“Tahniah, Nia. Kamu memang tak pernah menghampakan saya” tutur Cikgu Elvart Hee seraya menghulurkan tangannya kepadaku.
Tatkala tanganku bertaut dengan tangan Cikgu Elvart Hee, dadaku berdegup kencang. Serasa dadaku mahu pecah. Lembut sentuhannya cukup menggetarkan jiwaku. Terasa wajahku panas membahang. Aku diserang sakit angau lagi.
“Awak tak sihat? Muka awak merah” teguran Cikgu Elvart Hee cukup menyentakkanku.
Alamak, teruknya aku! Malunya aku kalau Cikgu Elvart Hee dapat tahu punca perubahan wajahku ini. Tidak sanggup aku berhadapan dengannya lagi andai dia dapat mengesan apa yang bergolak dalam diriku tika ini.
“Deliya!”
Serentak aku dan Cikgu Elvart Hee berpaling. Dennis Lee berlari anak ke arahku. Ya Allah, syukur.... syukur, mamat Tionghoa ini datang tepat pada masanya. Dialah penyelamatku. Terima kasih Dennis Lee.
“Good afternoon teacher” sapanya kepada Cikgu Elvart Hee.
Mereka bertukar senyuman. Dennis Lee menatap wajahku. Bagaikan ada kuasa magik yang dimilikinya membuatkan dia dapat membaca reaksi tersirat di sebalik wajahku tika ini. Agaknya tempoh panjang persahabatan kami membuatkan begitu mudah saja dia memahami dan mengenal pasti ekspresi wajahku. Dennis Lee cukup mengenaliku.
“Lama aku tunggu awak kat kafe. Kata nak minta belanja makan” suaranya memecah kesepian.
Aku tercengang – cengang dan kematian akal mendengar bicaranya. Bila masa pula aku berjanji dengan dia? Betulkah dia bermurah hati mahu mendermakan duitnya untuk belanja aku makan? Aku memutar ingatanku ke belakang, mengingati kembali jika benar ada perjanjian termeterai antara kami. Kabur. Seingat aku langsung tiada perjanjian antaraku dengan Dennis Lee. Keliru! Keliru! Cikgu Elvart Hee tersenyum.
“Kami pergi dulu cikgu. Jom....”
Cikgu Elvart Hee mengangguk. Pantas saja tangannya menarik tanganku melangkah meninggalkan Cikgu Elvart Hee buah hatiku. Aku segera menarik tanganku bila menyedari yang Cikgu Elvart Hee sedang memerhatikan kami. Aku tidak mahu hubunganku dengan Dennis Lee disalahertikan olehnya. Sungguh aku tidak tega.
“Lepas ler tangan aku” pintaku seraya menariknya dari pautan tangan Dennis Lee. Nampak terkebil – kebil dia dengan tindakan drastikku ini.
“Nia jangan lupa petang esok tunggu saya kat Sentosa Mall. Ajak sekali Dodie dan Ryan. Three o’clock okey” ujar Cikgu Elvart Hee separuh melaung sambil menunjukkan tiga jari kepadaku.
Wah, Cikgu Elvart Hee buat temujanji dengan aku! Alangkah lebih menyeronokkan andai Dodie dan Ryan tidak dapat pergi sama esok. Mesti temujanji itu lebih nampak bagai temujanji sepasang kekasih. Aku tersenyum sendiri lagi. Pup! Aku tersentak lalu telapak tanganku mengusap – usap kepalaku.
“Suka sangat berangan. Jom pergi kafe”
Aku mengekori langkah Dennis Lee yang setapak berada di depanku. Semangkuk bihun sup special kegemaranku sudah berada di hadapanku bersama segelas ais lemon tea. Begitu juga dengan Dennis Lee. Kami berkongsi menu kegemaran yang sama.
“Kenapa Cikgu Elvart Hee nak jumpa kamu kat Sentosa Mall?” soal Dennis Lee sekaligus mengajak kembali aku melontar ingatan kepada cikgu pujaan hatiku itu. Sebetulnya aku tidak pernah melupakan seraut wajah guru kesayanganku itu.
