Saturday 9 November 2013

NamaKu Bukan Flora!.... 56.... Kembali Lagi! TERBARU!!!!





BAB 56

Aku menutup mulutku. Sudah berapa kali aku menguap. Sebaik saja aku terjaga aku tidak boleh tidur lagi. Didatangi mimpi yang membebani fikiranku.
“Kamu tak cukup tidur ke?” Mak tersenyum melirik. Senyuman yang penuh makna buat aku kurang senang. Pasti mak sudah salah faham. Aku dan Aqel sedikit berbeza dengan pengantin baru yang lain.
“Terbangun pukul 3.00 pagi tadi. Lepas tu tak boleh tidur lagi” jelasku. Mak berpaling menatapku. Sekilas senyuman terukir di bibirku. Perkara ini bukannya sesuatu yang serius. Tidak mahu merunsingkan hati mak.
“Ada yang merunsingkan kamu?” soal mak. Laju aku menggeleng.
“Kamu tak de masalah dengan Aqel kan?” duga mak berbaur kerisauan. Aku mengangguk. Setakat ini aku dan Aqel hidup baik – baik saja walaupun perihal Flora sentiasa menghantuiku. Kupandang wajah mak. Hatiku melonjak ingin mengutarakan banyak pertanyaan pada mak. Mungkin mak boleh menolongku mengungkai persoalan yang membelenggu diriku selama ini.
“Mak kenal Flora?” soalku berhati – hati. Berkerut dahi mak menatapku.
“Flora....” Nama ini perlahan – lahan meniti di bibir mak. Minda mak seakan cuba mengingat sebaris nama ini. Mak geleng kepala.
“Bukan ke Aqel panggil kamu dengan nama ni?” soal mak menyedarinya. Aku mengangguk. Sebab itu aku ingin tahu lebih lanjut tentang nama ini? Mungkin juga ada kaitan denganku. Hairan juga mengapa Aqel mahu terus – terusan memanggilku dengan nama ini.
“Aqel memang anak tunggal Mak Long kan, mak” ujarku menduga.
“Yelah mana ada yang lain lagi. Tak tahulah kalau anak yang dah tak de” ujar mak. Senyap. Tidak pernah pula aku melihat gambar budak perempuan di rumah Mak Long mahupun Mak Long bercerita tentang adik –beradik Aqel yang lain. Aku hanya pernah nampak sekali gambar yang disembunyikan oleh Aqel. Gambar Aqel ketika kecil bersama seorang budak perempuan. Hatiku begitu kuat meyakini bahawa budak perempuan itu ialah Flora.
“Tak banyak sangat yang mak tahu tentang Mak Long kamu sebab mereka lama tinggal di luar negara. Bila mereka dah kembali ke sini barulah mak dan Mak Long kamu rapat” jelas mak. Betul cakap mak. Sejak Mak Long kembali ke negara ini baru aku mengenali mak saudara dan sepupuku. Dahulu tidak banyak sangat yang mak boleh ceritakan tentang kakak iparnya itu.
“Arwah ayah tak pernah cerita ke tentang Mak Long pada mak?” soalku lagi.
“Ayah kamu bukan suka sangat cerita hal orang” jelas mak.
“Yelah..... sama juga seperti Aqel” sahutku. Barangkali keperibadian ayah sedikit diwarisi Aqel. Mak menatapku.
“Yang kamu nak tahu sangat pasal nama ni, mengapa?” soal mak sangsi.
“Tak de apa – apalah mak” nafiku.
“Ni mesti kamu cemburu dengar Aqel sebut nama perempuan lain ni” ujar mak tersenyum meleret mengusikku. Aku tergelak. Menyimpang jauh sangkaan mak.
“Ke situ pula yang mak fikir” rungutku. Mak tersenyum – senyum.
“Tak salah pun kalau kamu ada perasaan macam tu, tapi jangan lebih – lebih” ujar mak memberi nasihat sekali gus menambah usikannya. Aku tersenyum sekilas.
“Kalau kamu nak tahu sangat pasal mak mertua kamu tu, kamu tanyalah dia sendiri. Silap – silap bicara, dia boleh bongkar rahsia Aqel” saran mak sambil lewa. Boleh difikirkan cadangan mak ini. Namun risau pula Mak Long salah faham. Mungkin juga Mak Long mahu berahsia seperti Pak Long dan Aqel. Oh.... misteri sungguh gerangan gadis yang bernama Flora ini!
“Ajak Aqel sarapan” suara mak menyentakkanku. Aku akur dengan arahan mak. Segera mendapatkan Aqel. Aku menjenguk ke bilik tidur. Aqel tiada di sini. Aku merapati bilik air sambil mendakap telingaku di daun pintu kalau – kalau Aqel berada di sini. Sunyi sepi. Pintu juga dikunci dari luar. Sah Aqel tiada di dalam bilik air. Aku bergerak keluar bilik sambil anak mataku meliau – liau menjejaki kelibat Aqel. Ke mana gerangannya menantu kesayangan mak ini menghilangkan diri? Hatiku tertanya – tanya sambil melewati ruang tamu menghala langkah ke muka pintu utama.
“Oh..... rupa – rupanya di sini cik abang sayang hoi......! Awal pagi dah termenung jauh ingat kekasih lama ke? Cepat sarapan mak dah tunggu di dapur tu” rungutku mencebik ke arah Aqel yang sedang bersantai – santai menghirup udara pagi yang segar di halaman rumah. Aqel menatapku dengan wajah bersahajanya. Kadangkala sakit hati juga aku tengok reaksinya sebegini. Aqel melangkah mendekatiku. Aku berpaling mahu memulakan langkah. Namun langkahku belum bermula, tidak semena - mena tangan Aqel mendarat di bahuku. Laju aku berpaling ke arah Aqel yang sudah bersedia melawan pandanganku.
“Awak nak buat apa ni?” soalku lantas cuba menepis tangan Aqel dari bahuku. Gagal.
“Nak tunjuk pada mak mertua bahawa sayalah suami yang romantik” ujar Aqel bersahaja. Aku mengetap bibir.
“Tak payah. Turunkan tangan awak ni” arahku. Aqel menulikan telinga. Aku cuba menarik tangan Aqel dari terus melekat di bahuku. Namun tangan Aqel bagaikan sudah digam tetap melekat di situ.   
“Aqel saya tak selesa awak buat saya macam ni” tegasku bengang.
“Mula – mula saja. Lama – lama nanti awak akan terbiasa” sahut Aqel. Kutatap wajah Aqel. Adakah perbuatannya ini akan menjadi rutin harian kami? Hey.... meremeng bulu romaku! Betapa kekoknya aku diperlakukan sebegini. Janggal sungguh dengan kemesraan yang dibuat – buat oleh Aqel. Kedengaran suara mak melaung memanggilku.
“Cepat turunkan tangan awak” arahku lebih tegas lagi. Aqel buat wajah bersahajanya.
“Jalan terus...” arahnya pula sambil menolakku memulakan langkah. Mahu tidak mahu dan dalam keadaan terpaksa aku melangkah bergandingan bahu dengan Aqel yang sudah siap sedia mempamerkan senyuman lebarnya pada mak. 360° kepalaku tegak berhadapan dengan mak. Betapa rimasnya aku dengan perlakuan Aqel ini. Mak tersenyum lebar menyambut kedatangan kami. Di mata mak betapa romantiknya pengantin baru ini. Aduhhhhh......!

