BAB 35
Aku menatap tajam wajah Aqel. Tidak menyangka Aqel akan
bertindak sejauh ini. Akhirnya Aqel membabitkan aku juga. Ternyata Aqel
langsung tidak mahu melepaskan aku begitu saja. Aku harus bertanggungjawab
dengan tindakanku. Justeru, aku tidak akan menyalahkan Aqel biarpun perasaan
terkilan menyelubungiku.
“Kenapa awak buat saya begini?” soalku agak kecewa dengan
tindakan Aqel. Aqel tetap berwajah tenang.
“Hanya ini saja caranya yang saya terfikir dalam masa
suntuk ni” sahut Aqel.
“Awak tahu apa yang bakal saya hadapi selepas ini? Rania
pasti tidak akan lepaskan saya” ujarku serius. Aqel terdiam. Senyap.
“Awak juga boleh jadikan perkara ini untuk menghalang
Haqem mendekati awak. Bukankah awak selalu menggunakan saya untuk mengelakkan
diri daripada Haqem” tutur Aqel. Kutatap Aqel. Kreatif sungguh fikirannya.
Tidakkan dia bertindak serius begini hanya semata – mata perkara ini. Aku
melepaskan keluhan. Binggung dan kematian akal aku dibuatnya.
“Tinggalkan saya di sini. Saya ingin bersendirian
sekarang” pintaku. Majlis itu baru saja berakhir. Aku meminta Aqel menemuiku di
sini. Aqel akur dengan permintaanku. Dia terus saja melangkah meninggalkan aku.
“Aqel...!” panggilku. Langkah Aqel yang baru saja hendak
bermula terus saja terhenti. Dia berpalinng ke arahku.
“Tolong beritahu Mak Long saya tak balik malam ini. Nanti
saya tidur rumah Nana” tuturku. Aqel menatapku seketika. Kemudian dia
mengangguk dan menyambung langkah semula. Sudah setengah jam aku duduk
termenung di dalam kereta Waja mak ini. Berfikir panjang. Terasa bodoh pula
tindakanku dan Aqel. Kami telah membohongi semua warga KDUT. Perlukah aku
hentikan semua ini? Telefon bimbitku berdering. Nama Marnie terpamer di dada
skrin telefon. Kubiarkan saja. Senyap. Telefon bimbitku berdering lagi. Kali
ini bukan nama Marnie tapi nama Haqem. Aku menulikan telingaku. Sebarang
panggilan tidak akan aku jawab. Aku mahu bersendirian tika ini. Kedengaran
bunyi mesej yang masuk. Aku tidak berminat untuk membacanya. Mungkin mesej
daripada Haqem. Kuhidupkan enjin kereta lalu memandu kereta Waja mak kembali ke
rumah kami. Aku menghabiskan masa sejam berada di rumah ini, menukar pakaian
dan menenangkan diri seketika. Kemudian menghantar mesej pada Nana memaklumkan
hajatku mahu menumpang tidur di rumahnya. Seperti biasa Nana mengalu – alukan
kedatanganku ke rumah mereka. Kemudian teringat pada Mak Long. Mungkin Mak Long
risaukan aku sekarang. Lantas kuhantar mesej kepada Mak Long.
~ Terima kasih banyak – banyak sebab buat Lia tampak luar
biasa malam ini. Memang ramai yang terpegun menatap Lia termasuklah anak teruna
Mak Long. Malam ini Lia tidur rumah Nana. Rindu pula nak jumpa Nana. Esok kita
jumpa Mak Long ~ Panjang mesej yang kuhantar pada Mak Long.
Harap – harap kedatangan mesejku ini akan menghilangkan kerisauan mahupun tidak menimbulkan
apa – apa syak Mak Long terhadapku. Tiba – tiba saja aku rasa sebak. Rasa
bersalah pada Mak Long. Mak Long bersusah payah menjadikan aku persis seorang
puteri agar aku bergembira sepanjang malam ini dan rasa bangga setelah berjaya
memukau pandangan warga KDUT. Namun tidak sangka akan jadi begini. Aku jadi
sugul. Fikiranku buntu. Bagaimana aku hendak berhadapan dengan semua warga KDUT
esok? Apa tindakan Rania terhadapku? Kedengaran bunyi mesej di telefon
bimbitku. Mungkin mesej balasan daripada Mak Long. Tepat sangkaanku. Lantas
kupamerkan mesej daripada Mak Long.
