Wednesday 22 June 2016

99 Mawar Merah Untukmu...! Bab 7




 
Bab 7

“Kenapa awak tiba-tiba ubah fikirkan setuju nak jadi rakan sepasukan saya?” Pertanyaan itu diajukan kepada Aunie. Dia ingin tahu jawapan daripada gadis ini. Sedar dirinya kurang disenangi oleh gadis ini. Penampilan diri sebegini tidak semua orang akan senang mendampinginya. Nampak jahat dipandangan mata kasar.
“Mestilah ada kepentingan pada saya” sahut Aunie tanpa berselindung. Eymar tersenyum lirih. Jawapan yang telus. Pada mulanya dia tidak bersetuju hendak menjadi rakan sepasukan Eymar. Namun tatkala terfikir tugasan Encik Lokman ini berkaitan masalah sosial yang berlaku di sekitar bandar ini, maka dia merasakan menjadi rakan sepasukan Eymar memang pilihan tepat. Tidak perlu susah-susah turun ke lapangan memandang Eymar sendiri boleh dijadikan responden. Dia akan menemu bual pemuda ini. Paling mudah minta sahaja Eymar menjawab semua persoalan kerana isu-isu yang akan dikemukakan berkaitan dengan pengalaman hidup pemuda ini. Kemudian dia akan memurnikan tugasan tersebut sebelum dihantar kepada Encik Lokman. Begitu mudah. Demikianlah perancangan yang ada dalam benak Aunie.
“Saya nak buat kajian tentang kumpulan samseng yang wujud di sekitar bandar ini. Jadi awak mesti bersedia” Aunie menjelaskan perancangannya. Eymar mempamer wajah bersahaja. Sudah dapat mengagak langkah seterusnya.
“Boleh... Nanti kita sama-sama turun ke lapangan untuk lebih menyelami perasaan kaki-kaki samseng ini” sahut Eymar menyokong. Besar anak mata Aunie menatapnya. Gerun.
“Bahaya...” keluh Aunie bimbang. Eymar tersenyum.
“Awak jangan takut saya akan jaga dan lindungi awak. Tak ada siapa yang boleh menyakiti dan mencederakan awak. Saya pernah cakap pada awak sebelum ini” ujar Eymar mengulangi kata-kata itu. Aunie mencebik.
“Terima kasih saja. Tak nak saya. Cukuplah awak seorang jadi responden. Awak boleh berikan maklumat yang terbaik kerana semua ini berkaitan dengan pengalaman hidup awak. Awakkan kaki samseng...suka bergaduh...suka cederakan orang lain... kaki buli” tutur Aunie tidak berselindung. Eymar hanya tersengih. Kata-kata Aunie tidak menyinggung perasaannya.
“Pandai awak ucap terima kasih kali ini” sinis suara Eymar memerlinya. Aunie menjeling dan mencebik. Teringat pergaduhan kecil antara mereka tempoh hari gara-gara Eymar mempertikaikan tindakannya meninggalkan pemuda ini tanpa ucapan terima kasih setelah menyelamatkannya daripada jatuh berpadu dengan simen.
“Penghargaan mesti ikhlas, bukannya diminta-minta” sindir Aunie. Eymar tergelak. Tiba-tiba larangan Puan Aisyah Adiba terngiang-ngiang di telinga Aunie. Nampak mamanya bersungguh-sungguh menghalang kajian yang telah dirancang rapi ini. Tanpa sedar keluhan dilepaskan. Tidak yakin perancangan ini dapat dilaksanakan dengan lancar. Tidak mungkin dia hendak membiarkan pemuda ini melakukan sendirian. Dia tidak mahu menjadi rakan sepasukan yang tidak berfungsi. Rakan yang hanya tahu tumpang sekaki.
“Kenapa?” Eymar yang memerhatikan tingkahlakunya melontar pertanyaan. Aunie tidak ceria. Nampak ada perkara yang membelenggu dirinya.
“Pasti seronok kalau kajian ini dapat dilaksanakan dengan jayanya” ujar Aunie kurang bersemangat. Perintah Puan Aisyah Adiba yang mahukan kajian ini dibatalkan membuatkan dia serba salah. Dia perlukan sokongan orang lain untuk meyakinkan mamanya.
“Sudah semestinya kita akan buat yang terbaik” sahut Eymar bersemangat. Aunie tersenyum. Seronok melihat semangat berkobar pemuda ini. Namun senyuman ini sekejap sahaja. Dia mengeluh panjang.
“Ada masalahkah?” tanya Eymar sangsi. Perlahan-lahan Aunie mengangguk. Anggukan yang panjang. Tertekan tatkala hasrat hati yang mahu melakukan sesuatu yang terbaik telah dihalang.
“Mama... tak benarkan saya buat kajian ini. Dia bimbangkan keselamatan saya” ujar Aunie tidak mahu berselindung. Eymar patut mengetahui perkara ini. Mungkin juga cetusan ideanya berguna untuk menyelesaikan masalah ini.
