Tuesday 3 August 2021

Dialah SonataKu .... Bab 22


Anak mataku liar memerhatikan sekitar bilik ini. Cuba mengesan di mana aku meletakkan beg galas. Lama juga aku mengingat. Aku melepaskan keluhan tatkala gagal menemui, walaupun sudah sekitar bilik ini aku selongkar. Seingatku sejak aku melangkah masuk ke dalam banglo ini aku tidak singgah di mana-mana kecuali di ruang tamu. Itupun hanya terpacak seketika di depan Yen. Mustahil pula tercicir sekitar banglo ini. Mungkin juga tertinggal di dalam kereta Linda. Maklumlah mengantuk sangat semalam. Tidak ingat apa-apa lagi selain mahu terus berbaring di katil.

“Alamak, iPhone pun ada kat dalam beg tu,” rungutku menepuk dahi tatkala berhajat ingin menghubungi Linda memintanya mengesan jika beg galasku ada tertinggal di dalam kereta Kancilnya. Kulupakan niat hati. Kuseluk saku seluar jeans yang kupakai semalam. Mujur juga ada not kertas bernilai RM 20.00 ada di situ. Bolehlah buat wang sakuku hari ini. Aku bergegas keluar. Risau Suzan lama menungguku. Langkahku bergerak perlahan tatkala melihat Yen tidur lena di atas sofa panjang itu. Agaknya semalaman dia terbaring di situ. Berjengkit-jengkit aku menghampiri pintu mahu keluar. Tidak mahu mengganggu tidur pemuda Korea itu. Maklumlah rutin hidup Yen sering berjaga pada waktu malam.

Sorry, saya terlambat sikit,” ujarku rasa bersalah. Suzan hanya tersenyum. Aku menarik nafas sambil bersandar di kerusi kereta. Cuba melegakan kerisauan di hati. Macam manalah aku boleh terlupa dengan barang pentingku itu.

“Boleh  pinjam iPhone awak kejap? Saya nak  WhatsApp Linda tanya kalau beg galas ada tak tertinggal di dalam kereta dia,” ujarku membuatkan Suzan terlopong mendengarnya.

“Cuainya awak ni,” rungut Suzan sambil menghulurkan iPhone kepadaku. Aku tersengih. Segera kuhantar WhatsApp kepada Linda.

“Awak call dia,” arah Suzan memberi kebenaran kepadaku untuk menggunakan iPhone ini.

“Takpe,” ujarku sambil menanti WhatsApp ku dibalas oleh Linda Si Ayamor. Beberapa minit kemudian, kedengaran bunyi mesej masuk. Sah mesej Linda yang baru sahaja kuterima. Aku menarik nafas lega tatkala mengetahui beg galasku itu ada pada Linda dan dia berjanji akan menghantar kepadaku nanti.

Thanks Suzan,” Kuhulurkan kembali iPhone itu pada Suzan.

“Macam mana?” soal Suzan.

“Syukur juga beg tu ada pada Linda,” ujarku mula tersenyum.

“Pelupa sangat awak ni. Benda penting macam tu pun awak boleh missing,” perli Suzan disambut dengan sengihanku.

“Harap-harap bila dah kahwin nanti awak takkan lupa suami sendiri. Nanti tak pasal-pasal dikebas perempuan lain,” ujar Suzan mengusikku. Sengihanku terus lenyap. Aku terdiam seketika. Bicara Suzan berbekas di hatiku buat pertama kali. Sekarang aku berada dalam situasi itu. Namun sedikit berbeza. Sebetulnya akulah yang sering terlupa bahawa aku seorang isteri yang masih memiliki suami. Teringat akan ketegangan kecil antara aku dengan Yen semalam. Tatkala difikirkan semula dari sudut agama memang tidak patut aku memperlakukan Yen sedemikian. Malah tindakanku balik jauh malam juga tindakan yang salah. Menyesal pula melayan Yen sedemikian. Namun bila kufikir balik, sememangnya dalam perjanjian yang dipersetujui tertulis untuk aku mahupun Yen  meneruskan kehidupan masing-masing. Yen sendiri yang menggariskan peraturan sedemikian. Yang pelik dia juga yang sering mempertikaikan. Sungguh memeningkan untuk memahami sepenuhnya tingkahlaku pemuda Korea itu.

“Awak dah kosongkan loker di tempat kerja?” soal Suzan. Aku mengangguk. Hari ini merupakan hari terakhir aku bekerja di  Rozana Cupcake Conner. Walaupun tarikh pendaftaran untuk kemasukan kampus masih ada tinggal kira-kira seminggu lagi, namun aku perlu membuat persiapan sebelum bergelar mahasiswi.

“Tak best nanti awak takde. Mesti rindu kat awak nanti,” luah Suzan. Aku tersenyum. Terharu juga mendengar bicara ini. Perkenalanku dengan Suzan sudah begitu lama. Dialah sahabat keduaku yang lama bersamaku selepas Linda orang pertama.

“Saya pun pasti rindukan awak juga. Tapi takpe, saya akan datang jenguk-jenguk warga RCC nanti,” janjiku. Aku tidak akan melupakan kawan-kawan di RCC. Terlalu banyak kenanganku bersama mereka. Bahkan RCC terlalu berjasa kepadaku selama ini.

“Awak tahu ada seorang yang lebih rindukan awak nanti,” tutur Suzan mengusikku. Aku hanya senyum. Malas mahu melayan usikan Suzan yang mula hendak berputik itu.

“Encik Rizal sure miss you very much,” ujar Suzan tersenyum sendiri. Aku mencebik bibir. Sudah kuagak nama lelaki itu akan keluar dari mulut amoi ini.

“Saya harap dia akan dipertemukan gadis sebaik dirinya,” doaku tulus.

“Dia dah jumpa pun,” sahut Suzan buat aku teruja.

“Betul ke ni. Alhamdulillah...,” luahku penuh kelegaan.

“Awak nak tahu ke siapa gadis tu?” soal Suzan lagi. Laju sahaja aku mengangguk. Rasa tidak sabar ingin mengetahuinya. Mana tahu jikalau aku mengenali gadis itu.

“Siapa ye...?”

“Awaklah...! Ha...ha...ha...!”

“Suzan...!” Tamparan tanganku sudah hinggap di bahu Suzan. Aku menarik muka masam. Suzan masih terkekeh-kekeh kerana berjaya mengenakan aku. Tatkala aku dan Suzan memijakkan kaki di premis Rozana Cupcake Conner, Suzan masih tersenyum simpul. Malah semakin lebar senyumannya ketika kami disapa oleh Encik Rizal. Hatinya betul-betul tercuit kerana berjaya mengenakan aku pada awal-awal pagi ini.

Hari ini seperti biasa, premis Rozana Cupcake Conner sibuk dikunjungi oleh para pelanggan. Alhamdulillah bertambah juga rezeki Encik Rizal. Aku yang berdiri di kaunter ini hampir tiga jam tidak putus-putus dikunjungi oleh para pelanggan yang membuat pesanan. Suzan di sebelahku juga kelihatan sibuk. Memang hari cuti begini para pelanggan melebihi hari biasa. Apabila jam mencecah ke sekitar pukul 12.00 tengah hari barulah aku boleh bersantai-santai sekejap sebab pelanggan sudah berkurangan. Maklumlah waktu makan tengah hari sudah tiba. Jadi giliran gerai-gerai dan restoran-restoran yang menjual hidangan nasi jadi pilihan.  

Dari kejauhan aku nampak kelibat Linda yang sedang bergerak ke sini. Tersenyum simpul dia tatkala bertembung pandangan denganku. Kebetulan pula saat ini tiada pelanggan yang berurusan denganku. Kuberi isyarat agar menungguku buat seketika. Linda mengangguk faham. Aku menunding jari meminta Linda bergerak ke belakang. Sekali lagi Linda mengangguk. Lantas melabuhkan duduk di kerusi di tepi dinding kaca itu agak terlindung daripada manusia yang lalu-lalang.

“Ravi, saya nak jumpa kawan kejap,” ujarku memaklumkan kepada Ravi supervisor baharu yang menggantikan Arlen setelah aku menolak jawatan itu.

“Okey,” balas Ravi tersenyum. Kalau pelanggan datang nanti, bolehlah dia menggantikan tempatku seminit dua.

Thanks,” tuturku berbesar hati atas pertimbangannya. Ravi tersenyum lagi. Aku bergegas mendapatkan Linda. Tidak mahu membiarkan dia menungguku lama. Malah aku juga tidak mahu mencuri masa kerjaku.

“Nasib baik tinggal di dalam kereta. Kalau tercicir kat luar, menangis tak berlagulah awak padahnya,” rungut Linda. Aku hanya tersengih.

“Syukur... syukur...,” balasku seraya mengurut-urut dada kelegaan.

iPhone awak tu dari tadi berdering. Cuba awak check,” arah Linda.

“Kenapa awak tak angkat je,”

“Malaslah saya. Orang tu bukan nak cakap dengan saya pun,” balas Linda buat aku tersenyum.

“Mestilah nak cakap dengan saya sebab tu call saya,” balasku.

“Tahupun,” balas Linda. Aku tersenyum lagi. Lantas kumasukkan tangan ke dalam beg galas. Kukeluarkan iPhone. Bateri tinggal satu bar sahaja. Laju tanganku memaparkan panggilan yang tidak dijawab. Tiga panggilan daripada Yen sekitar pukul 12.00 tengah hari ini. Mungkin dia baru sahaja bangun dari tidurnya.

“Ada hal penting ke dia nak cakap,” ujarku berbicara sendiri.

Call balik,” suara Linda mencelah. Baru sahaja aku hendak membuat panggilan, iPhoneku terus padam. Bateri sudah habis. Lantas kusimpan kembali ke dalam beg galas. Waktu rehat nanti aku cas bateri.

“Kenapa? Tak boleh call ke?” soal Linda hairan.

“Bateri dah habis,” sahutku.

“Nah..., guna iPhone ni,” arah Linda seraya menghulurkan telefon kepadaku.

“Tak payah, nanti saya call dia lepas cas bateri ni,” ujarku menolak keizinan Linda untuk menggunakan iPhone itu.

