Tuesday, 20 September 2011

NamaKu Bukan Flora! 1



BAB 1
Aku menatap lelaki yang sedang terpacak di depanku tika ini. Rambutnya berwarna perang lurus mencecah bahu. Sebahagian rambut di depan disikat ke tepi dan sebahagian lagi mencecah ke matanya yang bundar. Kulitnya putih bersih. Tubuh yang tinggi dan sedikit kurus. Lagak seorang model. Sepasang mata yang bundar itu sedang menatapku.
“Flora, mari sini kejap” panggilnya satu nama.
Langkahku mati. Aku menoleh kiri kanan. Tiada sesiapa. Aku berpaling pula ke belakang tiada juga sesiapa yang berada di sini selain aku dan dia.
“Awak panggil saya ke?” soalku binggung.
Dia mengangguk.
“Cepat datang sini Flora” arahnya semula.
Flora? Siapa Flora? Aku bukan Flora. Agaknya Flora  adalah kekasih pemuda ini. Mabukkah dia? Aku merenung dalam – dalam wajah pemuda ini. Selalunya orang yang mabuk saja tidak dapat membezakan antara flora dengan fauna. Ha...!.ha...! ha..! Maksudku orang yang mabuk selalunya salah tengok orang.
“Cepat Flora!”. Kali ini suaranya agak tinggi. Barangkali marah melihat aku langsung tidak berganjak dari tempat aku berdiri ini. Bagaimana kau hendak bergerak mendekatinya kalau bukan aku yang dipanggilnya. Namaku bukan Flora. Dia pasti tersilap orang.
“Saya bukan Flora. Nama saya ialah Dahlia, Nur Dahlia” balasku membetulkan bicaranya sekaligus memperkenalkan diri bagi menyedarkannya yang aku bukan Flora seperti nama yang dipanggilnya itu.
“Whatever. Awak adalah Flora” ujarnya masih berkeras.
Mamai betul pemuda ini. Kasihan dia, muka je handsome tapi otaknya nampak tak betul. Pelik. Kenapa dia berdegil mengatakan aku adalah Flora. Mana mungkin aku lupa akan namaku sendiri ataupun aku adalah kembar seiras orang yang dikenalinya sebagai Flora sebab itu dia mati – mati mengatakan aku adalah Flora. Kali ini dia bergerak lalu melangkah mendekatiku. Tanpa kuduga dia terus saja meletakkan beberapa pasang bajunya yang masih berhanger di bahuku membuatkan aku hampir – hampir rebah. Pantas saja tanganku mengambilnya. Baju apakah benda ini berat semacam saja. Dia ingat bahuku ini tempat dia nak gantung baju – baju dia.
Beberapa pasang baju ala – ala kot yang potongannya panjang separa lutut berbeza design. Ada warna hitam, putih dan kelabu. Warna – warna elegan. Barangkali dia baru habis penggambaran. Penggambaran yang berlatar belakangkan empat musim. Kalau ikutkan cuaca dan iklim Malaysia pasti tidak sesuai hendak berpakaian sebegini ketika matahari sedang terik memancar – mancar ini. Kalau pakai waktu malam bolehlah sedikit diterima akal.
“Jom ikut saya, Flora” arahnya mengejutkan aku lalu terus saja melangkah pantas.
“Nak pergi mana? Encik saya tengah kerja sekarang. Saya nak hantar baju – baju yang lain tu lagi” tuturku merujuk pakaian yang terpaksa aku tinggalkan di tempat aku bertembung dengan dia tadi gara – gara mengejar langkahnya.
Dia langsung tidak menghiraukan bicaraku. Langkahnya semakin pantas menjarakkan dirinya dariku. Akhirnya aku terpaksa berlari – lari anak mengejarnya. Langkahnya hanya terhenti tepat – tepat di depan keretanya.
“Wah, cantiknya kereta!” bisik hatiku kagum.
Kereta Peugeot RCZ Sports Coupe , Model 308 cc baru dengan reka bentuk bergaya dan sporty serta ciri mewah dan teknologi termaju, dilengkapi bumbung lipat elektrik dua bahagian yang hanya mengambil masa 20 saat untuk dilipat sepenuhnya bagi menjadikannya sebuah model coupe dinamik atau cabriolet yang menawan. Kereta berwarna Haria Grey ini mempunyai rekaan futuristik penuh eksotik. Nilainya RM218,888.00 ataupun RM223,888.00 berdasarkan versi pilihan, cukup menyerlah sekaligus memukau pandanganku seketika. Bilakah agaknya aku merasa duduk dalam kereta mewah macam itu. Tahu – tahu pemuda yang tidak aku tahu namanya ini telah mengambil baju – baju ini dari tanganku.
“Thanks Flora” tuturnya masih ada sedikit budi bahasanya.
“Saya bukan Flora. Saya ialah Dahlia, Nur Dahlia binti Sallehudin” ujarku membetulkannya dengan menyebut nama lengkapku.
