Tuesday 22 January 2013

NamaKu Bukan Flora..... 40





BAB 40

“Lia sudah siap berkemas?” soal Mak Long. Aku mengangguk. Senyuman panjang terukir di bibirku. Memang sudah tidak sabar – sabar mahu bertemu dengan mak dan Aziq yang dijangka akan tiba di tanahair petang esok.
“Dari semalam sudah Lia siap berkemas, Mak Long” jelasku tersenyum.

“Tidak menyabar – nyabar mahu balik” cemuh Aqel sambil mengerling ke arahku. Aku mencebik bibir dan menjeling Aqel. Memang pun aku tidak sabar mahu berpindah semula ke rumah mak dan tidur di bilik sendiri. Tambahan pula, tidak tahan terus menghadapi kerenah Aqel yang selalu membangkitkan marahku. Apatah lagi adakalanya Aqel suka bertindak sendiri. Natijahnya, aku yang menghadapi kesukaran.

“Mak Long yakin sedikit masa lagi pasti Lia akan kembali ke rumah kita. Kali ini lebih lama Lia bersama kita” tutur Mak Long tersenyum panjang. Aku dan Aqel terus menatap Mak Long memohon penjelasan terperinci terhadap bicaranya itu. Kemudian aku dan Aqel saling berpandangan. Kulontar persoalan melalui reaksi mataku.  Laju sahaja Aqel menjungkit bahunya tanda tidak mengerti.

“Mak Usu ada hendak pergi mana – mana lagikah selepas ini mama?” soal Aqel mendahuluiku. Mak Long menggeleng dan tersenyum lagi. Anak mata Puan Helda sempat mengerling cincin berlian yang tersarung di jari manis gadis ini.

“Kamu berdua buat mama rasa sangat bahagia” tutur Mak Long seraya terus sahaja memelukku dan Aqel. Aku dan Aqel terpinga – pinga dengan tindakan Mak Long ini.

“Mama tidak kisah walaupun perkara ini kamu berdua rahsiakan” tutur Mak Long lagi buat aku dan Aqel semakin tidak mengerti.

Hari ini aku bangun lebih awal. Hari ini juga aku tidak bekerja, ambil cuti sempena menyambut kepulangan mak dan Aziq. Mak Long mengajakku ke rumah mak lebih awal untuk berkemas dan membuat persediaan yang patut. Aku pastinya bersetuju dan senang hati dengan cadangan Mak Long ini. Ibarat pucuk dicita ulam mendatang.

“Barang – barang Lia mana?” soal Mak Long.

“Lia sudah letak dalam kereta” sahutku.

“Tidak payah risau. Kalau ada yang tertinggal pun bukan jauh sangat hendak datang ambil” tutur Mak Long tanda sentiasa mengalu – alukan kunjunganku ke sini. Aku senyum. Ataupun aku boleh suruh Aqel bawa ke tempat kerja. Seronok juga sekali sekala dapat mendera Aqel. Bukan selalu ada kesempatan begini.

“Sudah mahu pergi sekarang” Serentak aku dan Mak Long berpaling. Aqel sedang melangkah menuruni anak tangga. Sudah siap mandi, namun hanya memakai jeans hitam dan baju – t putih. Penampilannya saat ini tidak menunjukkan Aqel hendak ke pejabat.

“Kamu tidak bekerjakah hari ini?” soal Mak Long memecah kehairanan kami. Aqel mengangguk buat Mak Long tersenyum lebar.

“Bagus juga kalau begitu” luah Mak Long gembira dengan tindakan Aqel. Sejujurnya aku pun berbesar hati dengan kesanggupan Aqel mengambil cuti hari ini. Sekurang – kurangnya Aqel masih mementingkan ikatan kekeluargaan.

“Marilah kita bertolak sekarang. Banyak kerja hendak dibuat di rumah Mak Usu kamu nanti” ajak Mak Long. Aku dan Aqel patuh sahaja, lantas bergerak ke halaman rumah. Aku memandu kereta Waja mak ditemani oleh Mak Long, manakala Aqel memandu keretanya sendiri. Senang untuk mereka balik nanti. Setibanya di rumah mak, kerja pertama yang aku lakukan adalah menyapu dan membuang habuk. Aqel membantuku mengemas rumah. Mak Long pula sibuk menguruskan tempahan kuih – muih dan hidangan makan malam untuk para tetamu yang datang nanti. Tetamu yang dijemput adalah jiran – jiran terdekat di sini sahaja. Pada mulanya, Mak Long berhajat mahu menyediakan sendiri. Namun Aqel mencadangkan agar menempah sahaja memandangkan masa sudah singkat. Aku juga sependapat dengan Aqel. Selebihnya tidak mahu menyusahkan Mak Long. Hari ini aku, Mak Long dan Aqel bekerjasama sepenuhnya membuat persiapan menanti kepulangan mak dan Aziq. Terima kasih Mak Long. Terima kasih Aqel.

Kira – kira sejam lagi ketibaan mak dan Aziq bersama jemaah haji yang lain, aku dan Aqel bertolak dari rumah ke lapangan terbang. Mahu sampai lebih awal di situ. Mak Long menunggu di rumah bersama jiran tetangga yang sudah datang. Sedikit menyukarkan untuk Aqel mencari laman letak kereta yang kosong memandangkan ramai ahli keluarga jemaah haji yang lain turut berada di sini. Aku melirik jam di tanganku. Masih ada 30 minit lagi kapal terbang yang membawa jemaah haji Malaysia dari Mekah mendarat.

“Awak turunlah di sini dulu, biar saya cari parkir” tutur Aqel seraya memberhentikan keretanya. Aku bergegas turun.

“Kita jumpa di dalam nanti” pesanku. Aqel mengangguk lalu Peugeot RCZ Sports Coupe meneruskan pencariannya. Mudah – mudahan cepat sahaja Aqel menemui ruang parkir yang kosong. Aku meneruskan langkah masuk ke dalam bangunan kaca itu dan melangkah ke bahagian ketibaan penumpang sambil menanti kemunculan Aqel di situ. Seketika aku melontar pandangan ke sekeliling mencari kelibat Aqel. Bayangan diri Aqel belum kelihatan lagi. Mungkin Aqel masih berusaha mencari parkir. Kesal juga dengan kesulitan yang Aqel alami ketika ini.