~ Jaga diri baik – baik. Jangan lupa esok balik sini ~ Sedikit lega hatiku menerima mesej daripada Mak Long
yang penuh pengertian itu. Adakah Aqel telah menceritakan segalanya pada Mak
Long? Tidak mungkin! Aqel tidak akan berani menimbulkan kemarahan Mak Long.
Kutatap skrin telefonku. Mesej Haqem belum kubaca lagi. Aku terus saja
mempamerkannya.
~ Lia, kita perlu berbincang. Saya nak jumpa awak bila –
bila masa saja ~ Aku mendengus
kasar. Apa lagi yang Haqem inginkan daripadaku? Antara aku dengan dirinya
segalanya telah selesai. Aku terus teringat pada bicara Aqel. Barangkali bicara
Aqel ada benarnya. Inilah cara yang boleh aku gunakan untuk menghalang Haqem
daripada mendekatiku lagi. Jadi aku perlu menggunakan kesempatan yang ada
sebaik mungkin. Namun hatiku tidak tenang dengan pembohongan besar ini. Apatah
lagi mangsanya adalah warga KDUT.
“Bagaimana majlis tadi?” soal Nana lalu berbaring di
sebelahku.
“Okey...” sahutku pendek.
“Okey je...” tutur Nana tidak puas hati. Senyap.
“Nana.......” panggilku.
“Ya...” Cepat saja Nana menyahutnya.
“Kau percaya tak kalau aku cakap beberapa jam yang lalu
aku telah bertunang” tuturku. Sudah tidak tertahan rasanya untuk terus berahsia
dengan Nana.
“What...!!” tinggi suara Nana menyahut bicaraku malah dia
sudah tegak duduk di katil. Laju jarinya menekan suis lampu. Wajahku direnung.
“Kau biar betul Lia. Apa yang telah berlaku?” soal Nana
tampak cemas.
“Aku tak sangka malam ini Aqel menjadikan aku tunang dia di
depan warga KDUT” tuturku sudah tidak sanggup menyembunyikan perkara ini
daripada pengetahuan Nana. Terasa diriku terbeban sangat.
“ Semua ini ada kaitan dengan perancangan kitakan?” teka
Nana. Cepat Nana berfikir. Sekelip mata saja dia boleh mengaitkan semua itu.
Aku diam. Tidak sanggup mengakuinya di depan Nana. Sesungguhnya Nana sudah
dapat menekanya dengan tepat. Kedengaran keluhan Nana.
“Minta maaflah Lia, tak sangka akan jadi begini. Aku tak
patut beri cadangan yang bakal menyusahkan kau” keluh Nana mula menyalahkan
diri. Aku tersenyum.
“Jangan risaulah. Ini hanya pertunangan olok – olok saja”
jelasku cuba mengusir rasa bersalah Nana. Kedengaran keluhan Nana. Tidak mudah
untuk menghilangkan kerisauan Nana.
“Masalah besar juga sebab melibatkan warga KDUT” tingkah
Nana. Betul kata Nana. Senyap. Perkara ini bukan hal kecil lagi lantaran
membabitkan banyak orang malah majlis meraikannya juga telah berlangsung dengan
meriahnya. Terbayang keriangan wajah Marnie dan Reka ketika mengucapkan tahniah
kepadaku dan Aqel. Banyak sangat ucapan tahniah yang kami terima daripada warga
KDUT. Malah Haqem juga turut melafazkan tahniah biarpun wajahnya tampak sugul.
Masih terbayang betapa bengisnya pandangan Rania menatapku. Bagaikan dia
menunggu masa yang sesuai untuk menyerangku melempiaskan kemarahan yang membuak
– buak dalam dirinya. Mesti dia rasa tertipu dan diperbodohkan olehku. Maafkan
aku Rania, sesungguhnya perancanganku sudah jauh tersasar daripada yang
sepatutnya. Ketahuilah aku tidak pernah merampas Aqel darimu.
“Kita akan sama – sama selesaikan perkara ini” tutur Nana
memintas imbasan memoriku terhadap majlis tadi.
“Terima kasih Nana” tuturku sebak. Aku tahu Nana tidak
akan membiarkan aku sendiri menghadapi sebarang masalah yang mendatangiku.