Dia langsung tidak kisah dengan bicaraku. Tulikah dia? Mustahil.
“Nice name” pujinya tiba – tiba.
Aik, boleh pula dia mendengar bicaraku! Ingatkan tuli rupanya tidak.
 “Bye Flora”. Dia meninggalkan aku bersama lambaian tangannya dan masih berdegil memanggilku Flora. Keliru! Keliru! Kenapa dia masih mahu memanggilku dengan nama itu, biarpun sudah beberapa kali aku tegaskan bahawa aku bukan Flora sebaliknya adalah Nur Dahlia binti Sallehudin, umur 24 tahun, belum habis belajar kerana terpaksa tangguh atas beberapa sebab, pernah ada boyfriend ...... he.... he.... he ..... Berlebih – lebih pula aku memperkenalkan diri.
Aku kembali memasuki bangunan ini bila saja teringat pakaian yang masih tertinggal di situ. Siapakah pemuda pelik itu? Mengapa dia panggil aku Flora? Pertemuaan yang secara kebetulan ini mengundang kemusykilan hatiku. Tatkala kakiku menapak di tempat tadi....
“Alamak, mana perginya semua pakaian yang aku tinggalkan di sini tadi!”. Aku tercari – cari di sekitar ini. Tiada sesiapa juga yang berada di sini untuk aku ajukan pertanyaan. Kerisauan menyelubungi diriku. Pasti aku akan dimarahi  oleh bos nanti kalau aku tidak jumpa semula baju - baju itu. Aku mahu saja melangkah ke seluruh bangunan ini mencari – cari pakaian tadi, namun ditegah oleh pengawal keselamatan yang bertugas di situ. Bangunan ini merupakan kawasan larangan buat orang awam.
“Apalah malangnya nasibku hari ini” Aku melangkah keluar lalu bersandar lemah di dinding kaca bangunan ini. Kutepuk – tepuk kepalaku menghukum diri atas kelalaian dan kecuaianku sebentar. Mana aku hendak cari kesemua baju itu? Kalaulah aku dibenarkan memasuki keseluruhan kawasan bangunan ini mesti aku jumpa baju – baju itu nanti. Aku yakin pakaian itu masih berada di dalam bangunan ini.
Oh...apa akan jadi kalau aku tidak menjumpainya! Nasib malang akan menimpaku. Aku mana ada duit untuk bayar harga – harga baju yang ratusan ringgit dan mungkin mencecah ribuan ringgit. Agaknya kalau bos suruh aku bayar ganti rugi mesti sebulan dua ini aku kena melakukan beberapa kerja partime. Itu pun kalau bos masiih ada pertimbangan, tetapi kalaulah dia berhentikan aku huu... huu... huu.... Berkerut seribu mukaku membayangkannya. Rasa mahu menangis pun ada. Gerun hatiku membayangkan wajah menyinga Puan Rosie, isteri bosku.
Aku harus cari baju - baju itu sampai menemuinya. Nasib kerjaku terletak pada baju – baju itu. Kalau aku jumpa baju – baju itu bermakna aku selamat dan masa depan kerjaku pun terjamin, tapi bagaimana aku hendak mencarinya lebih jauh dalam bangunan ini sedangkan pergerakanku agak terbatas di  kawasan larangan ini. Tidak semua tempat aku boleh menjelajahinya. Tiba – tiba wajah pemuda tadi terlintas di fikiranku. Hanya dia yang boleh menolongku. Aku tersenyum sendiri.
Sudah dua jam aku terpacak di depan bangunan  kaca ini. Letih berdiri aku mencangkung, lenguh mencangkung aku berdiri semula. Aku berulang – alik ke depan ke belakang dalam beberapa langkah. Akhirnya tanpa pedulikan orang yang keluar masuk dari bangunan ini, aku terus saja duduk bersila di situ lagak orang sedang bertapa. Bukannya apa sekadar mengecas tenaga yang sudah berkurangan gara – gara lama sangat menanti kemunculan pemuda itu. Mujur juga awal –awal tadi aku sudah menghubugi Encik Mukhtahir meminta cuti setengah hari. Kukhabarkan kepadanya ada hal kecemasan. Belum lagi aku berterus terang tentang perkara yang sebenarnya. Risau aku sampai ke pengetahuan Puan Rosie, nanti tidak pasal – pasal berlubang sepuluh telingaku ini mendengar amukannya.
Sudah beberapa kali aku menguap. Lama sangat sudah aku menanti kemunculannya yang tidak pasti. Entah – entah dia tidak datang lagi ke sini. Bingkas aku bangun lalu melangkah masuk dan terus saja menapak ke kaunter itu menemui pengawal keselamatan yang baru saja bertukar shif kerja. Lelaki yang denganku berbicara tadi sudah balik agaknya.
“Ya, cik apa hal?” sapa lelaki India yang kukira umurnya  sekitar awal 50an itu. Kami bertukar senyuman.
