Thursday, 11 July 2013

Namaku Bukan Flora! ....54




BAB 54

“Dia memang seiras...Flora....” suara Pak Long masih terngiang – ngiang di telingaku. Timbul perasaan hairan yang menebal dalam diriku. Betapa aku tertanya – tanya akan bicaranya itu. Aku ingin sangat penjelasan tentang nama ini, lantaran aku merasakan ada misteri di sebalik sebaris nama ini. Pasti ada rahsia di sebalik nama Flora ini. Nama yang ada kaitan dengan keluarga Mak Long. Mungkin juga nama insan yang pernah Aqel sayangi.
“Lia menungkan apa?” suara lelaki menyapaku. Aku berpaling. Pak Long tersenyum menatapku. Aku membalas senyuman itu. Kutatap wajah Pak Long. Pak Long memang seiras Aqel. Ketampanannya sebagai lelaki Korea telah diwarisi oleh Aqel.
“Menikmati udara segar di sini” tuturku tidak mampu meluahkan segalanya. Pak Long tersenyum lagi, lantas melabuhkan duduknya tidak jauh dariku. Wajahku ditenung. Tenungan yang begitu mendalam sehingga membuatkan aku tidak tenang.
“Nampak pelik muka Lia ni, Pak Long?” soalku cuba mencungkil rahsia yang cuba Pak Long dan Aqel sembunyikan dariku. Pak Long tersentak. Dia tersenyum lagi.
“Cantik  Lia ni” ujar Pak Long memujiku. Terselit rasa seganku. Aku hanya tersenyum. Sedikit bangga mendengar pujiannya ini. Andai Pak Long melihat Rania, pasti Pak Long akan lebih kagum kepada gadis itu. Malangnya jodoh Aqel dan Rania tidak kesampaian.
“Memang sepadan dengan Aqel” tutur Pak Long. Aku kagum melihat kefasihannya berbicara bahasa Melayu.
“Pak Long, kalau Lia tanya sesuatu boleh?” soalku berhati – hati. Risau andai menyinggung perasaannya. Dia menatapku. Kemudian mengangguk.
“Tanyalah.  Kalau Pak Long mampu jawab, Pak Long akan jawab” tuturnya tidak mahu menjanjikan kepastian. Aku menarik nafas.
“Mengapa Aqel suka panggil Lia, Flora? Mengapa Pak Long kata saya seiras Flora? Siapa Flora tu, Pak Long? Adakah gadis bernama Flora tu memang wujud?” soalku bertalu – talu. Pak Long nampak tersentak mendengar persoalanku ini. Senyap. Nampak Pak Long sedang berfikir panjang.
“Perkara ni Lia kenalah tanya kepada Aqel sendiri” tuturnya mula bersuara. Dia langsung tidak mahu menjawab pertanyaanku.
“Jadi maksudnya, gadis bernama Flora ni memang wujudlah, ye?” tekaku berharap Pak Long akan mengangguk mengakuinya. Senyap lagi. Pak Long tidak semudahnya akan membicarakan perkara ini.
“Apa pendapat Lia tentang hal ni?” soal Pak Long pula. Aku diam. Kutarik nafas dalam – dalam. Memang sukar hendak meramal situasi ini. Rahsia Aqel tetap tersimpan rapi. Ternyata Pak Long dan Mak Long tidak mampu membantuku memecahkan kisah di sebalik sebaris nama ini. Aku ingin sangat mengetahui gerangan pemilik nama Flora ini. Mengapa gadis ini disamakan dengan aku? Mungkinkah aku dan si pemilik nama ini kembar? Mustahil mak ada seorang anak gadis lagi. Aku berfikir lagi. Barangkali aku ada kembar, lalu mak menyerahkannya kepada orang lain atas sebab – sebab tertentu tanpa mahu memaklumkan kepadaku dan Aziq. Aqel lebih awal mengenali gadis itu sebelum mengenali aku. Sebab itulah Aqel memanggilku dengan nama itu memandangkan wajah aku dan gadis itu begitu serupa. Oh.... jauhnya aku berimaginasi!
“Lia pun tak pasti perkara ni, Pak Long” jawabku sedikit terlewat. Hampa. Perbualanku dengan Pak Long tidak mampu memadamkan kemusykilanku. Pak Long tersenyum sekilas. Kemudian melontar pandangan jauh – jauh. Pak Long mengalamun lagi. Aku dapat rasakan bagai ada sesuatu yang dipendam oleh lelaki ini. Seminit kemudian aku turut termenung. Aku melepaskan keluhan panjangku. Misteri Flora masih menghantuiku.
“Pak Long, Lia nak berehat di bilik sekarang” suaraku memecah keheningan ini. Pak Long mengangguk dan tersenyum. Aku memulakan langkahku menjarakkan diri meninggalkan Pak Long. Di benakku masih memikirkan perkara ini. Aku tidak mahu menggantung harapan tinggi kepada Aqel agar menjelaskan perkara ini kepadaku. Aku tahu prinsip Aqel tidak suka mengungkit perkara lalu. Berdiam diri itu lebih digemari Aqel. Aqel memang suka berahsia.