“Awak tak kerja ke hari ni?” soalku hairan melihat dia muncul jam begini. Linda menguap. Pantas sahaja tangan menutup mulut. Mungkin masih mengantuk gara-gara balik lewat semalam.

“Saya cuti hari ni,” balas Linda untuk pertanyaanku itu.

“Awak nak rasa cupcake yang dijual kat sini? Saya belanja,” pelawaku.

“Bagus juga... saya sedang kebuluran ni,” balas Linda tersengih.

“Awak nak minum apa?”

“Apa-apa saja,” sahut Linda yang berselera universal.

“Okey... tunggu kejap ye...,” perintahku kerana sebentar lagi aku akan menghantar cupcake istimewa untuk Linda bersama air gas Pepsi kegemarannya. Selangkah aku meninggalkan Linda, tiba-tiba... pupp...! Kepalaku ditepuk kuat sehingga membuat aku terdorong ke hadapan. Belum sempat aku menoleh ke belakang, rambutku sudah dicengkam kuat. Kepalaku terdongak ke atas dan betapa peritnya tatkala rambutku ditarik sekuat hati.

“Kenapa ni?” kedengaran suara Linda menjerit. Linda menerpa ke arahku. Dia berusaha untuk melepaskanku dari seseorang yang belum aku nampak wajahnya. Seketika berlaku pergelutan antara Linda dengan gerangan yang menyerangku secara tiba-tiba ini. Aku masih dalam tawanan orang yang tidak aku nampak ini. Cengkaman tangannya begitu kuat sehingga sukar hendak Linda melepaskanku. Aku tersungkur ke lantai. Tangan itu masih tidak mahu melepaskan tanganku dari cengkaman kuat tangannya. Aku terjerit kesakitan.

“Lepaskan sekarang...!” jerit Linda. Bagai diserang histeria Linda begitu bertenaga menolak tubuh itu lalu terhumban beberapa langkah ke belakang. Linda terus memaut tubuhku membantuku bangun. Aku berpaling.

“Velviana...!” nama itu meniti di bibirku. Jari-jemariku meramas-ramas rambutku yang terasa seakan tercabut akibat tarikan kuat tangan Velviana tadi. Velviana masih terduduk di lantai sambil menatapku tajam.

“Awak kenal perempuan ni?” soal Linda. Aku mengangguk. Namun tidak sempat bercerita lebih terperinci apabila Velviana bangun dan terus meluru ke arahku. Aku terjelompok ke lantai simen tatkala tangan Velviana menolak tubuhku sekuat tenaga. Belum sempat aku bangun, Velviana sudah duduk di atas perutku. Aku cuba menepis tamparan tangannya daripada hinggap di wajahku. Dia cuba memalu kepalaku dengan lantai simen ini. Linda masih berusaha menarik tubuh Velviana menjauhiku. Velviana bagai sudah dirasuk. Tenaganya begitu kuat sehingga sukar untukku dan Linda melawannya. Kedengaran bunyi derap langkah datang menghampiri kami.

“Sudah...! Sudah...!” suara Ravi kedengaran menerpa telingaku. Aku terpandang kelibat Ravi dan Sham yang berusaha meleraikan adegan gusti yang sedang berlangsung. Ravi menarik tubuh Velviana menjauhiku yang sedang terbaring tewas. Lantas Linda dan Sham menarik tanganku membantuku bangun semula. Kelihatan Velviana meronta-ronta cuba melepaskan diri dari pautan tangan Ravi. Hampir-hampir juga jari-jemarinya mencakar muka Ravi. Namun Ravi cekap mengelak. Melihat keadaan Ravi yang begitu sukar mengawal keganasan Velviana, lantas Sham membantunya memegang tangan gadis itu. Kini Velviana berjaya ditawan oleh Sham dan Ravi.

“Perempuan gatal! Perempuan sundal! Awak ingat saya akan biarkan awak rampas Yen!” jerit Velviana lantang. Linda menatapku. Memohon penjelasan terhadap bicara yang keluar dari mulut Velviana.

“Siapa dia tu sebenarnya, Iman?” soal Linda. Aku senyap. Sukar hendak memaklumkan perkara ini kepada Linda. Linda masih merenungku.

“Kekasih Yen,” tuturku perlahan.

What!” Linda tersentak. Terasa panas menitis ke pipiku. Laju  tanganku menyentuhnya. Aku menatap jariku yang sudah tercelit darah.

“Dahi awak luka,” tutur Linda memaklumkan keadaanku sekarang.

“Ha...ha...ha...padam muka awak, perempuan sundal! Belum cukup lagi saya belasah awak,” ujar Velviana. Dia terbahak-bahak ketawa. Puas hati melihat kecederaanku.

“Hey..., perempuan gila, antara awak dengan Iman, Iman lebih berhak ke atas Yen!” balas Linda menambah kemarahan Velviana.

“Apa awak kata!” bentaknya.

“Iman ni....,”

“Linda jangan!” laju aku memotong bicara Linda. Mujur juga aku sempat menghalang Linda menghabiskan bicaranya. Linda menatapku.

Please...,” rayuku meminta perkara ini harus dirahsiakan. Kedengaran Linda mendengus kasar. Betapa dia tidak puas hati dengan permintaanku ini. Aku tahu tindakan ganas Velviana ini tidak patut diberi bertolak ansur. Maka Linda merasakan dia patut membalasnya. Aku terharu dengan sikap Linda yang berusaha melindungiku.

“Baik cik pergi sekarang sebelum saya panggil pengawal keselamatan datang halau cik,” tegas Ravi memberi peringatan.

“Awak nak halau saya? Awak tak kenal siapa saya!” bentak Velviana garang. Berkerut wajah Sham dan Ravi menahan gema suara Velviana yang menusuk gegendang telinga. Cukup nyaring.

“Awak tu bukan siapa-siapa pun selain perempuan gila!” balas Linda menyemarakkan kemarahan gadis itu. Betapa Linda tidak boleh bersabar dengan perangai Velviana.

“Apa hal ni?” serentak aku dan Linda berpaling ke arah suara itu. Encik Rizal dengan wajah serius melontar pandangan ke arah Velviana. Aku semakin bimbang. Risau kalau segala-galanya akan terbongkar. Saat ini hanya Linda sahaja yang mengetahui kisahku dengan Yen. Pandangan Encik Rizal beralih ke arahku.

“Iman, dahi awak berdarah,” kedengaran suara Encik Rizal agak cemas.

“Takpe... sikit je,” ujarku masih bertenang walaupun hakikatnya kepalaku terasa pening dan tubuhku sakit-sakit akibat serangan bertubi-tubi Velviana sebentar tadi. Pipiku juga masih terasa perit akibat tamparan tangan Velviana.

“Ha...ha...ha... padam muka awak!” tutur Velviana tertawa bahagia melihat keadaanku. Puas hatinya kerana berjaya mencederakanku.

“Baik awak pergi sebelum saya call polis kerana awak telah mencederakan kekasih saya,” tutur Encik Rizal menyentakkanku.

“Kekasih...” serentak Velviana dan Linda menyebut perkataan itu. Linda menatapku. Ada persoalan di wajahnya. Aku terdiam dan tidak sempat melihat reaksi Ravi dan Sham pula. Pengakuan Encik Rizal benar-benar mengejutkan aku malah mengejutkan semua orang yang berada di sini.

“Lepaskan tangan saya...!” pinta Velviana sambil meronta menarik tangannya dari pegangan Ravi dan Sham. Encik Rizal memberi isyarat. Lantas Ravi dan Sham melepaskan tangan Velviana. Namun masih berjaga-jaga.Velviana menatapku lagi.

“Lain kali saya tak nak tengok awak bersama boyfriend saya. Saya akan buat awak lebih teruk lagi. Hari ni saya lepaskan awak sebab kekasih awak ni,” tutur Velviana angkuh sambil tangannya giat merapikan diri. Linda mengetap bibir menahan geram. Pandangan Velviana beralih ke wajah Encik Rizal.

“Awak harus jaga kekasih awak ni, kalau tak awak akan menyesal nanti,” ancam Velviana memperingatkan Encik Rizal lalu memulakan langkah meninggalkan kami. Kelihatan Ravi dan Sham geleng-geleng kepala.

“Sayang sungguh, muka cantik tapi perangai busuk,” omel Ravi menyesali sikap Velviana. Sham mengangguk menyokong bicara lelaki Tamil ini.

Are you okay, Iman?” soal Encik Rizal lagi.

“Ya saya tak apa-apa, Encik Rizal,” sahutku dan cuba tersenyum.

“Tak apa-apa awak kata! Tengok dahi awak luka, rambut awak dah menggerbang macam dilanggar geruda,” marah Linda. Laju tanganku merapikan rambutku yang terlepas dari ikatannya. Ravi dan Sham tersenyum. Pasti tercuit mendengar bicara yang keluar dari mulut Linda ini. Encik Rizal menatapku. Aku segan dengan kejadian ini.

“Luka di dahi awak tu perlu dibersihkan,” jelas Encik Rizal.

“Tak guna punya perempuan! Habis dia cakar-cakar tangan saya,” rungut Linda sambil menilik-nilik pergelangan tangannya yang bergaris-garis panjang. Pasti angkara kuku tajam Velviana tadi. Aku jadi serba salah. Kasihan Linda tidak pasal-pasal dirinya cedera kerana aku.

Sorry Linda,” ujarku bersimpati dan bersedih dengan kecederaannya itu.

“Buat apa awak nak minta maaf, bukan salah awak pun. Yang salah perempuan gila tak guna tu!” radang Linda yang tidak boleh dikawal-kawal lagi.

“ Mari ikut saya. Kamu berdua perlukan first aid,” ujar Encik Rizal.

“Yelah Iman,” sokong Ravi . Memandangkan aku masih berada dalam waktu kerja, aku patuh sahaja pada bicara Encik Rizal. Kami bergerak bersama-sama ke ruang depan premis Rozana Cupcake Conner memandangkan di situ letaknya pintu utama. Kedatangan kami menarik perhatian rakan sekerja. Mujur juga para pelanggan tidak berapa ramai saat ini. Kebetulan juga mereka sedang leka  menikmati hidangan, maka kehadiran kami tidak dihiraukan.

“Apa yang telah berlaku, Iman, Linda?” soal Suzan memandangku dan Linda silih berganti.

