Monday, 7 November 2011

NamaKu Bukan Flora! 10

BAB 10

Anak mataku melilau mencari ruang kosong untuk memberhentikan kereta. Dua kali berpusing. Akhirnya aku meminggirkan kereta waja mak di tepi gate sekolah ini. Laluan begitu sibuk sekarang. Ahli keluarga pelajar berpusu – pusu datang ke sini dengan tujuan yang sama sepertiku. Kuturunkan tingkap kereta lalu menjengukkan sedikit kepalaku keluar mencari kelibat Aziq. Kira – kira 200 meter jaraknya dariku, kelihatan Aziq sedang melambai – lambaikan tangannya kepadaku. Syukur Aziq sudah dapat mengenal pasti kedudukanku. Tidak perlulah aku keluar dari kereta untuk mencarinya lagi.


Walau bagaimanapun, anak teruna kesayangan mak ini masih belum bergerak mendapatkanku. Kelihatan dia sedang rancak berbual – bual dengan seorang pemuda yang nampak sedikit berusia daripadaku. Barangkali ahli keluarga sahabat Aziq. Namun dari gaya pakaiannya seakan dia seorang guru di sekolah ini. Kuberi peluang kepada Aziq dengan pemuda itu berbual – bual seketika.


Tiba – tiba saja Aziq menunding jari ke arahku. Barangkali dia sedang memaklumkan tentang kedatanganku lalu memohon diri. Pemuda itu melontar pandangan kepadaku lalu mengangkat tangan sebagai sapaan kepadaku sambil tersenyum. Aku mengangguk lantas mengutus senyuman balasan. Tepat juga andaianku. Aziq melangkah meninggalkan pemuda itu usai saja bersalaman.

  “Sorry. Lama tunggu?” soalku.

Sebetulnya aku yang terlewat tadi. Bukan lupa untuk menjemput Aziq tetapi terpaksa melayan kerenah Rania yang memeningkan aku. Cerewet sangat. Pening juga kepalaku dibuatnya. Aziq senyum lalu mencium tanganku.

“Cikgu Firdaus kirim salam pada Along” ujar Aziq ketika aku sudah bersedia berundur keluar dari kawasan sekolah.

Salam yang dihulurkan kujawab di dalam hati. Sekali lagi andaianku tepat. Pemuda tadi itu memang seorang guru.

“Along dengar tak cakap Aziq tadi?” soal Aziq tidak puas hati sebab tidak mendengar suaraku menyambut salam yang disampaikannya tadi.

“Dengar. Along dah jawab dalam hati” jelasku sambil memfokus pada pemanduan di jalan raya.

“Tadi tuler Cikgu Firdaus, guru kelas Aziq. Handsome kan dia” puji Aziq sekaligus dengan bangga mempromosi guru kelasnya itu.

Aku tersenyum sendiri. Sudah terhidu niat hati Aziq.

 “Ada nak pergi mana – mana atau nak balik rumah terus?” soalku melarikan topik perbualan.

Tidak mahu terus – terusan membicarakan tentang cikgu itu. Kedengaran keluhan Aziq. Barangkali hampa sebab aku tidak menunjukkan minat untuk mengetahui lebih lanjut tentang Cikgu Firdaus itu.

“Balik rumah” balasnya malas.

Aku tersenyum sendiri. Kupandang anak teruna mak yang sedang menginjak dewasa ini. Si handsome tujuh belas yang cukup sensitif dan manja.

“Kenapa sampai sekarang Along tak de boyfriend?” soalan yang keluar dari mulut Aziq membuatkan aku terdiam.

Kupandang sekilas wajah anak muda ini. Ternyata Aziq sedang menantikan jawapanku. Tiba – tiba saja telefonku berdering. Laju saja tanganku mengeluarkannya dari beg galasku. Tertera nama mak di dada skrin. Aku menarik nafas lega. Mujur juga mak menjadi penyelamat tika ini.