Aku merebahkan tubuhku di tilam. Kupejamkan mataku. Aku tiada sebarang perancangan, maka aku hanya berbaring – baring mengisi masa yang terluang. Aqel sejak dari tadi sudah keluar. Ada urusan kerja yang perlu diselesaikannya di sini. Ada juga dia mengajakku menemaninya, namun aku menolaknya. Keletihan semalam belum lenyap lagi. Maka aku beralasan mahu menyimpan serta menggumpul tenaga untuk perjalanan ke Istana Kyongbok. Aqel juga berjanji mahu mengajak aku melawat ke Yeudo Street untuk menyaksikan bunga sakura. Kemudian pergi ke National Ginseng Outlet dan Amethyst Factory untuk melihat batu berwarna ungu.
Suara Pak Long masih terngiang – ngiang di telingaku. Ternyata nama Flora masih menguasai benakku. Aku ingin sekali mengetahui siapakah gadis itu? Mengapa Aqel dan Pak Long menyamakan aku persis gadis itu? Mengapa pula Mak Long langsung tidak mengetahui siapa Flora? Banyak sangat persoalan tentang Flora yang bermain dalam fikiranku. Hatiku tidak senang disamakan dengan Flora. Jika pernikahan ini dipersetujui oleh Aqel lantaran persamaanku dengan Flora, maka aku tidak mampu hidup bersama lelaki yang meneruskan kehidupan dengan berpaut pada kenangan lalunya.
Pandanganku fokus pada meja solek di sudut tepi bilik ini. Bagaikan ada sesuatu yang menarik perhatianku di situ. Aku merasakan tersimpan sesuatu yang ingin aku ketahui ada di situ. Bingkas aku bangkit dari katil. Aku terus saja merapati meja solek itu.
“Maafkan aku, Aqel. Aku terpaksa menceroboh laci ini tanpa keizinan awak” tuturku berbicara sendiri. Kupendamkan rasa bersalahku. Aku menarik nafas dalam – dalam. Berat hati hendak melakukannya, namun cepat saja aku membuang perasaan itu jauh – jauh. Perasaan ingin tahu melebihi perasaan bersalahku. Aku memang tidak mampu menahan keinginan mengetahui rahsia di sebalik sebaris nama itu. Aku ingin tahu siapa pemilik nama Flora ini. Gadis misteri yang membebani fikiranku.
Perlahan – lahan kutarik laci ini. Berkunci. Hatiku semakin kuat mengatakan rahsia itu tersimpan di dalam laci ini. Kutolak almari kaca ini. Liar mataku mencari kunci laci ini. Mungkin Aqel menyoroknya di celah – celah barisan buku ini. Kuangkat satu – persatu. Tiada sebarang kunci yang kutemui. Aku menatap buku terakhir. Perlahan – lahan aku mengangkat buku yang lebih tebal ini dengan harapan aku akan menemui kunci di bawah buku ini. Aku mengeluh kecewa tatkala kunci itu tidak berada di situ.
Berhajat mahu meletak kembali buku ini di tempat asalnya, sekeping gambar jatuh melayang. Laju tanganku mencapai gambar itu. Seorang budak lelaki dan seorang budak perempuan tersenyum riang. Tangan budak lelaki itu melingkar di bahu budak perempuan itu. Nampak hubungan keduanya sangat akrab. Kurenung lama wajah budak lelaki yang kukira usianya dalam lingkungan 10 tahun. Wajahnya seiras Pak Long. Rasanya budak lelaki ini ialah Aqel. Kemudian anak mataku beralih ke wajah budak perempuan ini. Budak perempuan lingkungan usia 6 tahun. Siapakah budak perempuan ini? Setahuku Aqel adalah anak tunggal Mak Long.
Mungkin kawan baik Aqel ketika zaman kanak – kanaknya. Kemudian sama – sama meningkat dewasa. Aqel dan budak perempuan ini menjadi sepasang kekasih yang bahagia. Mereka sudah merancang untuk bernikah. Namun berlaku sesuatu yang tidak diduga. Aqel dengan perempuan ini terpaksa berpisah. Perpisahan yang tidak direstui Aqel. Jiwa Aqel menderita. Sehingga ke hari ini Aqel tidak pernah melupakan perempuan ini. Oh... semakin meleret – leret imaginasiku!
