Wednesday, 25 May 2011

'Mengulit Kenangan'


‘ MENGULIT KENANGAN ’
                                                                                    
“ Azan jangan ganggu aku!” jeritku sekuat hati.
Mukaku merah merona. Rasa marahku sudah sampai kemuncaknya. Kesabaranku sudah lenyap. Muka seposen itu tersengih menatapku.
“ Nama je lawa tapi perangai macam hantu!” marahku tidak dapat disekat – sekat lagi.Dia langsung tidak menjawab malah senyumannya semakin lebar. Kutatap wajah itu dengan api kebencianku. Mahu saja rasanya aku telan hidup-hidup budak ini. Biar tiada siapa yang menggangguku lagi. Biar tiada suara sumbang menyanyi-nyanyi sambil melaung-laung namaku. Paling penting aku tidak akan diganggu setiap kali habis kuliah. Masa itu baru kehidupanku benar-benar tenang.
“ Janganlah marah Dayu”
Dia mula bersuara, masih juga dengan sengihannya. Hey....budak ini betul-betul buat aku benggang! Entahlah apa silapnya yang membuatkan dia terlalu berminat untuk memporak – perandakan kedamaian hidupku.
 “ Petang ni kau lapang tak?” soalnya ramah.
Aku diam. Tidak berminat menjawab pertanyaannya yang sudah berulang-ulang kali aku dengar. Nampaknya dia masih juga tidak berputus asa.
“ Sama ada aku lapang atau tak, itu bukan urusan kau” balasku.
“ Aku taulah tapi kalau kau ada masa nanti, aku cadang nak ajak keluar” terangnya selamba siap dengan sengihannya sekali.
“ Aku tak berminat langsung nak keluar dengan kau. Aku masih waras tau”
Pantas kucapai bukuku yang berada ditangannya.
“ Tepi.....”
Kutolak tubuhnya yang menghalang laluanku tadi. Lantas kubesarkan langkah meninggalkannya terpacak di situ.
“ Kalau kau lapang, call aku tau!” laungnya.
Gila! Barangkali dia sudah tidak waras lagi dan diciptakan ke dunia ini sebagai insan yang tidak tahu berputus asa sekaligus sebagai musuh yang sering menggangguku untuk menguji setakat mana tahap kesabaranku. Setahu aku, dialah manusia kebal yang pernah aku jumpa di dunia ini malah muka tembok yang lebih kukuh daripada Tembok China Selatan. Kalau tidak masakan dia tidak pernah serik-serik mendengar kutukan dan sumpah seranahku. Entahlah, ilmu apa yang dia pakai sampai boleh bertahan dengan semua itu.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

                        “ Dayu!” panggil satu suara.
Kutegakkan kepalaku 90 darjah. Aku langsung tidak berniat untuk menoleh. Aku cukup kenal dan tahu siapa gerangan yang memanggil namaku itu.
“ Dayu!” ulang suara itu lagi.
Budak ini tidak juga pandai-pandai faham. Agaknya kalau aku jahit mulutnya itu barulah dia tahu diam dan berhenti menyebut namaku.
“ Dayu kau tak dengarkah aku panggil ni?”
Dia sudah dekat denganku lalu memalingkan tubuhku. Pantas kutepis tangannya.
“ Apa hal pegang-pegang orang ni!” marahku dengan wajah yang bengis.
Dia tersengih seperti selalu sambil menggaru-garu kepalanya.
“ Semalam lama aku tunggu kau tau. Kenapa kau tak datang?” soalnya.
“ Siapa yang janji nak keluar dengan kau?” soalku semula.
Azan senyum.
“ Kan aku dah bagitau kat kau”
“ Aku tak kata pun nak pergi”
“ Tak pelah, lepas ni kita keluar. Okey”
“ Jangan nak mimpilah nak keluar dengan aku. Hey.... Azan, kau ni tak pernah faham-fahamlah! Kau ingat aku suka sangat kat kau. Pirrah....!!” ujarku spontan tanpa pedulikan akan perasaannya.
Azan masih dengan senyumannya. Dia langsung tidak ambil kisah akan kata-kata kesatku. Betapa kebalnya budak sewel ini.
“ Aku tak pernah terfikir nak jumpa orang macam kau ni, tak reti-reti letih nak sakat orang. Kan aku dah kata jangan ganggu aku!” bentakku.
Dia tetap juga senyum. Nampaknya dia tidak akan faham-faham juga dengan kata-kataku. Lantas aku menyambung langkahku semula. Tidak kupeduli tentang Azan yang masih terpacak di situ. Sesaat.... seminit....
“ Dayu!”
Ahh! Dia betul-betul berminat menyebut sebaris nama itu.
“ Malam ni aku call kau” tambahnya.
Kutulikan telinga. Walau beribu kali kau cakap aku tidak akan dengar dan aku tidak akan jawab panggilan itu.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