“Nak dating dengan aku he... he... he...” tuturku bergurau.
Dennis Lee mencebikkan bibirnya.
“Aku tahu kau jealous dengan cikgu tu” usikku lagi.
“Kalau dah tahu aku jealous kenapa buat juga” balasnya.
Aku tertawa. Dia memang iri hati dengan kami kerana Cikgu Elvart Hee berjanji akan belanja kami makan petang esok sebagai ganjaran atas usaha keras kami menjuarai pertandingan kuiz Sejarah dua hari yang lepas.
“Tak pe nanti aku tapau untuk kau” pujukku mengusik.
Dennis Lee sudah leka menikmati bihun sup di depannya. Begitu menyelerakan. Aku pun tidak mahu ketinggalan turut serta menikmatinya.
“Terima kasih kerana belanja aku makan bihun sup dan minum ais lemon tea ni. Terima kasih juga kerana menyelamatkan aku tadi” tuturku selengkapnya.
“Menyelamatkan awak?”
Dennis Lee tampak hairan dengan bicaraku. Lambat sangat dia hendak menangkap maksud yang hendak aku sampaikan.
“Kan kau yang menyelamatkan aku dari dapat malu besar di depan Cikgu Elvart Hee tadi. Tak dapat aku bayangkan kalau Cikgu Elvart Hee dapat tahu tentang perubahan wajahku tadi” ceritaku menjelaskan bicaraku yang tidak difahaminya itu.
Dennis Lee kembali menyudu sisa - sisa bihun yang tertinggal di mangkuk di hadapannya. Senyap. Langsung dia tidak teruja dengan ucapan terima kasihku itu. Tiba – tiba aku kembali teringat telapak tanganku yang disentuh oleh Cikgu Elvart Hee tadi. Perlahan – lahan kudekatkan ke bibir dan hidungku. Mencium wangian sentuhan jejaka idaman dambaan hatiku. Dennis Lee yang asyik memerhatikan gelagatku, terus saja ketawa berdekah – dekah memeranjatkan aku sekaligus mengundang kemusykilanku. Sungguh pelik perangainya.
“Kau gila ke tiba – tiba je ketawa” tegurku.
Sisa – sisa ketawanya masih kedengaran. Wajahnya berseri – seri.
“Awak cium telapak tangan tu. Bagus .... bagus”
“Mesti ler. Kan tadi Cikgu Elvart Hee yang pegang.........” bicaraku tergantung sebelum sampai ke penghujungnya.
Bulat anak mataku menatap Dennis Lee yang masih tersenyum lebar.
“Kau.....”
Sentuhan salam Cikgu Elvart Hee tadi telah dicemari oleh tangan Dennis Lee. Bermakna aku sedang mencium sentuhan mamat di depanku ini. Patutlah girang memanjang. Rupa – rupanya dia sudah berjaya mengenakan aku. Bedebah punya mamat Tionghoa Minaci seekor ini!
“Sebelum pergi sekolah tadi, aku ada uli belacan. Cuba kau hidu betul – betul telapak tangan kau tu, mesti ada bau semerbak wangi belacan kat situ ha... ha..”
“Dennis Lee............”
Geramnya aku dengan dia! Aku tidak mahu mencium lagi telapak tanganku seperti tadi. Khuatir bicara Dennis Lee ada kebenarannya. Kalau ikutkan hati ringan saja rasanya kakikku ini hendak melibas – libas budak seekor ini. Nasib tika ini kami berada di khalayak umum. Aduh, sadisnya! Kenangan terindahku telah dicemari oleh insan yang bernama Dennis Lee ini.
V.
