Tuesday, 20 September 2011

NamaKu Bukan Flora! 2





BAB 2

Tepat 8.00 pagi. Aku sudah terpacak di depan bangunan kaca ini. Sengaja aku berdiri berdekatan dengan pintu utama bagi memudahkan aku nampak kelibat pemuda itu. Rasa tidak sabar – sabar aku menanti kemunculannya. Bahkan dari semalam juga aku tidak dapat tidur lena gara – gara memikirkan misiku hari ini. Seminit lagi pukul 9.00 pagi, bermakna sejam sudah aku terpacak di sini. Agaknya hari ini dia tiada penggambaran di sini. Mungkin ada kerja luar. Tidak pun dia sedang bercuti. Kalau dia tidak datang hari ini, bagaimanakah aku hendak menemuinya? Di manakah aku patut cari dia? Oh, buntunya fikiranku!
Sedikit luntur sudah semangatku. Barangkali setakat ini saja rezekiku di Clean And Mesra Laundry milik Encik Mukhtahir. Kalau sejam lagi dia belum muncul juga, aku akan menemui Encik Mukhtahir saja. Biarlah dia yang memutuskan nasibku. Biarlah Puan Rosie mengamuk sakan denganku. Aku rela. Seminit, sesaat. Tup tepat jam 10. 00 pagi. Aku melangkah lemah ke parking mengambil motor cabuk kesayanganku. Kuhidupkan enjin motorku, bila – bila masa saja meninggalkan bangunan kaca yang tersergam mewah ini. Sudah terbayang di mataku, aku dan Nana saling berpelukan kerana hari ini merupakan hari perpisahan kami. Oh, sedihnya!
Motor kuundur ke belakang. Baru saja motorku hendak membelok meninggalkan parking, tiba – tiba aku terpandang kereta Peugeot RCZ Sports Coupe berwarna Haria Grey plat 144 itu baru memasuki parking. Lantas saja aku berpatah balik meletakkan motorku di tempat tadi. Aku bergegas mendekati pemuda itu yang baru saja keluar dari keretanya. Kehadiranku di situ sedikit memeranjatkannya.
“Awak masih ingat saya? Kita ada jumpa semalam” tuturku terus tidak mahu membuang masa. Dia menatapku lama. Wajahnya serius. Harap – harap dia masih ingatkan aku walaupun pertemuan itu hanya singkat. Aku masih menanti – nanti reaksinya. Tanpa kuduga, dia terus saja melangkah meninggalkan aku yang terpacak penuh pengharapan ini.
“Awak tak ingat saya. Saya yang bawa baju – baju awak semalam. Awak panggil saya Flora” tuturku cuba mengembalikan ingatannya seraya mengejar langkahnya. Tiada tindak balas. Pemuda ini tidak mempedulikan bicaraku malah tidak mengendahkan aku langsung. Sombong! Betul – betul menyakitkan hati melihat reaksi yang dipemerkannya tika ini.
“Saya perlukan pertolongan awak” ujarku lagi sambil mengejar – ngejar langkahnya. Tidak kupedulikan pandangan – pandangan orang sekeliling yang dilontarkan kepada kami. Aku tetap berusaha memberhentikan langkahnya agar aku boleh berbicara dengannya. Namun dia tidak menunjukkan sebarang reaksi. Seolah – olah tidak pernah wujud pertemuan antara aku dengan dia. Dia menjadi patung yang bernyawa tapi tiada perasaan.
“Hoi, lelaki sombong! Awak ingat awak hebat sangat! Kalau saya tak jumpa awak semalam, saya takkan datang sini jumpa awak! Awaklah pembawa malang kepada saya!” jeritku sekuat hati tanpa mahu mengejar langkahnya lagi.
Tiba – tiba saja langkahnya terhenti. Perlahan – lahan dia menoleh ke arahku. Dia menatapku dengan renungan bersahaja. Langsung tiada gambaran perasaan. Betul – betul terpacak macam tunggul kayu. Kami berlawanan pandangan seketika. Satu patah perkataan pun tidak keluar dari mulutnya. Betapa menjengkelkan aku sikapnya itu. Kenapa tiada sebarang reaksi yang ditunjukkannya? Seolah – olah aku bukan berbicara dengan dia sekarang. Rasa mahu kutampar – tampar saja mukanya itu. Namun bila ingatkan wajah itu adalah sumber rezekinya aku matikan saja niatku. Aku tidaklah sekejam dia.