‘Andai awak adalah pemilik nama Flora itu, di manakah engkau sekarang? Apa yang telah berlaku antara engkau dengan Aqel? Pasti Aqel sangat menyayangi engkau sehingga nama itu tidak pernaha terhapus dari mulutnya. Beruntunglah engkau, Flora....’ hatiku berbicara. Aku tersentak tatkala daun pintu bilik ini ditolak. Aqel muncul di sebalik pintu. Aku terpaku. Tidak sempat mengembalikan gambar ini di tempat asalnya. Aqel menatapku curiga.
“Awak buat apa?” soal Aqel serius. Aku diam. Aqel melangkah mendekatiku. Gambar di tanganku dirampas buat aku terkedu. Selama ini Aqel tidak pernah berkasar denganku.
“Mana awak dapat gambar ni?” tanya Aqel dengan suara yang tinggi. Pandangannya tajam menatapku.
“Saya.... saya... jumpa....” suaraku tersekat – sekat. Buat pertama kali Aqel melayanku sebegini. Dingin dan menakutkan.
“Lain kali jangan sentuh barang di bilik ni tanpa arahan saya” tegas Aqel memberi peringatan. Aku mengangguk. Sedikit terkilan mendengar bicaranya ini.
“”Sorry...” ujarku tertunduk. Aku berganjak dari meja solek ini memberi laluan pada Aqel. Gambar itu diselitkan kembali di celah – celah helaian halaman buku itu. Aqel menyeluk saku seluarnya lalu mengeluarkan kunci. Laci yang berkunci itu dibuka dengan kunci itu. Rupa – rupanya kunci itu sentiasa bersama Aqel. Nampak sangat ada rahsia tersimpan di dalam laci itu. Aqel terlalu berhati – hati. Buku itu disimpan di dalam laci itu lantas menutup dan menguncinya kembali. Kunci disimpan ke dalam saku seluarnya.
Aqel terus saja melabuhkan duduknya di sofa di sudut bilik ini. Sunyi sepi. Aqel menyendiri di situ. Aku yang sudah lama berdiri mula terasa lenguh. Lantas aku duduk di birai katil membelakangi Aqel. Tidak berniat mahu berbicara dengan Aqel melihat keadaan dirinya yang tiada mood baik. Rasa bersalah atas tindakanku tadi. Namun aku perlu tahu siapa Flora itu. Andai Aqel tidak terlalu berahsia denganku, aku tidak akan melanggar etika perhubungan manusia. Tidak akan menceroboh rahsia hal peribadi Aqel. Lama juga aku dan Aqel membisu melayan perasaan masing – masing.
“Aqel.... saya minta maaf, tapi saya perlu tahu siapa Flora tu sebenarnya?” soalku berhati – hati. Tidak mahu menyinggung perasaan Aqel. Apatah lagi mahu membangkitkan kemarahannya. Senyap.
“Adakah dia kekasih pertama awak sebelum awak mengenali Rania?” soalku masih mahu mengajak Aqel berbicara. Senyap. Aqel belum mahu membuka mulut. Aku berpaling ke arah Aqel. Rupa – rupanya Aqel sudah terlena di sofa itu. Kedengaran dengkuran kecilnya. Perlahan – lahan aku melepaskan keluhan. Sukar sangat hendak mengungkai misteri pemilik sebaris nama ini. Namun yang pasti aku bukan Flora! Sungguh – sungguh aku tidak mahu Aqel mahupun sesiapa menyamakan diriku dengan gadis itu. Sekali lagi kutegaskan namaku bukan Flora! Aku tidak mahu Aqel melihat bayangan gadis itu dalam diriku..
Aku merebahkan tubuhku ke tilam. Saat ini tiada apa yang hendak dilakukan. Kulontar pandangan pada Aqel. Tidak berhasrat mahu mengejutkan lalu mengarahkannya beralih tempat tidur. Biarlah Aqel tidur di situ sebagai hukuman atas tindakannya berahsia denganku. Kualih pandanganku. Lama aku memandang syiling bilik ini. Rasa bosan terkurung di bilik ini tanpa berbuat apa – apa. Otakku ligat mengarahkan aku tidur. Penyelesaian terhadap kebosanan. Akhirnya aku tertidur juga bersama rajukku dengan tindakan Aqel sebentar tadi.