“Tidurlah sekarang. Esok awak perlukan lebih banyak
tenaga” tutur Nana mengingatkan aku. Aku tergelak. Memang aku perlukan tenaga
yang banyak untuk esok. Yang pastinya Rania sudah menungguku. Tentunya dia
tidak sabar – sabar untuk bersemuka denganku. Kupejamkan mataku. Cuba melenakan
diri. Namun sukar untukku melelapkan mata. Aku gagal mengosongkan fikiranku.
Aku masih memikirkan majlis itu. Nana di sebelahku juga tidak dapat melelapkan
mata. Dia nampak sedang berfikir. Kasihan Nana terpaksa memerah otaknya. Tidak
sedar pukul berapa aku terlena.
AKU melangkah ke bilik
operasiku. Ada sesuatu di atas mejaku. Coklat Codbury dan sekeping memo merah
jambu. Tulisan tangan Aqel. Aku tersenyum melihat muka muram yang dilukis dalam
memo ini. Ini mungkin simbol yang menggambarkan perasaan sedih dan kesal Aqel
atas tindakannya semalam.
~ Sorry... ~
Aku memulakan tugas rutinku. Segalanya berjalan seperti
biasa bagaikan tiada apa yang berlaku semalam. Lega rasanya. Tiada sesiapa
mengunjungiku ketika aku berada di bilik ini. Kelibat Reka dan Marnie juga
tidak kelihatan. Namun aku sentiasa berhati – hati memandangkan Rania bila –
bila saja akan muncul. Aku yakin Rania tidak akan menunggu masa yang lama untuk
menemuiku. Pasti hari ini dia akan muncul di depanku. Waktu rehat tengah hari
sudah tiba. Aku mencapai beg galasku lalu melangkah meninggalkan bilik ini.
Melalui ruang legar lobi ini aku melihat beberapa orang lelaki sedang sibuk
melakukan kerja pembersihan. Segala kelengkapan dan peralatan yang disewa untuk
majlis malam tadi sudah diangkat oleh pemiliknya. Yang tinggal sekarang adalah
kerja – kerja susun atur perhiasan milik KDUT kembali pada kedudukan asalnya.
Aku menyeberangi jalan untuk ke sebuah restoran yang
bertentangan dengan bangunan syarikat KDUT ini. Nasi ayam bersama milo ais yang
kupesan sebagai hidangan tengah hari ini. Lantas aku mengambil tempat duduk di
tepi sekali agak tersorok daripada pengunjung yang lain. Lebih selesa makan
bersendirian jauh daripada kebisingan. Usai menikmati hidangan tengah hari aku
kembali ke tempat kerjaku. Kerja – kerja di ruang lobi ini sudah selesai
semuanya. Sekarang ruang legar lobi KDUT sudah kembali pada wajah asalnya.
Cepat dan cekap mereka melaksanakan kerja mereka. Aku melangkah ke bilik operasiku. Ada sesuatu
lagi di atas mejaku. Lantas kubuka beg plastik hitam ini. Aiskrim Cornetto
perisa vanila bersama memo yang ditulis pada kertas merah jambu. Masih tulis
tangan Aqel.
~ Jangan lupa
balik ke rumah hari ini ~
Memang aku akan balik ke banglo Mak Long hari ini. Aku
sudah berjanji dengan Mak Long malam tadi. Kutatap aiskrim Cornetto vanila ini.
Ini perisa kegemaranku. Laju tanganku mengeluarkannya dari beg plastik ini lalu
menggoyakkan kertas pembalutnya. Aku mula menikmatinya sepenuh perasaan. Emm...
sedapnya. Pasti belum lama Aqel datang sini kerana aiskrim ini belum cair lagi.
Usai menikmati aiskrim vanila ini, aku bingkas bangun. Kutukar kasutku dengan
selipar. Lalu melangkah ke bilik air. Mahu mengambil air wuduk. Sekejap lagi
mahu solat Zuhur. Bertembung dengan rakan – rakan perempuan di bilik air ini
sambil saling bertukar senyuman.
“Tahniah Cik Lia...” Aku mengangguk memberi tindak balas
terhadap ucapan tahniah mereka. Biarpun bukan perkara bahagia buatku tapi
sekurang – kurangnya aku tidak dikatakan sombong oleh mereka. Sejak majlis
malam tadi juga aku mulai dikenali oleh warga KDUT.
“Bila majlisnya Cik Lia?” soal salah seorang daripada
mereka. Aku jadi serba salah ditanya sedemikian.