Tidak sempat meramal adegan seterusnya yang bakal berlaku setelah aku melaungkan kemarahanku tadi, kedengaran derap langkah menghampiriku. Dua orang pengawal keselamatan memegang tanganku lalu menarikku keluar.
“Lepaskan saya. Saya perlu berjumpa dan bercakap dengan dia” pohonku sambil cuba melepaskan diri. Lagak pemuda itu tetap seperti tadi. Langsung tiada keluar suaranya tatkala melihat aku dibawa pergi oleh dua orang pengawal keselamatan ini. Dia hanya merenung tanpa sebarang reaksi.
“Maaf, cik diminta keluar sekarang sebab cik telah mengganggu ketenteraman awam” ujar salah seorang dari mereka.
“Apa!” Besar biji mataku menatap lelaki itu. Langsung tidak masuk akal tuduhan yang dilemparkan kepadaku. Mengganggu ketenteraman awam konon, sedangkan hanya melibatkan dia seorang saja. Lagipun kalau dia bekerjasama denganku tadi pasti  tidak kecoh sebegini.
Telinganya masih mendengar suara marah – marah gadis itu. Dia meneruskan langkahnya lantas dia tersenyum sendiri.
Hampir – hampir saja aku tersungkur tatkala tubuhku ditolak keluar dari bangunan kaca ini. Mujur kakiku kuat bertahan. Malu? Memang aku malu. Bukan sedikit pandangan dilemparkan kepadaku. Entah apa yang mereka fikirkan melihat tindakanku sebentar tadi. Tanpa kupinta air mataku menitis keluar. Pantas saja aku mengesatnya. Aku tidak akan menangis kerana pemuda itu. Aku tidak akan bergantung dengan pertolongannya lagi. Aku akan bertindak atas usahaku sendirinya biarpun dialah punca masalah ini. Tiba – tiba aku nampak krew – krew penggambaran yang baru saja sampai. Masing - masing kelihatan sibuk mengendalikan bahagian sendiri. Kutoleh kiri kanan. Tiada sesiapa yang nampak aku mahupun berdekatan denganku tika ini. Perlahan – lahan aku bergerak melintas di depan mereka. Tanpa disedari, aku terus menyelinap masuk ke dalam kumpulan yang menguruskan kostum. Lantas tanganku mencapai topi perempuan yang saiznya agak besar lalu meletakkan di kepalaku. Aku berselindung di sebalik topi besar yang glomour dipakai dalam kalangan kerabat diraja perempuan Eropah pada era zaman – zaman klasik. Ketika melalui pintu masuk, aku sengaja menundukkan kepala seraya mengangkat pakaian yang kubawa lebih tinggi daripada aras kepalaku. Alhamdulillah aku berjaya melepasi beberapa orang pegawal keselamatan yang bertugas. Lantas saja aku mengekori langkah mereka sehinggalah aku sampai ke sebuah bilik besar.
Tatkala kakiku melangkah masuk, aku terpaku seketika. Aku bukan berada dii bilik tapi studio tempat penggambaran yang akan dijalankan. Kupandang sekeliling. Aku tidak nampak wajah pemuda itu ada di sini. Teruja hatiku melihat barisan model perempuan yang anggun – anggun belaka sedang bersiap sedia untuk beraksi di depan kamera. Dari hujung kaki hinggalah hujung rambut tampak begitu sempurna. Walaupun rasa seronok menyaksikan mereka bergaya di depan kemera, namun bila mengingati tujuan sebenarku berada di sini, pantas saja aku memulakan misiku. Aku meneliti barisan pakaian yang ada di situ. Kuselak satu persatu dengan penuh berhati – hati agar tiada sesiapa yang menyedarinya.
“Mana perginya topi besar tadi tu?”. Ada suara perempuan sedang mencari – cari topi yang berada di atas kepalaku tika ini. Baru saja aku berhajat hendak menanggalkan, pantas saja ada tangan  yang terlebih dahulu mengangkatnya dari kepalaku.