Aku dan Aqel sudah melabuhkan duduk di kerusi. Aku menarik nafas lega. Selesa rasanya terlepas dari pautan tangan Aqel. Tidak juga aku sesak nafas. Berdekatan dengan Aqel membuatkan aku sentiasa berjaga – jaga. Tindakan Aqel selalu di luar jangkauan fikiranku.
“Yang kamu terkebil – kebil tu apa hal? Mana air suami kamu?” suara mak menerjah halwa pendengaranku. Aku tersentak. Aqel sedang tersengih – sengih menatapku. Tajam jelinganku menatap Aqel. Kucapai teko lalu menuang air teh kosong itu ke dalam cawan lantas menyuakan kepada Aqel. Kuceduk nasi goreng ke dalam pinggan lalu kuletak di depan Aqel. Mak sekadar memerhati. Memang mak mahu aku memberikan layanan terbaik pada Aqel. Ringkasnya menjadi isteri terbaik buat suami.
“Makan Aqel....” arah mak dengan limpahan kasih sayang. Aqel tersenyum lagi. Dia memang suka tersenyum pada mak.
“Sedap nasi goreng mak ni ye....” puji Aqel bermulut manis.
“Isteri kamu yang buat” tingkah mak membetulkan tanggapan Aqel. Aqel melirik ke arahku dengan sengihan. Aku menjelingnya lagi. Pujian Aqel tidak menyentuh hatiku. Kurang ikhlas. Dia memang hanya mahu memuji dan menyanjung mak.
“Kamu tak tahu ke nasi goreng Lia sedap?” soal mak memujiku. Sekilas senyuman terukir di bibirku. Aqel turut tersenyum.
“Ni mesti kamu tak suruh Lia pergi dapur ni. Jangan manjakan isteri kamu ni” omel mak menegur Aqel. Aqel senyum lagi.
“Kalau pun sayangkan isteri bukan ni caranya” ujar mak lagi.
“Mak.....” tegurku. Mak hanya menayangkan muka bersahajanya padaku.
“Apa boleh buat mak, dah sayang betul pada isteri” sahut Aqel buat aku tersedak. Air di dalam mulutku tersembur keluar. Paling malang terkena t – shirt Aqel.
“Sorry..... sorry.... saya tak sengaja” ujarku serba salah sambil menyapu – nyapu t – shirt Aqel. Mak bingkas bangun mengambil kain pengelap. Tuala kecil bersih itu dihulurkan kepadaku. Aku mengelap t – shirt Aqel yang kotor terkena percikan air teh itu.
“Kamu ni lebih – lebih pula dengar suami kamu cakap macam tu” bidas mak sinis. Membahang mukaku. Malu mendengar bicara mak. Aku bukan lebih - lebih tetapi tidak menyangka Aqel akan berbicara sedemikian. Apatah lagi bicaranya bertentangan dengan fakta. Seingatku tidak pernah pula aku buat nasi goreng untuknya. Tanganku masih mengelap kotaran pada t – shirt Aqel. Pasti Aqel rimas disimbah dengan air teh yang keluar dari mulutku tadi. Maklumlah anak muda Mak Long ini pembersih orangnya. He...he....he.... padan muka! Siapa suruh cakap yang bukan – bukan. Lain kali fikir panjang dahulu sebelum mengeluarkan kata - kata. Nasib awaklah, Aqel!
“Tak pe.... Nanti kita mandi sama – sama” ujar Aqel. Gerakan tanganku terus terhenti.
“Aqel....” tegurku. Mak tersenyum – senyum. Panas membahang wajahku. Malu pada mak. Betapa lancangnya mulut menantu mak ini.
“Elok tu... pengerat kasih sayang” sampuk mak tersenyum. Bertambah membahang wajahku. Mak dan Aqel memang sekepala. Suka sangat mengenakan aku. Bingkas aku bangun. Tidak tahan berhadapan dengan pasangan serasi ini. Selebihnya merajuk.
“Kamu nak pergi mana tu?” soal mak terkebil – kebil melihat aku sudah berdiri.
“Nak ajak Aqel mandi sekarang.... dah tak sabar ni” ujarku geram. Mak tergelak. Aqel terkebil – kebil menatapku. Dia terkejut mendengar bicaraku. Mungkin dia ingat aku benar – benar serius saat ini. Mahu mengotakan bicaraku sebentar tadi.
“Kalau ye pun bagilah Aqel habiskan sarapan dulu. Sabar.... sabarlah” tutur mak mengusikku. Wajahku bertambah panas membahang tika ini. Malah tempiasnya mengena hatiku. Nampak sangat aku isteri gelojoh di mata mak. Namun alang – alang aku dapat malu biar aku malu semalunya. Selepas ini aku hendak buat perhitungan dengan Aqel.
“Marilah.... Aqel” Kurendahkan nada suaraku. Sedikit bunyinya mengoda. Aqel terkebil – kebil menatapku. Kutarik tangan Aqel bangun. Mak ternganga menatapku. Baru mereka tahu sekarang jangan main – main denganku. Aqel bagai kerbau dicucuk hidung menurut saja sambil diperhatikan mak. Mesti mak kebinggungan sekarang. Sebelum melewati pintu ini langkahkku terhenti. Aku berpaling ke arah mak semula.
“Nanti Lia kemas dan cuci pinggan mangkuk tu. Mak biarkan saja di atas meja” ujarku meninggalkan pesanan.
“Tak pe.... Kamu berdua habiskanlah masa bersama – sama” sahut mak hampir – hampir buat aku terjerit. Mujur juga aku masih sedar ada peringatan keras yang mahu aku tanam dalam kepala Aqel. Tidak mahu cepat melatah di depan mak. Nanti terbongkar lakonanku tika ini. Aku memaksa diri tersenyum merestui bicara mak yang agak sensitif itu. Kutarik tangan Aqel menuruti langkahku ke bilik. Kukunci pintu bilik. Lantas menolak tubuh Aqel ke katil. Aqel terduduk di birai katil dengan anak mata terkebil – kebil menatapku. Barangkali dia ingat aku bakal mencabul kehormatan dirinya sebentar lagi.
“Saya tak suka awak kaitan saya dengan cakap tak senonoh awak tu di depan siapa saja terutama di depan mak dan Mak Long” tegasku serius memberi peringatan. Bahu Aqel terjungkit. Terkejut dia mendengar suara lantangku ini. Aku mahu Aqel sedar bahawa aku bersungguh – sungguh dengan bicaraku. Aku serius tika ini.
“Kalau awak masih berdegil, saya takkan teragak – agak bertanyakan perihal Flora pada Mak Long. Saya akan beritahu mak tentang Flora kekasih pertama awak yang bertapa dalam hati awak tu” ancamku tanpa belas kasihan. Aqel terpana. 
“Biar mak tahu sebenarnya menantu kesayangannya ini ada perempuan lain” ancamku lagi tanpa memberi peluang kepada Aqel membalas bicaraku. 
“Jadi berhenti memperbodohkan keluarga kita. Saya tak mahu mereka terus tertipu dengan lakonan awak” tegasku geram dengan hati yang terbakar. Senyap. Aku bergerak ke jendela yang sudah terbuka luas. Tercengat di situ dengan kedua belah tanganku mencengkam bingkai  jendela. Mahu saja aku melaung sehabis – habis suaraku meluahkan ketegangan dalam diriku tika ini. Namun tidak mahu mengundang kehairanan mak. Mak tidak perlu tahu perkara ini kerana aku mahu memberi peluang kepada Aqel untuk membuktikan keinsafan dirinya dengan tidak mengulangi tindakannya tadi.
“Saya mahu kehidupan saya berubah.....” suara Aqel memecah keheningan ini. Aku melepaskan keluhan kecilku. Walaupun Aqel sudah menjadi suamiku, namun aku tidak mengharapkan kehidupannya akan berubah secara mendadak. Kami perlukan masa.
“Saya mahu jadi suami yang baik....” Laju aku berpaling ke arah Aqel. Seketika berlaga pandangan dengannya. Mungkin Aqel mahu mengujiku.
“Hentikan lakonan awak, Aqel” pintaku. Aku mendengus bosan. Kualih wajahku ke jendela. Angin sepoi – sepoi bahasa membelaiku. Perlahan – lahan kedamaian menjalar dalam diriku.
“Saya mencintai awak.....” suara Aqel menyusup ke telingaku. Aku berpaling ke arah Aqel. Terkedu dan tergamam sejenak. Bicara Aqel terasa di awangan. Namun jelas di telingaku.
“Mencintai saya... tapi hati awak milik Flora. Hebat sungguh lakonan awak, Aqel” ujarku tersenyum sinis sendiri. Bijak sungguh Aqel bermain kata – kata. Namun tidak semudahnya aku akan dipermainkan oleh Aqel.
“Nama Flora ni benar – benar memberi kesan pada awak” tutur Aqel lagi.
“Memang saya janji akan jaga awak selagi saya bernyawa, tapi saya tak mahu ditipu sepanjang hayat saya. Boleh awak jelaskan pada saya siapa Flora?” dugaku. Aku dan Aqel bertentangan mata dengan mulut yang membisu. Diam yang panjang. Ternyata Aqel tidak mampu menjawab pertanyaanku. Dia masih mahu berahsia denganku. Aku pasrah.