“Assalamualaikum Lia” ada suara lelaki menegurku. Laju aku berpaling. Cikgu Firdaus sudah berdiri di sebelahku. Seketika aku dan Cikgu Firdaus saling bertukar senyuman.

“Cikgu tunggu ahli keluarga cikgu balik dari Mekah jugakah?” soalku.

“Saya tunggu adik awak balik” jelas Cikgu Firdaus buat aku teruja.

“Oh.... terima kasih cikgu” tuturku berbesar hati dan begitu senang mendengarnya. Hubungan Aziq dan Cikgu Firdaus memang rapat. Ringkasnya, Aziq ialah pelajar kesayangan Cikgu Firdaus. Mesti Aziq sudah awal – awal memaklumkan tentang kepulangannya kepada Cikgu Firdaus.

“Datang seorangkah?” soal Cikgu Firdaus. Aku menggeleng.

“Datang dengan sepupu tadi. Dia sedang cari parkir” jelasku.

“Susah hendak dapat parkir memandangkan ramai orang masa ini” komen Cikgu Firdaus. Aku mengangguk, bersetuju sangat dengan bicara Cikgu Firdaus. Aku berpaling dan terus mencari kelibat Aqel lagi. Risau Aqel tidak sempat datang sini tika mak dan Aziq sudah sampai. Kebimbanganku itu terus sahaja padam tatkala terpandang Aqel sedang melangkah pantas melewati pintu kaca itu. Aku melambaikan tangan ke arah Aqel.

“Sepupu saya sudah sampai” ujarku memaklumkan kepada Cikgu Firdaus. Cikgu Firdaus berpaling lalu melontar pandangan menjejaki kelibat Aqel.

“Oh.... sepupu awak yang segak dan kaya ini” tutur Cikgu Firdaus memuji Aqel. Aku tersenyum. Persis orang cemburu pula lagaknya lelaki ini. Aqel terus sahaja melangkah pantas ke arahku. Kemudian saling berpandangan dengan Cikgu Firdaus yang masih setia menemaniku di sini.

“Aqel, ini Cikgu Firdaus...” ujarku memperkenalkan Cikgu Firdaus kepada Aqel. Laju saja Cikgu Firdaus menghulurkan tangan kepada Aqel.

“Aqel....” tutur Aqel memperkenalkan dirinya. Tidak banyak yang Aqel dan Cikgu Firdaus bualkan. Memang tidak menghairankan aku yang sememangnya sudah mengenali sikap Aqel yang pendiam dengan orang yang baru dikenalinya. Malah diri Aqel juga seperti cuaca yang sering berubah – ubah dan sukar untuk diramal. Ketika kapal terbang mendarat, kedengaran suara kakitangan syarikat penerbangan mengumumkan ketibaan penerbangan jemaah haji dari Mekah, aku tersenyum lebar, lantas memanjatkan kesyukuran kerana mak dan Aziq serta rombongan jemaah haji ini telah selamat sampai ke tanahair. Alhamdulillah..... Melihat kelibat mak dan Aziq melewati pintu itu, aku terus sahaja meluru mendapatkan mak dan Aziq. Sekelip mata aku sudah berpelukan dengan mak dan Aziq. Terasa begitu sayu membuatkan air mataku menitis. Pertemuan yang begitu sebak dan membahagiakan aku.

“Apa khabar, Mak Usu?” Aqel terus sahaja mencium tangan mak. Mak tersenyum. Sudah cukup menjawab persoalan Aqel bahawa mak dan Aziq dalam keadaan yang baik – baik belaka. Kemudian Aqel bersalam dengan Aziq. Begitu juga dengan Cikgu Firdaus bertegur sapa dengan mak. Kelihatan Aziq berbual rancak dengan Cikgu Firdaus. Banyak perkara yang ingin Aziq kongsi bersama lelaki ini. Sesekali Aqel melirik ke arah Aziq dan Cikgu Firdaus yang begitu rancak berbual. Mungkin terdetik rasa cemburu Aqel terhadap keakraban Aziq dengan Cikgu Firdaus memandangkan dia sendiri tidak rapat dengan Aziq. Ketika hendak balik, Aziq menyatakan keinginan untuk menumpang kereta Cikgu Firdaus.Cikgu Firdaus dengan senang hati mempelawa Aziq bersamanya. Kebetulan juga aku dan mak telah menjemput Cikgu Firdaus ke rumah. Maka mak sahaja yang bersamaku dan Aqel di dalam kereta Peugeot RCZ Sports Coupe yang mengekori kereta Waja Cikgu Firdaus.  

“Aziq memang rapat dengan Cikgu Firdaus itukah?” soal Aqel mengajak berbual.

“Memang rapat. Kalau kamu hendak tahu, Lia inilah yang ingin Aziq jodohkan dengan Cikgu Firdaus itu” tutur mak menyahut bicara Aqel sekali gus membuka rahsia Aziq.

“Mak....” tegurku tidak senang mendengar bicara mak ini. Sejak sekian lama sudah aku menyedari hajat hati Aziq yang ingin menemukan aku dengan guru kesayangannya itu. Malah Aziq sudah berani secara terang – terangan ingin memperkenalkan aku kepada Cikgu Firdaus. Akhirnya hajat hati Aziq tercapai apabila aku dan Cikgu Firdaus sudah saling mengenali rentetan pertemuan kami di Majlis Penyampaian Hadiah dan Sijil yang lalu.

“Dia sudah bertunang, mana boleh dipertemukan dengan Cikgu Firdaus lagi” ujar Aqel mengerling ke arahku. Bicara Aqel menyentakkan aku.

“Siapa yang sudah bertunang? Cikgu Firdauskah?” soal mak tidak mengerti dengan maksud bicara Aqel yang merujuk aku sekejap tadi. Aku menarik nafas lega.

“Mungkin juga mak” sahutku bertindak balas pada bicara mak tadi. Kujeling ke arah Aqel. Satu amaran keras kuhantar melalui isyarat mataku memintanya agar berhati – hati ketika mengeluarkan kata - kata. Aqel tersenyum. Puas hati dapat mengenakan aku. Tatkala kereta Peugeot RCZ Sports Coupe ini memasuki perkarangan sekolah, kelihatan Mak Long sedang berdiri di ambang pintu menanti kepulangan kami. Mak Long terus sahaja meluru ke arah mak yang baru sahaja keluar dari kereta. Seketika Mak Long dan mak saling berpelukan. Aziq juga tidak terlepas daripada pelukan Mak Long. Nampak juga Mak Long kehairanan menatap Cikgu Firdaus. Setelah Aziq memperkenalkan Cikgu Firdaus kepada Mak Long, mereka berbual – bual seketika. Kemudian Mak Long menjemput Cikgu Firdaus masuk ke rumah.