“Oh... masalah kecil saja. Tak payahlah bimbang... perkara itu akan selesai nanti” sahut Eymar begitu tenang. Terkebil-kebil Aunie menatap Eymar. Eymar senyum.
“Awak kata dah ada draf untuk kajian itu. Boleh saya tengok?” tanyanya. Aunie mengeluarkan fail yang menyatukan kertas-kertas A4 yang tercatat perkara berkaitan kajian itu. Kemudian menghulurkan fail itu kepada Eymar. Beberapa minit diperuntukkan untuk Eymar membaca dan seterusnya memberikan komen serta pandangan pada draf kajian tersebut.
“Wah..., awak buat dengan baik!” puji Eymar kagum. Aunie hanya mempamer wajah kosong. Tidak teruja mendengar pujian itu. Dia masih bimbang memikirkan halangan mamanya. Dirinya tersepit antara kehendak hati sendiri dengan kemahuan mamanya.
“Bila kita boleh ke lapangan kajian jumpa dengan responden?” tanya Eymar teruja. Aunie mengeluh kecil.
“Saya akan pujuk mama agar benarkan saya ikut awak ke lapangan kajian. Andai saya gagal memujuknya... minta maaf banyak-banyak. Awak kenalah buat sendirian” keluh Aunie kecewa. Berat hati mahu membiarkan Eymar melakukan tugasan ini sendirian memandangkan inilah merupakan tugasan yang wajib diselesaikan bersama.
“Awak jangan bimbang. Selesai semua maklumat dikumpul... awak serah saja pada saya. Biar saya siapkan semuanya” janji Aunie cuba mendamaikan hati dan berlaku adil serta bertanggungjawab. Hanya ini sahaja cara dia menyumbang tenaga sebagai rakan sepasukan.
“Memang awak yang buat pun. Saya tak suka karang mengarang ni. Bahasa Melayu saya tak sehebat saya bercakap. Struktur binaan ayat saya tunggang-langgang. Nanti tak fasal-fasal perkara yang mahu disampaikan tak difahami. Bimbang juga maksud yang nak disampaikan tersasar jauh” tutur Eymar berjela. Aunie menjeling pemuda ini. Alasan yang diragui. Berjaya melangkah ke menara sudah semestinya selesai melalui saringan-saringan yang sukar.
“Ya saya yang buat. Tak payahlah banyak cakap. Pening saya dengar awak bercakap tak henti-henti” rungut Aunie. Eymar tergelak. Rungutan Aunie mencuit hatinya. Tidak sedar pula dirinya banyak cakap. Kebiasaan suaranya lebih banyak tersimpan di kerongkong.
“Sebenarnya awak dah buat pun lebih daripada yang patut” ujar Eymar cuba menyenangkan hati Aunie. Ikhlas dia menuturkannya.
“Terima kasih atas penghargaan awak ini. Saya akan buat sehabis baik” tutur Aunie berikrar. Eymar tersenyum. Yakin Aunie mampu melakukan tugasan ini dengan baik.
“Pasti seronok kalau dapat ke lapangan kajian dan jumpa mereka” keluh Aunie hampa. Pandangannya dilontar jauh menembusi dinding kaca ini. Kecewa hatinya tidak dapat menyertai pemuda ini bertemu dengan kumpulan samseng. Pengalaman menarik yang sukar diperoleh.
“Awak mahu berjumpa mereka? Awak tak takut?” tanya Eymar menguji Aunie.
“Kalau berpeluang... memang saya takkan lepaskan peluang itu. Kalau awak ada bersama... saya takkan takut” ujar Aunie yakin. Eymar tergelak sendiri. Hairan Aunie menatapnya. Bicaranya tidak lawak. Malah dia serius menuturkannya.
“Terima kasih sebab awak percaya saya boleh jaga dan lindungi awak. Saya amat menghargai keyakinan awak ini” ujar Eymar ceria. Aunie hanya mempamer wajah kosong. Tidak berminat memberi reaksi terhadap bicara Eymar. Tika ini rasa kecewa menyelubungi diri. Sedih sebab terlepas peluang hendak mengukir pengalaman hidup yang luar biasa dalam hidupnya. Tidak semua orang berpeluang bertemu dan beramah mesra dengan kumpulan samseng yang punya ramai musuh. Betulkah mereka boleh beramah mesra dengan orang awam? Adanya pemuda ini, Aunie yakin semua akan berjalan lancar. Mereka pasti dapat berkomunikasi dengan baik. Aunie melepaskan keluhan sekian kali.
“Esok awak ada di Butik Selendang Kasih?” Pertanyaan Eymar menyentakkan Aunie.
“Petang saya ada di sana. Kenapa?” tanyanya hairan.
“Saja nak tahu” balas Eymar tersenyum.
