Sunday, 26 October 2014

NamaKu BukanFlora! .....62





BAB 62



“Jangan salahkan Hyeon... ye” suara Mak Long terngiang – ngiang di telingaku. Sukar hendak memahami bicara Mak Long itu. Namun memohon penjelasan lanjut tidak sampai hati pula tatkala menatap wajah sugul Mak Long.
“Mama dah masak sup tulang untuk kamu. Kak Helda kata kamu terkena selsema” suara mak memintas lamunanku. Kupandang mak yang sudah berdiri di depanku sedang merenungku. Dahinya berkerut.
“Kenapa? Nampak serius saja kamu berfikir” komen mak. Aku menggeleng. Belum sampai masanya hendak mengutarakan perkara ini kepada mak. 
“Dah mandi?” soal mak lagi sambil matanya liar menilik luaran fizikalku. Aku menggeleng. Usai sahaja menukar pakaian dan mencuci t – shirt serta seluar tidur Aqel yang kupinjam malam tadi, aku meminta diri daripada Mak Long. Nampak berat hati sahaja Mak Long hendak melepaskan aku pergi.
“Pergilah mandi dulu. Biar rasa segar” arah mak. Aku mengangguk. Kuatur langkah longlai ke bilik. Sampai di bilik aku terus melontarkan tubuhku ke atas tilam. Berbaring – baring sambil bayangan Aqel dan Mak Long silih berganti mendatangiku. Bicara Mak Long masih kufikirkan. Mak Long berharap agar aku tidak menyalahkan anak mudanya itu. Mungkin Aqel ada berkongsi cerita dengan Mak Long tentang kemarahan dan rasa tidak puas hatiku tatkala mengetahui Aqel menipuku sehingga aku terdorong mengambil keputusan menerima sahaja jodohku dengan Aqel. Kusangka Aqel sakit serius kerana perbuatanku. Hakikatnya Aqel terhibur mempermainkanku. Masih ada sisa – sisa kemarahan itu bersarang di hatiku. Kesal dengan perbuatan Aqel.
“Jangan salahkan Aqel” kuulangi frasa ayat ini lagi. Cuba kuperhalusi maksud bicara yang cuba Mak Long sampaikan kepadaku. Aqel sudah ada keputusan muktamad? Mungkin jodohku dengan Aqel tidak berpanjangan. Aqel akan melepaskanku dan kembali kepada Rania. Bagaimana dengan Flora? Banyak sangat kemungkinannya. Teringat pada pertemuan Aqel dengan Haqem. Barangkali Aqel dengan Haqem sudah mencapai persetujuan. Aqel akan menyerahkan aku kepada Haqem dengan syarat Haqem akan menjaga dan melindungiku dengan sebaik – baiknya. Kemunculan Harianie yang memberi jaminan akan berpihak kepadaku juga ada kaitan dengan perkara ini. Susun galur perkara yang sudah dirancang sempurna tanpa pengetahuanku.
‘Ya Allah.... benarkah terlalu kuat jodohku dengan Haqem? Kesucian diriku masih terpelihara kerana dijanjikan perkara itu buat Haqem. Benarkah ya Allah....’. Aku dan Aqel akan berpisah. Keputusan yang akan Aqel ambil sebab itu Mak Long memintaku agar tidak menyalahkan anak mudanya itu. Kupejamkan mataku rapat – rapat. Tidak mampu membayangkan perjalanan hidupku seterusnya. Terbayang wajah sayu mak yang bersedih meratapi nasibku.
‘Mak.... berhentilah bersedih kerana Lia. Lia akan bahagia walaupun tanpa Haqem dan Aqel’ bisik hatiku berikrar. Putaran hidupku tidak akan terhenti hanya kerana lelaki. Perkara yang berlaku akan lebih mendewasakanku. Aku tidak mahu menghukum diri lagi persis yang pernah berlaku tatkala Haqem meninggalkanku. Tempoh yang panjang aku berduka. Sudah tidak termampu hendak dikira banyaknya tumpah air mataku. Terima kasih Haqem. Terima kasih Aqel. Kalian telah mematangkanku.

Aku memandang kosong iPhoneku yang sepi memanjang. Sudah jarang kedengaran bunyi mesej mahupun bunyi panggilan diterima. Sesekali mesej Nana kuterima bertanyakan perkhabaranku. Sudah lama aku tidak menghabiskan masa terluang bersama Nana. Nana perlu memberi perhatian kepada Arryan. Aku faham dan berharap mudah – mudahan Nana dan Arryan bahagia menjadi pasangan kekasih yang sudah ada ikatan pertunangan. Semoga jodoh mereka kesampaian.
Marnie dan Reka juga semakin sibuk dengan tanggungjawab masing – masing. Komitmen di tempat kerja sangat menguji kesabaran dan daya ketahanan diri. Tidak lari daripada tekanan bebanan tugas. Ringkasnya semua tugasan yang diberi perlu dilangsaikan dengan sempurna. Sudah menjadi kemestian kepada warga KDUT di bawah pucuk pimpinan Aqel dan Haqem yang tegas. Nama Rania menjengah benakku. Sudah lama juga aku tidak nampak kelibatnya. Ke mana gadis itu menghilang? Mungkinkah dia bersama Aqel sekarang?
  “Jauhnya awak termenung.....” suara lelaki yang sangat kukenali menerjah halwa pendengaranku. Aku melontar pandangan ke muka pintu. Aqel sedang terpacak di situ. Seketika aku dan Aqel beradu pandangan. Aqel sudah kembali.
“Mari temankan saya makan” ajaknya. Laju pandanganku beralih pada jam di dinding. Belum masa waktu rehat. Sekarang masih berada dalam tempoh waktu bekerja.
“Saya bos awak, jadi awak wajib patuhi arahan saya. Temankan saya makan” tutur Aqel persis memahami perkara yang sedang aku fikirkan. Aqel menatapku yang masih mematungkan diri di kerusi ini.
“Ini satu arahan” nada suara Aqel kedengaran tegas. Lambat – lambat aku bangkit dari dudukku. Melangkah perlahan mendekati Aqel.
“Awak masih sakit lagikah nampak tak bertenga saja” komennya persis memerliku. Tiba – tiba sahaja laju tangan Aqel mencapai tanganku lalu memautnya. Aku terkesima dan terkedu. Aqel mula mengatur langkah membuatkan aku terdorong mengiringi rentak langkahnya. Dalam masa yang sama pautan tangan Aqel semakin kemas. Tampak sungguh mesra pada mata yang memandangnya. Aku tidak pula berniat mahu menariknya. Maka aku biarkan sahaja diriku diperlakukan sedemikian oleh Aqel. Memang tidak salah dan tiada batasan yang menghalangnya. Sentuhan yang halal di sisi agama.
“Oh..... very sweet.... Jealousnya saya, Lia” tutur Reka teruja. Orang pertama yang menyedari kehadiran kami di kafeteria ini. Aku tersenyum sekilas. Rasa malu yang menebal. Tidak berani pula mahu melihat reaksi Aqel.
