Wednesday 29 March 2017

Namaku Bukan Flora....88




BAB 88

                                                                                                  
Aku mendekati Aqel yang sedang leka membaca buku. Aqel mengalih pandangan ke arahku. Wajahku direnung. Hairan. Aku tersengih.
Sorry... Ini hadiah awak” ujarku lalu meletakkan kotak putih bereben merah ini di atas meja di depan Aqel. Aqel menatapku.
“Saya harap awak gembira menerimanya” ujarku sambil menunggu Aqel bersuara. Kotak putih ni dipandang sekilas. Mungkin sedang membandingkan hadiah yang dibelinya dengan hadiah ini. Selangit beza nilainya.
“Memang tak setanding dengan hadiah yang awak beri” ujarku mentafir reaksi yang Aqel tunjukkan tika ini.
“Hadiah ini tak cukup lagi” Aqel berterus-terang. Tepat tafsiranku.
“Huh...” Aku terpinga-pinga menatap Aqel.
“Saya tak de duit banyak nak beli hadiah mahal-mahal untuk awak” ujarku tidak berselindung.  Aqel serius menatapku.
“Jangan kedekut” kutuk Aqel.
“Huh...” Terlopong mendengar tuduhan Aqel.
“Saya bukan kaya macam awak” rungutku tidak puas hati.
“Suami awak kaya” balas Aqel angkuh. Aku mencebik. Masuk bakul angkat sendiri. Suka puji diri sendiri.
“Saya nak guna duit sendiri. Takkan nak bagi awak hadiah guna duit awak pula. Tak de makna langsung” rungutku memberi alasan yang dapat diterima akal. Aqel tersenyum. Sekejap sahaja.
“Yang penting hadiah itu dari awak” tingkah Aqel. Kemudian mencapai kotak putih bereben merah di atas meja ini. Aqel membelek-belek kotak ini seketika. Aku hanya memerhatikan gelagat Aqel dan menunggu kotak ini dibuka. Mahu melihat reaksi Aqel. Kotak putih ini diletak di atas meja kembali. Aqel tidak berminat hendak mengetahui isi di dalam kotak ini. Dia menatapku.
“Saya tak nak hadiah ini saja” Aqel tidak berselindung. Aku garu-garu kepala. Orang beri hadiah terima sahajalah.
“Dalam kotak tu saya letak kunci treler” sindirku. Geram.
 “Saya nak awak masak untuk saya” arah Aqel membuat permintaan. Masak untuk Aqel? Mudah sahaja.
“Okey...” Laju aku memberi kesanggupan. Kerja mudah.
“Sekarang sudah pukul 8.00 malam. Saya ingat awak dah makan di rumah mak tadi. Tak sempat nak masak macam-macam. Lagipun bahan mentah nak dimasak dah habis. Beri saya masa 30 minit. Tepat pukul 8.30 nanti kita makan sama-sama” janjiku lalu bergerak ke pintu. Tidak mahu berlengah lagi. Pandangan Aqel menyoroti langkah gadis itu ke pintu. Kemudian mengalih pandangan ke arah kotak kecil putih bereben merah di depannya.
“Kunci treler...” Aqel berbicara sendiri. Dia tersenyum. Lantas dicapai kotak itu. Ikatan reben merah dileraikan. Penutup kotak itu diangkat. Tangannya mengeluarkan isi kotak. Aqel tersenyum menatap patung perempuan berkaki spring itu. Ditekan berulangkali kerana suka melihat senyuman dan kenyitan mata gadis bergaun merah itu.
“Comel...persis orang yang menghadiahkannya...” puji Aqel suka. Berulang-ulangkali gadis bergaun merah itu mengenyitkan mata ke arahnya.
~Saya harap senyuman dan kenyitan mata gadis ini akan menghilangkan rasa marah awak~ Aqel tersenyum. Hadiah ini telah memujuk hatinya.   
“Masa untuk makan” ajakku sambil berdiri di depan pintu. Aqel tersentak. Cepat dia menyembunyikan patung dan kad itu di belakangnya. Aqel bangkit dari sofa lalu melangkah ke pintu.
“Awak dah tengok hadiah tu?” tanyaku mahu mendengar komen Aqel. Aqel menggeleng.
“Belum ada masa lagi” ujarnya. Aku mencebik. Dia langsung tidak teruja hendak melihat hadiah yang kubeli. Tiada perasaan langsung. Aqel mengiringi langkahku ke dapur.
“Perlu banyak masa ke nak tengok hadiah tu” Terkumat-kamit mulutku berbicara sendiri. Tidak puas hati mendengar alasan Aqel.
“Apa?” Aku tersentak. Laju aku geleng kepala dan tersengih menatap Aqel. Harap-harap Aqel tidak mendengar rungutanku itu. Kami melangkah ke ruang makan.
“Ta-da...” Aku mempersembahkan hidangan istimewa malam ini kepada Aqel. Aqel memandang makanan yang terhidang di atas meja. Sudah sedia menerima komen pedas Aqel.
“Silakan duduk...” pelawaku mempersilakan Aqel duduk menghadap hidangan malam. Aqel memandangku.
“Malam ini tema masakan saya...telur oh telur. Ada telur dadar cili padi, telur rebus kasih-sayang, sup telur jernih suci murni dan telur masak merah berani” ujarku tersengih menatap Aqel. Aqel memandangku dengan pandangan kosong. Tiada komen.