“Ada perempuan gila mengamuk tak tentu pasal tadi,” sahut Linda masih dalam kemarahannya. Aku hanya diam.

“Yang lain teruskan tugas masing-masing. Ravi, awak ambil-alih tugas Iman. Saya pergi ambil kotak first aid,” arah Encik Rizal mahu keadaan kembali seperti biasa. Masing-masing mengangguk faham. Aku tahu Encik Rizal cuba memberi keselesaan kepadaku. Kawan-kawan juga sungguh bertimbang rasa. Aku dan Linda duduk di sudut tepi premis Rozana Cupcake Conner sementara menanti kemunculan Encik Rizal membawa kotak first aid. Suzan pula ke ruangan dapur tempat penyediaan makanan mengambil air mineral untuk kami.

“Awak tunggu di sini. Saya ada hal sekejap,” tiba-tiba sahaja Linda bangkit dari duduk lantas melangkah meninggalkanku.

“Awak nak ke mana tu?” soalku risau Linda akan bertindak yang bukan-bukan. Mana tahu dia pergi mencari Velviana semula. Pertanyaanku tidak diendahkan oleh Linda.

Tiba di luar premis Rozan Cupcake Conner, dengan posisi yang terlindung daripada pandangan sahabatnya itu, Linda pantas mengeluarkan iPhone dari saku jeans. Laju jemarinya menekan barisan nombor itu. Seketika dia menanti panggilan iti dijawab.

“Assalamualaikum...,” kedengaran suara seorang lelaki di talian.

“Awak ni suami apa biarkan isteri sendiri cedera diserang oleh perempuan tak guna tu! Mana janji awak nak jaga Iman sebaiknya. Kalau pun awak terpaksa kahwin dengan Iman, tak bermaksud awak boleh lepas tangan. Awak tak boleh biarkan kekasih awak yang tak guna tu cederakan Iman!” bentak Linda geram langsung tidak memberi peluang kepada pemuda Korea itu bersuara.

“Apa hal ni, Linda? Awak cakap sejelasnya,” pintanya kurang senang dirinya terus-terusan dipersalahkan.

“Velviana, kekasih awak tu serang Iman di tempat kerja ni. Sekarang Iman cedera,” suaranya ditekan. Sengaja diperbesar-besarkannya perkara itu.

What...! Iman ssi cedera!” Yen tersentak. Kejadian semalam menerjah ingatannya. Tindakan Velviana ada kaitan dengan kejadian itu. Ternyata gadis itu tidak boleh tenteram melihat dia bersama Iman di pawagam itu. Penjelasannya masih diragui oleh Velviana. Yen mendengus kasar.

“Untuk pengetahuan awak, Encik Rizal bos di tempat kerja Iman ni mengaku bahawa Iman ialah kekasihnya. Betul ke ni, Yen?” soal Linda cuba memecah persoalan yang bermain di kepala sejak dari tadi.

What...!” Kali ini suara Yen lebih kuat. Bertambah risau dirinya.

“Kejap lagi saya datang,” tuturnya lantas mematikan panggilan itu. Dicapai kunci kereta Mercedez Benz, lantas berlari ke halaman. Seketika kemudian kedengaran kereta itu mengaum meninggalkan halaman banglo mewah itu. Dia perlu cepat sampai ke situ.

Aku menarik nafas lega melihat kelibat Linda yang baru sahaja muncul setelah menghilangkan diri beberapa minit. Risau betul aku kalau Linda bertindak sesuatu ke atas Velviana tanpa pengetahuanku demi melempiaskan rasa sakit hatinya.

“Awak ke mana tadi?” soalku sebaik sahaja Linda melabuhkan duduk di depanku. Kutenung wajah Linda.

“Menghirup udara segar di luar,” sahut Linda sambil mengusap-usap pergelengan tangannya yang calar-balar angkara cakaran Velviana tadi. Aku mengeluh. Pasti Linda terasa sesak nafas sekarang.

“Lin, maafkan saya sebab hari ni awak susah kerana saya,” luahku rasa bersalah setelah menyusahkannya. Kedengaran keluhan Linda.

“Iman, banyak perkara yang saya perlukan penjelasan awak,” tutur Linda mengingatkan aku. Aku terdiam. Kupandang wajah Linda.

“Yen ada kekasih, awak pula bercinta dengan Encik Rizal. Sebegini teruk ke hubungan perkahwinan kalian?” soal Linda yang mengharapkan ada perubahan positif ke atas hubunganku dengan Yen selama ini. Pada pendapat Linda mungkin dia ingat aku dan Yen persis pasangan suami isteri yang lain yang sentiasa berkongsi kehidupan.

“Linda, aku dan Encik Rizal takde hubungan istimewa selain hubungan antara pekerja dengan majikan,” jelasku.

“Jadi pengakuannya tadi?”

“Saya pun terkejut mendengar dia berkata begitu. Mungkin dia sekadar ingin mengaburi mata Velviana. Saya tahu dia ingin melindungi saya daripada gadis itu,” jelasku lagi.

“Macam mana pula Yen dengan gadis itu?” soal Linda tidak puas hati.

“Mereka memang masih pasangan kekasih,” tuturku perlahan. Besar anak mata Linda menatapku. Nampak sangat dia terkejut mendengar kenyataanku ini.

“Saya tak kisah hubungan mereka,” tambahku lagi. Linda terdiam.

“Hanya awak seorang saja yang tahu tentang hal ni. Tolong rahsiakan demi saya ye,” pintaku sambil menatap wajah Linda menagih pertimbangannya.

“Iman...,” bicara Linda terhenti setakat itu. Kutatap wajah Linda menanti bicara seterusnya.

“Awak pasti ke antara awak dengan Yen langsung takde perasaan? Betul ke Yen tak pernah menyukai awak? Awak benar-benar yakin yang awak sedikit pun tak menyimpan perasaan pada dia?” soal Linda bertalu-talu. Aku terdiam panjang. Kelihatan Suzan dan Encik Rizal sedang bergerak ke arah kami. Pertanyaan Linda tidak sempat aku jawab secara lisan. Aku hanya geleng kepala.

“Kalau macam tu semua ni perlu diakhiri demi kehidupan kamu berdua,” tutur Linda menamatkan perbualan kami.

“Apa yang perlu diakhiri tu?” suara Encik Rizal mencelah.

“Takde apa-apa,” sahut Linda mendahuluiku. Kemudian aku dan Linda hanya tersengih.

“Minum air ni,” ujar Suzan seraya meletakkan dua botol air mineral di depan kami. Aku dan Linda mengangguk dan patuh. Terasa nikmat tatkala air ini mengalir di kerongkongku.

“Mari saya tolong sikat rambut awak,” tutur Suzan lalu mengeluarkan sikatn. Suzan terus merapikan rambutku yang kusut masai sambil diperhatikan oleh Encik Rizal. Linda sudah membersihkam calar-calar di pergelangan tangannya. Kedengaran keluhannya tatkala cecair pembersih itu mengena luka-lukanya. Pasti terasa pedih. Aku mengusap-usap pipiku yang masih terasa sakit akibat tampar tangan Velviana tadi.  

“Saya tolong awak bersihkan luka di dahi awak tu,” ujar Encik Rizal. Ditangannya sudah memegang botol cecair pencuci luka berserta kapas. Suzan yang sudah usai merapikan rambutku berganjak untuk memberi ruang kepada Encik Rizal. Aku melihat tangan Encik Rizal membuka penutup botol itu lalu meletakkan kapas pada lubang botol itu. Kapas yang putih bersih sudah bertukar warna kekuningan. Aku memejamkan mata tatkala tangan Encik Rizal hampir-hampir singgah di permukaan luka itu. Sudah dapat kubayangkan betapa pedihnya.

“Iman ssi...!!!” Mataku terbuka luas mendengar suara lantang Yen. Serentak dengan itu tangan Encik Rizal juga terhenti tidak sempat menyentuh dahiku. Semua mata memandang Yen yang sedang melangkah masuk.

 

“Iman, Korean guy...,” sayup-sayup suara Suzan kedengaran. Suzan terpaku dengan kemunculan Yen. Yen terus bergerak mendekatiku lantas menarik tanganku bangkit dari duduk. Semua terpukau dengan kemunculan Yen. Lebih-lebih lagi rakan sekerja perempuan yang tampak teruja melihat Yen. Aku kurang selesa dengan tindakan Yen. Apatah lagi melihat pandangan mata Encik Rizal.

 

“Kenapa awak ni? Lepaskan tangan saya,” pintaku sambil cuba melonggarkan pautan tangan Yen. Namun tidak berhasil

“Kita balik sekarang,” arahnya tanpa mengendahkan permintaanku sebentar tadi. Yen menarik tanganku membawa pergi. 

“Saya pergi dulu,” hanya itu yang mampu kulaungkan tatkala tangan Yen sudah menarik tanganku melangkah meninggalkan premis Rozana Cupcake Conner sambil terus diperhatikan oleh warga RCC termasuk Linda yang nampak tidak terkejut dengan kemunculan Yen yang secara tiba-tiba ini.

Awaklah SonataKu....Bab 21

 

 “Iman ssi....awak kat mana sekarang? Bila nak balik ni?” suara Yen bergema di telingaku. Masih juga dia tidak pandai-pandai beri salam pada orang walaupun dah banyak kali ditegur. Agaknya lidahnya sudah keras sehingga susah hendak menuturkan perkataan baik itu.

“Habis shif kerja kejap lagi saya terus balik ke rumahlah,” balasku. Mustahil dia tidak tahu aku masih berada di tempat kerja. 10 minit lagi jarum jam mencecah ke pukul 3.00 petang tamat shif kerjaku hari ini. Kaunter yang kukendalikan pun sudah tutup untuk membuat pengiraan hasil pendapatan seawal jam 9.00 pagi sehingga pukul 3.00 petang untuk sesi hari ini.

“Tepat pada pukul 4.00 ni pastikan awak dah ada kat rumah. Kalau tak saya cancel rancangan kita hari ni,” peringatan yang keluar dari mulutnya berbaur ancaman. Aku mencebik bosan. Mentang- mentang tiket itu dia yang beli dengan duitnya sendiri berlagak pula dia.