“Hai.... Encik Aqel...” sapa Reka mesra. Aqel dan Reka saling bertukar senyuman.
“Saya tahulah awak rindukan Encik Aqel tapi tak payahlah manja sangat. Saya jealous tau” tutur Reka mengusikku. Besar anak mataku menatap Reka. Kurang senang mendengar bicaranya itu. Aqel tersenyum. Aku mengetap bibir menahan geram sambil menatap Reka yang tersengih panjang. Mudah – mudahan Reka segera beredar dari sini.
“Marilah makan sama” ajakku cuba menutup perasaan seganku. Laju Reka menggeleng kepala. Tidak menghairankan ajakanku ditolak oleh Reka. Reka begitu menjaga kelangsingan tubuhnya.
“Selamat menjamu selera. Encik Aqel, pegang kuat – kuat tangan Lia ni nanti dia lari. Bye....” tutur Reka sesuka hatinya. Terlopong aku mendengarnya. Menambah perasaan seganku. Geram juga melihat sengihan panjang Reka. Reka berlalu pergi.
Aqel memilih tempat duduk di tepi dinding kaca ini, jauh sedikit daripada pengunjung lain. Namun masih banyak pandangan mata dilontar ke arah kami. Kehadiran Aqel di sini telah menarik perhatian pengunjung kafeteria ini. Kelazimannya Aqel tetap berlagak biasa. Dia memang sudah biasa menjadi tarikan mata orang di sekeliling. Tumpang bangga suami kacak. Aku tersenyum sendiri.
“Duduklah....” arah Aqel seraya melepaskan tanganku daripada pautan tangannya. Aku melabuhkan duduk bertentangan dengan Aqel. Sempat menilik diri Aqel sekejap. Kemudian laju mengalih pandanganku. Bimbang kalau tertangkap oleh pandangan mata Aqel. Tidak mahu Aqel salah tanggapan. Langsung tiada perubahan pada diri Aqel. Dia tetap tampan. Pujian ikhlas daripadaku.
“Awak dah sihat?” soal Aqel memulakan bicara memecah keheningan. Aku mengangguk. Tersentuh juga hati dengan keprihatinannya.
“Baguslah.....” ujar Aqel lega. Senyap lagi. Berita yang menyenangkan Aqel. Aku tidak perlu mendapat penjagaan rapi daripadanya lagi. Aqel tidak payah bersengkang mata hendak menjagaku sepanjang malam.
“Terima kasih sebab menjaga saya malam tu. Terima kasih juga sebab mereneh sup yang sedap....” ujarku dengan ayat yang tergantung di penghujung bicara. Niat hatiku mahu menyatakan penghargaanku kepada Aqel kerana telah mereneh sup yang sedap untukku. Segan pula hendak berbicara sedemikian. Mana tahu sup direneh bukan semata - mata untukku. Mungkin juga baki yang tertinggal dihidangkan kepadaku. Selebihnya untuk dinikmati oleh Aqel sendiri ataupun buah tangan untuk Rania. Bukankah aku dan Nana pernah melihat Aqel dan Rania di perkaranga hospital.
“Lain kali jangan suka main air hujan” ujar Aqel buat aku tersenyum.
“Awak dah letih nak jaga saya sakitkan” tekaku menguji Aqel. Aqel menggeleng menafikannya. Syukurlah kalau Aqel tidak terbeban olehku.
“Sampai masanya saya tak boleh jaga awak lagi” tutur Aqel buat aku terdiam. Kenyataan yang tidak dapat aku nafikan. Perpisahan itu tetap akan terjadi. Cepat atau lambat yang membezakannya. Aqel akan memilih masa yang sesuai. Aku menanti ketibaan saat itu.
“Jahat juga awak ni ye....” suara Aqel menyentakkanku.
“Apa....!” Aqel tersenyum.
“Pakai baju tidur saya tak minta kebenaran” perli Aqel buat aku terlopong.
“Mak Long cakap ...... oh.... tidak...” Aku tidak sempat menghabiskan bicaraku tatkala teringat akan kemunculan Aqel pada malam itu. Bukan Mak Long yang melanggar perjanjian.
“Bukan main lenanya awak tidur dengan baju dan seluar tidur saya” kutuk Aqel tersengih.
“Bukan sebab baju dan seluar awaklah. Saya lena sebab ubat selsema tau” tingkahku menangkis tuduhan Aqel. Aqel tersenyum.
“Lagipun baju teddy bear tu saya yang punya” tuturku mengingatkannya.
“Buruk siku” kutuk Aqel. Aku diam dan berfikir. Betulkah aku telah memberikan baju teddy bear itu kepada Aqel? Peristiwa itu kabur diingatanku.
“Saya pinjam saja bukan macam awak pinjam dan terus ambil” Kali ini giliranku pula mengutuknya.
“Senang awak tuduh saya. Saya tak ambil baju tu. Awak yang beri baju itu pada saya” tingkah Aqel menangkis tuduhanku. Diam dan berfikir lagi.
“Awak dah lupa” tambah Aqel. Tidak mustahil aku lupa. Logiknya buat apa Aqel hendak mencuri t – shirt murah itu sedangkan dia berkemampuan sangat membelinya. Tidak perlu harga borong, dengan harga normal pun dia sangat mampu. Soal kewangan tidak menjadi masalah. Oh.... jauhnya fikiranku menyimpang.
“Makanlah” arah Aqel tatkala makanan yang dipesan sudah terhidang di atas meja. Aqel terlebih dahulu menikmatinya. Aku memerhatikan tingkahlaku Aqel. Nampak dia sungguh berselera.
“Lapar ni. Sejak semalam tak makan lagi” jelas Aqel seolah – olah memahami pandangan mataku. Aqel bagaikan dapat mendengar gerak suara hatiku.
“Awak belum balik ke rumah lagi?” soalku. Mustahil Mak Long belum masak lagi. Kalaupun Mak Long tidak sempat masak, mereka ada pembantu rumah yang boleh menyediakan hidangan tengah hari untuk Aqel. Menggelirukan.
“Dari airport saya terus datang sini” jelas Aqel bersahaja sekali gus menjawab kemusyikilanku. Aqel belum balik ke rumah lagi. Dia belum berjumpa dengan Mak Long.
“Lama tak jumpa awak teringin pula nak makan bersama awak” tambah Aqel.
“Di rumah kita jumpa juga nanti” jelasku. Aqel memandangku. Seketika aku dan Aqel saling berpandangan. Aqel menikmati kembali hidangan tengah hari ini. Masih berselera.
“Maaf... saya tak balik rumah awak nanti” ujar Aqel tanpa sempat menatap wajahku. Aqel tidak balik ke rumah keluargaku? Beberapa lama keadaan ini akan berlaku? Bagaimana dengan penerimaan mak dan Mak Long nanti? Tidak perlu gusar. Aku yakin Aqel telah memaklumkan perkara ini kepada Mak Long dan mak.