“Nasi...” pintanya. Laju aku menyenduk nasi ke dalam pinggan. Masa untuk menikmati hidangan malam yang sungguh istimewa. Kuletakkan nasi di depen Aqel. Aku tersenyum sendiri. Lapan biji telur aku gunakan untuk empat jenis masakan malam ini. Aqel menikmati hidangan malam ini dengan berselera tanpa sebarang komen. Mungkin juga tahap kelaparan yang memuncak menyebabkan dia tidak sempat berfikir. Melihat pinggan Aqel sudah kosong cepat aku menuangkan air untuknya. Dia sudah habis makan. Aku tersentak tatkala Aqel menyuakan pinggan kosong itu ke arahku.
“Tambah nasi sedikit” arahnya. Tidak menduga Aqel akan makan banyak malam ini.
“Berselera awak makan ye...” ujarku seakan tidak percaya menu telur ini akan memikat selera Aqel. Aqel mengangguk.
“Saya paling suka makan telur rebus kasih sayang ini” ujar Aqel.
“Ceh...!” Aku tergelak sendiri. Aqel sedang menyindirku.
“Awakpun patut selalu makan telur rebus kasih sayang ini agar orang dalam rumah ini sentiasa berkasih sayang” ujar Aqel lalu bangkit dari kerusi.
“Huh...”Aku terkebil-kebil menatap Aqel.
“Terima kasih atas hidangan istimewa awak ye...” Aqel membasuh tangan ke singki. Kemudian meninggalkan aku sendirian di dapur ini.
“Ada masa nanti awak bukalah hadiah tu” arahku sedikit melaung. Tidak sabar hendak melihat reaksi Aqel.
“Saya suka hadiah awak...” sahut Aqel berbicara sendiri.

Usai mencuci pinggan dan mengemas dapur, aku ke ruang tamu melabuhkan duduk di situ. Aqel leka menonton dokumentari sejarah yang mengisahkan tentang pemerintahan Hilter di Jerman. Dua tiga kali aku menguap. Sudah sampai masa hendak tidur. Bekerja di bawah penyeliaan Bella dan Datin Sofea menyebabkan berganda tenaga yang perlu dikerah.
“Saya nak tidur sekarang” jelasku sambil menutup mulut. Menguap lagi. Aku mengatur langkah sambil menggerakkan tangan membuat senaman ringan. Lenguh seluruh badan.
“Sampai bila awak mampu bertahan hidup macam tu” rungut Aqel sambil memerhatikan langkah gadis itu. Aqel melepaskan keluhan.
Masuk ke bilik, aku terus melempar tubuh ke atas tilam.
“Oh..., selesanya dapat berbaring begini” ujarku sambil memejamkan mata. Mataku buka. Aku mengangkat kepalaku. Meninjau-ninjau hadiah yang kuberi kepada Aqel tadi. Tiada di atas meja itu lagi. Mungkin kotak itu sudah Aqel simpan. Aku kembali memejamkan mata. Mahu tidur sekarang. Kedengaran bunyi daun pintu ditolak. Tahu Aqel yang masuk ke bilik ini. Tiba-tiba tubuhku di atas tilam ini melambung. Aku membuka mata. Tersentak melihat Aqel sudah berbaring di sebelahku.
“Lepas makan telur rebus kasih sayang tadi teringin pula nak tidur di sebelah awak malam ni” tutur Aqel tersengih mengecilkan matanya. Besar anak mataku menatap Aqel. Laju juga tanganku mencapai selimut lantas membungkus tubuhku.
“Awak tak boleh melepasi sempadan ini” ujarku memberi peringatan sambil meletakkan bantal peluk sebagai tembok pemisah. Aqel hanya tersenyum. Aku memaling tubuh lalu menghadap dinding. Tidak mahu bertentang muka dengan Aqel. Hilang rasa mengantukku tatkala berbaring berdekatan dengan Aqel tika ini. Wangian dunhill memenuhi rongga hidungku.
  “Nak tidur pun awak pakai wangi-wangi” rungutku.
“Bau wangi-wangian elok dan boleh hasilkan hormon kasih sayang suami isteri” balas Aqel buat aku ternganga.
“Geez...” Aku mengetap bibir menahan perasaan geram. Kuambil bantal lantas menutup kepalaku. Cuba berlagak tidak kisah Aqel berbaring di sebelahku.
“Sejuklah... Nak kongsi selimut dengan awak” Tangan Aqel sudah menarik selimut yang membungkus tubuhku. Aku memegang kuat-kuat selimut ini. Sama sekali tidak akan berkongsi selimut dengn Aqel.
“Awak ambillah selimut awak sendiri” arahku.
“Awak tak basuh selimut tu lagi. Bau busuk” Aqel memberi alasan. Aku dan Aqel saling tarik-menarik selimut ini. Aku cuba mempertahankan selimut ini daripada jatuh ke tangan Aqel. Maka berlakulah pertarungan tenaga yang lebih serius. Sudah sampai aksi silat. Kutolak tubuh Aqel. Aqel guna teknik bertahan. Dia memaku tubuhnya di atas tilam. Aku mengumpul tenagaku. Terpandang jari-jemari putih Aqel yang menggenggam kuat selimut ini. Mungkin ini sahaja cara hendak buat Aqel mengalah. Aku menundukkan kepala lalu mendekatkan gigiku pada jemari Aqel.