Perlahan – lahan aku mengangkat kelopak mataku. Kulontar pandangan ke sofa di sudut bilik ini. Aqel sudah tiada di situ. Aku melirik ke arah jam. Hampir dua jam aku terlena. Rasa malas pula hendak bangun. Aku mengubah posisi tubuhku. Mataku menatap sejambak bunga ros lavender segar bersama sekeping memo pink di sebelah perbaringanku. Bau harum mewangi semerbak memenuhi rongga hidungku. Kucapai memo pink tulisan tangan Aqel ini.

~Saya keluar dengan ayah sekejap. Saya dah sediakan makanan untuk awak. Jangan lupa makan nanti ~ Terkumat – kamit mulutku membaca pesanan yang ditinggalkan oleh Aqel ini. Kucapai sejambak bunga ros ini. Warna lavender yang mempesonakan.

“Awak tahu makna di sebalik warna bunga ros ni?” suara Haqem berbisik di telingaku.
 “Warna merah itu maksudnya cinta sejati, tulus ikhlas dan romantik” jelas Haqem. Warna lavender ini apa maknanya? Adakah sejambak ros lavender ini juga membawa pengertian? Bahasa simbolik yang cuba Aqel sampaikan kepadaku. 
“Cuba awak kira berapa kuntum bunga yang saya beri pada awak sekarang?” suara Haqem berbisik lagi. Aku terus saja menghitung kuntuman ros lavender ini. 15 kuntum semuanya.
“Maknanya saya minta maaf. Tolong maafkan saya” tuturku berbicara sendiri. Senyuman terukir di bibirku. Aqel sudah mengakui kesalahannya. Terasa rajukku sudah terpujuk. Kuhidu wangian kuntuman ros lavender ini. Harum mewangi dan begitu menyenangkan. Sayangnya aku tidak mampu mentafsir makna di sebalik warna lavender ini. Aku hanya tahu makna di sebalik bunga ros merah.
 “Awaklah yang paling berharga, yang paling saya sayangi di muka bumi ini” sayup – sayup suara Haqem mendatangiku lagi. Aku memejamkan mataku rapat – rapat. Hatiku terusik.


Seperti yang dijanjikan Aqel membawaku melawat ke Istana Kyongbok. Bukan berdua tapi Pak Long ada bersama kami juga. Aku mengajaknya menyertai kami agar dia dapat meluangkan masa lebih banyak bersama Aqel dalam masa yang singkat ini. Bukan selalu Pak Long dapat bersama anak muda tunggalnya ini. Di Istana Kyongbok ini, aku dan Aqel berkesempatan bergambar bersama – sama dengan pakaian persalinan di raja era klasik. Duduk di singgahsana persis raja dan permaisuri.  Pak Long sekadar memerhati dengan senyuman yang terukir di bibir. Wajahnya ceria. Nampak dia gembira sangat dengan pertemuan ini. Kemudian kami  bergerak ke National Ginseng Outlet. Banyak informasi tambahan yang kuperoleh daripada Pak Long tentang lokasi ini serta khasiat ginseng. Kesimpulannya, orang Korea memang mementingkah kesihatan diri. Mereka gemar makan ginseng.
Di Amethyst Factory aku berkesempatan melihat batu berwarna ungu. Sungguh aku teruja buat pertama kalinya melihat batu berwarna ungu. Sesuatu yang luar biasa. Destinasi terakhir, kami berkunjung ke Yeudo Street untuk menyaksikan bunga sakura. Rasa terujaku bertambah – tambah. Biasalah orang perempuankan sinonim digandingkan dengan bunga. Lama aku terpaku menatap keindahan bunga – bunga sakura. Tatkala angin bertiup, kuntuman bunga sakura berguguran. Betapa indah dan romantiknya suasana ini. Patutlah ramai pasangan yang sedang berpegangan tangan memadu kasih di sini.
Aku tersentak. Laju aku berpaling. Aqel tersengih. Kutatap jemari Aqel yang sudah menggenggam erat jemariku. Kupandang Aqel lagi.
“Kita jadi pasangan romantik di depan ayah. Teruskan menikmati keindahan bunga sakura” bisik Aqel. Jari – jemariku digenggam erat. Aku berpaling ke arah Pak Long yang begitu setia mengiringi perjalanan kami. Pak Long tersenyum. Aku memaksa diri turut tersenyum. Sebenarnya segan pada Pak Long dengan tindakan Aqel ini. Aku melirik ke arah Aqel yang tersenyum - senyum sendiri.
“Jangan – jangan awak nak ambil kesempatan pada saya” tuturku berbisik. Cuba meleraikan genggaman jemari Aqel. Namun tidak berdaya. Pautan jemari Aqel pada jemariku begitu erat. Sukar hendak dipisahkan. Aqel masih tersenyum – senyum menimbulkan rasa geramku.   
“Biar ayah ambil gambar kamu berdua” suara Pak Long mematikan langkahku dan Aqel. Hampir serentak aku dan Aqel berpaling ke arah Pak Long. Ternyata Pak Long sudah bersedia mahu merakamkan gambar kami. Tanpa kuduga tangan Aqel sudah memeluk mesra pinggangku. Kekok dan tidak selesa diperlakukan sedemikian. Aku menjeling Aqel yang masih tersenyum. Dia sempat melirik ke arahku, cuba memberi peringatan yang kufahami. Berpura – pura menjadi pasangan romantik di depan Pak Long.
“Lia, sedia... senyum....” arah Pak Long buat aku serba salah. Akhirnya aku memaksa diri tersenyum semanisnya berganding dengan senyuman madu Aqel serta membiarkannya memelukku mesra. Oh.... Aqel cuba mengambil kesempatan ke atasku lagi! Geramnya...!!!

