BAB 14
“Siapa?” Aku mengajukan persoalan itu semula kepada Daniel.
“Kejap lagi tau ler kau tu. Jom” ajak Daniel berahsia. Aku mengikut sahaja langkah Daniel.
“Siapa Daniel?” soalku ingin tahu. Daniel masih enggan memberitahuku. Masing – masing sudah berada di atas basikal sendiri.
“Kalau kau nak tahu, kau kena ikut aku ke mana aku pergi” jelas Daniel. Aku berfikir – fikir seketika. Boleh percaya ke dia nie? Agaknya dia mahu aku berkenalan dengan buah hatinya kot. Hehehe..... Pupp! Tangan Daniel sudah mendarat di kepalaku. Aku mengaduh kesakitan.
“Tersengih – sengih sorang – sorang. Cepat gerak” leter Daniel macam mak nenek. Aku akur sahaja dengan arahan Daniel. Daniel jalan lurus. Akupun jalan lurus. Daniel belok masuk simpang kanan, aku ikut sekali di belakangnya. Pelbagai persoalan bermain di benakku buat sementara waktu terpaksa aku pendamkan sahaja. Kami telah memasuki sebuah kawasan perumahan elit. Kali ini memerlukan kami mendaki bukit pula. Kemudian berhenti di depan pintu pagar banglo dua tingkat yang tersergam mewah. Daniel menekan loceng pintu. Menanti sesaat pintu pagar dibuka. Anak mataku liar memerhatikan sekeliling banglo itu. Pandanganku tertumpu pada sebuah kereta sport merah yang berada di laman banglo mewah ini. Aku seakan sudah biasa melihat kereta sport itu. Dalam aku tengah sibuk memikirkannya, suara Daniel mengejutkan aku. Rupanya pintu pagar sudah ternganga luas.
“Apa hal tercengat kat situ lagi, masuk ler” Aku menurut sahaja. Namun pandanganku tetap tidak beralih daripada kereta tadi.
“Daniel aku rasa macam pernah tengok je kereta tu. Tu bukan kereta kau ke?” tanyaku bingung.
“Memang pun” balasnya spontan dan bersahaja. Celaka punya budak. Buang masaku sahaja memerah otak mengingatinya. Jadi buat apa aku datang ke sini? Betullah hendak berjumpa dan berkenalan dengan buah hatinya. Aku tersenyum suka.
“Masuk” pintanya.
“Nak jumpa buah hati kau ke?” Daniel mengangguk mengiyakan. Aku menapak di ruang tamu mewah milik keluarga Daniel.
“Tunggu kejap aku nak beritahu buah hati aku yang kau dah datang” jelas Daniel.
Aku hanya mengangguk. Sementara menanti kedatangan mereka, aku memerhatikan gambar – gambar yang tergantung di ruang tamu. Ada gambar keluarga terpampang besar di situ. Budak comel putih melepak tersenyum menampakkan lesung pipitnya itu mesti Daniel tika zaman kecilnya. Lelaki bermisai nipis memakai kot hitam itu pula ayah Daniel dan perempuan cantik di sebelahnya itu mesti ibu Daniel. Aku membuat andaian sendiri. Keluarga Daniel tidaklah besar sangat. Kalau berdasarkan gambar ini, hanya Daniel sahajalah anak mereka. Oh.... anak tunggal. Patutlah sikap Daniel nakal semacam. Sempat juga aku memikirkan perkataan yang bakal aku keluarkan nanti untuk menyapa buah hati Daniel. Aku dan gadisnya itu pernah berselisih faham sebelum ini. Semuanya gara – gara Daniel.
“Dania” suara perempuan menyebut namaku. Pantas aku berpaling.
“Nek Jah” Aku terkejut melihat perempuan yang kini berada di depanku. Terus sahaja dia memelukku mesra.
“Tengok Daniel, kan betul kata nenek”
Daniel tersenyum. Kupandang Daniel dan Nek Jah silih berganti. Hairan. Apa yang dimaksudkan oleh mereka berdua? Nek Jah tertawa.
“Daniel tak percaya yang Nek Jah kenal Dania. Sebab tu Nek Jah minta Daniel bawa Dania datang sini” ceritanya.
Barulah aku faham. Petang itu aku menghabiskan masaku beberapa jam dengan Nek Jah. Bercerita pelbagai perkara termasuk pengalaman hidupnya. Sesekali suara Daniel mencelah. Aku hanya sekadar menjadi pendengar setia. Tatkala aku meminta diri untuk pulang, sekali lagi Nek Jah menahanku. Dia mempelawaku makan malam bersama mereka. Malah Nek Jah memberitahuku awal – awal lagi dia dan pembantunya memasak untuk menyambut kedatanganku sebagai tetamunya. Aku jadi serba salah dan tidak ralat untuk menolak pelawaan itu. Tidak sampai hati mengecewakan Nek Jah. Mahu tak mahu aku bersetuju juga. Kutelefon ayah memaklumkan segalanya.
“Seronok dapat makan dengan Dania. Selalunya Nek Jah makan dengan Daniel je” ceritanya tidak putus – putus.
“Nenek tak seronok ke makan dengan Daniel?” soal Daniel berbaur rajuk.
“Hish.... budak nie” rungut Nek Jah lalu menepuk bahu Daniel. Daniel tersengih. Akrab sungguh Daniel dengan neneknya. Mana pula perginya ibu bapa Daniel? Kubiarkan sahaja persoalan itu bermain dalam diriku. Risau tersalah cakap mengguris perasaan mereka.
“Saya balik dulu Nek Jah. Terima kasih atas jemputan makan malam tadi. Sedap ...” pujiku ikhlas. Nek Jah tersenyum lebar.
“Esok datang lagi” Aku sekadar mengangguk tetapi tidak berani memberi jaminan. Sebelum berpisah, Nek Jah sekali lagi memelukku mesra. Aku menyorong basikalku ke pintu pagar sambil masih diperhatikan oleh Nek Jah. Kupandang Daniel.
“Kau nak pegi mana dengan basikal tu?” Hairan tengok Daniel turut menyorong basikalnya keluar pagar.
“Nak hantar kau balik ler. Suruh tinggalkan basikal tak mahu. Takkan nak biar kau balik sorang – sorang lewat macam nie” tutur Daniel panjang lebar dan penuh tanggungjawab. Aku tersengih. Kulambai – lambaikan tangan ke arah Nek Jah sebelum meninggalkan banglo mewah itu.
“Thank you kerana temankan aku balik” ujarku tatkala sudah sampai di laman rumah. Daniel tersenyum.
“Thank you juga sebab sudi temankan nenek tadi. Aku nampak nenek benar – benar gembira hari nie” luah Daniel tersenyum.
“Ok aku balik dulu”
“Hati – hati” ujarku mengingatkannya. Daniel mengangguk lalu mula menggayuh basikalnya. Sempat juga dia melambai – lambaikan tangannya ke arahku.
“Sapa tu?” Aku tersentak. Ayah sudah berada di belakangku lalu memeluk bahuku mesra. Aku meletakkan kepalaku di bahu ayah.
“Letihnya.....”
“Macam mana tak letih sepanjang hari jalan – jalan dengan boyfriend” usik ayah kurang menyenangkanku.
“Kawan ler ayah” Nampaknya ayah sudah salah faham.
No comments:
Post a Comment