“Aduuuhhh...!” Aqel menjerit sekuat hati. Serentak itu bahagian selimut yang berada dalam genggaman tangan terlepas. Aku tersenyum puas dengan nafas yang tercungap-cungap. Letih selepas beradu tenaga dengan Aqel.
“Awak gigit jari saya...” marah Aqel sambil meniup-niup jari telunjuk. Nampak merah dan kesan gigitan.
“Awak tak boleh buli saya sesuka hati” Aku memberi peringatan. Aqel menjeling tajam. Bingkas dia bangun dari katil lalu melangkah ke pintu. Tatkala tubuh Aqel melepasi pintu, aku terus menerpa ke arah pintu lalu menekan tembol pintu. Aqel menolak-nolak daun pintu yang sudah berkunci.
“Flora... buka pintu ni!” arah Aqel marah. Aku menulikan telinga.
“Cepat buka...!” Aqel mengulangi arahannya. Aku tersenyum sendiri. Puas hati yang berganda kerana berjaya membalas dendam.
“Minta maaf...Encik Aqel. Malam ini terpaksalah awak tidur di ruang tamu” laungku memaklumkan kepada Aqel bahawa pintu ini tidak akan dibuka. Keputusan muktamad.
“Flora...” Aqel mendengus. Pasti wajahnya merah padam menahan marah sekarang.
“Satu perkara lagi... Sumpah selepas ini takkan ada telur rebus kasih sayang lagi” tegasku memberi peringatan. Telur rebus kasih sayang ini yang menyebabkan Aqel bertingkahlaku pelik.
“Apa?” Aku terus merebahkan tubuh di atas katil. Selesa dan aman damai. Tiada Aqel yang menggangguku. Boleh tidur lena sampai ke pagi esok.
Aqel melangkah longlai menuruni anak tangga dengan muka masam dan menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Dia terus merebahkan tubuh di atas sofa. Malam ini terpaksalah dia tidur di situ. Aqel mengusap-usap jari telunjuknya yang lebam. Terasa perit. Kesan gigi tajam gadis itu tertinggal di situ.
“Sumpah selepas ini takkan ada telur rebus kasih sayang lagi” suara gadis itu bermain di halwa pendengarannya. Aqel tersenyum sendiri.

Aqel membuka mata dan menggeliat. Hairan melihat selimut yang menutupi tubuhnya. Patutlah tiba-tiba rasa dingin itu berkurangan. Dia menguap beberapa kali. Rasa malas hendak bangun. Belum cukup tidur kerana semalam sukar hendak melelapkan mata di tempat tidur baru itu. Dia tidak pernah tidur di ruang tamu. Matanya menjeling ke arah jam. Laju dia bangun lalu terkocoh-kocoh melangkah ke bilik air mengambil wuduk. Risau terlepas waktu subuh. Usai solat subuh, Aqel melangkah ke dapur. Dipandang makanan yang terhidang di atas meja.  
“Awal dia bangun siapkan sarapan” Aqel berbicara sendiri. Masih awal hendak bersarapan. Segelas air kosong diteguk. Kemudian mendaki anak tangga ke tingkat atas. Pintu bilik sedikit terkuak. Lega. Sekarang dia boleh masuk ke bilik itu. Berdiri di depan pintu pandangan Aqel liar menatap sekeliling bilik itu. Kelibat gadis itu langsung tidak kelihatan. Dipandang katil yang sudah diatur kemas. Yakin gadis itu sudah tidak berada di bilik itu lagi. Aqel melontar tubuh ke sofa panjang itu. Mahu berbaring seketika. Ada sesuatu yang keras mengena kepalanya. Kepala diangkat lalu tangannya mencapai benda keras itu. Aqel tersenyum tatkala menatap gadis bergaun merah itu. Laju sahaja tangannya menekan membuatkan gadis kecil ini tersenyum dan mengenyitkan mata berulangkali. Aqel tersenyum panjang.

*************************************

“Bagaimana kerja dengan Cik Bella dan Datin Sofea?” tanya Marnie dengan wajah yang serius. Cuba membayangkan kesukaran yang kulalui.
“Okey...” sahutku pendek. Tidak perlu bercerita panjang berjela dan terperinci tentang perkara ini. Pasti Marnie sudah dapat menjangkakan situasi tersebut.
“Sabar sajalah, Lia. Kalau dah tahan dengan perangai mereka, awak letak jawatan je” saran Marnie bersimpati. Aku tersenyum tawar.
“Ya...memang menuntut kesabaran” sahutku. Bersabar demi Idlan dan arwah Kak Harianie. Aku meneguk air kopi panas dengan berhati-hati. Laju tanganku menutup mulut. Masih menguap beberapa kali. Harap-harap sedikit masa lagi air kopi ini akan melenyapkan mengantuk. 
“Lewat tidur semalam?” tanya Marnie menyedari aku banyak kali menguap.
“Tidur lewat dan bangun awal” jelasku. Aqel mengganggu tidurku. Awal pagi aku menyediakan sarapan untuk Aqel. Simpati melihat Aqel memeluk tubuh menahan kedinginan subuh tanpa selimut. Rasanya dia tidak dapat tidur lena malam tadi.
