BAB 16
“Adik lompatlah sikit!” laung abang yang sejak tadi jadi pemerhati.
Aku terus meluncur laju di dada jalan. Satu bengol berjaya kulompat. Beginilah setiap kali hujung minggu menjelma, pasti aku tidak lupa bermain rollar – blade satu hobi baruku. Aku menyeka peluh yang mula mengalir. Langkahku semakin cepat. Pantas aku menoleh melihat sebuah kereta sport merah berhenti tepat – tepat di depan abang. Aku segera berpatah balik dengan meluncur laju sebaik saja melihat lambaian tangan abang. Termegah – megah aku dibuatnya.
“Hey, budak alien ni rupanya!” ujarku kurang senang.
“Adik, Boy kemalangan. Dia di hospital sekarang”
“Dia di hospital Adik pedulikan apa” balasku selamba.
Eddy dan abang menatapku.
“Adik ni serius tau”
Aku masih buat muka bersahaja.
“Boy dalam keadaan tenat sekarang”
“Apa di hospital? Tenat?”
Aku seakan baru sedar. Wajahku terus berubah.
“Ya betul Edora. Dia nak jumpa kau”
Aku tidak menghiraukan bicaranya. Seketika aku panik.
“Abang macam mana ni?”
“Jom kita pergi hospital”
Kami berlari masuk ke kereta. Aku tidak hiraukan apa – apa lagi termasuk permusuhanku dengan Eddy. Perkara yang hanya terlintas di kepalaku sekarang, aku mesti cepat sampai di hospital. Sepanjang perjalanan hanya wajah Boy sajalah yang kuingat. Detik – detik bersamanya berputar kembali. Boy adalah satu – satunya sahabat sejatiku. Dialah sahabat yang betul – betul setia. Setiap yang kusuruh tidak pernah dibantahnya. Kini baru aku sedar di saat – saat getir aku kehilangan seorang sahabat yang benar – benar baik terhadapku. Sudah lama aku tidak berbual – bual dengannya. Tidak mungkin! Tidak mungkin dia akan pergi meninggalkan aku. Aku tidak mahu kehilangan seorang sahabat sepertinya. Aku tidak mahu kehilangan senyuman itu setiap kali aku melemparkan kata – kata kesat kepadanya.
Abang menarik tanganku keluar. Rupanya kami telah tiba di perkarangan hospital. Kami berlari ke wad yang menempatkan Boy sedang dirawat. Mata yang menatap kehairanan tidak kami hiraukan. Langkahku terhenti. Alangkah terkejutnya aku melihat Boy yang terbaring di katil di kelilingi oleh wayar –wayar yang tidak kutahu fungsinya. Yang dapat kurasakan wayar – wayar itu pasti menyeksakan Boy. Satu – persatu disusukkan ke tubuh dan lengannya.
“Wan....”
Kedengaran namaku meniti di bibirnya. Aku merapati katil.
“Boy aku datang” ujarku tenang.
Lambat – lambat dia membuka matanya. Walaupun kulihat Boy dalam keadaan terseksa, namun dia masih sempat senyum. Senyuman derita yang ditanggungnya. Terasa tanganku digenggam. Kubiarkan saja.
“Maafkan aku, Wan”
Aku mengangguk. Kutatap wajah itu. terlalu payah kulihat Boy hendak menyambung bicaranya. Boy benar – benar menderita.
“Sabarlah Boy, kau pasti selamat. Usah banyak bercakap. Jangan terlalu bergerak tau” nasihatku.
Terasa tanganku semakin erat digenggamnya. Dia geleng kepala.
“Suatu hari nanti.... a..a... aku mahu kau jadi perempuan betul” pintanya tersenyum. Aku paksa diriku turut senyum. Sungguh terlalu sukar untuk aku pamerkan senyuman dalam keadaan sekarang. Hatiku pilu menyaksikan keadaan Boy.
“Wan, maafkan aku. Aku....a...a...aku....aku cintakan kau” ucapnya antara kedengaran dengan tidak.