“Siapa suruh you pakai, Julie” tegur suara itu tanpa sempat memandang wajahku. Aku membatukan diriku. Langsung tidak mahu bergerak khuatir rahsiaku akan terbongkar.
“Julie...” Tubuhku dipusing. Pandanganku dengannya berlaga.
“ Awak bukan Julie. Who are you?” Aku terdiam panjang. Semua yang berada di sini menatapku.
“Barangkali dia penceroboh. Tengok dia tak pakai tag kebenaran. Panggil pengawal keselamatan sekarang!” laung lelaki  itu.  
Aku cuba lari menyelamatkan diri. Malangnya tanganku sudah dipegang oleh dua orang krew lelaki. Keadaan sedikit riuh bila saja aku berusaha melepaskan diri. Pakaian – pakaian yang tergantung di rak itu tumbang akibat sepakan kakiku yang meronta – ronta cuba melepaskan diri.
“Pegang kuat – kuat! Jangan biar dia terlepas!” Semua sudah berkumpul menghadapku. Aku ditenung betul –betul sebagai seorang pesalah.
“Siapa awak? Apa awak buat kat sini?” soal seorang lagi.
“Agaknya dia wartawan persendirian yang cuba nak jatuhkan kita. Pergi check beg dia tu”. Aku cuba menghalang bila saja perempuan berambut kerinting itu berhajat menyelongkar isi beg sandangku ini. Mereka mencari – cari kalau ada kamera tersembunyi yang aku bawa.
“Cepat cakap mana kamera awak sembunyikan?”. Garang saja suara lelaki itu mengherdikku. Mereka begitu yakin aku adalah seorang wartawan yang cuba mencari bahan – bahan berita untuk disensasikan.
“Kalau awak masih berdiam, saya takkan teragak – agak pukul awak” ancam perempuan berambut pendek berwajah garang itu. Tangannya sudah diangkat ke udara. Aku memejamkan mataku menanti tamparan itu singgah di pipiku. Sesaat, seminit....
“Flora!”. Aku tersentak mendengar suara itu. Suara milik seorang lelaki. Perlahan – lahan aku membuka mataku lalu memandang ke pintu arah datangnya suara itu. Semua yang terpacak di sini juga melontar pandangan ke muka pintu. Kulihat pemuda itu dengan penuh gaya sedang bergerak menghampirku. Bermimpikah aku?
“Kan saya suruh awak ambik baju saya kat situ” tuturnya serius sambil menunding jari pada satu arah. Aku hanya mampu menyoroti arah telunjuknya. Sebenarnya aku masih tertanya – tanya dengan tingkahlaku yang dipamerkannya saat ini. Dia memang berbakat jadi pelakon.  
“You kenal gadis ni?” soal satu suara. Dia mengangguk. Tidak banyak sangat bicara yang keluar dari mulutnya. Tampak dia seorang yang dingin. Bukan setakat denganku saja, malah dingin dengan orang di sekelilingnya.
“Siapa gadis ni?”. Seorang perempuan anggun muncul di depanku. Anak matanya tajam merenungku. Dia tetap mendiamkan dirinya. Langsung tidak mahu menunjukkan sebarang reaksi yang boleh aku tilik.
“Sorry ler Aqel, kami ingat dia penceroboh” tutur perempuan garang yang berambut pendek itu. Memang pun aku penceroboh, bisik hati kecilku. Dia tetap juga diam. Betapa dinginnya pemuda ini.
“Let’s go”. Tanpa kuduga tanganku dicapai lalu membawaku pergi. Aku yang kematian akal dengan tindakannya hanya mengikut langkahnya saja. Kebetulan pula dia datang menyelamatkan aku. Justeru, aku tidak akan melepaskan peluang ini. Maka aku hanya mengikut rentaknya saja walau pun aku kurang senang dengan tindakannya yang menggenggam tanganku tika ini.
“Aqel...” Kedengaran suara perempuan anggun itu memanggil namanya. Namun dia tidak mempedulikan panggilan itu. Aku jadi keliru.        




No comments:

Post a Comment