Aqel sibuk membantuku melayan jiran tetangga yang berkunjung menyambut kepulangan mak dan Aziq. Betapa aku begitu menghargai dan rasa terhutang budi dengan tenaga yang Aqel hulurkan. Aku menghabiskan basuhan pinggan terakhir, lalu Aqel menolongku mengangkat bakul yang penuh dengan pinggan mangkuk itu untuk diletakkan di tepi sudut. Esok lusa barulah aku boleh menyimpannya di dalam kabinet setelah kesemuanya kering. Sesungguhnya, Aqel membantuku sehingga tetamu pulang. Ringkasnya Aqel membantuku setelah usai segala kerja yang aku lakukan. Lewat juga Mak Long dan Aqel meninggalkan rumah ini. Aku merebahkan tubuhku ke tilam. Sekarang baru terasa letihnya. Daun pintu bilikku diketuk lalu ditolak, mak terpacak di muka pintu.

“Masuklah mak” pelawaku. Mak terus sahaja bergerak mendekatiku, lantas melabuhkan duduknya di birai katil.

“Bagaimana tinggal bersama Aqel dan Mak Long kamu?” soal Mak. Aku tersenyum.

“Seronok juga. Mak Long layan Lia dengan baik sangat” ujarku bersungguh – sungguh. Mak tersenyum. Puas hati mendengar kenyataanku ini.

“Aqel, bagaimana pula?” soal mak.

“Aqel?” soalku semula. Mak mengangguk.

“Oh..... dia layan Lia dengan teruk sangat. Dia suka buli Lia dan buat Lia menangis” tuturku buat – buat muka sugul.

“Tidak percayalah mak Aqel layan kamu seperti itu” tingkah mak. Aku tersenyum. Bukan mudah hendak memburuk – burukkan anak buah kesayangan mak ini.

“Aqel pun layan Lia dengan baik juga. Namun ada juga masanya buli Lia” tuturku bercakap jujur kali ini. Mak tersenyum lagi.

“Aqel hanya mahu bergurau dengan kamu sebenarnya itu. Tidak pun hendak bermanja – manja dengan kamu” tutur mak tersenyum ceria. Aku mencebik. Gurauan tahap melampau.

“Mak Long kamu kata kamu berdua begitu mesra. Ini satu petanda yang baik” tutur mak tersenyum. Wajah mak berseri – seri.

“Petanda baik apa pula mak?” soalku tidak mengerti.

“Petanda yang kamu berdua boleh hidup sebumbung” tutur mak buat aku tersedak tertelan air liur sendiri. Perkataan sebumbung itu terlalu besar ertinya. Kemudian aku terus sahaja teringat pada hajat Mak Long ingin menjodohkan aku dengan Aqel. Namun Mak Long sudah berputus asa kerana Aqel sudah ada kekasih hati. Namun Aqel menafikan kenyataan itu. Aku serta merta diserbu perasaan risau.

“Lia tidak boleh tinggal sebumbung dengan Aqel. Sungguh.....” tegasku separuh merayu kepada mak. Mak menatapku lama dengan mulut yang terkunci. 

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%


AKU menyanyi – nyanyi kecil. Rasa sungguh segar. Titisan – titisan air masih membasahi rambutku. Aku melangkah turun sambil cuba membetulkan tuala yang membaluti tubuhku. Aku memang biasa berkeadaan seperti ini. Maklumlah hanya aku dan mak saja yang tinggal di rumah itu. Aziq tinggal di asrama. Tiada siapa yang harus aku segankan. Mak  sering kali juga menegurku. Dia khuatir jika tiba – tiba saja ada tetamu yang datang. Tentu tidak sopan aku dalam keadaan begini. Ahh! Mana ada orang yang bertandang dalam waktu begini. Niat di hati untuk ke dapur. Dalam fikiranku segelas air ais pasti akan kuteguk. Aku meneruskan langkahku sambil menyanyi – nyanyi riang.

“Flora…..” Tiba – tiba saja ada suara garau menyapaku. Mustahil suara mak sudah berubah. Aziq sudah balik ke asrama semalam. Laju saja aku mengangkat muka.

“Aqel ….. Arrggghhhh!” Aku terjerit kecil. Kulihat Aqel tersenyum  panjang duduk di ruang tamu sambil menatapku dengan pandangan bersahaja. Pantas saja kedua – dua belah tanganku menutup bahagia atas dadaku yang langsung tidak beralas.

“Hey, awak tidak boleh tengok saya macam itu tahu! Haram!” jeritku panik.

Aku terus berlari naik ke tingkat atas sambil memegang tuala yang melingkari tubuhku. Takut – takut terlepas. Lain pula jadinya nanti. Tidak pasal – pasal dua kali malang menimpaku nanti. Aqel pula tentunya suka kerana dapat tengok percuma. Aku tersandar di pintu bersama imaginasiku. Mukaku panas membahang. Rasa marah yang amat. Aqel..., geramnya aku!

“Kenapa dengan Lia itu, Aqel?” soal Puan Suraya yang baru saja muncul dari biliknya. Aqel tersenyum.

 “Tidak tahulah, Mak Usu. Mungkin suka sangat tengok Aqel datang sini. Maklumlah sudah lama tidak jumpa” balas Aqel bergurau.

“Dia menjerit macam tengok hantu saja” komen Puan Suraya lagi. Aqel tertawa kecil. Dia tahu pasti gadis itu sedang marahkan dia sekarang. Tidak pula Aqel mahu menceritakan perkara sebenarnya. Segan juga bercerita perkara sensitif itu kepada Puan Suraya.

“Apa hal Lia lama sangat dalam biliknya itu, Aqel” rungut Puan Suraya. Aqel hanya tersenyum. Cukup mengerti kalau gadis itu mahu mengambil masa yang lama berkurung dalam bilik itu sebelum keluar menemuinya. Tidak mustahil juga jikalau gadis itu tidak mahu menemuinya.