“Tentang mama dan mak awak, saya akan uruskan. Awak janganlah risau” ujar Aqel memberi penjelasan. Tepat dugaanku. Persediaan Aqel begitu rapi.
“Buatlah yang terbaik. Saya tak kisah” sahutku menyerahkan sepenuhnya kepada Aqel. Aqel tersenyum senang. Di wajahnya sedikit pun tidak tercelit kesedihan.
“Banyak kesedihan yang telah awak lalui. Maafkan saya sebab gagal membahagiakan awak” tutur Aqel serius. Kupandang wajah Aqel.
“Awak tak patut tipu saya” ujarku meluahkan kekesalanku.
“Maafkan saya...” pinta Aqel. Aku melepaskan keluhan beratku.
“Saya terlalu pentingkan diri sendiri. Sentiasa mahu menjadi anak yang terbaik sehingga membebankan awak. Saya tak patut buat awak menderita. Namun keinginan mahu melindungi keluarga tak dapat saya kawal. Demi keluarga saya sanggup lakukan apa saja” tutur Aqel berterus terang. Sungguh murni hati Aqel.
“Awak tak boleh korbankan diri awak demi membahagiakan keluarga kita. Saya yakin mak dan Mak Long pun tak setuju dengan tindakan awak ni. Awak patut hidup bahagia bersama orang yang awak cintai. Mak Long akan lebih bahagia kalau awak juga bahagia. Saya yakin Mak Long takkan halang siapa saja pilihan awak” jelasku panjang lebar. Begitu tenang aku menuturkannya. Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Rahsiaku dan Aqel terbongkar membawa pada jalan penyelesaian terhadap hubungan kami. Walaupun mendatangkan kesedihan kepada Mak Long dan mak di saat ini, namun penyelesaian ini juga akan memberi kebahagiaan kepada Aqel dan mudah – mudahan buat diriku jua. Di mataku terbayang wajah Rania dan Flora silih berganti. Antara kedua – duanya siapa pilihan Aqel? Flora atau Rania? Oh... Aqel masih dibelenggu masalah! Kasihan Aqel.

Usai menikmati hidangan makan malam bersama mak, aku meminta diri berehat di dalam bilik. Hari ini terasa sungguh meletihkan. Aku melemparkan tubuhku di atas tilam. Berbaring semahu mahunya. Kemalasan yang memuncak. Banyak kali kucuba melelapkan mata namun gagal. Liat mahu tidur. Aku bangkit daripada perbaringanku dan melangkah ke sofa. Menyandarkan tubuh di sofa. Anak mataku liar memerhatikan sekeliling bilik ini. Betapa terasa sunyi bersendirian di sini. Tiada teman berbicara. Saat ini bayangan Aqel menjelma di benakku.Walaupun aku sering bertelagah dan tidak sependapat dengannya dalam banyak perkara, namun dia boleh dijadikan teman berbicara. Adakala cerita – ceritanya boleh membuatkan aku ketawa. Tidak kurang juga membuatkan aku melenting. Perkara yang nyata Aqel sentiasa mahu melindungiku dari sebarang kesakitan. Dia sering muncul di saat aku bersedih. Hakikat yang tidak dapat aku nafikan. 
“........ Namun keinginan mahu melindungi keluarga tak dapat saya kawal. Demi keluarga saya sanggup lakukan apa saja” suara Aqel terngiang – ngiang di telingaku. Rasa tanggungjawab terhadap keluarga yang sukar ditandingi. Timbul perasaan simpatiku kepada Aqel. Selalu sahaja dirinya berkorban demi keluarga sehingga dia mengetepikan kebahagiaan dirinya sendiri.
“Kasihan Aqel.....” keluhku bersedih mengenang nasib Aqel. Aku bangkit dari sofa ini kembali berbaring di katil. Aku melirik bantal di sebelahku. Sudah lama kosong. Sejak aku berterus terang tentang hubunganku dengan Aqel kepada mak dan Mak Long, Aqel belum pernah balik lagi ke sini. Terasa perpisahan itu kian dekat. Lama sungguh Aqel membawa rajuknya. Bukan rajuk! Satu kebebasan buat dirinya.
Sudah tidak ada alasan untuk Aqel sentiasa berada di sisiku. Kupandang ruang kosong di sebelahku ini. Selalunya Aqel terbaring di situ. Begitu lama dia dekat denganku, jiwa lelaki Aqel tidak pernah terusik. Hatinya kosong. Bibir Aqel pula sentiasa menyebut nama Flora agar terus mampu bertahan berada di sisiku. Nama ini memberikan kekuatan buat dirinya.
“Maafkan aku Aqel....Aku bukan ratu hatimu kerana namaku bukan Flora” tuturku berbicara sendiri. Kupejamkan mataku rapat – rapat. Cuba melenyapkan bayangan Aqel.


~Saya tunggu awak di Kafeteria Ria. Datang ke sini sekarang~ Mesej yang kuterima daripada Aqel. Kuletak iPhone ini di atas meja. Kupandang iPhone ini. Kasihan juga membiarkan Aqel tertunggu – tunggu. Aku melepaskan keluhan kecil. Lambat – lambat aku bangun. Rasa malas sahaja hendak ke sana. Namun memikirkan tentang Aqel timbul belas kasihan pula hendak membiarkannya bersendirian di situ. Mahu tidak mahu terpaksa juga aku mengorak langkah ke situ. Di ambang pintu kafeteria ini, melilau mataku mencari kelibat Aqel. Dari sudut terpencil itu, aku nampak Aqel sedang melambai – lambaikan tangannya memanggilku.Aqel memang gemar duduk di situ. Lantas kuatur langkah ke arah Aqel.
“Awak boleh cari orang lain untuk temankan awak makan” tuturku terus menyerang Aqel. Rindu juga hendak bertikam lidah dengan Aqel.
“Saya tak datang sendirian...” sahut Aqel tersenyum. Kupandang tiga buah kerusi yang menggelilingi meja ini. Kosong. Tiada sesiapa bersama Aqel sekarang. Mudah sangat dia hendak permainkan aku.
“Mana? Mana?” soalku bertalu – talu. Aku tidak nampak Rania di sini.
“Tu di belakang awak” sahut Aqel sambil menunding jarinya. Laju aku berpaling. Aku tersentak. Haqem tersenyum.
“Mari duduk di sini” arah Aqel. Selamba sahaja Aqel menarik tanganku sekali gus meminta aku duduk di sebelahnya. Haqem melabuhkan duduknya bertentangan denganku.
“Haqem sila order. Saya belanja awak berdua makan hari ni” ujar Aqel ceria. Baru sahaja tanganku mencapai senarai menu, laju sahaja tangan Aqel menghalangnya. Aku menatap Aqel dengan dahi berkerut. Kata hendak belanja makan. Bicara dan tindakannya tidak seiring.
“Saya dah order untuk awak tadi” tutur Aqel. Aku menjelingnya. Macamlah dia tahu sangat seleraku.