Aku terpaku sejenak. Suasana hening yang diselubungi kesedihan itu tiba – tiba kudengar jeritan dan tangisan. Terasa genggaman tangan Boy terlerai. Abang menggegar bahuku. Kulihat perempuan tua itu memeluk tubuh Boy. Baru aku sedar Boy telah pergi buat selama – lamanya. Aku cuma mampu tertunduk membisu menatap sekujur tubuh yang sudah tidak bermaya lagi. Abang menatap wajahku yang kian nampak pucat. Terasa tangan abang memimpinku membawa pergi. Sebelum melangkah pergi aku sempat melihat Eddy tertunduk menatap lantai di tepi sudut itu. Tiba – tiba aku rasa bagaikan ada satu kekuatan. Aku berlari meninggalkan abang.
Kini perkarangan hospital sudah jauh kutinggalkan. Kelibat abang tidak nampak lagi. Langkahku terhenti tepat – tepat di depan tasik ini. Aku menjerit sekuat hatiku. Aku menjerit lagi. Akhirnya aku terduduk lemah menatap rumput yang kupijak. Buat seketika aku melayan perasaanku, mengundang kembali kenangan bersama Boy. Dari sekolah rendah hinggalah aku melangkah ke alam sekolah menengah, hanya Boylah satu – satunya sahabat yang kekal bersamaku. Boy terlalu baik kepadaku. Betapa berdosanya aku tidak berlaku adil dengan persahabatan kami. Aku tidak pernah melayan Boy sebaik dia melayanku. Aku tidak pernah menyenangkannya melainkan sering kali menyusahkannya. Aku yang buat salah, Boy pula yang mati – mati mengejarku untuk meminta maaf. Ya Allah, betapa jahilnya aku menilai erti sebuah persahabatan itu.
“Edora....”
Bahuku dipegang. Aku mendongak wajah itu. Tampak tenang tidak setenang hatiku. Tanpa disuruh dia terus duduk di sisiku.
“Siapa suruh kau datang sini! Aku tak suka kau! Kau anak penjajah!” bentakku. “Aku benci kau! Pergi!” jeritku.
Eddy tetap tenang. Langsung tidak terusik dengan kemarahanku.
“Edora, sampai bila kau nak benci aku?”
“Itu aku punya suka. Pergi! Jangan sesakkan aku!”
“Baiklah, aku akan pergi tapi sebelum itu aku nak bersihkan jiwa kau tu dulu” ujarnya serius tanpa menghiraukan layananku terhadapnya.
“Maksud kau?”
“Kau tak boleh menyamakan semua orang tu serupa saja, mendendami hingga keturunannya” tegasnya.
“Kau serupa saja seperti mereka, penjajah!” bentakku lagi.
“Asyik – asyik kau kata aku penjajah. Jadi kau pun penjajah!” bentaknya.
“Tidak!” jeritku.
“Kalau orang tengok kau dari raut wajah je, kau juga seperti aku. Semua orang takkan kata kau anak Melayu, begitu juga aku. Bila sebut penjajah semua orang akan benci. Jadi kalau aku dikatakan anak penjajah dah pasti kau juga anak penjajah. Kita sama – sama anak penjajah. Siapa lagi yang sukakan kita kalau bukan diri kita sendiri. Kau benci aku kerana wajah aku sekaligus kau membenci diri kau sendiri, Edora. Adakah kau sedar semua ni?” tegasnya.
Aku diam.
“Selagi kau tetap membenci aku, membenci keturunan orang puteh selagi tu kau membenci diri kau sendiri. Darah Inggeris tetap mengalir dalam tubuh kau tu. Kau takkan dapat membuangnya” ujarnya lembut kembali.
“Walaupun kau mati – mati menafikan kau bukan bangsa penjajah tu, kau, aku tetap juga keturunannya. Kuharap kau akan sedar dan takkan terus membencinya” tambahnya berbicara.
Eddy diam seketika.
“Aku tak melarang kau terus membenciku kerana tu hak kau tapi satu kau perlu ingat, aku bukan penipu dan aku tak serupa orang yang kau benci itu. Keluargaku juga ada sejarah silam. Aku rasa kau lebih beruntung daripada aku”
Aku terdiam lagi. Setiap kata – katanya menyilap ke dalam sanubariku. Bagaikan dipukau akhirnya membuatkan aku mendengarnya dengan tekun.