“Waalaikumusalam mak. Ye Aziq dah ada kat sini. On the way nak balik rumah. Ada masalah kat tempat kerja tadi” jelasku.

“Terlewat sikit ambik Aziq tadi. Ok kejap” tambahku lalu menyerahkan  telefon kepada Aziq di sebelahku.

Aziq terus saja berbual – bual dengan mak. Wajahnya yang serius tadi berubah ceria. Rancak betul dia berbicara dengan mak. Biasalah anak mak. Aku memandu kereta membelok memasuki halaman rumah. Kumatikan enjin kereta. Aziq menatapku.

“Along masih ingatkan abang Haqem?” soalan yang terbit dari mulut Aziq menyentakkanku.

Kupandang wajah Aziq. Lidahku kelu. Akhirnya Aziq keluar meninggalkan aku tanpa mendapat sebarang jawapan untuk persoalannya tadi. Kelibat Aziq sudah hilang di sebalik pintu. Aku mengambil masa beberapa minit. Bersandar pada kerusi sambil memejamkan mata. Cuba menenangkan diri. Keluhan beratku kulepaskan.  Sejak terpandang Haqem beberapa hari lalu terasa hidupku tidak tenteram. Hatiku gelisah dan tidak keruan.

“Lia, buat apa kamu termenung kat situ? Kamu nak keluar lagi ke?” soal mak hairan.

Suara mak benar – benar mengejutkanku. Mak geleng kepala melihat aku mengurut dada. Laju saja aku geleng kepala. Perkara yang bersarang dalam fikiranku saat ini tidak akan sampai kepengetahuan mak. Aku terus saja keluar dari kereta waja mak lalu melangkah ke pintu utama. Suara mak dan Aziq silih berganti. Pastinya kepulangan Aziq begitu menceriakan mak.

“Lia nak mandi dulu. Nanti kita solat jemaah sama – sama” ujarku kepada mak dan Aziq.


 Aziq mengangguk patuh. Kutinggalkan mak dan Aziq yang masih mahu berbicara panjang. Banyak perkara juga yang Aziq cuba ceritakan kepada mak. Mak pula dari tadi tidak pernah lekang mengukir senyuman. Hatinya cukup terhibur mendengar suara anak terunanya itu. Beberapa minit kemudian kedengaran suara mak mengarahkan Aziq bersiap sedia untuk solat Maghrib.  


@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@


Aku mengikat tali kasut kemas – kemas. Semalam sudah janji dengan Nana untuk jogging bersama di Taman Awam Kenangan yang tidak berapa jauh dari rumah ini. Kedengaran bunyi hon kereta. Aku mengangkat mukaku. Nana sudah sampai di luar pagar rumah. Aku melaung kepada mak memaklumkan pemergianku. Nana menyambut kedatanganku dengan senyuman.


“Sihat?” sapa Nana.

Aku mengangguk. Sudah lama juga aku tidak bertemu dengan Nana. Selama ini kami hanya saling berhubung melalui sms dan telefon. Kesibukan membataskan segalanya. Setiap kali kunjunganku ke Clean N Friendly Laundry, tiada kesempatan untukku bertemu dengan dirinya. Susah sekarang aku hendak menemui Nana yang kian sibuk gara – gara mengambilalih sebahagian tugas yang aku tinggalkan di Clean N Friendly Laundry.


Nana meletakkan kereta di pinggir jalan agak selamat dan paling penting tidak menyalahi undang – undang. Kawasan parking yang disediakan sudah dipenuhi kereta para pengunjung yang datang lebih awal daripada kami. Hujung minggu begini memang menjadi kebiasaan Taman Awam Kenangan jadi tumpuan orang ramai. Sudah ada kesedaran amalan hidup sihat dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Oh....., hari nie ada Hari Keluarga dibuat kat sini. Patutlah ramainya agak luar biasa” tuturku sambil memandang kawasan lapang yang dipenuhi para pengunjung yang berkumpul mengikut keluarga masing – masing.