“Saya order jus oren dengan nasi putih dan sup ayam. Awak baru saja sihat. Jadi awak mesti makan sup” leter Aqel. Aku mencebik bibir ke arah Aqel. Macam mak nenek pula hendak berkhutbah di depanku. 
“Belajar jaga diri baik – baik” tutur Aqel membuatkan aku terdiam.
“Saya memang pandai jaga diri sendiri. Tak payahlah awak risau” tingkahku geram. Aku bukan anak kecil yang perlukan pengawasan orang dewasa. Aku mempamer muka masam.
“Tengok.... merajuklah tu” tutur Aqel tersengih. Kutulikan telinga.
“Susah nak jaga dia ni, Haqem. Banyak sangat degilnya” tutur Aqel sekali gus menyedarkan aku tentang kewujudan Haqem yang ada bersama kami saat ini. Hampir aku terlupa tentang Haqem. Dia hanya tersenyum menerima aduan sahabatnya ini.
“Lia memang macam tu” sahut Haqem menyokong bicara Aqel.
“Tak adillah dua lawan satu” tingkahku memprotes. Aqel dan Haqem tersenyum. Tidak sangka pula pertemuan kali ini mengundang perbualan rancak antara kami bertiga. Saling memberi pendapat tatkala sesuatu isu ditimbulkan. Aqel pula tidak sudah – sudah mempertikaikan pendapatku. Sesekali Haqem berpihak kepadaku. Selebihnya, dia lebih banyak tersenyum melihat gelagatku dengan Aqel yang tidak sehaluan. Bagai tikus dengan kucing. Ibarat Tom dengan Jerry.
“Kenapa tiba – tiba saja awak diam?” soal Aqel. Aku masih mengunci mulutku.
“Dah habis idea? Lain kali kalau awak nak berbual – bual dengan Haqem, biar saya temankan awak” tutur Aqel memanjangkan diamku. Kutatap wajah Aqel. Apa niatnya berbicara sedemikian?
“Aqel.... Haqem.... saya dah ambil keputusan akan meninggalkan KDUT” tuturku. Aqel dan Haqem menatapku. Tampak mereka terkejut dengan keputusan yang kuambil ini.
“Mengapa?” soal Haqem. Aku tersenyum sekilas.
“Jangan buat keputusan terburu – buru” tutur Haqem lagi. Persis tidak merestui keputusanku. Haqem cuba menghalang kepergianku. Aqel masih membisu. Aku tersenyum.
“Selagi awak dan Aqel berada di depan mata saya, selagi itu saya takkan melalui kehidupan sebenar. Saya mahu hidup berdikari, mengharungi cabaran hidup tanpa sokongan awak berdua. Seperti yang Aqel harapkan, saya mahu menjaga diri saya sendiri” jelasku nekad. Aqel dan Haqem menatapku lagi.
“Paling penting saya tak nak merosakkan persahabatan akrab ini. Saya sayang awak berdua” tuturku meluahkan isi hatiku. Lega. Aqel dan Haqem tidak bersuara lagi.
“Terima kasih kerana belanja saya makan dan bersama saya selama ini. Saya pergi dulu....” ujarku lalu bangun. Aqel dan Haqem memandangku dengan mulut yang terkunci. Kutinggalkan Aqel dan Haqem yang setia memerhatikan langkahku.
“Saya takkan biarkan awak tinggalkan saya” tegas suara lelaki di belakangku. Langkahku mati. Aku berpaling. Haqem sudah terpacak di depanku. Kutatap wajah Aqel. Kemudian melontar pandangan ke arah sudut terpencil itu. Aqel masih duduk di situ menjadi pemerhati.
“Kalau Aqel tak kisah awak nak keluar dari KDUT ini tapi saya kisah. Saya serius ni” suara tegas Haqem singgah di halwa pendengaranku. Pandanganku masih terikat pada Aqel yang setia duduk di sudut terpencil itu. Tiba – tiba aku rasa betapa unik dan peliknya kisah hidupku ini. Bekas kekasihku yang masih setia sedang berdiri di depanku, cuba menghalang hasratku sambil diperhatikan oleh lelaki yang bergelar suamiku yang kelihatan begitu tenang.
“Awak jangan pergi ye..... Please” rayu Aqel. Kutatap wajah insan yang sedang berdiri di depanku ini. Bukan dia. Lelaki ini ialah Haqem. Aqel masih duduk di sudut itu. Haqem sedang memujukku. Aqel pula tidak berbuat apa – apa.
  “Mama serahkan perkara ini pada Lia dan Hyeon. Ambil jalan penyelesaian yang terbaik. Biar Hyeon mahupun Lia mesti bahagia” suara Mak Long terngiang – ngiang di telingaku. Sedar bahawa ini adalah keputusan Aqel. Keberanian Haqem saat ini adalah didorong oleh Aqel. Mengertilah aku. Kupandang Haqem. Lantas menghadiahkan senyuman paling indah buat dirinya setelah sekian lama aku tidak mampu melakukannya.
“Terima kasih, Lia” tutur Haqem teruja dengan senyuman lebar. Wajah Haqem ceria. Aku turut tersenyum. Gembira melihat Haqem kembali ceria.
“Sampai masanya saya tak boleh jaga awak lagi” suara Aqel berulang berbisik di telingaku. Kali ini aku tidak menghala pandanganku ke arah Aqel lagi. Terasa diri ini tidak kuat untuk menatap senyuman Aqel.


Aku melontar pandanganku ke muka pintu. Sedikit mengejutkanku dengan kemunculan Aqel lewat malam ini. Dia melangkah masuk ke bilik ini.
“Lewat awak tidur” tegurnya.
“Belum mengantuk” sahutku. Aqel melabuhkan duduknya di sebelahku di sofa ini. Anak matanya merenungku, sedikit mengganggu konsentrasiku pada majalah di tanganku. Fokus bacaanku terganggu.
“Saya ada perkara penting nak cakap dengan awak” terus terang Aqel sebelum sempat aku bertanya tentang tujuan kedatangannya lewat malam ini. Aku menatap wajah Aqel yang nampak begitu tenang. Ada perkara penting yang mahu Aqel bicarakan denganku. Sedikit mendebarkanku. Kututup majalah di tanganku lantas kuletak di tepi. Kupandang Aqel.
“Cakaplah” arahku. Sedetik aku dan Aqel saling beradu pandangan. Apa sahaja yang bakal keluar dari mulut Aqel akan aku terima dengan hati yang terbuka.
“Saya tak boleh tinggalkan Rania. Dia tak boleh hidup tanpa saya” ujar Aqel. Kenyataan yang keluar dari mulut Aqel ini langsung tidak mengejutkan aku. Hakikat yang sudah aku tahu sejak aku mengenali mereka. Rania tidak mudah melepaskan Aqel, kekasih hatinya.
“Saya tahu” balasku. Aqel menatapku lagi. Mungkin mahu menilai reaksiku.
“Tapi saya ada masalah sekarang” keluh Aqel.