“Lia, Aqel sudah lama menunggu kamu ini” laung Puan Suraya memanggil anak gadisnya itu. Aku mendengar laungan suara mak dari tingkat bawah. Kutarik nafasku dalam – dalam. Kucapai beg pakaianku di atas tilam lalu melangkah ke muka pintu. Terpacak seketika di situ.

“Ya mak sekejap lagi Lia datang” sahutku separuh melaung juga. Aku menarik nafas lagi. Berat sahaja langkahku hendak keluar dari bilik ini. Ikutkan hati tidak mahu aku bersemuka dengan Aqel tika ini. Perasaan malu itu masih menebal dalam diriku. Akhirnya terpaksa juga aku melangkah ke ruang tamu menemui Aqel. Kedatanganku disambut dengan senyuman lebar Aqel. Geramnya tengok Aqel tika ini.

“Kenapa awak datang awal sangat” rungutku.

“Perjalanan di awalkan sejam daripada perancangan awal” jelas Aqel masih dalam senyuman buat aku sakit hati. Senyuman Aqel penuh makna tersirat. Dasar lelaki buaya, pantang tengok perempuan seksi. Aku seksi pun secara tidak sengaja. Namun sudah rezeki Aqel melihat aku dalam keadaan sedemikian.

“Apa hal awak tidak telefon saya tadi?” marahku.

“Sudah telefon banyak kali tetapi tidak diangkat. Sebab itu saya terus datang sini” sahut Aqel lengkap dengan penjelasannya.

“Kenapa tidak telefon semalam” tuturku lagi cuba mencari kesalahannya.

“Baru pagi ini Haqem maklumkan kepada saya tentang perkara ini” sahut Aqel masih tidak mahu dirinya disalahkan.

“Kamu berdua sama saja suka sangat buat kerja saat akhir” radangku. Terkebil – kebil Aqel menatapku tatkala aku menuduh dirinya sedemikian.

“Lain kali kalau awal pagi datang ke rumah yang ada anak dara, awak mesti tunggu di luar, tahu. Jangan sesekali masuk ke dalam rumah terutama rumah ini” tegasku memberi peringatan kepada Aqel. Aqel tersenyum.

“Mak Usu yang suruh saya masuk tadi” sahut Aqel meningkah bicaraku. Sukar sangat aku hendak mencari kesalahan Aqel.

“Lain kali kalau mak suruh awak masuk jangan mahu” tegasku serius. Berkerut dahi Aqel menatapku. Permintaanku memang keterlaluan. Namun ini sahajalah caranya aku melindungi diri daripada terus merasa malu.

“Lia ini memang tidak betul. Adakah dia suruh kamu buat seperti itu” rungut mak mencelah sambil mengetap bibir ke arahku. Geram mak melihat layanan dinginku kepada Aqel.

“Mak...” tegurku. Tidak suka mak masuk campur, apatah lagi mahu menyebelahi Aqel. Mak memang sentiasa mahu memenangkan Aqel. Berbeza dengan Mak Long yang sentiasa berpihak kepadaku. Aqel tersenyum suka mendengar kutukan mak kepadaku.

“Kata perjalanan diawalkan sejam. Yang awak masih duduk di situ apa hal! Cepatlah pergi” rungutku. Terpinga – pinga Aqel dimarahi sedemikan.

“ Aqel tunggu kamu dari tadi. Kamu itulah yang melengahkan masa sebenarnya tetapi masih tidak sedar – sedar” tingkah mak memerliku sekali gus masih mahu memenangkan Aqel dalam hal ini. Aku melepaskan keluhanku. Memang rasa tidak puas hati apabila mak terus – terusan memihak kepada Aqel.

“Yalah.... yalah.... semuanya salah Lia” sahutku buat – buat merajuk. Mak geleng kepala. Arif benar mak dengan perangaiku yang cepat sangat baran kepada Aqel.

“Mak Usu, kami pergi dulu, ya” tutur Aqel memohon diri lalu menyalami tangan mak.

“Hati – hati tahu. Sepanjang berada di sana, Mak Usu amanahkan Lia kepada kamu. Tolong  jaga Lia, ya” pinta mak. Aqel mengangguk dan tersenyum lagi. Cukup sensitif aku melihat senyuman Aqel itu. Risau Aqel masih membayangkan keseksianku tadi.

“Apalah mak ini, Lia boleh jaga diri sendirilah” tingkahku kurang senang dengan tindakan mak. Aku bukan pelajar sekolah rendah lagi yang tidak tahu menjaga diri sendiri.

“Mak Usu tidak payah risau. Saya akan pastikan keselamatan Lia terjamin” tutur Aqel berjanji tanpa menghiraukan bicaraku sebentar tadi.

“Terima kasih, Aqel” tutur mak tersenyum senang hati.

“Mak, Lia pergi dulu. Hati – hati tinggal sendirian di rumah ini. Nanti ajaklah Mak Long tidur di sini sepanjang ketiadaan Lia ini ataupun mak sahaja yang temankan Mak Long di sana” tuturku mencadangkan perkara ini kepada mak.

“Betul itu, Mak Usu” suara Aqel mencelah menyokongku.

“Kamu berdua tidak payah susah hati, tahulah kami hendak jaga diri nanti. Tinggal di rumah bukannya apa – apapun. Keselamatan kamu berdua itulah yang sepatutnya difikirkan” balas mak masih kerisauan terhadap keselamatanku dan Aqel.

“Mak tidak payah risaukan keselamatan Lia, bukankah mak telah amanahkan Lia kepada Aqel. Kalau mak hendak tahu Aqel inilah Superman yang boleh lindungi semua orang” sindirku sambil mengerling ke arah Aqel yang tersengih – sengih.

“Mak tahu Aqel boleh jaga kamu dengan baik” sahut mak begitu yakin kepada Aqel. Kali ini Aqel tersenyum bangga mendengar bicara mak. Aku mencebik.

“Malah mak begitu yakin Aqel akan mampu menjaga kamu sepanjang hidup kamu” tambah bicara mak kian melalut.

“Mak....” tegurku kurang sedang. Aqel hanya tersenyum.

“Pergilah sekarang, nanti terlewat pula kamu” arah mak mahu menamatkan sahaja perbualan ini. Kusalami tangan mak, lantas memeluk erat tubuh mak.

“Sampai sana nanti Lia telefon mak” janjiku. Mak hanya mengangguk sambil melangkah ke muka pintu mengiringi pemergian kami.

