Thursday, 8 September 2011

Senyum Lagi 17

BAB 17


“Adik....”
Aku menoleh. Di sisi abah berdiri seorang wanita yang usianya tidak jauh berbeza daripada abah. Aku menatap wajah itu lama – lama. Kualih pandanganku kepada abang. Cuba kubandingkan seketika. Hampir – hampir seiras. Kuusap wajahku. Dia juga seiras denganku. Kenangan lalu mengimbas kembali.
“ Siapa perempuan ni abah?” dugaku.
Abah menatapku. Sepasang mata abah bersinar – sinar menatapku.
“Ni kan mama Adik. Adik tak kenal lagi ke?”
“Mama?”
Terlalu asing aku mendengar panggilan itu. Aku tersenyum sendiri.
“Ya mama. Mama Adik dan mama Lan” akui perempuan itu.
“Tidak! Aku tak punya mama!” bentakku keras.
Abah, abang sekaligus perempuan itu tersentak. Wajah berubah. Begitu juga dengan perempuan itu. Dia diam membisu sambil tertunduk.
“Adik dah tak punya mama. Mama Adik dah lama mati”
“Adik!”
Sepantas kilat tangan abah singgah dipipiku. Seketika wajahku terpaling.
“Abah!”
Kedengaran suara abang terkejut dengan tindakan abah itu. Buat pertama kali abah menyentuh pipiku. Aku tidak takut dengan renungan abah malah dengan berani aku melawan renungan itu.
“Jadi abah beriya – iya nak hantar Adik belajar ke luar negara kerana nak bersama perempuan ni?”
“Ni mama Adik, mama Lan dan isteri abah” tegas abah meyakinkanku.
“Abah dah tak de pertalian dengannya” nafiku berkeras.
“Walaupun beberapa tahun terpisah abah tak pernah melafazkan ceria untuk isteri abah, ibu kepada anak – anak abah” tegas abah lagi.
“Tempoh tu bukanlah satu jarak yang singkat, abah. Apa – apa saja boleh terjadi. Entah – entah dia punya suami lain” tuturku berani.
“Adik!”
Abah seakan tidak mempercayai kata – kata itu terbit dari mulutku. Mungkin di luar dugaannya aku jadi begitu biadap.
“Tidakkah abah takut nanti abah akan ditinggalkan lagi?” soalku.
Kurenung tajam perempuan itu. Air matanya sudah membasahi pipinya. Abang tetap membisu. Abah terdiam. Barangkali cuba sedaya upaya mempertahankan benteng kesabarannya.
“Kenapa setelah kehidupan abah mewah baru dia muncul? Isterikan apakah jenis macam ni? Layakkah dia dipanggil mama?” sindirku.
“Cukup Adik! Jangan biadap sangat dengan mama!” tegah abah.
Aku tersenyum sendiri.
“Nampaknya abah dah lama ada hubungan dengan perempuan ni di luar pengetahuan kami. Adik ingatkan abah, tolong jangan belakangkan soal agama. Orang penjajah memang tak tahu hukum Allah” luahku bersahaja.
“Kurang ajar punya anak. Keluar! Keluar dari rumah ni! Abah tak nak tengok muka Adik di rumah ni lagi!” jerkah abah sambil menunding jari ke pintu.
“Tak perlu abah arahkan, Adik sendiri boleh pergi. Selamat tinggal abah, abang”
Aku berlalu ke pintu.
“Adik!”
Kedengaran suara abang melaung memanggilku.
“Biarkan dia pergi. Abah tak punya anak biadap macam tu”
Kupecut motor memecah keheningan malam. Kata – kata abah kembali bermain di benakku. Aku tidak sangka aku begitu berani berlaku kurang ajar kepada abah. Mungkin kerana selama ini jiwaku tertekan menyebabkan aku lupa seketika siapa denganku berdepan. Buat kedua kalinya aku menangis. Satu – persatu mengalir hangat di pipiku. Kenangan lalu kembali bermain dibenakku. Sepuluh tahun peristiwa itu terjadi namun dalam jarak yang lama itu aku tidak pernah melupakannya begitu saja malah segalanya masih segar diingatanku.
Pertelingkahan kecil antara abah dan perempuan itu menyebabkan dia membawa diri keluar dari rumah. Dari detik itu aku lihat abah tidak henti – henti bekerja. Bila ditanya, abah kata hidupnya hanya untuk anak – anaknya dan abah tidak mahu anak – anaknya meninggalkannya kerana kemiskinan. Aku tahu abah kecewa dengan perpisahan yang tidak dirancang itu. Setiap kali bersendirian aku tengok abah pasti merenung gambar perempuan itu. Begitu sajalah cara abah melepaskan kerinduannya kepada insan yang disayanginya.