Selepas kami menikmati nasi ayam di Restoran Murni yang sememangnya terkenalan dengan nasi ayamnya yang sedap, kami bergerak ke Popular. Aku melangkah ke ruangan yang menempatkan deretan novel – novel. Meninjau – ninjau jika ada novel terbaru yang aku berkenan. Anis Ayuni, Aisya Sofea, Norhayati Berahim. Aku mencari – cari karya cetusan minda penulis - penulis kegemaranku ini. Sesekali aku melirik ke arah Cikgu Elvart Hee yang berada di ruangan ilmiah tidak jauh dariku. Dia tampak leka menilik – nilik bahan – bahan yang ada di situ. Dodie dan Ryan sekadar bersantai – santai di setiap sudut premis ini. Aku meneruskan pencarianku.
“Nia, suka baca novel?”
Aku tersentak. Pantas aku berpaling. Cikgu Elvart Hee sudah berada di sebelahku. Pandangannya terarah pada novel – novel di rak. Aku mengangguk. Seketika Cikgu Elvart Hee turut sama mengeksplorasi deretan novel yang terdapat di situ. Tiba – tiba Cikgu Elvart Hee menghulurkan sebuah novel kepadaku. Novel ‘Diari Seorang Guru’ karya S. Hawa sudah beralih tangan.
“Apa cita – cita Nia?” soalnya membuatkan aku teruja.
Terasa bahagia mendengar pertanyaannya itu. Jelas Cikgu Elvart Hee ingin tahu sesuatu tentang diriku. Dialah orang kedua bertanyakan tentang cita – citaku selepas mama. Malah merupakan lelaki pertama yang mengajukan soalan ini.
“Kalau Nia mahu jadi cikgu, elok baca novel ni. Lepas saya baca novel ni, saya terus jatuh cinta pada kerjaya seorang guru” ceritanya menyingkap rahsia dirinya.
Kalau Cikgu Elvart Hee sukakan novel ini, pasti aku juga sukanya. Aku mesti memiliki novel ini. Aku juga ingin menyelami catatan kisah yang telah berjaya memikat hati Cikgu Elvart Hee sehingga mendorong dia bergelar seorang guru.
“Cikgu beli novel ni?” soalku ingin tahu selanjutnya.
Dia menatapku lalu geleng kepala.
“Someone hadiahkan kepada saya” tuturnya perlahan.
Seseorang? Siapakah dia? Aku tidak dapat menilai daripada nada suara dan ekspresi wajah yang ditunjukkannya tatkala menuturkan bicara itu. Hatiku melonjak – lonjak ingin tahu cerita selengkapnya. Wahai jejaka pujaan hatiku, segeralah sirnakan gelodak perasaanku ini! Janganlah biarkan aku terus tertanya – tanya. Aku inginkan penjelasan yang nyata. Namun tiada tanda - tanda dia ingin melanjutkan bicaranya.
Siapakah seseorang itu? Adakah insan istimewa di hati Cikgu Elvart Hee? Aku yakin pasti dia seorang yang rapat dan akrab dengan Cikgu Elvart Hee kalau tidak masakan dia sanggup menghadiahkan novel ini. Mesti dia seorang yang penting dan bermakna dalam hidup Cikgu Elvart Hee. Dialah pembuka jalan dalam membentuk halatuju hidup lelaki ini. Seseorang yang begitu penting. Mungkin kekasih hatinya! Oh, tidak! Aku tidak sanggup menerima kenyataan ini. Hatiku meraung – raung menangis. Sesungguhnya aku sentiasa menggantung harapan yang tinggi terhadap guru ini.
“Nia, nak tumpang saya balik?”
Aku tersentak mendengar suara Cikgu Elvart Hee. Laju aku geleng kepala. Semangatku telah berterbangan di mana – mana. Aku ingin bersendirian merawat sedikit rasa kecewaku ini. Kekasih dambaanku mungkin telah dimiliki hatinya.
“Bila cikgu nak kahwin?” diluar kawalanku soalan itu meluncur laju keluar dari mulutku.