“Awal awak menghilangkan diri” Aku dan Marnie serentak berpaling. Aqel baru sahaja hendak melabuhkan duduk di kerusi di sebelahku. Marnie terus sahaja mengukir senyuman. Aku pula tercengang-cengang menatap Aqel. Apa mimpinya malam tadi tiba-tiba muncul di sini. Tidak diundang, tidak dijemput terus duduk semeja dengan kami.
“Boleh saya duduk di sini?” Aqel mengaju pertanyaan kepada Marnie.
“Oh...,boleh...boleh..! Silakan...” ujar Marnie teruja. Aku mencebik. Tidak pula pertanyaan itu diajukan kepadaku. Pasti aku tidak akan membenarkan Aqel duduk semeja bersama kami. Aqel berpaling ke arahku. Dia tersenyum.
“Boleh tidur lena semalam?” tanyanya tersengih.
“Mestilah...” balasku serius. Marnie tersenyum-senyum.
 “Tipu dia Encik Aqel. Lia masih mengantuklah” Marnie mencelah. Besar anak mataku menatap Marnie. Aqel tersenyum. Terbongkar pembohonganku. Marnie tersengih dan melirik nakal ke arahku. Makanan yang dipesan oleh Aqel sampai. Nasi putih dan kerang bakar. Dilengkapi dengan sup cendawan. Ringkas sahaja menu hidangan tengah hari Aqel. Sudahlah malam tadi makan telur pelbagai rasa sahaja. Aku tersenyum sendiri.
“Kenapa dengan jari telunjuk Encik Aqel tu? Luka?” suara Marnie bertanya mengejutkan aku. Aku menatap Aqel yang sedang menanggalkan kulit kerang itu. Jelas kelihatan jari telunjuknya lebam. Aqel melirik ke arahku dan tersenyum.
“Sepit ketam” Laju aku menjawab bagi pihak Aqel. Sensitif.
“Huh...” Terlopong Marnie mendengar jawapanku.
“Bukanlah. Dia yang gigit semalam” ujar Aqel membetulkan jawapanku.
“Apa?” Ternganga Marnie mendengar jawapan Aqel. Kemudian tersenyum nakal menatapku. 
“Ganasnya awak, Lia” Marnie tersipu-sipu.  Besar gelak Aqel. Mukaku panas membahang. Rasa terbakar diri ini.
“Jangan fikir yang bukan-bukanlah...” rungutku. Tajam pandanganku menatap Marnie yang tersengih-sengih. Aqel tersenyum. Tiada nampak dia hendak membuat sebarang penjelasan tentang perkara semalam bagi mensirnakan salah faham Marnie.  
“Mar...saya tak nak awak salah faham...” ujarku serius. Marnie senyum.
“Saya gigit ...”
“Ssshhhh...” Aqel sudah meletakkan telunjuk di bibir memotong bicaraku. Isyarat meminta aku diam. Jari telunjuk Aqel lebam. Gigitan yang kuat yang menyebabkan Aqel melaung kesakitan sekali gus menyerah kalah dalam perebutan selimut malam tadi.
“Rahsia suami isteri tak boleh cakap pada orang lain” tegur Aqel menghalang aku menghabiskan kata-kata. Marnie tergelak. Aku mengetap bibir menahan geram. Kata-kata Aqel menambah salah faham Marnie.
“Jangan risau, Lia. Saya faham” sahut Marnie tersenyum mengusikku. Aku menarik muka masam. Aqel telah mengenakan aku. Sengaja dia mahu membuatkan Marnie salah faham.
“Encik Aqel nak berapa orang anak?” tanya Marnie mengesahkan andaianku. Memang Marnie mempunyai tafsiran yang lain. Semakin panas mukaku mendengar pertanyaan yang Marnie ajukan kepada Aqel. Aqel tersenyum.
“Saya nak sepasang cahayamata” balas Aqel persis telah membuat perancangan keluarga.
“Rugi beranak sedikit Encik Aqel. Encik Aqelkan bijak, handsome dan Lia pun cantik. Beranaklah banyak-banyak” saran Marnie tanpa segan-silu.
“Awak ingat saya ni kilang nak keluarkan anak berdozen-dozen...” rungutku. Aqel dan Marnie tergelak. Suka hati menyakatku. Bertambah masam mukaku. Pasti merah merona juga saat ini. Aku memandang jari telunjuk Aqel yang lebam itu. Simpati dan rasa bersalah. Laju aku mencapai beg galas lalu mengeluarkan sesuatu dari poket kecil ini.
“Tengok telunjuk awak tu” arahku. Aqel dan Marnie menatapku.
“Cepat...” perintahku lebih tegas. Terkebil-kebil Aqel menghulurkan jari telunjuk itu kepadaku sambil diperhatikan oleh Marnie. Kutanggalkan plaster ini dari gam lalu membalut jari telunjuk Aqel kemas-kemas dan berhati-hati.
“Oh..., so sweet...” Marnie penuh perasaan memerhatikan kami. Aqel tersenyum lebar. Suka. Seronok tatkala dirinya diberi perhatian.
“Jangan senyum lebih-lebih” tegurku. Semakin lebar pula senyuman Aqel. Matanya turut mengecil. Aduh..., sungguh mengoda!
