BAB 15
Aku mencuri pandang ke arah meja di seberang sana, selang beberapa meja dari tempat dudukku. Kelihatan dia sedang tekun membuat kerjanya. Barangkali sedang menyemak buku – buku latihan kelasnya. Seraut wajah yang tidak banyak beza dengan wajahnya lapan tahun lalu. Hanya yang ketara berbeza penampilan dirinya.
Sudah ada misai nipis menghiasi bibir merahnya sekaligus menampakkan dirinya lebih matang. Bulu matanya tetap panjang dan melentik yang mempunyai ramai peminat dalam kalangan pelajar perempuan ketika zaman persekolahan dahulu. Wajahnya putih bersih. Paling menarik perhatianku adalah potongan rambutnya. Sedari azali rambut keperang – perangan itu sudah mencecah separa bahunya. Lurus diolah penuh gaya. Memang sesuai dengan dirinya sebagai pemuda Tionghoa. Begitulah gaya kebanyakan jejaka Tionghoa yang gemar mengikuti arus perkembangan fesyen semasa. Sedari dahulu tidak banyak kelihatan ciri Minaci dalam dirinya dek tenggelam oleh genitek ayahnya yang berbangsa Tionghoa.
“Cikgu Nia termenung panjang nampak”
Aku tersentak. Serasa melayang semangatku. Cikgu Michael sedang tersenyum lebar menatapku. Aku mengurut – urut dadaku. Terasa membahang mukaku tatkala Dennis Lee turut memandang ke arahku. Segan. Malu. Aku tidak rela andai dia menyedari bahawa aku sedang leka memerhatikannya tadi. Dalam hati terpaksa juga aku menyumpah Cikgu Michael.
“Hey, tak de ler Cikgu Michael” nafiku cuba berselindung.
“Cikgu Dennis, cikgu yang cantik itu namanya Cikgu Nia” tutur Cikgu Michael tiba – tiba memperkenalkan sekaligus mempromosi aku kepada Dennis Lee yang sememangnya telah aku kenali. Hanya Cikgu Micheal saja yang tidak tahu. Mungkin semua yang ada di sekolah ini juga tidak mengetahuinya kecuali aku dan dirinya saja yang tahu kisah sebenar.
Dennis Lee mengangguk dan tersenyum sekilas. Seakan dia berlakon tidak pernah mengenaliku selama ini. Lupakah dia tentang persahabatan kami pada zaman persekolahan dahulu? Ahh, sebetulnya salahku juga! Aku yang meminta semua ini terjadi. Aku yang mengarahkan dia agar tidak mempedulikan aku. Rupanya Dennis Lee benar – benar telah mengotakan permintaanku. Sedikit terkilan dihatiku tatkala melihat lagak yang ditunjukkannya. Tiada kemesraan. Dia betul – betul seperti orang yang baru kukenali. Rakan sekerja baruku, bukannya sahabat lamaku.
Kupujuk diri dengan menyibukkan diri dengan kerja yang sememangnya berlambak – lambak untuk disiapkan. Ini hari pertama pertemuanku dengan Dennis Lee setelah lapan tahun berlalu. Hari kedua, ketiga dan seterusnya perhubunganku dengan Dennis Lee tetap seperti hari pertama pertemuan kami. Dingin. Tiada sapaan mesra. Tiada gelak tawa. Akhirnya aku tersedar kemesraan antara kami sudah tiada lagi. Aku redha dan aku tidak pernah menyalahkan dirinya. Kesedihanku ini mengingatkan aku kepada Amir Hamzah. Ilhamnya bisa memujuk rajukku. Dialah penawar hatiku.
@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@
Aku menatap jam di dinding. Hampir – hampir mencecah waktu maghrib. Laju saja kakiku menerpa ke muka jendela. Sedetik lagi aku akan mendengar suara itu. Begitu setia aku menantinya. Aku terpaku lagi entah untuk ke berapa kali tatkala suara itu berkumandang lagi mengalun azan memuji – muji kebesaran Allah. Suara yang berseru agar segera mengingati Allah lantas menunaikan kewajipan sebagai hamba yang taat dengan perintahNya, tuhan yang maha berkuasa lagi yang maha Esa.
Milik siapakah suara merdu itu? Terasa hatiku bergetar setiap kali mendengar suara merdu itu mengalun seruan Allah. Tiba – tiba terlintas difikiranku. Agaknya Amir Hamzah juga memiliki suara semerdu itu. Ada terselit rasa bangga. Lagakku seakan Amir Hamzah itu adalah milikku. Aku mengutuk diri. Malu dengan perasaan sendiri. Aku tidak mahu fanatik pada perasaanku takut kecewa untuk kedua kalinya.
Barangkali suara yang mengalun azan itu milik salah seorang pelajar asramaku yang baru sebulan dua ini mempunyai keberanian untuk mengalun suara di segenap pelusuk perkarangan sekolah ini. Usai solat maghrib dan solat Isyak, aku terus saja membuka facebook ku. Aku tersenyum bahagia tatkala terpamer nama Amir Hamzah di ruangan mesej yang diterima. Segera kupaparkan.