“Macamlah saya kemaruk nak tengok wayang dengan dia. Saya boleh pergi dengan orang lain ler...,” omelku sendirian.

“Apa...!” Aku tersentak. Yen masih di talian.

“He...he.... he... takde apa-apa,” balasku tersengih sendiri.

“Jangan lewat balik. Saya tunggu awak kat rumah,” tut.....tut.... panggilan sudah dimatikan. Eh, berlagak betul pemuda Korea ini! Dia ingat aku tidak mampu beli tiket itu sendiri. Eee..... geramnya!

Tepat pukul 3.00 petang. Sham mengambil alih di bahagian kaunter menggantikanku. Buru-buru aku mengemas barangku kerana tidak mahu terlewat sampai ke rumah. Sekurang-kurangnya ancaman Yen memberi kesan juga kepadaku. Maklumlah hendak menonton tayangan filem Korea perkara yang tidak mungkin akan aku lepaskan begitu sahaja.

“Iman, awak dah nak balik?” suara Encik Rizal menyoalku. Aku berpaling. Encik Rizal sudah terpacak di depanku. Kulirik jam di tanganku. Sudah pukul 03.10 minit. Mendengar pertanyaan Encik Rizal risau juga jikalau jam kerjaku belum mencukupi. Mana tahu gara-gara bergegas aku tersilap tengok jam tadi.

“Ya Encik Rizal. Kenapa Encik Rizal, kena OT ke hari ni?” soalku sangsi. Dia tersenyum dan geleng kepala.

“Saya ingat nak ajak awak minum petang. Boring minum sendirian,” ujarnya menimbulkan rasa kasihanku kepadanya. Namun sekarang aku tidak dapat menemani  Encik Rizal. Wajah menyinga Yen sudah terbayang di mataku. Risau juga jikalau Yen mengotakan kata-katanya.

“Minta maaf Encik Rizal, kejap lagi saya ada janji temu dengan kawan. Saya dah janji nak keluar dengan dia. Kalau esok saya boleh temankan Encik Rizal minum petang,” balasku serba salah kerana terpaksa menolak pelawaan itu.

“Janji temu?” Aku mengangguk.

“Kawan biasa je,” balasku tersengih. Encik Rizal turut tersenyum.

“Takpelah. Esok awak temankan saya ye,” Aku mengangguk berjanji.

“Saya kena pergi dulu Encik Rizal,” ujarku meminta diri. Kutinggal Encik Rizal sendirian di situ. Aku berlari-lari anak keluar dari bangunan Plaza Pelangi ini untuk mendapatkan teksi. Kalaulah Suzan tidak cuti hari ini tidak perlulah aku mengejar masa. Pasti aku sampai ke rumah tepat pada masa yang dijanjikan. Oh, pemuda Korea dalam awak hendak berbuat baik kepadaku sempat juga awak menyeksa aku! Memang malang aku mengenali pemuda sepertimu hu...hu...hu...

“Janji temu dengan kawan biasa,” perlahan-perlahan bicara itu keluar dari mulutnya. Kesungguhan gadis itu mengundang persoalan dalam dirinya. Hatinya tertanya-tanya siapakah gerangan yang ingin ditemui oleh gadis itu. Kawan lelaki atau kawan perempuan? Timbul rasa menyesalnya kerana tidak menawarkan khidmat untuk menghantar kepulangan gadis itu tadi. Mungkin dia berpeluang mengetahui lebih banyak tentang kawan biasa yang dikatakan oleh gadis itu. Tiba-tiba perasaan risau menggamit diri. Perlahan-lahan keluhan meniti di bibirnya.

“Saya harap hati awak belum dimiliki oleh sesiapa,” bisiknya berharap sekali gus cuba mendamaikan hati yang sudah bergolak.

 

 

Aku menatap Yen yang berpakaian serba hitam ini. Rambut diikat kemas. Hanya sedikit sahaja yang terjuntai di bahu dan di bahagian hadapan. Penampilan seperti selalu penuh dengan aksesori rock. Namun sedikit pun tidak menjejaskan kesempurnaan dirinya. Penampilannya sama seperti pada pertemuan pertama kami. Sedikit pun tidak berubah. Bahkan gaya Mat Rock memang sudah sebati dengan dirinya. Rasa-rasanya kalau penumbuknya itu mengena di dahi pasti benjol juga dibuatnya. Tengok sahaja deretan cincin yang membarisi jari jemarinya itu.

Aku mencuri pandang lagi ke wajah pemuda Korea ini. Ada sedikit getaran kurasakan. Kalaulah dia menjadi pemuda lain yang tidak kukenali sebagai Yen Aieqal Shuein, pasti dia buat aku jatuh cinta pandang pertama. Aku melepaskan keluhan kecil. Memang bukan rezekiku hendak bercinta dan membina keluarga sempurna bersama pemuda Korea. Sekurang-kurangnya Allah masih memberiku peluang untuk hidup bersama pemuda Korea ini buat sementara waktu.

“Dah siap ke?” Yen berpaling menatapku. Aku sedikit tersentak. Laju aku mengangguk. Yen terus melangkah ke pintu utama. Lantas aku mengekori langkahnya. Aku tergamam tatkala menatap beberapa keping tiket wayang yang diletakkan di atas dashboard tepat-tepat di depanku ini. Kuteliti seketika kepingan tiket tersebut. Aku terdiam lama. Terkejutku melebihi terujaku. Kupandang Yen yang sudah mula memandu kereta.

“Kenapa banyak sangat tiket wayang ni? Awak nak beri kat member-member awak ke?” soalku hairan. Mustahil pula tiket-tiket ini untuk Puan Sodiah, Datuk Kamarudin mahupun Pak Mahat. Hendak ajak satu keluarga menonton wayang, tayangan cerita ini kurang sesuai pula. Kuteliti lagi. Setiap tiket ada pasangan tersendiri. Waktu pula berbeza-beza. Namun tayangan cerita yang sama. Biar betul pemuda Korea ini. Jangan-jangan dia sengaja mahu memperli aku. Aku memang taksub dengan cerita Korea tetapi tidaklah sampai marathon hendak tengok cerita yang sama. Kecuali sepasang tiket ini berlangsung pada keesokan harinya.

“Itu tiket kitalah,” sahut Yen membuatkan aku ternganga seketika.

“Takkan nak tengok cerita yang sama je terus menerus,” keluhku. Yen mengangguk. Kutenung tiket tayangan action yang bertajuk Moby Dick, arah Park In-je ini. Filem yang memakan masa selama 112 minit ini. Tiket-tiket tayangan ini masih berada di tanganku. Memang kerja gila. Tayangan pertama pada pukul 5.00-7.00 petang. Kemudian tayangan kedua pada pukul 9.00-11.00 malam. Disambung lagi dengan tayangan larut malam dengan cerita yang sama juga pada pukul 11.00-1.00 pagi. Bukankah ini kerja gila. Tidak pasal-pasal membeku aku dalam pawagam itu nanti. Bahkan boleh buat termuntah- muntah kalau tengok tayangan yang sama.

“Bukan ke awak suka cerita Korea, so saya belilah semua waktu tayangan. Biar awak puas hati tengok nanti,” tuturnya selamba. Memang sah manusia seorang ini tidak pernah menjejakkan kaki ke pawagam.

“Kenapa awak tak beli saja pawagam tu biar saya boleh berumah kat situ,” luahku geram. Yen tersenyum lebar. Bicaraku mencuit hatinya.

“Awak nak perli saya kan,” dugaku. Yen masih tersenyum.

“Ni tiket tayangan esok, baik awak beri kat member-member awak termasuk tayangan larut malam ni. Tak pun awak ajak Velviana nanti. Dia pun suka juga tengok filem Korea ni,” cadangku tidak mahu tiket ini diabaikan sahaja. Aku memang tidak suka membazir.

“Kalau awak tak nak tengok tayangan seterusnya, abaikan saja tiket-tiket yang lain tu,” balas Yen bersahaja. Besar anak mataku menatapnya.

“Tak boleh...!” tegasku tidak setuju.

“Kalau macam tu kita sama-sama tengok nanti dan membeku sama-sama...ha...ha...ha...,” Yen tertawa senang hati. Tidak masuk akal betul cadangan itu. Lantas aku mendapat satu akal yang lebih bijak.

“Biar saya beri tiket ni kepada Suzan nanti,” cadangku. Lalu mendail nombor iPhone Suzan. Berbual seketika. Malangnya Suzan tidak boleh pergi memandangkan dia perlu menjaga maknya yang kurang sihat. Nampaknya bukan rezeki Suzan dapat tiket wayang percuma. iPhone kusimpan ke dalam beg galas semula. Aku mengeluh. Masalah ini belum selesai lagi.

“Macam mana?” soal Yen. Aku geleng kepala.

“Awak call Velviana sekarang. Ajak dia tengok tayangan larut malam ni bersama awak. Sure dia happy,” pujukku cuba mempengaruhinya.

“Dia tak boleh tidur lewat. Kena jaga mata dia,” balas Yen menolak cadanganku. Berasas juga bicara Yen itu. Seorang peragawati memang sentiasa menjaga setiap inci kecantikan anggota tubuh badannya.

“Kata gadis penjual tiket itu filem ini best, tak rugi menonton banyak kali,” ujar Yen cuba mempengaruhiku.                       

“Tiket pun dah habis dijual hari ni,” tambah Yen lagi. Aku dapat satu akal lagi. Mesti ada pasangan kekasih yang hendak membeli tiket tayangan ini nanti. Boleh aku jual kepada mereka nanti. Tidak pun aku sedekahkan sahaja. Kali ini aku sudah boleh tersenyum sendiri.

“Saya dah tahu jalan penyelesaiannya,” ujarku lega.

“Awak nak buat apa?” soal Yen.

“Saya jual balik atau sedekah kepada orang yang nak nanti,” ujarku tersenyum lagi. Yen menarik muka masam.

“Susah-susah saja saya berbaris nak beli tiket ni, awak senang-senang pula nak sedekah kat orang lain,” balas Yen merajuk.

“Saya bayar kat awak nanti. Sekurang-kurangnya dapat juga pahala sedekah kat orang,” balasku mematahkan hujah Yen.