                        “ Dayu telefon” beritahu mama yang masih terpacak di muka pintu.
“ Beritahu Dayu tak de” balasku acuh tak acuh.
“ Dah banyak kali dia call, takkan masih tak de kat rumah” bantah mama.
“ Beritahu kat dia, Dayu malas nak cakap dengan dia” terus-terangku.
“ Barangkali dia ada hal penting nak cakap”
Mama masih juga tidak mengalah. Kusibukkan diriku. Beberapa minit mama masih terpacak di situ sambil memerhatikan gelagatku. Akhirnya dia mengalah juga. Kedengaran keluhan kecilnya lalu melangkah meninggalkan aku sendirian di situ. Aku tersenyum sendiri.
            Permusuhanku dengan Azan sudah sekian lama. Aku pun tidak sedar sejak bila dan apa punca sebenarnya. Yang nyata satu perkara yang tidak dapat aku lupakan bila Halil jauhkan diri dariku. Entah apa yang disampaikannya kepada anak muda itu. Pasti keburukan yang paling dahsyat didengar oleh Halil sehinggakan dia terus melupakan aku. Kemesraan yang mula berputik terus lenyap. Betapa aku sakit hati dan akhirnya membuatkan aku benci kepada Azan.
            Sudah sekian lama  kuidamkan untuk mengenali Halil. Bukan mudah untukku mendekati anak muda itu. Dia idola pujaanku. Aku betul-betul rasa bahagia berada di sampingnya. Namun segala-galanya musnah kerana Azan. Azan punca keretakan hubungan ini. Dia fitnah aku di depan Halil. Justeru, Halil terus menghilangkan diri. Dia tinggalkan aku. Mujur juga hubungan ini baru hendak berputik, kalau tidak pasti aku parah. Sejak itu aku mula tanamkan rasa benciku untuk Azan. Aku tahu Azanlah dalang dalam hubungan ini. Dia harus bertanggungjawab dengan kekecewaan yang kualami tika itu.
            Langkahku terhenti. Azan tersenyum lebar terpacak di depanku.
“ Kenapa tak nak jawab call aku semalam?” soalnya seolah-olah tidak faham dengan situasi selama ini.
Aku tidak berminat memberikan jawapan pada pertanyaannya itu. Pantas kupalingkan mukaku.
“ Aku cakap dengan kau ni”
Azan mengubah posisi tubuhnya. Kini dia sudah berada di hadapanku semula. Kutatap wajah itu dengan menggunung kebencian.
“ Kau masih marah kat aku?”
“ Azan dah banyak kali aku cakap, jangan ganggu aku. Aku memang betul-betul benci kat kau. Kalau aku mampu teringin benar aku nak cabut nyawa kau tu!” bentakku dengan wajah kemerahan menahan marah.
Seperti biasa Azan hanya tersenyum. Inilah yang sukarnya kalau orang tidak memiliki perasaan. Kita cakap pun langsung tidak memberi kesan. Akhirnya kita juga yang sakit jiwa.
“ Tepi.......”
Kutolak tubuh melidi itu. Kedengaran gelak kecilnya.
“ Dayu....., selagi bintang, bulan, matahari masih ada, selagi tu aku akan jejaki kau!” laungnya.
Betul! Azan mengotakan kata-katanya. Setiap masa dan di mana –mana saja aku berada pasti Azan akan datang menggangguku. Dalam hidupnya langsung tiada perasaan bosan. Apa yang nyata kebencianku semakin menggunung malah permusuhanku dengan Azan menjadi satu lagenda dalam hidupku.
“ Dayu belum tidur lagi, kan esok kerja nanti lewat pula” suara mama menyedarkan aku dari terus tenggelam dalam ilusiku.
Ahh! Aku tersenyum. Jauhnya aku menerawang ke dunia lampau. Kutatap wajah anak muda itu. Tidak sangka wajah ini terselit juga dalam albumku. Kebencianku menghalang terjalinnya persahabatan antara kami. Aku tidak pernah berlembut dengan Azan. Kewujudan wajahnya di dalam gambar ini pun bukan dengan kerelaanku. Dia terselit di celah-celah manusia ini. Kalau tidak ingatkan gambar ini satu kenangan dan kenangan itu satu yang terlalu berharga yang tidak boleh diulangi lagi, sudah pasti aku akan musnahkannya. Sungguh besar kebencianku kepada lelaki itu.
            Sudah lama juga aku tidak bertemu dengannya. Sejak dua tahun lalu sebaik saja tamat penggajian, aku terus menyepikan diri daripada pengetahuan teman-teman.
“ Dayu,  aku akan sambung  studyku dua tahun di USA.  Lepas tu aku akan cari  kau semula” beritahunya.
Itulah kali terakhir aku bertemu Azan di depan blok pentadbiran ketika semua pelajar sibuk mengambil slip keputusan peperiksaan beberapa tahun yang lalu. Selepas itu aku terus menghilangkan diriku dengan kesibukan dunia baruku. Azan yang langsung tidak pernah aku ambil tahu tentangnya terus lenyap. Apa yang pernah aku katakan memang tepat. Aku tenang tanpa kewujudan Azan. Aku terus lupa tentang hamba Allah seorang ini. Namun malam ini hatiku memberontak untuk membuka album yang sudah sekian lama tidak kusentuh. Tiba-tiba saja aku rasa rindu pada kenangan lalu, pada usikan Azan. Ahh! Tidak mungkin. Aku berharap aku tidak akan dipertemukan dengannya lagi. Kututup rapat album ditanganku.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