“Awak nak datang sana?” tanya Aunie sangsi. Kebimbingan terdetik di hati. Tidak mahu Eymar bersua muka dengan mamanya. Pasti mamanya tidak senang hati tatkala mengetahui pemuda inilah rakan tugasan Encik Lokman yang harus diselesaikannya. Penampilan Eymar bakal memberikan penilaian negatif daripada sesiapa sahaja yang memandangnya. Aksesori tengkorak yang menghiasi leher, jari dan pergelangan tangannya. Semua disembunyikan seketika di sebalik jaket hitam kulit ini kerana dia berada di bilik perbincangan dalam perpustakaan kampus ini. Rambut keperang-perangan azali yang terpacak berdiri.
“Tak bolehkah kalau saya datang sana nak beli tudung? Kalau awak ada sana boleh dapat diskaun” tanya Eymar tersengih.
“Oh... awak nak beli tudung untuk Era” ujarnya membuat andaian sendiri. Dipanjat kesyukuran kerana gadis itu telah dianugerah hidayah untuk berhijab. Aunie gembira kerana Eymar tidak menghalang malah mahu membeli tudung untuk Era. Perkembangan positif dalam hubungan mereka.
“Datanglah...nanti saya tolong awak pilih tudung yang cantik” ujar Aunie teruja. Eymar tersenyum lebar mendengar kunjungannya kali ini dialu-alukan oleh gadis ini.
“Terima kasih...” sahutnya gembira. Skrin iPhone pemuda ini menyala. Ada panggilan yang diterima dalam mod senyap.
“Sekejap ya...” Dia meminta ruang untuk menjawab panggilan itu. Aunie mengangguk. Dibiarkan pemuda ini berbual dengan orang yang menghubunginya.
“Okey... saya datang sana sekarang” suaranya cemas. Panggilan dimatikan. Aunie dipandang.
“Saya harus pergi sekarang. Jumpa awak esok di butik” ujarnya lantas bangun mahu beredar segera dari situ.
“Nak pergi mana?” tanya Aunie tertanya-tanya melihat keadaannya yang cemas.
“Ada nyawa yang perlu saya selamatkan” jelas Eymar buat Aunie terlopong. Perkara serius sedang berlaku.
“Hey... fail ini untuk awak! Pasti jangan hilangkan” pesan Aunie dalam keadaan kelam kabut itu. Laju tangan Eymar menyambar fail itu. Kemudian berlari anak ke muka pintu. Tidak sempat berbicara lagi. Aunie hanya terkebil-kebil menatap Eymar pergi. Sekejap sahaja kelibat pemuda itu sudah tidak kelihatan lagi. Dia benar-benar sedang mengejar masa.
“Ada nyawa yang perlu diselamatkannya” Aunie mengulangi bicara Eymar. Terbayang aksi wira Eymar di matanya. Pemuda itu sedang bertarung menentang musuh. Cuba menyelamatkan nyawa seseorang yang sedang terancam. Semangat setia kawan yang utuh dalam kalangan kumpulan samseng. Aunie melepaskan keluhan kecil.
“Hidup awak tak aman. Mudah-mudahan Allah berikan awak kehidupan yang lebih baik kelak. Hidup normal seperti orang lain. Ya Allah selamatkanlah pemuda ini” Doa Aunie memohon kebaikan buat Eymar. Tidak salah sesama insan mendoakan kesejahteraan orang lain.


“Aunie... ada kawan-kawan kamu datang ni” suara Kak Ros mengarahnya melontar pandangan ke situ. Aunie tergamam menatap Eymar bersama dua orang pemuda sedang melangkah mendekatinya.
“Hai... saya dah datang. Ini kawan-kawan saya” sapa Eymar sambil memperkenalkan dua orang lelaki itu kepadanya.
“Hai...” serentak mereka menyapanya. Aunie terkedu. Terlopong dia menatap dua orang pemuda yang serupa penampilan dengan Eymar. Baju yang tidak berlengan menampakkan tatu naga di pangkal lengan kedua-dua pemuda ini. Bibir dan kening pemuda itu bertampal. Nampak tercedera. Pasti dialah yang diselamatkan oleh Eymar semalam. Direnung wajah Eymar. Tiada yang tercedera. Begitu juga dengan seorang lagi.
“Kenapa awak datang sini?” ujar Aunie cemas. Bila-bila masa sahaja Puan Aisyah Adiba akan muncul. Perkara yang merunsingkan Aunie. Tidak mahu mamanya bertemu dengan Eymar dan kawan-kawannya.
“Saya bawa responden kajian kita. Bukankah awak nak sangat jumpa mereka” tutur Eymar bersahaja. Cuba menunaikan hasrat hati Aunie. Niat yang baik.
“Nak buat kejutan pada awak. Awak tak teruja?” tanya Eymar tenang. Aunie mengetap bibir. Tidak sangka terlalu besar kejutan yang dipersembahkan pemuda ini. Terasa dia kekurangan oksigen sekarang. Rasa sukar hendak bernafas.