“Pergi dulu, Mak Usu” sekali lagi Aqel meminta diri. Aqel memang seorang pemuda yang bersopan santun dan berbudi bahasa. Dia memang tahu cara bergaul dengan orang yang berusia. Ternyata Mak Long berjaya mendidik Aqel menjadi anak yang baik dan bertatasusila.

“Mari saya tolong awak angkat beg itu” pinta Aqel sambil menghulurkan tangannya kepadaku. Sudah bersedia mengambilalih bebanan beg ini daripadaku.

“Saya boleh angkat sendiri” tuturku menolak pertolongan Aqel. Mak geleng kepala.

“Jual mahal sangat” perli Aqel. Aku menjeling Aqel. Mak hanya tersenyum – senyum. Sudah menjadi kebiasaan mak melihat aku melayan Aqel dengan dingin. Kini aku sudah berada di sebelah Aqel dalam kereta Peugeot RCZ Sports Coupe ini. Kereta mewah yang merangkap isteri Aqel. Alangkah baiknya perjalanan hari ini menggunakan kereta ini sahaja. Jadi tidak perlulah aku bersemuka dengan Rania dan Haqem untuk perjalanan yang panjang itu, malah aku juga terselamat daripada usikan Marnie dan Reka. Aku sempat berbalas lambaian tangan dengan mak sebelum kereta ini meluncur gah meninggalkan perkarangan rumah mak. Tika ini aku lebih suka membisukan diri. Pandanganku juga tetap terarah keluar. Langsung tidak berminat hendak berbual dengan Aqel. Apatah lagi perasaan marahku masih membara rentetan kejadian yang mengaibkan aku tadi.

“Bella ikut sama rombongan ini. Awak tidak kisahkan”suara Aqel memecah kesunyian mengajak aku berbicara. Aku mengunci mulutku. Siapa sahaja yang pergi bersama Haqem sudah tentu tiada kaitan dengan diriku. Pasti Aqel telah salah faham terhadap pertemuanku dengan Haqem tempoh hari. Barangkali Aqel menjangka sesuatu yang lebih baik sebaik sahaja Haqem menjelaskan segalanya kepadaku. Senyap.

“Kenapa awak diam? Awak masih malu kepada sayakah?” soal Aqel.

“Apa...!” Aku berpaling ke arah Aqel. Tajam mataku menatapnya. Aqel tersenyum.

“Awak jangan risau, saya akan bertanggungjawab atas kejadian itu” tutur Aqel membinggungkan aku. Tidak mengerti apa yang dimaksudkan oleh Aqel.

“Rasanya sayalah lelaki pertama yang melihat awak dalam keadaan begitu, bukan?” tutur Aqel mengungkit kejadian itu.

“Aqel....” tinggi sahaja suaraku mendengar ungkapan bicara Aqel itu. Dia ingat aku ini sewenangnya akan berkemban di depan sesiapa sahaja. Memang dialah lelaki pertama yang melihat tubuhku hanya dibaluti dengan tuala. Aziq yang tinggal sebumbung denganku pun tidak pernah. Aqel berpeluang melihat sesuku bahagian tubuhku yang terdedah. Rasanya tidak sempat Aqel khusyuk menatapnya. Namun timbul rasa gerunku. Lelaki hanya ada satu nafsu berbanding perempuan sembilan nafsu. Pecahan sembilan nafsu itu menyebabkan nafsu perempuan tidak hanya tertumpu pada satu perkara sedangkan nafsu lelaki sepenuhnya terarah pada seks. Khuatir juga jikalau Aqel masih terbayang – bayangkan perkara itu. Nauzubillahminzalik....!

 Ketika aku dan Aqel sampai di lokasi yang dijanjikan sebagai tempat berkumpul, kelibat Marnie dan Reka bersama teman – teman KDUT yang menyertai rombongan ini tidak kelihatan lagi. Mereka sudah berada di dalam bas. Sementara Aqel menguruskan hal keretanya yang akan ditinggalkan beberapa hari ini, aku melangkah ke tandas agar perjalanan panjang ini memberi keselesaan kepadaku nanti. Keluar dari bangunan ini, Aqel tidak berada di tempatnya tadi. Bergegas aku melangkah ke arah bas yang bila – bila masa sahaja akan bergerak memulakan perjalanannya. Tatkala aku menapak di anak tangga terakhir, semua pandangan mata terarah kepadaku. Timbul rasa seganku tatkala menjadi perhatian. Marnie dan Reka melambai – lambaikan tangan ke arahku. Namun tiada kerusi kosong yang berdekatan tempat duduk mereka. Liar anak mataku mengenal pasti kerusi yang belum ada penumpangnya selain kerusi di sebelah Aqel yang selang beberapa barisan di belakang  Marnie dan Reka, mahupun kerusi di sebelah Haqem yang terletak di barisan depan ini. Haqem menatapku. Tidak berani juga dia mempelawaku duduk di sebelahnya. Pastinya aku akan menolaknya. Barangkali kerusi itu untuk Bella. Teringat aku pada bicara Aqel tadi.

“Flora, duduk sini” panggil Aqel sambil melambaikan tangan ke arahku. Memandangkan statusku sebagai ‘tunang’ Aqel, maka memang patut aku duduk di sebelah Aqel walaupun saat ini aku masih marahkan Aqel. Aku sudah tiada pilihan lagi. Aku terus sahaja melangkah ke arah Aqel melewati kerusi kosong di sebelah Haqem.

“Walaupun awak hendak berbaik dengan Haqem, tetapi buat masa ini warga KDUT ingat awak adalah tunang saya. Jadi memang patut awak duduk di sini” tutur Aqel berbisik. Tajam mataku menatap Aqel. Tidak suka aku mendengar bicaranya itu. Ternyata Aqel sudah salah faham pada pertemuanku dengan Haqem tempoh hari.

“Minta beg pakaian awak” pinta Aqel seraya menghulurkan tangan kepadaku. Aku menyerahkan beg hitam ini kepada Aqel. Aqel terus sahaja menyimpan beg tersebut di bahagian penyimpan barang.