                        Aku bergegas keluar dari rumah. Takut terlewat tiba di pejabat hari ini. Lebih-lebih lagi pengurus kata bos baru kami akan sampai hari ini. Aku menarik nafas lega sebaik saja tiba di pejabat tepat pada waktunya. Kira-kira tiga puluh minit waktu pejabat bermula, aku nampak Dato’ Salleh pemilik syarikat ini keluar dari biliknya bersama seorang pemuda. Betapa aku terkejut menatap seraut wajah itu. Mustahil! Mana mungkin dia! Dadaku berdegup kencang serasa ingin pecah. Wajah anak muda itu semakin jelas dengan senyumannya. Aku masih ingat senyuman itu. Senyuman yang paling aku benci. Aku yakin dialah musuhku bukan klonnya atau kembar siamnya.
“ Kau okey?” soal Siti yang berdiri di sebelahku.
Barangkali dia menyedari tingkahku yang tampak terkejut.
Handsome juga ye” tambah Siti berbisik.
Aku menatap wajah yang sentiasa dengan senyuman itu. Ada perubahan kerana kewujudan misai nipis di bibir merah itu. Kulitnya semakin cerah. Dia nampak lebih matang. Dalam leka memerhatikan wajah itu, sedar-sedar langkah itu semakin mendekatiku. Aku menggelabah.
“Dayu, ni Azan pengurus baru syarikat ni”suara Dato’ Salleh memperkenalkan.
“ Azan, ni Dayu pembantu kamu. Saya harap Dayu boleh bekerjasama dengan Azan” tambahnya lagi.
Aku hanya mampu mengangguk sedangkan suaraku terus tersekat di kerongkong.
“ Baik abah” jawabnya antara kedengaran dengan tidak.
Aku tersentak lagi. Rupa-rupanya dia anak pemilik syarikat ini. Betapa ceteknya pengetahuanku tentang dia sehingga nama orang yang menyebabkan kewujudannya di dunia ini pun aku tidak tahu. Kalau aku tahu, barangkali aku akan fikir banyak kali untuk bekerja di sini. Nampaknya kali ini mudahlah Azan mempermainkan aku. Ahh! Aku tak boleh prasangka yang bukan-bukan. Mungkin dia sudah berubah dan matang dalam banyak hal. Tahu-tahu Azan sudah menghulurkan tangannya kepadaku.
“ Aku dah kembali Dayu.....” bisiknya masih dalam senyuman.
Terasa tanganku digenggam erat seketika. Pantas kutarik. Dia berlalu bersama Dato’ Salleh untuk beramah mesra dengan staf yang lain. Mengingatkan kata-katanya sebentar tadi membuatkan aku tiba-tiba jadi takut. Aku takut Azan akan membalas dendam atas sikapku selama ini dan aku takut aku tidak mampu berhadapan dengannya sebagai majikanku sekaligus mematuhi perintahnya. Paling aku khuatir Azan akan mengulangi perkara lalu.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