Aku melabuhkan dudukku di bangku kayu ini menghilangkan kepenatan setelah banyak berjalan. Aqel membeli air dan Pak Long mahu ke tandas. Maka tinggallah aku bersendirian di sini. Menikmati keindahan bunga sakura sepuas – puasnya. Betapa aku telah jatuh cinta pada keindahan bunga sakura. Udara yang menyegarkan. Berada di sini terasa mendamaikan. Sungguh bertuah rakyat negara ini kerana memiliki keindahan alam semester ini.

“Termenung jauh awak.... Awak rindukan Haqem?” Aku berpaling. Aqel sudah berada di sebelahku. Seketika aku dan Aqel saling berpandangan. Aku menggeleng. Aqel terus saja melabuhkan duduknya di bangku kayu ini di sebelahku.
“Saya sedang memikirkan siapa Flora” ujarku tidak melepaskan peluang andai ada kesempatan berbicara perkara ini dengan Aqel. Aqel tersentak. Aku dan Aqel berlaga pandangan. Aku mahukan penjelasan Aqel.
“Nah... air awak” ujar Aqel seraya meletakan sebotol air mineral di tanganku. Kemudian mengalih mukanya ke hadapan. Melontar pandangannya jauh – jauh dengan mulut yang terkunci. Ternyata Aqel tidak mahu membicarakan perkara ini. Aku gagal mendapatkan penjelasan tentang gadis itu. Gadis bernama Flora itu masih menjadi misteri buatku.