*********************

“Oh..... pengantin baru dah sampai. Bagaimana honeymoon di Korea? Ada jumpa bapa mertua?” sapa Nana menghujani aku dengan banyak soalan. Aku melabuhkan dudukku di kerusi di depan Nana. Kulontar pandangan ke arah meja  dan kerusi di depan Nana. Sayu hatiku. Terasa rindu pula aku pada kerusi meja itu. Itulah tempat dudukku. Bilakah agaknya aku akan kembali ke situ lagi?
“Begitu banyak soalan yang saya ajukan, tak satupun yang awak jawab” keluh Nana. Aku berpaling menatap Nana. Sekilas senyuman kuhadiahkan kepada Nana.
“Awak ada jumpa ayah Aqel?” soal Nana. Aku mengangguk.
“Bagaimana orangnya?” soalnya.
“Mirip Aqel tapi sikapnya lebih elok daripada anak mudanya” jelasku mula membandingkan Aqel dengan Pak Long.
“Tak elok awak cakap macam tu tau” tegur Nana. Aku tersenyum. Nana memang suka menyelebahi Aqel. Di matanya betapa sempurnanya anak muda Mak Long itu. Barangkali lelaki seperti Aqel itulah lelaki impiannya. Mana tahu dalam diam Nana pernah menyukai Aqel. Hish... tidak elok aku sarkap jarang dengan kawan baik sendiri! Ampun Nana.
“Nana.... jangan lupa lunch sama nanti” suara lelaki memecah kesepian sedetik ini. Laju saja aku melontar pandangan ke muka pintu. Arryan tersentak menatapku.
“Oh.... Lia. Rupa – rupanya awak ada di sini!” Aku menguntum senyuman sempat melirik mengusik Nana yang sedang tersipu – sipu. Persis ada sesuatu yang berlaku antara mereka.
“Awak pun ikutlah sama nanti” pelawa Arryan diikuti anggukan kepala Nana.
“Sorry.... saya ada hal di KDUT” ujarku berbohong. Tidak mahu mengganggu temujanji Nana dengan Arryan.
“Okey.... saya pergi dulu. Jangan lupa tau” tutur Arryan mengingatkan Nana lagi. Nana mengangguk sambil melemparkan senyuman manisnya menambat hati sang teruna. Pasti senyuman Nana menggetarkan jiwa Arryan. Maklumlah orang sedang hangat memadu kasih asmara. Cepat pula aku membuat kesimpulan.
“Bye....” Arryan berlalu lantas melambaikan tangannya. Lambaian yang dibalas mesra oleh Nana. Aku menatap Nana yang masih menyulam senyuman mekar di bibirnya.
“Mengapa?” soal Nana membalas pandanganku.
“Awak dan Arryan sedang bercinta ke?” soalku tidak mahu berlengah. Nana tersipu malu. Reaksi yang Nana tunjukkan sudah cukup menjawab persoalan yang kuajukan sebentar tadi.
“Alhamdulillah......” ujarku memanjat kesyukuran. Nana tersenyum – senyum. Rasa bahagia kerana Nana sudah menemui cintanya. Semoga Nana dan Arryan menjadi pasangan yang bahagia yang tidak perlu melalui ranjau berduri alam percintaan persis diriku. Segera kubuang perasaan kecewaku jauh – jauh.
“Bila nak naik ke jinjang pelamin?” tanyaku mengusiknya.
“Alah..... ke situ pula awak fikir” rungut Nana menjelingku. Senyuman masih menguntum di bibirnya.
“Tak sangkakan awak bakal bersaudara dengan Puan Rosie” ujarku mengusiknya. Nana tergelak. Agak sensitif juga ayat ini.
“Masih terlalu awal nak kata macam tu” tingkah Nana.
“Bukankah hubungan kalian serius? Buat apa nak disegankan” ujarku. Nana tersenyum. Dia tidak mahu memberi sebarang ulasan.
“Puan Rosie dah ada di pejabatnya, awak pergilah sekarang jumpa dia” arah Nana mahu cepat mematikan usikanku.
“Oh.... menghalau saya ye... Mentang – mentang dah ada orang tersayang mudah sangat awak nak buang kawan” ujarku buat – buat rajuk. Nana tersengih panjang. Dia tahu aku tidak akan ambil hati dengan bicaranya.
“Okey... saya pergi sekarang” ujarku memasamkan muka. Nana masih dengan sengihannya.
“Sebelum balik datang sini nanti” pesan Nana.
“Tak nak saya nak terus balik” sahutku memanjangkan rajuk olok – olokku. Kedengaran gelak Nana. Aku terus menghala langkah ke pejabat Puan Rosie. Daun pintu kuketuk. Kedengaran suara Puan Rosie mengarahkan aku masuk. Perlahan – lahan aku menolak daun pintu. Wajahku terpancul di sebalik pintu. Senyuman Puan Rosie lebih awal menyambut kedatanganku.
“Duduk Lia” arah Puan Rosie mesra. Lain benar suara dan reaksi Puan Rosie dari kebiasaannya. Puan Rosie sudah menjadi seorang yang mesra, murah dengan senyuman. Perwatakan yang begitu menyenangkan hati.
“Apa khabar sekarang?” soal Puan Rosie menyapa mendahuluiku.
“Alhamdulillah...sihat” sahutku.
“Tahniah semoga kamu dan Encik Aqel bahagia sehingga ke hujung nyawa. Maaflah saya tak dapat pergi ke majlis kamu tempoh hari” pinta Puan Rosie disusuli dengan keluhan kecilnya.
“Oh.... saya faham dengan kesulitan Puan Rosie” tuturku ikhlas. Puan Rosie tersenyum hambar menatapku. Pasti tika ini dia masih berduka dengan tindakan Encik Mukhtahir yang menduakan dirinya. Kasihan Puan Rosie.
“Jaga suami baik – baik dan sentiasa tambat hatinya. Kalau kita ada buat salah jangan segan – segan memohon maaf. Tak elok ego tinggi. Tak guna juga menyesal kemudian hari seperti saya” tutur Puan Rosie dengan keluhan panjang. Betapa beribu kekesalan terpancar di wajahnya. Aku terdiam panjang. Kelu lidah hendak mengeluarkan bicara terbaik pada Puan Rosie. Bimbang tersilap bicara boleh mengguris hatinya.
“Saya akan ingat pesanan Puan Rosie ini. Terima kasih banyak – banyak” ujarku ikhlas. Sedikit pun aku tidak berdendam dengan layanan Puan Rosie selama ini. Bukan masa sesuai hendak bergembira dan mentertawakannya sekarang. Aku sangat menghargai pesanannya ini. Aku juga mengerti perasaan Puan Rosie.
“Puan Rosie..., saya datang ni nak minta tandatangan dan hantar rekod – rekod untuk semakan Puan Rosie” jelas suaraku memecah kesepian. Mahu saja aku segera melenyapkan perasaan sedih Puan Rosie. Aku tidak mahu dia hanyut melayan kesedihannya. Puan Rosie tersenyum dan mengangguk. Tangannya dihulur menyambut fail yang kuhulurkan. Kuberi Puan Rosie masa untuk meneliti segala butiran. Puan Rosie mencapai pen bersedia menurunkan tandatangannya. Dia mula menandatangani dokumen itu setelah berpuas hati.
“Perjanjian kerjasama CNFL dengan pihak KDUT ada setahun lagi, tapi kamu boleh kembali ke sini semula. Nanti saya fikirkan siapa yang boleh menggantikan tugas kamu di sana” ujar Puan Rosie menjemput kepulanganku kembali berkhidmat di CNFL. Aku tersentak.
“Dengar – dengar mereka nak teruskan kerjasama dengan CNFL. Mereka sangat berpuas hati dengan kita selama ni” jelasku membawa khabar gembira pada Puan Rosie.
“Alhamdulillah..... kalau macam tu. Kalau kamu nak kembali ke sini saya takkan halang. Saya boleh arahkan orang lain mewakili syarikat kita menggantikan awak kerja di KDUT” ujar Puan Rosie mengulangi bicaranya. Sikap Puan Rosie telah berubah.
“Tak elok juga saya paksa kamu terus bertahan di sana. Kamu pasti menghadapi banyak masalah di KDUT kerana saya. Maafkan saya, Lia” ujar Puan Rosie kesal dengan wajah sugulnya. Aku tersentak.
“Demi kebaikan kamu tak kisahlah kalau Encik Aqel marah dengan tindakan saya” tutur Puan Rosie tersenyum. Namun sangat menimbulkan keraguan padaku.
“Maksud Puan Rosie?” soalku hairan.
“Encik Aqel tak pernah cerita apa – apa pada kamu?” soal Puan Rosie menambah persoalan di benakku. Aku jadi tertanya – tanya.
“Cerita apa, Puan Rosie?” soalku dengan perasaan melonjak – lonjak mahu tahu.
“Oh.... pandai juga Encik Aqel berahsia dengan awak ye. Dia memang lelaki baik” ujar Puan Rosie menyanjung Aqel pula. Keinginan hendak mengetahuinya kian membuak – buak.
“Dia memang seoang yang perahsia” tutur Puan Rosie berbicara sendiri menambah kekeliruanku.
“Boleh Puan Rosie berterus – terang saja?” pintaku tidak dapat menahan perasaan ingin tahu. Senyap. Puan Rosie berfikir panjang. Tidak begitu mudah memintanya berterus terang.
“Saya nak tahu sangat perkara ni, Puan Rosie” pintaku mengharap. Senyap. Puan Rosie tersenyum.
“Saya tak janji apa – apa dengan Encik Aqel” jelas Puan Rosie membuka ruang untukku mengetahuinya. Satu petanda baik buatku juga.
“Kalau macam tu, Puan Rosie berterus teranglah dengan saya” gesaku. Puan Rosie menatapku. Sejenak aku dan Puan Rosie saling berlaga pandangan.
“Kamu masih ingat punca yang menyebabkan kamu terpaksa berpindah ke KDUT?” soal Puan Rosie. Laju aku mengangguk. Mana mungkin aku melupakannya. Terlalu banyak yang berlaku sejak aku berada di situ, malah telah merubah sebahagian cerita hidupku.
“Saya meletakkan kamu di KDUT demi menebus kesilapan kamu. Namun ada sebab yang lebih penting lagi” Puan Rosie memulakan mukadimah ceritanya. Aku tekun mendengarnya.
“Sebab utama atas permintaan Encik Aqel. Dia nak kamu kerja di KDUT. Sebagai balasan atas persetujuan saya, Encik Aqel menawarkan CNFL bekerjasama dengan pihak mereka. Kerjasama yang begitu menguntungkan CNFL” jelas Puan Rosie buat aku tersentak. Sudah semestinya Puan Rosie tidak akan melepaskan peluang keemasan mengaut keuntungan berlipat ganda. Apatah lagi saat itu Puan Rosie memang tamakkan wang.
“Bagaimana dengan pakaian itu? Betulkah dah ditemui?” soalku curiga. Puan Rosie menggeleng kepala mengejutkan aku sekali lagi.
“Encik Aqel tak kenakan sebarang bayaran pada kita kerana pakaian itu dicuri oleh kakitangan KDUT sendiri” jelas Puan Rosie tenang.
“Apa? Betulkah ni?” soalku tergamam. Otakku ligat memikirkan gerangan siapakah yang sanggup melakukan perbuatan terkeji itu? Bukan setakat melakukan perbuatan tidak bermoral malah turut menganiaya aku. Disebabkan perbuatan manusia itu, aku hampir – hampir kehilangan kerja. Orang yang melakukan perbuatan itu hampir memusnahkan masa depanku malah telah bertanggungjawab mengubah jalan cerita hidupku jadi begini. Andai pakaian itu tidak dicuri aku tidak akan bekerja di situ dan dipertemukan dengan Haqem lagi. Aku tidak perlu melarikan diri daripada lelaki itu sehingga menjebakkan Aqel. Aku dan Aqel juga tidak akan menjadi suami isteri.
“Encik Aqel telah menyiasatnya dan tak mahu perkara ini dibesar – besarkan” jelas Puan Rosie. Mungkin Aqel mahu melindungi orang yang melakukan perkara itu. Mengapalah Aqel terlalu berlembut hati dengannya? Bukankah perbuataan ini sesuatu yang serius? Mengapa Aqel masih mahu melindungi manusia yang tidak amanah ini?
“Puan Rosie tahu perbuatan siapa?” soalku tidak mampu memadamkan perasaan ingin tahu. Puan Rosie geleng kepala. Rasa kecewa menjalar dalam diriku.
“Kamu kenalah tanya pada suami kamu sendiri” tutur Puan Rosie sambil tersenyum. Mustahil aku akan mendapat jawapan daripada Aqel andai aku ajukan persoalan ini kepadanya. Namun aku perlu tahu siapakah gerangan yang telah menganiayaku.
“Puan Rosie memang tak tahulah orangnya?” soalku tidak puas hati. Masih mahu mencuba nasib.
“Ya saya tak tahu. Suami kamu tak pernah sebut nama sesiapa” jelas Puan Rosie. Aku melepaskan keluhan kecilku. Aku tahu Aqel tidak akan melakukannya. Mungkin hanya Haqem saja yang mengetahuinya. Pasti Aqel telah berbincang dengan Haqem sebelum membuat keputusan. Tergerak hatiku hendak bertanyakan perkara ini kepada Haqem. Rasanya Haqem mampu mengungkai persoalan ini. Aku nekad akan minta penjelasannya.
“Tak pe, Puan Rosie. Rasanya saya perlu kembali ke KDUT sekarang” ujarku. Puan Rosie mengangguk. Lantas menyerahkan kembali dokumen itu kepadaku.
“Mungkin orang yang melakukannya rapat dengan Encik Aqel sebab itu dia nak melindunginya. Apapun ada sebabnya Encik Aqel tak cakap perkara ini pada kamu. Tak payahlah susah hati” ujar Puan Rosie bernada pujukan. Aku tersenyum sekilas.
“Terima kasih memaklumkan saya perkara ni” ujarku rasa terhutang budi. Betapa pentingnya kenyataan ini. Puan Rosie hanya tersenyum.
“Saya minta maaf selama ini saya selalu menyusahkan kamu” tutur Puan Rosie menyesali sikapnya selama ini. Aku mengangguk dan tersenyum. Tiada sekelumit pun dendam yang tersimpan di hatiku.
“Saya harap Puan Rosie akan hidup baik – baik. Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Allah tak akan menguji hambaNya melebihi kemampuaan hamba itu” ujarku sarat dengan maksud tersirat. Puan Rosie mengangguk. Senyuman ikhlas terukir di bibirnya. Nampak betapa tabah dirinya. Aku bersalaman dengan Puan Rosie. Kemudian memulakan langkah ke muka pintu.
“Lia...” langkahku terhenti. Aku berpaling menatap Puan Rosie semula.
“Kamu sedar tak perasaan suami kamu terhadap kamu?” soal Puan Rosie. Aku terdiam. Sejujurnya aku memang tidak cukup mengenali dan memahami diri Aqel.
“Saya sedar dari awal lagi dia memang ada hati dengan kamu. Sedaya upaya dan seberapa banyak dia cuba melindungi kamu. Betapa bertuahnya kamu” jelas Puan Rosie membuatkan aku tergamam. Aqel ada menyimpan perasaan kepadaku? Sahihkah tafsiran Puan Rosie ini?
“Saya mencintai awak.....” sayup – sayup suara Aqel terngiang – ngiang di telingaku.
“Mencintai saya... tapi hati awak milik Flora” Aku tersenyum sinis sendiri. Bijak sangat Aqel berlakon sehingga turut mengaburi mata orang lain.
“Puan Rosie, saya pergi dulu” ujarku meminta diri lantas menyambung langkahku kembali. Tidak mahu memikirkan bicara Puan Rosie lagi. Soal hati dan perasaan perlu diteliti sedalamnya. Bukan untuk ditilik.