“Beratnya beg awak. Awak mahu pindahkah” perli Aqel. Aku hanya menulikan telinga, lantas melabuhkan dudukku. Sempat juga aku terpandang senyuman usikan Marnie dan Reka yang dilemparkan kepadaku. Sekilas aku berpaling cuba mencari kelibat Bella. Baru aku menyedari bahawa Rania sedang memerhatikan aku dengan pandangan mata yang tajam. Mesti dia cemburu melihat aku bersama Aqel saat ini. Kelibat Bella tidak kutemui di sini. Jikalau Bella dan Rania bergabung tenaga pasti sukar untukku melawan mereka. Namun cepat sahaja aku berasa lega tatkala terpandang Aqel yang berada di sebelahku sekarang. Aku tahu Aqel tidak akan membiarkan Rania dan Bella membuliku. Kebetulan pula Aqel sudah berjanji dengan mak untuk menjagaku. Aku tersenyum sendiri.

“Apa hal?” soal Aqel menyedari senyumanku. Aku tersentak.

“Rania sedang perhatikan kita” bisikku kepada Aqel yang baru sahaja melabuhkan duduknya di sebelahku. Cepat sahaja aku mengelak dari menjawab pertanyaan Aqel.

“Tidak payah pedulikan dia” tutur Aqel mengingatkan aku.

“Memang pun” balasku. Aku mula menyandarkan tubuhku di kerusi.

“Awak tahu apa yang saya ingin lakukan....” bicara Aqel tergantung. Kutatap wajah Aqel. Langsung tidak terfikir apa yang mahu Aqel lakukan saat ini. Mustahil pula dia hendak menjelir lidah kepada Rania. Nanti tidak fasal – fasal jatuh saham ke’macho’an Aqel.

“Apa yang awak ingin lakukan?” soalku meminta Aqel melengkapkan bicaranya. Aqel tersengih menatapku menimbulkan rasa hairanku.

“Jikalau awak ini isteri saya mahu sahaja saya cium pipi awak di depan Rania” tutur Aqel menghabiskan bicaranya buat aku terlopong.

“Eee... miangnya awak!” rungutku. Aqel terus sahaja tergelak. Beberapa orang berpaling ke arah kami. Marnie dan Reka juga turut melontar pandangannya ke sini sambil tersengih – sengih. Aku mencuri pandang ke arah Rania. Alamak, kelatnya muka dia! Kemudian aku mula memikirkan bicara Aqel sebentar tadi. Tiba – tiba sahaja aku rasa seram sejuk dan gerun kepada Aqel. Mungkin Aqel kembali memikirkan perkara tadi. Laju sahaja tanganku meletakkan beg galasku di dadaku, lantas tubuhku berpaling ke tingkap cuba menjarakkan diri daripada Aqel. Aku membelakangi Aqel. Perkara utama  aku mesti berhati – hati dengan Aqel tika ini.

“Awak wajib beristeri sekarang” tuturku  berpaling ke arah Aqel. Aqel terkebil – kebil menatapku. Pasti dia tidak mengerti dan tidak tahu penilaian diriku terhadap dirinya saat ini.

Aku melirik jam di tanganku, perjalanan ini sudah memakan masa sejam. Aqel di sebelahku yang leka membaca buku tadi sudah tertidur sambil mendakap buku tebal itu. Aku mencuri pandang ke wajah Aqel. Kulit Aqel putih bersih. Walaupun sedang tidur, Aqel tetap nampak bergaya. Langsung tidak segan silu dia melelapkan matanya di sebelahku biarpun tanpa kaca mata hitam. Barangkali kesedaran terhadap dirinya yang sentiasa kelihatan tampan menyebabkan dia tidak perlu menyembunyikan diri dalam keadaan apa sekalipun dan pada bila – bila masa sahaja. Beruntungnya jadi Aqel. Aqel mula bergerak. Laju sahaja aku mengalih pandanganku. Tidak mahu tertangkap oleh mata Aqel yang aku sedang memerhatikannya tadi. Nanti lain pula yang Aqel fikirkan. Tidak mahu aku dituduh sudah terpikat pada ketampanan Aqel. Sejujurnya, kadang - kadang terdetik juga hatiku menatap senyuman manis Aqel.

 Terasa sengal dengan posisi dudukku sekarang, lantas aku kembali duduk seperti biasa. Mula menyandarkan tubuhku di kerusi. Selesanya. Kulontar pandanganku kepada teman – teman. Marnie dan Reka masih rancak berbual – bual dengan suara yang terkawal. Tidak mahu mengganggu lena teman – teman yang kebanyakannya sudah dibuai mimpi. Kulontar pandanganku ke arah Haqem. Namun kelibat Haqem tidak kelihatan lantaran dihalang oleh barisan kerusi ini. Aku melirik ke arah Rania, Rania sedang khusyuk membaca majalah di tangannya. Hobi Rania dan Aqel serupa. Mereka suka membaca di mana sahaja mereka berada, sedangkan aku pantang membaca di dalam kenderaan yang sedang bergerak. Aku boleh pening dan mabuk. Laju tanganku menutup mulutku yang sedang menguap ini. Mula rasa bosan tanpa melakukan apa – apa.

Aku mula memejamkan mataku. Niat mahu tidur. Aku tersentak. Ada sesuatu yang menimpa bahuku. Aku melepaskan keluhanku tatkala mendapati kepala Aqel sudah terlentok di bahuku dengan senang lenang. Laju sahaja tanganku menolaknya. Tidak sampai lima minit kepala Aqel melentok di bahuku lagi. Geramnya. Kutolak lagi. Kali ini lebih kuat. Aqel membuka matanya sambil menjeling tajam ke arahku. Aku turut sama menjelingnya. Aqel mengalih kepalanya ke kiri. Dia kembali memejamkan matanya. Harap – harap kali ini Aqel tidak akan mengganggu ketenteramanku lagi. Aku pun memejamkan mataku. Kedengaran suara DJ berceloteh di corong radio disusuli lagu – lagu pelbagai rentak pilihan para pendengar. Sunyi sepi. Suara DJ dan lagu – lagu yang berkumandang di corong radio terus sahaja lenyap.

“Hoi...., perempuan tidak tahu malu, di sini rupanya awak, ya!” tengking suara perempuan. Aku berpaling. Rania dan Bella sedang menatapku tajam.