“Kenalah tanya sendiri pada Encik Aqel” sahutku mengelak
untuk menjawabnya. Mereka tersenyum. Sebetulnya tidak suka aku hendak menjawab
soalan sebegini. Mereka berlalu meninggalkan aku bersendirian di sini. Lega
rasanya tidak perlu menjawab pelbagai persoalan yang tidak munasabah. Aku
menyelesaikan air wudukku. Kemudian bergerak ke muka pintu. Baru selangkah kakiku
menapak langkahku terus terhenti. Rania
tiba – tiba saja muncul. Pintu berdentum ditutupnya. Lantas dikunci. Aku
menatap wajah menyinga Rania. Sedikit menggerunkan aku.
“Senang – senang awak nak mempermainkan saya hah...!!!”
lantang suara Rania. Dia mendekatiku. Tubuhku ditolak – tolak dengan kasar. Aku
tersandar ke bingkai sinki.
“Bertenang Cik Rania” tuturku cuba menenangkan dirinya.
Rania mendengus kasar. Tajam pandangannya menatapku.
“Awak masih boleh kata begini pada saya...!” tengking
Rania kasar. Tubuhku ditolak – tolak lagi. Aku cuba menepis serangan bertubi –
tubi tangan Rania.
“Senang – senang awak bodohkan saya ya!” herdik Rania
garang.
“Saya minta maaf dengan bicara saya tempoh hari” tuturku.
Aku menarik nafas panjang. Terbayang kesungguhan Aqel tika ini. Aku tidak akan
menjelaskan perkara yang sebenarnya kepada Rania. Aqel sudah bersusah payah
melakukannya maka tidak semudahnya aku akan menggagalkan usaha Aqel ini. Nekad.
“Tapi saya takkan menjelaskan apa yang telah berlaku”
tegasku serius.
“Apa...!!! Berani awak cakap begini pada saya! Nah,
rasakan!” Pupp...! Tangan kasar Rania singgah di pipiku dah tubuhku ditolak
kuat sehingga dahiku berpadu dengan dinding konkrit ini. Aku terduduk di
lantai. Pandanganku berpinar – pinar. Terasa panas mengalir di daguku. Tanganku
mengesatnya. Darah dari bibirku. Rania menatapku dengan hati yang puas.
“Ini peringatan awal untuk awak. Tinggalkan Aqel
sekarang” arah Rania mengancamku. Laju saja tangan Rania mencapai bekas yang
berisi air itu lalu mencurah ke arahku. Aku tidak sempat mengelaknya.
Sebahagian depan kemeja yang kupakai basah. Melekat dan menampakkan susuk
tubuhku. Rania berlalu meninggalkan aku tanpa sekelumit pun rasa simpati.
Terbongkok – bongkok aku bangun lalu berpaut pada tepi bingkai sinki. Kutatap
wajahku di cermin. Bibirku pecah dan masih berdarah. Kupusing pili paip lalu
perlahan – lahan mengelapnya dengan air. Pedih. Aku menggerang kesakitan.
Kutatap dahiku yang lebam dan luka akibat terhantuk kuat dengan dinding batu tadi.
Aku menggerang lagi. Pilu hatiku mengenang keadaanku sekarang. Timbul perasaan
geramku pada Rania. Lantaran seorang lelaki dia sanggup menyakiti dan menyeksa
kaum sejenisnya.
“Cik Lia tak apa – apa?” soal satu suara. Aku berpaling.
Laju tanganku memeluk tubuhku. Cuba melindungi susuk tubuhku dari pandangan
mata gadis ini. Gadis ini menatapku dengan wajah cemas dan simpati. Aku cuba
tersenyum.
“Biar saya tolong cik” ujarnya. Aku geleng kepala.
“Takpe” tuturku sambil mula mengibas – ngibas bahagian
kemejaku yang sudah basah. Gadis ini hanya memerhatikan gelagatku.
“Betulkah ni? Nampak teruk saja Cik Lia” tutur gadis ini.
Aku tersenyum lalu melangkah ke muka pintu. Daun pintu kukuak. Aku melangkah
keluar. Seketika aku terpaku mematungkan diri di situ. Bagaimana aku hendak
mengelak daripada bertembung dengan orang lain? Pasti keadaanku sekarang
mengundang rasa hairan mata yang memandangku. Kuamati keadaan diriku tika ini.
Tiba – tiba saja aku rasa sebak sangat. Perlahan – lahan air mataku mengalir di
pipi.