*************************

“Mungkin orang yang melakukannya rapat dengan Encik Aqel sebab itu dia nak melindunginya. Apapun ada sebabnya Encik Aqel tak cakap perkara ini pada kamu. Tak payahlah susah hati” suara Puan Rosie masih berbisik – bisik di telingaku.
Otakku ligat berputar memikirkan siapakah gerangan yang melarikan pakaian mahal – mahal itu. Mungkinkah Rania? Sebagai bekas kekasih Aqel, memang patut Aqel melindunginya. Mustahil pula Rania hendak mencuri pakaian itu. Hidup Rania mewah. Setakat pakaian mahal dia mampu membelinya, tetapi ada alasan lain. Bukankah Rania memang tidak sukakan aku? Mungkin dia melakukan kerana tidak puas hati melihat aku bersama dengan Aqel ketika itu. Ohh... tidak patut aku prasangka buruk kepada Rania! Lantas hatiku berbisik melafazkan Surah An – Nas memohon perlindunganNya daripada ditimpa penyakit was – was.

“Pandangan awak dah menembusi tubuh saya” suara Aqel mengejutkan aku. Seketika aku dan Aqel berlaga pandangan.
“Awak fikirkan apa?” soal Aqel. Inikah waktu yang sesuai untuk aku mengutarakan perkara ini kepada Aqel setelah seharian asyik berperang dengan perasaan sendiri?
“Ada sesuatu awak nak cakap dengan saya?” soal Aqel berjaya membaca gerak hatiku.
“Berapa banyak perkara yang awak rahsiakan dari saya?” soalku tidak mahu berterus terang. Dahi Aqel berkerut.
“Rahsia?” soal Aqel keliru.
“Awak yang minta saya jadi wakil CNFL bekerja di KDUT. Apa tujuan awak melakukan semua ni? Sekadar mahu saya bertanggungjawab atas kecuaian saya? Saya rasa awak ada alasan lain” tegasku. Aqel nampak tersentak.
“Atau awak sengaja mahu menguji saya dengan mempertemukan saya dengan Haqem kembali” dugaku. Aqel menggeleng.
“Saya hanya tahu hubungan awak dengan Haqem setelah awak berada di sini dan bila Haqem sendiri berterus terang dengan saya. Jadi jangan fikir yang bukan - bukan” sahut Aqel menafikan bicaraku. 
“Siapa yang cuba awak lindungi?” soalku meminta penjelasan Aqel. Aqel pasti mengerti pertanyaanku ini.
“Orang yang cuba saya lindungi? Awaklah.... Takkan awak masih tak sedar – sedar lagi” sahut Aqel tenang dengan senyuman.
“Awak masih tak mahu berterus terang segalanya dengan saya” ujarku kecewa. Senyap. Aqel hanya melontar pandangan sepinya padaku.
“Flora.... ada perkara yang patut saya cakap dengan awak” tutur Aqel perlahan.
“Silakan....” ujarku tanpa menggantung harapan yang tinggi. Selalunya apa yang kuharapkan tidak menjadi. Aqel terlalu berahsia denganku.
“Awak mesti berubah. Berhenti mengenang apa yang telah berlaku. Hiduplah dengan gembira” tutur Aqel menasihatiku.
“Terima kasih banyak – banyak atas nasihat awak ni. Esok saya nak jumpa Haqem. Saya perlukan keizinan awak. Selamat malam” tuturku lalu merebahkan tubuh ke tilam. Kutarik selimut menyelubungi tubuhku, lalu mengiringkan tubuh lantas menatap dinding kaku. Kupejamkan mata.  
“Pergilah jumpa Haqem esok” sayup – sayup kedengaran suara Aqel yang sudah berbaring di sebelahku memberi keizinannya. Aku menarik nafas lega.
“Terima kasih, Aqel” bisik hatiku. Namun tidak mampu aku perdengarkan kepada Aqel.  