“Perasaan awak bergelora tengok saya senyum” balas Aqel menyakat. Marnie ketawa. Laju jariku memicit telunjuk Aqel.
“Aduh...!” Dahi Aqel berkerut menahan sakit.
“Kejamnya awak, Lia” rungut Marnie. Aku tersenyum. Puas hati dapat membalas dendam. Banyak kali Aqel mengenakan aku di depan Marnie.
“Haqem...!” tiba-tiba Aqel melaung nama itu sambil melambai tangan. Aku dan Marnie berpaling. Haqem sedang mengorak langkah mendekati kami bersama segelas jus oren di tangan. Sempat Marnie memandangku. Aku senyum. Faham dengan pandangan mata Marnie.
“Duduklah kat sini...” ajak Aqel.
“Boleh ke duduk sini?” tanya Haqem memandangku dan Marnie silih bergannti.
“Boleh...” serentak aku dan Marnie memberi keizinan. Haqem senyum lantas melabuhkan duduk di sebelah Marnie bertentangan dengan Aqel. Dari berdua sekarang sudah berempat. Mungkin sekejap lagi berenam. Rania dan Bella boleh menyertai kami. Aku tersenyum sendiri. Gara-gara Aqel dan Haqem kedua-dua gadis itu tidak menyukaiku. Malang sungguh nasibku. Aku mengeluh kecil.
“Kenapa dengan jari awak tu?” Haqem melontar pertanyaan sambil menatap telunjuk Aqel. Laju aku berpaling ke arah Aqel. Aqel tersenyum. Marnie juga senyum. Bahaya.
“Lia yang gigit...” Marnie bersuara menjawab pertanyaan Haqem.
“Mar...” tegurku. Marnie sudah tergelak. Aqel senyum. Haqem terdiam. Ikutkan hati mahu sahaja aku menceritakan kejadian semalam agar tiada yang salah faham. Namun segan juga pergaduhanku dengan Aqel yang hanya berpunca daripada selimut diketahui. Nampak pula keanak-anakan nanti. Setelah berfikir dan membuat pertimbangan, aku ambil pendekatan untuk berdiam diri. Biarlah cerita ini terhenti di situ sahaja.
“Awak suka hadiah yang Lia beri?” tanya Haqem menyentakkanku. Aqel juga nampak tersentak dan menatapku. Aku tersengih.
“Jangan lupa janji awak nak beli hadiah untuk saya” Haqem mengungkit janjiku. Aku terkedu. Namun cepat sahaja aku mengangguk dan senyum.
“Semalam terserempak dengan Haqem di kedai hadiah. Sebab dia kawan baik awak, maka saya minta pertolongan dia nak pilih hadiah untuk awak. Banyak perkara yang saya tak tahu tentang awak” ujarku memberi penjelasan. Senyap. Masing-masing berdiam diri. Situasi ceria dengan gelak tawa Marnie dan Aqel sebentar tadi bertukar serius. Terasa tegang. Marnie menatapku lalu memberi isyarat. Tidak tahu hasrat hati Marnie.
“Kami dah nak masuk kerja semula ni. Dah lama di sini” tiba-tiba sahaja Marnie bangkit lalu menarik tanganku mengajak pergi. Terkebil-kebil aku bangun.
“Kami pergi dulu...” ujarku meminta diri. Marnie terus menarik tanganku mahu segera beredar dari situ. Mahu cepat meninggalkan Aqel dan Haqem.
“Kenapa ni?” Hairan melihat Marnie cemas.
“Awak patut ajak saya semalam pergi beli hadiah itu. Bukannya pergi dengan Haqem” Marnie mengetap bibir. Geram.
“Saya pergi seoranglah. Tak pernahpun ajak Haqem. Saya terserempak dia di sana” jelasku panjang lebar. Marnie melepaskan keluhan.
“Kenapa? Serius ke perkara ni?” tanyaku bingung.
“Apa yang tak seriusnya. Dua orang pemuda kacak itu ada hati pada awak. Encik Haqem bekas kekasih awak masih menyimpan perasaan pada awak, Encik Aqel pula ialah suami awak yang juga ada hati pada awak. Awak tak rasa tindakan awak telah menyebabkan kedua-duanya kurang senang” berjela Marnie memberi penjelasan. Bingung. Aqel dan Haqem bersahabat baik. Namun sering kali kedua-dua tersinggung kerana aku. Aku melepaskan keluhan. Susah hendak memuaskan hati setiap orang.
“Sekarang apa yang patut saya buat?” tanyaku kematian akal. Sudah tidak mampu berfikir. Marnie mengeluh lagi. Perkara ini sangat serius. Namun kuketahui Marnie akan sentiasa berpihak kepada Aqel.
“Awak fikirlah sendiri. Apapun awak harus jaga perasaan Aqel kerana dia suami awak. Awak buatlah pilihan” nasihat Marnie menyerahkan aku membuat keputusan dan bertindak. Aku mula berfikir.
“Apa yang berlaku malam tadi? Tak sangka awak ni gelojoh juga ye” Marnie tersengih.
“Mar...!” Aku menjerit lalu menampar-nampar lengan Marnie. Marnie tergelak panjang. Terasa terbakar seluruh tubuhku menahan malu. Panas membahang.
“Nampaknya tak lama lagi bolehlah saya tengok Aqel Junior. Tak sabar rasanya” Marnie terus mengusikku. Sakit telingaku.