“Lia, apa hal ni?” suara Haqem kedengaran cemas singgah
di telingaku. Haqem yang baru saja keluar dari tandas lelaki sekelip mata sudah
berada di depanku sambil menatapku. Laju tanganku mengesat air mata di pipiku
lalu kedua – dua tanganku melindungi tubuhku. Segan pada Haqem yang sudah
berdiri di depanku. Aku cuba berlagak biasa.
“Awak cedera” tutur Haqem. Dalam beberapa minit saja aku
sudah menjadi tontonan banyak mata. Timbul rasa malu yang menebal dalam diriku.
Haqem terus saja menanggalkan kotnya lalu menyarungkan di tubuhku. Lantas
menarik tanganku membawa aku beredar dari situ.
“Biar saya bawa awak pergi klinik” tutur Haqem. Aku
menurut saja langkah Haqem tanpa sebarang bantahan. Haqem terus saja membawa
aku berjumpa dengan doktor. Dahiku ditampal dengan kapas dan darah di bibirku
dibersihkan serta cuba diberhentikan dari terus keluar.
“Awak duduk di sini. Saya nak ambil ubat” tutur Haqem.
Aku akur lagi dan masih mendiamkan diri. Haqem berlalu ke kaunter mendapatkan
ubat untukku seterusnya melangsaikan bil rawatanku. Kemudian Aqel kembali
mendapatkanku.
“Saya tak bawa dompet sekarang. Esok saya bayar kos
rawatan dan ubat itu. Berapa jumlah semua?” soalku mula bersuara. Haqem
tersenyum.
“Tak perlu bayar” sahut Haqem. Aku diam kembali.
“Bagaimana sakit lagikah?” soal Haqem. Aku geleng kepala.
“Mari kita pergi sekarang” ajak Haqem. Bingkas aku bangun
lalu mengekori langkah Haqem. Sehingga ke hari ini aku masih tidak mampu
berjalan seiringan dengan Haqem. Haqem menguak pintu keretanya untukku. Sekali
lagi aku duduk di sebelah Haqem. Haqem terus saja menghidupkan enjin kereta.
Beberapa minit kemudian kereta Haqem terus saja bergerak meluncur laju di jalan
raya.
“Siapa yang cederakan awak, Lia” soal Haqem. Senyap. Aku
membisukan diri. Bukan bertujuan untuk melindungi Rania. Sebetulnya aku tidak
mahu perkara ini dibesar – besarkan. Lantas aku menerima semua ini sebagai
hukuman atas tindakanku berbohong pada Rania dan pada warga KDUT termasuk
Haqem. Kedengaran keluhan Haqem.
“Raniakah yang lakukannya?” teka Haqem. Aku masih
membisukan diri. Kereta Haqem memasuki satu lorong. Kemudian berhenti di depan
deretan premis yang menjual pakaian berjenama.
“Awak tunggu di sini sekejap” arah Haqem lalu keluar dari
keretanya. Aku mematungkan diri di dalam kereta ini menunggu kedatangan Haqem.
Kira – kira sepuluh minit berlalu, Haqem muncul bersama beg kertas di tangannya.
Daun pintu kereta dikuak. Haqem terus saja menyerahkan beg kertas itu kepadaku.
Aku menatap Haqem.
“Dalam ni ada pakaian perempuan untuk awak. Pergilah
tukar pakaian awak sekarang” arah Haqem. Kupandang ruangan kereta ini. Kemudian
beralih ke wajah Haqem. Tiba – tiba saja Haqem tergelak.
“Awak tukar pakaian awak di fitting room butik yang saya pergi tadi. Saya dah maklumkan kepada
mereka” jelas Haqem mengerti dengan pandangan mataku.
“Saya tunggu awak di sini” ujar Haqem lagi. Aku
menggangguk lalu meninggalkan Haqem di sini. Berpandukan nama yang tertera pada
beg kertas ini mudah saja aku mencari butik tersebut. Kedatanganku disambut
mesra oleh pemilik butik ini. Aku masuk ke bilik persalinan pakaian lantas menukar
pakaianku yang sebahagiannya sudah basah angkara perbuatan Rania. Kupandang
diriku di dalam cermin. Kemeja putih berbunga ros merah kecil dipadankan dengan
seluar kain gelap memang bersesuaian malah ukuran yang sempurna untukku. Materialnya
lembut membuatkan aku terasa begitu selesa. Mesti mahal harga kemeja dan seluar
ini.
