Thursday, 8 September 2011

Senyum Lagi 20


BAB 20



Pertama kali memijak bumi Malaysia, destinasi pertamaku adalah di sini. Kutatap pusara Boy yang kelihatan dijaga rapi. Langsung rerumput tidak berkesempatan untuk menghampirinya. Nampak bersih. Perlahan – lahan kutabur kelopak – kelopak bunga mawar bersama setulus doa kupanjatkan untuknya. Semoga Boy sejahtera di sana.
“Boy, maafkan aku kerana tak berkesempatan untuk menjengukmu selalu” tuturku perlahan – lahan.
Angin bertiup lembut. Terasa hiba hatiku. Air mata ini menitis ke pipi. Kalaulah Boy nampak aku menangis tika ini, barangkali dia akan tersenyum panjang kerana aku betul – betul telah memiliki ciri – ciri perempuan yang sepatutnya.
“Boy, sesungguhnya aku merindui kau” bisikku.
Lima tahun sudah Boy pergi meninggalkan aku, namun aku tidak pernah melupakan sebaris namanya. Kenanganku bersama Boy masih segar dalam ingatanku. Sehingga kini aku masih gagal menemui sahabat sebaik dan sesetia Boy. Tiada sesiapa yang mampu menggantikan tempat Boy dihatiku.
Aku mengatur langkah memasuki banglo mewah ini. Lima tahun aku meninggalkannya sedikit pun tidak berubah. Masih tetap seperti dulu. Kulihat seorang pemuda sedang leka bermain piano di satu sudut. Kubiarkan seketika sehingga bunyi petikan piano yang memenuhi ruang tamu itu lenyap.
“Abang...”
Pantas dia berpaling. Dia terkesima. Bingkas abang bangun. Seketika dia terdiam dan merenungku lama.
“Adik?” soalnya mencari kepastian.
Aku mengangguk. Abang terus saja mendapatkan aku. Beg ditangan kulepaskan. Aku mendakap tubuh abang erat bagi melepaskan kerinduan yang terbuku selama ini. Terasa mataku berkaca.
“Kalau nak jadi lelaki tak boleh menangis tau” ujar abang mengulangi seperti lima tahun lalu.
“Adik takkan jadi lelaki lagi” balasku.
Abang menatapku. Dibelainya rambutku yang lurus melepasi bahu. Dia tersenyum.
“Adik nampak lebih ayu tau” puji abang mengusikku.
Pantas aku mencubit lengan abang.
“Adik tak nak tumbuk abang seperti dulu ke?” usiknya terus.
“Adik bukan lagi Wan. Adik adalah Edora, seorang anak gadis yang dah dewasa dan matang” ujarku lembut.
Abang mengangguk sambil terus tersenyum.
“Hampir – hampir kita terlupa” ujar abang tiba – tiba.
“Mari...”
Tanganku ditarik. Aku hanya mengekori langkah abang.
“Abah, mama tengok tetamu istimewa Lan ni!” laung abang dari bawah.
Kedengaran langkah keluar. Abah dan perempuan itu terpaku. Aku menatap satu – persatu wajah itu. Betapa menggunungnya kerinduanku buat kalian. Tanpa dipinta air mataku mengalir dalam senyuman menatap mereka. Tiada yang lebih menggembirakan melainkan bertemu dengan mereka. Abah diikuti perempuan itu berlari menuruni anak tangga. Aku menanti abah dan terus memeluk tubuhnya. Aku menangis dalam dakapan abah.
“Adik...”
“Bukan Adik abah tapi Edora” ujar abang membetulkan buat aku dan abah tergelak kecil.
“Maafkan Adik abah” tuturku hiba.
Abah hanya mengangguk dan tidak henti – henti menatapku. Kukucup tangannya. Betapa tenangnya hatiku tika ini.
“Rambut Adik ni palsu ke” usik abah.
Aku hanya tersenyum. Kualih pandanganku kepada perempuan yang masih tercengat di sisi abah sejak dari tadi hanya jadi pemerhati. Kupandang abah. Abah mengangguk. Lama aku menatapnya. Terlalu besar dosaku kepadanya. Tanpa disuruh aku melangkah mendekatinya. Terus kupeluk perempuan itu.
“Mama ampunkan dosa Adik....” luahku hiba.
Pertama kali panggilan itu keluar dari mulutku setelah lima belas tahun aku tidak pernah menyebutnya. Terasa keningku dikucup. Aku memeluk erat tubuhnya seakan tidak mahu berpisah lagi. Aku tidak akan melepaskan dia pergi lagi. Air mata kegembiraan dan keinsafan mengalir di pipiku. Begitu juga dengan mama sedang menangis. Akhirnya aku, abang, abah dan mama bergabung saling berpelukan. Ikatan keluarga kami yang terlerai suatu masa lalu kini bertaut kembali.


@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@
 
Aku sibuk melayan tetamu yang datang. Abah dan mama berdiri di muka pintu menyambut tetamu yang bertandang hari ini. Seketika kemudian majlis bermula. Kulihat begitu segak dan tampan abang berpakaian songket serba merah itu. Laksana raja dahulu kala. Wajah putih bersih itu memukau mata yang memandangnya. Abah dan mama tidak lekang dari senyuman dek bangga melihat puteranya tampil tampan penuh bergaya.
“Edora...”
Namaku dipanggil. Pantas aku menoleh. Eddy tersenyum menatapku. Ditangannya sekuntum mawar putih. Dia menatapku lama membuatkan aku serba salah dan tertunduk malu.
“Kau dah banyak berubah sekarang. Kau nampak sungguh cantik” pujinya berbisik.
“Kau tak tahu betapa susahnya aku belajar memakai kasut tinggi ni”
“Syabas kau dah berhasil menjadi gadis sepenuhnya” ujarnya sambil menghulurkan mawar putih itu kepadaku.
“Thanks. Ni bukan untuk pengantin ke?” dugaku mengusik.
“Bukan tapi untuk orang yang kusayang” balasnya membuatkan wajahku terasa membahang.
Tiba – tiba saja Eddy tergelak. Barangkali melihat perubahan pada wajahku tika ini.
“Jom temankan aku jumpa pengantin” ajaknya.
Kedatanganku dan Eddy disambut dengan senyuman usikan abang. Tidak henti – henti abang melirik nakal kepadaku.
“Tahniah, semoga kekal selamanya” ujar Eddy.
“Kamu berdua bila lagi?” soal abang mengejutkanku.
Sempat juga abang mengusik kami. Eddy menatapku. Tiba – tiba wajah Boy menerjah diingatanku. Rasa rindu menebal padanya.
“Kami ada visi dan wawasan yang belum terlaksana lagi. Bila abang dah ada anak satu team bola sepak nanti barulah kami fikirkan tentang itu” balas Eddy berseloroh lalu memandangku.
Aku terdiam panjang. Abang hanya tertawa mendengarkannya.
“Pergilah berkenalan dengan abah dan mama” usik abang lagi.
Aku mencuit bahu abang.
“Pengantin tak boleh banyak cakap nanti hilang serinya” tegur Eddy.
Terlopong mulut abang mendengarnya buat aku dan Eddy tertawa. Semoga ketawa ini berterusan dan menjadi milikku selamanya. Nun jauh dalam diriku, wajah Boy masih menghiasi pandanganku.


TAMAT

No comments:

Post a Comment