                        Aku melangkah perlahan-lahan mendekati bilik itu. Buat pertama kali aku berhadapan dengannya secara sendirian setelah dua tahun berlalu. Buat pertama kali juga aku yang datang sendiri kepadanya. Sesuatu yang tidak pernah aku lakukan semenjak aku mengenalinya. Kuketuk daun pintu.
“ Masuk....”
Kutarik nafas dalam-dalam. Fail ditangan kugenggam erat. Cuba mengusir perasaan gementarku. Pantas aku melangkah masuk. Dia menyambut kedatanganku dengan senyuman. Memang dia murah dengan senyuman.
“ Ni fail yang encik nak” ujarku  penuh prosuder antara ketua dengan anak buah.
Fail ditangan kuletak di hadapannya.
“ Duduk. Sila terangkan kepada saya tentang projek ni” perintahnya.
Aku patuh dengan perintahnya itu. Dengan keupayaan yang ada aku menjelaskan perjalanan projek itu dari awal hingga akhir. Terasa gentar juga dengan renungan tajamnya yang tidak pernah beralih dari wajahku. Sesungguhnya selama dia mengenali aku, aku tidak pernah ditenung sebegitu kerana aku tidak pernah memberinya kesempatan untuk berbuat sedemikian. Dari reaksinya itu, aku tidak yakin dia mendengar sepenuhnya. Ahh pedulikan! Itu hal dia. Paling penting aku telah melaksanakan tugasku dengan baik.
“ Ada apa-apa yang encik nak tanya?” soalku bersopan.
Dia nampak sedikit tersentak. Tepat sangkaanku. Dia bukannya hendak dengar tetapi hendak membuat air liurku kering. Paling tepat dia hendak dera aku secara halus dengan alasan tugas. Ahh! Rupanya dia masih juga tidak berubah dan pastinya rasa sakit hatiku terhadapnya tidak pernah hilang.
“ Terangkan sekali lagi dengan lebih terperinci” pintanya.
Aku tersentak. Sungguh tidak diduga itu yang bakal aku dengar. Setahu aku inilah penerangan yang paling terperinci yang pernah aku buat.
“ Maaf encik, kejap lagi saya ada temujanji dengan klien kita” ujarku berterus-terang malah satu bantahan secara halus dariku.
Aku harap dia akan benarkan aku keluar tetapi...........
“ Tak pe, saya suruh Nency gantikan tempat awak” ujarnya selamba lalu menekan interkom.
Aku hanya terpaku mendengar suaranya mengeluarkan satu perintah baru. Dia senyum.
“ Perkara tu dah settle, sekarang saya nak tahu lebih lanjut tentang projek tu” ujarnya mengulangi permintaannya sebentar tadi.
Lama juga aku terdiam dan melawan pandangannya. Aku tahu dia dapat mengagak akan perasaanku  tika ini.  Jika  keadaan ini  sama  dengan  situasi beberapa tahun lalu sudah pasti kata-kata kesat akan keluar dari mulut ini. Mahu tidak mahu aku mengalah juga untuk pertama kalinya. Azan tersenyum puas. Barangkali dia gembira melihat aku tewas kali ini.
“ Saya dah terangkan segala-galanya. Kalau encik tak faham-faham juga saya tak tahu nak buat apa lagi” perliku secara terhormat.
Kedengaran dia tertawa kecil.
“ Boleh saya keluar sekarang?” soalku mematikan gelaknya.
Dia menatapku lagi lalu mengangguk. Terus saja aku mengatur langkah ke pintu. Rasanya tidak sanggup aku menambah masa untuk berhadapan dengannya walaupun hanya untuk sesaat.
“ Dayu.........”
Langkahku terhenti.
“ Kau masih benci kat aku?” soalnya tiba-tiba.
Aku tidak menyahutnya. Tanpa sempat menoleh ke arahnya, aku terus saja keluar dari bilik itu. Tiada masa untuk aku membicarakan hal itu. Sepatutnya dia tahu akan jawapan untuk persoalannya itu dan masih ingat yang aku sentiasa membencinya. Rupa-rupanya kemarahanku padanya masih tidak padam walaupun dua tahun sudah berlalu.
“ Lamanya kau kat bilik tu, apa bos cakap?” soal Siti cuba merisik.
“ Selalunya kalau jumpa bos, kita buat apa?” soalku pula.
Siti tersenyum tawar. Barangkali terasa dengan kata-kataku. Aku mengeluh. Kenapa aku terlalu emosional sehingga Siti pula yang jadi mangsaku? Tidak adil kalau dia pula yang jadi sasaran ketidakpuasan hatiku.
“ Maaf kan aku. Untuk pengetahuan kau, aku dengan bos tu memang ada masalah” beritahuku seraya melangkah untuk meneruskan tugasku yang lain.
Kali ini Siti tidak banyak soal. Sememangnya dia cukup arif dengan perangaiku.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