“Mari Bella, kita beri pengajaran kepada dia” tutur Rania. Rania dan Bella melangkah ke arahku. Langkah mereka semakin dekat. Tiba – tiba sahaja tangan Rania dan Bella singgah di kepalaku. Rambutku dicengkam kuat. Aku cuba melawan namun tidak mampu menyaingi tenaga Rania dan Bella yang sudah bersatu. Mereka menarik rambutku mengheretku ke dinding batu itu. Kutatap Rania dan Bella yang sudah tertawa – tawa. Bila – bila masa sahaja mereka akan memalu kepalaku dengan dinding batu ini. Aku memejamkan mataku. Sekejap lagi mungkin tamatlah riwayatku di tangan Rania dan Bella. Lantas mulutku terkumat – kamit melafazkan dua kalimah syahadah. Aku bersaksi tiada Tuhan yang disembah, melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.

“Aduuuhhhh....” aku mengerang kesakitan.

“Aduuuuhhh...” ada lagi suara lelaki yang menyusul mengerang kesakitan. Aku membuka mataku sambil menggosok – gosok kepalaku. Begitu juga dengan Aqel.

“Kepala awak itu daripada batukah? Bukan main lagi kerasnya” rungut Aqel masih mengusap – usapnya kepalanya. Rupanya kepalaku berlaga dengan kepala Aqel. Bukan dinding batu yang kulihat sebentar tadi.

“Awak ingat kepala awak itu tidak keras jugakah!” rungutku marah. Kulontar pandanganku ke arah Rania. Dia masih khusyuk membaca majalah di tangannya. Aku menarik nafas lega kerana aku hanya bermimpi. Ternyata imaginasiku tadi terbawa – bawa ke dalam mimpi. Kupandang Aqel. Dia sudah menyambung tidurnya semula. Entah pukul berapa dia tidur semalam sehinggakan nampak mengantuk sangat. Aku juga memejamkan mataku semula dengan harapan kali ini tiada gangguan lagi. Tidak mahu juga bertembung dengan Rania dan Bella walaupun dalam mimpi. Akhirnya aku terlena dalam keadaan aman damai.

“Flora.... bangun...” sayup – sayup kedengaran suara Aqel memanggilku. Laju sahaja tanganku menutup mulutku yang menguap. Perlahan – lahan aku mengangkat kelopak mataku luas – luas. Anak mata Aqel sedang melirik ke arahku. Aku tersentak. Kepalaku terus sahaja tegak 360 darjah. Malunya....! Kugaru – garu kepalaku yang tidak gatal sambil tersengih panjang menatap Aqel.

“Minta maaf banyak – banyak...” tuturku rasa bersalah. Bukan main aku mendaratkan kepalaku di bahu Aqel tadi. Aqel mengurut – urut bahunya. Mungkin terasa sengal setelah begitu lama menampung bebanan kepalaku.

“Siapa suruh awak tidak kejutkan saya tadi” rungutku.

“Saya tidak sekejam awak” balas Aqel. Aku terus sahaja teringat dengan tindakanku yang menolak kasar kepala Aqel tadi. Aqel sudah bangkit dari duduknya.

“Maaf....” pintaku sekali lagi.

“Tidak apa, nanti awak boleh tolong urut bahu saya ini” tutur Aqel tersenyum menatapku. Besar anak mataku menatap Aqel.

“Jangan harap saya hendak buat” tingkahku serius. Aqel mencebik ke arahku.

“Inilah jenis orang yang tidak mengenang jasa” kutuk Aqel. Aku mencebik ke arah Aqel. Permintaan Aqel terlalu di luar jangkaanku.

“Awak itu bukan suami saya yang sewenangnya saya boleh sentuh” sahutku.

“Tidak lama lagi kamu berdua bolehlah saling bersentuhan” suara lelaki mencelah. Serentak aku dan Aqel berpaling. Aqel hanya tersenyum mendengar usikan Alden itu. Aku mempamerkan wajah masam. Tidak suka mendengar usikan Alden itu. Tidak sangka dia mendengar butiran bicaraku kepada Aqel tadi.

“Beg saya” ujarku berniat mahu meminta pertologan Aqel.

“Ambil sendiri” tutur Aqel seraya melangkah meninggalkan aku. Aku terkebil – kebil menyaksikan tingkahlaku Aqel itu. Kejam. Bingkas aku bangun.

“Mana satu beg saya ini” keluhku sambil terjengket – jengket mencarinya. Aqel meletakkan begku jauh ke dalam. Sudah tahu yang aku ini tidak cukup ketinggian, Aqel sengaja mahu mendera aku. Seketika aku masih terjengket – jengket berusaha menarik beg pakaianku itu keluar. Sukar juga memandangkan beg ini berat. 

“Biar saya tolong awak” tegur satu suara lelaki. Aku berpaling. Haqem sudah berada di sebelahku. Tangan Haqem sudah mencapai beg hitam itu, lalu menariknya keluar.

“Ini beg awak?” soalnya. Aku mengangguk.

“Terima kasih” tuturku seraya menyambut beg hitam itu. Haqem tesenyum.

“Boleh angkat?” soal Haqem.

“Boleh” Laju sahaja aku menyahut pertanyaan Haqem.

“Mari.....” tutur Haqem mengajak aku memulakan langkah. Aku mengangguk dan mula melangkah di belakang Haqem.

“Flora, Haqem.... mari minum!” laung Aqel sambil melambai ke arahku dan Haqem. Aku menggeleng menolak ajakan Aqel itu. Anak mataku mula tercari – cari kelibat Marnie dan Reka. Sampai hati mereka tinggalkan aku.

“Awak pergilah minum dengan Aqel” arahku kepada Haqem.

“Awak?” soal Haqem.

“Saya hendak cari Marnie dan Reka” tuturku.

“Geram ini mereka tinggalkan saya” tambahku.

“Mungkin mereka tidak mahu ganggu awak dan Aqel. Kalau macam itu, awak sertailah saya dan Aqel” ajak Haqem. Laju aku menggeleng.

“Saya hendak bersama kawan – kawan perempuan” jelasku. Lebih selesa kalau aku bersama Marnie dan Reka. Tidak mahu menimbulkan prasangka negatif orang lain terhadap diriku. Lebih – lebih lagi Rania sentiasa memerhatikan aku.

“Itu pun mereka” beritahu Haqem sambil menundinbg jari ke arah Marnie dan Reka yang sedang bergerak memasuki bangunan itu.

“Saya pergi dululah” tuturku lalu bergerak meninggalkan Haqem. Kemudian Haqem pun melangkah mendapatkan Aqel.

“Hey, jahatnya kalian tinggalkan kawan sendiri” rungutku buat – buat tersinggung. Marnie dan Reka tersengih.