“Tak pernah dengar pun sedekah tiket wayang dapat pahala. Kalau boleh buat dosa adalah,” tingkah Yen seakan mengutukku.

Mwo (apa)...!” Terbeliak mataku menatapnya.

“Pasangan lelaki dan perempuan yang takde hubungan halal, duduk berdua-duaan dalam gelap, sentuh menyentuh dan buat maksiat, tu bukan buat dosa ke?” jelas Yen meminta aku berfikir.

“Ramai orang kat dalam pawagam tu,” balasku kurang setuju.

“Memang ramai tapi kebanyakann couple yang sedang hangat bercinta, ada nafsu yang membuak-buak. Silap hari bulan boleh mendorong ke arah maksiat,” tegas Yen menyedarkan aku tentang hakikat itu. Aku diam. Bicara Yen memang tidak boleh disangkal. Tidak semua yang datang berniat suci semata-mata ingin menonton tayangan sebagai penghibur hati.

“Sebab ni ke awak tak pernah jejakkan kaki ke pawagam? Nampaknya awak ni takut juga dengan godaan,” tuturku tersengih mengusiknya. Velviana cantik jelita. Tambahan pula seksi dan menggoda. Mesti mencabar iman Yen duduk berhampiran dengan gadis itu dalam kegelapan. Aku tersenyum lagi.

“Sekurang-kurangnya kena beringat sebelum terjadi sesuatu yang buruk. Lebih-lebih lagi bagi seorang gadis lurus seperti awak. Jangan mudah menerima ajakan lelaki lain nak pergi ke tempat macam ni. Kalau dia bubuh pil khayal dalam minuman awak, awak takkan tahu,” ujar Yen bersikap berhati-hati.

“Encik Rizal bukan lelaki seperti itu,” tuturku membela Encik Rizal kerana dialah lelaki yang kadangkala keluar bersamaku selain Yen sendiri. Tajam pandangan Yen menatapku.

“Awak silap. Orang lelaki ni sama saja. Saya tahulah,” balas Yen serius.

“Encik Rizal baik. Dia takkan ada niat tersembunyi,” balasku lagi masih mahu membela Encik Rizal. Kedengaran keluhan Yen.

“Kalau macam tu, kenapa awak tak kahwin saja dengan dia?”

“Boleh ke saya madukan awak dengan dia?” soalku semula.

Mwo (apa)...!” Terjengil biji mata Yen menatapku. Aku ketawa. Kali ini Yen diam.

“Awak nak ke bermadu Si Pemuda Sombong berhati mulia?” usikku.

“Tutup cerita,” tegasnya garang. Aku ketawa lagi. Puas hati dapat mengenakan Yen kali ini.

“Orang lelaki ni sama saja awak kata. Awak pun ada niat jahat jugalah. Sepatutnya saya tak boleh ajak awak pergi ke situ,” tuturku. Yen tersenyum menakutkan aku. Pandangan nakal melirik ke arahku.

“Kalau dengan saya bukan setakat kali ni, malah sepanjang umur awak boleh pergi bersama saya. Nak buat aksi-aksi panas pun takde salah. Kitakan suami isteri,” balas Yen tersenyum miang meremangkan bulu romaku.

“Awak ni boleh tahan juga miangnya,” marahku lalu menutup tubuhku dengan beg galas. Yen tertawa terbahak-bahak. Giliranku pula yang jadi usikan nakalnya. 

“Betul ke awak tak tergoda dengan saya, Iman ssi,” Biji mata Yen sedang dikelip-kelipkan padaku. Mulalah dia menunjukkan aksi menggoda. Laju cubitan tanganku singgah di bahunya membuatkan dia terjerit kesakitan.

“Lain kali jangan berani nak main-main dengan saya,” ujarku memberi peringatan kepadanya. Ketawa Yen masih kedengaran. Dalam sakit-sakit itu mampu lagi dia ketawa. Memang dia ada akal dajal. Tatkala kereta Yen memasuki parkir, aku ingatkan diriku agar lebih berhati-hati dengan pemuda ini. Sama sekali aku tidak akan membiarkan dia mengambil kesempatan ke atasku. Bicara Yen memang ada benarnya. Dalam dalil agama sendiri ada menyebut seorang lelaki hanya memiliki satu nafsu berbanding seorang wanita yang ada sembilan nafsu. Nafsu tunggal lelaki itu terarah pada seks. Wajib berjaga-jaga dengan kaum Adam tidak terkecuali Yen yang bersamaku sekarang.

“Awak masuk dulu saya nak beli air dan popcorn,” ujar Yen mahu mendapatkan menu wajib di pawagam. Aku akur dengan arahannya. Kebanyakan kerusi sudah dipenuhi oleh manusia kaki wayang kerana sebentar lagi tayangan akan bermula. Mudah untukku mencari lokasi duduk kami berdasarkan nombor yang tertera pada tiket. Apatah lagi cahaya lampu belum dipadamkan lagi. Aku tersenyum puas hati dengan kedudukan strategik yang dipilih oleh Yen. Betul-betul berada di tengah-tengah membolehkan aku menonton tayangan dengan selesa sehingga ke penghujung. Laju tanganku mengeluarkan tiket-tiket tadi. Cuba memeriksa kedudukan seterusnya. Sesuatu yang mengejutkan apabila kesemua tiket menunjukkan nombor yang sama menjelaskan aku bakal duduk di posisi sekarang.

Cahaya lampu mula dipadamkan. Gelap-gelita. Aku teringatkan kata-kata Yen tadi. Kupeluk tubuh cuba melindungi diri. Seminit kemudian cahaya samar-samar kelihatan terpancar dari dada skrin wayang menandakan tayangan filem Moby Dick sudah bermula. Cahaya malap dari beberapa buah lampu juga di pasang di dinding memberi kelegaan kepadaku. Masih ada sedikit cahaya untuk dijadikan panduan pandangan mataku. Kutoleh ke kiri ke kanan. Kelibat Yen masih tidak kelihatan. Barangkali masih menunggu giliran untuk mendapatkan popcorn dan minuman. Aku teringat akan bicara Yen tadi. Jangan-jangan Yen.... Eh, mustahil! Yen bukan jenis manusia sebegitu. Aku percaya Yen tidak memiliki hati busuk seperti yang akal jahatku fikirkan sekarang.  

“Dah lama mula ke?” Aku berpaling. Yen sudah melabuhkan duduk di kerusi di sebelahku tanpa kusedari. Aku mengangguk dan meletakkan jari di celah bibir memberi isyarat agar Yen memperlahankan suara. Risau mengganggu tumpuan penonton yang lain. Dia menyuakan air gas dan popcorn kepadaku. Aku memandang Yen. Popcorn dan air gas yang dihulurkan kepadaku tidak kusambut.

“Ambillah...,” suaranya berbisik. Aku masih menatap wajah Yen.

“Kenapa? Awak takut saya taruh pil khayal dalam air tu ke?” bisiknya lagi. Penonton yang berhampiran melontar pandangan kepada aku dan Yen. Aku tersengih dan cuba berlagak biasa. Dalam hati berbakul-bakul kutukanku kepada Yen. Pasti mereka mendengar bicara Yen tadi. Aku terus mengambil air gas dan popcorn. Bimbang Yen akan bercakap yang bukan-bukan lagi.

“Minumlah tak payah risau. Kalau saya berniat jahat dengan awak tak payah tunggu masa sekarang,” ujar Yen dengan suara yang ditahan-tahan.

“Hussshhh...,” Aku meletakkan jari telunjuk di celah bibirku. Yen memandangku sekilas lalu mengalih pandangan ke hadapan, mula menonton filem yang ditayangkan. Aku cukup mengerti maksud bicara Yen itu. Kalau dia ada niat jahat kepadaku memang dia mempunyai banyak peluang. Seingat aku ada beberapa kali aku pernah tidur sebilik dengannya. Kali pertama ketika kedatangan Puan Sodiah buat pertama kali ke banglo Yen. Tika itu aku  terpaksa tidur sebilik dengan Yen untuk mengaburi pandangan Puan Sodiah. Kononnya aku dan Yen ialah pasangan suami isteri yang bahagia. Ada kejadian lucu yang berlaku pada keesokan harinya. Aku tersenyum sendiri mengingati semua itu. Kali kedua, aku berkongsi bilik lagi dengan Yen di Villa Sentosa dua malam berturut-turut. Di situlah aku mengetahui sejarah hubungan dingin Yen dengan Datuk Kamarudin. Kemudian di kampung di rumah Pak Long, aku juga berkongsi bilik dengan Yen. Ada cerita luka yang telah berlaku sekali gus membongkar kisah duka hidupku. Aku mengeluh perlahan-perlahan mengingati rentetan kehidupanku dengan Yen. Ada suka ada duka. Tidak sedar aku berkongsi pengalaman hidup dengan Yen sehingga ke hari ini.

“Kenapa?” soal Yen sambil melirik kepadaku. Aku hanya geleng kepala lalu mula memberi tumpuan pada tayangan filem Korea yang sedang berlangsung. Banyak babak dalam cerita ini juga aku tertinggal gara-gara sempat berkhayal seketika tadi. Namun tatkala aku teringat ada beberapa keping lagi tiket tayangan yang sama ada padaku sedikit melegakan aku. Untuk tiket seterusnya aku boleh memberi tumpuan sepenuhnya pada tayangan filem Moby Dick ini. Masa dua jam duduk diselubungi penghawa dingin baru saja berakhir. Terasa membeku. Aku melangkah pantas ke pintu sambil diekori oleh Yen. Kutemukan kedua-dua belah telapak tanganku lalu saling menggosok. Cuba memanaskan kedinginan ini. Kugosok-gosok lenganku sehingga ke siku.

“Awak tunggu kat sini saya nak pergi ke tandas dulu. Lepas tu kita pergi solat dan makan sebelum tayangan seterusnya,” ujar Yen. Aku mengangguk sambil menepuk-nepuk pipiku cuba memberi haba melawan kedinginan.

“Mari sini saya tolong awak...,” Tubuhku dipaling dengan pautan tangan Yen dilenganku. Aku tergamam menatapnya. Tidak menduga Yen akan berpatah balik dan kini berdiri di depanku. Telapak tangan Yen sudah disatukan denganku, lantas menggosok-gosok memindahkan haban kepadaku. Aku kaget dengan tindakan Yen.