                        Aku  terpacak  berdiri di  luar  menanti  kemunculan  Andy.  Kami sudah berjanji untuk makan bersama-sama tengah hari ini. Sedang leka menanti anak muda itu, tiba-tiba saja Azan muncul di depanku.
“ Jom lunch dengan aku” pelawanya.
Sorry, aku ada date dengan orang lain” balasku tanpa sempat melihat wajahnya.
“ Siapa?” pantas soalan itu keluar dari mulutnya.
Sakit hatiku mendengar soalannya itu. Seolah-olah segalanya perlu dilaporkan kepadanya sehinggakan aku rasa perlu meminta keizinannya terlebih dahulu sebelum melakukan semua ini.
“ Dengan siapa aku keluar, kau tiada hak untuk tahu” balasku tajam.
Masih tidak sudi menatapnya. Kedengaran Azan mengeluh kecil.
“ Sampai bila kau nak benci aku?” soalnya serius.
Aku diam. Begitu juga dengan Azan. Agaknya hatinya terguris dengan sikapku.
“ Dayu!”
Serentak aku dan Azan berpaling. Andy yang sedang berlari mendapatkan aku kematian langkah melihat Azan berdiri di sisiku. Barangkali dia hairan melihat bosnya terpacak denganku. Tentunya ada persoalan yang bakal aku jawab nanti. Andy pasti akan bertanya tentang hal ini.
“ Selamat tengah hari bos” sapanya hormat.
Azan mengangguk sambil tersenyum.
“ Ada hal pentingkah bos nak bincang dengan Dayu?” soalnya ramah.
Dia geleng kepala.
“ Jom kita pergi” ajakku lalu menarik tangan Andy membawa pergi.
Terkial-kial Andy melihat aku memperlakukan bosnya sedemikian. Mungkin dia tidak sangka aku akan meninggalkan Azan seperti itu. Andainya Andy tahu kisah antara aku dengan azan pasti ini dia akan faham.
“ Apa yang kau bualkan dengan bos tadi? ”
Tepat dugaanku. Baru saja melabuhkan punggung di kerusi Andy sudah mengajukan persoalannya. Langsung dia tidak mahu membuang masa.
“ Berbual? ”
Aku buat – buat tidak faham dengan persoalan Andy.
“ Aku takde pun berbual dengan dia tadi ” terangku.
Situasi tadi tidak boleh dianggap sebagai perbualan. Tiada pun wujud komunikasi yang baik antara aku dengan Azan yang boleh dianggap sebagai suatu perbualan.
“ Aku nampak bos ada cakap sesuatu tadi dengan kau ”
Andy masih juga tidak mahu mengalah. Aku hanya geleng kepala. Malas aku mahu membuka kitab permusuhan antara aku dengan Azan.
“ Aku laparlah. Jom order makanan” pintaku sekaligus mematikan topik perbualan tadi.
Syukur Andy terpengaruh juga dengan bicaraku sekaligus meninggalkan persoalannya tanpa sebarang jawapan. Namun aku sedar jika permusuhanku dengan Azan masih berlanjutan, lambat laun semua rakan sepejabat akan dapat menghidu juga nanti. Pada masa itu apa yang harus aku jawab? Malam ini baik aku mula fikirkan jawapannya.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