“What?” nada suara Cikgu Elvart Hee jelas terkejut dihujani soalan sedemikian. Sebenarnya aku sendiri pun terkejut dengan soalan yang kuutarakan. Aku mengutuk diri atas kelancangan mulutku bertanya sebentar tadi. Kedengaran tawa kecil Cikgu Elvart Hee. Aku menatap wajah itu. Tiada tergambar rasa marah mahu pun tersinggung. Aku menarik nafas lega. Mujur juga bicaraku tidak dibanyakertikan.
“I’m still young. Lagipun mana ada orang mahu jadi isteri saya”
“Saya mahu.........!!!” laungan bicaraku hanya tersekat di kerongkong.
Mujur aku masih waras. Aku tersenyum sendiri. Jawapan yang diberikan Cikgu Elvert Hee kembali menceriakan hatiku. Semangatku yang bertaburan tadi kembali bertaut. Tetapi siapa someone itu? Aku kembali memikirkan persoalan tadi. Barangkali kekasih awalnya. Hatiku kian gelisah.
“Nia, saya nak balik sekarang. Dodie dan Ryan pun dah tak tahu nak pergi mana. Nah, ikhlas dari saya untuk awak”
Aku tergamam menatap sebuah bungkusan yang sudah siap dibalut indah sedang dihulurkan kepadaku belum bersambut. Aku mengalih pandanganku ke wajah Cikgu Elvart Hee. Dia tersenyum.
“Ambiklah. Nia tak sudi ke?” soalnya.
Laju saja tanganku mencapai bungkusan itu. Mana mungkin aku menolaknya. Sebetulnya aku terkejut kerana semua ini diluar jangkaanku.
“Terima kasih cikgu” tuturku cukup rasa bahagia sebelum menghantar kepergian Cikgu Elvart Hee dengan pandangan kasih dan sayangku.
Aku merenung lama bungkusan yang sudah berada ditanganku ini. Tidak sabar rasanya aku hendak membukanya. Lantas aku mematikan saja niatku untuk berlama – lama di sini. Kuutus sms kepada Dennis Lee membatalkan pertemuan kami petang ini. Aku mahu pulang ke rumah sekarang juga. Oh, alangkah seronoknya kalau aku punya sepasang sayap yang boleh menerbangkan aku di angkasa lepas agar aku segera sampai ke rumah! Aku sudah tidak sabar – sabar untuk melihat hadiah daripada Cikgu Elvart Hee, jejaka pujaan hatiku.
Perlahan – lahan dan penuh berhati – hati aku mengoyak kertas pembalut bungkusan ini. Aku memang berhajat untuk menyimpan kertas pembalut ini. Tatkala aku menyelak kotak itu, sebuah buku Sejarah ada di dalamnya. Aku tersenyum selebar – lebarnya. Pantas saja aku mengucup buku ini dengan penuh kasih sayang. Ia teralu berharga dan bermakna buatku. Sekeping kad terselit di celah – celah buku ini kubaca berulang kali tanpa perasaan jemu.
~Untuk pelajar saya yang paling bijak, n always excellent~
Ikhlas;
Elvart Lee / 14.04. 2003
VI.
Buku Sejarah hadiah daripada Cikgu Elvart Hee masih dalam pelukanku yang sedang tersandar di kepala katil sambil tersenyum panjang sendirian. Aku diserang penyakit angau yang bertambah – tambah sejak semalam.
“Nia jom makan”
“Oopocot…..!” aku terkejut besar.
Mama sudah terpacak di muka pintu sambil menatapku. Tidak sedar bila masa pula mama menolak daun pintu itu. Pasti mama sempat memerhatikan gelagatku tika ini. Naya! Naya!
“Dari semalam mama tengok Nia asyik pegang buku tu” tegur mama menimbulkan rasa khuatirku.
Takut mama syakwasangka atas tingkahlakuku. Habislah aku kalau mama dapat tahu apa yang sedang berlaku pada anak gadisnya tika ini. Kemarahan mama pasti tidak boleh dihalang – halang. Aku juga tidak punya keberanian untuk berhadapan dengan mama dalam keadaan dia murka. Betul – betul menakutkan.