“Awak tak tahu nak cakap perkara ini pada Mak Long. Ini masalah awakkan?” tekaku. Laju Aqel mengangguk.
“Saya risau kalau mama tak boleh terima perkara ini” luah Aqel bimbang. Pertama kali nampak Aqel tewas. Sukar hendak melihat Aqel hilang ketenangan diri tatkala berdepan dengan masalah. 
“Awak nak saya pujuk Mak Long?” tanyaku lagi. Aqel menatapku.
“Saya memang perlukan pertolongan awak. Mama sangat sayangkan awak. Saya yakin mama akan dengar cakap awak” tutur Aqel menggantung harapan kepadaku buat pertama kalinya.
“Saya boleh tolong awak” ujarku memberi jaminan. Aqel tersenyum.
“Terima kasih” tutur Aqel. Dia tersenyum lagi. Nampak gembira dirinya dengan jaminan yang kuberikan. Tiba – tiba terlintas nama Flora di benakku.
“Awak serius nak bersama Rania?” soalku sedikit sangsi. Laju sahaja Aqel mengangguk.
“Kalau saya berjaya tolong awak, adakah awak takkan mensia – siakan Rania?” soalku terus menguji Aqel. Aku mahu kesetiaan Rania kepada Aqel selama ini akan terbalas.
“Ya... saya akan setia kepadanya seorang” ujar Aqel begitu yakin.
“Bagaimana dengan Flora? Andai kata Flora muncul suatu hari nanti, mampukah awak terus setia kepada Rania?” Dua persoalan kuajukan kepada Aqel. Aqel terdiam. Kutatap wajah Aqel. Masih menanti jawapan daripadanya. Namun diam Aqel berpanjangan. Dia tidak mampu menjawab pertanyaanku.
“Ehhmmmm....” Halwa pendengaranku menangkap suara lelaki yang sedang berdehem – dehem. Berat rasanya hendak mengangkat kelopak mata ini. Kugagahi jua. Terpandang Aqel sedang duduk di birai katil menghala pandangannya ke arahku. Mataku terbuka luas. Bingkas aku bangun. Tidak mahu Aqel memerhatiku dalam keadaan terlentang di atas katil. Tidak manis.
“Bila awak sampai?” soalku.
“Adalah sejam yang lalu” sahut Aqel bersahaja. Jawapan yang kurang menyenangkanku tatkala mengingati sudah puas Aqel memerhatikan aku tidur. Terasa panas pipiku.
“Lena awak tidur” komen Aqel tersenyum sendiri menambah rasa maluku berganda – ganda. Bukankah aku sedang berbual – bual dengan Aqel tadi?
“Awak ada berbual – bual dengan saya tadi?” soalku binggung. Dahi Aqel berkerut – kerut. Pasti musykil diajukan pertanyaan sedemikian.
“Awak mimpi tu” ujar Aqel menyedarkanku. Kulontar pandangan ke sofa itu. Kosong. Aku baru sahaja bangkit dari perbaringan di katil manakala Aqel masih duduk di birai katil menghala pandangan ke arahku. Betul kata Aqel aku bermimpi tadi. Kupandang jam di dinding. Sudah melepasi jam 12 tengah malam. Terlalu lewat Aqel berkunjung ke sini.
“Awak nak ambil barang – barang awak?” laju sahaja pertanyaan ini keluar dari mulutku. Aqel sengaja datang lewat kerana tidak mahu bertembung dengan mak.
“Tak sabar – sabar awak nak halau saya keluar dari rumah ni” sahut Aqel tersenyum sendiri. Aku terpana mendengar bicara Aqel sedemikian. Langsung tidak terniat aku hendak menghalau Aqel.
“Tiba – tiba saja rindu dengan awak” tutur Aqel bersahaja lalu bangkit dari duduknya  melangkah ke sofa. Aku terdiam. Aqel terus sahaja berbaring di situ. Mula memejamkan matanya. Jelas Aqel berhasrat mahu tidur di situ. Seketika aku memerhatikan gelagat Aqel. Dia memakukan dirinya di atas sofa panjang itu. Kupandang ruang di sebelahku yang kosong. Aku tidak akan mengajak mahupun mengarahkan Aqel tidur di sebelahku di atas katil ini. Biarpun di sini tempat tidurnya.
Suasana sungguh hening. Aku masih duduk terpaku di atas katil ini. Bagaikan mataku sudah merajuk mahu lena kembali. Kulontar pandangan ke arah Aqel yang tidak bergerak – gerak lagi terbaring di atas sofa itu. Mudahnya dia lena.
“Awak tak nak tidur ke?” Tubuhku terangkat. Betapa aku terkejut mendengar suara Aqel itu. Mata Aqel masih terpejam. Rupa – rupanya dia belum tidur lagi.
 “Saya masih memikirkan tentang mimpi saya tadi” ujarku cuba mengajaknya berbual.
“Awak mimpi apa tadi?” soal Aqel berminat hendak mengetahuinya. Aqel melontar pandangannya ke arahku. Aku berfikir seketika. Patutkah aku kongsi mimpiku tadi bersama Aqel? Bimbang juga jika Aqel salah faham terhadapku. Aqel memejamkan matanya kembali. Aku yakin Aqel belum tidur lagi.
“Andai kata awak terpaksa membuat pilihan antara Rania dengan Flora, siapa yang akan awak pilih?” soalku berhati – hati. Senyap. Aqel belum bersuara untuk menjawab pertanyaanku ini. Aku dengan sabar menunggunya. Aku memang ingin tahu jawapan Aqel. Diam Aqel berlanjutan. Persis dalam mimpiku sekali lagi pertanyaanku tidak dijawabnya.   


Tuesday, 21 October 2014

Siapa Di Hatimu ..... 2





Bab 2

Kuletak jus oren di tangan di atas tembok batu ini. Terkocoh – kocoh aku mengeluarkan iPhone dari saku beg sandangku. Jeritannya masih kedengaran. Bukan panggilan daripada Azan. Lega. Kutatap sebaris nombor baru yang tidak kukenali sambil membuat pertimbangan. Perlukah aku jawab panggilan nombor yang tidak kukenali ini? Beberapa orang yang berada dekat denganku memandangku. Mungkin terganggu dengan bunyi deringan iPhone ini.
“Bisinglah....”bisik hatiku. Kutekan punat panggilan diterima.
“Hello... Assalamualaikum....” sapaku perlahan sambil memikirkan suara siapakah yang bakal aku dengar sekejap lagi.
“Auni.... rindu awaklah....!!!” Opocot...!! Aku tersentak. Kutelan liur pahit sebaik sahaja suara lelaki itu singgah di halwa pendengaranku. Suara yang tidak ingin kudengar.
“Jangan matikan telefon.....” Laju sahaja Azan mengeluarkan arahannya. Cepat dia menegah sebelum aku bertindak. Pengalaman mengingatkannya.
“Apa hal awak call saya ni?” soalku kurang senang.