                        Anak mataku meliar mencari kelibat Andy. Semalaman aku tunggu dia. Aku dan Andy berjanji untuk pergi bermain tenis tetapi dia langsung tidak muncul. Andy bukannya seorang yang mudah mungkir janji atau manusia pelupa. Kalau ada apa-apa hal yang jadi penghalang sudah pasti dia akan khabarkan awal-awal lagi. Tetapi kali ini tidak. Inilah yang menghairankan aku. Bila aku yang call dia, Andy sudah keluar. Jawapan itu tetap sama bila aku telefon semula.
“ Kau ada nampak Andy tak?” soalku kepada Siti.
“ Aku tengok dia ada kat bilik tu tadi, cari fail” beritahu Siti seraya menunding jari.
Pantas aku bergerak untuk mendapatkan Andy. Tepat! Dia ada di situ.
“ Andy.....” panggilku yang masih terpacak di muka pintu sambil berpeluk tangan.
Dia menoleh.
“ Hey.....Dayu” ujarnya tersengih.
Matanya liar memerhatikan sekeliling buat aku jadi hairan. Bagai ada sesuatu yang cuba diawasinya.
“ Semalam kau pergi mana? Lama aku tunggu tau” rungutku.
“ Maaflah Dayu, aku ada hal” beritahunya.
“ Hal apa?” soalku terus.
“ Adalah.......” ujarnya cuba berahsia.
“ Apa dia?” gesaku.
Andy g            aru-garu kepala yang tidak gatal. Ganjil sungguh perangainya hari ini.
“ Cakaplah” gesaku lagi.
Andy nampak keberatan untuk bersuara. Aku tengok dia serba salah.
“ Sebenarnya......... sebenarnya........” suaranya teragak-agak.
“ Sebenarnya apa?” soalku bosan untuk terus menanti.
“ Aku tak tahu apa yang telah berlaku antara kau dengan bos”
“ Maksud kau?”
“ Bos tak nak tengok aku bersama kau” terangnya.
Aku tersentak. Betapa aku terkejut menerima berita ini. Kutatap wajah Andy yang nampak terkeliru.
“ Maksud kau Azan tak nak tengok kau sering bersama aku?” ulangku meminta kepastian.
“ Azan?”
Andy tampak hairan melihat aku selamba menuturkan sebaris nama itu. Perlahan – lahan dia mengangguk.
“ Jadi kau tak nak kawan dengan aku lagilah?” soalku.
“ Bukan macam tu”
“ Habis kenapa kau ikut cakap dia?” soalku janggal.
“ Dia suruh aku fikirkan masa depan kerjaya aku kat syarikat ni”
Ahh! Sakitnya hatiku. Andy tertunduk.
“ Dia ancam kau?”
Andy diam. Nampaknya Azan mengulangi perkara yang sama. Dia betul-betul ingin melihat aku terus membencinya. Dia betul – betul sudah melampau.
“ Dayu! Kau nak pergi mana tu?” laungan Andy langsung tidak aku endahkan.
            Dengan kasar aku menolak pintu bilik itu. Azan yang leka dengan kerjanya tersentak akan kemunculanku yang tiba-tiba itu.
“ Aku tak faham apa sebenarnya yang kau mahu dari aku? Dari dahulu sampai sekarang kau selalu saja menyakiti hatiku, seolah-olah itu satu perkara wajib yang harus kau lakukan. Aku tak tahu mana silapku sehingga aku patut menerima semua ni” ujarku berbaur kesalan.
Senyap seketika. Terasa anak mataku berkaca.
“ Apa yang kau cakap pada Halil sehingga dia menjauhkan diri dariku dan sekarang kenapa kau cuba halang Andy untuk jadi  kawanku sedangkan hanya dialah satu-satunya kawan yang memahamiku. Aku betul-betul tak faham dengan semua ni” luahku dengan kekesalan yang panjang.
Air mataku menitis ke pipi. Pantas kukesat. Azan terdiam panjang. Tiada lagi senyuman atau sengihannya untuk membalas kemarahanku. Barangkali dia tidak menyangka akan menyaksikan aku menangis di depannya.
“ Kali ini aku merayu kau, tolong jangan ganggu aku”
Aku terus saja meninggalkan bilik itu.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

                        Aku ke pejabat seperti biasa dengan harapan baru Azan tidak akan menggangguku lagi. Aku sudah lenguh untuk melalui semua itu. Hal semalam juga sudah aku lupakan agar semua ini tidak akan menghalang aku untuk berhubung dengannya demi tugas. Aku tidak mahu hal antara kami mengganggu tugasku. Antara hal peribadi dengan kerja adalah satu perkara yang berbeza. Cuma Azan sahaja yang sering mencampur adukkannya malah cuba mengambil kesempatan atas kuasanya untuk mendera aku.
                        Kutatap fail hitam di depanku yang perlu disemak dan ditandatangan. Kemudian pandanganku beralih kepada bilik itu. Aku berfikir panjang untuk melangkah ke situ. Ahh! Bukankah aku sudah berjanji untuk tidak mencampurkan urusan kerja dengan hal peribadi?
“ Bos kita ambil cuti seminggu” suara Siti mengejutkanku.
Dia memandang bilik itu. Kemudian beralih tepat ke wajahku. Barangkali dia tahu yang aku ingin berjumpa dengan lelaki itu.
“ Bila?” soalku.
“ Mula hari ni. Dia tak beritahu kau?”
Aku hanya geleng kepala.
“ Dia kata ada hal yang sangat penting” tambah Siti lagi.
Aku hanya diam.  Niatku sebentar  tadi terus kulupakan.  Barangkali  dia cuba mengelak untuk bertemu denganku? Mustahil! Andaian ini langsung tidak masuk akal. Tidak mungkin dia mengelak untuk bertemu dengan aku. Setahu aku dialah manusia yang paling gemar mencari kelibatku sehingga aku bersusah payah menyembunyikan diri darinya. Suatu masa dulu, dia sanggup mencari aku di sekeliling kampus semata-mata untuk membangkitkan kemarahanku malah setahuku dialah manusia yang paling kebal yang pernah aku jumpa. Sumpah seranahku yang tidak terbilang banyaknya langsung tidak memberi kesan kepadanya. Inikan pula hanya air mata dan kekesalanku yang dilihatnya. Aku terfikir sesuatu. Bukakah air mata ini mempunyai kuasa tersendiri malah senjata perempuan untuk melumpuhkan hati seorang lelaki. Tetapi aku tidak percaya Azan boleh tewas dengan semua ini. Azan tidak akan tewas semudah ini. Aku yakin ada sesuatu yang cuba Azan lakukan. Tidak tahulah sama ada hal pejabat atau hal peribadi.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