“Nia baca buku ni ler, mama” balasku.
“Baca ke macam tu?”
Buku Sejarah yang masih berada dalam pelukanku, pantas saja kuletak ke tilam. Aku tersengih – sengih menatap mama bagi menutup rasa gusarku.
“Habis baca kena peluk buku ni supaya cepat faham dan segala maklumat yang dibaca mudah melekat dalam ingatan. Kalau kita nak kuasai pelajaran tu kena ler tunjukkan rasa sayang” ujarku berjela.
Itulah kalimah keramat yang pernah Cikgu Habibah beritahu di kelas. Kalau hendak cepat pandai kenalah tunjukkan rasa sayang dan cinta pada pelajaran tersebut. Kalau boleh peluk cium buku itu setiap hari.
“Pelik betul falsafah Nia tu. Jom makan” ajak mama.
Aku menghela nafas lega. Segera kuekori langkah mama. Mujur topik perbualanku dengan mama tidak berpanjangan.
************************************************************
Aku mengucup beberapa kali buku Sejarahku ini sebelum meletakkannya di atas meja. Buku yang paling setia menemaniku ke mana saja kakiku melangkah. Apa tidaknya buku ini sentiasa berada dalam beg sandangku. Di muka pintu kelas, Dennis Lee tersengih menatapku. Langkahnya mati. Dia terus saja singgah di mejaku.
“Wow, buku baru!”
“Jangan sentuh!” laungku menegah sebelum sempat tangannya mendarat pada buku kesayanganku ini.
Anak mata yang sedikit kecil itu nampak membesar sedikit menatapku, sedangkan tangannya masih di awangan. Jelas dia tersentak dengan sergahan suaraku yang sedikit lantang itu. Cepat kucapai buku Sejarah itu lalu berada dalam pelukanku.
“Mak datuk kedekutnya dia” perlinya.
Aku menghadiahkan jelingan tajam buatnya. Pandai – pandai pula dia hendak mencerobohi harta orang lain.
“Bagi ler aku tengok buku tu” pintanya lembut memujukku.
“Ni buku kesayanganku. Aku tak benarkan orang lain sentuh termasuk kau. Hak terpelihara selamanya” tegasku.
“Buku rujukan Sejarah. Ni mesti ada kaitan dengan Cikgu Elvart Hee ni” tekanya yang sememangnya tepat.
Aku mengangguk. Cepat saja tanganku memasukkan buku ini ke dalam beg sandangku semula. Aku tidak mahu Dennis Lee menyentuhnya kerana khuatir akan menjejaskan kerapian dan kekemasan dari cover hinggalah pada setiap helaian.
“Awak sayangkan buku ini macam awak sayangkan nyawa awak” tuturnya berbaur perlian.
Aku tidak menyangkal bicaranya itu, lantas laju saja aku mengangguk.
“Parah! Parah! Awak harus mendapat rawatan terapi sekarang, kalau dibiarkan lama – lama aku takut awak akan hilang pertimbangan positif dan tiada tumpuan pada pelajaran” tegas Dennis Lee.
Aku menulikan telinga. Malas aku hendak melayan perubahan personaliti dirinya yang tiba – tiba saja seiras pakar kaunseling.
“Deliya!”
Tiba – tiba saja dia bangun lalu kedua – dua telapak tangannya mendarat di bahuku. Aku tergamam menatap pandangan Dennis Lee yang tajam menjunam ke dalam anak mataku. Wajahnya cukup serius.
“Aku janji akan selamatkan awak walau apa cara sekalipun” ikrarnya serius lantas meninggalkan aku yang terkebil – kebil memerhatikan langkahnya.
Apa kena dengan mamat seekor ini! Pening! Pening! Agaknya Dennis Lee diserang pening. Maklumlah kami di ambang SPM tahun ini. Kelas tambahan dan tuisyen pun padat. Sekali – sekala kepala yang sarat dengan pelajaran ini menyebabkan perangai jadi pelik juga.