‘DOA UNTUK KEKASIH’
Dengan nama Allah,
Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Ya Allah.....
Seandainya telah Engkau catatkan......
Dia milikku tercipta buatku.....
Satukanlah hatinya dengan hatiku......
Titipkanlah kebahagiaan antara kami
Agar kemesraan itu abadi
Ya Allah
Ya Tuhanku Yang Maha Mengasihi,
Seiringkanlah kami melayari hidup ini
Ke tepian yang sejahtera dan abadi
Maka jodohkanlah kami
Tetapi Ya Allah
Seandainya telah Engkau takdirkan
Dia bukan milikku
Bawalah dia jauh dari pandanganku
Luputkanlah dia dari ingatanku
Dan peliharalah aku dari kekecewaan
Ya Allah, Ya Tuhanku Yang Maha mengerti
Berilah aku kekuatan
Menolak bayangannya jauh ke dada langit
Hilang bersama senja yang merah
Agarku sentiasa tenang
Walaupun tetap bersama dengannya.....
Ya Allah Yang Tercinta
Pasrahkanlah aku dengan takdirMu
Sesungguhnya apa yang telah Engkau takdirkan
Adalah yang terbaik untukku
Sesungguhnya Engkau maha mengetahui
Segala yang terbaik buat hambaMu ini
Ya Allah
Cukuplah Engkau sahaja yang menjadi pemeliharaku
Di dunia dan di akhirat
Dengarlah rintihan dari hambaMu yang daif ini.....
Janganlah Engkau biarkan aku sendirian
Di dunia ini mahupun di akhirat......
Mahupun menjuruskan aku ke arah kemaksiatan dan kemungkaran
Tanpa dipinta air mataku menitis ke pipi. Betapa terharunya hatiku membaca sebuah doa yang lahir ikhlas dari hati seorang hamba Allah. Barangkali inilah luahan hati Amir Hamzah. Bermakna hati Amir Hamzah telah terpaut pada seseorang dalam diamnya. Wahai Amir Hamzah, andai kau merintih kerana bersendirian, aku di sini dengan rela menemanimu di dunia ini.
“Cikgu Dennis marilah duduk sama kat sini” pelawa Puan Rosnah PK pentadbiran sekolah ini.
Aku terkedu mendengar pelawaannya itu. Kunyahan karipap yang sedang kutelan sebahagiannya seakan tersekat di kerongkongku. Di luar dugaanku dan benar – benar tidak menyangka Puan Rosnah akan bertindak sedemikian memandangkan ada lagi kerusi kosong dalam kelompok guru – guru lelaki yang sedang berkumpul di sebuah meja di satu sudut kafeteria. Cikgu Robert turut melambai tangan ke arah Dennis Lee turut sama mempelawanya. Aku memerhatikannya seketika cuba membuat pertimbangan sama ada dia menerima atau menolak pelawaan ini. Akhirnya muktamad dia menerima saja pelawaan Puan Rosnah dan Cikgu Robert tatkala kakinya melangkah mendekati kami sambil tersenyum. Dia melabuhkan punggungnya di sebelah Cikgu Robert tepat berhadapan denganku.
Rancak sungguh perbualan mereka. Lina di sebelahku pun sesekali turut mencelah menambah kerancakan perbualan mereka. Hanya aku saja yang menjadi pendengar setia. Kalau ikutkan hati mahu saja aku telan kesemua kuih di pingganku ini lalu beralasan meminta diri. Namun khuatir juga mereka akan terkejut beruk melihat kerakusanku sedemikian. Mahu tidak mahu aku meneruskan juga kewujudanku di situ dengan hati yang berat. Senyumanku yang terukir sepanjang mengikuti perbualan mereka sekadar rela dalam paksa. Aku dapat rasakan sememangnya Dennis Lee tidak mengendahkan kewujudanku di sini. Dia langsung tidak sudi mengarahkan matanya kepadaku walau hanya sekilas pandang. Dia telah melontarkan diriku jauh darinya seperti yang aku harapkan suatu waktu dahulu. Yang pasti hatiku terluka lagi.
“Nia laktop kau atas meja tu tak nak bawa balik ke? Nanti kau juga yang terseksa kalau tak dapat berhubung dengan Amir Hamzah” suara Lina berkumandang mematikan langkahku.
Aku berpaling semula sebelum sempat menapak di muka pintu bilik guru, bergerak ke mejaku lantas tanganku mencapai beg hitam kecil yang sudah terisi dengan laktop kesayanganku. Teman – teman yang lain tersenyum mendengar bicara Lina. Tanpa disengajakan sempat juga aku menatap pandangan Dennis Lee yang turut terkesan dengan bicara Lina itu. Tiada senyuman. Wajahnya hanya serius. Hobinya yang suka tersenyum kepadaku suatu waktu dulu sudah tiada lagi.
No comments:
Post a Comment