Monday 15 July 2013

Namaku Bukan Flora!...55



BAB 55

Teringat pada sejambak ros lavender yang pernah Aqel berikan kepadaku, laju saja jemariku menaip makna di sebalik warna bunga ros di ruangan google. Sekelip mata saja semuanya telah terpapar. Hujung jariku meneruskan pencarian. Anak mataku terikat pada sebaris ayat ringkas yang memberi penjelasan tentang makna warna di sebalik ros lavender.

“Cinta pandang pertama yang mempesonakan. Hantarkan bunga ros berwarna lavender untuk menyampaikan mesej ‘cinta pandang pertama’ pada seseorang yang istimewa. Anda juga boleh menghantarnya pada seseorang untuk membuat satu impresi yang istimewa” suaraku memindahkan artikel bertulis ini dalam bentuk lisan. Aku terkedu. Inikah maksud yang cuba Aqel luahkan kepadaku? Bagaimana pula dengan Flora? Bukankah Flora itu gadis pertama yang mengetuk pintu hatinya? Rania juga lagenda cinta Aqel. Oh... banyak sangat cinta pertama Aqel! Aku mendengus bosan.
“Mengapa awak tinggalkan saya?” Aku berpaling. Haqem sudah melewati pintu bilik ini sedang bergerak mendekatiku. Betapa aku terkejut dengan kemunculannya ini.
“Sampai hati awak buat begini pada saya, Lia” ujar Haqem lemah. Aku menarik nafas dalam – dalam. Cuba mengumpul kekuatan diri berhadapan dengan Haqem. Kupandang muka Haqem.
“Saya boleh bertahan menerima cacian mama awak. Saya tak kisah dan tak berdendam apa saja yang mereka lakukan pada saya, tapi hati saya sakit bila saja dia mula menghina mak saya” jelasku meluahkan isi hatiku. Haqem terdiam.
“Sorry.....” sayup – sayup suara Haqem melafazkan permohonan maafnya. Aku geleng kepala. Tidak patut Haqem meminta maaf kepadaku.
“Bukan salah awak. Jadi tak payah minta maaf” tuturku tidak pernah menyalahkan Haqem. Aku dan Haqem memang bernasib malang. Bertemu dan bercinta kali kedua selepas tiga tahun berpisah namun masih tidak direstui.
“Saya akan pujuk mama agar minta maaf pada awak” tutur Haqem lagi.
“Awak tak perlu lakukan semua tu” tegahku. Aku tidak mahu antara Haqem dan Datin Sofea berantakan lagi. Sudah ada penyelesaian antara aku dengan Haqem. Kutatap wajah Haqem.
“Hiduplah baik – baik. Jangan menderita kerana saya” pintaku berharap. Rawan hatiku melihat keadaan Haqem sekarang. Aku menarik nafas dalam – dalam.
“Maafkan saya atas apa yang berlaku. Sekarang kita tak boleh bertemu seperti ini lagi. Kehidupan kita dah berbeza” ujarku perlahan cuba menyelami kedukaan Haqem. Haqem menatapku.
“Sebelum saya pergi, tolong jawab pertanyaan saya sejujurnya” pinta Haqem. Aku mengangguk. Aku akan menjawab pertanyaannya itu demi memuaskan hatinya.
“Adakah pernikahan awak dengan Aqel semata – mata kerana memenuhi hasrat keluarga ataupun atas kerelaan awak sendiri?” soal Haqem menyentakkanku. Kelu lidahku. Pertanyaan yang sangat rumit hendak kujawab. Haqem masih menatapku menanti jawapanku. Aku sudah terlanjur berjanji akan menjawab pertanyaan Haqem sejujurnya. Maka aku tidak boleh berdiam diri saja.
“Aqel sakit kerana saya. Tindakan bodah saya menyebabkan Aqel menanggung bebanannya sehingga ke hari ni” jelasku.
“Aqel sakit serius?” soal Haqem tersentak. Dahinya berkerut. Perkara ini baru saja sampai ke pengetahuan Haqem. Pasti Aqel tidak mahu berkongsi kisah dukanya ini bersama orang lain. Jauh sekali mahu menagih simpati orang di sekelilingnya.
“Saya dah janji akan jaga dia sepanjang hayat saya. Saya harus tebus kesalahan saya pada Aqel” ujarku serius. Haqem geleng – geleng kepala. Dia tidak merestui keputusanku.
“Awak yakin ke Aqel betul – betul sakit disebabkan awak?’ soal Haqem curiga. Nampak sangat Haqem cuba menafikan kenyataan itu. Aku mengangguk. Aqel manusia paling serius yang kukenali. Tiada unsur kecindan dalam dirinya.
“Inilah suaratan hidup saya. Saya redha menerimanya” tuturku berserah segala – galanya pada takdir Ilahi yang tertulis untukku.
“Takkan awak nak hidup bersama Aqel sepanjang hayat awak dengan alasan ini. Awak takkan bahagia” hujah Haqem.
“Saya juga tak dapat hidup bersama awak walaupun awak lelaki yang saya cintai” tuturku. Haqem terdiam seketika. Aku mahu Haqem sedar tentang kenyataan itu. Sampai bila – bila pun Datin Sofea tidak akan merestui percintaan Haqem denganku. Haqem tertunduk merenung nasib.
“Awak mesti yakin dengan ketelusan cinta saya. Cinta yang tulus akan mampu menghadapi apa saja rintangan yang mendatang” tutur Haqem bersungguh – sungguh.
“Haqem.... saya dah kahwin. Sekarang saya dah jadi isteri Aqel” tuturku menyedarkan Haqem tentang hakikat ini. Haqem melepaskan keluhan panjangnya. Bukan mudah dia menerima semua ini. Haqem menatapku.
“Walaupun awak dah jadi isteri Aqel, saya takkan berhenti mencintai awak. Saya tetap berharap akan hidup bersama awak” tutur Haqem serius.
“Haqem...” Betapa aku tidak senang mendengar bicaranya ini.
“Saya betul – betul serius, Lia” tegas Haqem lalu meninggalkan aku termangu – mangu di situ. Haqem nampak bersungguh – sungguh dengan bicaranya. Aqel yang baru saja hendak melangkah ke bilik itu kematian langkah. Dia berpaling menatap sahabatnya itu. Haqem berlalu tanpa menyedari kedatangannya ke situ. Jelas di matanya wajah murung Haqem. Perlahan – lahan Aqel melepaskan keluhan sebelum melangkah masuk ke bilik itu.