Kedengaran suara pihak penganjur memberikan arahan. Sekejap saja lagi pertandingan mewarna untuk anak – anak yang berusia 5 – 6 tahun akan berlangsung. Pengumuman yang disampaikan oleh suara lelaki yang aku dengar sebentar tadi.

“Tak best sangat ler nak jogging, terlalu ramai orang” keluh Nana.

Aku hanya senyum. Apapun aku dan Nana meneruskan gerak larian kami menggelingi tasik yang sudah di kelilingi oleh para bapa yang sedang melabuhkan pancing. Ada pertandingan memancing sedang berlangsung. Kelihatan mereka begitu leka dan memberikan tumpuan sepenuhnya pada pancing masing – masing tanpa menghiraukan keadaan sekeliling.
Masuk pusingan ketiga peluh sudah memercik di dahiku. Wajahku juga sudah ditumbuhi rintik - rintik peluh. Begitu juga Nana. Laju saja tanganku menyapunya dengan tuala kecil yang kusangkut di leher.

“Kita jalan saja” pinta Nana yang sudah kelihatan letih dan tidak larat untuk meneruskan larian.

Aku dan Nana beriringan melangkah sambil menghirup udara pagi yang segar.

“Dah jumpa prince charming kat situ?” soal Nana berbaur usikan. Aku mencebik. Semua orang di situ tidak sesuai untukku.

“Kau jual mahal lagi ke?” soal Nana lagi.

“Rasanya aku takkan jumpa jodohku di situ” ujarku yakin.

“Kenapa pula?”

“Semua lelaki yang ada kat sana handsome – handsome belaka. Rasanya tak de sorang pun yang tak dimiliki hatinya. Gaya hidup mereka pun tak memenuhi kehendak hatiku. Nampak mereka sosial semacam saja. Tak mahulah  aku” putusku. Nana tergelak.

“Mana boleh cakap macam tu. Entah – entah lelaki yang kau jumpa setiap hari tu adalah jodoh kau” ujar Nana membuatkan aku berfikir.

Lelaki yang aku jumpa setiap hari jodohku? Ha...ha...ha.... Hatiku tergelak sendiri. Nauzubillah......! Tahu siapa yang aku jumpa setiap hari? Mestilah pak guard - pak guard  yang bertugas di depan pintu utama KDUT. Mereka semuanya sudah berkeluarga. Lagipun tidak pernah aku terfikir hendak jadi isteri kedua mahu pun kahwin dengan lelaki yang berusia. Tidak sanggup aku! Selisih 44 malaikat.

“Kalau Haqem mahu kembali dalam hidup kau, adakah kau akan terima dia?” soalan Nana begitu mengejutkan aku.

Aku dan Nana saling berpandangan seketika. Tiba – tiba saja tangan Nana menepuk bahuku.

“Telefon kau berbunyi tu”

Aku tersentak. Bergegas aku mengeluarkan telefon dari poketku. Terpampang nama Encik Mukhtahir pada dada skrin. Aku kehairanan dengan panggilan Encik Mukhtahir di awal pagi ini. Apatah lagi di hujung minggu sebegini. Sekali pun Encik Mukhtahir tidak pernah melakukannya.

“Assalamualaikum, ye Encik Mukhtahir apa hal?” soalku penuh tatasusila.

“Saya perlukan pertolongan awak, Lia” ujar Encik Mukhtahir buat aku sedikit cemas. Kedengaran agak terdesak saja suara Encik Mukhtahir ketika ini.

“Pertolongan apa Encik Mukhtahir ?” soalku dengan perasaan cemas dan melonjak – lonjak ingin tahu perkara yang berlaku.

Nana asyik memerhatikan aku memasang telinga turut sama ingin tahu.