Rentetan itu, aku membesar tidak seperti anak – anak perempuan lain. Baju kurung yang abah belikan sepuluh tahun lalu tidak pernah kusentuh. Malah masih berlipat kemas di dalam almari. Aku membesar dengan didikan seorang lelaki. Abah dan abang adalah model ikutan buatku. Akhirnya aku membesar seperti yang ada sekarang. Aku tidak memliliki baju kurung selain uniform sekolah. Aku tidak pernah berambut panjang, jauh sekali untuk bersolek. Ciri – ciri yang dimiliki oleh gadis lain seakan tidak wujud dalam diriku. Aku benar – benar menjadi gadis kasar, membesar dan bergaul dalam kelompok lelaki, pergaduhan, sepak terjang, pukul – memukul seperti lelaki sudah menjadi rutin hidupku. Walaupun abah mendidik aku dan abang dengan tegas namun siapa sangka di belakang abah kami buat kes. Tiada sesiapa tahu sebab musabab kami berkelakuan sedemikian tapi yang pasti aku kehilangan kasih sayang seorang ibu, kurang perhatian abah.
“Dahlah tu Edora” suara Eddy lembut memujuk cuba mendamaikan gelodak perasaanku.
Aku mendongak wajahnya. Dari raut wajah putih bersih itu seperti menjanjikan ketenangan buatku.
“Sabarlah ye. Anggaplah ni sebagai satu rahmat buat kau”
“Apa kau kata rahmat buatku?”
Aku kehairanan dibuatnya.
“Ya, kau dapat merasa kembali kasih sayang seorang ibu yang telah hilang tapi aku, ayahku tidak pernah muncul – muncul lagi” keluhnya hampa.
“Seorang insan yang bergelar ibu tak pernah wujud lagi dalam hidupku”
“Sekarang seharusnya kau reda. Kau mesti cuba memahami keadaan tika itu” pujuk Eddy lagi.
“Walau apa cara sekalipun kau bela, dia tetap salah. Aku tak pernah terniat untuk memaafkannya. Kalau abah sunyi sekalipun aku lebih rela abah kahwin lagi asal jangan perempuan orang puteh itu” tegasku keras.
Eddy geleng – geleng kepala.
“Sampai bila kau harus membenci dia? Kau mengutuk dirinya samalah seperti kau mengutuk dirimu sendiri. Darah perempuan tu tetap mengalir dalam tubuh kau, Edora” tutur Eddy lagi cuba menyedarkanku.
Aku terdiam seketika.
“Aku benci dia. Aku tak perlukan dia lagi!” bentakku.
“Berdosa besar kau berperasaan begitu. Sekalipun kau tak perlukan dia tapi kau harus ingat abah kau perukan dia. Perempuan yang dia cintai malah ibu kepada anak – anaknya” tegas Eddy.
“Dia lebih berdosa meninggalkan suami dan anak – anaknya yang perlukan kasih sayang dan perhatiannya. Sungguh dia tak berhati perut meninggalkan suami dan anak – anaknya begitu saja. Kalau betul dia seorang ibu yang bertanggungjawab dan penyayang, dia takkan tega melakukan semua tu”
Sungguh aku terluka dengan tindakannya sepuluh tahun lalu. Luka dihati ini masih tetap berdarah dan kelukaan hati ini tidak akan sembuh hanya dengan permintaan maaf. Tidak semudah itu!
“Kau tak boleh berdendam macam ni”
“Habis kau nak aku layan dia seperti permaisuri! No way, Eddy!”
“Bukan macam tu maksud aku. Kau hormati dia pun dah cukup”
“Kau tak faham. Kau tak tahu betapa kecewanya aku dengan sikap dia. Suatu waktu aku pernah dahagakan kasih sayangnya. Kenapa ketika abah susah, dia menghilang begitu saja? Setelah kemewahan dikecapi baru dia muncul. Adakah ni ciri – ciri perempuan yang layak kupanggil mama, isteri yang setia pada abahku?”
“Kau takkan faham, Edora”
“Kau yang tak faham perasaanku, Eddy”
Bingkas aku bangun. Baru hendak melangkah, Eddy menahanku. Dia geleng kepala. Aku tertunduk. Tiba – tiba saja air mataku mengalir. Bahuku ditepuk – tepuk lembut. Eddy terus mendakap tubuhku. Aku menangis sepuas – puasnya dalam pelukan pemuda ini.
“Sabarlah. Aku tahu kau tak dapat terima kenyataan ni”
“Kenapa aku yang melalui semua ni? Kenapa bukan orang lain?” rintihku hiba.                “Sabar. Semua ini dugaan Allah kepada hambaNya. Sesungguhnya Allah itu sayangkan kau sebab itu kau diuji sedemikian” lembut suara Eddy berbisik ditelingaku.
Seketika kupejamkan mata melupakan segalanya. Ternyata aku gagal. Wajah perempuan yang mengaku dirinya insan yang melahirkan aku menjelma lagi. Kemudian menyusul pula wajah abah. Aku rindukan wajah itu, rindu wajah abang.
“Eddy, buat masa ni jangan cari aku. Biarlah aku pergi mencari ketenangan buatku” pintaku.
Aku terus berlalu meninggalkannya.
“Edora, kau nak pergi mana?” laungnya.
Di ruang tamu banglo mewah itu kelihatan Datuk Izhar melangkah ke sana – sini. Eizlan dari tadi terpaku di sofa. Perempuan itu pula tidak henti – henti menangis.
“Kau dah dapatkan maklumat dari kawan – kawannya, Lan?”
“Dah abah. Semuanya tak tahu ke mana Adik pergi”
“Budak tu memang degil” rungutnya.
“Dahlah marahkan dia bang. Julia tahu Julialah yang patut disalahkan. Semua ni berpunca dari Julia. Kalau bukan kerana Julia, Adik takkan pergi membawa diri” ujar perempuan itu dalam esakan.

No comments:

Post a Comment