Monday, 24 August 2015

NamaKu Bukan Flora...77



BAB 77

 “Haqem takkan mengalah. Dia tak pernah berputus asa. Dia tak pernah melupakan gadis itu. Saya tak boleh tunggu lama awak dan Haqem nak bernikah” luah Datin Sofen tidak senang.
“Apa yang perlu kita lakukan mama?” tanya Bella buntu.
“Kalau cara kekerasan ini tak buat Haqem berputus asa, kita buat pula cara lembut. Kita ubah teknik serangan kita” ujar Datin Sofea tersenyum sendiri. Di matanya terbayang wajah Aqel. Dia yakin Aqel tidak akan melepaskan gadis itu. Dia nampak sendiri kemesraan yang sudah terjalin antara mereka. Malahan tindakan Aqel sentiasa melindungi gadis itu menguatkan keyakinan dan kepercayaannya bahawa pemuda itu tidak akan mengalah kepada Haqem. Terasa akan wujud persaingan yang menarik.
“Maksud mama?” Bella semakin tertarik dengan buah fikiran Datin Sofea.
“Kita akan gunakan Lia. Sudah pasti Aqel takkan berdiam diri. Dalam masa yang sama Haqem juga takkan mengalah. Dia akan gunakan budak itu untuk dapatkan cintanya balik” ujar Datin Sofea tersenyum panjang.
“Gunakan budak itu akan melemahkan Lia. Lia akan dipaksa membuat pilihan. Maka keputusan drastik akan diambil” tambah Datin Sofea tersenyum-senyum sendiri.
“Saya kurang faham. Mama yakin cara ini boleh memberi manfaat kepada kita? Bagaimana kalau Aqel lepaskan Lia untuk hidup bersama Haqem?” ujar Bella mengutarakan persoalan. Bimbang Aqel akan bertindak seperti yang difikirkannya. Datin Sofea tergelak. Dia geleng-geleng kepala. Yakin sepenuh pada kata hatinya.
“Aqel takkan begitu mudah melepaskan Lia. Keluarga takkan biarkan mereka berpisah. Haqem hanya akan mengalah jika Lia sendiri yang menolak kehadirannya” ujar Datin Sofea lebih jelas. Dia akan memberikan tekanan demi tekanan kepada gadis itu. Lia harus mengambil keputusan mukatamad. Keputusan yang tidak akan berpihak kepada Haqem. Ini sahaja cara yang membuatkan Haqem patah hati pada cinta pertamanya. Semua ini akan dilakukan secara senyap.
“Yakinlah...Haqem dengan rela hati akan datang pada kita. Awak dan Haqem akan hidup bersama akhirnya...” ujar Datin Sofea tersenyum lebar membayangkan ketibaan hari tersebut. Hari kemenangan menyatukan Haqem dengan Bella. Bella turut tersenyum gembira. Persis Haqem telah menjadi milik mutlaknya. Rasa tidak sabar menanti detik itu.
“Boleh saya tanya mama sesuatu?” ujar Bella meminta keizinan. Bimbang membangkitkan kemarahan mahupun rasa kurang senang Datin Sofea.
“Ya... tanyalah” arah Datin Sofea. Senang hatinya kerana ada agenda baru yang mahu dilaksanakan. Serangan halus yang dirasakannya lebih berkesan.
“Mama dah buka sampul yang Idlan serahkan tempoh hari? Maksud saya... mama dah baca kad-kad yang arwah Kak Har tulis untuk mama” tanya Bella lebih memperincikan bicaranya. Senyap. Datin Sofea melontar pandangan jauh-jauh. Sampul itu masih tersimpan di dalam laci. Statik di situ.
“Saya hanya akan baca setelah Haqem bersedia menjadi suami kamu” ujar Datin Sofea nekad dengan kedegilannya. Bella terdiam. Terpegun dirinya melihat keteguhan hati perempuan ini.
“Mama tak kisah Haqem dan Aqel akan bermusuhan? Merekakan kawan baik sejak sekian lama” Bella melontar pertanyaan lagi. Datin Sofea melepaskan keluhan.
“Kalau kamu nak berjaya tak usah fikirkan hal lain. Lakukan saja perkara yang nak kamu capai” tegas Datin Sofea. Padanya motif yang hendak dicapai didahulukan tanpa mempertimbangkan perkara yang lain.
“Dan kamu harus ingat... lelaki boleh jatuh tersungkur kerana perempuan” tutur Datin Sofea memberi peringatan kepada Bella betapa hebatnya seorang perempuan. Motivsi buat gadis ini. Bella mengangguk-angguk faham. Satu nekad tersemat dalam hatinya. Dia mahu Haqem menjadi milik mutlaknya.
“Mama tak kisah kalau Haqem terluka dan kecewa sangat?” tanya Bella mahu mengetahui isi hati Datin Sofea. Haqem satu-satunya anak yang Datin Sofea ada di muka bumi ini setelah Harianie meninggal dunia. Datin Sofea tersenyum lebar.
“Itu yang kita harapkan berlaku pada Haqem. Keadaan ini akan memudahkan kita membuat keputusan untuk dirinya” ujar Datin Sofea.
“Oh...dah tak sabar saya nak tengok kamu dan Haqem bernikah” luah Datin Sofea tersenyum membayangkan detik itu. Bella turut tersenyum. Restu Datin Sofea sentiasa mengiringinya. Hatinya berbunga riang.

“Tunggu saya di sini. Kita balik sama nanti” pesan Aqel. Laju aku menggeleng.
“Tak nak. Saya nak balik sendiri” balasku berdegil. Tidak mahu pisang berbuah dua kali. Penantian itu satu penyeksaan. Aku bosan menanti kemunculan Aqel sedangkan dia bahagia memadu kasih asmara bersama Rania. Oh... tidak sanggup aku hendak menunggunya lagi!
“Geez...” Mendesis keluar dari mulut Aqel. Geram. Aku tersenyum.
“Kalau lebih sejam awak tak muncul, saya akan balik sendiri” ujarku memberi amaran. Aqel menatapku dengan wajah bersahaja membangkitkan rasa geramku.
“Kalau awak tak muncul tepat pada masanya, biar saya yang hantar Lia balik” suara lelaki mencelah di belakang kami. Aku dan Aqel serentak berpaling. Haqem tersenyum.
“Boleh juga” sahutku laju. Aku tersengih menatap Aqel. Sudah ada sukarelawan yang mahu menghantar aku balik. Tidak perlu menunggu Aqel lama-lama lagi.
“Habis waktu kerja nanti, boleh saya pinjam Lia?” tanya Haqem memohon keizinan Aqel. Aku mencebik. Tidak suka dengan perkataan pinjam itu. Persis barang pula hendak dipinjam-pinjam.
“Nak pergi mana?” laju aku bertanya. Aqel masih menyimpan suaranya.
“Idlan nak jumpa awak nanti” jelas Haqem. Aku tersenyum. Rindu kepada Idlan. Haqem menatap Aqel. Mahukan jawapan segera daripada Aqel.
“Awak tanya tuan punya badan sendiri” arah Aqel meminta aku yang membuat keputusan sendiri. Haqem dan Aqel menatapku. Aku tersenyum lebar. Kalau berkaitan Idlan pasti aku tidak akan menolaknya. Seronok menghabiskan masa bersama Idlan.
“Boleh... Saya tunggu awak di sini balik nanti” jawabku pantas. Haqem tersenyum. Aqel tetap dengan wajah kosongnya. Terasa rindu pula kepada Idlan. Sudah lama tidak bersua muka dengannya. Pasti banyak cerita yang akan disampaikannya kepadaku.
“Awak tak ikut sama?” tanya Haqem. Aqel menggeleng.
Sorry... saya tak berapa pandai nak layan budak. Rasanya Idlan takkan gembira tengok saya” tutur Aqel cepat membuat andaian sendiri. Aku mencebik ke arah Aqel. Alasan.
“Dia suka awaklah” tingkahku membetulkan tanggapan Aqel. Idlan dan Aqel berkongsi minat yang sama. Mereka boleh berbual panjang tentang buku kegemaran masing-masing.
“Cukuplah mamanya seorang yang datang menemani” balas Aqel tersenyum sinis kepadaku. Kuhadiahkan jelingan tajam kepada Aqel. Persis sangsi dengan kemampuanku memainkan peranana ibu kepada Idlan. Rasa tercabar. Aku akan jadi ibu yanng terbaik buat Idlan.
“Berbanding orang lain, awak lebih diperlukannya” tutur Haqem menyokong bicara Aqel. Aqel mengangkat keningnya kepadaku. Aku tersenyum lebar. Bangga.
“Haqem hantar awak balik nanti” putus Aqel mengubah perancangan awal. Aku mengangguk. Sudah tidak sabar-sabar hendak jumpa Idlan.
“Jumpa awak nanti” ujar Haqem lalu meneruskan hala tujunya. Aqel tanpa sebarang kata meneruskan langkahnya. Aku terus ke bilik operasi dan memulakan tugas harianku. Kemudian bergerak ke bilik penyimpanan kostum mahu mempastikan kostum-kostum dalam keadaan yang baik. Esok perlu ke CNF mendapatkan tandatangan Puan Rosie. Ada kesempatan berjumpa dengan Nana. Bolehlah makan tengah hari dengan Nana esok. Boleh jumpa kawan-kawan lama di CNF. Seronok.
iPhoneku berdering kuat. Aku tersentak. Namun tidak terus kuangkat. Sebaliknya menghantar lirikan mataku pada dada skrin. Nama Aqel terpamer di situ. Timbul rasa hairanku. Terlalu awal Aqel menghubungiku. Jarang dia akan berbuat demikian. Kucapai iPhone di atas meja ini. Lantas menekan punat panggilan diterima.
“Assalamualaikum... Apa hal?” tanyaku tidak mahu membuang masa terus pada tujuan panggilan ini. Kedengaran suara Aqel menyahut salamku.
“Awak di mana sekarang?” tanya Aqel. Berkerut dahiku ditanya sedemikian. Pelik. Pagi tadi kami sama-sama masuk kerja. Mustahil begitu cepat Aqel lupa. Baru sahaja beberapa jam berlalu. Aqel belum cukup umur hendak memasuki fasa nyanyok.
“Kat officelah” jawabku janggal. Aqel tidak memberi tindak balas.
“Awak ingat saya ponteng kerja?” dugaku sinis.
“Taklah... saja nak tahu” balasnya bersahaja.
“Geez...” Aku mendengus. Sudah dijangkiti tabiat Aqel. Geram mendengar nada suara Aqel. Turut terbayang wajah bersahajanya tika ini. Reaksi wajah yang menyakiti hati.
“Masih ada mata yang perhatikan awak di sana?” suara Aqel berbisik seram di telingaku.
“Aqel...!!!” Aku menjerit. Kedengaran suara tawa Aqel.