“Tak sopan betul awak ni. Langsung tak jemput tetamu duduk” keluh Eymar lantas melabuh duduk di atas sofa itu menghadap Aunie. Kawan-kawannya tergelak.
“Duduk...duduk...”arahnya kepada dua orang pemuda itu. Melayang tubuh dua orang pemuda itu sebelum mendarat di atas sofa. Aksi terbang dipersembahkan di depannya. Aunie kaget menatapnya. Tidak pernah jumpa orang yang duduk sedemikian rupa. Persis lagak budak-budak lelaki yang nakal.
“Awak jangan hairan. Mereka ni tak sekolah tak tahu nak bersopan” perli Eymar mengulas tingkahlaku kawan-kawannya. Faham dengan pandangan mata Aunie yang tidak berkelip-kelip tadi. Kedua-duanya tergelak lagi. Aunie menelan liur pahit.
“Cik... ada air tak? Dahaga ni” tanya pemuda gemuk ini. Besar anak mata Aunie tatkala tetamu mengajukan pertanyaan sedemikian. Eymar hanya menyandarkan tubuh di sofa sambil memeluk tubuh. Begitu bersahaja.
“Mari kita pergi sekarang. Saya belanja minum” ujar Aunie tidak tenteram kemunculan Eymar dengan kawan-kawannya di sini. Mahu mereka segera beredar dari butik ini.
“Tapi awak belum pilih tudung untuk saya” tingkah Eymar mengungkit hajatnya semalam. Kawan-kawannya berpandangan sesama sendiri. Tercengang.
“Awak nak beli tudung?” Serentak mereka bertanya. Tidak percaya. Kemudian tawa besar mereka terburai. Beberapa orang pelanggan mengarah pandangan ke arah mereka. Pandangan kurang senang kerana terganggu dengan tawa itu. Sebiji tumbukan padu Eymar singgah di bahu pemuda gemuk ini. Dia mengaduh kesakitan.
“Ampun brother...” ujar pemuda berkulit hitam yang belum sempat merasa tumbukan padu Eymar sebagai hukuman kerana mencetuskan tawa yang besar sebentar tadi. Tawa yang tidak menyenangkan hati Eymar. Aunie menepuk kepala. Pening. Dia kian cemas. Tidak lama lagi Puan Aisyah Adiba akan muncul. Kebebasannya akan tamat serta merta. Dia tidak boleh pergi ke mana-mana lagi tanpa pengawasan.
“Saya tak boleh bernafas sekarang. Cepat kita keluar dari sini” pinta Aunie sambil menatap Eymar. Diurut-urut dadanya. Aunie bangun lantas mendekati Eymar yang masih tidak berganjak dari sofa itu. Duduk yang santai. Tenang sahaja dengan kerenah kawan-kawannya.
“Cepat arah kawan-kawan awak ni keluar dari sini sakarang” arah Aunie cemas.
Ditarik jaket yang dipakai Eymar meminta pemuda ini bergerak sekarang. Eymar terdorong bangkit dari sofa. Terkebil-kebil dua orang pemuda ini melihat Eymar akur diperlakukan sedemikian.
“Dia nak belanja kita minum. Kita keluar sekarang” ujar Eymar mengajak kawan-kawannya meninggalkan butik ini.
“Okey...” Arahannya tidak pernah diengkari.
“Saya nak makan banyak hari ini. Lapar sangat ni. Cik bawa duit banyak-banyak tau” arah pemuda gemuk itu. Aunie hanya menganggukkan kepala. Tidak kisah berbelanja lebih sebentar nanti. Di benaknya mahu mereka segera beredar meninggalkan Butik Selendang Kasih sebelum kemunculan mamanya. Pertembungan yang mesti dielakkan.
“Pergi Restoran Mutiara sekarang. Sekejap lagi saya datang sana” arah Aunie gusar. Eymar mengangguk faham. Kemudian menyertai kawan-kawannya yang sudah berada di luar. Aunie menarik nafas lega tatkala mereka tidak berada berdekatan dengan Butik Selendang Kasih. Eymar dengan kawan-kawannya sudah melangkah masuk ke dalam bangunan itu. Aunie mendekati Kak Ros yang sedang menanti penjelasannya.      
“Itu pemuda Jersi 10 kan?” tanya Kak Ros meminta kepastian. Aunie mengangguk. Nama gelaran Eymar yang diberikan oleh Kak Ros lantaran jersi bernombor 10 yang Eymar berikan kepadanya.
“Yang dua orang itu siapa? Nampak tak sopan saja” komen Kak Ros menilai dari kejauhan. Aunie hanya geleng kepala. Tanda tidak tahu. Malas mahu bercerita panjang dengan Kak Ros. Berterus-terang perkara sebenar akan menambahkan kebimbangan Kak Ros.
“Saya jumpa mereka di Restoran Mutiara. Kalau mama cari saya tolong beritahu saya di situ” pinta Aunie meninggalkan pesanan. Kak Ros mengangguk.