***********************************************************
Aku menggosak mataku untuk kedua kalinya. Hairan melihat Mercedez Benz hitam mama ada di halaman rumah dalam jam – jam sebegini. Kelazimannya, seawal jam 10.00 malam barulah mama muncul di muka pintu. Kalau ada kes berat, bermalam di ofis pun mama pernah. Ketaksuban mama pada kerja sukar ditandingi. Mama mencintai kerjayanya sepenuh jiwa raganya. Barangkali mama tidak sihat. Hanya situasi sedemikian yang boleh membuatkan mama berada di rumah seawalnya. Hatiku dipagut kerisauan. Laju langkahku memasuki banglo mewah mercu kebanggaan mama.
“Nia!”
Aku tersentak mendengar suara lantang mama. Laju saja aku melontar pandanganku ke ruang tamu. Mama sedang duduk di sofa seakan sudah lama menanti kedatanganku. Aku memerhatikan wajah mama. Wajahnya tampak serius. Tiada secelit pun senyuman terukir di situ. Dapat aku rasakan bagai ada sesuatu yang telah dan bakal berlaku.
“Apa yang Nia buat kat sekolah selama ni?” suara mama tinggi.
Aku tersentak lagi mendengar persoalan mama. Cuba aku fahami akan maksud di sebalik persoalannya itu. Renungan tajam mama cukup mengecutkan perutku. Terasa peluh dingin membasahi dahiku. Sungguh penghawa dingin yang sedang dipasang ini langsung tidak terasa.
“Nia tak nak belajar lagi ke? Dah fikir nak kahwin?” keras suara mama.
Aku amat terkejut dengan bicara mama. Matanya mencerlang menatapku. Barangkali sudah sampai ke pengetahuan mama. Siapa yang punya angkara ini? Teman – teman sekelas sekadar mengetahui aku pelajar pilihan Cikgu Elvart Hee untuk menjawab soalan – soalan yangg diajukan sepanjang kelas Sejarah berlangsung. Kebetulan juga mereka tidak mengenali mama.
“Aku janji akan selamatkan kau walau apa cara sekalipun” suara nekad Dennis Lee kembali menerjah halwa pendengaranku.
Sah dia yang menyampaikan cerita ini kepada mama. Teman – temanku lain tidak mengenali mama sepertimana Dennis Lee mengenalinya. Mama juga mengenali dia malah turut bersahabat dengan ibu bapanya.
“Jawab Nia! Kenapa senyap?” suara mama bergema di setiap sudut banglo ini.
Tiba – tiba saja mama bangun dari sofa itu lantas mengatur langkah mendekatiku. Terasa terketar – ketar kepala lututku. Kugenggam jari – jemariku cuba mengumpul kekuatan yang ada. Aku merelakan diriku andainya mama berhajat memukulku.
“Mama nak jumpa pengetua dan cikgu tu. Mama nak tahu kisah sebenarnya dari cikgu tu” tutur mama amat memeranjatkanku.
Aku terkedu. Serasa nafasku terhenti. Kalau mama meneruskan hajatnya juga pasti heboh satu sekolah. Paling kasihan Cikgu Elvart Hee. Dia akan jadi mangsa atas perbuatanku.
“Please mama, jangan pergi” rayuku seraya memegang tangan mama sekaligus mematikan langkahnya.
“Jadi betul ler apa yang mama dengar ni?” suara mama semakin tinggi.
Apa yang mama dengar? Siapa gerangan yang membawa cerita ini kepadanya? Oh, nama Dennis Lee lagi yang terlintas di fikiranku! Hanya dia yang boleh berhubung dengan mama. Kebetulan pula memang dia berjanji untuk melakukan apa saja demi membunuh perasaanku terhadap Cikgu Elvart Hee.
“Betul Nia mencintai cikgu tu?”
Perlahan – lahan aku mengangguk. Aku tidak dapat lari menyembunyikan kenyataan itu lagi. Semuanya sudah terbongkar.