“Kan saya dah cakap tadi saya rindukan awak ... he he he...” Azan tergelak sendiri. Aku mendengus bosan. Azan masih tidak mengalah.
“Malas saya nak layan awak” ujarku tanpa berselindung. Berbicara dengan insan kebal persis dirinya tidak perlu berkias – kias. Mahu segera memusnahkan keterujaan Azan berbicara denganku. Kejam? Memang pun terasa kejam. Namun ini sahaja caranya hendak mengusir Azan daripada terus mengekori hidupku. Rimas sungguh melayan karenah Azan yang keanak – anakan ini.
“Sampai hati awak cakap macam tu” ujar Azan dalam nada rajuk. Aku diam. Tercelit sedikit belas kasihan padanya.
“Ni guna nombor telefon siapa pula ni?” soalku cuba memanjangkan bicara. Nombor ini bukan nombor yang biasa Azan gunakan.
“Saya pinjam nombor ibu saya. Awak takkan angkat kalau saya guna nombor saya” sahut Azan memberi penjelasan. Dia sudah sedia maklum kenyataan tersebut.
“Tahupun awak” perliku.
“Saya cakap pada ibu nak call girlfriend. Buka main sukanya ibu” cerita Azan ceria.
“Awak jangan nak merepeklah” marahku. Tidak boleh diberi muka langsung pemuda ini. Sesuka hati sahaja dia bertindak.
“Betul Auni.... ibu teruja nak kenal awak” jelas Azan bersemangat.
“Awak jangan cakap yang bukan – bukan” rungutku radang.  
“Saya banyak bercerita tentang awak pada ibu saya” Azan bersuara lagi. Aku mendengus kasar. Memang tidak mengizinkan Azan bertindak sedemikian.
“Malas saya nak layan awak. Otak awak tu ada yang tak betul” radangku tidak dapat menahan sabar lagi. Terus kutekan punat merah. Suara Azan serta merta lenyap. Segera kupilih mod senyap agar deringan panggilan Azan tidak didengari lagi. Biarlah berjuta kali Azan menelefon, kali ini tiada sesiapa yang akan terganggu. Kucapai jus oren di atas tembok batu lalu menyambung langkahku semula. Sudah tidak mahu memikirkan tentang Azan lagi.
Subhanallah...!!! Aku terloncat ke tepi. Terkejut. Tanganku mengurut – urut dadaku yang berdegup kencang. Berdebah betul Si Pemandu kereta BMW itu.
“Berlagak sangat...! Mentang – mentanglah pandu kereta mewah. Bawa kereta macam samseng” rungutku sendirian. Terkilan dengan tindakan pemuda yang tidak berhemah. Bahkan sakit hati sebagai mangsa yang teraniaya.
“Alamak....!” Aku terjerit kecil menatap t – shirt yang kupakai basah bertompok – tompak di bahagian hadapan akibat disimbah jus oren di tanganku ini. Sungguh memalukan. Aku mendengus geram. Berbaki setengah gelas sahaja lagi. Tanganku habis dibasahi jus oren ini. Rasa meleket. Lantas kubaling baki jus oren yang tertinggal ke dalam tong sampah. Kempunan hendak minum jus oren. 
“Kalaulah saya jumpa orang itu tahulah saya nak ajarnya nanti. Berlagak betul...!” marahku tidak puas hati. Aku menutup bahagian t – shirt yang basah dengan beg galasku. Sudah tidak selesa dalam keadaan begini. Apatah lagi dengan emosi yang tidak stabil sekarang. Mahu diamuk sahaja pemilik kereta BMW yang tidak tahu berbudi bahasa itu.
Kutolak kasar daun pintu kaca Butik Selendang Kasih. Kulepaskan beg sandangku ke atas meja kaunter dengan wajah yang masam mencuka. Aku terus sahaja berlalu ke bilik air. Lama juga aku menghabiskan masa di dalam bilik air ini. Habis basah bahagian hadapan t – shirt yang kupakai ini. Rimas.
“Apa hal t – shirt kamu basah?” tegur Kak Ros hairan. Aku mencebik. Baran di hati belum lenyap sepenuhnya. Mahu disepak – sepak macam bola sahaja pemandu BMW itu. 
“Ada orang yang tak guna mata pandu kereta” rungutku dengan wajah yang serius. Terkebil – kebil Kak Ros menatapku. Kurang faham.
“Ada samseng jalanan yang bawa kereta macam hantu. Hampir – hampir nak langgar saya” marahku dengan dengusan kecil.
“Apa...!” Besar anak mata Kak Ros menatapku. Terkejut.
“Kamu tak apa – apa? Pergilah tukar t – shirt kamu tu” arah Kak Ros. Berkerut dahiku memikirkan bicara Kak Ros. Hendak tukar baju? Mana hendak dapat baju? Aku mencapai dompet di dalam beg galasku. Menyelak – menyelak dompetku. Tiada pilihan terpaksa mengorbankan wangku demi menggantikan t – shirt basah yang masih tersarung di tubuhku ini. Pemandu BMW itu sungguh menyusahkan aku. Aku mendengus sendirian. Perasaan geram masih tidak hilang.
“Kak Ros saya keluar.......” Bicaraku tergantung. Serentak aku dan Kak Ros melontar pandangan ke muka pintu kaca yang sudah terkuak. Seorang pemuda melangkah masuk. Aku terkedu menatapnya. Begitu juga dengan Kak Ros. Penampilan pemuda itu menggusarkanku. Leher berantai, telinganya bersubang dan bergelang tangan. Selayaknya seorang samseng. Kupandang Kak Ros. Kak Ros pandang aku. Hati gentar. Terlintas di fikiranku mungkinkah dia lintah darah yang mengutip duit perlindungan.
“Hemmm....” Pemuda ini berdehem memaksa aku mengarah pandangan kepadanya. Aku dan pemuda ini bertentang mata. Adakah dia akan menyerangku lantaran kemarahanku tadi. Mulutku telah melempiaskan bicara – bicara kurang senang tadi. Aku mengetap bibir. Hatiku menitip doa mudah – mudahan aku dilindungi Allah.
Pemuda ini melangkah setapak mendekatiku. Aku melangkah setapak ke belakang. Cuba menjarakkan diri darinya. Tidak senang berdekatan dengannya. Dia melangkah setapak lagi.  
Stop....!” Aku baru sahaja mahu berundur lagi tetapi larangannya mematikan hajatku. Aku terkebil – kebil menatapnya. Begitu juga Kak Ros terkedu panjang. Tanganku dicapai lalu beg kertas ditangannya dipindahkan ke tanganku. Tergantung di tanganku. Kemudian berpaling dan terus melangkah ke pintu. Sekelip mata dia hilang dari pandangan mataku. Aku menghela nafas panjang. Kulihat Kak Ros sedang mengurut – urut dadanya. Mungkin sama terkejut dengan kehadiran pemuda misteri itu. Pemuda yang sering membayangi diriku.