“Boleh tumpang tanya?” soalku. Lantas dia mengangguk. Aku berfikir seketika. Nama dia pun aku tidak tahu, bagaimana aku hendak bertanyakan tentang pemuda itu. Aku berfikir lagi mengingati seketika ciri – ciri pemuda itu. Mungkin ini saja caranya untuk aku menjejaki pemuda itu sekaligus memohon pertolongannya agar membawa aku menjelajah bangunan ini demi mencari pakaian yang hilang itu.
“Encik kenal pemuda yang tinggi, sedikit kurus dan berambut perang setakat bahu. Dia ada bersama saya tadi” ujarku. Berkerut dahi lelaki India ini menatapku.
“Semua model kat sini tinggi – tinggi cik. Siapa ye agaknya yang cik maksudkan ni” balasnya cuba berfikir. Logik juga bicaranya ini. Mana ada model yang pendek, tambahan pula dia seorang model lelaki. Tiba – tiba aku teringatkan sesuatu. Aku tersenyum.
“Dia ada kereta Peugeot RCZ Sports Coupe berwarna Haria Grey. Tak silap saya nombor plat kereta tu 144” tambahku lagi. Aku yang kagum kepada kereta milik pemuda itu lama juga memerhatikan kereta itu tadi. Sebab itu juga aku sempat melihat nombor plat kereta itu.         
“Oh......, Encik Aqel!” nama itu terpancul dari mulutnya sekaligus menyenangkan hatiku.
“Ya saya ada hal nak jumpa dia. Boleh saya minta nombor telefon dia?” soalku lagi dengan harapan yang menggunung. Lelaki India itu tersenyum hambar menatapku.
“Minta maaf cik, saya tak boleh beri telefon dia. Sudah menjadi polisi syarikat dan demi melindungi pravisi mereka. Kalau cik nak jumpa dia, esok cik datang lagi. Kalau tak pun cik buat temujanji. Nanti PA dia yang uruskan” ujarnya panjang lebar. Memang kujangka tidak sebegitu mudah aku akan mendapat nombor telefonnya. Mereka yang terlibat dalam dunia glamour ini sudah pasti dilindungi. Bahkan bukan senang juga untukku bertemu dengan pemuda itu. Kena pula buat temujanji dengan PA dia, macamlah aku ini seorang wartawan hendak berhajat menemuramahnya. Susah – susah!
Mahu tidak mahu aku terpaksa juga meninggalkan bangunan ini. Dengan langkah longlai aku mendekati motor cabukku yang seharian berjemur di parking ini. Sia – sia saja apa yang aku buat hari ini. Aku tiada pilihan lain selain menyiapkan diri dengan sebarang kemungkinan. Apa akan jadi, jadilah!
“Hoi, kau pergi mana sepanjang hari ni. Puan Rosie bising – bising cari kau” ujar Nana menyambut kedatanganku yang nampak lemah gemalai. Nana memandangku. Tampak hairan dia melihat aku langsung tidak bersemangat.
“Kenapa dengan kau, Lia?” soalnya seraya menarik tanganku bersorok di sebalik pintu. Aku terus saja menceritakan kepada Nana apa yang telah menimpaku hari ini. Terlopong mulut Nana mendengar ceritaku. Bahkan tangannya tidak sudah – sudah mengurut – urut dadanya. Betapa Puan Rosie menakutkan sekalian pekerja yang ada di sini.
“Jangan beritahu Encik Mukhtahir dulu. Esok kau pergi sana lagi. Mana tau pemuda itu boleh bantu kau cari baju - baju tu” cadang Nana. Aku hanya mengeluh berat. Rasa tidak ralat lagi aku menanti kemunculan pemuda itu. Hari ini sudah cukup meletihkan aku.
“Jangan cepat putus asa, Lia. Kau akan jumpa baju - baju tu” ujar Nana cuba mengusir kemurungan hatiku sekaligus membangkitkan semangatku.
“Esok aku cakap kat Encik Mukhtahir kau tak sihat ambik mc” tambah Nana lagi. Aku senyum. Terharu dengan pertolongan Nana.
“Terima kasih Nana”. Dia tersenyum. Mujur juga ada Nana sebagai penasihatku dan sudi menolongku. Kalau tidak sudah pasti aku tidak boleh fikir apa – apa lagi kerana fikiranku buntu sekarang. Kulupakan saja hajat hatiku untuk menyerahkan diri kepada Puan Rosie kerana esok aku ada misi penting yang perlu dilaksanakan.  
“Cepat balik rumah berehat. Esok pastikan kau jumpa baju – baju tu. Good luck, Lia” bisik Nana seraya menolok tubuhkku menyuruh pergi. Aku mengangguk. Kutinggalkan Nana dengan lambaian tanganku. Satu tekad sudah tersemat dalam diriku. Aku akan cari baju – baju itu sampai ketemu. Tidak kira guna apa saja caranya. Namun aku masih menggantung harapanku kepada pemuda itu agar menolongku.











No comments:

Post a Comment