah Aqel. Pintu kereta Peugeot RCZ Sports Coupe QL144 dikuak.
“Masuk...” Aqel mengarahkan aku masuk lalu melepaskan tanganku dari pautan tngannya. Kupandang Aqel.
“Saya drive kereta tadi” jelasku menolak ajakan Aqel berkongsi kereta.
“Masuk... Saya dah arahkan pekerja KDUT bawa kereta awak balik tadi” jelas Aqel. Aku terpinga-pinga menatap Aqel. Tangan Aqel lembut memegang kedua-dua belah bahuku lalu meletakkan tubuhku di kerusi penumpang. Lantas dia memasang tali pinggang untukku. Kemudian berlari anak kembali ke kerusi pemandu.
“Aqel...” panggilku. Aqel berpaling ke arahku.
“Awak boleh tolong saya?” tanyaku. Aqel memandangku. Dia diam. Tidak menyahut, mengangguk mahupun menggeleng kepala. Statik menatapku.
“Andai sesuatu berlaku kepada saya, awak boleh tolong saya jaga mak dan Aziq dengan baik?” tanyaku dengan perasaan yang sebak. Terasa aku sudah tiada peluang hendak membela diri. Aku akan menjalani hukuman.
“Tidak. Saya takkan tolong awak” tegas Aqel mengejutkan aku. Kali ini Aqel menolak permintaanku. Agaknya Aqel sudah letih dibebani.
“Aqel...” Kupandang Aqel. Aqel tidak mahu dirinya dibebani. Aku tidak akan menyalahnya. Namun aku masih berharap Aqel mahu menunaikan permintaanku. Hanya Aqel sahaja yang mampu menjaga mak dan Aziq dengan baik.
“Awak sendiri akan jaga mak dan Aziq. Takkan berlaku apa-apa pada awak” tegas Aqel. Aku terkedu. Cukup mengerti dengan kata-kata Aqel. Aqel tidak pernah menolak permintaanku. Sebaliknya dia tidak mahu aku patah semangat.
“Awak mesti percaya saya. Faham...” tegas Aqel dengan pandangan serius menatapku. Aku terpaku. Aqel fokus pada pemanduan. Aku tersandar di kerusi ini sambil memandang keluar tingkap. Aku dan Aqel berdiam diri. Tiada perkara yang hendak dibicarakan sehinggalah kereta Peugeot RCZ Sports Coupe ini memasuki laman parkir KDUT. Aqel sudah melangkah keluar. Aku menolak perlahan daun pintu. Lantas memijak dataran perkarangan KDUT. Aku mendongak memerhatikan bangunan kaca 30 tingkat yang gah ini. Aqel sudah memulakan langkah. Namun langkahnya terhenti. Dia berpaling ke arahku.
“Awak nak berdiri di situ sepanjang hari?” tanyanya janggal. Aku senyum. Lalu mengatur langkah. Terasa berat sahaja langkah ini. Jauh rasanya hendak sampai ke pintu itu. Langkahku mati.
“Aqel...” panggilku. Langkah Aqel terhenti. Dia berpaling dan menatapku.
“Awak dah makan sarapan yang saya sediakan tadi?” tanyaku. Aqel diam. Dia menatap gadis itu. Jari-jemari gadis itu saling bertautan. Tampak gelisah.
“Saya masak makanan kegemaran awak. Sambal sotong dan kerang pedas. Rugi kalau awak tak makan” ujarku menambah bicara. Aqel masih menatapku tanpa suara. Tidak menyahut bicaraku. Matanya statik memandangku.
“Mungkin itu sarapan terakhir saya sediakan untuk awak sebelum saya dijatuhi hukuman” ujarku perlahan. Aku tersengih melawan pandangan Aqel. Cuba menyembunyikan perasaanku yang sedang kacau-bilau. Aqel mengeluh dan mengalih pandangan dariku. Nampak persis orang sedang kecewa. Kecewa melihat aku hilang keberanian dan keyakinan diri.
“Maaf...Aqel...Bukan aku tak yakin dan tak percaya pada awak...tapi aku tak yakin yang aku akan kuat menjalani hukuman itu” suara hatiku berbicara sendiri. Aqel memaling tubuh lalu mengatur langkah ke arahku. Aku terpaku tatkala Aqel terus memelukku. Erat.
“Tak perlu takut. Saya ada untuk melindungi awak. Percayalah pada saya” tegas Aqel berbisik di telingaku. Aku memejamkan mata. Air mataku mengalir. Sebak dan terharu. Terasa selamat berada dalam pelukan Aqel. Rasa selesa dan tenteram.
“Terima kasih Aqel...” bisikku tidak mampu menahan air mata lagi. Aku menangis.

################
“Kalau betul orang itu banyak duit, kenapa tak beli saja pakaian yang baru” tutur Marnie meluah kemusykilan. RM 100,000 dipindahkan ke dalam akaun Lia ditambah RM50,000 yang ditemui di dalam laci meja gadis itu. Jumlah wang banyak untuk bayaran pakaian yang bukan baharu  menimbulkan kesangsian. Semua ini mengundang kemusykilan Marnie. Tindakan individu itu tidak dapat diterima akal logik. Sungguh mengelirukan.
“Mungkin juga edisi terhad... tak jual di pasaran lagi... sebab itu mereka nakkan semua pakaian itu” Marnie berbicara sendiri. Cuba memecahkan persoalan yang berlegar-legar dalam benak.
“Bukan itu persoalannya” tingkah Haqem serius. Marnie menatap Haqem. Pemuda ini akan memberi jawapan terbaik pada masalah yang menimpa gadis itu.
“Lia telah dianiaya...sengaja dijadikan pesalah. Mereka nak Lia meringkuk di dalam penjara. Mereka nak musnahkan hidup Lia” tegas Haqem mengerti ada komplot di sebalik kejadian ini. Marnie terlopong. Terkejut mendengar kenyataan yang keluar dari mulut Haqem.
“Betul ke Encik Haqem? Kasihannya Lia” keluh Marnie mengenang nasib gadis itu.
“Encik Haqem kena tolong Lia bebas daripada tuduhan itu. Semua orang sedang bercakap tentang perkara itu sekarang. Kasihan Lia” Marnie mengesat air mata. Haqem mengeluh. Tekanan yang diterima oleh gadis itu sungguh berat sekarang. Bimbang Lia tidak mampu menghadapinya.
“Siapa agaknya yang sanggup berbuat demikian...” keluh Marnie berduka. Kemudian berpandangan dengan Haqem. Persis benak mereka sedang memikirkan gerangan insan yang serupa yang bertanggungjawab mempermainkan nasib Lia. Kedengaran keluhan berat Haqem.
“Awak ada jumpa Encik Aqel hari ini?” tanya Haqem. Laju Marnie menggeleng.
“Saya hanya jumpa dia pada hari Lia disiasat. Mungkin Encik Aqel sedang menguruskan perkara ini” sahut Marnie. Dia yakin pemuda itu tidak akan berdiam diri. Pemuda itu tidak akan membiarkan Lia meringkuk di dalam penjara. Sedikit lega hati Marnie tatkala memikirkan perkara itu. Kedengaran deringan iPhone Haqem. Laju tangan Haqem menjawab panggilan itu. Perbualan yang singkat.
“Saya ada hal mustahak nak uruskan sekarang. Kalau ada siapa-siapa yang call cari saya katakan saya berada di luar kawasan” arah Haqem meninggalkan pesanan setelah mendapat panggilan telefon itu.
“Saya nak pergi sekarang...” ujar Haqem sambil menghala langkah ke pintu. Marnie terkebil-kebil menatap pemuda itu. Tidak sempat memohon penjelasan lebih lanjut. Sekejap sahaja kelibat Haqem sudah hilang di sebalik daun pintu.

Haqem meletak kereta tepat-tepat di hadapan banglo mewah itu. Tidak sempat hendak memarkir kereta di tempat yang sedia ada. Tidak sabar-sabar hendak bertemu dengan perempuan itu. Laju langkah Haqem memasuki banglo itu.
“Sudah dijangka kamu akan muncul jumpa mama” Datin Sofea tersenyum lirih. Haqem mengetap bibir. Bicara itu sudah membuktikan Datin Sofea terlibat dalam kes itu.
“Sanggup mama buat Lia macam tu” keluh Haqem kecewa. Datin Sofea tertawa. Puas hati. Penderitaan demi penderitaan yang mahu dihadiahkan kepada gadis itu.
“Bebaskan Lia dari dakwaan itu. Saya sanggup bayar berapa saja yang mama nak” Serius wajah Haqem menatap Datin Sofea. Dia membuat tawaran. Datin Sofea tergelak kuat. Bicara Haqem mencuit hatinya. Dia tidak perlukan duit. Kekayaan yang dimiliki sudah cukup membiayai hidupnya.
“Mama tak perlukan duit kamu” tingkah Datin Sofea bengis.
“Jadi...mama nak saya buat apa?” tanya Haqem kecewa. Datin Sofea tersenyum sinis.
“Kamu dah tahu apa yang mama nak” balas Datin Sofea menyahut pertanyaan Haqem. Haqem melepaskan keluhan. Perempuan ini tidak pernah mengalah dan berputus-asa dengan keinginannya.
“Saya tak nak nikah dengan Bella. Saya tak mampu penuhi hasrat hati mama” jelas Haqem. Datin Sofea mendengus kasar. Kemudian tersenyum sinis.
“Kalau macam itu bermakna kamu dah bersedia melihat hidup perempuan itu musnah” ujar Datin Sofea dengan pandangan tajam menatap Haqem. Dia bersungguh-sungguh dengan setiap tindakannya.
“Insaflah mama. Jangan musnahkan hidup mama macam ni” rayu Haqem cuba melembutkan hati Datin Sofea.
“Berhentilah menyakiti Lia. Lepaskan dia. Barulah hidup mama akan tenang” pujuk Haqem. Datin Sofea tertawa berdekah-dekah. Ketawa yang dipaksa-paksa.
“Mama hanya akan boleh hidup tenang kalau kamu nikah dengan Bella” balas Datin Sofea tidak mengalah. Haqem mengeluh lagi.
“Tolonglah mama. Lepaskan Lia dari tuduhan itu. Saya merayu mama...” Haqem melutut di depan Datin Sofea sambil menatap sayu perempuan itu. Datin Sofea mendengus kasar. Sakit hati dengan tindakan pemuda itu.
“Baliklah. Selagi kamu tak mampu penuhi hasrat mama jangan datang sini. Mama takkan dapat ubah keputusan mama” tegas Datin Sofea tidak akan berganjak dengan perkara yang direncanakan. Datin Sofea bangkit dari sofa lantas mengatur langkah meninggalkan Haqem yang masih berlutut. Haqem memejamkan mata sedetik sambil menggenggam tangan. Cuba menggumpul kekuatan diri. Dia tiada pilihan.
“Mama dah kehilangan papa dan Kak Har. Mama dah bersedia kehilangan saya?” tanya Haqem mendesak. Langkah kaki Datin Sofea terhenti. Dia berpaling menatap pemuda itu. Mereka saling berpandangan.
“Mama dah lama kehilangan kamu sejak perempuan itu muncul kembali dalam hidup kamu. Baliklah... mama nak rehat sekarang” ujar Datin Sofea buat Haqem terdiam. Kebencian perempuan ini terhadap gadis itu tidak pernah berkurang. Kukuh dan utuh bersemadi dalam hati.
“Baliklah...jangan ganggu mama” ujar Datin Sofea lantas menyambung langkah kembali meninggalkan Haqem bersendirian di ruang tamu itu.
“Aqel takkan berdiam diri. Saya tak nak mama dapat susah kemudian hari” ujar Haqem memberi peringatan. Datin Sofea menulikan telinga. Dia tidak mengendahkan bicara itu. Ternyata kata-kata Haqem tidak berbekas di hatinya.

##################

Aku melangkah longlai lantas duduk di atas bangku kayu ini. Bersandar panda bangku kayu ini. Cuba menggumpul kekuatan diri. Aku memejamkan mata sambil menarik nafas panjang. Hatiku berbisik bermunajat memohan agar Allah memberi kekuatan dan kekentalan jiwa menghadapi musibah ini.
“Akhirnya...awak tunjukkan taring sebenar awak” lirih suara Bella menghinaku. Aku mengunci mulut. Bersabar.
“Baru beberapa hari saya tinggalkan office ini. Awak dah gelapkan harta syarikat ini. Kalau sebulan saya takde di sini, pasti muflis syarikat ini awak buat” Bella menghinaku. Aku menelan liur pahit. Tuduhan yang kejam.
“Cik Bella tak boleh sesuka hati tuduh saya” tingkahku memprotes. Bella tergelak sendiri. Kata-kataku melucukan hatinya.
“Semua bukti dah terkumpul nak sabit kesalahan awak” tegas gadis ini menakut-nakutkan aku. Kupandang Bella.
“Saya tak bersalah” tegasku meningkah tuduhan Bella. Dia ketawa.
“Saya suruh awak hantar pakaian itu ke Dobi Cenderawasih Nila tapi awak hantar ke Dobi Cenderawasih Nilam. Awak terima RM100,000 dalam akaun awak dan RM50,000 ditemui di dalam laci meja awak bersama dokumen urusniaga awak dengan Dobi Cenderawasih Nilam. Semua itu dah cukup membuktikan kesalahan awak” tegas Bella serius. Aku menatap Bella. Baru beberapa jam sampai di sini, dia sudah mengetahui dengan terperinci perkara yang berlaku. Sesuatu yang menimbulkan syak wasangka.
“Awak sengaja nak perangkap saya. Awak yang beri saya alamat itu” tegasku tidak puas hati. Bella tergelak.
“Saya beri awak alamat yang tepat. Cuba awak lihat betul-betul kad yang saya beri pada awak tempoh hari” arah Bella mahu membuktikan aku memang bersalah. Laju kucapai kad yang terletak di atas meja ini. Kutatap nama premis yang tercatat pada kertas ini. Dobi Cenderawasih Nila. Kupandang Bella yang tersenyum sinis.
“Awak masih nak menafikan?” lirih suara Bella bertanya.
“Saya yakin kad yang saya nampak tempoh hari ialah Dobi Cenderawasih Nilam. Bukan yang ini. Tak mustahil kalau awak telah menukar kad ini” tingkahku tidak percaya. Bella tergelak.
“Mudahnya awak nak letakkan kesalahan awak pada orang lain” perli Bella.
“Tapi saya tak terkejut pun. Dulu awak pernah lakukan kesalahan yang sama... melenyapkan semua pakaian itu. Kemudian awak diarahkan bekerja di KDUT sebagai ganti rugi. Kelicikan awak tak berhenti setakat itu saja. Yang kesian Rania. Dia kehilangan Aqel kerana awak” sinis tuduhan Bella dilontar kepadaku. Tajam pandanganku menatap Bella.
“Jangan cakap sesuka hati kalau awak tak tahu cerita sebenar” tingkahku geram. Bella tergelak. Sengaja mahu menyakiti hatiku. Kugenggam tangan cuba mempertahankan benteng kesabaran diri. Hilang kesabaran bermakna lebih galak Bella akan melontar kata-kata tajam.  
“Tak sabar saya nak halau awak keluar dari bilik ini. Sekarang kemas semua barang awak. Esok saya dan Datin Sofea akan dakwa awak di mahkamah kerana melakukan penyelewengan aset Mawar Berhad” Bella tersenyum panjang.
“Bersedialah fizikal dan mental. Awak pasti akan dihukum penjara kerana Aqel dan Haqem tak mampu melepaskan awak dari tuduhan itu” ujar Bella begitu yakin. Aku mengetap bibir. Suara Bella berlegar-legar di halwa telingaku. Kulontar pandangan jauh-jauh. Esok yang dinanti sungguh mendebarkan. Sudah terbayang gelak tawa dan tepuk sorak Datin Sofea dan Bella meraikan kemenangan mereka. Aku melepas keluhan berat. Mak, Aziq dan Mak Long pasti terkejut tatkala mengetahui perkara ini. Aku akan membuatkan mereka berduka. Perkara ini harus dimaklumkan kepada mak sebelum menjelang hari pendakwaan dan pengisytiharan hukuman yang dijatuhkan kepadaku. iPhone berdering. Aku tersentak. Nama Aqel terpapar di dada skrin.
“Hello...assalamualaikum...” Kukawal suara biarpun hati ini sebak. Aku tidak mahu menangis sekarang.
“Awak di mana sekarang?” suara Aqel melontar pertanyaan.
“Duduk di taman bunga awak... nak hirup udara segar” jelasku.
“Taman Cahaya Dahlia?” Aqel tersentak. Rupa-rupanya sudah muktamad Aqel menamakan taman ini dengan nama sedemikian. Kupandang sekeliling taman ini. Banyak bunga dahlia putih dan merah jambu sedang berkembang mekar nampak indah dipandangan mata.
“Awak pandang ke office saya” arah Aqel. Aku mendongak. Kelihatan Aqel sedang tercengat di sebalik dinding kaca sambil melambai tangan ke arahku. Aku senyum.
“Sekejap lagi saya pergi sana. Kita sama-sama tengok matahari terbenam” ujar Aqel lalu mematikan iPhone. Aqel berpaling dari dinding kaca itu. Bergerak meninggalkan pejabat. Sekejap sahaja Aqel sudah muncul di depanku. Tidak mahu terlepas menyaksikan matahari terbenam.
“Tengok di sana...” Aqel menunding jari ke arah matahari yang perlahan-lahan turun ke arah barat. Cahaya kejinggaan begitu mempesonakan. Aku kagum.
“Indahnya...” suaraku memuji. Aku dan Aqel terpegun pada keindahan ciptaan Allah. Terpaku kami menatap lanskap matahari terbenam ini.
 “Hari ini kita sempat tengok matahari terbenam bersama-sama” ujar  Aqel sambil merakam beberapa keping gambar suasana matahari terbenam. Aqel masih ingat pada kata-katanya.
 “Tengok cantikkan...” Aqel menayangkan gambar yang dirakam dalam iPhone itu. Aku mengangguk dan tersenyum.
“Cantik...” pujiku. Kemudian mengalih pandangan kepada Aqel.
“Taman awak ini dah dipenuhi dengan bunga-bunga dahlia” komenku. Aqel tersenyum.
“Dah nama taman ini Taman Cahaya Dahlia mestilah tanam bunga dahlia” sahut Aqel bersahaja dan tersenyum.
“Pinjam iPhone awak... iPhone saya tak secanggih iPhone awak” ujarku tersengih. Tidak berkata apa-apa Aqel terus menghulurkan iPhone itu kepadaku. Aku tersentak menatap gambarku ketika hari pertunangan Nana dan Arryan menjadi penghias wallpaper iPhone Aqel. Pada hari itu aku, mak dan Mak Long memakai pakaian sedondon yang Aqel tempah khas di butik. Sepatutnya, Aqel juga memakai pakaian yang sama warna dengan kami namun dia tidak muncul. Hendak hilangkan rasa rendah diri dan setanding dengan kehebatan Aqel, aku telah menggunakan kepakaran juruhias profesional untuk menatarias wajahku. Solekan yang memuaskan hati dan mendapat banyak pujian. Aku mahu Aqel bangga denganku. Namun usaha itu sia-sia sahaja. Aku tersenyum sendiri. Kupandang Aqel.
“Bagaimana awak dapat gambar ini? Kan awak tak datang ke majlis pertunangan Nana” tanyaku hairan. Aqel senyum.
“Saya datang sana kamu semua dah balik” sahut Aqel. Aku tersentak. Aqel tidak pernah menceritakan perkara ini. Sekembalinya dari majlis itu, aku meradang dan terkilan kerana Aqel tidak muncul-muncul.
“Pada hari itu awak dan Rania jadi pengapit pengantin” ujarku mengimbas perkara itu. Aqel tersenyum. Nampak gembira menjadi pengapit pengantin bergandingan dengan buah hati.
“Nana kata betapa rugi saya tak tengok awak pada hari itu” cerita Aqel. Aku tergelak kecil. Terbuktilah Nana yang memberi gambar ini kepada Aqel.
“Nana...” Aku tersenyum sendiri. Sahabatku yang sungguh fanatik terhadap Aqel persis Marnie. Segala-gala Aqel yang terbaik.
“Cantik awak... Saya yang minta gambar awak dari Nana” puji Aqel sambil memberi penjelasan. Aku tergelak lagi. Pujian Aqel sekadar hendak menggembirakan hati dan jiwaku yang tidak tenteram. Sudah lama gambar ini menjadi penghias skrin iPhone Aqel. Namun baru sekarang disedari oleh gadis ini.
Make-up yang mengubah penampilan saya” tingkahku merendah diri. Pada hari itu aku tatarias wajahku melebihi daripada hari-hari yang lain. Orang yang jarang bersolek tatkala disolek akan nampak penampilan yang berbeza. Itu yang berlaku kepadaku pada hari itu.
“Hari-hari awak nampak cantik. Bebola mata awak bersinar dan berkaca-kaca” puji Aqel sambil menatapku. Aku diam. Segan pula mendengar pujian Aqel ini.
“Walaupun awak tak menyayangi saya, saya tetap bangga jadi suami awak” ujar Aqel tersenyum. Aku terdiam. Terasa dengan bicara Aqel.
“Nak buat apa dengan iPhone saya?” tanya Aqel menyentakkanku. Aku tersenyum. Baru sedar iPhone Aqel masih berada di tanganku.
“Duduk dekat sikit” arahku buat Aqel tercengang-cengang. Tidak pernah menerima arahan sedemikian. Pantang Aqel duduk terlalu dekat denganku pasti aku akan melenting. Namun hari ini berbeza pula. Aku mahu Aqel duduk rapat di sebelahku.
“Cepat...saya nak ambil gambar dengan awak. Kita tak pernah pun ambil gambar sama-sama selain gambar pengantin” jelasku. Aqel tersengih. Lantas mendekatkan tubuh di sebelahku.
“Ada ler gambar saya dengan awak. Masa kita berbulan madu di Korea. Saya peluk pinggang awak masa tu” ujar Aqel tersenyum. Panas wajahku.
“Oh..., gambar yang itu! Awak minta saya berlakon menjadi pasangan pengantin yang  romantik di depan Pak Long” ujarku mengimbas kunjungan pertamaku di Korea sebagai bulan madu kami. Di situlah aku dapat tahu bahawa Pak Long juga mengenali Flora. Namun tidak mampu aku mengungkai rahsia itu kerana Pak Long turut berahsia. Betulkah Pak Long rampas Flora daripada Aqel? Tidak gembira aku dengan kenyataan ini. Mudah-mudahan andaianku ini tidak tepat.
“Sedia...1...2...3... senyum...” Klik. Aku menekan punat kemera. Sekejap sahaja gambarku dengan Aqel yang sedang tersenyum terakam.
“Lagi...” pinta Aqel. Mahu gambar dirakam lagi. Tidak cukup hanya sekeping sahaja. Tiada bantahan. Aku menurut sahaja permintaan Aqel. Mahu merakam beberapa keping gambar dengan Aqel sebelum usia berganjak dan berubah wajah.  
“Sedia...1...2...3...senyum...” Sepantas kilat tangan Aqel memeluk bahuku. Aku berpaling ke arah Aqel. Mata bertentang mata. Klik. Aku terpaku. Aqel hanya tersenyum.
“Tengok...gambar ini cantik” komen Aqel sambil jari menunjuk pada gambar yang baru sahaja dirakam itu. Gambar kadet yang diambil nampak sempurna. Sungguh romantik. Persis aku dan Aqel sedang bergaya di depan kemera. Kemudian kuhantar dua keping gambar ini ke arah iPhoneku. Aku mahu memiliki dan menyimpan gambar ini. Selesai. Lantas kukembalikan iPhone Aqel.
“Terima kasih kerana tiada bantahan nak ambil gambar dengan awak” ujarku tersengih.
“Nak buat apa dengan gambar tu?” tanya Aqel. Aku menarik nafas panjang. Terasa sebak.
“Nak buat kenangan dengan awak. Lepas ini ambil masa yang lama nak jumpa awak dan pada masa itu pasti saya dah kelihatan tua. Awak takkan mahu bergambar dengan saya lagi” ujarku tergelak sendiri. Air mata menitis di pipi. Laju jariku mengesat. Aqel menatapku dengan mulut terkunci.  
“Aqel...” suaraku terhenti di situ. Aku dan Aqel saling berpandangan. Aku melepaskan keluhan. Berusaha mengumpul kekuatan diri.
“Sebenarnya...saya takut sekarang. Saya berharap hari ini takkan berganjak dan esok takkan muncul” luahku dengan senyuman. Jemari Aqel memaut jemariku. Erat.
“Saya takkan biarkan awak disakiti. Saya akan lindungi awak” Aqel mengulangi janji itu sekian kali. Sebak dan rawan hati mendengar kata-kata Aqel. Aku menangis teresak-esak. Sudah tidak mampu mengawal tangisanku. Aqel terus memelukku. Cuba mendamaikan gelodak perasaanku. Tidak boleh cepat berputus-asa.
 “Saya harus kembali ke Bahagian Unit Keselamatan sekarang. Encik Mahroof pasti sedang tunggu saya. Tadi saya minta keluar sekejap” ujarku sambil merenggangkan tubuh dari pelukan Aqel. Aqel mengangguk.
“Saya hantar awak...” pelawa Aqel. Aku mengangguk. Lantas aku dan Aqel beriringan melangkah meninggalkan Taman Cahaya Dahlia ini. Langkahku dan langkah Aqel terhenti di depan pintu bilik ini. Aku dan Aqel berpandangan.
“Tinggalkan saya di sini. Tak payah hantar saya masuk ke dalam” pintaku. Aqel mengangguk. Tidak membantah.
“Tunggu saya datang. Saya akan bawa awak balik nanti” ujar Aqel serius. Aku menganguk. Yakin  pada kata-kata Aqel.
   “Saya masuk sekarang. Pergilah...” arahku. Aqel senyum namun belum berganjak. Sehinggalah aku menutup daun pintu, Aqel masih terpacak di depan pintu.
Aqel mengatur langkah kemas. Tampak berkeyakinan. Hari ini perhitungan akan dilakukan. Sudah sampai masa hendak bertindak. Daun pintu bilik itu ditolak kasar lantas kakinya melangkah masuk. Langkahnya terhenti di depan gadis itu. Wajahnya serius.
“Aqel...” Bella tersentak. Kedatangan pemuda ini tidak diduga.
“Awak salahkan yang betul dan betulkan yang salah” tegas Aqel serius. Bella terpinga-pinga. Kata-kata Aqel penuh makna tersirat. Aqel tidak mahu menangguhkan masa lagi. Nekad akan membawa gadis itu balik hari ini. Esok tiada perkara buruk yang berlaku.
“Awak dan Datin Bella telah rancang segala-gala dengan sempurna. Awak arah Flora hantar pakaian itu ke dobi yang hanya beroperasi sementara bagi memudahkan awak menuduhnya telah melakukan penyelewengan. Kemudian kerana kecuaian gadis itu, mudah saja awak meletakkan kesalahan itu kepadanya” tegas Aqel. Bella terkebil-kebil. Belum bersedia menangkis hujah Aqel. Hujah yang disokong dengan fakta.
“Awak kukuhkan tindakan awak dengan menukar kad alamat itu. Awak letak alamat laundry yang betul di atas meja itu. Apabila penyiasatan dijalankan nampak seolah-olah Flora berbohong. Nak kukuhkan penyelewengan ini, awak arahkan orang suruhan awak letak RM50,000 di dalam laci itu. Kemudian RM100,000 dari akaun Bank Swiss telah dipindah ke dalam akaun Flora dua hari lalu sebelum dia dituduh menyeleweng aset syarikat” tegas Aqel. Tajam pandangannya menatap Bella. Tiba-tiba sahaja Bella bertepuk tangan.
“Hebat cerita awak” sinis suara Bella memperlekehkan hujah Aqel. Hakikatnya sudah timbul bibit-bibit keresahan dalam diri. Namun dia berusaha menjadi kuat agar dapat mengaburi pandangan mata dan keyakinan anak muda ini.
“Awak boleh cakap apa saja yang awak suka. Saya tak takut. Awak takde bukti nak lepaskan Lia daripada tuduhan itu” tegas Bella angkuh. Aqel tersenyum.
“Betul. Saya tak boleh katakan Flora tak lakukan semua itu. Polis takkan percaya. Tapi awak harus ingat, saya ada bukti nak sabit kesalahan awak dan Datin Sofea yang telah menganiaya gadis itu. Bukti ini akan membebaskan Flora dari tuduhan itu” tegas Aqel serius menatap Bella. Lantas mengeluarkan iPhone dari saku seluar. Ditekan punat. Maka video itu terpasang. Cerita yang jelas. Bella terkedu.
“Saya letak kamera tersembunyi di setiap tempat duduk Flora. Saya tak boleh bergantung pada cctv syarikat ini. Saya yakin awak dan Datin Sofea ada perancangan yang teliti” ujar Aqel tersenyum sinis. Lega.
“Seorang lelaki yang tak dikenali... yang bukan warga KDUT ini takkan mudah menceroboh bilik ini tanpa bantuan orang dalam. Tiba-tiba saja cctv dan alat penggera bilik ini tak berfungsi walaupun lelaki yang tiada ID KDUT telah melepasi pintu bilik ini. Saya pasti awak yang bertanggungjawab mematikan sistem sekuriti bilik ini” tegas Aqel lantang. Perkara yang diramal akan berlaku benar-benar telah terjadi. Bahagian Unit Keselamatan KDUT memaklumkan cctv yang dipasang di bahagian kostum tidak berfungsi pada masa kejadian tersebut. Maka tuduhan terhadap gadis itu tidak dapat ditolak buat sementara waktu.
“Belum cukup bukti awak nak katakan semua itu rancangan saya dan Datin Sofea” tingkah Bella menafikan. Aqel tergelak.
“Bagaimana dengan ini? Awak pasti kenal lelaki ini kan. Dengar-dengar dia baru keluar penjara dua bulan lalu” Aqel menayangkan video pengakuan lelaki itu. Bermula daripada kejadian yang menyebabkan kecederaan di siku Aqel. Percubaan untuk melanggar gadis itu. Kemudian kewujudan dobi yang telah dipercayai berurusniaga jual-beli pakaian tersebut untuk menyabitkan kesalahan pecah amanah. Seterusnya pengakuan lelaki ini telah menerima arahan untuk meletakkan RM50,000 di dalam laci meja gadis itu. Akhirnya dia mengaku telah memindahkan RM 100,000 dari akaun Bank Swiss ke dalam akaun bank atas nama Nurdahlia binti Salllehudin. Bella terkejut. Wajahnya pucat lesi. Dia kehilangan kata-kata. Tidak mampu membuat penafian lagi.
“Ada perkara yang perlu awak dengar dan tengok” ujar Aqel tersenyum sinis. Kemenangan sudah berpihak kepada gadis itu. Sekarang dia sudah boleh menyabitkan kesalahan itu kepada Bella dan Datin Sofea. Aqel menekan video lain. Lantas menayangkan kepada Bella.
“Saya terima arahan ini daripada mereka...” Lelaki itu menayangkan gambar di tangannya. Besar mata Bella menatap gambar itu. Dia terkedu. Gambarnya dengan Datin Sofea. Bukti sudah jelas. Jerat sendiri telah memerangkap mereka.
“Arahan daripada Datin Sofea dan Cik Bella” Telinganya menangkap suara lelaki itu menyebut nama mereka. Tangan Bella terketar-ketar. Semua sudah jelas perkara yang menimpa gadis itu angkaranya dengan Datin Sofea.
“Apa yang awak mahu?” Bella menatap Aqel. Dia sudah tidak berdaya. Aqel senyum lagi. Suka mendengar pertanyaan gadis itu.
“Semua bukti berada di hujung jari saya. Dalam beberapa saat saja saya boleh hantar video ini kepada pihak polis, pihak keselamatan KDUT dan blog syarikat ini. Maka semua orang boleh menonton dan mengetahui kisah sebenar. Sekurang-kurangnya awak dan Datin Sofea akan merasa hidup di dalam penjara untuk beberapa tahun atas kesalahan mencederakan, menganiaya dan menfitnah orang yang tak bersalah. Awak ingat kehidupan bekas banduan begitu mudah?” jelas Aqel dengan pandangan yang serius. Renungan matanya tajam. Gerun Bella menatapnya. Bergetar jari-jemari gadis ini. Dia ketakutan.
“Saya boleh buat awak dan Datin Sofea jadi muflis kerana fitnah kalian... tapi saya ingat pada Haqem dan Idlan. Pasti Flora takkan gembira kalau saya lakukan semua ini” suara Aqel lembut namun bernada ancaman. Bella tidak boleh duduk tenang lagi.
“Awak nak saya dan Datin Sofea buat apa?” tinggi suara Bella mengulangi pertanyaan itu. Dia cemas. Aqel sudah berjaya membuktikan gadis itu tidak bersalah.
“Saya nak awak dan Datin Sofea tarik balik tuduhan itu. Saya nak tengok balik nanti Flora dah ada di rumah. Saya beri kalian tempoh 24 jam bersihkan nama gadis itu dan buat permohonan maaf secara terbuka. Kemas semua barang awak yang ada di dalam bilik ini. Saya tak nak tengok awak ada di sini lagi” lantang suara Aqel memberi arahan. Kulitnya yang putih nampak kemerah-merahan. Aqel murka lalu melangkah ke pintu meninggalkan Bella yang sedang ketakutan. Tangan Bella terketar-ketar. Dia mencapai iPhone lalu membuat panggilan.
“Mama...Aqel dah tahu segala-galanya. Semua bukti ada di tangannya...” suara Bella bergetar. Datin Bella terduduk. Mereka sudah tidak selamat. Nasib mereka terletak di tangan pemuda itu. Dia perlu belas ehsan Aqel. Langkah deras Aqel terhenti. Dia menatap skrin iPhone yang berada dalam genggaman tangan. Serius. Sudah dijangka dia akan menerima panggilan itu. Datin Sofea dan Bella tidak akan mampu berdiam diri. Mereka berada dalam keadaan terdesak sekarang.
“Berkuatkuasa 24 jam kerjasama KDUT dengan Mawar Berhad ditamatkan” tegas Aqel mematikan perbualan itu. Tidak sempat mendengar suara Datin Sofea. Arahan tegas itu sudah cukup memberi peringatan kepada wanita itu. Kali ini Aqel tidak akan bertolak ansur lagi. Aqel meneruskan langkah ke Bahagian Unit Keselamatan KDUT dengan wajah yang serius. Membayangkan kembali tangisan gadis itu membuatkan dia marah pada Datin Sofea dan Bella. Melihat tangisan dan ketakutan gadis itu membuatkan dia marah pada diri sendiri. Dia menyalahkan diri kerana gagal melindungi gadis itu. Langkahnya terhenti. Dia memandang sayu ke arah gadis yang sedang berteleku di lantai itu. Tiada tenaga. Ternyata Datin Sofea dan Bella telah melaksanakan arahannya serta-merta.


Tuesday 9 May 2017

NamaKu Bukan Flora...91

 
BAB 91



“Awak didenda” tegasku mempamer wajah serius.
“Denda?” Terkebil-kebil Aqel menatapku.
“Semalam saya dah masak sedap-sedap untuk awak. Saya juga lama tunggu awak balik. Awak telah bazirkan makanan itu. Awak juga telah bazirkan masa dan tenaga saya. Jadi adalah perlu awak dihukum” jelasku. Geram.
“Hukum?” Aqel memandangku sekilas.
“Fokus pada pemanduan awak” arahku.
“Geez...” Aqel mendesis. Tidak puas hati. Pening kepala memikirkan bicaraku.  Kereta Peugeot RCZ Sports Coupe QL144 memasuki perkarangan parkir KDUT. Aku berpaling menatap Aqel. Sudah sampai masa hendak menjelaskan hukuman yang harus diterima oleh Aqel.
“Mulai esok awak wajib belanja saya makan sebagai hukuman kerana telah membazirkan makanan, tenaga dan masa saya” tegasku. Aqel menatapku.
“Saya belanja awak makan tengah hari nanti” ujar Aqel lalu memulakan langkah meninggalkan aku. Aku tersenyum.
“Terima kasih, Aqel!” laungku sambil memerhatikan langkah Aqel bergerak ke muka pintu. Kelibat Aqel hilang di sebalik pintu kaca itu. Aku melepaskan keluhan kecil. Waktu makan masa yang sesuai berdua-duaan dengan Aqel, malah masa yang tepat untuk aku mengajukan beberapa pertanyaan. Aqel tidak akan meninggalkan aku makan bersendirian. Dia tidak akan lari. Harap-harap Aqel akan memberikan jawapan yang memuaskan hati. Tidak sabar hendak menunggu ketibaan waktu makan tengah hari.
“Mulai esok saya takde di sini. Saya dan Datin Sofea akan menghadiri Festival Fesyen Antarabangsa di Itali. Minggu depan baru balik” jelas Bella. Kupandang Bella. Pelik. Buat pertama kali dia berkongsi jadual kerja denganku. Apa mimpinya di malam tadi sehingga hatinya tergerak hendak memaklumkan perkara ini kepadaku. Lantas aku teringat pada kaita-kata Encik Razman yang pernah mempelawaku menjadi model untuk memperagakan rekaan terbarunya. Pelawaan yang tidak dapat diterima akal. Sudah terbayang reaksi Aqel jikalau benar aku menjadi model. Siang dan malam pasti tidak habis-habis kutukan yang perlu aku dengar keluar dari mulut Aqel. Jangan menggapai bintang langit.
“Pastikan awak siapkan semua kerja dengan baik. Saya dah letak di atas meja awak senarai perkara yang perlu awak uruskan ketika ketiadaan saya di sini” tegas Bella. Aku mengangguk. Kucapai kertas yang memaparkan senarai kerja yang harus aku selesaikan. Aku terkedu. Tebal. Bermakna banyak perkara yang perlu aku beres.
“Saya tak suka orang curi tulang” Tajam pandangan Bella menatapku. Langsung tidak terasa dengan kata-kata Bella. Aku telah menyelesaikan setiap tugasan yang diberi dengan sedaya upaya. Tiada kerja yang pernah tertangguh selama ini.
“Jangan lupa pakaian semalam hantar ke laundry. Awak masih simpan alamat laundry itu kan?” tanya Bella. Aku mengangguk. Aku nampak kad premis itu ada dalam tray di atas meja ini. Lagipun alamat premis itu sudah melekat di kepalaku.
“Ya... Baiklah” sahutku.
“Keselamatan semua pakaian ini menjadi keutamaan awak” tegas Bella mengulangi kenyataan ini. Bella juga mengingatkan aku betapa penting pakaian-pakaian ini.
“Ya...saya faham” Pakaian yang beribu-ribu ringgit nilainya jika dicampur semua pasti berpuluh-pulu ribu harganya. Aku tidak mampu membayar harga yang mahal itu. Ketidakmampuan inilah yang menyebabkan aku berada di KDUT sekarang. Rentetan kejadian itu yang menyebabkan aku mengenali Aqel, Rania dan Bella, gadis di depanku ini. Bahkan mencipta kehidupan baruku, bernikah dengan Aqel. Rantaian kisah yang bermula daripada pakaian yang hilang atas kecuaianku pada hari itu. Aku melepaskan keluhan kecil. Tidak mahu mengulangi perkara itu lagi.

Aku baru sampai di dobi ini. Laju aku mengeluarkan iPhone yang sedang dering. Melihat nama Aqel di skrin mengingatkan aku pada janji tadi. Aku garu-garu kepala. Habislah aku. Sudah terbayang wajah serius Aqel. Terdengar-dengar juga suara Aqel yang merungut panjang. Aqel pasti naik angin tika ini.
“Awak di mana sekarang?” suara Aqel membingitkan telinga. Mungkin sedang marah kerana telah lama menunggu kedatanganku.
Sorry Aqel...saya lupalah nak makan dengan awak” jelasku tersengih sendiri.
“Awak di mana sekarang?” Aqel mengulangi pertanyaan itu.
“Saya di depan dobi ni. Nak hantar pakaian yang semalam” jelasku terlupa memaklumkan kepada Aqel bahawa aku ada kerja yang perlu diselesaikan di luar hari ini. Kedengaran keluhan Aqel. Tidak suka aku mungkir janji.
“Kita ikut permintaan awal saya tadi. Esok awak belanja saya ye” pintaku.
“Tengoklah nanti” balas Aqel acuh tidak acuh.
“Awak dah janji...” tegasku mengingatkan Aqel.
“Assalamualaikum...” Aqel menamatkan perbualan ini. Aku mengetap bibir menahan geram. Cepat sahaja memutuskan perbualan ini. Aku belum habis cakap lagi. Aku merungut-rungut sendirian. Kutarik beg beroda ini masuk ke dalam premis ini. Mujur ada roda yang mengurangkan bebanan yang perlu aku pikul. Kunjungan keduaku ke sini. Sudah berkenalan dengan beberapa orang pekerja . Aku menyerahkan maklumat pakaian yang kuhantar. Turut menyelesaikan beberapa perkara termasuk meminta tandatangan penyelia yang mengesahkan penghantaran pakaian yang kubuat hari ini. Penting sebagai bukti. Hidup mesti sentiasa berhati-hati agar kesilapan lalu tidak berulang lagi.
Aku bergerak ke pintu. Langkahku terhenti. Aku berpaling semula. Lelaki yang baru sahaja muncul di kaunter itu menarik perhatianku. Sempat aku berpandangan dengan lelaki itu. Cepat sahaja dia memalingkan muka lalu meninggalkan kaunter. Aku seperti pernah bertemu dengan lelaki itu. Namun daya ingatanku tumpul hendak mengingat pertemuan itu. Perut mula berkeroncong. Kutatap jam. Sudah sampai waktu makan tengah hari. Hendak balik ke KDUT, rasa lapar ini semakin menyengat dan pasti Aqel juga sedang atau sudah selesai makan. Tidak sempat lagi. Aku singgah di restoran di sebelah kedai dobi ini. Mahu segera menghilangkan rasa lapar ini. Aqel menatap beberapa gambar yang baru sahaja dihantar kepadanya. Tajam pandangannnya menatap lelaki itu. Laju tangan Aqel menekan sebaris nombor itu. Dia perlu berbual dengan pengirim gambar-gambar itu. Mahukan gambaran yang lebih jelas tentang keadaan di sana. Ada kebimbangan menerjah diri. Terasa ada musibah sedang menghampiri gadis itu. Dia harus berwaspada.
“Pastikan awak terus perhatikan lelaki itu. Pastikan juga gadis itu selamat” ujar Aqel serius. Terlepas pandang pasti mengundang bahaya. Bahaya terhadap keselamatan gadis itu.
“Ya...kami sedang mengawasi kedua-duanya. Jangan bimbang Encik Aqel. Semuanya terkawal” jelas suara lelaki yang menerima panggilan Aqel.
“Bagus...” Aqel segera menamatkan perbualan itu. Kemudian membuat panggilan lain. Menunggu seketika panggilannya dijawab. Dia cemas.
“Hello...” kedengaran suara gadis itu.
“Awak di mana sekarang? Saya dah lama tunggu awak ni. Awak nak kenyang sorang-sorang” lantang suara Aqel menggegar gegendang telingaku.
“Awak belum makan lagi? Bagaimana awak tahu saya sedang makan?” tanyaku musykil.
“Saya tercium bau sup yang awak makan sekarang” jelas Aqel.
“Huh...” Aku terpinga-pinga menatap sup tulang yang berasap-asap di dalam mangkuk menunggu untuk dinikmati. Di talian Aqel boleh hidu bau wangian sup tulang ini. Mengarutlah. Kebetulan tekaan Aqel tepat kali ini.
“Cepat balik ke sini. Saya tunggu awak ni. Lapar sangat sekarang” ujar Aqel mengadu.
“Saya baru saja nak makan ni. Tak elok nak tinggal makanan ni macam tu saja. Sabar ye... Saya janji akan habiskan cepat-cepat. Nanti saya datang sana temankan awak makan” ujarku cuba menyabarkan Aqel.
“Saya tak boleh tunggu. Balik sekarang!” perintah Aqel. Suara Aqel tidak kedengaran lagi. Panggilan ini sudah diputuskan oleh Aqel. Aku memandang sayu sup tulang yang belum dirasa ini. Sayang hendak ditinggal begitu sahaja. Kuangkat tangan ke arah pekerja restoran ini. Gadis itu mendekatiku. Segan juga hendak membuat permintaan. Namun ini sahaja penyelesaian yang ada.
“Tolong bungkus semua ni. Tetiba dapat call mengarahkan saya balik ke office sekarang. Saya tak sempat nak makan di sini. Sorry” ujarku rasa bersalah sambil menatap gadis ini.
“Okey...takpe..Tunggu kejap ye...” pintanya lalu mengangkat hidangan yang kupesan ini ke dapur. Aku menunggu gadis itu membungkus makanan yang kupesan tadi. Tidak lama gadis itu muncul semula bersama makanan yang sudah siap dibungkus untukku.
“Terima kasih” ujarku sambil menghulurkan bayaran untuk makanan yang kupesan tadi. Aku bergegas meninggalkan restoran ini. Mujur tidak lama hendak mendapatkan teksi. Aku masuk ke dalam teksi. Mahu segera sampai ke KDUT kerana Aqel sedang menungguku.
“Ke mana cik?” tanya pemandu teksi itu menatapku melalui cermin. Bukan cik, puanlah.  
“Ke KDUT ye...” ujarku. Dia mengangguk. Aku menyandar di kerusi penumpanng di belakang ini lalu berpaling ke tingkap. Lelaki itu sedang berdiri di tepi dinding kaca premis itu sedang mengarah pandangan ke arahku. Sekali lagi aku dengan lelaki itu sempat berpandangan.
“Siapa lelaki itu?” Aku bertanya pada diri sendiri. Masih memikirkan tentang lelaki itu. Gagal lagi. Aku tidak ingat apa-apa tentang lelaki itu. Teksi ini berhenti di depan bangunan KDUT. Aku membayar harga tambang teksi lalu bergegas keluar. Terpandang Aqel sedang terpacak di depan pintu KDUT. Pasti menunggu kedatanganku. Tercungap-cungap nafasku berhenti di depan Aqel. Aqel menatapku.
“Awak okey?” tanyanya. Aku mengurut dada. Kurang oksigen kerana terpaksa berlari ke sana ke sini.  
“Saya lapar ni” keluhku sambil memegang perut. Aqel memerhatikan makanan yang tergantung di tanganku.
“Awak bawa balik makanan tadi?” tanya Aqel sinis. Berkerut mukanya. Pasti sedang mengutukku sekarang.
“Saya tak suka membazir” ujarku bersedia menangkis kutukan Aqel.
 “Ceh...” Aqel tersenyum.
“Saya pun lapar sekarang. Mari kita makan” ajak Aqel meminta aku mengiringi langkahnya. Aku melangkah di sebelah Aqel. Tiba-tiba langkah Aqel berhenti. Dia berpaling menatapku. Aku terkebil-kebil menatap Aqel.
“Lain kali kalau awak ada kerja di luar, awak mesti beritahu saya. Biar saya temankan awak sehingga urusan awak selesai” ujar Aqel mengingatkan aku.
“Huh...” Terpinga-pinga aku menatap Aqel.
“Cepat...lapar sangat dah ni” Aqel menarik tanganku. Terpaksa mengatur langkah besar mengiringi langkah Aqel. Tidak sempat memikirkan kata-kata Aqel sebentar tadi. Aqel memandu laju Peugeot RCZ Sports Coupe QL144. Sekejap sahaja sudah sampai ke destinasi yang dituju. Sudah terbayang hidangan yang panas-panas dan air jus berais untuk menghilangkan rasa lapar ini.
“ Tinggalkan makanan yang awak tapau tu dalam kereta. Jangan bawa keluar. Buat malu je” kutuk Aqel sambil menjeling aku. Terkumat-kamit mulutku memprotes sikap Aqel yang malu tidak bertempat. Kemudian laju langkahku dan Haqem  menghala ke pintu restoran. Bersaing hendak mendahului sampai ke muka pintu. Masing-masing kebuluran. Tidak sabar hendak makan. 

 ***********************

“Puan Nurdahlia, kami dari Bahagian Unit Keselamatan KDUT. Maaf... kami perlu memeriksa bilik ini termasuk barang-barang puan. Sila beri kerjasama” ujar seorang lelaki memperkenalkan diri bersama-sama rakannya. Tag identiti diri yang tergantung di leher ditunjukkan. Aku terkasima menatap sekumpulan lelaki yang sedang berdiri di depan pintu. Tetamu pertama yang mengunjungiku awal pagi ini.
“Bahagian Unit Keselamatan? Tuduhan pecah amanah?” Aku terkedu dan terlopong menatap sekumpulan lelaki ini. Mereka bergerak mendekatiku.
 “Boleh puan bergerak ke sini...” pintanya. Aku masih terpaku di kerusi ini. Terkejut bukan kepalang. Dadaku berdebar-debar.
“Periksa semua laci, loker dan kabinet” arah lelaki ini kepada anak buahnya. Mereka mendekatiku.
“Puan sila bangun...” pintanya. Aku bangun dan berdiri tidak jauh daripada mereka yang sedang menyelongkar mencari sesuatu. Laci meja tempat dudukku ditarik.
“Encik Mahroof, kami menemui bukti” ujar lelaki itu sambil menayangkan beberapa keping kertas dan sejumlah wang yang banyak. Aku terkedu. Tidak menyangka semua itu tersimpan di dalam laci mejaku. Sukar hendak percaya. Lelaki itu mencapai kertas yang dihulurkan oleh anak buahnya. Dia meneliti tulisan yang tercatat pada kertas-kertas itu.
“Sah...ini dokumen urusniaga yang dipersetujui” jelas lelaki itu. Aku terpinga-pinga. Tidak mengerti. Namun terasa ada musibah sedang menantiku.
“Maaf... kami terpaksa membawa puan untuk disoal-siat atas tuduhan pecah amanah” jelas lelaki itu.
“Huh...” Aku terlopong. Terasa aku telah melakukan kesalahan besar.
“Sila beri kerjasama. Puan ikut kami ke bilik penyiasatan” pinta lelaki tadi. Aku kematian akal dan terpaku. Tahu-tahu dua orang lelaki ini telah memegang lenganku mengarah aku memulakan langkah.
“Okey...okey...saya akan ikut kalian” ujarku bersedia bekerjasama dengan mereka. Lelaki yang bersuara tadi mengangguk dan menggunakan bahasa isyarat mengarahkan tanganku dilepaskan. Mereka patuh. Bergerak ke bilik penyiasatan aku dikawal oleh sekumpulan lelaki ini. Seperti mereka khuatir aku akan melarikan diri. Sepanjang perjalanan ini betapa banyak mata sedang menatapku. Sekejap lagi akan terseber cerita tergempar yang akan diketahui oleh warga KDUT.
“Lia...!” Aku berpaling. Marnie memanggil namaku.
“Kenapa?” tanyanya cemas. Aku tidak sempat menjawab pertanyaan Lia. Pergerakan ini terlalu pantas. Sebetulnya aku juga tidak pasti perkara yang telah berlaku. Tiba-tiba sahaja aku didatangi oleh sekumpulan lelaki penyiasat. Bukti kes telah ditemui di dalam laci mejaku. Semua berlaku dalam sekelip mata. Aku tidak pernah menerima sebarang dokumen dan sejumlah wang yang banyak. Sungguh meragukan. Marnie berlari meluru masuk ke pejabat Haqem. Tidak tentu arah. Cemas.
“Encik Haqem...! Encik Haqem mesti tolong Lia!” Marnie terkocoh-kocoh menemui pemuda itu. Nafasnya tercungap-cungap. Haqem terpinga-pinga.
“Kenapa? Apa yang berlaku dengan Lia?” tanyanya cemas. Dia sudah bangun dari kerusi itu. Pasti perkara serius telah menimpa gadis itu. Haqem jadi tidak keruan.
“Lia...Lia ditangkap” Besar mata Haqem menatap Marnie. Persis tangkai jantungnya disentap kuat. Marnie geleng-geleng kepala.
“Bukan...bukan... Lia dibawa oleh pasukan Bahagian Unit Keselamatan KDUT. Ada sesuatu yang serius telah berlaku” jelas Marnie cemas membetulkan kata-katanya.
“Apa!” Haqem tersentak.
“Encik Haqem... saya nampak mereka bawa Lia tadi. Encik Haqem mesti tolong Lia” pinta Marnie. Haqem sudah berlari ke muka pintu. Kata-kata Marnie tidak habis didengar.  
“Oh...” Marnie mengeluh. Baru teringat kepada Aqel. Marnie terus menghubungi Aqel. Gagal. Cuba lagi. Panggilan itu masih tidak diangkat.
“Encik Aqel...jawablah panggilan ini” seru Marnie.
“Saya tak boleh tunggu lagi” Marnie meluru ke pintu. Dia berlari ke pejabat Aqel. Pintu bilik itu diketuk lalu ditolak dengan bertenaga. Tempat duduk itu kosong. Aqel tiada di situ.
“Encik Aqel...di mana?” Marnie tertanya-tanya ke mana pemuda itu pergi tika ini? Marnie melangkah longlai meninggalkan bilik itu. Kemudian dia mendail nombor iPhone itu lagi. Dia tidak berputus-asa menjejaki pemuda itu.
Aku terpaku duduk di kerusi ini berfikir panjang. Cuba menganalisis diri. Mencari-cari kesilapanku sehingga sedemikian tuduhan yang cuba disabitkan ke atasku. Aku mesti membuktikan tuduhan itu palsu. Aku tidak pernah melakukannya. Sesekali tidak pernah mengelapkan wang dan harta benda syarikat. Betapa berat tuduhan yang dilemparkan itu. Setakat ini tiada bukti-bukti yang mampu menolak bukti-bukti yang menyabitkan aku sebagai pesalah berdasarkan laporan yang telah diterima. Laporan misteri bersama bukti yang telah dikirim kepada Bahagian Unit Keselamatan KDUT. Berdasarkan bukti-bukti yang ada sekarang memang aku ialah pesalah. Aku tertunduk melepaskan keluhan panjang.
“Lia...” Aku mendongak. Aku tersenyum tawar menatap Haqem yang berdiri di depanku dengan pandangan simpati.
“Awak okey?” tanyanya lembut. Aku mengangguk sambil menarik nafas dalam-dalam. Aku tidak bersalah. Aku mesti yakin kepada diri sendiri.
“Saya percaya awak...” ujar Haqem buat hatiku tersentuh. Haqem memang sentiasa mempercayaiku. Tiada keraguan. Kepercayaan Haqem juga sungguh bermakna buatku.
“Terima kasih...” balasku berbesar hati.Tersenyum lagi.
“Sabar ye... Saya akan bebaskan awak dari tuduhan tak berasas itu” ujar Haqem bersungguh-sungguh. Aku mengangguk. Yakin Haqem akan melakukannya.
“Untuk beberapa jam awak dikuartin di sini” jelas Haqem lemah. Aku melepaskan keluhan. Bermakna aku akan dikurung dalam satu tempoh yang tidak diketahui. Dijaga di bawah pengawasan Bahagian Unit Keselamatan KDUT bukan perkara yang elok. Jika bukti-bukti yang dimiliki tidak dapat disangkal, bermakna aku akan diserahkan kepada pihak polis. Kemudian menerima hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah. Oh,... terasa aku sentiasa kurang bernasib baik! Ada-ada sahaja masalah membelengguku.
“Jangan risau. Awak takkan duduk lama di sini” jelas Haqem cuba menenangkan hatiku dan memberi harapan. Aku tersenyum hambar.
“Aqel dah datang sini?” Kupandang Haqem. Aku menggeleng.
“Dia dah tahu perkara ini?” Haqem bertanya lagi.
“Saya tak pasti” sahutku. Aqel tidak menghubungiku dan belum muncul di sini. Kesibukan menyebabkan Aqel terlewat mengetahui perkara ini. Aku sudah mengingatkan diri dengan andaian ini.  
“Mereka masih benarkan awak guna iPhonekan” Aku mengangguk. Haqem menarik nafas lega. Masih boleh berhubung.
“Awak bertenang. Tak payah risau. Saya akan datang lagi. Sekarang ada perkara yang perlu saya uruskan” ujar Haqem bersungguh-sungguh. Aku mengangguk.
“Saya pergi dulu...” Haqem bangkit dari kerusi ini. Aku menyoroti langkah Haqem dengan harapan. Langkah Haqem terhenti. Dia berpaling ke arahku semula dengan wajah mendung.
“Saya takkan biarkan awak berada lama di bilik ini” ujar Haqem nekad. Aku senyum. Aku tahu Haqem akan berusaha membebaskan aku daripada tuduhan ini. Aku mengangguk. Yakin kepada Haqem. Haqem bergerak laju melewati pintu tanpa menoleh-noleh lagi. Aku tahu dia bersedih tika ini. Haqem akan menyalahkan diri lagi. Kupandang dinding kaca ini lalu kulontar pandangan jauh-jauh. Aku terbayang senyuman mekar Datin Sofea dan Bella. Aku terdengar gelak tawa mereka. Balasan yang harus aku terima kerana mengenali Haqem dan menyayangi Idlan.
Sudah beberapa kali dia menghubungi perempuan itu. Namun suara yang mengarah dia meninggalkan pesanan kedengaran lagi. Haqem mendengus kesal. Benaknya berserabut. Hatinya tidak tenteram. Terasa dirinya dipermainkan saat ini. Laju tangannya mendail nombor itu.
“Maaf...Datin Sofea menghadiri Festival Fesyen Antarabangsa di Itali sekarang” jelas setiausahanya. Haqem melepaskan keluhan. Hampa.
“Dia pergi dengan Cik Bella” tambah perempuan itu memberi maklumat. Perkara sudah diduga. Haqem tidak terkejut.
“Bila mereka akan balik?” tanya Haqem.
“Kalau ikut tarikh tiket yang saya tempah itu...lusa Datin Sofea balik” Haqem mengeluh lagi mendengar penjelasan itu. Tempoh itu terasa lama hendak ditunggu.
“Awak tahu nombor lain yang boleh saya hubungi? Saya perlu bercakap dengan mama” pinta Haqem.
“Maaf...takde Encik Haqem” Haqem melepaskan keluhan. Gagal hendak berbicara dengan perempuan itu. iPhone Bella sudah dihubungi. Namun perkara yang serupa. Suara yang meminta pesanan ditinggalkan berulang-ulang. Haqem mengetap bibir menahan gelodok perasaan. Mereka bersepakat sedang mempermainkannya.
“Hello...Encik Haqem...” suara perempuan itu memanggilnya.
“Okey...terima kasih” Haqem terus memutuskan panggilan itu. Dia berlari keluar dari pintu sehingga menarik perhatian warga KDUT yang berada di sekiling. Haqem kelihatan cemas. Nun jauh di sana Datin Sofea dan Bella sedang bergelak ketawa bagai sedang meraikan kemenangan.
“Pasti Haqem... kelam-kabut sekarang” ujar Datin Sofea gembira. Mereka ketawa lagi.
“Kamu dah call Tomeng? Minta dia berhati-hati, jangan sampai tertangkap” pesan Datin Sofea. Masih ada terdetik kerisauan di hatinya. Haqem mahupun Aqel tidak boleh dipandang rendah. Mereka tidak akan berdiam diri sahaja dan membiarkan gadis itu menerima hukuman.  
“Sudah mama. Dia akan meninggalkan Malaysia hari ini” sahut Bella tersenyum.
“Bagus...” Datin Sofea mengukir senyuman. Dipandang Bella.
“Kamu bersiap sedia sekarang. Pasti Haqem akan muncul. Dia takde pilihan kalau mahu gadis itu bebas. Saya yakin dia takkan biarkan gadis itu meringkuk dalam penjara” ujar Datin Sofea sambil merenung penuh dendam. Kemudian Datin Sofea dan Bella ketawa lagi.
“Haqem....Haqem...” Bella tersenyum-senyum sambil menyeru nama pemuda itu. Hatinya berbunga riang. Di matanya sudah membayangkan hari persandingan bersama Haqem.
“Kali ini awak tewas Haqem...” bisiknya yakin. Bella tersenyum panjang. Malam yang panjang di bumi Itali menyaksikan kegembiraan mereka meraikan kemenangan.

**********************

“Maaf...Encik Aqel di mana tadi?” Marnie terkocoh-kocoh melangkah masuk ke bilik itu. Aqel kelihatan tenang duduk di kerusi itu. Persis tidak tahu perkara yang sedang berlaku. Marnie menatapnya.
“Encik Aqel dah tahu...” duga Marnie membataskan bicara. Semua warga KDUT sudah mendengar berita itu. Pelbagai spekulasi didengar. Aqel mengangguk. Dia masih tenang.
“Encik Aqel tak risau?” tanya Marnie tidak puas hati melihat reaksi Aqel.
“Dia takkan apa-apa” sahut Aqel yakin tiada perkara buruk akan menimpa gadis itu.
“Sayapun berharap macam tu Encik Aqel. Kasihan Lia. Mesti dia ketakutan sekarang” ujar Marnie bersedih atas perkara yang menimpa gadis itu.
“Saya akan jumpa dia nanti” sahut Aqel. Marnie melepaskan keluhan. Bimbang melihat ketenangan Aqel. Aqel masih mampu duduk di kerusi itu. Dia masih tidak berganjak dari bilik ini.
“Encik Aqel mesti jumpa Lia sekarang. Encik Haqem dah pergi sana dan sedang berusaha membebaskan Lia daripada tuduhan itu” jelas Marnie tidak mahu Aqel lambat bertindak. Aqel diam.
“Saya pergi dulu Encik Aqel...” Marnie meminta diri lalu meninggalkan Aqel bersendirian di bilik pejabat itu. Aqel mematungkan diri seketika. Nampak dia sedang berfikir. Dia memusing posisi tubuh. Dilontar pandangan jauh menembusi dinding kaca itu. Lantas dicapai iPhone. 
“Hello...bertindak sekarang” Aqel memberi arahan. iPhone diletak di atas meja. Aqel bersandar di kerusi empuk itu sambil merenung jauh. Dicapai iPhone, bingkas dia bangun lalu melangkah ke pintu dengan wajah serius. Langkah yang diatur nampak tenang sahaja.
“Termenung jauh nampak?” Aku berpaling. Aqel sedang tersenyum menatapku.
“Awak okey?” Aku tersenyum menatap Aqel yang sudah melabuhkan duduk di depanku. Aku mengangguk. Aqel yang sentiasa tenang walau apa keadaan sekalipun. Untung dirinya yang nampak dingin tidak mudah dipengaruhi perasaan.
“Cuma bosan duduk di sini tanpa berbuat apa-apa. Apatah lagi mereka banyak kali tanya perkara yang sama” keluhku. Aku tergelak kecil. Tidak sedar pula merungut di depan Aqel. Aqel menatapku. Seketika aku dan Aqel saling berpandangan. Cuba menyelami hati masing-masing. Biarlah hati yang berbicara.
“Haqem nak ambil peguam” suaraku memecah kesunyian ini.
“Saya tahu dia takkan boleh duduk diam melihat awak dalam keadaan ini” sahut Aqel.
 Aku senyum sekilas. Haqem berasa bersalah terhadapku. Aku dan Haqem berfikiran sama walaupun dia tidak berterus-terang kepadaku. Semua ini angkara Datin Sofea dan Bella. Laporan misteri itu telah direncanakan oleh mereka. Mereka ada motif. Bella juga berulang kali memberi peringatan keras kepadaku. Namun tidak menduga mereka senekad ini. Sungguh dalam kebencian mereka.
“Awak jangan bimbang dan rasa takut. Semua ini akan selesai dengan baik” ujar Aqel tenang. Aqel mahu berkongsi ketenangan itu denganku. Kata-katanya hanya mahu menenangkan hati.
“Berani kerana benar dan takut kerana salah. Saya takkan takut” ujarku menyahut dengan pendirian. Aqel tersenyum. Sekurang-kurangnya aku nampak kuat di depan Aqel. Tidak mahu dia bimbang. Ketakutan dan kerisauanku akan membebankan Aqel. Jadi aku mesti kuat dan bersemangat.   
“Namun saya sedikit risau...” jelasku berterus-terang. Perasaan ini tidak dapat aku kawal. Benakku sentiasa memikirkannya. Aqel menatapku.
“Saya risau kalau mak mengetahui perkara ini” keluhku. Mak tidak akan dapat bertenang jikalau mengetahui perkara ini. Mak tidak akan sanggup melihat aku dijadikan pesalah. Apatah lagi meringkuk di penjara untuk suatu tempoh. Perkara ini boleh membahayakan nyawa mak. Pasti mak tiada kekuatan hendak menerima semua ini dengan tenang. Hati mak akan hancur lebur. Kupandang Aqel. Aku mahu Aqel melakukan sesuatu untukku.
“Mak tak boleh tahu tentang hal ini. Begitu juga Aziq dan Mak Long. Awak boleh janji akan memastikan perkara ini tak sampai ke pengetahuan mereka?” pintaku. Kupandang Aqel memohon pertolongan. Aqel mengangguk. Sudah berjanji akan merahsiakan musibah ini.
“Jangan risau mak dan Aziq takkan tahu. Mama juga takkan tahu” janji Aqel. Aku menarik nafas. Lega. Aku percaya pada janji Aqel. Dia mampu melindungi keluarga kami.
“Terima kasih, Aqel” Air mata menitis di pipiku. Laju jariku mengelap. Aqel memandangku. Aku senyum. Cuba menyembunyikan perasaan sedih ini. Tiba-tiba tangan Aqel menggenggam erat tanganku. Cuba memberi kekuatan kepadaku.
“Saya takkan biarkan awak disakiti. Tidak sama sekali. Jadi jangan menangis” tegas Aqel berbisik. Hatiku tersentuh. Aku senyum. Namun mataku terasa berkaca-kaca. Air mata ini menitis ke pipi. Lembut jari Aqel menyapu.
“Orang yang menyakiti awak pasti akan menyesal memperlakukan awak begini” ujar Aqel berbaur ancaman. Wajah Aqel serius. Persis Aqel mahu menghukum orang yang bertanggungjawab menfitnah aku. Terdetik kebimbangan melihat kesungguhan Aqel.