“Kami sengaja hendak beri awak peluang  berdua – duaan dengan Aqel” tutur Marnie tersenyum mengusikku. Aku menarik muka masam.

“Lia, bukan main lagi romantiknya kalian sampai terlentok kepala awak di bahu Aqel. Hey.... cemburunya saya!” tutur Reka pula. Alamak, mereka nampak perkara itu. Marnie dan Reka tersenyum menatapku.

“Hey.... tidak sengajalah” ujarku bersungguh – sungguh.

“Tidak payah segan. Kami faham perasaan orang yang sedang hangat memadu kasih asmara” tutur Marnie pula.

“Hey.... bukan macam itulah!” tingkahku menafikan. Marnie dan Reka masih tersenyum. Memang mereka tidak akan menerima penafianku. Aku mempamerkan reaksi wajah masam mencuka. Geram.

“Awak betul – betul nampak comel terlentok di bahu Aqel” tutur Reka mengusikku lagi. Marnie tertawa.

“Kalau kalian cakap lagi perkara ini, saya hendak balik” ujarku mengancam mereka.

“Alah.... Lia kami bergurau sahaja. Itupun tidak bolehkah?” soal Reka cemas. Tahu pun takut. Aku menjeling tajam ke arah Reka dan Marnie.

“Okey.... okey.... janji tidak mahu cakap lagi perkara ini” tutur Reka mengangkat tanngan berikrar. Dalam hati aku tergelak menyaksikan tingkahlaku Reka ini.

“Janji?” soalku meminta kepastian. Serentak Marnie dan Reka mengangguk. Kini barulah aku tersenyum. Kami bertiga bergerak ke kaunter. Kedatangan kami disambut oleh seorang gadis yang sentiasa tersenyum manis. Kami mendaftar masuk bilik yang sama yang menyediakan sebuah katil bujang dan sebuah katil kelamin. Reka mencadangkan katil bujang itu untukku. Kononnya sebagai tunang bos aku patut diberi layanan istimewa. Biar lebih selesa tidur bersendirian. Aku langsung tidak mahu memberikan sebarang komen, maka menerima sahaja cadangan Reka itu. Tidak menjadi masalah sama ada aku tidur bersendirian mahupun berkongsi katil bersama mereka.

Setelah berehat hampir dua jam di bilik hotel, kami bersiap sedia untuk keluar makan. Hari ini aktiviti bebas. Malam nanti barulah ada program yang dirancang oleh syarikat yang patut kami hadiri. Usai menyiapkan diri, kamipun meninggalkan bilik bergerak ke restoran yang disediakan di hotel bertaraf lima binatang ini. Aku nampak Aqel dan Haqem juga berada di sini. Pastinya mereka lebih awal daripada kami memandangkan mereka sedang leka menikmati hidangan di meja.

“Hey.... Encik Aqel dan Encik Haqem pun ada di sini jugalah” tutur Reka yang sentiasa teruja kepada dua orang pemuda ini. Aku dan Marnie melontar pandangan ke situ. Aku nampak sesekali tangan Aqel masih memicit – micit bahunya. Kasihan juga aku kepada Aqel. Pasti lenguh di bahunya masih terasa. Tidak sangka kepalaku berat sangat.

“Saya hendak ke tandas sekejap” ujarku tiba – tiba sahaja rasa mahu kencing.

“Alah.... awak ini Lia, tadi di bilik tidak pula awak mahu pergi tandas” rungut Marnie.

“Hendak buat macam mana baru sekarang rasa mahu pergi tandas” sahutku tersengih.

“Pergilah cepat...” arah Reka tidak mahu menangguhkan masa.

“Kamu pergilah pesan makanan dulu” arahku seraya bangkit dari dudukku yang tidak sampai lima minit itu. Marnie dan Reka hanya mengangguk. Aku mengatur langkahku dengan pantas ke muka pintu. Belum sempat aku melewati pintu kaca itu, langkahku terus sahaja mati. Aku terpaku di situ. Kedua – dua perempuan ini menatapku tajam. Wajah mereka begitu serius.

“Kamu buat apa di sini?” soal Datin Sofea begitu lantang sehingga menarik perhatian orang lain untuk menatap kami. Aku terdiam. Tidak mampu berbicara mahupun mengelak pertemuan ini. Aku mematungkan diri di depan Datin Sofea dan Bella. Tiba – tiba sahaja Rania muncul lalu bergabung dengan Datin Sofea dan Bella.

“Perempuan inilah yang selalu saya tengok bersama Haqem, datin” tutur Rania menambah kegentingan saat ini. Aku masih mematungkan diri di depan mereka. Pandangan Datin Sofea dan Bella semakin tajam menatapku. Terasa bila – bila masa sahaja mereka akan bertindak kasar kepadaku buat aku rasa terancam. Namun aku tidak mampu melarikan diri lagi. Datin Sofea dan Bella menapak mendekatiku. Rania sedang tersenyum – senyum menatapku. Terpancar kepuasan di wajahnya. Sungguh aku tidak mampu meramal tindakan Datin Sofea dan Bella terhadapku sebentar lagi. Mungkin mereka berniat mahu memukulku di khalayak umum ini. Kedengaran derap langkah berhenti di belakangku. Nampak Datin Sofea, Bella dan Rania tersentak. Mungkin Marnie dan Reka yang datang mahu melindungiku. Aku tidak sempat berpaling bagi memastikan gerangan insan yang sudah berdiri di belakangku saat ini.

“Gadis ini tunang saya. Hujung bulan depan kami bernikah” tutur satu suara lelaki yang sangat kukenali dengan tenang. Aqel sudah melingkarkan tangannya di pinggangku tampak begitu mesra. Aku tergamam. Kudongak wajah Aqel, memohon penjelasan, namun tidak terluah. Malah aku tidak mampu menegah tangan Aqel yang masih memeluk pinggangku di depan Bella, Datin Sofea dan Rania ini. Jelasnya, mereka pun turut tergamam mendengar bicara Aqel ini.

“Tahniah, Lia” bisik Marnie menyentakkanku. Aku berpaling. Marnie, Reka dan Haqem juga sudah berada di sini. Nampak Haqem sedang terpaku menatapku. Tanpa kusedar, aku mengangguk mensahihkan bicara Aqel itu. Kulihat Aqel tersenyum. Senyuman semanis madu.