“Oh, my God...!”
Mama menepuk dahinya. Kecewa sangat dia mendengar pengakuanku ini.
“Sorry mama...” tuturku menundukkan kepala.
Tidak berani aku menatap wajah mama. Bukan setakat takut, bahkan aku juga tidak sanggup melihat kekecewaan mama. Aku tahu hati mama hancur lebur tika ini.
“Mama takkan berdiam diri. Mama perlu jumpa pengetua dan cikgu tu” tegas mama tanda tidak termakan pujukanku.
Aku menatap wajah mama. Ada kesungguhan terpancar di wajahnya. Mama tidak main – main.
“Please mama, jangan ler buat begini. Semua ni salah Nia. Nia yang tak boleh kawal perasaan Nia. Cikgu Elvert Hee tak tahu langsung perkara ni” jelasku mengharapkan pengertian mama.
“Patut ler Nia lebih – lebih suka dengan subjek yang dia ajar. Nia kata cikgu tu yang pandai ajar tapi rupanya Nia ada niat lain. Nia telah bohongi mama!” jerkah mama semakin tidak dapat mengawal kemarahannya.
“Sorry mama.....”
Aku hanya mampu meluahkan rasa bersalahku pada mama. Aku sedar walau berapa banyak aku meluahkan rasa kekesalanku, mama tetap kecewa dengan tindakanku.
“Mama akan pindahkan Nia dari sekolah ni” tegas mama membuat keputusan drastik.
Aku terkedu mendengar kata putus mama dan hanya mampu menatap langkah mama berlalu meninggalkan aku. Kedengaran jeritan kereta mama meninggalkan halaman rumah. Aku terduduk lemah di situ. Perlahan – lahan terasa hangat menuruni cerun pipiku. Aku menangis teresak – esak di situ. Entah untuk berapa lama. Ke mana mama pergi dalam keadaan marah sedemikian? Betulkah mama akan pergi ke sekolah berjumpa dengan pengetua sekaligus mencari Cikgu Elvart Hee? Apa yang mama mahu lakukan terhadap Cikgu Elvart Hee? Fikiranku sarat memikirkan tindakan mama.
Aku mengatur langkah longlai ke bilikku. Langkahku mati di ambang daun pintu yang sudah sedia terkuak menanti kedatanganku. Pasti mama berkunjung ke sini tadi. Langkahku mati di situ. Beberapa helaian buku Sejarah yang kupuja – puja dan kujaga rapi selama ini bertaburan di atas lantai. Aku melangkah masuk lalu merapati katilku. Tidak kuat rasanya kakiku berdiri lama – lama. Hatiku dipagut sayu melihat buku Sejarah pemberian Cikgu Elvart Hee menjadi sedemikian rupa. Anak mataku terpandang diariku yang terkuak di meja studyku itu. Hatiku bertambah – tambah hiba. Tega juga mama mencerobohi hak yang terlalu peribadi. Mama benar – benar hilang pertimbangan.
Kugagahi kakiku untuk bangun lalu mengorak langkah mendekati meja studyku. Aku menundukkan kepala menatap diari itu. Jelas segala yang tercatat di sini telah sampai ke pengetahuan mama. Di sudut tepi meja, aku terpandang kad yang ditulis oleh Cikgu Elvart Hee telah direnyuk oleh mama. Aku capai kad tersebut lalu menggosok – gosoknya agar kembali kepada keadaan asal. Air mataku menitis. Aku cuba menahan senduku agar tidak berkumandang. Namun hatiku begitu pilu dan hiba. Sebetulnya aku kecewa kerana mama tidak menghormati hak peribadiku. Aku tidak terkilan bila mama marah kerana aku ada perasaan cinta terhadap Cikgu Elvart Hee, tetapi bila mama telah membaca diari ini aku rasa cukup terkilan. Mama telah menggugat dasar kepercayaanku terhadapnya.
No comments:
Post a Comment