“Ya, malam nie. Saya ada terima jemputan tu tapi mungkin saya tak pergi” jelasku merujuk Majlis Makan Malam anjuran KDUT.

Sebenarnya memang aku sudah ambil keputusan muktamad tidak akan menghadiri dinner itu atas sebab – sebab yang pernah aku perkatakan kepada Marnie dan Reka. Tambahan pula aku tidak mahu terserempak dengan Haqem lagi. Pertemuaan yang tidak disedari oleh Haqem tempoh hari sudah cukup membuatkan hidupku gundah – gelana. Sebetulnya aku belum cukup kuat untuk bertentang mata dengan Haqem.

“Minta maaflah Lia, kali ini saya benar – benar perlukan pertolongan awak untuk menghadiri dinner tu sebagai wakil CNFL. Sebenarnya saya dan isteri saya memang nak pergi tapi last minute kena tukar plan pula sedangkan isteri saya dah hantar jawapan kepada pihak penganjur akan pergi majlis dinner tu. Tadi saya dah call pihak KDUT maklumkan kepada mereka yang saya hantar awak sebagai wakil saya” jelas Encik Mukhtahir buat aku terlopong lama.

Kenyataan Encik Mukhtahir ini benar – benar telah memeranjatkan aku. Tanpa persetujuanku Encik Mukhtahir terlebih awal membuat keputusan. Nampaknya aku tidak boleh melarikan diri malam ini.

“Encik Mukhtahir dan Puan Rosie kat mana sekarang?” soalku ingin tahu.

“Kami kat airport nie. Kejap lagi nak bertolak ke Dubai. Awak bukan tak tahu perangai isteri saya tu” ujar Encik Mukhtahir kedengaran serba salah.

Puan Rosie yang suka melancong keluar negara. Perangai Puan Rosie yang tidak mampu dibendung oleh Encik Mukhtahir . Encik Mukhtahir yang sangat patuh pada kata isteri. Dialah suami yang hanya tahu mengikut telunjuk isteri. Memang aku cukup mengenali perangai suami isteri ini.

“Awak boleh pergi malam nie, Lia?” suara Encik Mukhtahir meminta kepastian menyedarkan aku bahawa aku belum menyatakan kesanggupanku terhadap permintaannya itu.

Aku menarik nafas dalam – dalam. Aku sudah tiada pilihan sekarang. Mahu tdak mahu aku terpaksa juga pergi. Semuanya berpunca daripada perangai Puan Rosie. Bilakah agaknya Puan Rosie akan berubah sikap menjadi manusia yang lebih bertimbang rasa dan prihatin kepada orang lain? Begitu juga dengan Encik Mukhtahir bilakah agaknya dia akan lebih berkuasa daripada isterinya? Betapa aku kasihan melihat dirinya yang hanya tunduk patuh pada bicara Puan Rosie.

“Baiklah saya akan pergi Encik Mukhtahir ” terasa berat saja hatiku ini tatkala aku menuturkan bicara ini. Tiada keikhlasan cuma rasa keterpaksaan.

“Terima kasih Lia. Terima kasih” ujar Encik Mukhtahir berlapang dada.

“Saya minta maaf juga buat macam nie kat awak” tambah Encik Mukhtahir sebelum menamatkan panggilan ini.

“Encik Mukhtahir , lain kali encik mesti bertegas dengan isteri encik itu. Encik seorang suami dan ketua keluarga sepatutnya enciklah yang harus mengawal tingkahlaku dia bukan dia yang kawal encik” luahku yang hanya terpendam di lubuk hati kecilku.

Suara Encik Mukhtahir sudah lenyap. Mujur juga aku masih ada pertimbangan kalau tidak pasti aku akan melontarkan bicara ini untuk diperdengarkan kepada Encik Mukhtahir . Sekurang – kurangnya aku masih beringat tidak akan melukakan perasaan orang lain. Keluhanku tercetus. Nana masih setia menatapku.

“Apa halnya bos call kau?” soalnya tidak sabar – sabar.