“Okey tak? Dah kurang rasa sejuk?” soal Yen sambil menatapku yang  masih terkesima diperlakukan sedemikian olehnya. Aku mengangguk lantas berbisik kepada diriku sendiri bahawa Yen berniat baik dan sekadar ingin menolongku menghilangkan kedinginan ini. Digosok-gosok telapak tanganku beberapa kali lagi.

“Tunggu saya kat sini tau, kejap lagi saya datang,” ujar Yen mengulangi peringatan tadi lalu melepaskan telapak tanganku dari tautan telapak tangannya. Aku mengangguk lagi. Hakikatnya aku masih terkejut dengan tindakan Yen sebentar tadi. Bahkan segan menjalar dalam diriku.  Kutatap jam tangan. Kira-kira lima minit sudah berlalu, namun kelibat Yen belum kelihatan lagi. Mungkin ramai yang sedang berbaris menunggu giliran. Situasi biasa berlaku sebaik sahaja tayangan tamat. Aku bersandar pada tiang konkrit menjauhi kesesakan manusia yang lalu-lalang. Anak mataku tetap memandang ke arah blok tandas lelaki bagi memastikan aku tidak kehilangan jejak Yen. Risau juga kalau Yen tidak menyedari aku berada di sini sekarang.

“Betul ke tiket untuk tayangan filem Moby Dick dah habis? Tayangan jam terakhir juga dah takde ke?” soal gadis itu berdegil masih mahu mencuba nasib. Pantas aku berpaling ke arah dua orang gadis yang sedang berurusan dengan gadis yang bertugas di kaunter penjualan tiket. Perbualan mereka begitu menarik perhatianku.

“Maaf cik, memang dah habis dijual sejak petang tadi. Untuk tayangan esok pun tiket dah habis dijual,” suara gadis yang bertugas di kaunter itu begitu mesra.

“Sampai macam tu sekali,” Kelihatan dia geleng-geleng kepala kehampaan. Kemudian mengeluh. Kasihan mereka. Aku teringat pada tiket-tiket wayang yang Yen beli siang tadi. Misi aku sudah bermula sekarang. Aku menanti-nanti kedua-dua gadis itu melewatiku. Salah seorang sedang bergerak ke tandas dan seorang lagi sepertiku menanti di luar. Segera aku mendekati gadis itu.

“Assalamualaikum...,” Gadis itu berpaling dan kehairanan menatapku.

“Saya dengar tadi cik dan kawan cik cari tiket tayangan filem Moby Dick. Kebetulan kawan saya ada beli tiket lebih. Cik nak ke?” soalku.

“Ohh... ye ke.. Mestilah saya nak. Awak ada tiket tayangan pukul berapa? Cukup dua tiket?” soalnya teruja. Wajahnya bertukar ceria.

“Memang saya ada dua tiket. Tayangan pukul 9.00-11.00 malam dan pukul 11.00-1.00 pagi. Cik nak yang mana satu?” soalku sebelum menyerahkan tiket tersebut. Gadis ini berfikir seketika.

“Kejap ye, saya tanya kawan saya dulu.  Dia kat tandas sekarang. Boleh tunggu tak?” Aku mengangguk dan tersenyum.

“Tak jadi masalah. Kebetulan saya juga tunggu kawan saya,” balasku sekali gus memaklumkan bahawa aku tidak mengejar masa sekarang. Seketika kami saling bertukar senyuman.

“Harga tiket tu berapa?” soalnya mengajak aku berbicara setelah senyap beberapa minit.

“Tak payah bayar saya beri percuma je,” putusku.

Really?” soalnya agak terkejut. Aku mengangguk lagi.

“Daripada tak diguna lebih baik saya beri pada cik dan kawan cik tu,” tuturku ikhlas.

“Baiknya hati awak. Terima kasih ye,” tuturnya memujiku.

“Sebetulnya bukan saya yang beli tiket ni. Kawan saya yang belanja saya tengok wayang hari ni. Kami baru je selesai tengok tayangan pada pukul 5.00 -7.00 petang. Best juga jalan ceritanya. Kamu berdua tengoklah cerita ni nanti, ” ceritaku lebih mesra.

“Ohh, nanti kalau berkesempatan saya nak ucapkan terima kasih pada dia. Nama saya Erin. Tentu awak juga suka tengok filem Koreakan,” Erin menghulurkan tangan bersalam denganku. Aku mengangguk.

“Saya Iman,” balasku memperkenalkan diri.

Nice name. Awak baik memang sesuai nama tu dengan diri awak,” puji Erin lagi buat aku segan.

“Takdelah... biasa-biasa saja,” tuturku merendah diri.

“Saya rasa Vel mesti nak tengok tayangan jam 9.00 malam ni. Dia tak sabar-sabar nak tengok cerita ni. Kebetulan malam esok kami ada fesyen show. Kenalah tidur cukup,” cerita Erin lagi. Oh, Erin dan kawannya itu peragawati. Patutlah nampak cantik dan bergaya.

“Kawan saya pun suka sangat tengok cerita Korea. Kebetulan pula ada pakwe orang Korea,” tambah Erin bercerita.

“Patutlah... Kalau macam tu awak ambillah tiket tayangan filem Moby Dick jam 9.00 malam ni,” cadangku lantas membuka beg galas mencari tiket-tiket tadi. Fikiranku melayang kepada Velviana. Dia juga seorang peragawati, suka dengan cerita Korea malah buah hatinya ialah pemuda Korea.

“Erin, siapa dengan awak berbual tu?” Serentak aku dan Erin berpaling. Aku tergamam menatap seraut wajah itu. Tiba-tiba lidahku kelu untuk berbicara. Gadis itu menatapku tanpa curiga. Barangkali dia tidak mengingati wajahku lagi Si Gadis Pencuci Pinggan di restoran. Dia pasti sudah lupa suatu waktu dahulu dia pernah memberi tawaran lumayan kepadaku gara-gara ingin memiliki vcd lakonon Seo Kang Joon dalam drama ‘Are You Human Too’. Aku tidak pernah melupakan perkara ini. Aku terus teringat pada Yen. Aku dapat rasakan musibah bakal menimpanya.

“Vel, ni Iman kawan baharu saya. Dia ada tiket tayangan filem Moby Dick dan nak beri percuma kat kita,” ujar Erin memperkenalkan aku kepada Velviana. Serta merta wajah muram Velviana menjadi ceria. Dia begitu teruja. Aku dan Velviana bertukar senyuman dalam keadaan terpaksa.

Really...,” soalnya. Erin mengangguk. Kali ini laju sahaja Velviana menghulurkan tangan kepadaku. Begitu licin dan lembut kulit yang dimiliki oleh Velviana. Sungguh gandingan yang sempurna untuk Yen.

“Hai... saya Velviana, panggil saja Vel. Syukur awak ada tiket extra. Tak kempunanlah saya nak tengok tayangan ni,” ujarnya agak ramah. Aku jadi kurang selesa dengan pertemuan ini. Rasa bersalah pada Velviana kerana terpaksa mengahwini kekasih hatinya. Dalam masa yang sama jantungku berdebar-debar. Tidak dapat aku bayangkan situasi yang bakal terjadi jika tiba-tiba sahaja Yen muncul sekarang.

“Iman ssi...!” Ya Allah! Aku memejamkan mata. Musibah sedang bergerak menghampiri Yen sekarang. Aku diterpa rasa bersalah sangat.

“Yen...!” nama ini keluar dari mulut Erin. Aku tidak terkejut mereka saling mengenali.

What are you doing here?” tegang suara Velviana bertanya. Senyap. Tiada suara Yen menyahut. Pandangan Erin dan Velviana masih terarah kepada Yen yang pasti tidak menduga akan dipertemukan dengan kekasih hatinya. Perlahan-lahan aku berpaling menatap Yen. Kupandang wajah Yen dengan rasa bersalah. Kalut. Buntu.

Velviana menatap tajam wajah Yen. Hatinya mendidih-didih. Betapa murka dirinya saat ini. Namun dia berusaha mengawal kemarahan itu dan cuba bersabar. Kali ini dia tidak mahu tersilap langkah lagi.

“Siapa Iman tu, Yen? Betul ke dia tu sepupu you?” soal Velviana dengan perasaan kecewa. Betapa sukar diterima akalnya tatkala dia menemui Yen di tempat yang tidak pernah dikunjungi oleh pemuda itu. Dia jadi sangsi.

“Saya rasa Iman bukan setakat cousin awak,” ujarnya curiga.

“Jangan fikir yang bukan-bukan Vel. Mari saya hantar awak balik. Kemudian kita bincang perkara ni lagi. Sekarang bukan masa yang sesuai,” tutur Yen begitu tenang.

“Apa yang tak sesuainya! Saya nak tahu siapa gadis tu? Awak suka gadis tu?” bentak Velviana berdegil. Yen melepaskan keluhan.

“Saya tak nak bincangkan perkara ni sekarang. Saya dan Iman belum makan lagi. Saya juga perlu hantar dia balik. Sebelum tu mari Saya hantar awak balik,” tegas Yen melawan kemarahan Velviana.

“Kalau betul awak takde apa-apa dengan dia, tak perlu awak hantar dia balik. Dia boleh balik sendiri. Saya nak awak temankan saya malam ni,” pinta Velviana berdegil. Yen jadi serba salah.

Aku dan Erin yang memerhatikan gelagat Yen dan Velviana dari kejauhan saling berpandangan. Tampak perbincangan mereka begitu tegang. Sesekali Velviana menunding jari ke arahku. Mesti dia sedang memperkatakan tentangku. Kasihan Yen tidak pasal-pasal dimarahi oleh Velviana gara-gara memenuhi permintaanku.

“Saya dan Yen memang takde apa-apa. Saya harap Velviana tak akan salah faham. Kesian Yen,” tuturku perlahan dan rasa bersalah sangat.

“Awak jangan risau saya akan cuba terangkan kepada Vel nanti,” sahut Erin berjanji sedikit melegakanku.

“Awak tahu ke yang Yen tu dah ada girlfriend?” soal Erin mendugaku. Aku mengangguk. Pertama kali bertemu dengan Yen, tika itu dia bersama Velviana.