#########################


Aku menatap deratan pakaian Aqel yang tergantung kemas di almari ini. Koleksi pakaian Aqel terjaga rapi. Pasti semua ini adalah baju – baju kesayangannya yang mahal belaka harganya. Maklumlah Aqel begitu menjaga penampilan dirinya. Aku terpandang t – shirt merah yang selit di celah – celah deratan pakaian ini. Rasanya aku sangat kenal dengan t – shirt merah ini. Laju  tanganku menariknya keluar. Memang tepat. Inilah t – shirt merah teddy bear salah satu baju kesayanganku. Mak telah meminjamkan baju ini kepada Aqel. Maka aku dengan berat hati merelakannya. Lantas baju itu aku sedekahkan kepada Aqel. Tidak mahu mengambilnya semula lantaran tidak pernah berkongsi baju dengan orang lain apatah dengan lelaki. Tidak sangka pula t – shirt merah teddy bear ini tersimpan bersama pakaian berharga Aqel. Aku ingatkan Aqel telah menjadikannya kain lap memandangkan harga dan kualiti yang tidak setanding dengan pakaian Aqel. Kusimpan kembali t – shirt merah teddy bear ini. Baju ini sudah menjadi milik Aqel dan aku sudah tiada hak ke atasnya biarpun perasaan sayang masih ada.
“Semua yang ada dalam almari tu adalah baju – baju kesayangan saya” suara Aqel di belakangku. Aku berpaling. Aqel baru saja melangkah masuk.
“Saya nak gantung baju awak ni” jelasku sambil menayangkan dua helai t – shirt ke arah Aqel. Tidak mahu Aqel salah faham. Risau juga kalau Aqel ingat aku mengganggu barang miliknya. Bukankah Aqel pernah memberi peringatan agar aku tidak menyentuh barang miliknya tanpa keizinannya terlebih dahulu. Aqel mengangguk mengerti dan membiarkan aku melangsaikan kerja ini. Teringat bicara Aqel sebentar tadi. Semua baju yang ada di dalam almari kaca ini adalah baju – baju kesayangannya.Termasuk t – shirt merah teddy bear ini jugalah. Tidak sangka pula Aqel menghargainya sebanyak itu. Tumpang gembira sebab Aqel menghargai pemberianku yang dalam keadaan paksa rela ketika itu. Aku tersenyum sendiri.
Aku melirik ke arah Aqel yang sedang bersandar di kepala katil sambil membaca  buku  tebal itu. Satu tabiat Aqel yang kuketahui sejak kami bernikah. Setiap malam sebelum tidur Aqel terlebih dahulu menelaah apa saja jenis bahan bacaan. Sudah menjadi kewajipan baginya. Kalau aku tidak sampai lima minit membaca pasti akan terus mengantuk. Alahan sangat menatap buku di tempat perbaringan. Penawar mujarab untuk cepat tidur. Barangkali ini juga teknik Aqel agar cepat lena demi melawan kata hatinya. Sampai bila lelaki normal seperti Aqel mampu bertahan melawan godaan nafsu lelaki tatkala berbaring di sebelah perempuan. Apatah lagi aku memang halal untuknya. Betulkah tabiat Aqel ini ada kaitan dengan apa yang aku fikirkan sekarang?
Bau wangian dunhill menyerang rongga hidungku. Betapa wanginya Aqel malam ini. Aku mencuri pandang ke arah Aqel yang kelihatan begitu leka membaca buku  di tangannya. Nampak betapa tampannya anak muda Mak Long ini. Aqel tiba – tiba saja mengangkat mukanya lalu melemparkan senyuman mengoda ke arahku menggetar jiwa perempuanku. Lirikan manja mata Aqel bagai mahu menuntut sesuatu dariku. Aku jadi gerun tatkala mengingati Aqel akan meminta berlangsungnya malam pertama kami yang sudah tertangguh. Betapa runsingnya aku. Perlukah aku menolaknya? Berdosa isteri yang menolak permintaan suami untuk bersetubuh dengannya. Aduhhh..... ngerinya hendak sebut perkataan itu! Terasa membahang wajahku. Rasa malu dan segan yang menebal.
“Awak nak terpacak di situ sampai esok?” suara Aqel menyentakkanku. Aku menatap Aqel. Tiada senyuman yang mengoda terukir di bibirnya. Mahupun lirikan mata manjanya yang mengoda kalbuku. Sebaliknya Aqel sedang kehairanan menatapku. Kutepuk – tepuk kepalaku. Teruknya jangkauan fikiranku sebentar tadi. Aku sekadar berimaginasi saja. Malunya kalau Aqel dapat tahu apa yang ada dalam fikiranku sebentar tadi.
“Awak tak nak tidur ke? Dah lewat ni....” tutur Aqel dengan dahi yang berkerut menatapku. Aku garu – garu kepala yang tidak gatal.
“Tidur....” sahutku lalu bergegas naik ke katil. Aku terus berbaring di sebelah Aqel lalu menarik selimut menyelubungi tubuhku. Mahu menyembunyikan tubuhku dari pandangan mata lelaki Aqel. Senyap. Kupejamkan mataku memaksa diri untuk tidur. Namun tidak juga berhasil. Betapa kekoknya aku berbaring di sebelah Aqel tika ini. Inilah yang kurasa setiap malam setiap kali berada di katil ini bersama Aqel.
“Awak fikirkan apa tadi?” suara Aqel memecah keheningan ini. Kelopak mataku terbuka luas. Aqel sedang menatapku. Seketika aku dan Aqel berlaga pandangan.
“Saya tengok awak berfikir panjang tadi” ujar Aqel lagi. Aku diam. Tidak mungkin aku akan memaklumkan imaginasiku tadi kepadanya. Nanti tidak pasal – pasal Aqel fikir aku isteri yang ketandusan. Hey..... ngerinya aku! Sedikit terangkat bahuku membayangkan semua itu!
“Awak mesti sedang fikirkan sentuhan suamikan...” tutur Aqel bersahaja. Aqel tersenyum - senyum menatapku. Membutang mataku menatap Aqel. Mukaku panas membahang.
“Awak jangan fikir yang bukan – bukanlah” tegahku menafikan. Aqel tergelak – gelak kecil. Seronok benar dia membicarakan topik ini.
“Muka awak merah. Mesti awak malu sekarangkan” ujar Aqel mengusikku.
“Mana ada....” nafiku lagi. Laju saja tanganku mencapai bantal di sisi lalu menutup wajahku. Cuba bersembunyi dari pandangan mata Aqel. Tidak mahu juga bertentangan mata dengan Aqel. Sebenarnya memang aku malu pada Aqel saat ini.
“Saya mahu malam pertama kita berlangsung ketika bulan madu kita. Ketika itu di hati awak tiada siapa – siapa kecuali suami awak” kedengaran serius Aqel menuturkan bicaranya ini. Aku terkedu. Bicara Aqel menyentuh hatiku. Lantas memikirkan bicara Aqel sedalamnya. Bulan madu di Korea Selatan berlangsung dengan baik. Aku menyedari sikap romantik Aqel di sebalik lakonannya sebagai suami yang romantik di depan Pak Long. Sebetulnya tanpa dirancang dan bukan di depan Pak Long, adakalanya tindakan Aqel membuai perasaan perempuanku.
Pastinya Aqel mahu menebus penyatuan kami pada bulan madu yang lain. Pada ketika itu aku telah menyerahkan sepenuh hatiku kepada dirinya. Andai aku mampu menyerahkan sepenuh jiwa ragaku kepada suamiku, bagaimana pula Aqel? Mampukah Aqel mensirnakan nama dan bayangan Flora dalam dirinya? Hampir – hampir saja bibirku menyebut nama gadis itu di depan Aqel. Tatkala mengingati janjiku tidak mahu membangkitkan luka lama Aqel, segera kutahan nama itu dari terluah di bibirku. Biarlah Flora hidup dalam kenangan Aqel. Namun hatiku masih mahu mengajukan pertanyaan ini.   
“Siapa Flora, Aqel?” suara hatiku berbisik. Kupejamkan mata rapat – rapat. Mengundang lena tatkala aku tidak mampu bertentang mata dengan Aqel saat ini. ‘Maafkan aku... Aqel, sebab bulan madu kita masih tertangguh’ sayup – sayup suara hatiku berbisik.