“Apa yang dia hadiahkan pada kamu, Lia?” suara Kak Ros memecah kesepian sekali gus menyedarkan aku ada sesuatu yang tergantung di tanganku. Beg kertas pemberian pemuda misteri itu. Aku meletakkan di atas meja. Kak Ros datang merapati mahu mengetahui kandungan beg kertas ini.
“Dia belikan kamu baju” Nyaring suara yang dilontar dari kerongkong Kak Ros. Aku terpana. Ada kemusykilan menyerbu diriku. Aku menilik – nilik jersi merah di tanganku ini. Lembut fabriknya.
“Sah dia yang kotorkan baju kamu. Nak tunjuk baiklah tu” suara Kak Ros berbaur sinis. Aku masih membisu. Fikiranku ligat berputar memikirkan tindakan pemuda itu. Jangan – jangan dia mendengar kemarahanku dan memerhatikan gelagatku tadi. Oh..... sungguh membinggungkan! Perkara yang pasti pemuda itulah pemandu yang tidak berhemah itu.
“Dah ada orang belikan baju baru, pergilah tukar baju kamu tu” arah Kak Ros.
“Tak mahulah Kak Ros” putusku sambil memasukkan kembali jersi merah ini ke dalam beg kertas lantas meletakkannya di atas meja.
“Hey.... jual mahal pula” perli Kak Ros sambil mencebik bibir ke arahku. Aku hanya menayangkan wajah bersahajaku. Kalau aku memakai jersi merah ini bermakna terlalu mudah aku memaafkannya. Sikap negatif yang belum mampu aku kikis suka berdendam.
“Kamu masih nak pakai baju basah tu?” soal Kak Ros dengan dahi yang berkerut. Runsing dengan tindakanku. Aku mengetap bibir.
“Saya nak keluar sekejap, Kak Ros” beritahuku. Kak Ros tercengang – cengang menyoroti langkahku sehingga ke muka pintu.
Aku memasuki Plaza Limbang. Berkunjung ke Pasar raya Queens. Bergerak ke bahagian pakaian perempuan lalu memilih – milih t –shirt yang berkenan di hati. Kucapai t – shirt ungu yang di dadanya terpampang gambar beruang. Sungguh comel. Muktamad aku akan memiliki t – shirt ini.
“Saya tak tahu pula awak suka beruang. Ganas juga awak ni ye” satu suara berbicara di belakangku. Laju aku berpaling. Bertentang mata dengan pemuda ini. Aku terkedu. Aneh dan pelik. Menakjubkan. Persis aku tidak percaya dia boleh bertutur dalam bahasa Melayu dengan begitu fasih. Sungguh mengkagumkan. Rasa aneh yang menebal dengan kemunculannya yang tidak diundang ini. Laju sahaja tanganku mencapai t – shirt ungu ini lantas bergerak ke kaunter pembayaran. Mahu segera berlalu dari sini. Rasa tidak percaya dia masih mengekoriku.
“RM 39.90 cik...” tutur gadis di kaunter ini. Aku menguak dompetku.
“Biar saya yang bayar” suaranya mencelah.
“Tak usah” tegahku tidak senang hati. Namun not RM 50 itu sudah dihulurkan kepada gadis itu, lalu memproses bayaran untuk t – shirt yang sudah disimpan di dalam beg kertas.
“Terima kasih...” Baki wang dihulurkan kepada pemuda misteri yang dermawan ini, manakala beg kertas diserahkan kepadaku.
“Terima kasih....” ujarku kepada gadis di kaunter pembayaran ini. Aku melangkah meninggalkan kaunter.
“Nah.... saya bayar duit awak” tuturku sambil berpaling ke arahnya. Langkahnya mati. Dia tersentak.
“Saya tak suka berhutang. Apatah lagi berhutang dengan orang asing” tegasku serius. Kuletakkan wang kertas RM50 di atas telapak tangannya. Dia terkebil – kebil menatapku.
“Esok datang ke Butik Selendang Kasih. Saya nak pulangkan jersi yang awak hantar tadi” jelasku. Sungguh aku tidak mahu terikat dengan dirinya. Tiada yang menyenangkan. Keluargaku juga pasti tidak mahu aku bersahabat dengannya. Dia yang terlalu mencurigakan.
“Awak.....”
“Esok awak pulangkan baki wang saya itu di Butik Selendang Kasih” arahku memintas bicaranya. Aku memusing tubuhku, lantas melangkah laju meninggalkannya. Dadaku berdebar – debar. Kebimbangan menyelubungiku. Risau jika pemuda itu masih mahu mengekoriku. Cuba kuamati bunyi derap langkah. Aku menarik nafas lega. Berdiri di sebalik tiang batu besar ini, aku melontar pandangan ke arahnya. Pemuda itu sedanng menjawab panggilan iPhonenya. Wajahnya cemas. Sekelip mata sahaja dia sudah berlari pantas ke arah pintu utama. Langsung tidak mengendahkan pandangan orang awam yang berlegaran di pusat membeli – belah ini. Sungguh tinggi keyakinan dirinya. Perlahan – lahan aku melepaskan keluhanku. Pasti sekejap lagi dia akan beraksi persis seorang pahlawan handalan yang beradu tenaga di medan pertarungan.
j0230876

“Polis….polis… lari… lari…!!!” Beberapa kelibat anak muda lari bertempiaran membawa diri. Pasti ada perkara yang menyalahi undang – undang yang telah mereka lakukan. Sejak akhir – akhir ini banyak sangat pergaduhan samseng – samseng yang berlaku di sekitar kawasan ini. Dendam yang tidak pernah habis. Masing – masing mahu melindungi dan menuntut bela untuk anak buah.
Pupp...! Daun pintu kaca Butik Selendang Kasih ditolak kasar. Seorang lelaki meluru masuk. Dia berlari lalu menyelinap masuk di bawah meja kaunter. Aku tersentak dan terkebil – kebil.
“Awak ni siapa?” soalku dengan rasa was – was. Hatiku gusar.
“Huussshhh....” Isyarat diamku yang panjang. Aku mengerti kehadirannya di sini minta dirahsiakan. Kulontar pandangan keluar. Sekumpulan lelaki berpakaian seragam biru sedang bertebaran di kawasan ini membuat pemeriksaan. Mereka sudah semestinya telah menerima laporan tentang pergaduhan yang dicetuskan oleh kaki – kaki samseng. Samseng? Aku terkedu. Lambat – lambat aku menundukkan muka. Cuba memberanikan diri mengarah mataku kepada lelaki yang sedang bersembunyi di bawah kaunter ini. Mata bertentang mata. Aku berundur selangkah ke belakang. Jarinya diletak antara celah – celah bibirnya. Meminta agar aku berdiam diri. Kewujudannya di sini harus dirahsiakan. Maka aku hanya mematungkan diri dengan pandangan sentiasa terarah menembusi dinding – dinding kaca ini. Cuba mengawasi keadaan di luar. Berlagak biasa. Persis diupah jadi peninjau.
“Awak keluar dari sini sekarang” tegasku dalam nada berbisik. Sedikit gusar kerana bersubahat dengan pesalah. Dia menatapku. Langsung tidak bergerak.