“Aku dibesarkan oleh nenek di kampung. Ketika aku berusia lima tahun ibu dan ayahku bercerai. Selepas itu, ibu membawa aku balik ke Malaysia. Syukurlah hanya aku sajalah anak mereka. Bayangkanlah kalau aku punya adik – beradik yang ramai tentu susah bagi ibu untuk menyara. Rupanya bukan setakat itu saja kesukaran yang kualami. Hidup di kampung serba kekurangan membuatkan ibu nekad datang ke sini mencari rezeki untuk membesarkanku. Dalam usia itu aku berpisah dengan ibu. Aku menemui ibu sebulan sekali. Akhirnya kerana kesibukan kerja aku terus dilupakan. Hanya wang kiriman sajalah setiap bulan mengunjungi aku di kampung. Jauh di sudut hati aku benar – benar mengharapkan kasih sayang ibu. Aku ingin sekali bermanja dengannya. Aku cemburu melihat orang lain ada ibu di sisi mereka. Walaupun dalam keadaan itu, aku tak pernah menyalahkan ibu kerana aku tahu semua yang dilakukannya adalah untuk membesarkan aku. Aku juga tak pernah menyalahkan mereka atas perceraian tersebut kerana aku tahu semua itu dah ditakdirkan. Aku tidak pernah membenci ayahku biarpun aku melihat sendiri dia sering membawa perempuan lain balik ke rumah. Malah ayahlah punca penderitaanku dan ibu. Tika itu aku cukup mengerti bahawa kecurangan ayah punca kemusnahan keluargaku. Nasib aku masih kuanggap baik kerana aku masih mendapat kasih sayang dan perhatian nenek. Dialah yang telah menjagaku. Aku membesar bersama nenek. Aku amat menyayangi nenek tetapi Allah lebih menyayanginya. Bila dah tiba saatnya tiada sesiapa yang berdaya melawan ketentuanNya. Aku merelakan juga nenek pergi untuk selama – lamanya. Aku dapat rasakan jiwaku telah kosong, dahagakan kaish sayang dan perhatian seseorang. Ibu membawaku ke bandar. Dua tahun kemudian ibu berkahwin lagi dengan seseorang yang dicintainya. Aku merelakannya kerana aku tahu ibu perlukan teman hidup untuk mengisi kekosongan hatinya. Aku sentiasa berdoa semoga pilihan ibu kali ini tepat dan luka yang ayah tinggalkan padanya telah sembuh. Aku meneruskan hidupku tanpa menyimpan dendam pada ayah mahupun sebarang kekesalan dengan takdir yang menimpaku selama ini” tuturnya tenang.
Aku menatap wajah itu. Ternyata anak matanya berkaca – kaca. Eddy tunduk. Hatiku tiba – tiba terasa sebak. Kupejamkan mata. Terasa panas mengalir perlahan – lahan. Buat pertama kali aku menangis setelah bertahun – tahun lamanya air mata ini membeku.
“Aku harap kau akan insaf, Edora. Terima hakikat hidup ini dengan tabah” nasihatnya lembut menyusup ke hatiku.
Aku terdiam lagi. Kutundukkan kepalaku. Ternyata air mataku semakin lebat mengalir. Tangannya lembut mengangkat daguku. Ditatapnya aku seketika.
“Maafkan aku, Eddy” rintihku dalam getaran.
Eddy senyum sambil tangannya mengusap lembut rambutku. Buat pertama kali kurasakan ada getaran dalam diriku. Air mataku tidak dapat disekat lagi. Aku menangis sepuas – puasnya. Biarlah hitam yang menutup keinsafanku akan sirna. Aku mahu membina hidup baru, tetapi bagaimana aku hendak menoktahkan kebenciaan ini sedangkan dendamku untuk wanita itu terus menyala. Bingkas saja aku bangkit dari dudukku. Eddy menatapku.
“Aku ingin mengiringi pemergian Boy untuk kali terakhir” luahku perlahan.
Air mataku menitis lagi. Aku telah kehilangan seorang sahabat yang kusayangi. Aku mula terasa kekosangan tanpa kehadiran Boy. Pasti aku akan merindui kehadiran Boy. Sesungguhnya sebaris nama Boy tidak akan padam dari ingatanku. Kenanganku bersama Boy akan tetap terpahat utuh dihatiku.
No comments:
Post a Comment