“Saya juga tahu yang Velviana tu kekasihnya. Mungkin Velviana dah lupa yang kami pernah berjumpa sebelum ni. Tika itu dia bersama Yen. Dari situ saya tahu mereka pasangan kekasih,” ujarku menyingkap kejadian yang lalu. Erin mengangguk-angguk mula mengerti.

“Macam mana awak dengan Yen boleh jadi kawan?” soal Erin lagi.

“Yang ni saya tak boleh jawab. Hanya Yen saja yang boleh menjelaskan,” balasku berhati-hati. Risau tersilap bicara akan lebih banyak kenyataan yang bercanggah sekali gus lebih memburukkan keadaan lagi. Biarlah Yen yang menjelaskan kepada Velviana. 

“Awak tahu, pasti Vel tak tenteram sekarang. Saya dah lama mengenali Yen dan Vel. Selama mereka ada hubungan, tak pernah sekalipun mereka menonton wayang bersama-sama. Bukan Vel tak pernah ajak Yen menemaninya, tapi Yen yang tak nak pergi. Sebenarnya saya pun tertanya-tanya apa yang membuatkan dia datang ke sini bersama awak,” berjela bicara Erin.

“Semua ni salah saya. Saya yang paksa dia menemani saya, tapi saya dan Yen memang takde apa-apa,” tuturku serius.  Bicaraku dengan Erin terhenti setakat itu sahaja. Kelihatan Yen dan Velviana melangkah ke arah kami. Langkah mereka mati tepat tepat di depanku. Yen menatapku. Begitu juga dengan Velviana. Sudah tiada senyuman ceria di bibirnya. Hanya pandangan yang tajam.

“Awak boleh balik sendiri kan. Saya nak keluar dengan Vel sekejap,” tutur Yen perlahan.

“Hey... tak pe. Saya boleh balik sendiri. Kebetulan juga saya dah janji dengan Encik Rizal nak makan sama-sama. Encik Rizal boleh datang jemput saya kat sini. Awak tak payah risau,” tiba-tiba sahaja nama Encik Rizal muncul di mulutku. Aku cuba membangkitkan ketenangan Velviana dengan nama Encik Rizal. Sekurang-kurangnya dengan nama lelaki ini boleh mendamaikan perasaannya. Kasihan Encik Rizal, aku terpaksa pula memperalatkan namanya. Yen menatapku lama.

“Yen mana boleh risaukan awak,” bidas Velviana kasar. Aku tersengih. Aku tahu Velviana begitu cemburu denganku sekarang.

“Err...er...yelah... saya tersilap cakap tadi. Awak tak payah marahkan Yen. Saya dan dia memang takde apa-apa. Kami hanya kawan biasa je,” jelasku.

“Saya tahu. Yen dah jelaskan tadi,” balas Velviana masih bernada kasar. Aku tidak terkejut dengan sikap yang ditunjukkan oleh gadis ini.

“Encik Rizal tu, boyfriend awak ke?” Aku tersentak mendengar pertanyaan Velviana yang kurang sopan itu. Senyap. Velviana sedang menatapku menanti jawapanku. Begitu juga dengan Yen.

“InsyaAllah kalau dah jodoh,” balasku sekadar menambah rasa puas hatinya. Sekurang-kurangnya aku boleh menyelamatkan Yen dari terus dicurigai oleh kekasihnya ini. 

“Baguslah kalau macam tu,” sahut Velviana menyokong. Yen menatapku tajam. Wajahnya begitu serius. Barangkali dia kurang senang aku berbohong.

“Jomlah kita pergi,” ajak Yen lalu mengorak langkah mula meninggalkan aku yang masih duduk di bangku ini. Pantas tangan Velviana memaut lengan Yen. Tampak begitu manja. Mereka memang padan menjadi pasangan kekasih. Aku memerhatikan langkah mereka sehingga kelibat mereka hilang dari pandangan. Terasa diriku ditinggalkan. Ada sayu menggamit hati.

“Kalau awak takde janji temu tadi, awak boleh tumpang kereta saya,” ujar Erin mempelawaku. Aku sedikit hairan mendengar bicara gadis ini. Janji temu? Keliru. Namun cepat aku menyedari bicaraku tadi.

“Takpe, awak boleh balik sekarang Erin,” tuturku tersenyum. Erin mengangguk. Gadis ini tidak seperti Velviana yang tampak begitu sombong dan tidak menyenangiku. Sebaliknya aku begitu menyenangi sikap Erin.

“Betul ke Encik Rizal tu kekasih awak? Selalu ke Yen memandang awak sedemikian bila awak menyebut nama lelaki tadi?” soal Erin menimbulkan kekeliruanku.

“Apa?” Hairan aku dengan pertanyaan pelik gadis ini.

“Sebenarnya ada sesuatu yang istimewa wujud antara awak dengan Yen, namun kamu berdua tak menyedarinya,” ujar Erin menambah kebingunganku.

“Saya balik dulu Iman,” Aku mengangguk. Namun akalku masih memikirkan bicara Erin tadi.

“Nampaknya semakin parahlah Vel nanti,” keluh Erin begitu jelas di telingaku. Erin geleng-geleng kepala. Kini tinggallah aku bersendirian bersama orang yang tidak kukenali yang lalu lalang di sekitarku. Kutatap tiket di tangan. Ada dua tayangan lagi yang perlu aku tonton. Perutku terasa pedih. Baru aku teringat aku belum makan lagi. Sebentar tadi aku dan Yen bercadang hendak makan bersama-sama. Namun bukan rezekiku hendak makan percuma malam ini tatkala ditakdirkan kami bertemu dengan Velviana tadi. Kupandang jam di tangan. Tinggal 20 minit lagi slot tayangan pukul 9.00-11.00 malam bermula. Aku tidak punya masa yang panjang untuk mencari restoran di sekitar kawasan ini. Maka aku memutuskan untuk membeli bertih jagung dan air gas yang dijual di tepi sudut berdekatan dengan pintu masuk pawagam. Harap-harap menu ini cukup untuk mengalas perutku yang sudah terasa lapar. Kemudian aku terus melangkah ke pintu utama lantas mengambil tempat dudukku tadi.    

Tayangan sudah bermula. Kutoleh ke arah kerusi kosong di sebelahku. Tadi Yen duduk di situ menemaniku. Sekarang tinggal aku bersendirian di sekeliling manusia yang berpasangan. Kebanyakan yang ada di sini pasangan kekasih. Ada juga yang menonton tayangan ini bersama kawan-kawan dan saudara mara. Aku begitu terasing. Terselit kesedihan. Alangkah baik kalau Yen menyembunyikan tiket selebihnya ini daripada pengetahuanku. Tidaklah aku menyusahkan diri terus terperuk di kerusi ini. Mungkin ada baik juga kalau aku menerima sahaja pelawaan Encik Rizal untuk makan bersamaku. Tiba-tiba terlintas nama Linda di kepalaku. Dalam cahaya samar-samar kuhantar WhatsApp kepada Linda. Harap-harap Linda sudi menjadi penemanku saat ini. Tidak lama kemudian, skrin iPhone bercahaya. Segera kubuka mesej yang baru masuk. Aku tersenyum lega apabila Linda sudi menemaniku untuk slot tayangan terakhir nanti. Berjaya juga aku memanfaatkan sepenuhnya tiket-tiket ini.

“Mana Yen? Beli tiket tayangan larut malam tapi tak nak temankan awak tengok cerita ni,” rungut Linda tidak puas hati. Aku senyum. Roslinda Si Ayamor memang garang begini tetapi hatinya mulia. Dialah sahabat di kala susah senangku. Kalau tidak kerana perkahwinan itu, pasti aku masih bersama gadis ini menempuhi kehidupan kami seperti dahulu.

“Dia ada datang ke sini tadi tapi tetiba je ada hal,” ujarku cuba memadamkan tidak puas hati Linda. Dia menatapku.

“Awak nak bela dia ke?” soal Linda sinis.

“Hey...takdelah,” nafiku. Sebuah senyuman manis kulemparkan kepada Linda. Cuba meredakan perasaannya.

“Jomlah kita masuk ke dalam,” ajak Linda. Aku mengangguk. Aku mendahului langkah Linda masuk ke pawagam. Terus melangkah ke barisan kerusi tempat aku duduk untuk dua slot tayangan tadi. Tidak perlu tercari-cari lagi kerana aku sudah cukup arif dengan nombor kerusi yang perlu kami duduki.

“Memanglah awak ni kaki wayang. Tak pernah berubah walaupun dah kahwin. Tengok awak dah hafal pun kedudukan nombor-nombor kerusi ni,” komen Linda yang tidak tahu kisah sebenarnya. Aku hanya tersengih panjang. Tidak mahu membuka cerita. Nanti tidak pasal-pasal Linda kutuk aku dan Yen sama-sama pelik. Maka jadilah kami pasangan suami isteri yang pelik bin ajaib hehehe... Tayangan filem bermula. Kali ini aku boleh menumpukan perhatian pada layar putih. Selesa bahkan rasa selamat tatkala Linda berada di sebelahku.

Tepat pada pukul 1.10 pagi, aku dan Linda sudah berada di luar pawagam diserang kedinginan. Dalam perjalanan balik, aku mengajak Linda singgah di mana-mana restoran yang beroperasi 24 jam untuk melenyapkan laparku sekali gus menghilangkan kedinginan penghawa dingin. Linda seperti biasa jarang menolak pelawaanku. Mungkin dia turut diserang lapar setelah membeku di pawagam dua jam tadi. Namun tidak setanding laparku yang terpaksa bertahan lebih daripada 7 jam gara-gara tiket tiga slot tayangan filem yang tidak mahu aku bazirkan. Semua ini salah Yen juga yang tidak guna akal ketika membeli tiket tayangan ini. Memang patut aku menyalahkan pemuda itu.

Yen dari tadi terpacak di depan dinding cermin itu melontar pandangan ke halaman rumah. Sudah banyak kali anak matanya melirik pada jam di pergelangan tangan. Dia kembali ke banglo ini sekitar pukul 11. 00 malam tadi. Sekarang sudah menghampiri jam 2.00 pagi. Namun kelibat gadis itu belum kelihatan lagi. Hatinya diterpa kebimbangan. Risau kalau musibah menimpa gadis itu. Rasa bersalah dan menyesal meninggalkan Iman begitu sahaja. Sepatutnya dia kembali ke pawagam itu semula sebaik sahaja menghantar Velviana balik tadi.