“Awak jangan nak takutkan saya. Saya mogok tak kerja nanti baru awak tau” gertakku.
“Awak tak bersendirian di situ. Tak payahlah takut” tambah Aqel menguji keberanianku. Liar anak mataku memandang sekeliling. Terasa kecut hatiku. Aqel telah membangkitkan rasa takut dalam diri ini. Apatah lagi bersendirian di bilik ini. Anak mataku melirik-lirik ke kiri ke kanan. Kata-kata Aqel telah mengacau-bilaukan ketenteramanku.
“Awak nikan... pandai sangat takutkan orang” rungutku geram. Aqel tergelak.
“Bukan nak takutkan awak...cuma nak ingatkan di sekeliling kita ni ada orang lain walaupun tak nampak dengan mata kasar” tambah suara Aqel berbisik perlahan. Sengaja mahu menghidupkan suasana seram. Aku mengetap bibir menahan geram. Kalau Aqel berada di depanku saat ini mahu aku cekik-cekik sahaja dirinya itu. Suka sangat takutkan orang.
“Awak nak dengan satu cerita tak?” tanya Aqel.
“Cerita apa?” tingkahku laju. Terasa berdebar-debar.
“Cerita bilik tempat awak sekarang dan bilik penyimpanan kostum tu. Ada sejarah hitamnya tu...Dulu...” jelas Aqel menambah rasa takutku.
“Tak payah cerita...” halangku memintas laju suara Aqel. Kedengaran gelak Aqel.
“Kalau awak takut seorang-seorang di sana, mari datang sini” arah Aqel.
“Atau berat hati nak tinggalkan kawan-kawan di sana” ujar Aqel menambah-nambah rasa takutku. Menerpalah cerita-cerita seram yang pernah aku tonton selama ini di benakku. Aku menarik nafas dalam-dalam. Cuba bertahan. Aqel sengaja mahu menguji keberaniaanku. Bertenang. Prannngggg...! Aku tersentak lantas berdiri tegak. Bunyi barang jatuh dari bilik penyimpanan kostum.
“Saya datang bilik awak sekarang...” ujarku lalu memutuskan talian tanpa sempat Aqel bersuara lagi. Bergegas aku melangkah ke pintu. Lampu tidak dimatikan dan daun pintu terus dikunci. Kalau benar ada makhluk lain dekat denganku sekarang, silalah pergi jauh-jauh. Jangan ganggu aku kerana aku tidak akan ganggu kalian. Aqel tersenyum-senyum menyambut kedatanganku. Persis sedang meraikan kemenangan setelah berjaya menakutkan aku.
“Duduk di situ” arahnya sambil menunding jari pada meja dan kerusi yang bertentangan dengan tempat duduknya di tepi sudut bilik ini. Aku patuh sambil menjelingnya tajam. Sakit hati sebab Aqel telah mengganggu ketenteramanku. Kulabuhkan duduk di kerusi ini sambil melontar pandangan keluar menembusi dinding kaca ini.
“Wah..., cantiknya pemandangan di sini!” ujarku kagum. Patutlah Aqel suka berdiri lama menghadap dinding kaca ini. Kelihatan bunga-bunga yang berwarna-warni sedang mekar. Barangkali persis inilah lanskap Taman Babylon iaitu taman tergantung di udara suatu waktu dahulu. Di belakang taman ini lautan terbentang luas. Air laut yang membiru menambah kedamaian. Tidak sangka bangunan mewah yang gah ini dibina berlanskapkan pemandangan yang sangat indah. Selama ini aku tidak menyedarinya. Lama aku menikmati keindahan ciptaan yang Maha Esa ini.
“Jangan tidur...” suara Aqel menegur memintas kelekaanku menikmati pemandangan indah di sebalik dinding kaca ini. Aku mendengus lantas berpaling ke arah Aqel.
“Saya tak tidur pun...” tingkahku.
“Letaklah di mana-mana awak boleh tidur” kutuk Aqel tersenyum sinis.
“Geez...” Aku menjeling Aqel. Aqel tersenyum sendiri. Kualih pandangan keluar semula. Belum puas menikmati pemandangan tadi.
“Taman bunga Babylon tu siapa punya?” pertanyaan kulontar kepada Aqel.
“Taman bunga Babylon?” Dahi Aqel berkerut. Aqel melontar pandangan keluar.
“Oh... taman tu. Sayalah pemiliknya” sahut Aqel bangga. Aku mencebik.
“Kaya awak...” sinis suaraku.
“Saya memang kaya” sahut Aqel angkuh. Aku mencebik.
“Awak bangga?” tanya Aqel.
“Bangga?” Berkerut dahiku. Apa kaitan denganku pula? Dia yang kaya-raya bukan aku.
“Sebab ada suami yang kaya dan tampa seperti saya” tutur Aqel tersenyum-senyum.
“OMG...” Aku mencebik ke arah Aqel. Aqel tergelak lagi.
“Cantik tak?” tanya Aqel. Pujian untuk apa?
“Apa yang cantik” tanyaku kurang faham.
“Lanskap di luar tulah. Takkan saya nak puji awak pula” tingkah Aqel menyakitkan hati.
“Geez...” Aku mendengus geram. Besar mataku menatap Aqel. Dia tersenyum-senyum sendiri. Suka sangat hendak mengenakan aku.
“Mestilah cantik dan pasti kosnya pun bukan murah” ujarku membuat penilaian. Aqel hanya senyum. Pasal duit tidak menjadi masalah buat Aqel. Kewangan Aqel sentiasa kukuh.
“Awak nak ke? Kalau tak saya boleh beri taman tu pada awak” ujar Aqel.
“Nak buat apa taman tu” sahutku. Aku bukannya mak yang sangat mencintai bunga-bungaan. Bimbang kalau di bawah penyeliaanku taman yang cantik ini akan terbiar. Paling gerun kalau bertukar wajah menjadi hutan belantara. Pasti siang malam Aqel akan membebal mengutuk aku yang tidak tahu menjaga keindahannya. Sekelip mata memusnahkan usaha Aqel. Aku menggeleng-geleng. Tidak sanggup memikul tanggungjawab besar itu.
“Tak pun beri nama taman itu sempena nama awak. Taman tu belum ada nama” ujar Aqel. Kupandang Aqel. Betulkah Aqel senekad itu? Kalaulah taman itu diberi nama sempena namaku, pasti hal ini menjadi sejarah hidupku. Aku tersenyum sendiri. Terasa diri ini orang penting pula persis tokoh-tokoh negara yang banyak berjasa.
“Taman Flora...” cadang Aqel. Aku mempamer wajah masam menatap Aqel. Hilang perasaan teruja sekejap tadi.
“Itu bukan nama saya” tingkahku.
“Nak saya letak nama Taman Dahlia... Tak sesuai pula sebab bukan bunga dahlia yang ditanam di sana” ujar Aqel membuat pertimbangan sendiri. Dia menggeleng-geleng.
“Letaklah nama Flora tu. Diakan kekasih awak” cadangku.
“Awak cemburu?” tanya Aqel menyakatku.
“Nak cemburu apa pula? Tolonglah...” tingkahku. Aqel senyum.
“Jauh sangat awak berimaginasi” kutukku tentang tanggapan Aqel yang mengatakan aku cemburu. Aqel buat-buat tidak mendengar. Nampak dia sedang serius memikirkan nama terindah dan terbaik untuk taman bunga miliknya itu.
“Kalau nama Cahaya Dahlia... okey juga” Aqel berbicara sendiri. Aku tidak mengendahkannya. Tidak mahu Aqel berimaginasi yang bukan-bukan lagi. Silap tingkah dia ingat aku mencemburui kekasih hatinya itu. Pelik perangai Aqel. Cintanya untuk Flora tetapi selalu bersama Rania dan sanggup menjadi suamiku. Siapakah cinta hati Aqel? Flora atau Rania? Aku melepaskan keluhan kecil. Tiada kesetiaan dalam diri Aqel.
Aku mengalih pandanganku pada sofa panjang di dalam bilik ini. Seronok juga kalau dapat berbaring dan tidur di situ memandangkan tiada kerja yang hendak aku buat di sini. Kupandang Aqel yang kelihatan leka dengan kerja-kerjanya. Kualih pandanganku keluar semula. Sudah puas aku memerhatikan lanskap taman bunga itu. Kemudian menikmati pula keindahan lautan membiru yang terbentang luas. Seronok juga kalau petang-petang dapat melihat matahari terbenam di sana.  
“Boleh nampak matahari terbenam dari pantai tu?” tanyaku sambil menunding jari keluar. Aqel hanya mengangguk. Tidak sempat hendak bersuara memberi jawapan. Sibuk dengan kerjanya yang tidak pernah habis-habis. Berbanding aku yang bersenang-lenang sekarang.   
“Ada kesempatan kita sama-sama tengok matahari terbenam di sana” ujar Aqel tanpa sempat menatapku. Aku diam. Kata-kata Aqel itu bukan janji. Kupandang sofa panjang yang kelihatan lembut dan empuk itu. Alangkah seronoknya kalau dapat berbaring-baring di situ melenakan diri buat seketika sementara aku punya masa terluang yang panjang hari ini. Perlukah aku meminta keizinan daripada Aqel bagi menunaikan hajat hatiku sekarang. Kupandang Aqel. Dia masih sibuk dengan urusan kerja yang perlu diselesaikan. Kupandang sofa panjang itu lagi.
“Awak tak boleh tidur di sofa itu” Niatku hendak bangkit dari kerusi ini terbantut. Aqel persis memahami isi hatiku. Aku mengeluh.
“Bosanlah hanya duduk macam ni saja” keluhku memandang Aqel. Aqel merenungku tajam. Benaknya ligat berfikir.
“Datang sini...” arahnya meminta aku mendekatinya. Berkerut dahiku.
“Buat apa nak datang situ?” tanyaku kurang senang. Tidak mahu dekat-dekat dengan Aqel. Janggal dan tidak selesa. Aqel terlalu harum mewangi hendak didekati. Senyuman Aqel terlalu indah hendak direnung dekat-dekat. Ketampanan Aqel sungguh menggoda mata hendak menghampiri dirinya. Bimbang hilang kawalan diri jika terlalu dekat dengan Aqel.
“Datang sini cepat...” ulang Aqel bertegas dengan arahannya. Aku menatapnya. Masih membuat pertimbangan.
“Jangan takutlah... saya takkan terkam awak” rungut Aqel hilang sabar melihat aku enggan dan masih statik duduk di kerusi ini. Tajam pandanganku menatap Aqel.
“Atau awak yang tak boleh kawal diri kalau dekat dengan saya” duga Aqel mengenakan aku. Aku mendengus kasar. Terasa tercabar diriku. Senang-senang sahaja Aqel hendak malukan aku.