 *************************

Aku menatap gadis bergaun labuh hitam yang kelihatan begitu elegan menyerlahkan kulitnya yang putih bersih. Wajahnya ditatarias begitu indah. Padaku walaupun tanpa solekan itu dirinya tetap anggun jelita. Gadis ini bagaikan bidadari yang memukau setiap mata yang memandangnya. Pasti banyak sangat pujian dan sanjungan yang diterimanya atas kesempurnaan ciptaan Ilahi yang dimilikinya ini. Sungguh aku hairan melihatnya berlegar – legar di ruang bilik pejabat Aqel tanpa menyedari kehadiranku di muka pintu ini. Aku mencari kelibat Aqel di sekitar bilik ini. Ternyata gadis ini bersendirian di sini.
“Tumpang tanya... awak tetamu Aqel?” kuajukan juga soalan cepu emas ini. Dia berpaling lalu berlaga pandangan denganku. Hatiku memuji lagi betapa jelitanya gadis ini. Dia tersenyum mempamerkan deretan giginya yang tersusun rapi. Memang layak menjadi ratu cantik dunia tahun ini. Dia mengangguk masih dengan senyuman yang menguntum menyenangkan mata menatapnya. Tingkahnya sopan penuh bertatasusila. Memang layak dirinya dipanggil bidadari.
“Oh.... ye... saya Flora” ujarnya memperkenalkan diri lantas menghulurkan tangan kepadaku. Aku terkedu. Rupa – rupanya dialah Flora kekasih hati Aqel. Gadis yang banyak menimbulkan persoalan dalam diriku selama ini. Sempat aku membandingkan diriku dengannya. Betapa berbezanya kami. Bagai langit dengan bumi. Aku tidak layak pun untuk dibandingkan dengan dirinya. Kusambut huluran tangan mulusnya ini. Penampilan dirinya memang sungguh terjaga rapi persis diri Aqel juga. Di mataku sudah terbayang betapa sempurnanya Flora dan Aqel sebagai pasangan kekasih. Patutlah Aqel tidak pernah melupakannya walaupun sedetik.
“Nama awak....” suara merdu Flora menyentakkanku. Aku terkebil – kebil di depan Flora yang sedang tersenyum indah ini seindah senyuman Aqel.
“Saya Lia, is.....” bicaraku tergantung. Hatiku melarang memperkenalkan diri sedemikian. Betapa rasa rendah diri hendak memberitahu gadis ini bahawa akulah isteri Aqel.
“Nur Dahlia....” tuturku mengulangi memperkenalkan diri sekali gus menutup kepincangan bicaraku sebentar tadi. Dia tersenyum. Sekian kalinya aku memuji betapa indahnya senyuman itu. Senyuman yang membuatkan Aqel gila bayang kepadanya. Iri hati pula rasanya.
“Nice name. Macam nama saya.... nama flora...” tuturnya.
“Betul.... sebab itu juga Aqel panggil saya Flora” sahutku pada bicaranya. Bukan pada pujiannya itu. Flora menatapku.
“Really..... Aqel panggil awak Flora?” soalnya seakan tidak mempercayaiku. Aku mengangguk. Bukan niatku mahu menyinggung perasaannya. Jauh sekali hendak menandingi dirinya. Betapa aku sedar aku tidak setanding dirinya.
“Oh..... dia memang lelaki yang tak setia...” keluhnya dengan riak wajah yang terluka. Terguris hatinya dengan tindakan Aqel. Aku rasa bersalah pula memaklumkannya tentang perkara ini. Apakah reaksi gadis ini andai dia mengetahui bahawa Aqel telah bernikah denganku?
“Siapa awak? Adakah awak dengan Aqel menjalin hubungan istimewa?” soalnya sangsi menyentakkanku. Kelu lidahku. Aku dan Flora saling berpandangan. Tidak tega aku hendak berterus terang kepadanya. Risau hatinya terguris lebih dalam.
“Saya harap awak jujur dengan saya” tegasnya mencalarkan sedikit lemah lembutnya. Aku jadi serba salah. Memang menyakitkan jika diri dibohongi.
“Saya sepupu Aqel. Ayah saya dengan mak Aqel adik beradik” jawabku selengkapnya. Inilah bicara terbaik yang mampu aku luahkan tika ini.
“Oh... sepupu Aqel. Gembira berkenalan dengan awak” tutur Flora ceria. Aku mengangguk dan tersenyum. Keikhlasan terpancar di wajahnya.
“Mengapa awak muncul sekarang setelah menghilang begitu lama?” soalku meluahkan andaian sendiri. Aku mengandaikan dirinya dengan Aqel sudah lama terpisah. Maka sebab itulah Aqel berpeluang menemui Rania. Kemudian Aqel menjalin cinta dengan Rania. Namun disebabkan gadis ini, hubungan cintanya dengan Rania terputus. Perlakuan Aqel yang tidak mampu melupakan Flora mendorong Rania berlaku curang. Rania tidak sepatutnya disalahkan sepenuhnya. Setiap perlakuan Rania adalah berpunca dari sikap Aqel. Aqel yang begitu mencintai Flora cuba menjalin hubungan dengan gadis lain bertujuan mahu melupakan Flora. Namun Aqel tewas melakukannya. Jiwa raganya masih terikat pada Flora. Oh.... kejamnya Aqel! Flora tersenyum.
“Saya dan Aqel telah bersumpah akan hidup semati walau apapun terjadi. Sekarang sudah tiba masanya saya datang bawa Aqel pergi bersama saya” tutur Flora bersungguh – sungguh.
“Awak tak boleh bawa Aqel pergi....” tegahku. Berkerut dahinya menatapku.
“Siapa awak nak halang cinta saya dengan Aqel” tutur Flora sinis melenyapkan perwatakan dirinya yang kukagumi sepanjang perkenalan ini.
“Saya bukan setakat sepupu Aqel. Saya adalah isteri sah Aqel. Isteri pilihan mamanya” tegasku tidak mahu berselindung lagi. Tiba – tiba saja aku rasa aku perlu menghalangnya membawa Aqel pergi bersamanya demi menyelamatkan rumah tangga kami. Tidak tega aku terus membiarkan mak bersedih dengan kehidupanku andai aku bakal ditinggalkan oleh Aqel. Mak akan terluka dan menyalahkan diri andai aku bergelar janda.Tatkala aku membuat keputusan dengan rela hati menjadi isteri Aqel salah satu sebabnya mahu membahagiakan mak. Mak akan bahagia andai aku merealisasikan hasrat hatinya. Aku bernikah dengan Aqel cuba membalas kasih sayang Mak Long kepadaku. Niat hatiku suci mahu membahagiakan mak dan Mak Long serta rasa tanggungjawabku menjaga Aqel. Biarpun adakala aku terfikir bahawa aku telah mengorbankan diriku bernikah dengan lelaki yang tidak kucintai. Aku telah mempertaruhkan masa depanku bersama Aqel.
“Saya akan berusaha jadi isteri yang terbaik” tuturku bersungguh – sungguh. Aku sudah membuat pilihan. Maka aku tidak akan berundur sewenangnya. Alang – alang aku mempertaruhkan masa depanku bersama Aqel, biarlah aku bertarung sehingga ke akhirnya.
“Oh.... awak menantu pilihan mama Aqel! Perempuan itu masih mahu mencampuri urusan Aqel ....” tutur Flora penuh dendam. Mak Long masih mahu mencampuri urusan Aqel? Adakah cinta Flora dengan Aqel cinta terhalang persis cintaku dengan Haqem? Benarkah Mak Long tidak merestui pilihan Aqel? Mustahil! Mak Long bukan persis Datin Sofea yang berkuasa sepenuhnya ke atas anak lelakinya. Mak Long masih ada pertimbangan dan belas kasihan kepada Aqel. Flora sengaja mahu menyerabutkan otakku berfikir.
“Tak elok awak cakap macam tu” tegurku tidak senang Flora menuduh Mak Long yang bukan – bukan. Flora tersenyum sinis.
“Oh....betapa baiknya awak sehingga menjadi pilihan perempuan tu! Cermin diri awak tu dulu. Awak langsung tak layak untuk Aqel” Flora tersenyum sinis menatapku. Aku mengetap bibir menahan geram. Benci berdepan dengan keangkuhan dan keriakan manusia.
“Saya takkan biarkan awak membawa Aqel pergi. Awak hanyalah kekasih Aqel sedangkan saya adalah isterinya yang sah. Saya lebih berhak ke atas Aqel” tegasku tidak mahu bertolak ansur. Biarlah aku berlaku kejam kepada Flora demi menyelamatkan rumahtanggaku dengan Aqel dan demi kebahagiaan mak dan Mak Long. Aku tidak tega melihat mak dan Mak Long menyalahkan diri sepanjang hayat mereka andai Aqel meninggalkanku untuk bersama Flora.
 “Awak mahu hidup bersama lelaki yang mencintai perempuan lain?” soal Flora sinis. Aku mengangguk. Aku sudah nekad dengan keputusanku.
“Saya bernikah dengan Aqel pun tanpa perasaan cinta. Saya dah janji akan menjaga Aqel sepanjang hayat saya. Aqel sendiri yang setuju nikah dengan saya” tegasku. Tajam pandangan Flora menatapku.
“Andai awak mahu hidup bersama Aqel, tunggulah tika saya dah tak de di dunia ni lagi” tuturku serius. Tiba – tiba saja Flora tertawa terbahak – bahak. Hilang keayuan dirinya.
“Awak betul – betul mahu memperbodohkan saya atau sebetulnya awak memang bodoh. Awak ingat saya dan Aqel akan hidup seribu tahun lagi” lirih saja suara Flora.
“Ajal maut di tangan Allah. Mana tahu masa saya dengan Aqel singkat saja” sahutku. Rawan hatiku tatkala berbicara sedemikian. Flora tersenyum sinis sambil menggeleng kepala.
“Saya takkan melakukan sesuatu yang tak pasti” tingkah Flora tidak mahu berkompromi denganku. Nampak sangat Flora tidak mahu melengahkan masa untuk bersama Aqel. Flora sudah nekad akan membawa Aqel pergi bersamanya. Mereka pasangan kekasih yang saling mencintai. Sudah pasti andai Aqel bertemu dengan Flora sekarang, Aqel tidak akan membiarkan Flora pergi bersendirian. Aku yakin Aqel akan meninggalkan aku sendirian di sini. Aku mesti menghalang pertemuaan Aqel dengan Flora. Maafkan aku, Aqel!
“Tolongnya pergi dari sini sekarang! Tolong jangan temui Aqel! Saya merayu awak agar jangan bawa Aqel pergi” rayuku tatkala tewas pada kesungguhan Flora. Tajam pandangan Flora menatapku.
“Awak sungguh pentingkan diri sendiri” kutuknya. Aku mengangguk. Rela menerima apa saja kutukan Flora. Aku nekad mahu menghalang sepasang kekasih ini bertemu demi mak dan Mak Long. Daun pintu tiba – tiba saja ditolak. Aqel muncul di sebalik daun pintu. Aku tergamam. Aqel terkedu tatkala bertentang mata dengan Flora. Lama Flora dan Aqel beradu pandangan persis melepaskan kerinduan yang terbuku selama ini. Aqel dan Flora terus saja melangkah mendekatkan diri masing – masing. Renungan mata mereka menusuk hati. Mereka berpelukan. Nyatanya Aqel dan Flora sepasang kekasih yang sarat kerinduan lantaran terpisah sejak sekian lama. Sepasang kekasih yang tidak mampu dipisahkan lagi.
“Maafkan saya, Lia. Saya terpaksa bawa Aqel pergi...” tutur Flora lalu memaut lengan Aqel mengajaknya beredar dari situ.
“Aqel... awak tak boleh tinggalkan saya begini. Mak Long dan mak akan terluka dengan tindakan awak ni....Please Aqel... jangan tinggalkan saya” rayuku sepenuh hati. Aqel menurut saja langkah Flora tanpa mengendahkan panggilanku. Sekelip mata kelibat Aqel dan Flora hilang dari pandangan mataku. Kini tinggallah aku sendirian di bilik ini meratapi nasibku. Ternyata pilihan yang kulakukan untuk membahagiakan mak dan Mak Long tidak kesampaian. Mungkin inilah balasan ketidakikhlasanku melakukan semua ini? Betulkah aku tidak ikhlas cuba membahagiakan mak dan Mak Long? Mungkin juga ini balasan yang kuterima kerana meninggalkan Haqem. Perlahan – lahan panas menuruni cerun pipiku. Aku berteleku di situ bersama tangisanku yang menyayat hati. Ternyata akulah insan yang telah tertewas.