                        “ Apa!”
Aku terduduk di kerusi. Serasa degupan jantungku terhenti seketika. Gila! Memang dia betul-betul gila. Kalau dia tidak gila dia tidak akan melakukan semua ini. Perkara yang tidak waras! Sungguh tidak dapat diterima akal.
“ Apa mama cakap pada dia orang?”
“ Mama belum beri kata putus. Segala-galanya terletak ditangan kau, Dayu” sahut mama.
Syukurlah mama masih waras. Sekurang-kurangnya tindakannya tidak melulu seperti mana yang dilakukan oleh Azan.
“ Mereka nakkan segera keputusan kau” cerita mama.
Aku hanya diam. Mindaku tidak berfungsi. Sebetulnya aku terkejut menerima berita ini. Sungguh besar kejutan yang Azan hadiahkan kepadaku.
            Lamaran Azan menjadi cerita hangat dan sensasi membuatkan sepejabat gempar. Akulah orang pertama yang menjadi sasaran dengan pelbagai soalan. Usikan mereka yang mengatakan aku mempunyai kuasa sihir sehingga  dalam masa yang singkat membuatkan bos muda itu bertindak di luar dugaan. Mereka tidak tahu sebetulnya sudah sekian lama aku mengenalinya tetapi aku tidak berminat untuk menyebarkan hal ini. Aku tidak mempedulikan perkara lalu tetapi perkara sekarang yang harus aku ambil tindakan segera. Keputusannya mudah saja. Mana mungkin aku menerima musuhku untuk dijadikan bakal pelindungku seumur hidup ini.
            Sejak beberapa minit lalu langsung tiada suara yang keluar. Kulontar pandanganku jauh-jauh. Azan di sisiku tetap tenang.
“ Aku tau kau pasti kata aku gila. Sememangnya aku gila kerana kau, Dayu”
Pantas aku berpaling menatap Azam. Dia tersenyum.
“ Aku sedar perbuatanku melarang Andy mendekati kau memang agak keterlaluan tetapi ketika aku menentang Halil dari mendekati kau adalah perkara yang terbaik yang aku lakukan untuk kau”
Aku mengulangi menatap wajah itu. Cuba mencari makna yang tersirat di sebalik bicara itu.
“ Aku tak nak kau kecewa dan rasa sakit hati seperti mana aku kecewa dan sakit hati bila aku tahu kau begitu meminati anak Mat Salleh tu”
Tidak sudah-sudah wajah itu kutatap. Azan tertunduk. Kemurungan wajah itu sudah cukup membayangkan kekecewaannya.
“ Aku tak nak kau jadi seperti Diah. Dia ditinggalkan setelah segalanya Halil dapat. Aku tau Halil bukan lelaki terbaik untuk kau” tegasnya.
Aku tersentak. Perkara lalu kembali berulang. Aku sendiri menyaksikan kelukaan gadis itu. Dia menangis siang malam sehingga dia jatuh sakit. Aku tahu kekejaman lelaki yang membuatkan dia jadi begitu. Namun belum sempat aku bertanya siapa lelaki itu, Diah sudah meninggalkan kampus.
“ Dari dulu sampai sekarang aku tak pernah melupakan kau. Semakin kau benci aku semakin dekat pula aku rasa kau di sisiku. Aku sanggup lakukan apa saja untuk kau, Dayu. Melihat kau menangis tempoh hari menyedarkan aku betapa aku telah melukakan perasaanmu. Aku kesal dengan semua tu. Sesungguhnya aku tak sanggup melihat kau menderita tapi dalam masa yang sama aku tak sanggup kehilangan kau” luahnya.
Azan tertunduk lagi. Hatiku digamit sayu. Tanpa kusedari air mataku menitis ke pipi. Aku mula menyedari betapa Azan juga terseksa kerana sikapku selama ini. Maafkan aku Azan!
“ Sekarang terpulang untuk kau menentukan siapa yang lebih berhak untuk memiliki hatimu. Aku takkan salahkan kau andainya kau menolak lamaran tu” ujarnya lembut dan perlahan-lahan.
Aku menarik nafas dalam-dalam. Kudekati Azan yang tertunduk. Pantas kupegang bahunya. Dia menoleh dan menatap wajahku.
“ Terima kasih kerana menyelamatkan aku dari perangkap seorang lelaki yang tak bertanggungjawab” ujarku lalu senyum.
Azan turut tersenyum.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