“Saya pergi dulu...” ujarnya mahu segera berjumpa dengan Eymar dan kawan-kawannya. Bimbang mereka akan kembali ke sini mencarinya. Manusia seperti mereka tipis kesabaran. Terhukum jika menunggu lama. Langkah Aunie terhenti di ambang pintu. Dia berpaling semula ke arah Kak Ros.
“Kenapa?” tanya Kak Ros mendahului bersuara melontar pertanyaan.
“Saya minta perkara ini jadi rahsia kita” pinta Aunie. Tidak mahu kunjungan Eymar bersama kawan-kawannya ke butik ini sampai ke pengetahuan mamanya. Kak Ros mengangguk faham. Janji termeterai.
“Terima kasih Kak Ros” ujar Aunie lega.
“Jaga diri awak baik-baik. Kawan-kawan Jersi 10 itu macam tak boleh dipercayai” keluh Kak Ros meluahkan kebimbangannya. Aunie tersenyum.
“Dia boleh kawal kawan-kawannya. Kak Ros tak payah risau” ujar Aunie yakin kemampuan Eymar. Kak Ros tersenyum.
“Walaupun ada sedikit kebimbingan terhadapnya, Jersi 10 memang tampan. Padan dengan kamu. Bagai pinang dibelah dua” ujar Kak Ros sempat mengusiknya. Aunie mencebik. Lantas meninggalkan Kak Ros. Tidak mahu melayan usikan Kak Ros. Setibanya di Restoran Mahligai itu, Eymar dan kawan-kawannya sedang leka menikmati hidangan. Sunyi sepi. Perubahan suasana yang mendadak berbanding keriuhan mereka di butik tadi. Kedatangan Aunie disambut dengan senyuman. Namun tidak mahu bersuara tika ini.
“Pandai pula bersopan ketika makan” bisik hati Aunie mengutuk. Eymar meletakkan sepinggan me goreng di depan Aunie. Aunie menggeleng. Kantung perutnya sudah penuh terisi.
“Saya dah kenyang. Awak makanlah” ujar Aunie menolak me goreng itu.
“Betul tak nak makan? Kalau tak saya makan” ujar pemuda gemuk ini dengan sisa makanan yang belum habis dikunyah. Mulutnya masih berisi makanan. Aunie mengangguk.
“Makan...makan...” arah Aunie menolak sepinggan me goreng itu ke arah pemuda gemuk ini. Dia tersenyum lebar. Kemudian meletakkan ke tepi pinggan yang baru sahaja kosong itu. Lantas meletakkan me goreng itu di depannya. Mula menikmati me goreng itu dengan rakusnya. Persis tidak kenyang lagi walaupun telah menghabiskan sepinggan me goreng sebentar tadi. Aunie terpaku memerhatikan.
“Awak tak nak minum?” tanya Eymar menatapnya. Aunie geleng kepala. Melihat kelahapan kawan-kawan pemuda ini makan sudah membuatkan Aunie terasa kenyang.
“Jangan hairan dia makan banyak pun tak akan kenyang-kenyang” ujar Eymar mengutuk kawannya yang gemuk itu. Pemuda gemuk itu tersengih.
“Awak tak baca bismillah sebab tu awak tak kenyang” meluncur laju kenyataan itu keluar dari mulut Aunie. Pemuda gemuk ini tersedak. Laju tangannya mencapai air kosong di gelas lalu dengan rakus meminumnya. Pemuda seorang ini pula tertawa. Eymar hanya tersenyum. Reaksi mereka mengundang kehairanan Aunie. Dipandang seorang-seorang.
“Oh..., sorry... saya terlupa” ujar Aunie cepat menyedari situasi yang membuatkan pemuda gemuk ini tercekek.
“Awak ni pandai berlawak. Saya suka awak” ujar pemuda gemuk ini. Aunie tersengih. Tersedar dengan kesilapan sendiri.
“Mustahil Cheng dan Raju pandai baca bismillah...” komen Eymar tersenyum sendiri. Bicara Eymar disambut dengan gelak tawa kedua-dua pemuda ini.
“Eymar pandai..” ujar pemuda itu. Mungkin namanya Raju. Kulitnya gelap. Yang berkulit putih, bermata sepet dan gemuk ini Cheng. Aunie membuat tafsiran sendiri. Dipandang Eymar. Fakta yang menarik tentang dirinya.
“Saya tinggal lama bersama kawan muslim. Sudah biasa cara hidup orang muslim” ujar Eymar memberikan penjelasan. Aunie terkedu. Ada perkara menarik di sebalik kehidupan ketiga-tiga pemuda yang menjadi responden kajian ini.
“Yang mana Raju dan yang mana Cheng?” tanya Aunie cuba mensahihkan tafsirannya.
“Saya.. Raju” sahut pemuda berkulit gelap memperkenalkan diri.