“Wah, cantiknya cik! Memang kekasih cik bijak membuat
pilihan untuk cik” puji gadis yang duduk di kaunter ini. Aku hanya tersenyum.
Gadis ini sudah salah faham terhadap hubunganku dengan Haqem.
“Terima kasih ya” tuturku atas kesudian mereka memberi
keizinan untuk aku menggunakan bilik persalinan pakaian mereka. Gadis itu
mengangguk sambil tersenyum. Langkahku yang baru saja bermula mati di muka
pintu. Tidak jadi terus keluar. Aku berpatah balik menemui gadis yang duduk di
kaunter ini. Dia kehairanan menatapku.
“Maaf.... Boleh beri saya resit untuk pakaian ini” pintaku
merujuk kemeja dan seluar yang sudah tersarung di tubuhku. Gadis itu mengangguk
dan tersenyum. Lega hatiku. Tidak kisahlah apa tanggapan gadis ini terhadap
permintaanku ini. Paling penting aku tidak mahu berhutang dengan Haqem. Aku
mahu melangsaikan segera kos pakaian dan kos rawatan yang kuterima tadi. Aku
menyambut resit yang dihulurkan kepadaku. Hampir mencecah RM 200 yang Haqem
belanjakan untuk membeli sepasang pakaian ini. Memang sikap orang kaya suka
membazir. Perlahan – lahan keluhanku tercetus.
“Lelaki tadi bukan kekasih saya. Terima kasih” tuturku membetulkan
bicara gadis ini tadi. Dia nampak kehairanan. Kuakui sesuatu yang luar biasa
andai seorang lelaki yang tiada hubungan istimewa dengan seorang gadis namun
sanggup berbelanja besar untuk gadis itu. Logikkah? Resit bayaran pakaian di
tubuhku ini kusimpan kemas dalam poket seluar ini. Tidak mahu Haqem melihatnya.
Aku terus bergerak ke muka pintu dan melangkah mendapatkan Haqem kembali. Haqem
tersenyum menyambut kedatanganku. Namun aku masih tidak mampu membalas senyuman
itu. Kereta dipandu kembali ke pejabat. Aku mendiamkan diri lagi. Terasa jauh
sangat perjalanan yang hanya memakan masa lima belas minit ini. Memang aku
tidak selesa berada di sisi Haqem saat ini. Namun aku sudah terhutang budi atas
pertolongan dan keprihatinan Haqem kepadaku. Tidak sangka Haqem masih bersikap
baik denganku walaupun layananku terhadap dirinya begitu dingin. Ternyata Haqem
tidak pernah mendendami tindakanku. Malangnya aku yang masih menyimpan dendam
pada Haqem. Dendam yang begitu mendalam sehingga sukar untukku melepaskannya.
“Terima kasih atas bantuan awak hari ini. Saya pergi
dulu” tuturku lalu bergerak meninggalkan Haqem di laman parkir kereta.
“Lia...!” Langkahku terhenti. Aku berpaling menatap
Haqem.
“Terima kasih juga kepada awak” tutur Haqem sukar untuk
aku mengerti. Terima kasih untuk apa? Namun hatiku berkeras tidak mahu meminta
penjelasan. Haqem hanya tersenyum. Kusambung langkahku kembali.
“Terima kasih sebab awak sudi bersama saya tadi” tutur
Haqem menyambung bicaranya sebentar tadi. Haqem tersenyum lagi. Sungguh riang
hatinya hari ini.
“Flora....” Langkahku terhenti. Aqel sudah tercengat di
depanku. Pandangannya menatap dahiku kemudian beralih di bibirku. Tampak dia
terkejut.
“Kenapa dengan dahi dan bibir awak tu?” soalnya hairan.
Laju aku geleng kepala.
“Saya baru lepas bawa Lia jumpa doktor” tutur Haqem yang
sudah berdiri di sebelahku. Kedengaran keluhan Aqel.
“Thanks Haqem” ujar Aqel.
“Awak okeykah ni?” soal Aqel. Wajahku direnung. Laju aku
mengangguk.
“Mungkin awak perlu berehat di rumah Lia” cadang Haqem.
Aqel mengangguk menyokong bicara Haqem ini.
“Mari saya hantar awak balik” ajak Aqel. Aku geleng
kepala.
“Maaf saya ada kerja nak buat” tuturku meminta diri lalu
melangkah meninggalkan Aqel dan Haqem terpacak di situ.