Terasa hangat menuruni pipiku. Perlahan – lahan aku mengangkat kelopak mataku. Tanganku terus saja menyentuh pipiku yang terasa basah. Aku menangis dalam tidur. Kukesat air mata di pipiku. Aku berpaling. Kelihatan Aqel di sebelahku sedang lena di buai mimpi. Baru aku tersedar rupa – rupanya aku bermimpi. Mimpi yang panjang. Kurenung Aqel yang nampak tenang. Betulkah gadis yang kutemui dalam mimpi ini adalah Flora? Sejelita itukah dirinya? Aku melepaskan keluhan. Mimpi adalah mainan tidur. Mungkin aku lupa basuh kaki sebelum tidur tadi. Terlupa juga baca doa tidur lantaran segera mahu melelapkan mata kerana tidak tahan dengan usikan Aqel. Kutatap wajah Aqel lagi. Baru aku menyedari bahawa Aqel tidur  berbantal. Aku telah mengambil bantal Aqel untuk diletakkan di mukaku. Mengapalah Aqel tidak mengambilnya semula tatkala aku sudah lena dibuai mimpi tadi. Perlahan – lahan kuangkat kepala Aqel lalu menyorongkan bantal ini.

Tidak semena – mena Aqel membuka matanya. Tersedar dengan tindakanku. Dia menatapku buat aku tidak keruan. Risau dimarah Aqel sebab mengganggu tidurnya. Bimbang juga kalau Aqel salah faham dengan tindakanku. Tidak rela dituduh mengambil kesempatan ke atas dirinya. Mana tahu Aqel ingat aku saja – saja menyentuh dirinya.
“Saya hanya letakkan bantal ini di kepala awak. Kasihan tengok awak tidur tak berbantal” jelasku menerangkan tindakanku.
“Awak yang ambil bantal saya” tuturnya. Aku tersengih sambil garu – garu kepala yang tidak gatal. Sedar dengan kesilapanku. Siapa suruh dia baik hati sangat membiarkan aku menggunakan bantalnya sepanjang malam.
“Mengapa awak terjaga jam begini? Kan baru pukul 3.00 pagi lama lagi masuk waktu solat subuh. Tidurlah...” keluh Aqel sambil melirik ke arah jam di atas meja solek itu.
“Saya bermimpi ngeri tadi....” ujarku sambil membaringkan diri di tilam. Aqel berpaling ke arahku.
“Awak mimpi apa?” soal Aqel. Laju tangannya menutup mulutnya yang menguap. Mungkin Aqel lewat tidur malam tadi. Mesti dia mahu menghabiskan buku yang dibacanya. Aku menggeleng. Babak mimpi yang panjang kalau diceritakan kepada Aqel mesti mengambil masa yang lama. Silap – silap sampai ke subuh pun belum tentu habis. Kalau diceritakan pasti Aqel akan mentertawakanku. Paling menakutkan kalau fikiran Aqel menyimpang jauh. Mesti Aqel ingat aku menangis meraung – raung kerana kecewa ditinggalkannya. Kemudian Aqel akan membuat kesimpulan mudah bahawa aku telah jatuh cinta padanya. Benak Aqel sentiasa kreatif.
“Mimpi ngeri ke?” soal Aqel tanpa memandangku. Matanya terpejam. Tidak sangka dia masih berminat pada mimpiku. Senyap.
“Aqel... andai suatu hari nanti Flora muncul, adakah awak akan tinggalkan saya?” soalku berhati – hati. Risau mengundang kemarahan Aqel. Kelopak mata Aqel terbuka luas. Aqel serius menatapku. Seketika aku dan Aqel berlaga pandangan dengan mulut yang terkunci.
“Dalam mimpi pun awak masih ingat nama ni. Nampaknya awak betul – betul trauma dengan nama ni” keluh Aqel. Aku hanya mendiamkan diri. Pertanyaanku tidak dijawabnya. Aqel memejamkan matanya kembali.
“Banyak sangat yang trauma dengan nama ni....” sayup – sayup aku mendengar suara Aqel berbicara sendiri. Begitu jelas patah demi patah perkataan yang keluar dari mulut Aqel sekejap tadi. Maksudnya nama Flora ini telah memberi kesan kepada orang lain? Siapakah mereka? Aqel? Mak Long? Pak Long? Ingin saja aku ajukan perkara ini kepada Aqel, namun Aqel sudah berdengkur. Tidak sampai hati pula mahu mengganggu tidur Aqel lagi.
Aku terbaring dengan mata yang terkebil – kebil. Hilang sudah rasa mengantuk. Aku masih memikirkan bicara Aqel. Kemudian memikirkan mimpiku. Betapa malangnya diriku. Dalam mimpi pun aku masih ada musuh. Seolah – olah manusia di sekelilingku tidak mahu aku hidup bahagia. Cepat aku berisghtifar. Semua itu hanyalah mainan mimpi. Syaitan sentiasa berbisik – bisik pada hati yang lemah. Bingkas aku bangun lalu melangkah ke bilik air mengambil wuduk. Aku mengerjakan solat tahjud memohon keampuan Illahi serta keberkatanNya agar kami sekeluarga hidup dalam limpahan rahmatnya. Maka kupohon juga kesejahteraan hidup Aqel bersama Mak Long dan gadis yang bernama Flora itu. Andai gadis yang bernama Flora itu benar – benar wujud, maka aku mengharapkan pertemuaan dengannya. Pertemuaan yang mendatangkan seribu kebaikan. Kini aku rasa tenteram dan damai. Lantas kupanjatkan kesyukuran kepada Yang Maha Esa atas kurniaanNya ini.
“Ya Allah.... sesungguhnya, Engkau yang mempertemukan jodohku dengan Aqel dengan apapun alasannya. Aku redha ya Allah....” bisik hatiku penuh kepasrahan.


Alhamdulillah.... Aku baru saja usai solat subuh yang diimankan oleh Aqel. Tenang hati dapat melaksanakan kewajipan diri. Tatkala Aqel menghulurkan tangannya, aku menunduk lantas mengucup tangan Aqel. Dalam diam cuba memohon restu dan keredhaan suami dalam segala hal.
“Awak tak tidur sebab memikirkan mimpi awak” ujar Aqel sambil merenungku. Aku membisu. Pandangan Aqel masih tidak beralih dari wajahku.
“Tak perlu awak bebani fikiran awak dengan nama tu. Flora tak de kena mengena dengan hal kita” ujar Aqel. Mungkinkah ini jawapan Aqel untuk pertanyaanku yang belum dijawabnya itu. Jawapan yang tidak jelas dan tidak memuaskan hatiku. Aqel memalingkan mukanya dari pandanganku. Ligat saja tangannya melipat sejadah itu. Aqel berpaling ke arahku lagi. Sejenak aku dan Aqel saling berpandangan.
“Awak menyesal meninggalkan Haqem?” soal Aqel menyentakkanku. Nama Haqem meniti di bibir Aqel sekian kalinya.
“Saya menyesal membuatkan Haqem bersedih kerana saya” tuturku. Biarlah Aqel memikirkan sendiri bicaraku ini. Dia cukup bijak mentafsirkannya. Aqel tidak bersuara lagi. Begitu juga aku. Diamku dan diam Aqel bersatu. Diam yang panjang.