“Cheng...Oh...kenyangnya...” Cheng tersandar di kerusi sambil mengendang perutnya. Puas hati perut sudah penuh terisi. Tepat tekaan Aunie.
“Kami nak pergi sekarang” ujar Cheng. Eymar mengangguk.
“Maklumkan kepada Uncle Sam... malam ini saya datang” pesan Eymar. Cheng dan Raju mengangguk. Bingkas mereka bangun.
“Gembira jumpa awak cik nona manis” ujar Cheng tersenyum. Aunie memaksa diri tersenyum. Masih ada perasaan takut terhadap kawan-kawan Eymar yang nampak lebih agresif ini. Cheng dan Raju meninggalkan mereka. Laju Aunie berpaling ke arah Eymar.
“Kenapa awak biarkan mereka pergi? Saya belum pun menebual mereka” keluh Aunie memprotes tindakan Eymar. Dia tidak berani bertindak sendiri hendak menahan Raju dan Cheng. Sudah pasti dia tiada kuasa hendak memberi arahan kepada mereka.
“Awak yang lepaskan peluang itu. Tadi elok-elok dah kami sampai di butik tu” tingkah Eymar. Besar anak mata Aunie menatap Eymar.
“Awak ingat dengan pakaian begini awak boleh datang dan duduk lama di sana. Silap-silap semua pelanggan mama lari takut tengok awak dan rakan-rakan awak tadi” luah Aunie tidak dapat membendung perasaannya. Betapa cemas dan bimbang dirinya tadi. Eymar menatapnya tajam. Tersinggung mendengar kata-kata gadis ini.
“Apa salahnya berpakaian begini? Tubuh kami bukan tak berbalut pakaian nak buat semua orang takut” bidas Eymar rasa terhina dengan kata-kata Aunie. Dia mendengus. Aunie terdiam. Baru tersedar ketelanjuran bicaranya.
“Dah samseng... takkan Raju nak pakai kurta dan Cheng pakai samfu pula. Atau awak nak saya pakai serban dan berjubah” getus Eymar tidak puas hati. Wajahnya serius. Aunie masih mendiamkan diri. Sedar bicaranya telah membangkitkan kemarahan pemuda ini. Salahnya juga bercakap main lepas sahaja.
“Awak boleh hina saya tapi bukan hina kawan-kawan saya. Belajar menghormati orang lain dan jangan cepat sangat menilai orang lain dari luaran saja” nasihat Eymar. Terasa panas membahang wajah Aunie. Terpukul mendengar bicara Eymar.
Tiba-tiba sahaja Eymar bangun. Tanpa sepatah kata dia terus meninggalkan Aunie termangu sendirian di situ. Tidak percaya dirinya akan ditinggalkan sedemikian. 


Monday 13 June 2016

143...Tiada Penghujungnya...! Bab 23

 
BAB 21

“Oppsss...,” Buku di tanganku terlepas ke lantai lalu memecah kesunyian. Pengunjung kafeteria melontar pandangan ke arahku. Sedikit menimbulkan seganku. Lantas aku membongkok mengutipnya.
“Awak tak reti guna mata?” satu suara kasar mencelah di telingaku. Aku mendongak. Sara tersenyum sinis menatapku. Bingkas aku bangun tanpa mempedulikannya. Tidak mahu aku mengundang pergaduhan dengan gadis ini. Apatah lagi di tempat umum sebegini. Baru sahaja aku menapak beberapa langkah... puppp!!!! Sekali lagi buku di tanganku jatuh. Dua orang gadis sedang tersengih di depanku. Aku menatap mereka. Rupa-rupanya sahabat akrab Sara. Pasti mereka telah merencana semua ini.
“Dia ni betul-betullah buta. Jalan tak guna mata,” suara sinis Sara mencelah lagi. Aku melepaskan keluhan kecil cuba menyabarkan diri. Lalu membongkok mengutip buku yang jatuh kali kedua.
“Liya...,” suara lelaki menegurku. Aku mendongak. Boney sedang menatapku. Daniel bersama rakan-rakannya berada di sini sekarang.
“Oh..., Daniel...,” suara Sara yang garang bertukar manja. Dia merapati Daniel yang sedang menatapku dengan pandangan dingin. Tangan Sara sudah berpaut pada lengan Daniel. Berlagak manja yang dibuat-buat menimbulkan  kejengkelan. Sungguh menjengkelkan sikap Sara yang suka bermuka-muka ini. Bingkas aku bangun sambil menghantar senyuman pada Boney yang menyapaku tadi.
“Kami nak minum, marilah ikut sekali,” ajak Boney sambil disokong dengan anggukan kepala Farhan. Sara menarik muka masam sedangkan Daniel tetap dingin membeku. Pasti Sara tidak suka mendengar ajakan Boney itu.
“Takpelah, saya baru je minum tadi,” jelasku. Sara dan sahabat akrabnya menjeling-jeling ke arahku.