 ################

“Oh.... pengantin baru dah kembali. Awak apa khabar? Bagaimana honeymoon di Korea?” soal Marnie berjela – jela sambil tersenyum mengusikku. Aku tersenyum sekilas. Pantas mengeluarkan dua buah kotak kecil dari beg galasku lantas meletakkan di depan Marnie. Tiada banyak cerita yang ingin kukongsi bersamanya. Nanti kalau aku cakap tentang banglo mewah bapa mertuaku, bimbang pula jadi riak.
“Baik” balasku ringkas. Marnie mencebik. Tidak puas hati dengan jawapan pendekku.
“Satu untuk awak... satu untuk Reka...” tuturku. Marnie tersenyum meleret.
“Wah..... cantiknya! Terima Lia” ujarnya teruja. Keronsang itu dibelek – belek seketika. Marnie tersenyum puas.
“Suka?” soalku sekadar bertanya.
“Suka sangat. Terima kasih banyak – banyak, Lia” tuturnya sekali lagi. Dua buah kotak kecil itu disimpan di dalam beg tangannya. Aku menatap Marnie. Perlukah aku kemukakan pertanyaan ini kepada Marnie.
“Mengapa?” soal Marnie seakan mengerti apa yang sedang aku fikirkan.
“Bagaimana kedaaan Haqem sekarang?” soalku ingin tahu keadaan Haqem. Marnie menatapku. Pertanyaanku tidak terus dijawabnya. Marnie mengeluh kecil.
“Dia jadi seorang yang sangat pendiam, Lia. Kasihan juga tengok dia” keluh Marnie bersimpati. Aku terdiam. Rasa bersalah begitu menebal dalam diriku.
“Tapi semua ni bukan salah awak pun” tingkah Marnie. Kutatap Marnie. Ikhlaskah bicarannya ini?
“Awak ada jumpa Rania?” soalku lagi. Sudah lama juga Rania tidak muncul di depanku. Dia menghilangkan diri begitu saja. Barangkali sudah berputus asa dengan Aqel. Kasihan juga Rania. Namun semua itu salahnya juga. Dia yang tidak setia kepada Aqel.
Jangan – jangan tindakan Rania ada kaitan dengan gadis yang bernama Flora itu. Rania pasti tidak puas hati dengan Aqel yang masih mengingati kekasih pertamanya. Mungkin sebab itulah dirinya terdorong melakukan perbuatan keji itu semata – mata terasa dirinya terabai dan kecewa dengan Aqel. Kalau tidak mustahil juga Rania tidak menyenangiku. Semua ini pasti ada kaitan dengan nama itu. Rania memusuhiku kerana nama Flora itu. Nama yang merantai jiwa raga Aqel. Nama yang menyebabkan perpisahan Aqel dengan Rania. Mesti Rania salah faham. Mungkin dia fikir Aqel menyanjungiku persis Flora.
“Awak tahu siapa Flora?” soalku sambil menatap Marnie. Berharap sangat Marnie mengetahui serba sedikit tentang gadis pemilik nama ini. Marnie terus saja tergelak.
“Awaklah Flora. Bukan ke Encik Aqel panggil nama awak Flora” tutur Marnie mengecewakanku. Ternyata Marnie langsung tidak mengetahui tentang gadis ini.
“Mengapa ni, Lia? Encik Aqel ada perempuan lain ke? Encik Aqel takkan buat begitulah” tutur Marnie salah faham. Aku tersenyum sekilas. Tidak mahu mempamerkan kebinggunganku pada Marnie. Biarlah aku sendiri menjejaki pemilik nama ini.
“Nama awakkan Nur Dahlia, sebab itulah Encik Aqel panggil awak Flora. Si Bunga Dahlia yang cantik manis” tutur Marnie lagi sambil tersengih – sengih memujiku.
 “Gembira sangatlah awak dan Encik Aqel dah jadi suami isteri” tutur Marnie. Marnie mengeluh pula tatkala teringatkan Haqem. Namun dipendam saja perasaan itu. Serba salah dibuatnya.
“Kalau Datin Sofea merestui hubungan awak dengan Encik Haqem, pasti saya juga mengharapkan kalian bersama. Tengok Encik Aqel pun tak yakin dengan hubungan tu” tutur Marnie.
“Yelah.... Aqel bernikah dengan saya pun sebab nak lindungi saya. Dia takkan biarkan Rania, Datin Sofea dan Bella.... termasuklah Haqem sakiti saya. Tiada sesiapa yang boleh sakiti saya” ujarku teringat pada bicara Aqel ketika bulan madu kami di Pulau Nami. Marnie tersenyum lebar menatapku.
“Itu tandanya Encik Aqel sayang awak” ujar Nina mengusik. Aku hanya membalas pandangan Marnie dengan pandangan kosong. Aqel menikahi aku demi memenuhi hasrat keluarga. Rasa tanggungjawabnya untuk melindungi keluarga begitu menebal dalam diri Aqel.
“Aqel hanya sayangkan Flora...” sahutku. Marnie menatapku.
“Tapi... bukan saya” ujarku memperingatkan Marnie bahawa aku bukan pemilik nama itu. Marnie harus sedar Flora itu benar – benar wujud tapi bukan aku. Dialah insan yang tidak pernah luput dari kotak memori Aqel.
“Rehat nanti awak dan Reka makan di mana?” soalku mengubah topik perbualan. Marnie berfikir – fikir seketika.
“Kami tak nak ganggu pengantin baru. Awak pergilah makan dengan Encik Aqel” tutur Marnie menolak kehadiranku bersama mereka. Aku mencebik bosan. Punah harapanku.
“Saya tak janji pun nak keluar makan dengan Aqel nanti” tuturku.
“No....no....no... Awak wajib makan dengan suami awak” ujar Marnie sambil menggerak – gerakkan telunjuknya. Aku menggeleng kepala.
“Sampai hati kamu biarkan saya makan sorang – sorang” tuturku merajuk dan mempamerkan wajah masam. Marnie geleng – geleng kepala. Tidak mahu mengendahkan bicaraku dan rajuk yang aku buat – buat.
“Jahat betul kamu...” keluhku bersedih. Marnie hanya tersengih – sengih.
“Jangan risau, jangan bimbang, don’t worry, Encik Aqel takkan biarkan awak makan sorang – sorang” tutur Marnie lalu bangkit dari duduknya. Aku mendengus bosan. Marnie sudah bergerak ke muka pintu meninggalkan aku bersendirian di bilik ini.
“Datang office tak sama, nikan nak makan bersama pula. Aqel banyak sangat agenda tersendiri” keluhku. Kupandang telefon bimbitku di atas meja. Tiada panggilan mahupun mesej Aqel yang kuterima. Ketika sarapan tadi pun Aqel tidak menyatakan mahu makan bersamaku tengah hari ini. Aku mendengus lagi. Nampaknya terpaksalah aku makan sendirian. Aduh.... sadisnya! Aku menyandarkan tubuhku di kerusi. Tidak mahu melengahkan masa lagi. Mula fokus pada kerja – kerja yang kutinggalkan sepanjang seminggu bercuti.