                        “ Kau dah buat keputusannya Dayu?” suara mama yang meminta jawapanku menyentakkan aku dari lamunan.
Kutatap cincin di depanku ini lalu beralih kepada cincin berlian yang tersemat di jari manisku ini. Betapa aku terseksa selama ini. Tanpa dipinta air mataku menitis laju ke pipi.
“ Kau tak perlu hukum diri kau dengan apa yang telah terjadi. Semua tu bukan salah kau tapi takdir Allah. Mama tahu Azan pun takkan salahkan kau dan pasti dia tak nak tengok kau jadi macam ni” nasihat mama.
Aku diam. Mama, sesungguhnya aku membenci diri ini. Benci yang paling dalam tidak  setanding  benciku  kepada  Azan  suatu  masa  dahulu.  Aku  sendiri  yang menyebabkan impianku musnah. Aku tidak pernah melupakan saat kegetiran yang dilalui oleh Azan. Dia tinggalkan aku dalam senyuman perit. Senyuman yang cuba memujukku agar aku tidak pernah menyalahkan diriku. Tidak! Aku tetap benci dengan diri ini.
“ Syamie mahukan keputusan segera. Mama rasa pun dah sampai masanya untuk kau mulakan hidup baru” nasihat mama lagi.
Aku mengesat air mata di pipiku. Kutatap wajah mama yang penuh mengharapkan kebangkitanku semula. Maafkan aku mama.
“ Pulangkan cincin ni semula. Hati Dayu belum terbuka lagi untuk menerima sesiapa sebagai pengganti Azan” jelasku lalu meninggalkan mama sendirian di situ.
“ Syamie, aunty tahu sememangnya dia tak akan dapat lupakan Azan dan aunty yakin selamanya dia akan terus begini” keluh hati perempuan tua itu.
                       
Kutatap wajah malam. Betapa kelam dan mendung seperti mana yang aku rasa sejak Azan pergi. Betapa aku tidak mampu melupakan anak muda itu. Aku terlalu merinduinya. Apa yang pernah Azan katakan kepadaku sememangnya dikotakannya. Dia sanggup berkorban untukku. Justeru itu aku telah kehilangan dia buat selama-lamanya. Sepatutnya kereta itu yang merempuh tubuh ini tetapi terlalu pantas Azan bertindak lalu menggantikan dirinya untuk dijadikan mangsa.  
Azan, tidak perlu kau buktikan kekuatan cintamu. Aku percaya dan yakin akan keagungan cintamu itu. Suatu masa dulu setebal mana benciku terhadapnya sekukuh itu cintanya. Akhirnya kekuatan cintanya telah memusnahkan kebencianku itu. Bukan mudah untuk Azan menempatkan dirinya di hati ini, sebab itulah juga aku tidak akan sewenang-wenangnya melepaskan diri ini dari belenggu cinta itu. Biarlah jasad Azan terkubur buat selama-lamanya  tetapi cintaku untuknya  tidak akan mati. Aku akan buktikan hanya Azanlah yang berhak memiliki diri ini.
Selagi azan, kalimah Allah itu berlagu memuji keagungan-Nya, selagi itu nama Azan akan tersemat dalam diri ini. Aku akan pastikan nama Azan tidak akan terkubur dan hancur bersama jasadnya. Sesungguhnya Azan selamanya akan hidup diingatanku.
            Aku menangis lagi. Kusapu air mata ini lalu kudongak ke langit. Aku nampak Azan tersenyum di atas sana. Semoga kau ditempatkan bersama-sama orang mukmin yang dikasihNya. Amin.


-Tamat-
26/ 04 /00


                                                                                      

1 comment: