Tuesday, 20 September 2011

NamaKu Bukan Flora! 3



BAB 3

Dia melepaskan tanganku tatkala sudah berada di bilik ini. Hanya aku dan dia saja yang berada di sini. Wajahku ditenung lama membuatkan aku tidak selesa. Pandangannya tetap bersahaja. Rupanya ada juga manusia sebegini di muka bumi Malaysia ini. Ingatkan hanya salah satu karektor yang sering dibawa oleh hero – hero dalam filem saja. Aku cuba mengingati sesuatu. Oh, seiras watak Kim Hyeon – Jung sebagai Jihu. Gaya penampilan diri dan wajahpun seiras. Agaknya semua ini dia ciplak sepenuhnya daripada aktres itu. Mana tahu Kim Hyeon – Jung adalah idolanya.
“Apa awak buat kat sini, Flora?” suaranya mengejutkan aku.
“Aku bukan Flora” ujarku menyedarkannya.
Senyap seketika. Barangkali dia baru menyedari kesilapannya memanggilku sedemikian. Flora? Siapakah gadis itu? Pasti seorang yang istimewa dihatinya. Seseorang yang sentiasa melekat diingatannya sebab itu mulutnya terus – terusan menyebut nama itu.
“Saya pembawa malang kepada awak, apa maksud awak?”. Diulangnya bicaraku tadi. Aku garu – garu kepala sambil tersengih. Melekat juga bicara itu di kepalanya. Ingatkan dia langsung tidak mempedulikannya tadi.
“Er... er.... saya marah awak tadi sebab tak nak tolong saya” tuturku berterus terang. Dia tersenyum sendiri. Manis juga senyumannya walaupun hanya sedetik. Kan lebih baik tersenyum sedemikian daripada nampak wajah yang dingin membeku.
“Tolong awak? Kenapa saya perlu tolong awak?” soalnya lagi.
Fuhh! Banyak pula soalan yang keluar dari mulutnya.
“Sebab awak ada kaitan dalam hal ni. Gara – gara tolong awak hantar baju – baju awak semalam, pakaian yang sepatutnya saya hantar kepada pelanggan hilang di bangunan ini. Pakaian yang mahal – mahal yang tak mampu saya bayar. Saya harus cari pakaian tu sampai dapat” luahku panjang lebar dan cukup terperinci agar lebih jelas kepadanya sekaligus tidak perlu lagi dia mengemukakan banyak soalan kepadaku.
“Awak harus tolong saya menjelajah seluruh bangunan ni. Kalau tak saya akan dibuang kerja. Isteri bos saya tu menakutkan sangat. Nasib saya terletak ditangan awak” luahku sedikit merayu. Dia diam seketika. Barangkali sedang memikirkan bicaraku lalu membuat pertimbangannya. Harap – harap dia tidak akan melangkah meninggalkan aku bila habis saja dia berfikir. Mana tahu dia akan mengulangi sikapnya tadi. Kalau sudah menjadi tabiat pasti akan berulang lagi.
“Buat apa awak terpacak kat situ lagi, jom ler kita cari” suaranya yang sampai ke pendengaranku begitu menyenangkan hatiku. Aku tersenyum sendiri mengekori langkahnya. Rupanya masih ada juga sikap terpuji dalam dirinya ini.
Belum sampai ke muka pintu, tiba – tiba langkahnya terhenti. Langkahku pun terhenti sama. Dia berfikir - fikir seketika dengan jarinya yang sedang bermain – main di bibir nipisnya. Harap – harap dia tidak akan mengubah fikirannya untuk menolongku. Dia berpatah balik masuk ke bilik ini lalu mendekati meja itu. Dia mengeluarkan sesuatu dari laci. Kemudian melangkah semula mendekatiku. Tiba – tiba ada sesuatu dikalungkannya di leherku. Tag kebenaran yang sudah berada di leherku kutatap seketika.
“ Pakai tag tu supaya pengawal tak boleh tangkap awak”
Dia tersenyum sendiri tapi cuma sebentar saja. Mungkin mengingati adegan tarik – menarik antara aku dengan pengawal keselamatan itu. Dia kembali melangkah dan aku hanya mengekorinya. Sudah beberapa buah bilik penyimpanan pakaian kami jelajahi, namun baju – baju itu belum lagi kutemui. Dalam rasa risau – risau begini, teruja juga sedikit perasaanku melihat berderet – deret pakaian eksekulsif dan cantik rekaannya yang juga pernah digayakan oleh model – model terkenal. Tidak sangka berpeluang juga aku menyentuhnya. Satu pengalaman yang terlalu bernilai.
“Saya belum jumpa lagi ler baju – baju tu” keluhku lemah.
“Cari lagi” arahnya sambil terus menjadi pemerhati. Apalah salahnya kalau dia juga turut membantuku mencari baju – baju itu daripada terpacak di belakangku macam itu saja. Dia tetap setia menjadi pengawalku. Akhirnya kami kembali semula ke studio tadi. Kedatangan kami menjadi tontonan semua. Aku hanya melangkah dan sedaya upaya tidak mahu memandang wajah – wajah yang ada di sini. Perasaan malu dan segan menyelubungiku. Mujur juga pemuda ini ada bersamaku. Terasa betapa beratnya tanganku tatkala menyelak satu – persatu baju – baju yang tergantung di situ sambil diperhatikan ramai.
“Dah jumpa?”. Aku geleng kepala. Barangkali dia menyedari tingkahku yang tampak begitu kekok. Tanpa kuduga, dia melangkah ke sisiku lantas turut sama menyelak – nyelak pakaian yang ada di situ. Sesekali dia menayangkan baju yang dicapai oleh tangannya kepadaku. Aku hanya geleng kepala.
“Aqel, awak buat apa tu?” agak tinggi suara perempuan yang menegur  itu. Seorang gadis sudah terpacak di depan kami. Ya, gadis anggun  yang memanggil namanya tadi. Renungan gadis itu tajam menatapku. Pantas saja aku mengalih pandanganku. Gerun hatiku untuk terus memandang wajah itu, sedangkan aku lihat pemuda ini tetap nampak tenang dan bersahaja. Kewujudan gadis ini langsung tidak memberi sebarang kesan kepadanya.
“Ada kat sini?” soalnya lagi.
Aku geleng kepala. Hampa. Sudah terbayang wajah Puan Rosie yang menjerit – jerit memarahiku. Agaknya memang aku sudah tidak ada rezeki di Clean N Friendly Laundry itu. Aku sudah berusaha sedaya upaya. Namun nasib tidak menyebelahiku. Setakat ini sajalah yang termampu aku lakukan.
“Tak payahlah kita cari lagi. Saya nak balik sekarang. Terima kasih kerana tolong saya” tuturku mula melangkah ke pintu studio. Dia masih menatap langkah longlai gadis itu. Gadis itu hilang di sebalik pintu itu.
“Siapa gadis itu, Aqel?” soalan itu keluar lagi dari mulut gadis itu.
Dia menatap wajah itu. Masih juga dibiarkannya soalan itu tidak berjawab. Sebetulnya dia masih memikirkan gadis yang baru saja melangkah pergi itu. Tiba – tiba saja dia melangkah pantas ke muka pintu. Dia ingin mengejar langkah gadis itu.
“Aqel !” laung gadis itu penuh geram kerana diperlakukan sedemikian.
Aku melepaskan keluhanku lagi. Esok bermulalah episod mencari  kerja. Sudah terbayang syarahan panjang mak memenuhi telingaku. Kalau bab bercakap boleh tahan juga mak kesayanganku itu. Maklumlah bekas pemidato sekolah dulu. Betulkah mak pernah menyertai pertandingan pidato zaman sekolahnya dulu? Aku tersenyum sendiri.  Wujudkah tidak pertandingan pidato tika itu.
“Flora.....!”
Pantas saja aku berpaling. Pemuda itu sedang berlari ke arahku. Sedikit hairan melihat gelagatnya itu. Oh, baru aku teringat bila saja mataku terpandang tag kebenaran yang masih tergantung di leherku ini. Agaknya inilah yang dikejarnya. Pantas saja tanganku menanggalkannya.
“Awak ada simpan invois baju – baju tu?” soalnya bila saja langkahnya  mati tepat – tepat di depanku. Aku hairan menatapnya. Sedikit keliru dengan bicaranya.
“Minta invois tu, nanti kami cari lagi baju – baju tu” jelasnya.
“Apa kena mengena dengan invois tu?” soalku masih tidak memahami tujuannya. Dia menatapku lagi dengan pandangannya yang tersendiri. Telapak tangannya yang terbuka masih dihulurkan kepadaku.
“Kat invois tu lengkap tertulis maklumat tentang baju – baju tu. Lebih mudah mencarinya. Lagipun kami tak pernah tengok baju – baju tu” ujarnya lebih jelas.
“Oh.... macam tu”. Aku mula faham lantas tersenyum dibalas dengan pandangannya yang bersahaja. Kumasukkan jariku ke dalam poket jeans yang kupakai. Mujur ada tersimpan di sini.
“Awak tak basuh seluar awak dari semalam ke?”
“Apa!”. Dia sudah tersenyum sendiri. Celaka punya orang! Sedap ikut mulut saja dia bercakap. Memang betul pun aku tak basuh jeansku ini. He... he... he....! Kukeluarkan pen dari beg sandangku ini lalu mencatat barisan nombor telefonku di belakang invois tersebut siap sekali dengan nama penuhku sebelum menghulurkan kepadanya. Dia menatap invois yang sudah berada ditangannya itu.
“Kalau awak jumpa baju – baju tu terus telefon saya. Nombor telefon dan nama saya di belakang invois tu. Nama saya Dahlia, Nur Dahlia bukan Flora” terangku tidak mahu disalahertikan olehnya sekaligus membetulkan kesilapan yang sering dilakukannya ketika memanggilku. Dia tetap memandangku dengan pandangan kosong.
“Terima kasih banyak – banyak sebab sanggup tolong saya. Saya takkan lupa pertolongan awak ni. Nah awak punya”. Kuserahkan tag kebenaran itu kepadanya. Namun tidak disambutnya. Tiba – tiba saja dia berpaling dan terus melangkah meninggalkan aku terkebil – kebil di situ sedang memerhatikannya.
“Awak simpan je tag tu. Mana tau suatu hari nanti awak perlu datang ke sini lagi!” laungnya tanpa sempat memandangku. Langkahnya semakin jauh meninggalkan aku. Kutatap tag kebenaran yang masih berada ditanganku ini. Baru saja tanganku hendak menyimpannya dalam beg sandangku, terus saja kumatikan niatku. Memandangkan aku masih berada dalam bangunan ini adalah lebih praktikal kalau aku terus memakainya. Aku pun akan lebih selamat berada di sini. Terus saja kusambung langkahku. Tatkala aku menghampiri pintu, pengawal – pengawal keselamatan itu hairan menatapku. Pantas saja kutayangkan tag kebenaran itu sambil menghadiahkan senyuman buat mereka.  

1 comment:

  1. Haha... Tayang jgn tak tayang pas tu.. Baru trlopong abg guard..

    ReplyDelete