Aku menatap jam tanganku disusuli dengan keluhan panjang. Sejenak hanya terpaku di kerusi ini. Masih membuat pertimbangan sama ada terus meneguk air mineral ini sebagai pengalas perut ataupun makan bersendirian di kafeteria.
“Aduh... kasihannya awak, Lia” ujarku berbicara sendiri. Perutku mula berkeroncong. Terasa pedih petanda minta diisi. Lantas aku teringat pada Haqem. Pelawaan Haqem lebih awal sehari. Esok berjanji hendak makan denganku, hari ini Haqem sudah memaklumkannya. Malah bagaikan sudah menjadi rutin pula makan bersama – sama Haqem. Ketika itu tidak payah susah – susah aku mencari teman menikmati hidangan tengah hari di tempat kerja. Aku melepaskan keluhan beratku. Ternyata aku tidak mampu mengosongkan benakku dari mengenang Haqem.
Rasa laparku kian menyengat. Bingkas aku bangkit dari kerusi ini lalu mengatur langkah ke pintu. Mahu membeli makanan tengah hari dan menikmatinya di bilik ini. Memandangkan aku kesuntukan masa lantaran lama membuat pertimbangan, kubesarkan langkahku. Di pertengahan jalan, langkahku terhenti. Pertemuan yang tidak dijangka – jangka. Aku beradu pandangan dengan Rania. Rania hanya membisu dengan pandangan kosong menatapku. Aku mahu menyapanya, namun melihat pandangan Rania yang tidak menyenangiku, kumatikan saja hasratku ini. Rania pasti tidak ingin berbicara denganku. Rania berlalu meninggalkan aku tanpa sekelumit bicara mahupun senyuman.
“Mari....” Aku tersentak tatkala mendengar suara mengajakku pergi disusuli dengan tangan yang sudah menyentuh lenganku. Aku berpaling. Aqel sudah berada di sisiku sambil tersenyum mengoda. Indah sungguh senyuman Aqel tika ini. Tanpa kuduga Aqel sudah melingkarkan tangannya di bahuku lantas mendorongku mengatur langkah bersamanya. Tampak sunggu mesra. Aku yang terasa betapa kekoknya diperlakukan sedemikian, terpaksa merestui tindakan Aqel ini sambil  mengikut gerak langkahnya. Tersenyum – senyum warga KDUT memandang kami.