“Saya boleh balik sendiri. Kebetulan juga saya dah janji dengan Encik Rizal nak makan sama-sama. Encik Rizal boleh datang jemput saya kat sini. Awak tak payahlah risau,” suara gadis itu kembali kedengaran. Yen mengeluh. Barangkali Iman masih bersama pemuda itu. Mungkin juga mereka bersama-sama menonton tayangan larut malam itu.

“Kalaulah awak minta saya hantar awak balik ke sini tadi, saya dengan rela hati akan hantar awak, Iman,” tuturnya sendirian sambil terus memandang keluar banglo. Terasa lenguh dia berdiri lama di situ. Lantas Yen melangkah ke ruang tamu lalu menghumbunkan tubuh ke sofa panjang itu. Lama juga dia terlentang di situ dengan pandangan yang terpaku ke siling. Fikirannya masih tidak tenteram. Hatinya digamit kebimbangan yang panjang.

“Awak baru balik!” Kurr...semangat. Hampir-hampir sahaja aku jatuh terjelompok ke lantai. Sergahan suara Yen betul-betul mengejutkanku. Aku melontar pandangan kurang senang pada Yen. Sungguh aku geram dengan tindakan Yen sebentar tadi. Mujur juga aku tidak mendapat serangan jantung.

“Ye baru baliklah ni. Awak tak nampak ke?” balasku sinis.

“Yah...!” Suara Yen melenting kuat.

“Apa hal dia marah-marah ni. Buang tabiat agaknya...,” rungutku berbicara sendiri sambil melangkah melewatinya yang terlentang terbaring di sofa itu. Malas aku hendak melayan kerenahnya jauh-jauh malam ini. Kebetulan juga aku diserang mengantuk sangat sekarang.

“Lewat sebegini awak baru balik setelah puas merayau dengan bos awak,” agak sinis bicara Yen singgah di telingaku. Serentak itu juga langkahku mati di anak tangga pertama. Aku berpaling semula ke arah Yen.

“Apa maksud awak?” soalku panas hati. Dia hendak tuduh aku menghabiskan masa sehingga larut malam bersama Encik Rizal. Dia hendak samakan aku dengan gadis liar. Dia ingat aku seperti dirinya.

“Bila saya dan Velviana pergi tadi, sepatutnya awak terus balik ke rumah. Bukan bersama lelaki lain sehingga jauh malam begini!” bentak Yen meradang. Aku menelan liur pahit.

“Untuk apa awak kisah semua ni?” balasku tidak mahu berterus terang yang sebenarnya Encik Rizal tidak bersamaku. Aku tidak mahu memaklumkan kepada Yen bahawa aku menghabiskan masa di luar tadi bersama Linda bukan Encik Rizal. Dia tidak perlu tahu semua itu. Kebetulan aku sudah mengantuk sangat sekarang. Lagipun terkilanku masih ada tatkala Yen meninggalkanku sendirian tadi.

“Awak dah lupa ke yang awak tu isteri saya,” bicara Yen begitu janggal. Aku tersenyum sendiri. Sebaliknya Yen masih merenungku tajam.

“Suami yang meninggalkan isteri bersendirian untuk bersama gadis lain,” tuturku sinis dan bersahaja.

Mwo (apa)...!” tajam pandangan Yen kepadaku. Dia bangkit dari perbaringan. Wajahnya cukup serius.

“Saya dah letih dan mengantuk sangat sekarang. Kalau kemarahan awak tu belum habis lagi, esok saja awak sambung. Bye... Nae-il tto mannayo (bertemu kembali esok). Sillyehamnida (permisi),” ujarku lantas menyambung langkah tidak mahu berlama-lama di situ. Kutolak daun pintu bilik lalu menutup rapat.

“Iman ssi!” laungnya. Yen mendengus kasar. Betapa sakit hati melihat perlakuan gadis itu. Kembali dia membaringkan tubuh di situ. Sungguh dia tidak puas hati. Malah perasaan geram membuak-buak.

“Awak tak boleh salahkan saya... Iman ssi. Awak yang beria-ia sangat suruh saya pergi tadi sebab awak nak bersama lelaki itu,” tutur Yen berbicara sendiri. Lantas Yen bangun meninggalkan ruang tamu itu. Langkahnya terhenti di depan pintu bilik gadis itu.

“Iman ssi, kita perlu berbicara sekarang,” ujarnya sambil mengetuk pintu bilik gadis itu. Aku mendengus mendengar suara Yen itu. Kenapalah anak muda ini tidak faham-faham dengan bicaraku tadi.

“Iman ssi, keluar sekarang!” arah Yen lagi. Aku masih tidak mahu menyahut. Kucapai bantal lalu kutelekup ke atas kepalaku. Aku bersembunyi di bawah bantal.

“Iman ssi, awak dengar tak ni!” laung Yen lebih kuat lagi. Ya Allah, kenapalah pemuda Korea ini degil sangat. Dia tidak tahu tidurkah. Jam sudah menunjukkan ke pukul 3.00 pagi.

“Jang Geun Suk, saya nak tidur sekarang. Awak tidurlah juga. Dah pagi ni nanti tak sempat tidur pula,” balasku geram.

“Saya tak kisah...,” balasnya masih berdegil.

“Saya juga tak kisah awak keluar dengan Velviana,” balasku tiba-tiba menyebut nama gadis itu. Senyap. Beberapa minit kemudian keadaan ini berterusan. Tiada kedengaran lagi suara Yen. Mujarab juga sebaris nama gadis itu. Sebenarnya aku berbicara sedemikian untuk menarik balik bicara yang keluar dari mulutku tadi yang seakan menyalahkan dirinya yang meninggalkan aku bersendirian semata-mata dia ingin bersama kekasih hatinya itu. Mungkin Yen tidak dapat menerima bicaraku itu lantas dia ingin memberikan penjelasan terperinci. Barangkali juga dia khuatir aku akan mengadukan hal ini kepada keluarganya. Maka dia tidak boleh menanti kedatangan esok untuk bersemuka denganku memeterai perjanjian.

“Reti juga awak takut, Jang Geun Suk he..he...he...,” Aku tersengih-sengih sendiri. Kali ini baru terasa aman. Kutarik selimut menyelubungi tubuh lantas memejamkan mata semula.

“Selamat malam Jang Geun Suk. Nae-il tto mannayo (bertemu kembali esok), ” ujarku dengan mata yang terpejam rapat. Kemudian aku sudah tidak ingat apa-apa lagi tatkala lena menjemputku.

“Saya masih tak puas hati dengan kejadian tadi, Erin,” luah Velviana dengan wajah yang sungguh serius. Erin terkulat-kulat memandang wajah sahabatnya itu. Kepulangan Velviana dengan api kemarahan telah mengejutkan lenanya yang baru sahaja berlabuh. Erin mula menyandarkan tubuh di kepala katil itu bersedia untuk menyahut bicara sahabatnya itu.

“Bukan ke Yen dah terangkan segala-galanya. Gadis itu pun mengaku mereka takde apa-apa hubunganpun,” balas Erin cuba memadamkan kegusaran Velviana.

“Awak ingat saya percayakan dia semudah tu. Mungkin saya boleh percayakan gadis itu tapi bukan Yen. No way!” tutur Velviana serius.

“Awak bukan tak tahu, selama ni pun dia ada hubungan dengan ramai gadis. Cuma sejak kebelakangan ni saja tak kedengaran kisah cinta baru dia,” luah Velviana sangsi.

“Baguslah tu, Vel. Tak payahlah awak risau sangat. Awak pun tahukan perangai Yen macam mana. Dia bukan serius pun dengan gadis-gadis yang lain itu. Mereka je yang suka dia berlebihan. Sekurang-kurangnya hubungan awak dengan dia masih bertahan sehingga ke hari ni,” tutur Erin cuba menenangkan dirinya.

“Tapi kali ni saya rasa lain saja,” keluh Velviana.

“Apa yang lainnya?” soal Erin.

“Selama saya mengenali Yen, tak pernah sekalipun dia temankan saya pergi tengok wayang. Bukan saya tak pernah ajakpun. Saya tak kisah bila dia tak mahu pergi sebab saya tahu dia tak suka pergi tempat macam tu. Malam tadi, itulah kali pertama dia menjejakkan kaki ke situ. Logiknya cuba awak fikir kenapa dia boleh ubah tabiat dirinya dalam sekelip mata saja,” luah Velviana curiga.

“Kalau bukan kerana dia suka pada gadis tu, tak mungkin dia akan bertindak sedemikian. Mesti dia ada perasaan istimewa pada gadis tu, Erin. Nilah yang buat saya tak boleh tenang,” tambah Velviana bingung.

“Awak nak buat apa sekarang?” soal Erin sedikit khuatir akan sahabatnya itu. Mungkinkah Velviana akan menggunakan teknik yang serupa untuk mengakhiri hubungan pemuda itu dengan gadis lain? Tika ini terbayang di matanya kelembutan pada wajah gadis itu. Dia yakin penafian yang dilakukan oleh gadis itu begitu telus. Sanggupkah dirinya membiarkan sahaja sahabatnya itu bertindak kasar kepada Iman. Erin mengeluh. Pertanyaannya belum dijawab oleh Velviana.

 “Awak perlu ingat, gadis tu dah ada boyfriend,” tutur Erin dalam ketidakpastian. Bicaranya tidak berjaya menarik perhatian Velviana yang sedang gundah-gelana saat ini.

“Tahulah saya nak buat apa kat dia nanti,” tutur Velviana begitu serius. Tidak jelas pula siapa yang dimaksudkan olehnya sama ada Yen, kekasih hatinya mahupun Iman, yang dianggap sebagai pesaing barunya. Tergambar perasaan nekad di wajah Velviana. Erin diam. Tidak mampu dia hendak meramal apa yang bakal dilakukan oleh sahabatnya itu. Sesungguhnya, dia hanya mampu menunggu masa untuk menyaksikan Velviana bertindak.

“Harap-harap awak masih mampu bertenang Vel,” bisik hatinya berdoa.