“Apa yang awak fikirkan tak pernah berlaku” tegasku marah. Lantas mengatur langkah laju meninggalkan Marnie yang sedang ketawa berpanjangan. Tidak tahan mendengar usikan Marnie.
“Lia..., tunggu saya!” laung Marnie sambil berlari mengejar langkahku. Kutulikan telinga.
****************************

Aku memandang kerusi kosong di sudut itu. Lega. Lebih tenang Bella tidak ada di sini. Tidak kuketahui ke mana dia pergi. Dia tidak pernah memaklumkan perkara itu kepadaku. Tiada keperluan. Tidak kisah. Paling penting aku melaksanakan tugasku dengan sempurna. iPhone berbunyi. Nama Haqem terpamer di dada skrin.
“Assalamualaikum...” suara Haqem memberi salam. Aku menjawab salam itu.
“Ye... Haqem, apa hal?” tanyaku. Ada perkara penting sahaja yang akan membuatkan menghubungi aku.  
“Saya nak minta tolong. Bolehkah?” tanya Haqem.
“Boleh. Apa yang boleh saya tolong?” tanyaku.
“Tolong jaga Idlan kejap. Saya perlu jumpa klien hari ni tak sempat nak hantar dia balik ke rumah” jelas Haqem serba salah.
“Oh..., Idlan. Hantarlah dia ke sini” Teruja mendengar Idlan akan datang.
“Kejap lagi saya hantar Idlan pergi sana. Assalamualaikum...” Sekali lagi salam Haqem kujawab. Aku melangkah ke pintu mahu menyambut kedatangan Idlan. Tidak sabar hendak bertemu dengan Idlan. Sudah lama tidak bersua muka.
“Mama...!” Idlan berlari menerpa ke arahku sebaik sahaja melihat aku di ambang pintu.
“Hati-hati...!” laung Haqem memberi peringatan. Aku dan Idlan berpelukan seketika. Haqem tersenyum memerhatikan. Cukup senang menatap kemesraan itu.
“Rindu kamu...dah lama tak jumpa” ujarku sambil mengusap-usap rambut Idlan. Idlan tersenyum ceria. Semakin comel budak ini. Dewasa nanti bakal menjadi pemuda yang kacak dan mampu menyaingi ketampanan Haqem.
“Saya pun rindu mama...” ujar Idlan
Sorry... saya tinggalkan Idlan sekejap di sini. Nanti saya datang sini ambil dia” jelas Haqem. Rasa telah membebankan gadis ini.
It’s okey...” Aku tersenyum. Langsung tidak terbeban hendak menjaga Idlan. Budak ini pandai berdikari. Pandai jaga diri. Tidak pernah menyusahkan.
“Idlan duduk sana” arahku sambil menunding jari ke arah sofa. Idlan mengangguk lalu bergerak ke situ. Mudah sahaja hendak menjaganya.
“Idlan dah makan?” Haqem menggeleng.
“Dia tak nak makan tadi. Masih kenyang” jelas Haqem.
“Takpe...nanti saya ajak dia makan” janjiku. Haqem tersenyum.
“Terima kasih, Lia” Haqem senyum lagi. Aku mengangguk. Dipandang tempat duduk Bella.
“Bella mana?” tanyanya. Aku menjungkit bahu. Tidak tahu ke mana gadis itu menghilangkan diri. Mungkin juga ada pertemuan dengan Datin Sofea.
“Mesti awak tertekan bekerja dengan mama dan Bella. Sorry” Haqem menyalahkan diri. 
 “Semua berjalan lancar. Tak payah risau” Cuba menghilangkan rasa bersalah Haqem.
“Okeylah... saya pergi dulu. Idlan... jangan nakal-nakal tau. Dengar cakap mama” pesan Haqem kepada Idlan. Idlan mengangguk.
“Okey... papa” sahut Idlan berjanji.
“Saya pergi dulu. Terima kasih” Aku mengangguk.
“Hati-hati” pesanku. Haqem tersenyum lantas menutup daun pintu. Aku melangkah ke arah Idlan. Idlan sedang menulis.
“Banyak kerja rumah yang cikgu beri?” tanyaku. Idlan mengangguk.
“Kalau Idlan letih dan nak tidur, baring atas sofa panjang ni nanti. Kalau rasa lapar nanti cakap juga ye” pesanku. Idlan mengangguk-angguk faham.
Auntie nak sambung buat kerja sekarang” Idlan mengangguk lagi. Kuusap-usap kepalanya. Idlan anak yang baik. Setiap kali menatapnya simpatiku kian menebal. Kutinggal Idlan yang sedang sibuk menyiapkan kerja sekolah. Kupandang ke pintu. Kalau Aqel muncul saat ini pasti dia boleh menemani dan melayan Idlan. Tidaklah budak itu bersendirian di situ.
“Aqel...datanglah sini! Aqel...datanglah di sini!” suara hatiku menyeru kemunculan Aqel. Aku sungguh mengharapkan Aqel akan datang sedetik lagi. Aku melepaskan keluhan kecil. Tidak mungkin Aqel akan muncul. Dia perlu menyelesaikan banyak perkara. Kualih pandangan menjauhi pintu. Aku menyambung kerja yang perlu diselesaikan.