“Jangan haraplah...” dengusku lantas bangkit dari kerusi ini. Aku melangkah mendekati Aqel. Sekarang sudah terpacak berdiri di sebelah Aqel. Cuba membuktikan keberanianku. Paling penting mahu menyatakan kepadanya bahawa aku tidak pernah gentarkan dirinya. Juga tidak tergoda pada ketampanannya. Mahu Aqel mengetahui dua perkara itu. Kupandang Aqel. Jangan-jangan dia perintahkan aku memicit-micit bahunya menghilangkan tekanan kerjanya?
“Hey... tak sanggup... janganlah...” bicaraku sendiri. Aku tidak mahu menyentuh tubuh Aqel. Kehangatan tubuh Aqel boleh menggoncang imanku.
“Apa yang awak tak sanggup...jangan apa?” Aku tersentak. Aqel sedang menatapku. Seketika kami beradu pandangan. Tidak mungkin aku akan memalukan diri sendiri. Aku tidak akan memberitahu Aqel tentang perkara yang baru sahaja terlintas di benakku.
“Takdelah...” balasku mengelak pertanyaan Aqel. Aqel tersenyum-senyum sendiri. Pasti perkara tidak elok sedang bermain di otaknya sekarang. Aku mencebik. Lelaki selalu fikir yang bukan-bukan.
“Awak nak saya peluk awak” ujar Aqel sambil mendepakan tangannya mahu memelukku. Laju kutepis tangan Aqel.
“Kalau awak berani buat saya patah-patah tangan awak ni” gertakku. Aqel tergelak-gelak.
“Ambil kerusi dan duduk di sini” arah Aqel masih tersenyum-senyum.
“Saya boleh duduk di sana. Duduk di sebelah awakpun belum pasti rasa mengantuk saya hilang” jelasku meningkah arahan Aqel.
“Geez...” Aqel mendengus. Tidak suka arahannya dibantah.
“Saya nak awak taip beberapa dokumen. Cepat ambil kerusi...” keluh Aqel.
“Kenapa tak cakap awal-awal” ujarku tersengih-sengih. Aqel menjelingku. Comel. Lantas kuangkat kerusi itu lalu meletakkannya di sebelah Aqel. Berkongsi meja dengan Aqel. Lantas aku duduk di kerusi ini. Aqel meletakkan sebuah fail di depanku. Besar mataku menatap Aqel. Biar betul.
“Awak suruh saya taip satu fail ini?” tanyaku bengang. Laju Aqel mengangguk.
“Ni nak membunuh...” keluhku tidak percaya. Kubuka fail lalu menyelak satu-persatu helaian kertas di dalam fail ini. Bukan beberapa dokumen sebaliknya satu fail dokumen setebal lima inci. Aku sempat mengukur ketebalan fail hitam ini. 
“Betul awak nak saya taip semua ni?” tanyaku masih tidak percaya. Tidak percaya Aqel akan menderaku sekejam ini. Aqel mengangguk. Arahannya tiada perubahan.
“Saya takkan beri awak makan gaji buta” ujar Aqel memberi peringatan. Aku menjelingnya.
“Ya... saya tahu” sahutku bersedia memulakan tugas yang Aqel berikan. Lantas kucapai laktop di penjuru meja ini. Kutekan ikon word di desktop. Bersedia memulakan tugasan baru hari ini.
“Awak sepatutnya ambil setiausaha macam Haqem. Lebih ringan bebanan kerja awak. Tak payahlah menyusahkan diri” nasihatku berjela. Aqel tidak memberikan sebarang reaksi. Persis tidak mendengar kata-kataku.
“Apa kata saya ambil awak jadi setiausaha saya” ujar Aqel bersahaja. Aku berpaling menatap Aqel. Ini permintaan atau cadangan Aqel?
“Apa? Jadi setiausaha awak?” tanyaku tidak percaya. Aqel mengangguk. Laju aku menggeleng-geleng. Tidak mungkin. Aku tidak mahu Aqel menderaku setiap hari menjadi orang suruhannya. Bukan kepakaranku. Aku juga tidak berminat dengan tugasan jurutaip.
“Tak mahu saya jadi setiausaha awak” ujarku terang-terangan menolak tawaran Aqel.
“Nanti saya tolong cari setiausaha yang terbaik untuk awak” janjiku. Aqel menggeleng. Awal-awal menolak cadanganku.
“Saya tak nak orang yang saya tak kenal kerja dengan saya” ujar Aqel memberi alasan atas penolakannya ini. Aku mencebik.
“Macamlah awak kenal sangat dengan saya” perliku. Aqel tersenyum.
“Kenal...” sahut Aqel meningkah bicaraku. Aku mencebik memperli Aqel.
“Awak suka sangat tidur. Suka menangis. Suka merajuk. Suka makan aiskrim vanila macam budak-budak” ujar Aqel mengutukku. Besar anak mataku menatap Aqel. Kurang senang mendengar kata-kata Aqel. Biarpun ini kebenarannya, tetapi tidak mampu aku hendak mendengarnya.
“Kalau saya letak awak di sini, saya akan lebih mengenali awak” tambah Aqel. Aku tidak menyahut bicara Aqel. Fokus sepenuhnya pada dokumen dan paparan di skrin laktop. Tidak mahu tersilap memindahkan butiran dari dokumen ini. Berlaku kesilapan pasti suara Aqel akan membingitkan telinga.
“Atau awak masih nak duduk seorang-seorang di bilik penyimpanan kostum tu. Awak nak dengar sejarah hitamnya?” Aku berpaling menatap Aqel. Aqel serius membalas pandanganku.
“Awak nak dengar ceritanya?” ulang Aqel masih dengan wajah seriusnya. Laju aku menggelang. Belum bersedia hendak mendengar Aqel bercerita tentang sejarah hitam bilik itu.
“Tak tahu pula awak ni penakut” kutuk Aqel tersenyum sinis menatapku.
“Buat hati-hati. Saya tak izinkan ada kesilapan walau hanya tanda noktah sekalipun” ujar Aqel memberi arahan tegas. Aku mengetap bibir. Salah satu sebabnya aku tidak mahu menjadi setiausaha Aqel kerana tidak mahu cepat tua. Hari-hari mendengar leteran Aqel boleh mematikan hormon muda. Aku tersenyum sendiri.
“Jangan buat salah” ujar Aqel mengulangi arahannya.
“Saya tahu buatlah. Awak ingat awak seorang saja yang bijak. Otak saya pun bergeliga” ujarku bangga diri. Tidak mahu kalah dari Aqel. Mahu Aqel segera mendiamkan diri. Sakit telinga banyak kali mendengar Aqel berleter. Senyap. Aqel fokus pada kerjanya kembali. Lega.    
“Kalau masa itu boleh diundur, apa yang awak nak buat?” tanya Aqel memecahan kesepian ini. Aku tersentak. Kupandang Aqel. Lama aku terdiam.
“Saya nak habiskan study saya. Saya pernah kecewakan mak dan nak tebus kesilapan itu” ujarku. Aqel mengangguk-angguk.
“Saya ingat awak nak bersama Haqem semula menentang Datin Sofea” duga Aqel tersenyum. Kupandang Aqel. Perkara itu yang ada dalam benaknya?
“Dulu awak pengajian apa?” tanya Aqel lagi.
“Ekonomik dan perniagaan” sahutku. Senyap. Kutatap wajah Aqel lagi.
“Kenapa awak nak tahu semua ni?” tanyaku sangsi.
“Saja nak tahu kisah lalu awak” balasnya bersahaja. Aku berfikir seketika. Tingkahlaku Aqel agak mencurigakan.
“Kalau masa boleh diundur semula, apa yang awak nak buat?” tanyaku memulangkan persoalan itu kepada Aqel. Aqel tersenyum.
“Takde perkara yang saya nak ulang. Saya dah sangat berpuas hati dengan kehidupan sekarang” sahut Aqel tenang.
“Biar betul...” balasku tidak percaya. Aqel mengangguk.
“Berlagaklah awak” kutukku. Tidak mudah terpedaya dengan kata-kata Aqel. Aqel pasti mengimpikan hidup bahagia bersama Flora. Kalau aku tidak bertemu dengan Aqel, sudah semestinya Aqel memiliki keluarga bahagia yang sempurna sekarang. Ada anak-anak comel penyeri hidupnya dengan Flora. Mak Long juga tidak kesunyian.
“Saya dah puas hati adanya awak di sisi saya sekarang” tutur Aqel. Laju aku berpaling menatap Aqel. Dia tersenyum panjang membuatkan matanya semakin mengecil. Aku mendengus.
“Ya... saya ada di sisi awak untuk dibuli” tingkahku geram. Aqel tergelak.
“Kita makan dulu. Jom...” ajak Aqel sudah bangkit dari kerusi. Aku terkebil-kebil menatap Aqel yang sudah melangkah ke muka pintu.
“Cepat...” ajaknya tidak sabar.
“Dah waktu makan?” tanyaku terpinga-pinga. Tidak percaya terlalu cepat masa berlalu. Aqel mengangguk.
“Nanti awak sambung kerja tu. Kalau tak siap juga hari ini, esok sambung lagi. Apapun mari makan. Saya belanja awak” tutur Aqel bermurah hati. Aku tersenyum gembira. Teruja mendengar Aqel akan bayar hidangan tengah hari ini. Maka bolehlah makan hidangan yang sedap-sedap yang mahal harganya. Aku dan Aqel beriringan melangkah keluar dari bilik ini.
“Awak perlukan tenaga yang banyak sebab dokumen tu tebal. Lama juga awak nak habiskan semua tu kecuali awak boleh menaip sepantas kilat” ujar Aqel sinis mempertikaikan keupayaanku. Aqel memang tidak pernah kagum kepadaku.
“Betul awak nak saya taip semua dokumen dalam fail tu?” tanyaku tidak percaya. Aqel mengangguk dan tersenyum lirih. Besar anak mataku menatap Aqel. Tugas yang sangat berat.
“Setahu saya awak pun tak boleh lapar. Risau juga awak akan menangis kalau lapar” ujar Aqel berbaur perlian. Aku mencebik. Terasa tersindir dengan bicara Aqel.  Tiba di restoran, aku tidak membuang masa. Bukan susah hendak memilih menu yang sedap-sedap. Harganya pun tidak perlu dipertimbangkan kerana Aqel akan membayar semuanya. Aku hanya perlu pilih dan makan sahaja. Perkara yang sangat mudah hendak dilakukan. Aqel juga tiada komen langsung terhadap menu yang kupilih. Nampak menu pilihanku ini memenuhi seleranya.
“Pastikan awak habiskan semua ni” arah Aqel sambil menatap makanan yang sudah terhidang di atas meja. Aku mengangguk dan tersenyum. Kalau aku tidak mampu hendak menghabiskan semua ini, Aqel ada bersamaku sekarang. Kantung perut Aqel lebih besar. Maka Aqellah yang akan menghabiskannya nanti. Jadi tidak menjadi masalah hendak pesan lebih makanan. Aku meletakkan sesudu sambal sotong di atas nasi dalam pingganku. Lantas dengan kalimah Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, aku mulakan suapkan pertamaku. Begitu juga Aqel. Hidangan tengah hari ini dinikmati sepenuh hati. Aku dan Aqel lebih banyak berdiam. Selebihnya  fokus pada hidangan.
“Awak tolong habiskan ye...saya dah kenyang sangat ni” pintaku memujuk Aqel.
“Kan saya dah cakap tadi” rungut Aqel. Aku tersengih. Tahu salahku.
“Saya order semua ni sebab nak awak makan banyak-banyak. Awak perlukan lebih tenaga kerana kerja awak banyak” ujarku menangkis perasaan tidak puas hati Aqel. Aqel mendengus. Dia tiada pilihan selain menghabiskan makanan di pinggan. Alhamdulillah... 10 minit kemudian Aqel berjaya menghabiskan semua hidangan. Aku tersenyum puas hati.
“Bagus... bagus... Awak memang tak membazir” ujarku seraya menepuk-nepuk lembut bahu Aqel. Bangga dengan Aqel.
“Geez...” Aqel mendengus.
“Saya akan tolong awak taip dokumen-dokumen tadi... untuk hari ini” ujarku tersenyum. Timbal balik atas kemurahan hati Aqel belanja aku makan tengah hari ini.
“Saya dah naikkan pangkat awak jadi setiausaha saya” putus Aqel.
“Tak nak” tingkahku tidak bersetuju. Aku tidak mahu bekerja bersama Aqel. Aqel seorang yang sangat teliti. Nanti ada sahaja salahku di matanya. Tidak mahu membuang masa lama-lama di restoran ini. Usai makan Aqel membayar di kaunter. Kemudian kami kembali ke pejabat. Dokumen satu fail tebal sedang menungguku untuk tindakan selanjutnya.
“Hey... mana beg galas saya?” Aku garu-garu kepala yang tidak gatal. Kupandang atas dan di bawah kerusi. Kemudian beralih pada dinding kaca itu. Mana tahu tercicir di situ.
“Apa hal?” tanya Aqel hairan memerhatikan tingkahlaku.
“Awak ada nampak beg galas saya?” tanyaku. Aqel geleng kepala.
“Awak datang sini bawa iPhone dan kunci saja” jelas Aqel. Aku menepuk kepala. Sah beg galas itu tertinggal di dalam bilik tadi. Kupandang Aqel. Dia sudah mula menyibukkan diri dengan kerja-kerja yang belum selesai tadi. Benakku ligat berputar. Sudah tiada pilihan selain ke bilik itu kembali. Namun  aku tidak punya keberanian hendak ke bilik itu bersendirian. Kupandang Aqel.
“Aqel...” panggilku lembut dengan suara lunak. Cuba ambil hati Aqel. Sudah semestinya ada hajat di sebalik kelembutan suaraku.
“Saya tak nak temankan awak pergi sana” ujar Aqel faham hajat hatiku.
“Geez...” Aku mendengus. Tidak puas hati dengan penolakan Aqel ini.
“Awak mesti temankan saya pergi sana. Saya nak ambil beg saya” pintaku serius. Aqel menulikan telinga. Dia tetap fokus pada kerjanya. Aku mengetap bibir menahan geram.
“Aqel...” panggilku lagi. Melihat Aqel tidak mengendahkan panggilanku, lantas aku bangun. Kupaut lengan Aqel menariknya bangun.
“Apa ni?’ rungut Aqel tidak suka dirinya diperlakukan sedemikian.
“Awak mesti pergi bersama saya” gesaku memaksa Aqel. Sudah tiada pilihan. Aku tidak akan pergi sendirian ke bilik itu. Dia juga yang menimbulkan ketakutan ini. Jadi Aqel harus bertanggungjawab atas perbuatannya. Kutarik tangan Aqel bangun sekuat hatiku.
“Yah... yah...!!!” Aqel berpaut pada meja. Berkeras tidak mahu meninggalkan kerusi.
“Bangunlah... Saya janji akan tolong awak taip semua dokumen ni kalau awak temankan saya sekarang” pintaku sambil berjanji. Tangan Aqel masih kuat memaut meja.
“Tak nak...” Aqel masih tidak mahu mengalah. Kali ini kedua-dua tanganku memaut lengan Aqel. Mahu lebih tenaga. Akhirnya tindakan drastik kupaut pinggang Aqel menariknya bangun. Cuba menjejaki kelemahan Aqel.
“Hey... hey... jangan...” ternyata Aqel tidak boleh tahan pinggangnya disentuh. Lantas dia bangun. Aku tersenyum. Kutarik tangan Aqel memaksanya mengikut langkahku.
“Saya kata tak mahu...” rungut Aqel radang. Marah dirinya dipaksa-paksa.
“Awak yang mulakan... jadi awak mesti bertanggungjawab” gesaku memaut kemas tangan Aqel. Sama sekali aku tidak akan melepaskannya. Khuatir Aqel akan lari. Tiba di ambang pintu, Aqel sempat berpaut pada bingkai pintu. Namun aku tidak mudah mengalah. Walau apa keadaan sekalipun, Aqel wajib menemaniku ke bilik itu.
“Aduhhh...!” Aqel menjerit kesakitan. Aku tersenyum sinis. Puas hati setelah memijak kaki Aqel dengan kuat. Pautan tangan Aqel pada bingkai pintu terlepas.
“Kan saya dah beritahu awak...” ujarku memberi amaran. Aku tidak akan bertolak-ansur dengan Aqel. Hari ini aku akan memaksa Aqel. Kali ini Aqel tidak melawan lagi. Namun langkah Aqel terasa berat sahaja tatkala aku menarik tangannya mengekori langkahku.
“Masuk...” arahku tatkala daun pintu sudah terkuak.
“Geez...” Aqel mendengus geram. Dia melangkah masuk.
“Ambil beg galas saya di atas kerusi tu. Fail di atas meja tu bawa sekali” arahku dari ambang pintu ini. Hanya berdiri di sini memberi arahan kepada Aqel. Aqel mendengus geram. Tidak puas hati dirinya diperlakukan sedemikian.
“Nah...” Aqel menyangkutkan beg galas ini di bahuku. Fail ini diletak di tanganku. Daun pintu ditutup kembali. Aku masih memaut erat tangan Aqel agar dia tidak berlari meninggalkan aku sendirian di sini. Tatkala sudah jauh meninggalkan bilik itu  barulah aku melepaskan tangan Aqel. Oh... lega! Aku tersenyum menatap beg galas ini.
“Terima kasih Aqel...” ujarku tersenyum. Aqel menjelingku. Marah dia diperlakukan sedemikian. Tidak suka dirinya dipaksa-paksa sedemikian.
“Oh...ye...lupa nak beritahu awak tadi” ujar Aqel lalu berpaling ke arahku. Aku menatap Aqel. Dia mendekatiku.
“Menyeramkan sangat penunggu kat bilik awak tu” ujar Aqel berbisik di telingaku.
“Aqel...!” Aku terjerit. Kedengaran gelak Aqel. Puas hatinya dapat menakut-nakutkan aku. Gelak Aqel berpanjangan. Sampai di bilik ini Aqel masih tersenyum-senyum sendiri. Aku melabuhkan duduk di sebelah Aqel mula menghadap laktop mahu menyambung kerja yang belum selesai tadi. Malah sudah menjadi tanggungjawabku sekarang kerana aku telah berjanji kepada Aqel. Akhirnya Aqel juga yang dapat banyak manfaatnya walaupun dialah pencetus masalah ini. iPhone Aqel berdering. Sempat aku melirik ke arah skrin iPhone itu. Panggilan daripada Rania.
“Ya... saya jumpa awak habis kerja nanti” ujar Aqel. Bukan sengaja hendak mencuri mendengar perbualan mereka, namun kerana aku berada di sebelah Aqel semuanya jelas di telingaku.
“Ya... tunggu saya datang” arah Aqel. Hobi Aqel menyuruh orang menunggunya. Dia tidak tahu penantian itu menyeksakan. iPhone diletakkan di atas meja lalu memandangku.  
“Awak dan Haqem jadi keluar?” tanya Aqel.
“Ya... jadi” sahutku. Setakat ini tiada perubahan pada perancangan Haqem. Senyap. Aqel  menyambung kerjanya kembali.
“Kenapa awak tak boleh setia pada Flora ... kekasih awak?” tanyaku ingin tahu jawapan Aqel. Aqel berpaling menatapku. Sikap Aqel sukar hendak dimengertikan.
“Awak cintakan Flora tapi dalam masa yang sama awak keluar dengan Rania dan sanggup nikah dengan saya” jelasku berjela.
“Itulah kehidupan yang harus saya lalui” ujar Aqel bersahaja. Mudah sahaja prinsip hidup Aqel. Langsung tiada rasa bersalah kepada Flora, kekasih yang sungguh setia kepadanya. Aku melepaskan keluhan, menyesali sikapnya yang tidak bertanggungjawab. Mudah-mudahan Aqel akan berubah.



Tuesday, 18 August 2015

NamaKu Bukan Flora.... 76




BAB 76

Aku memasamkan muka. Cuba mempamer wajah serius agar Aqel menjaga tingkahlaku dan tidak menjadikan aku bahan usikannya. Namun kulihat Aqel masih seperti biasa dengan sikapnya yang bersahaja. Bagai tiada apa-apa yang berlaku. Lega. Pasti Aqel telah melupakan kejadian malam itu. Lantas mengingatkan aku pada prinsip hidup Aqel yang tidak suka mengungkit kisah-kisah lalu sebaliknya sentiasa memandang ke hadapan. Perkara yang berlaku biar berlalu dan bersedia menghadapi kisah baru yang mendatang. Mudah sahaja pegangan hidup Aqel. Memang padanlah dengan sikap Aqel yang sedingin salju. Adakah ketika ini musim sejuk di Korea? Pasti seronok kalau dapat bermain salji.
“Hari ni saya takde di office tapi balik nanti saya ambil awak” ujar Aqel memaklumkan jadual kerjanya hari ini sekali gus mematikan angan-anganku membuat orang salji. Aku sudah sampai  ke Korea sebentar tadi. Hasrat mahu bertemu dengan Seo In Guk aktor kacak Korea. Aku melirik ke arah Aqel. Matanya sepet dan tajam seperti Aqel. Memegang watak hero yang bernama Hyeon. Sama juga nama seperti Aqel. Ramai sangat orang Korea bernama Hyeon. Agaknya kalaulah Aqel ini tinggal di Korea pasti sudah menjadi aktor yang popular dan ramai peminat di seluruh dunia. Mungkin aku juga salah seorang peminatnya.
“Awak dengar tak?” suara Aqel menerjah gegendang telingaku. Aku mengangguk. Sekali lagi membunuh imaginasiku. Belum sempat membayangkan Aqel menjadi aktor Korea yang terkenal.
“Kenapa tak cakap awal-awal? Saya boleh bawa kereta sendiri” tingkahku. Tidak mahu menunggu kedatangan Aqel begitu lama jikalau urusannya belum selesai. Selalunya urusan kerja tidak dapat dijangkakan ketepatan waktunya.
“Saya ambil awak. Awak tunggu saja sampai saya datang” arah Aqel. Aku mengeluh kecil. Bimbang Aqel terlambat. Penantian itu suatu penyeksaan.
“Awak faham tak?” tanya Aqel serius. Aku mengangguk.
“Sangat faham Encik Aqel...” balasku geram. Aqel tersenyum sekilas.
“Jangan lambat tau... saya tak suka menunggu lama” ujarku berterus-terang.
“Lagipun... saya ni kurang berani sedikit duduk bersendirian di tempat kerja tu. Bagaikan ada mata yang memerhatikan gerak-geri saya” ujarku menunjukkan ekspresi seram. Aqel menjelingku. Serius sahaja wajahnya.
“Mata hantu yang perhatikan awak” tutur Aqel lancang.
“Yah...!” Aku terjerit mendengar bicara Aqel. Dia tersenyum sinis. Aku memasamkan muka. Tidak suka mendengar kata-kata Aqel. Aqel lebih lama berada di KDUT. Dia lebih mengetahui sejarah syarikat itu. Mungkin ada benarnya kata-kata Aqel. Aku tidak mahu memikirkannya. Cepat kupotong imaginasiku.
“Awak makan dengan siapa nanti?” tanya Aqel lagi.
“Siapa-siapa saja” jawabku tidak mahu memikirkannya.
“Oh... mungkin makan dengan Marnie” sambungku.
“Bagus... makan dengan Marnie” cepat Aqel mencelah.
“Malaslah nak keluar makan nanti. Duduk di office saja. Balik kerja nanti awak belanja saya makan” cadangku.
“Awak harus makan tengah hari. Jaga kesihatan awak” tegas Aqel. Aku mencebik.
“Kedekut awak. Duit banyak...” keluhku mengutuk Aqel.
“Balik nanti saya belanja awak makan di restoran makanan laut segar. Best makan di sana. Bunyi pukulan ombak yang mendamaikan, tiupan angin laut yang menyegarkan dan pemandangan pantai yang indah” cerita Aqel. Dapat aku bayangkan kedamaian itu.
“Betul?” tannyaku teruja. Aqel mengangguk.
“Wah... bestnya!” Aku sempat berimaginasi lagi cuba menggambarkan kata-kata Aqel sebentar tadi. Memang seronok kalau dapat makan dalam suasana demikian.
“Terima kasih. Saya pasti akan tunggu awak datang” ujarku berjanji kepada Aqel. Aqel tersenyum. Sudah terpikat pada keindahan suasana restoran yang Aqel ceritakan sebentar tadi. Mahu menikmati kelazatan hidangan makanan laut yang segar.
“Tunggu sehingga saya datang” ujar Aqel mengingatkan aku. Aku mengangguk. Aku akan tunggu kedatangan Aqel. Tunggu sehingga Aqel sampai. Tunggu walaupun Aqel terlewat sampai. Mesti tunggu Aqel. Aku mengingatkan diriku berulangkali. Aqel menurunkan aku di depan pintu utama KDUT kerana dia ada urusan kerja di luar pejabat hari ini.
“Tunggu saya datang” ulang Aqel memberi peringatan.
“Ya... saya akan tunggu awak” sahutku berjanji. Aqel senyum. Lantas meneruskan perjalanan ke destinasi yang dituju. Aku melewati pintu utama ini dan sempat bertukar senyuman dengan penjaga keselamatan yang bertugas pagi ini. Ada kisah sedih dan lucu yang pernah berlaku antara aku dengan mereka. Aku yakin kisah itu masih segar dalam ingatan mereka. Pada hari itulah aku dipertemukan dengan Aqel. Pada mak dan Nana, itulah suratan terindah yang Allah ciptakan buatku. Perjalanan hidup baru yang akan melenyapkan kisah dukaku dengan Haqem. Mereka yakin Aqel muncul dalam hidupku bagi  menggantikan Haqem. Sebaliknya aku merasakan kemunculanku dalam hidup Aqel telah memberi penderitaan kepada Flora. Hubungan Aqel dan Flora menjadi sukar kerana aku.
Aku melepaskan keluhan berat. Hidup harus diteruskan. Allah sudah merencana setiap perjalanan hidup hambanya sebaik-baiknya. Semuanya sudah tertulis dengan lengkap. Tiada sesiapa yang mampu mempersoalkannya. Aku memulakan tugasku dengan hati yang cekal. Melapangkan fikirkan dan bersedia melakukan yang terbaik pada tanggungjawab yang telah diamanahkan. Memberi perhatian penuh pada kerja-kerja yang harus diselesaikan hari ini. Tanpa sebarang gangguan aku berjaya mengemaskini beberapa buah fail yang perlu disemak dan ditandatangi oleh Puan Rosie dan pihak KDUT. Hal yang berkaitan dengan syarikat ini selalunya aku akan berurusan dengan Haqem. Jarang benar melibatkan Aqel. iPhoneku berbunyi. Nama Marnie terpamer pada ruang whatsApp.
~Jom makan rehat nanti~ ajak Marnie persis mengetahui Aqel tiada di pejabat.
~Nanti saya beritahu awak~ jawapan yang kuhantar membalas ajakan Marnie.
~Ok...~ Persetujuan Marnie hendak menunggu jawapanku. Kuletak ke tepi iPhone ini. Ada beberapa dokumen yang perlu aku lengkapkan sebelum dihantar kepada Puan Rosie. Kerja ini akan aku selesaikan selepas rehat nanti memandangkan waktu rehat sekejap lagi. Aku menyandarkan tubuh di kerusi. Cuba merehatkan diri seketika. Benakku ligat membuat pertimbangan. Membuat plihan sama ada hendak makan tengah hari bersama Marnie atau duduk di sini sahaja meneguk air mineral. Teringat pada janji Aqel yang akan mengajakku berkunjung ke restoran makanan laut yang segar. Rugi kalau aku tidak makan banyak nanti. Bukan selalu berpeluang ke situ. Seingatku ini kali pertama Aqel mengajakku ke tempat istimewa seperti itu. Laju kucapai iPhone lantas mempamerkan nama Marnie pada ruang whatsApp.
~Sorry... saya tak keluar makan rehat ni~ kata putus yang kuhantar kepada Marnie.
~Encik Aqel takde di offiece... tak selera makan tanpanya?      ~ balasan usikan daripada Marnie. Aku mencebik. Tidak habis-habis dia mahu mengusikku. Sedar tidak sedar laju sahaja jemariku menekan huruf-huruf pada papan kekunci menulis balasan whatsApp Marnie.
~Kata-kata awak perlu difikirkan~ balasku memaksa Marnie menjana fikiran.
~       ************ berjuta bintang...~ Aku tergelak sendiri menatap balasan whatsApp Marnie. Bahasa simbolik. Marnie pening memikirkannya. Kuletak iPhone ke tepi. Aku bangun lalu melangkah ke bilik air mengambil wuduk. Seterusnya melangkah ke bilik solat menunaikan solat zohor. Usai solat aku menyiapkan dokumen-dokumen yang akan dihantar kepada Puan Rosie. Kemudian menyediakan kostum-kostum yang diperlukan seperti yang terdapat dalam senarai yang baru sahaja kuterima sebentar tadi. Usai meneliti kesempurnaan kostum-kostum tersebut, aku menyediakan beberapa borang yang harus dilengkapkan dan ditandatangani oleh pihak yang memerlukan kostum-kostum tersebut. Prosuder yang telah ditetapkan oleh pihak syarikat. Butiran pengeluar dan penerima mesti jelas.
Tepat pukul 5.00 petang, aku berjaya menyiapkan semua tugasan hari ini. Prestasi kerja cemerlang buat aku tersenyum puas. Aku bergegas menunaikan solat asar memandangkan aku tidak terus balik ke rumah. Usai mengemas fail-fail dan meja, aku masih berada di bilik ini menanti Aqel menghubungiku. Tiba-tiba sahaja aku terkenangkan kata-kata Aqel tadi. Kutoleh ke kiri ke kanan. Bilik ini cukup luas. Kupandang pintu bilik penyimpanan kostum-kostum itu. Pelbagai kostum dan perhiasan klasik yang ada peminat sendiri dan sudah pasti juga punya pelbagai cerita. Terasa meremang bulu romaku. Rasa seram sejuk. Bingkas aku bangun dan melangkah laju ke pintu. Kumatikan suis lampu. Daun pintu kukunci.
“Mata hantu yang perhatikan awak” suara Aqel terngiang-ngiang di telingaku. Aku mempercepatkan langkah meninggalkan lorong laluan yang sunyi sepi ini.  Lega setelah berada di lobi ini. Warga KDUT berlegaran di sini. Aku bergerak ke pintu utama. Di luar ini aku menanti kemunculan Aqel dengan setia. Sejam berlalu Aqel belum muncul lagi. Lantas kucapai iPhone lalu menghubungi Aqel. Bimbang dia terlupa hendak menjemputku di sini. Risau juga kalau Aqel sudah pulang ke rumah. Panggilanku tidak dijawab. Suara perempuan meminta aku meninggalkan pesanan.
Gara-gara letih sangat, aku menyandarkan tubuh di dinding kaca ini. Banyak sudah mata melontar pandangan kepadaku. Ada juga yang menyapaku. Lenguh menyandar, aku mundar-mandir di depan pintu utama ini. Cuba menghilangkan perasaan bosan menanti kedatangan Aqel. Sudah buntu, kuhubungi Aqel sekali lagi. Panggilanku masih tidak dijawab. Aku mula risau. Bimbang sesuatu yang buruk menimpa Aqel. Nauzubillahminzalik. Aqel akan selamat. Kupanjat keyakinan dalam diri.
“Aqel... di mana awak?” Kuseru nama Aqel dari kejauhan. Mudah-mudahan Aqel mendengarnya. Kupegang perutku yang mula berkeroncong minta diisi. Pedih.
~Aqel... saya tunggu awak ni~ Kuhantar mesej kepada Aqel. Aku berharap Aqel akan membalasnya segera. Sejuk. Angin bertiup dengan kuat. Kudongak ke langit. Awan gelap. Tanda-tanda hujan lebat akan turun. Aku mula gelisah memikirkan hujan yang bakal turun. Belum habis berfikir, hujan mencurah-curah membasahi bumi. Aku ke tepi mengelak terkena tempias simbahan hujan. Dari laman parkir itu aku nampak Haqem berlari meredah hujan bersama payung di tangannya. Aku juga berharap Aqel juga akan muncul selepas ini. Kupejamkan mataku. Aqel... muncullah sekarang! Sudah berjam-jam aku menanti kemunculan Aqel di sini. Aqel yang memintaku menunggunya di sini.
“Lia...” Mata kubuka. Haqem sudah berdiri di depanku. Sebahagian pakaiannya sudah basah disimbah hujan yang lebat ini. Kulontar pandangan ke laman parkir cuba menjejaki kelibat Aqel.  Aqel masih tidak muncul-muncul. Panggilan dan mesej yang kuhantar kepadanya juga tidak berbalas. Aku dan Haqem berpandangan.
“Mari...saya hantar awak balik. Dah lewat ni” suara Haqem melawan bunyi simbahan air hujan. Aku menggeleng. Aku mesti berpegang pada janjiku. Tidak mahu Aqel tercari-cari aku nanti.
“Aqel... mana?” tanyaku.
“Dia minta saya hantar awak balik” jelas Haqem tanpa menjawab pertanyaanku.
“Saya dah janji akan tunggu Aqel di sini” tegasku berdegil. Aku tidak mahu penantianku ini sia-sia sahaja. Aku masih tidak berganjak dari sini. Yakin Aqel akan datang menjemputku.
“Awak tak percaya saya?” tanya Haqem.
“Saya tunggu Aqel di sini” tegasku nekad. Haqem mengeluh.
“Aqel tak dapat datang” jelas Haqem. Aku memakukan diri di sini. Aku menggeleng.
“Banyak kali dia cakap tadi dia akan datang sini ambil saya” ujarku berdegil.
“Awak ni...” Haqem mengeluh berat. Dia terus sahaja menghubungi Aqel. Mudah sahaja panggilan itu dijawab Aqel. Panggilanku dan mesej yang kuhantar tidak dibalas Aqel.
“Kalau awak tak percaya... awak cakap dengan Aqel sekarang...” ujar Haqem lantas meletakkan iPhonenya ke tanganku. Aku mendakap iPhone Haqem di telingaku. Kedengaran suara Aqel memberi salam.
“Awak balik dengan Haqem sekarang... / Siapa tu Aqel?” suara perempuan mencelah di belakang Aqel. Suara yang sering aku dengar. Aku tersenyum sendiri. Hebat Aqel.
“Awak dengar tak?” Aku kembalikan iPhone ini kepada Haqem tanpa menjawab pertanyaan Aqel. Kupandang Haqem.
“Hantar saya balik sekarang” pintaku. Haqem mengangguk. Lantas memayungiku melangkah ke kereta. Terasa dingin tatkala pakaianku sebahagiannya turut basah. Lantas Haqem menghulurkan sapu tangannya. Aku menggeleng. Sepanjang perjalanan ini aku melontar pandangan keluar tingkap memerhatikan simbahan hujan yang lebat ini.
“Awak okey?” suara Haqem menyapaku. Aku berpaling dan tersenyum.
“Alangkah baiknya kalau awak menanti saya sesetia ini...” suara Haqem perlahan. Aku menatap Haqem. Setia? Fahamkah Haqem mahupun Aqel tentang setia? Layakkah mereka memperkatakannya.
“Saya pernah menanti awak begitu lama sehinggalah Aqel muncul” ujarku cuba menyedarkan Haqem. Haqem terdiam.
“Maaf... saya takde mood nak berbual sekarang” jelasku meminta Haqem tidak meneruskan perbualan ini. Haqem akur. Setakat itu sahaja perbualanku dengan Haqem. Sampai ke perkarangan rumah ini aku dan Haqem masih tidak berbual.
“Terima kasih Haqem” ujarku lantas menolak daun pintu kereta Haqem.
  “Terus mandi... awak terkena air hujan tadi” arah Haqem. Aku mengangguk. Lantas melangkah longlai ke pintu meninggalkan Haqem yang masih belum berganjak dari situ. Terketar-ketar tanganku tatkala memusing kunci pintu ini. Kesejukan dan kelaparan bersatu.
“Mak...” panggilku lemah. Rumah ini sunyi-sepi. Tiada mak di sini. Aku melangkah ke dapur. Memo pesanan mak tertampal di depan peti sejuk.
~Mak temankan mak mertua kamu malam ini. Mak tak masak ye...~ Kupegang perutku yang terasa pedih ini. Perlahan-lahan panas mengalir di pipiku. Tiba-tiba hatiku rawan dan sayu. Lantas kuteguk beberapa gelas air kosong pengalas perut yang sedang berkeroncong ini. Aku melangkah longlai ke bilik. Mandi dan menunaikan solat. Pada munajatku, aku mohon Allah tenangkan hati ini. Berikan aku kesabaran dan kecekalan yang berganda.
Kutanggalkan telekung. Rasa lapar yang tidak boleh ditahan-tahan lagi. Aku melangkah ke dapur. Kucapai maggie kari yang tersimpan di dalam kabinet. Ini sahaja menu yang paling cepat yang dapat mengurangkan rasa lapar ini. Tidak sampai lima minit maggie kari sudah terhidang di dalam mangkuk. Kutuang segelas air kosong. Aku bergerak ke ruang tamu. Perlahan-lahan kuhirup kuah yang panas ini. Sekejap sahaja aku menghabiskan semangkuk mi ini. Baru lega. Aku bersandar di sofa. Lama aku termenung.
“Dah lama sampai rumah?” Aku berpaling. Aqel baru sahaja melangkah masuk. Lama kuperhatikan dirinya. Dia sihat walfiat. Nampak hairan dirinya diperhatikan sedemikian.
“Mana mak?” tanyanya sambil melabuhkan duduk di sofa di sebelahku. Aku masih mengunci mulut. Aqel memandang mangkuk kosong di depanku.
“Awak makan maggie saja?” tanyanya persis terkejut. Aku mengetap bibir menahan perasaan. Cuba menyabarkan diri. Pertanyaan Aqel terasa mencabarku. Tidak mahu melepaskan kemarahan ini kepada Aqel, bingkas aku bangun. Kucapai mangkuk dan gelas yang sudah kosong lalu melangkah ke dapur meninggalkan Aqel di ruang tamu. Tidak mengendahkan kewujudan Aqel.
“Saya cakap dengan awak ni. Kenapa awak diam saja?” tanya Aqel langsung tiada rasa bersalah. Kulewati Aqel lantas mendaki satu-persatu anak tangga.
“Flora... awak marah saya?” Aqel melontar suaranya lebih kuat. Aku masih tiada memberikan sebarang reaksi. Kubaringkan tubuh di atas katil. Laju tanganku menarik selimut. Aqel masuk ke bilik. Dia melontar pandangan ke arahku yang kaku separuh berselimut ini.
“Kenapa ni?” tanya Aqel berdiri tepat-tepat di hujung kakiku.
“Awak terkena hujan tadi? Awak tak selesa? Rasa demam?” bertalu-talu pertanyaan Aqel menyesakkan aku. Aku memejamkan mata. Berharap Aqel akan mendiamkan diri sahaja. Aqel membongkok lalu tangannya menekap di dahiku. Pantas aku menepisnya. Aqel kaget.
“Awak marah saya?” tanya Aqel langsung tiada rasa bersalah atas perkara yang berlaku hari ini. Kesabaranku semakin tipis.
“Saya takde mood nak cakap sekarang” jelasku berharap Aqel berdiam diri.
“Awak marah saya ye...” teka Aqel. Dia tergelak kecil menambah sakit hatiku.
“Macam budak-budak awak ni. Langsung tak sabar. Lama awak tunggu tadi?” suara Aqel bersahaja. Penantianku berjam-jam itu dibuatnya main-main. Langsung tidak rasa bersalah setelah membiarkan aku menunggunya begitu lama. Sikap Aqel sungguh menyakitkan hati. Bukan permohonan maaf yang kudengar tetapi perliannya. Dia langsung tidak kisah dengan kesukaran yang kuhadapi hari ini.
“Awak marah saya ye” suara Aqel menyucuk-nyucuk telingaku. Hatiku bergelora. Lantas aku bangkit dari perbaringan ini. Kucampak selimut ke tepi. Aqel kaget.
“Ya... memang saya marahkan awak sekarang dan marah pada diri sendiri. Mudah diperbodohkan. Berulangkali saya ingatkan diri saya. Saya akan tunggu Aqel datang. Tunggu sehingga Aqel sampai. Tunggu walaupun Aqel terlewat sampai. Mesti tunggu Aqel. Saya tunggu awak berjam-jam tanpa sebutir nasipun yang masuk ke dalam perut saya kerana saya percaya awak akan berikan saya hidangan istimewa” tuturku berjela penuh emosi. Bebola mataku berkaca-kaca. Bila-bila masa sahaja air mata ini akan berderai. Aqel terkebil-kebil menatapku.
“Salah saya juga sebab terlalu percaya dan yakin kepada awak” tuturku sambil mengesat air mata yang sudah berderai di pipiku. Aku tersenyum mengenangkan kebodohan diri sendiri.
“Flora...” Aqel memanggilku.
“Kenapa awak tak jawab panggilan dan mesej saya? Pasti awak rasa seronok mempermainkan saya. Betulkan...” keluhku tersenyum lagi. Mudah sahaja aku tertipu dengan Aqel.
“Saya tak bermaksud begitu” tingkah Aqel dengan wajah berkerut.
“Awak hantar Haqem kepada saya. Awak nak tunjukkan kepadanya betapa hebatnya awak” Aku tersenyum sinis.
“Saya yakin awak akan selamat bersama Haqem” sahut Aqel buat aku tersenyum sendiri.
“Saya hanya percayakan Haqem” tambah Aqel.
“Saya nak kepastian dan tolong bercakap benar” pintaku menuntut kejujuran Aqel. Aqel menatapku. Dia mengangguk. Aku memang mengharapkan Aqel tidak akan berbohong kepadaku.
“Awak bersama Rania tadikan?” tanyaku. Aqel mengangguk. Aku senyum. Mujur juga Aqel tidak menafikannya. Aku memang kenal suara Rania. Suara yang sering melontar kemarahan kepadaku.
“Saya nak tidur sekarang. Tenaga saya dah habis. Saya benar-benar letih hari ni” tuturku perlahan. Kubaringkan tubuh di atas katil ini. Kupejamkan mata. Tidak kuhiraukan Aqel yang masih berdiri di tepi katil ini mengarah pandangannya kepadaku. Tiada tenagaku hendak menghalangnya. Biarlah Aqel berdiri di situ setakat mana mampunya. Aku hendak tidur sekarang.
“Ya... memang saya marahkan awak sekarang dan marah pada diri sendiri. Mudah diperbodohkan. Berulangkali saya ingatkan diri saya. Saya akan tunggu Aqel datang. Tunggu sehingga Aqel sampai. Tunggu walaupun Aqel terlewat sampai. Mesti tunggu Aqel. Saya tunggu awak berjam-jam tanpa sebutir nasipun yang masuk ke dalam perut saya kerana saya percaya awak akan berikan saya hidangan istimewa”suara gadis ini masih kedengaran di telinganya.
Aqel melepaskan keluhan berat. Dia membongkokkan tubuhnya, mendekatkan dirinya dengan gadis ini. Disentuh lembut dahi gadis ini. Lega. Suhu badan normal. Lantas diatur kemas selimut yang menyelubungi tubuh gadis ini.
“Maafkan saya...” ujarnya perlahan.


Tatkala aku membuka mata, Aqel tiada di sebelahku. Kulontar pandangan ke sofa. Aqel  tidak berada di situ. Awal sungguh dia menghilangkan diri. Mungkin malam tadi Aqel keluar. Bingkas aku bangkit dari perbaringan ini. Aku terpaku di depan cermin meja solek ini. Aqel ada meninggalkan memo merah jambu di sini. Aku melangkah ke bilik air. Mahu solat subuh dan menyiapkan diri hendak ke tempat kerja.
“Seorang saja? Mana Encik Aqel?” tanya Marnie yang bertembung denganku di laman parkir ini. Aku angkat bahu. Tidak tahu ke mana Aqel menghilang diri. Bangun sahaja dari tidur aku tidak nampak kelibat Aqel. Barangkali memang sepanjang malam aku bersendirian di bilik. Aqel keluar setelah aku tidur.
“Perang dunia ke-3 dah meletus?” tanya Marnie mengusikku. Aku mencebik. Tidak mahu mengingat perkara semalam. Janji tinggal janji. Kata yang tidak dikotakan. Aku mendengus kecil. Semua itu menyakitkan hati.
“Dah buat salah... cepat pula menghilang diri” rungutku tidak puas hati. Marnie menepuk-nepuk lembut belakangku. Cuba mendamaikan sisa kemarahanku.
“Sabar...Itu namanya gaduh-gaduh sayang” ujar Marnie mengusikku. Aku mendengus geram. Usikan jenaka Marnie tidak mampu memadamkan rasa terkilanku. Aku dan Marnie melangkah beriringan melewati ruang lobi KDUT yang luas ini. iPhone Marnie berdering. Langkahku dan Marnie terhenti. iPhone dikeluarkan dari tas tangannya.
“Encik Aqel...” ujarnya memaklumkan Aqel berada di talian sekarang. Aku hanya mempamer wajah bersahaja. Tidak berminat dengan panggilan Aqel yang Marnie terima.
“Assalamualaikum... Encik Aqel. Ya...ya...” Marnie patuh sahaja pada perintah Aqel. Panggilan itu dimatikan. Marnie menyimpan iPhone ke dalam tas tangannya. Dia memandangku.
“Encik Aqel cuti. Dia sakit ke?” tanya Marnie. Aku angkat bahu.
“Agaknya dia jaga kekasihnya yang sakit” sahutku membuat andaian. Berkerut dahi Marnie menatapku. Aku mempamer wajah bersahaja.
“Encik Aqel curang pada awak?” tanya Marnie dengan mata yang terbuka luas. Aku diam. Tidak mahu memberi sebarang jawapan pada pertanyaan Marnie. Kusambung langkah bersama iringan langkah Marnie. Aku menikahi lelaki yang memang sudah dimiliki hatinya. Sejak awal lagi aku sudah mengetahui Aqel ada kekasih. Bolehkah Aqel dikatakan curang?
“Tak patut Encik Aqel curang pada awak” keluh Marnie berbicara sendiri sambil geleng-geleng kepala. Sukar hendak diterimanya jikalau Aqel ada kekasih.
“Betulkah Encik Aqel ada orang lain?” tanya Marnie tidak puas hati. Aku tenang sahaja. Tidak berminat hendak ambil tahu hal peribadi Aqel.
“Awak tak cemburu ke?” tanya Marnie dengan pandangan yang aneh. Aku tetap tenang dan bersahaja. Aku bukan siapa-siapa di hati Aqel. Tidak kisah dengan perlakuan Aqel. Dia lebih mengetahui perkara yang patut dilakukannya.
Puan Nazibah yang baru sahaja melangkah ke dapur tersentak menatap Aqel yang sedang sibuk menyiapkan masakannya. Nampak kesungguhan pemuda itu melangsaikan kerja-kerjanya. Fokus pada kerja yang dilakukan sehingga tidak menyedari kehadiran perempuan itu.
“Buat apa? Tak kerja ke?” tanya Puan Nazibah. Aqel berpaling.
“Hey... mak. Cuti hari ini. Sorry... saya pinjam dapur ni sekejap” ujar Aqel tersenyum.
“Apalah kamu ni, Aqel... Gunalah dapur ni tak payah nak pinjam-pinjam” Puan Nazibah tersenyum. Bicara Aqel mencuit hatinya. Aqel senyum.
Thanks...” Puan Nazibah duduk di kerusi. Di atas meja di depannya ini ada udang, ketam, kerang, sotong dan daging. Semuanya sudah siap disiang dan dibersihkan. Menunggu masa sahaja hendak dimasak.
“Semuanya nampak segar. Nak buat jamuan ke?” tanya Puan Nazibah hairan.
“Dah semestinya segar mak. Awal-awal pagi saya terpacak di pengkalan jati tunggu nelayan balik dari laut. Macam pemborong pula” cerita Aqel. Dia tergelak sendiri mengingati gelagatnya yang merayu-rayu meminta nelayan-nelayan itu menjual hasil tangkapan laut mereka kepadanya. Bukan berbakul-bakul dia hendak beli. Cukup sekali masak sahaja.
“Saya masak untuk kita sekeluarga. Nanti nak ajak mama makan sini” jelas Aqel.
“Baguslah tu. Dah lama kita tak makan sama-sama. Kenapa tak suruh Lia tolong kamu?” tanya Puan Nazibah. Aqel diam. Masih terbayang wajah sedih gadis itu. Perlahan-lahan dia melepaskan keluhannya.
“Dia marahkan saya semalam sebab saya mungkir janji” ujar Aqel kesal. Puan Nazibah tersenyum sendiri. Baru tahu cerita sebenar. Aqel ada kesungguhan mahu memujuk Lia.
“Tak payahlah risau. Lia memang sensitif. Tak lama rajuknya tu” jelas Puan Nazibah cuba memadamkan kekesalan Aqel. Senyap. Otak Puan Nazibah ligat berfikir. Dia tersenyum-senyum sendiri. Ada agenda yang sedang bermain di benaknya. Malam ini mahu mempastikan hanya Aqel dan Lia sahaja berada di rumah ini.
“Ada apa-apa yang patut mak tolong?” tanya Puan Nazibah. Laju Aqel menggeleng.
“Bahan-bahan saya dah siapkan semua. Tunggu nak masak saja lagi” jelas Aqel menolak khidmat mak mertuanya. Puan Nazibah tersenyum. Bangga dengan kemahiran Aqel di dapur.
“Kalau macam tu mak masuk dululah. Masaklah sedap-sedap ye. Lia mesti suka kalau kamu masak” ujar Puan Nazibah menyuntik semangat. Aqel senyum. Dia meninggalkan Aqel di dapur. Kemudian singgah di ruang tamu. Gagang dicapai, laju jemarinya mendail nombor telefon itu. Langkah pertama misi yang sedang dijalankan.
Sudah dua kali aku menelefon mak hendak memaklumkan tentang hajatku akan bermalam di rumah Nana malam ini. Namun panggilanku tidak dijawab. Mak tidak dapat dijejaki. Sibuk dengan pelbagai aktiviti persatuan yang disertainya. Seronok benar mak menjadi ahli persatuan yang Mak Long perkenalkan itu. Lantas kuhantar mesej. Sekurang-kurangnya mak akan baca mesej itu nanti. Nana begitu gembira dan teruja menyambut kedatanganku. Sudah lama tidak berjumpa banyak cerita yang mahu dikongsi. Sejak bercinta, ada kekasih dan bertunang, wajah Nana sentiasa berseri-seri. Itulah panahan cinta sejati. Dalam hati ada taman. Dalam taman ada bunga harum mewangi. Hati Nana berbunga-bunga riang. Aku tumpang gembira.
“Aqel tahu awak nak tidur sini?” tanya Nana mula merebahkan tubuh di sebelahku.
“Dia tak kisah pun...” sahutku. Nana menatapku.
 “Aik...macam orang jauh hati saja” usik Nana. Aku tersenyum. Bukan jauh hati tetapi sakit hati. Begitu mudah dia mempermainkan aku. Persis aku ini tiada perasaan yang boleh diperlakukan sesuka hati. Berjam-jam aku menunggu kemunculannya. Aqel yang kutunggu-tunggu rupa-rupanya sedang berbahagia menghabiskan masa dengan Rania, cinta pertamanya. Kasihan Flora. Aku menggeleng, menyangkal bicara Nana.
“Hati awak tak tergugat ke hari-hari jumpa Aqel? Tidur sebelah Aqel dan tengok Aqel seksi tanpa baju” duga Nana tersenyum nakal.
“Hey..., awak ni. Boleh fikir macam tu” marahku. Nana tergelak-gelak.
 “Langsung tak pernah rasa berdebar-debar tengok Aqel?” tanya Nana lagi.
“Rasa nak telan dia hidup-hidup adalah” ujarku dengan mata yang terbuka luas. Geram. Nana tertawa lagi. Geli hatinya mendengar kata-kataku.
“Rakusnya awak...” kutuk Nana mengusikku. Aku mengetap bibir. Tidak suka mendengar kata-kata Nana.
“Macam penyakit Aqel dah menjangkiti awak. Awak dah jadi manusia dingin yang takde perasaan sebab itu boleh tahan hidup dengan Aqel... lelaki kacak yang sentiasa menggetarkan hati perempuan” ujar Nana menyanjung Aqel setinggi langit. Aku mencebik bibir. Pujian Nana terlalu tinggi. Nana memang sudah terpikat pada ketampanan Aqel.
“Jangan cepat kabur mata pada ketampanan Aqel. Awak tak tahu sikap buruknya” tingkahku memprotes kata-kata pujian Nana terhadap Aqel. Nana tersenyum.
“Awak mengakui dia handsome” ujar Nana menjeratku dengan kata-kataku sendiri. Aku menulikan telinga. Kenyataan yang tidak boleh dinafikan.
“Bosanlah kalau cakap pasal Aqel saja. Apa kata kalau awak cerita pula tentang buah hati awak” pintaku. Jarang Nana bercerita tentang Arryan. Setiap kali berbual dengan Nana, lebih banyak tentang Aqel yang Nana perkatakan. Nana memang sangat kagum kepada Aqel. Di mata Nana, Aqellah lelaki yang sangat sempurna. Tiada tolak bandingnya. Oh... sangat fanatik Nana kepada pemuda peranakan Korea itu! Jangan-jangan Nana pernah menyimpan perasaan kepada Aqel. Siapa tahu. Kupandang Nana lama-lama. Laju aku menggeleng. Tidak patut aku prasangka yang bukan-bukan. Rasa bersalah pada Nana.
“Kenapa?” tanya Nana menyedari tingkahlakuku. Aku senyum dan geleng kepala. Tidak mungkin aku berterus-terang kepada Nana tentang perkara yang kufikirkan sebentar tadi. Pasti Nana akan terkilan. Tidak salah kalau Nana kagum pada kesempurnaan ciptaanNya yang dianugerahkan kepada Aqel. Bunyi iPhone dari dalam beg galasku mengejutkan aku. Kucapai beg galasku lalu mengeluarkan iPhone.
“Agaknya... Aqel rindukan awak. Dia cari awak tu” ujar Nana mengandaikan panggilan itu daripada Aqel. Kutatap skrin iPhone yang sudah berada di tanganku. Kutekan panggilan diterima.
“Assalamualaikum.... mak” sapaku menghancurleburkan harapan Nana. Nana mempamer wajah kecewa. Kubalas dengan senyuman sinis. Aqel tidak akan menjejakiku. Aku sudah tahu menjaga diri sendiri. Aqel tidak perlu bimbang akan keselamatanku.
“Kat mana sekarang?” tanya mak.
“Rumah Nana” ujarku mengulangi ayat yang kumesej kepada mak tadi. Kedengaran keluhan berat mak. Terasa mak tidak menyenangi tindakanku.
“Balik rumah sekarang. Aqel sendirian di rumah. Dia tunggu kamu balik” arah mak serius. Aku terkedu. Adakah mak sudah mengetahui cerita semalam?
“Mak nak kamu balik sekarang” tegas mak mengulangi arahannya.
“Okey... Lia balik sekarang” sahutku mengalah. Suara mak lenyap. Aku menyimpan iPhone ini ke dalam saku beg galas kembali. Kupandang Marnie.
Sorry... saya kena balik sekarang. Aqel bersendirian di rumah” jelasku menjawab pandangan mata Nana yang tertanya-tanya. Nana senyum dan mengangguk mengerti.
“Saya faham. Awak bukan hidup bersendirian lagi. Jadi awak tak boleh bertindak sendiri” nasihat Nana. Aku mengangguk. Bicara Nana sangat difahami. Aku melangkah ke pintu diiringi langkah Nana. Bahuku dipegang lembut.
“Pandu kereta hati-hati. Sampai rumah nanti mesej saya” pesan Nana. Aku mengangguk. Lantas kutinggalkan Nana. Kupandu perlahan kereta waja milik mak ini balik ke rumah. Aqel bersendirian di rumah sekarang. Bermakna mak belum balik dari rumah Mak Long lagi. Kali ini lama pula mak bertandang ke rumah Mak Long. Sejak menjadi ahli persatuan naungan Mak Long itu, mak sudah pandai sibuk. Setibanya aku di perkarangan rumah, rumah masih terang-benderang. Kereta Aqel juga ada di garaj. Mengesahkan kenyataan mak. Aqel bersendirian di rumah sekarang.
Melangkah masuk, hampir semua lampu menyala. Aku mencebik. Mungkin Aqel takut gelap dan takut tinggal bersendirian. Kumatikan lampu-lampu di ruang yang tidak diperlukan. Aku mendaki anak tangga ke tingkat atas menuju ke bilik. Sunyi sepi sahaja. Barangkali Aqel sudah tidur ataupun sedang leka membaca buku. Tabiat yang sudah sebati dalam diri Aqel. Hobinya yang kucemburui. Pegetahuan Aqel sentiasa bertambah. Bicaranya penuh ilmu. Daun pintu kutolak perlahan. Aku melangkah masuk dan melontar pandangan ke arah sofa panjang itu. Aqel tertidur di situ sambil mendakap buku. Aku melangkah mendekatinya. Kupandang wajah Aqel. Dia tidak sakit. Kenapa mak bimbang Aqel bersendirian di rumah ini?
“Sepanjang hari awak tak masuk pejabat... awak ke mana?” suaraku melontar pertanyaan. Aku melepaskan keluhan. Perlahan-lahan kucapai buku dalam dakapan Aqel. Kuletak di atas meja. Kucapai selimut di atas katil lantas menutupi tubuh Aqel. Biarlah Aqel tidur di sini. Memang dia selalu tidur di atas sofa ini.
“Awak dah balik...” Aku berpaling. Aqel memandangku. Tidak sangka dia akan terjaga dari tidurnya. Aku menatap Aqel.
“Lama saya tunggu awak balik. Awak masih marah saya?” tanya Aqel. Senyap. Aku menggeleng. Tidak patut marahkan Aqel. Ada perkara yang lebih penting daripada janji Aqel padaku.
“Saya lama tunggu awak. Hilang sabar sebab letih sangat” ujarku tersenyum sekilas.
“Buat apa marah awak kalau bukan sebab letih. Lagipun saya ni bukannya apa-apa pada awak. Saya takkan fikir yang bukan-bukan” ujarku tenang. Aqel terkebil-kebil menatapku.
“Awak kata lama tunggu saya. Kenapa? Awak ada sesuatu nak cakap pada saya?” Aqel bangkit dari sofa. Dia melangkah mendekatiku. Lantas memegang tanganku. Aqel terus menarikku mengikuti langkahnya. Aqel membawaku ke dapur. Aku tergamam menatap hidangan di atas meja. Lantas Aqel menarik kerusi memintaku duduk. Aku melabuhkan duduk di depan Aqel.
“Semalam saya tak sempat bawa awak makan makanan laut yang segar. Jadi hari ini saya dah masak semua makanan laut yang segar khas untuk awak” jelas Aqel. Kutatap Aqel. Aqel cuti hari ini sebab hendak memasak semua ini. Hatiku tersentuh. Pasti Aqel rasa bersalah kepadaku.
“Janganlah direnung makanan ni... marilah makan” ajak Aqel sambil meletakkan beberapa jenis masakan di pingganku. Kupandang Aqel.
“Terima kasih sebab buat semua ni” tuturku terharu. Aqel sudah menebus janjinya semalam. Tidak sangka pula Aqel bekerja keras melakukan semua ini. Sesuatu yang bukan mudah buat lelaki yang sentiasa kesuntukan masa persis Aqel. Aqel mengorbankan sepenuh hari menyediakan hidangan ini. Kemudian menungguku hingga lewat begini.
“Saya akan makan semua yang awak masak ini. Saya akan habiskan semuanya” ujarku nekad. Aqel senyum. Tidak percaya aku mampu mengotakan kata-kataku.
“Awak takkan mampu habiskannya” tingkah Aqel tidak percaya. Aku menggeleng.
“Saya akan habiskan...sebab awak dah bersusah payah sepanjang hari ini” ujarku mengulangi. Aqel senyum lagi.
“Oh...hampir saya terlupa” Aqel bangun lantas bergerak ke arah peti sejuk. Ada sesuatu yang dikeluarkan dari ruang beku itu.
“Saya buat istimewa untuk awak. Saya percaya aiskrim vanila diolah dengan lebih kreatif ini akan memadamkan kemarahan awak” ujar Aqel lalu meletakkan gelas kaca mewah ini di depanku. Kupandang gelas kaca yang berisi aiskrim vanila ini. Dihias dengan buah ceri. Kuangkat gelas kaca ini. Di bahagian bawah aiskrim ini, ada buah laici yang disusun teratur dan disaluti dengan lapisan aiskrim vanila. Cantik. Aku kagum. Persis hasil kreativiti pakar.
“Makanlah... Awakkan suka makan aiskrim vanila” arah Aqel.
“Terasa sayang pula nak makan” ujarku.
“Mari...” Aku menepis tangan Aqel. Tidak sempat dia menyentuh gelas ini.
“Buruk siku...” kutukku. Aqel tergelak. Kucapai sudu. Aku mula menikmati aiskrim vanila ini sambil diperhatikan Aqel.
“Marilah makan sama” ajakku berkongsi aiskrim bersama Aqel. Laju sahaja tangan Aqel mencapai sudu lalu menyudu aiskrim di gelas. Aqel turut menikmati aiskrim vanila yang dipersembahkannya kepadaku tadi.
“Emm...sedap” Aqel penuh perasaan menikmatinya.
“Patutlah awak suka sangat makan aiskrim” ujar Aqel membuat penilaian. Aku mengangguk. Memang sedap. Manis aiskrim boleh mengubah mood yang tidak elok. Cepat memadamkan kemarahan.
“Tapi tak elok awak amalkan makan yang manis-manis. Badan awak boleh tahan beratnya” kutuk Aqel tersengih-sengih mengutukku. Besar anak mataku menatapnya. Lantas mengingatkan aku tentang pergerakanku dari ruang tamu ke bilik tidur pada malam itu. Pasti Aqel yang mengangkatku ke bilik. Aku mencebik ke arah Aqel yang tersengih panjang.
“Oh...satu saya nak cakap lagi” tutur Aqel. Aku dan Aqel beradu pandangan. Menanti Aqel bersuara lagi. Aqel mahu memperkatakan sesuatu kepadaku.
“Awak bukannya apa-apa pada saya. Itu yang awak cakap. Awak silap. Saya nak awak ingat perkara ini baik-baik” ujar Aqel mengingatkan aku. Aku tergamam. Sudah tidak terkata lagi. Persis suaraku telah terkunci di kerongkong. Aqel tersenyum menatapku.
“Awak mesti ingat sampai bila-bila” ujar Aqel berpesan kepadaku. Aku hanya terpaku menatap Aqel. Terpegun menatap senyuman indah Aqel.
“Ingatkanlah diri awak berulangkali. Awak akan tunggu saya. Tunggu sehingga saya muncul. Tunggu walaupun saya terlewat. Mesti tunggu saya” tutur Aqel menjawab bicara yang pernah kututurkan pada saat aku terkilan.
“Aqel...” kupanggil nama ini. Aqel menatapku.
“Sekejam itu ke awak nak dera saya...” ujarku serius. Aqel terkebil-kebil menatapku.
“Boleh tak awak diam? Awak dah banyak sangat bercakap” gesaku. Aku dan Aqel beradu pandangan. Serentak aku dan Aqel tertawa.
“Dan tolong jangan tersenyum di depan saya” pintaku lagi. Senyuman Aqel semakin lebar. Aku sangat senang menatapnya.
“Kalau senyuman saya buat awak tergoda, pasti saya akan sentiasa tersenyum di depan awak” sahut Aqel berdegil. Besar anak mataku menatap Aqel. Aku mencebik. Kemudian aku dan Aqel tertawa lagi.