“LIA kenapa ni?” soal Mak Long sambil menilik – nilik
mukaku. Aku tersenyum.
“Ada kemalangan kecil di tempat kerja tadi. Lia
tergelincir di bilik air” jelasku terpaksa berbohong kepada Mak Long. Andai aku
bercakap benar pasti membabitkan Aqel dan Rania malah akan menyulitkan keadaan
lagi. Mak Long mengeluh sambil geleng kepala.
“Mesti cakap pada Hyeon dan Haqem kena pastikan bilik air
di situ sentiasa dipantau supaya selamat digunakan. Pembersih yang ada sekarang
harus dipecat sebab tak buat kerja dengan baik” tutur Mak Long bersungguh -
sungguh.
“Lia yang tak berhati – hati, Mak Long” tuturku lagi.
“Baru semalam Lia tinggalkan rumah dah jadi macam ni”
keluh Mak Long susah hati. Aku terharu dengan perhatian Mak Long terhadapku.
“Lia masuk bilik dulu nak solat Asar” ujarku meminta
diri.
“Pergilah berehat” arah Mak Long melepaskan aku pergi.
Kutolak daun pintu bilik perlahan. Aku melangkah masuk. Anak mataku menatap
memo merah jambu yang melekat di cermin solek ini. Hari ini sudah tiga kali aku
menerima memo bertulis daripada Aqel.
~ Jangan lupa sapu
ubat di dahi dan di bibir awak ~
Ada anak panah panjang menjunam ke bawah. Aku tersenyum. Anak panah yang
menunjukkan letaknya ubat tersebut. Awal Aqel balik hari ini tetapi kenapa aku
tidak nampak Peugeot RCZ Sports Coupe di garaj. Mungkin dia sudah
keluar semula. Barangkali juga dia berpesan pada Mak Long untuk memberi ubat
ini padaku. Mustahil pula sebab memo ini ditulis oleh Aqel sendiri. Aku cukup
kenal dengan tulisan tangan Aqel.
“Terima kasih
Aqel” tuturku. Kutarik laci almari solek ini. Lantas kukeluarkan diariku.
Kutarik zip beg galasku. Lalu kucapai buku catatan kerjaku. Kuselak helaian
catatan terakhir. Dua keping memo merah jambu yang kuterima di pejabat tadi
kutanggalkan. Kubuka helaian diariku. Maka untuk tarikh hari ini kulekatkan
tiga memo merah jambu yang ditulis oleh Aqel pada dada helaian diariku. Kemudian
menulis sebaris ayat sebagai catatan ringkas untuk interaksi pada memo
tersebut. Kututup diari ini. Lalu menyimpannya di dalam laci semula. Aku
bergegas ke bilik air mengambil wuduk seterusnya mengerjakan solat Asar. Terasa
tenang saja. Seusai solat aku berbaring
di atas tilam empuk ini. Dahiku berdenyut – denyut dan bibirku terasa pedih.
Aku terbayang kembali wajah garang Rania.
Kedengaran bunyi deringan telefon bimbitku. Aku terus
saja bangkit lalu mencapai telefon bimbitku yang terletak di atas meja solek
ini. Selalunya jam begini mak atau Aziq yang menelefonku. Aku tersenyum lebar
menatap barisan nombor telefon yang terlalu asing tertera di skrin. Memang tepat
tekaan.
“Assalamualaikum mak. Apa khabar?” soalku mendahului
menyapa mak. Aku tersenyum bahagia mendengar suara mak. Alhamdulillah mak dan
Aziq sihat sejahtera.
“Lia rindulah dengan mak dan Aziq” tuturku meluahkan
perasaanku.
“Aziq pun rindu juga dengan Along” Kedengaran suara
laungan Aziq di belakang mak. Aku tersenyum sendiri. Sebak hatiku.
“Lia tak payah risau segalanya berjalan lancar di sini.
Mak dan Aziq pun sihat walfiat” tutur mak mengulangi perkhabaran mereka.
“Syukurlah mak. Lia pun sihat juga cuma...” bicaraku
tergantung. Hampir terlajak aku berbicara tentang nasib malangku hari ini.
Mujur aku cepat sedar sebelum menghabiskan bicaraku. Aku tidak patut
menceritakan kejadian itu pada mak. Tidak mahu mak risau.
“Cuma apa bendanya?” cepat mak bertanya.