Daun pintu ditolak. Allah memperkenankan hajat hatiku. Aqel muncul? Mungkin Aqel mendengar panggilanku. Laju aku mendongak lalu memandang ke pintu.
“Awak dah buat kerja yang saya suruh semalam?” suara garang Bella memecah kesepian. Idlan tersentak lalu memandang ke pintu. Baru sahaja melangkah ke pintu dia sudah membawa angin tidak elok. Harap-harap Bella tidak akan mengamuk di depan Idlan.
“Oh..., Idlan ada di sini” Dia baru tersedar aku tidak bersendirian di sini. Terkocoh-kocoh Bella mendekati Idlan dengan senyuman mekar menguntum. Sekejap sahaja moodnya berubah. Terpinga-pinga Idlan menatap Bella. Dia belum mengenali gadis ini. Sekejap tadi garang seperti singa sekarang sungguh mesra pula.
“Hai, saya Bella. Boleh panggil Auntie Bella. Oh...boleh juga panggil saya mama” ujar Bella memperkenalkan diri. Aku tersenyum sendiri. Bella sudah memeningkan kepala Idlan. Tanpa diarah Idlan bangkit dari duduknya lalu bersalam dengan Bella.
“Nama saya Idlan Raid. Boleh panggil Idlan je” ujar Idlan memperkenalkan diri.
“Oh..., so sweet” Bella tersenyum ceria. Hatinya terpaut kepada kesopanan Idlan.
Handsome boy...” Bella mengusap-usap rambut Idlan lagi. Matanya bercahaya menatap Idlan. Jelas ketelusan Bella. Pasti dia bersimpati dengan perjalanan hidup Idlan yang penuh dugaan. Yakin dan percaya Bella tidak berlakon di depanku. Dia ikhlas melayan Idlan dengan baik. Lega. Kubiarkan Bella bersama Idlan. Bella bijak berinteraksi dengan Idlan. Kemesraan cepat terjalin antara mereka.
“Dulu auntie belajar di luar negara. Banyak tempat auntie telah pergi di USA” Bella bercerita memberi reaksi tatkala Idlan mula bercakap tentang kehidupan di luar negara. Idlan tersenyum teruja. Mereka berkongsi cerita dan pengalaman hidup di Amerika Syarikat. Kemudian sama-sama ketawa tatkala ada peristiwa yang mencuit hati. Aku tersenyum sendiri. Masih ada kemurniaan dalam hati Bella.
“Sekejap ye...” Perbualan mereka terhenti. Tangan Bella mencapai iPhone. Bella menatap skrin dan kemudian mengalih pandangan kepada Idlan. Dia tersenyum kepada Idlan. Diusap rambut budak ini lagi.
“Ya...mama, saya di pejabat sekarang” Aku memandang Bella. Cara dia bercakap aku yakin dia sedang berbual dengan Datin Sofea di talian. Aku berharap Bella tidak akan memberitahu Datin Sofea bahawa Idlan ada di sini.
“Balik kerja nanti saya singgah rumah mama. Sekarang saya busy...banyak kerja nak settle” ujar Bella memberi alasan. Aku menarik nafas lega. Mujur Bella tidak menyebut tentang Idlan. Datin Sofea tidak suka Idlan berada di sini.
“Okey... jumpa nanti. Assalamualaikum” Bella menyimpan iPhone di dalam beg tangan. Dia tersenyum menatap Idlan.
“Nenek yang call?” Idlan bertanya. Bella mengangguk.
“Kamu nak jumpa nenek?” tanya Bella dengan pandangan simpati.
“Nak...nak...” sahut Idlan teruja. Kasihan Idlan.
“Ada masa yang sesuai nanti auntie akan bawa kamu jumpa nenek. Auntie janji” ujar Bella sambil menepuk-nepuk lembut tubuh Idlan.
“Janji?” Idlan memohon kepastian. Bella mengangguk. Aku memerhatikan mereka. Lapang dada. Janji Bella lebih kuyakini. Aku percaya Bella mampu melakukannya.
“Betul ke auntie banyak kerja sekarang?” tanya Idlan mengulas perbualan Bella dengan Datin Sofea sebentar tadi. Bella tergelak. Aku turut tersenyum. Pembohongan Bella dapat dikesan.
“Mestilah... sebab auntie nak habiskan masa dengan Idlan” ujar Bella buat Idlan tersenyum suka. Senang hatiku mendengar pengakuan Bella sedemikian.
“Dah siap kerja sekolah? Lapar tak?” tanya Bella. Idlan mengangguk.
“Kalau macam tu kita keluar makan” ajak Bella. Idlan terus berpaling ke arahku.
“Mama...boleh saya makan dengan auntie Bella?” tanya Idlan meminta keizinan.
“Mama...” Bella menjeling tajam ke arahku.Tidak suka cara Idlan memanggilku. Kupandang Bella. Dia mampu menjaga Idlan dengan baik. Bella juga mampu menyatukan Idlan dengan Datin Sofea. Aku perlukan gadis ini untuk menunaikan hajat hati arwah Kak Harianie dan impian Idlan. Idlan dahagakan kasih sayang Datin Sofea.
 “Awak jangan risau, saya akan jaga Idlan dengan baik” janji Bella memberi jaminan tatkala melihat aku masih diam. Bella dan Idlan menatapku.