“Kalau macam tu kami pergi dulu...,” Aku mengangguk. Sempat bertukar senyuman dengan Boney dan Farhan. Daniel masih dengan wajah membeku. Betullah hidupnya tidak gembira. Seulas senyuman pun dia tidak mampu mengukirnya. Maafkan aku, Daniel. Kiranya akulah pemusnah senyuman yang suatu waktu dahulu sering terukir di bibir itu. Namun sedikit  terkilanku dengan diam Daniel. Mengapa dia tidak menegur tingkahlaku Sara yang kebudak-budakan itu? Sepatutnya sebagai saudara dia mesti membetulkan tindakan salah Sara itu. Aku yakin Daniel pasti menyaksikan kejadian yang disengajakan oleh Sara dan kawan-kawannya itu.
 “Adik...hati-hati!” Puppp...!! Krannnnnnggg!...Tannnnnggggg!!!! Aku melindungi mukaku dengan lengan dari ditimpa peralatan dapur yang sudah berterbangan rentetan perlanggaranku dengan lelaki ini, salah seorang pekerja kafeteria ini.
“Nia, awak okey?” derap langkah laju disusuli suara yang bertanya mendekatiku. Daniel sudah bertongkat lutut di sebelahku. Senyap. Semua orang sedang melontar pandangan ke arah kami. Kemalangan kecil yang mengaibkan. Sungguh aku malu. Terasa panas mukaku. Pasti merah merona. Sempat juga aku melihat Sara dan kawan-kawannya yang tertawa suka. Tiada simpati.
“Adik okey?”tanya lelaki itu sambil menatapku dengan pandangan bersalahnya. Aku mengangguk. Sedikit calar sahaja di pergelangan tanganku.
“Minta maaflah abang tak nampak adik tadi,” ujarnya mengakui kesalahannya. Aku hanya senyum. Sebenarnya bukan salahnya seorang. Aku juga yang berkhayal tadi. Sepatutnya aku boleh mengelak perlanggaran itu kalau aku tidak leka memikirkan tentang Daniel dan Sara tadi.
“Betulkah awal tak apa-apa ni?” suara Daniel bertanya lagi sekali gus menyedarkan aku tentang kewujudannya di sebelahku. Aku berpaling. Seketika aku dan Daniel hanya berpandangan.
“Mari dik!” Aku berpaling ke arah lelaki tadi. Dia sudah menghulurkan tangan berniat hendak membantuku berdiri. Belum sempat aku menyambut huluran tangan itu, Daniel pula menghulurkan tangannya. Kupandang Daniel kemudian beralih kepada lelaki ini. Dia tersenyum lantas menarik huluran tangannya. Tika ini mesti dia terfikir bahawa aku dengan Daniel ada hubungan istimewa. 
“Bangun...,” pinta Daniel seraya memegang pergelengan tanganku. Aku masih dalam posisi dudukku. Sedikit pun tidak berganjak biarpun Daniel sudah bersedia hendak menarikku bangkit.
“Saya boleh bangun sendiri. Pergilah...,” Arahku sekali gus menolak pertolongan itu. Daniel menatapku lama. Lelaki ini memandang aku dan Daniel. Lantas dia terus mengutip periuk belanga yang bertaburan di sekeliling ini, meninggalkan aku dengan Daniel. Tidak mahu terus jadi pemerhati. Tiba-tiba sahaja tangan Daniel begitu bertenaga bukan setakat menarikku bangun sebalik mencempung tubuhku.    
“Apa awak buat ni? Awak tak siuman ke!” ujarku keras. Aku cuba berkuat melepaskan diri tetapi Daniel sudah hilang pertimbangan waras lantas membawaku keluar. Sempat juga aku menatap lelaki yang berlanggar denganku tadi terlopong melihat aku diperlakukan sedemikian oleh Daniel. Selebihnya aku tidak sanggup melontar pandanganku ke sekitar kafeteria ini. Pasti yang lain juga persis lelaki tadi. Tidak sanggup aku mendengar cemuhan suara-suara yang memprotes tindakan tidak sopan Daniel ini.  
“Daniel...!!!” Kedengaran laungan suara Sara. Sudah semestinya Sara terhukum menyaksikan adegan ini. Daniel tidak mempedulikan laungan Sara itu sebaliknya meneruskan langkah membawaku keluar dari kafeteria ini. Sara terus bangun. Namun laju tangan Boney mencapai tangan gadis ini. Langkah Sara terhenti. Niat hendak mengejar langkah Daniel terbantut. Tajam pandangannya singgah di wajah Boney. Dia tidak suka diperlakukan sedemikian oleh pemuda ini.
“Lepaskan tangan saya,” arahnya dengan wajah yang serius.
“Biarkan Daniel selesaikan masalahnya,” pinta Boney. Sara melepaskan keluhan berat lalu menghenyakkan diri di atas kerusi dengan perasaan tidak puas hati. Dia terpaksa akur dengan permintaan Boney itu.