“Dia minta aku ganti tempat dia untuk dinner malam nie cause sekarang dia dan Puan Rosie nak pergi Dubai” tuturku lemah.

“Dubai...” sedikit teruja Nana mendengarkannya.

Sebetulnya perkara ini bukan terlalu asing buat pekerja Clean N Friendly Laundry. Bila Puan Rosie dan Encik Mukhtahir tidak berada di Malaysia, terbayang aku wajah Arryan anak buah Puan Rosie itu. Selalunya dialah yang akan mengambilalih pengurusan CNFL buat sementara waktu. Sikap Arryan pun tidak banyak bezanya dengan Puan Rosie. Maklumlah datang dari keluarga yang sama. Sedikit bezanya Arryan tidaklah sebanyak Puan Rosie berbicara.

“Kau mesti ikut aku pergi dinner malam nie” pintaku sambil menatap wajah Nana mengharap. Nana geleng kepala.

“Sorry aku tak dapat temankan kau malam nie, family Pak Ngahku dari kampung datang rumah petang nie. Mereka tidur kat rumah kami. Aku dah janji dengan mak akan tolong layan mereka” tutur Nana perlahan.

 Aku mengeluh lagi. Bicara Nana menghampakan aku. Nampaknya terpaksalah aku bersendirian di majlis itu nanti memandangkan Marnie dan Reka juga sibuk dengan tugas sendiri.

“Tapi aku masih perlukan pertolongan kau juga” ujarku menagih khidmat Nana. Aku perlukan pertolongan Nana untuk membuat persiapan penampilan diri bertemakan Era Klasik untuk majlis malam ini.

“Pertolongan apa?” soal Nana.

“Tolong saya siapkan diri untuk tema pakaian dinner Era Klasik” jelasku.

Nana tersenyum lantas mengangguk. Aku menarik nafas lega. Sekurang – kurangnya tidaklah aku buntu untuk membuat persiapan seorang diri.

“Kalau macam tu kita keluar kejap lagi. Cari pakaian dan aksesori yang diperlukan. Lepas tu boleh ler kita claim perbelanjaan kat Encik Mukhriz nanti” tutur Nana berjenaka buat aku tergelak.

Serta merta aku terbayang wajah Puan Rosie. Jangan haraplah Puan Rosie mahu keluarkan duit sedekah untukku.

“Jom kita balik...”

Aku mengangguk lantas beriringan dengan Nana melangkah ke kereta. Hari ini aku dan Nana ada misi yang perlu dilaksanakan. Namun aku tidak mampu memadamkan rasa risauku bila saja mengingati majlis malam ini. Tidak tahu apa yang bakal terjadi kepadaku nanti. Aku hanya mampu bertawakal kepada Allah semoga semuanya berjalan lancar dan aku sentiasa dilindungi oleh yang Maha Kuasa.

Tepat masa yang dijanjikan aku dan Nana keluar mencari apa yang patut berkaitan pakaian yang harus dipakai malam ini berdasarkan tema majlis. Banyak juga masa yang kami luangkan dalam misi pencarian ini. Awal – awal sudah aku maklumkan kepada Nana bahawa aku tidak mahu penampilan yang berlebihan. Sebaliknya bersederhana. Biarlah kehadiranku nanti tidak disedari oleh orang lain.

Garis panduan yang aku tetapkan ini sedikit menyukarkan pencarian kami kerana kebanyakan aksesori yang dijual semuanya bergemerlapan. Akhirnya aku buat keputusan untuk mengikut saja cadangan Marnie dan Reka. Nana dengan senang hati mempersetujuinya. Hasil misi ini, aku dan Nana sepakat untuk membeli sepatu merah bertapak tebal yang sedikit terdedah, tas tangan merah berlabuci, kelengkapan sanggul rambut yang warna senada dan kaca mata hitam bujur ini.

      

No comments:

Post a Comment