“Saya percaya awak boleh jaga Idlan dengan baik” ujarku tanda keizinan diberi. Idlan tersenyum. Tidak perlu bimbang kerana Idlan gembira bersama Bella. Cara ini juga akan membuatkan Idlan dan Bella saling mengenali dan mereka juga akan lebih akrab. Keakraban yang terjalin akan mewujudkan kasih sayang antara mereka. Kasih sayang inilah yang akan membuatkan Bella tidak tega menyakiti perasaan Idlan. Kegembiraan Idlan juga merupakan kebahagiaan Haqem. Jikalau Bella boleh menggembirakan dan membahagiakan Idlan, pasti perspektif Haqem terhadap gadis itu juga akan berubah. Haqem bukanlah manusia kejam yang sentiasa mahu menghakimi  dan menghukum seseorang itu kerana sikap lalu. Aku kenal Haqem.  
“Tapi jangan pergi lama sangat. Nanti Haqem datang nak ambil Idlan” pesanku mengingatkan Bella. Tajam sahaja pandangan Bella tatkala aku menyebut nama Haqem. Cemburu. Idlan mengangguk.
“Terima kasih, mama” Aku mengangguk. Idlan gembira hendak keluar dengan Bella.
“Kita pergi sekarang” Bella mencapai tangan Idlan lalu memimpinnya melangkah ke pintu. Sempat Idlan berpaling sambil melambaikan tangan ke arahku. Aku menarik nafas lega.
“Terima kasih Bella” ujarku berbicara sendiri. Sungguh berpuas hati dengan layanan baik yang diterima Idlan. Mudah-mudahan Datin Sofea juga mampu melakukan perkara yang sama.  

Idlan dan Bella muncul di muka pintu setelah menghilang hampir sejam. Liar pandangan kedua-dua menjelajah bilik ini. Cemas. Cuba mencari kelibat Haqem. Bimbang Haqem telah lama menunggu. Banyak juga barang Bella beli untuk Idlan.
“Haqem belum sampai lagi” jelasku. Bella menarik nafas lega.
Auntie nak pergi kejap lagi. Esok-esok datang sini lagi ye. Kita boleh pergi beli buku cerita nanti. Hari ni tak sempat” ujar Bella merancang aktiviti akan datang. Idlan mengangguk setuju.
“Terima kasih, Auntie Bella” Idlan memeluk tubuh Bella. Bella tergamam. Dibalas pelukan itu dengan erat. Kemudian diusap-usap lembut rambut Idlan. Sayu hatiku melihat.
“Ingat janji Idlan tadi” ujar Bella mengingatkan Idlan. Idlan mengangguk. Bella dan Idlan telah menterai janji.
Bye...” Bella dan Idlan saling bertukar lambaian tangan. Kemudian kelibat Bella lenyap di sebalik pintu. Dia sudah pergi. Aku mendekati Idlan lalu melabuhkan duduk di sofa memerhatikan gelagat Idlan. Idlan tersenyum menatapku.
  “Banyak barang Auntie Bella beli untuk Idlan” tegurku. Idlan mengangguk.
Auntie Bella baikkan” Aku mengangguk. Tidak akan meracuni fikiran budak ini. Janji Bella ingin menyatukan Idlan dengan Datin Sofea melapangkan dadaku. Aku memang berharap Bella akan melakukannya dengan baik. Aku yakin dia mampu. Tambahan pula dia memang rapat dengan Datin Sofea. Tidak mustahil dia mampu menyatukan kasih sayang antara nenek dengan cucu yang sejak sekian lama terpisah.
“Dia sayangkan kamu” tambahku. Yakin Bella ada perasaan sedemikian. Idlan senyum sambil mengemas barang-barang yang dibeli dengan Bella tadi.
“Boleh tak tolong simpan mainan ini di sini?” tanya Idlan. Berkerut dahiku menatap Idlan. Permintaan yang tidak diduga.
“Kenapa nak ditinggalkan di sini pula” tanyaku hairan. Semua ini Bella beli untuk Idlan. Sudah menjadi haknya untuk dibawa balik bersama.
“Saya dah janji dengan Auntie Bella takkan cakap pasal hari ni. Nanti tengok barang-barang ini mesti papa akan tahu” jelas Idlan. Mahu pertemuaan dengan Bella dirahsiakan. Musykil.
Auntie Bella kata, papa tak suka dia. Papa tak bagi Auntie Bella dekat dengan saya” jelas Idlan menjawab kemusykilanku. Inilah janji Idlan dengan Bella. Aku melepaskan keluhan kecil. Haqem masih sangsi pada Bella. Tidak boleh disalahkan Haqem. Akupun pernah berperasaan sedemikian sebelum pertemuan ini dan pandangan mataku yang membuktikan kebaikan Bella. Sedar Haqem hanya mahu melindungi Idlan.
“Kesian Auntie Bellakan...” keluh Idlan hampa. Wajahnya mendung. Dia tidak gembira. Tidak patut ajar kanak-kanak tentang kebencian. Hati mereka suci murni.  
“Boleh. Nanti simpan dalam loker itu. Loker itu kosong” jelasku sambil menunding jari ke arah loker besi itu. Idlan tersenyum. Lega. Tiada perkara yang perlu dirisaukan lagi. Aku perlu yakinkan Haqem bahawa Bella ikhlas menyayangi Idlan