***********************

“Agak sukar nak pastikan Puan Nurdahlia dilepaskan daripada tuduhan ini selagi tiada bukti baru yang boleh menyangkal bukti yang sedia ada” jelas Encik Mahroof ketua bahagian penyiasatan. Haqem mengeluh.
“Maaf... bukti yang diserahkan dan bukti yang ditemui di pejabat begitu kukuh untuk menyabitkan Puan Nurdahlia telah melakukan penyelewengan aset syarikat” tambah Encik Mahroof lagi. Haqem mengeluh berat. Tidak dapat diterima akal.
“Saya tak percaya semua ini” Haqem geleng-geleng kepala.   
“Dokumen urusan jual beli dan wang RM50,000 kami temui di dalam laci meja Puan Nurdahlia. Kami juga telah menyiasat akaun bank Puan Nurdahlia. RM100,000 telah dipindahkan dari Bank Swiss ke dalam akaun bank tersebut dua hari lalu” jelas Encik Mahroof. Haqem tersentak.
“Bank Swiss?” tanya Haqem mengulangi. Encik Mahroof mengangguk dan mengeluh. Sukar hendak mengesan pengirim wang tersebut kerana Bank Swiss akan melindungi maklumat pelanggan mereka. Kerahsiaan Bank Swiss telah dikodifikasi sejak tahun 1934. Semua telah dirancang dengan sempurna. Haqem menyedari hakikat ini. Kesalahan itu masih berpihak kepada gadis itu. Haqem mengeluh.
“Encik Haqem tak perlu bimbang. Kami akan menyiasat betul-betul perkara ini” janji Encik Mahroof.
“Terima kasih... Sukar ke nak bebaskan Puan Nurdahlia daripada tuduhan itu? ” Haqem rasa tidak berdaya. Tindakan yang diambil belum membuahkan hasil. Sukar hendak menyangkal bukti yang kukuh itu.
“Setakat ini bukti-bukti yang ada memang tak berpihak pada Puan Nurdahlia” Haqem menghela nafas. Dipicit dahinya yang berdenyut-denyut. Bukan mudah hendak membebaskan Lia daripada tuduhan itu.
“Oh...ya...Puan Nurdahlia dibenarkan balik. Dokumen-dokumen penting seperti pasport harus ditinggalkan di sini, prosuder siasatan syarikat” jelas Encik Mahroof. Haqem mengangguk dan berasa lega.
“Jadi saya boleh bawa Puan Nurdahlia balik sekarang?” tanya Haqem meminta kepastian.
“Ya...setelah menandatangani beberapa dokumen penting” Encik Mahroof menambah penjelasan. Ada akujanji yang harus dimeterai.
“Okey...terima kasih” Haqem teruja. Bingkas dia bangun mendahului Encik Mahroof lalu melangkah mendapatkan gadis itu. Sudah lama Lia menghadap muka pada dinding kaca itu memerhatikan dunia luar. Tidak tahu apa yang sedang difikirkan oleh gadis itu.
“Lia...” Aku tersentak. Laju aku berpaling. Haqem tersenyum.
“Awak boleh balik sekarang” jelas Haqem buat aku tersenyum.
“Ya...puan dibenarkan balik dengan bersyarat. Bila-bila masa saja puan akan dikehendaki datang ke sini lagi. Kes ini belum selesai...puan masih suspek” ujar lelaki ini membuatkan senyumanku lenyap. Aku masih pesalah.
“Sebelum balik...puan isi borang ini dan sila tinggalkan pasport...prosuder siasatan syarikat ini. Saya juga ingin maklumkan kepada puan bahawa pergerakan puan dalam pengawasan pihak kami. Harap-harap puan takkan rasa terganggu” tambah Encik Mahroof. Aku mengangguk.
“Ya...saya faham” sahutku mengerti. Aku dan Haqem bergerak meninggalkan Bahagian Unit Keselamatan KDUT. Senyap. Tiada perkara yang aku dan Haqem bualkan sepanjang langkah ini. Masing-masing berdiam diri. Langkahku terhenti. Langkah Haqem turut terheniti. Aku berpaling menatap Haqem.
“Terima kasih, Haqem” ujarku terhutang budi. Haqem senyum.
“Awak nak makan? Pasti awak lapar sekarang” Aku menggeleng.
“Boleh awak hantar saya balik ke rumah?” tanyaku. Aku mahu tidur sekarang. Tatkala bagun dari tidur nanti aku sudah cukup tenaga. Banyak perkara yang aku perlu lakukan setelah sepanjang hari duduk berfikir.
“Boleh. Mari saya hantar awak” sahut Haqem tanpa bantahan. Aku dan Haqem beriringan melangkah ke laman pakir. Kembali senyap. Tidak berbicara lagi. Banyak mata yang memandang sepanjang perjalanan ini. Kuteguhkan hati. Berani kerana benar, takut kerana salah seperti yang kukatakan kepada Aqel. Pandangan sinis dan curiga orang di sekeliling tidak akan menggentarkan aku. Aku bukan pesalah yang harus dihukum. Aku hanyalah mangsa penganiayaan manusia yang kejam. Aku akan membebaskan diri daripada tuduhan itu.
Tatkala kereta yang Haqem pandu memasuki halaman banglo ini, kelihatan Aqel sedang tercengat di muka pintu persis sedang menanti kepulanganku. Barangkali Haqem sudah memaklumkan tentang kepulanganku malam ini kepadanya. Kupandang Haqem.
“Terima kasih” ujarku sekali lagi. Haqem hanya senyum.
“Pastikan awak tidur nyenyak malam ini” pesan Haqem. Aku tersenyum sekilas. Lantas menolak daun pintu kereta.
“Pandu kereta hati-hati” pesanku lalu menutup pintu kereta. Aku mengatur langkah ke pintu. Aqel masih berdiri di situ sedang melontar pandangan ke arahku.
“Assalamualaikum...” Aku memberi salam sambil memandang Aqel.
“Walaikumussalam...” sahut Aqel menjawab salamku. Matanya menatapku. Aku melangkah masuk melewati Aqel yang masih terpacak di muka pintu.
“Saya gembira awak dah balik” ujar Aqel mematikan langkahku. Aku berpaling ke arah Aqel. Aku senyum. Senang mendengar bicara Aqel. Mungkin dia rasa sunyi bersendirian di banglo ini setelah sekian lama tinggal bersamaku di sini. Adakala aku dan Aqel akan bertikam lidah kerana tatkala mengulas isu dengan pendekatan yang berbeza. Kedinginan Aqel yang sentiasa mencabarku.
“Terima kasih. Saya nak tidur sekarang” ujarku tidak bersemangat hendak berbual panjang dengan Aqel. Aqel mengangguk. Kuatur langkah mendaki satu-persatu anak tangga. Aqel menyoroti langkah longlai gadis itu dengan pandangan simpati. Dia melepaskan keluhan.
“Assalamulaikum... mak. Saya rindukan mak...” sayup-sayup kedengaran suara gadis itu diiringi dengan esakan tangisan yang tidak terkawal. Langkahnya terhenti. Aqel bersandar di dinding bilik itu. Dia terpaku di situ, membiarkan gadis itu menangis sendirian. Dia tidak sanggup menyaksikan deraian air mata gadis itu lagi. Hatinya turut terguris.
“Bersabarlah Flora... saya pasti melindungi awak” bisik hati kecil Aqel.