“Cepat keluar” arahku lebih tegas. Dia masih menatapku. Aku mengetap bibir menahan geram. Kata samseng tetapi tahu pula takut. Getus suara hatiku.
“Awak tak bohong?” Kali ini dia bersuara. Aku mengangguk. Memang aku bercakap benar.
“Saya percaya awak” tuturnya mula bangkit dari tempat persembunyian ini. Tiba – tiba sahaja aku terpandang dua orang lelaki bertubuh sasa liar memandang sekeliling. Persis sedang mencari – cari seseorang.
“Jangan bergerak!” tegahku. Dia terduduk kembali di bawah kaunter ini.
“Saya rasa dua orang lelaki di luar itu sedang mencari awak” tuturku berbisik. Liar sahaja anak mataku mengekori gerak – geri dua orang lelaki itu. Kira – kira 10 minit berlegar – legar di kawasan ini, akhirnya datang sebuah kereta pacuan empat roda membawa dua orang lelaki itu berlalu.
“Keadaan selamat sekarang. Awak boleh keluar.... dan pergi dari sini” pintaku tidak mahu terbabit sama dalam hal ini. Risau mengundang musibah. Melindungi orang yang bersalah pasti turut mendapat tempias masalahnya. Bingkas dia bangun dari persembunyiannya.
“Terima kasih” tuturnya lantas mengeluarkan sesuatu dari poket seluar jeans yang dipakainya.
“Baki wang awak semalam” tuturnya seraya meletakkan beberapa keping wang kertas di atas kaunter.
“Bibir awak berdarah” tegurku baru menyedarinya. Laju tangannya mengesat. Tanpa sepatah kata dia berlalu ke pintu dan melangkah keluar meninggalkan aku termanggu – manggu. Langsung kata – kataku tidak diendahkannya. Sekejap sahaja kelibatnya lenyap dari pandangan mata.
“Aunie....” Aku tersentak. Kak Ros sudah melewati pintu melangkah mendekatiku.
“Juahnya kamu termenung” tegurnya. Aku tersenyum sekilas. Lega hatiku tatkala pemuda itu sudah tidak berada di sini ketika kemunculan Kak Ros.
“Apa yang kamu fikirkan? Akak tengok pandangan kamu menembusi dinding kaca ni” komen Kak Ros. Aku menggeleng. Lantas mencapai duit yang ditinggalkan oleh pemuda itu. Kusimpan di dalam saku beg galasku. Sedekit gusar hati mengenang kecederaan pemuda itu. Tidak payah fikirkan sangat. Bibirnya hanya pecah sedikit sahaja. Lagipun bukan aku penyebab kecederaannya. Tidak perlu bimbang dan rasa bersalah. Muktamad.  
Aku memulakan tugas harianku di Butik Selendang Kasih. Menyambut kedatangan para pelenggan dan melayan mereka sebaik – baiknya. Sesekali kulontar pandanganku keluar melalui dinding kaca ini. Mencari kelibat pemuda itu. Dia langsung tidak kelihatan mahupun rakan – rakannya. Pihak lawannya juga sudah tidak berkeliaran di luar sana. Aku yakin dia telah balik ke rumahnya. Mungkin juga sedang berada di mana – mana klinik perubatan merawat kecederaannya.
 “Apa yang sedang kamu fikirkan?” soal Kak Ros menyentakkanku. Aku menggeleng dan tersengih. Sekali lagi soalan ini diajukannya kepadaku.
“Kamu tunggu seseorang?” soal Kak Ros curiga.
“Taklah” sahutku.
“Mencurigakan tingkahlaku kamu. Asyik pandang keluar saja” tutur Kak Ros lagi.
“Jangan – jangan kamu sedang menunggu lelaki itu” serkap jarang Kak Ros sambil menatapku. Membutang pandangan Kak Ros menatapku.
“Lelaki? Lelaki mana pula ni?” soalku berlagak tenang. Tidak mudah mengakuinya. Sebetulnya aku tidak menunggu kedatangan lelaki itu. Hanya aku sedang memikirkannya.
“Lelaki yang belikan kamu t – shirt” tambah Kak Ros.
“Takde untungnya saya memikirkan orang yang pelik Kak Ros. Langsung tak kenal, jauh sekali pernah berbual – bual, tiba – tiba saja begitu baik hati belikan saya t – shirt. Betul – betul membinggungkan” keluhku kurang senang dan sedikit rasa terbeban.
“Akak yakin dan sangat – sangat yakin lelaki itu sukakan kamu, Aunie. Mungkin juga dia dah jatuh cinta pandang pertama pada kamu” tutur Kak Ros menyakatku.
“Mengarutlah Kak Ros ni” keluhku menarik muka masam. Kak Ros sudah tergelak – gelak. Suka sangat mengusikku.
“Akak nak ingatkan kamu lagi agar berhati – hati. Tak tahu apa motifnya baik sangat dengan kamu. Risau kalau dia berniat jahat dengan kamu. Sekarang ini ramai sangat orang jahat. Setiap hari dah tak rasa selamat lagi” keluh Kak Ros serius. Kecut hatiku mendengarkannya. Bicara Kak Ros memang berasas.
“Boleh jadi juga orang yang dengki dengan keluarga kamu. Cuba memusnahkan usaha mama kamu dengan mempergunakan kamu. Mula – mula buat kamu jatuh cinta. Kemudian gunakan kamu untuk capai niat jahat mereka” ujar Kak Ros memanjangkan curiganya.
“Tak elok prasangka buruk, Kak Ros” tegurku. Kak Ros tersenyum.
“Sekadar berhati – hati. Tak salahkan. Lagipun pemuda misteri itu handsome juga” sahut Kak Ros tersenyum meleret lalu meninggalkan aku kembali bersendirian di ruang kaunter ini. Kak Ros menyambung tugasnya melayan para pelanggan yang berkunjung.  Bersendirian di sini mengajak aku berfikir semula tentang bicara Kak Ros. Apabila aku memikirkan logiknya memang menakutkan. Kemunculan lelaki misteri itu sukar mahu difahami. Rasa sangsi yang mendalam. Seseorang yang begitu asing dan berkelakuan aneh tiba – tiba sahaja bermurah hati memberi hadiah.
‘Ya Allah.... aku mohon perlindunganMu. Jauhi segala kejahatan daripada menimpa ke atasku dan keluargaku, ke atas sekalian orang yang kusayangi yang berada di sekelilingku. Engkau sucikanlah hati – hati hambaMu yang berniat jahat di muka bumi ini. Amin’.
Aku serahkan segala – galanya kepada Allah Yang Maha Berkuasa dan Yang Maha Mengetahui. Selagi manusia taat kepada Allah pasti tiada kejahatan akan berlaku di muka bumi ini. Tiada sesiapa yang menzalami mahupun dizalami sesama sendiri. Lantas kupadamkan syakwasangka kepada lelaki itu. Tidak mahu prasangka yang bukan – bukan.