“Cuma Aqel tulah selalu sangat buli Lia” tuturku
memesongkan cerita. Kedengaran gelak tawa mak. Mak bukan hendak menyebelahiku
sebaliknya mentertawakan aku.
“Mesti kamu tu tak dengar cakap dia. Mak bukan tak tahu
kedegilan kamu tu” kutuk mak. Mak suka menyebelahi Aqel. Aku mencebik.
“Alah... mak ni” rengekku. Mama tertawa.
“ Dah dekat nak Raya Aidiladha tak seronaklah mak dan Aziq takde”
keluhku.
“Kan Mak Long dan Aqel ada tu”
sahut mak.
“Memanglah mak tapi kalau mak
dan Aziq ada lagilah seronok” tuturku.
“Jangan lupa tolong Mak Long
kamu di dapur tu. Jangan malas” ujar mak memperingatkan aku.
“Lia tahulah mak. Kan Lia
selalu tolong mak buat kerja rumah” tuturku.
“Baguslah kalau macam tu.
Jangan lupa kirim salam pada mereka nanti” pesan mak.
“Ya kejap lagi Lia sampaikan”
sahutku berjanji.
“Mak tak boleh cakap lama –
lama ni. Nanti mak telefon kamu lagi. Jangan lupa jenguk – jenguk rumah kita
tapi jangan pula kamu tidur sana” tutur mak memperingatkanku.
“Lia ajak Nana. Boleh kami
tidur rumah kita?” soalku mengusik mak.
“Tak boleh!” tegas mak buat
aku tersenyum. Mak masih dengan pendiriannya melarangku tidur di rumah kami
seperti sebelum keberangkatannya ke Tanah Suci Mekah. Terasa rindu sangat
hendak kembali ke rumah sendiri dan berbaring di atas katil sendiri serta
berangan – angan panjang di bilik sendiri. Oh… seronoknya!
“Mak nak letak telefon sekarang.
Jaga diri baik – baik. Assalamualaikum…”
“Mak dan Aziq pun jaga diri
baik – baik” ujarku turut berpesan. Salam mak kusambut. Sekelip mata saja suara
mak lenyap buat aku kembali merindui mak dan Aziq. Sedihnya berjauhan dengan
mereka. Tidak sabar – sabar aku hendak bertemu dengan mereka. Memandangkan
bersendirian ini membuatkan hatiku bertambah sayu lantas aku melangkah keluar dari
bilik untuk bersama Mak Long. Aku melewati ruang tamu yang sunyi menandakan
Aqel belum balik lagi. Aku melangkah ke dapur menjenguk Mak Long.
“Lia mari minum petang” ajak
Mak Long. Cucur udang Mak Long sudah tersusun cantik di dalam pinggan. Aku
membantu Mak Long menatang dulang yang berisi seteko air teh panas dan dua biji
cawan yang Mak Long sudah sediakan.
“Mana sebiji cawannya lagi,
Mak Long?” soalku. Setahuku bila – bila masa saja Aqel akan muncul. Mak Long
berpaling ke arahku.
“Kita berdua saja di rumah ini
sekarang. Hyeon keluar daerah lagi” jelas Mak Long. Patutlah kelibat Aqel tidak
kelihatan sampai sekarang. Aku menghela nafas lega. Ada juga baiknya Aqel tidak
ada di sini ketika perasaan terkilan padanya masih belum padam lagi. Aku
meletakkan dulang di atas meja di ruangan santai di beranda banglo Mak Long
ini. Minum sambil menghirup udara petang. Kutuang air teh panas ke dalam cawan.
“Sila minum Mak Long”
pelawaku.
“Aa..Lia minumlah sekali” ajak
Mak Long.
“Mak kirim salam pada Mak Long
dan Aqel” tuturku menyampaikan pesanan mak. Terkumat – kamit mulut Mak Long
menyambut salam mak.
“Mereka sihat?” soal Mak Long.
Aku mengangguk.
“Alhamdulillah... sihat Mak
Long” sahutku.
“Mak Long memang dah tak sabar
– sabar nak jumpa Aziq dan mak Lia. Mak Long ada hajat besar nak cakap pada mak
Lia” tutur Mak Long berteka – teki. Aku diam mendengar bicara Mak Long.
Kemudian mula memikirkannya. Mungkin Mak Long dan mak ada perancangan hendak
jadi rakan kongsi perniagaan. Rasanyalah....