Aku melepaskan diri dari Aqel, lantas segera melabuhkan duduk di kerusi ini. Lega. Betapa selesanya tidak menjadi tontonan warga KDUT. Aqel memilih duduk bertentangan denganku. Seketika dia leka memilih menu tengah hari yang bakal dinikmati. Aku hanya membiarkan Aqel membuat pilihan. Selalunya seleraku dengan Aqel serasi.
“Mulai hari ni awak akan makan tengah hari bersama saya. Awak tunggu di bilik awak saja saya akan datang jemput awak” tutur Aqel. Aduh.... nampak formal sangat! Bagai VIP pula mesti dijemput – jemput. Sampai bilakah agaknya Aqel akan mampu berbuat demikian!
“Awak dengar Flora?” soal Aqel menyentakku.
“Saya bukan Flora..!” tingkahku geram. Aqel menatapku.
“Saya tak suka awak panggil saya dengan nama tu” tingkahku berterus terang. Aku mendengus bosan. Bosan tatkala Aqel acapkali memanggilku dengan nama kekasihnya itu.
“Kalau pun awak rindukan kekasih lama awak tu tak payahlah samakan saya dengannya” ujarku lagi. Aqel menatapku tajam. Pasti tidak suka mendengar bicaraku. Kulontar pandanganku menjauhi Aqel. Senyap. Sejenak aku dan Aqel membisukan diri.
“Makanlah....” suara Aqel memecah kesepian. Rupa – rupanya hidangan makanan tengah hari sudah terhidang di meja. Betapa jauhnya aku membawa diriku. Aqel sudah meletakkan sayur dan isi ikan masak tiga rasa di pinggan nasiku.
“Terima kasih....” sempat juga aku melafazkan penghargaan itu kepada Aqel. Aqel hanya membisu dan mula menyuap nasi di pinggannya. Sesi makan tengah hari ini berlangsung dengan sunyi sepi. Masing – masing melayan selera sendiri.
“Saya harap kita berdua boleh hidup bahagia sebagai suami isteri” tutur Aqel menyentakkanku. Kutatap wajah Aqel. Jujurkah Aqel meluahkan kata – katanya ini? Bagaimana kami hendak membina kebahagiaan andai di benak masing – masing masih memikirkan orang lain? ‘Ya Allah aku tidak mahu mengingati lelaki lain, namun mindaku masih belum mampu menghapuskan ingatanku kepada Haqem, mataku masih terlihat bayangannya dan bibirku masih mahu menyebut nama lelaki itu’.
“Habiskan nasi awak tu. Membazir adalah amalan syaitan” arah Aqel memberi peringatan. Bicara Aqel sungguh dahsyat walaupun itu hakikatnya. Kurenung seketika nasi di pinggan. Aku tersentak mendengar deringan telefon bimbitku. Laju tanganku mengeluarkannya dari saku beg galasku. Nama Haqem terpapar di dada skrin. Segera jariku memutuskan panggilan. Belum bersedia berbual – bual dengan Haqem, apatah lagi berbual di depan Aqel.
“Mengapa tak jawab panggilan tu?” soal Aqel buat aku tergamam. Aqel menatapku.
“Haqem yang telefon awak?” soal Haqem lagi. Aku diam. Tidak mengangguk mahupun menggeleng.
“Andai Haqem menelefon awak, jawab saja panggilan tu. Jangan diam. Saya tak suka awak melarikan diri” tegas Aqel sekali gus memberi keizinan kepadaku. Senyap. Aku merenung nasi di pingganku. Tiba – tiba saja hilang selera hendak makan. Namun mengingati bicara Aqel sebentar tadi kupaksa diri juga menghabiskan nasi, sayur dan lauk – pauk di pingganku. Tidak mahu Aqel beranggapan negatif terhadapku.
“Awak rindukan Haqem?” suara Aqel memecah kesepian. Persoalan itu diajukan  kepadaku lagi. Suaraku tersekat di kerongkong. Aku tidak menjawab pertanyaan Aqel. Aku menatap Aqel. Seketika kami saling berpandangan.
“Saya perlukan penjelasan awak tentag Flora” pintaku mengajukan perkara itu kepada Aqel. Aqel menatapku sekilas pandang. Tiada penjelasan yang keluar dari mulutnya. Anak matanya melirik jam di tangannya. Segera dihabiskan jus oren di gelas.
“Mari....” ajaknya lantas bangkit dari duduk. Aqel membiarkan saja permintaanku berlalu. Aku mengeluh panjang. Lambat – lambat aku bangkit dari kerusi ini lantas mengekori langkah Aqel. Aku mengatur langkah dengan benak yang ligat berfikir. Perlukah aku memaksa Aqel bercerita, mengenang kisah duka lalunya lantas membebani dirinya dengan pertanyaan – pertanyaan yang tidak ingin dijawabnya. Bukankah aku akan berlaku kejam kepada lelaki yang sentiasa mahu melindungiku? Betapa aku lupa tentang diri Aqel yang sedang sakit akibat kelalaianku. Sepatutnya aku menjaga Aqel dengan baik, bukannya melukai hatinya dengan mengungkit kisah lalu yang mahu dilupakannya. Betulkah Aqel mahu melupakan gadis itu? Kalau sungguh Aqel mahu memadam ingatannya kepada gadis itu, mengapa Aqel harus memindahkan nama Flora itu kepadaku? Nampak sangat perpisahan yang terjadi tanpa kerelaan Aqel. Aqel masih mengingati gadis itu. Cinta Aqel kepada Flora begitu mendalam. Mengapalah wujudnya cinta sebegini yang menyeksakan...
“Haqem ada belikan makanan tengah hari untuk awak” ujar Aqel menyentakkanku. Aku mengalih pandanganku ke arah beg kertas berbunga di atas meja. Kemudian menatap memo tulisan tangan Haqem.

~Saya harap awak akan sudi menikmatinya walaupun awak dah tak sudi mendengar suara saya ...... Haqem...~  Suara hati kecilku membaca memo yang ditinggalkan oleh Haqem yang dilekat pada permukaan meja ini. Nampak sangat rajuk Haqem. Aku teringat panggilan telefon Haqem yang tidak kujawab tadi.

“Dia kecewa awak tak jawab panggilannya” ujar Aqel mengulas memo itu. Aku berpaling ke arah Aqel. Anak mata Aqel masih melekat pada memo yang ditulis oleh Haqem itu. Aku cuba mentafsir riak wajah yang dipamerkannya tika ini. Sukar hendak menyelami perasaannya. Yang pasti Aqel tidak pernah mencemburui tindakan Haqem. Aku yakin. Sungguh..!


6 comments:

  1. Penasaran je nak tahu...siapa Flora yg sebenarnya..Ingatkan cuma Aqel je yg kenal Flora..rupa-IInya Pak Long Lia pun kenal ea..Tak sabar nak baca next entry.hopefullymisteri akan terbongkar ^__^

    ReplyDelete
  2. Flora n Lia bukan orang yang sama ke?

    ReplyDelete
  3. Hi Permata

    Its getting interesting now...

    ReplyDelete
  4. assalamualaikum..... salam ramadhan semua. terima kasih atas ulasan n komen kalian. terima kasih juga atas kesudian pembaca setia menatap novel ini.... semoga idea sy kian bertambah2 dgn sokongan anda semua....

    ReplyDelete