“Turunkan saya sekarang,” pintaku. Aku tidak mahu lebih banyak mata memandang ke arah kami. Aku bukan pesakit yang tidak berdaya hendak berjalan sendiri sehingga terpaksa didukung sebegini. Daniellah yang sakit sekarang sebab itu dia bertindak yang bukan-bukan.
“Daniel...!” Dia langsung tidak terganggu dengan suara kerasku ini. Daniel sudah dirasuk sehingga membuatkan dirinya bertindak tidak waras. Aku sungguh malu dengan orang di sekeliling yang sedang kehairanan menatap kami. Pasti tanggapan negatif telah dilontar kepada aku dan Daniel saat ini. 
“Daniel turunkan saya sekarang!” laungku keras sambil menolak-nolak tubuh Daniel. Daniel bertahan sedaya upaya pada pukulan tanganku.  
“Awak tahu tak kenapa saya tak suka awak? Sebab awak degil! Pentingkan diri sendiri! Tak memahami malah tak tahu menghormati permintaan orang lain! Awak angkuh! Sebab sikap awak ini saya  takkan bahagia jadi kekasih awak, Daniel!” bentakku keras. Langkah Daniel terus terhenti. Seminit kemudian Daniel telah meletakkan aku ke bawah. Pelukan tangannya dileraikan. Baru aku boleh bernafas. Daniel memejamkan mata. Lama. Tangannya digenggam. Mungkin Daniel sedang menahan amarah rentetan bicaraku ini. Dia memegang kepala. Mukanya berpeluh dan pucat lesi.
“Daniel...,” panggilku perlahan. Puppp! Dalam sekelip mata tubuh Daniel rebah menyembah bumi. Aku tergamam dan tidak sempat bertindak menghalang tubuh Daniel tersungkur ke tanah. Sungguh mengejutkan.
“Daniel...Daniel...,” panggilku perlahan seraya menggegar tubuhnya yang terbaring kaku. Aku panik dan menggelabah melihat Daniel tidak bergerak-gerak lagi. Matanya terkatup rapat. Ada darah mengalir di bibir Daniel.
“Daniel bangun...!” laungku sekuat hati. Sungguh aku ketakutan tika ini. Kedengaran bunyi derap langkah berlari ke arahku. Aku berpaling dan mendongak. Boney dan Farhan yang datang. Pasti jeritan lantangku tadi didengari oleh mereka.
“Daniel...Daniel...!” Panggil Farhan dan Boney silih berganti sambil menepuk-menepuk muka Daniel. Sara dan kawan-kawannya datang menyusul kemudian. Nampak nafas mereka tercungap-cungap. Ketakutanku bertambah-tambah tatkala melihat Daniel masih kaku. Dia tidak sedarkan diri.
“Kenapa dengan Daniel?” suara Sara cemas.
“Boney awak pergi ambil kereta sekarang. Kita bawa Daniel ke hospital,” arah Farhan. Kelam-kabut. Boney berlari meninggalkan kami. Sara mendekati Daniel.
“Tepilah awak,” Sara menolak tubuhku membuatkan aku terjelepuk.
“Sara...,” tegur Farhan. Dia sudah meletakkan kepala Daniel di pahanya.
“Semua ini salah awak. Awak yang buat Daniel jadi macam ni!” tengking Sara sambil menunding jari padaku. Aku mendiamkan diri. Memang aku menyalahkan diri melihat keadaan Daniel sekarang.
“Dia memang tak sihat. Dari tadi kami nak hantar dia balik tapi dia menolak,” ujar Farhan tenang cuba mengungkaikan situasi sebenar.
“Kalau berlaku apa-apa pada Daniel saya takkan lepaskan awak!” ancam suara keras Sara memberi amaran. Aku diam dan tidak mempedulikan kemarahan gadis ini. Pandanganku tidak beralih dari Daniel. Bimbang dan tidak berdaya. Aku tidak mampu berbuat apa-apa untuk Daniel.
“Padan muka,” suara sahabat-sahabat akrab Sara pula yang mencelah mengutukku. Aku hanya berdiam diri. Cuba menahan air mata yang bertakung di birai mata. Tidak mahu menangis di depan Sara dan kawan-kawannya ini. Boney muncul semula lantas membantu Farhan mengangkat tubuh Daniel.
“Kami nak hantar Daniel pergi hospital. Awak nak ikut sekali?” tanya Boney mahu mengajakku.
“Tak payah dia ikut. Cepat jangan buang masa lagi,” tegas Sara. Aku mengangguk. Tidak membantah larangan Sara.
“Kamu pergilah dulu nanti saya menyusul,” ujarku perlahan. Farhan dan Boney melarikan tubuh Daniel yang masih kaku ke arah kereta yang terletak di bahu jalan. Sara berlari anak di belakang lalu sama-sama masuk ke dalam kereta. Kereta yang dipandu oleh Boney terus bergerak ke destinasi meninggalkan aku yang masih terpacak di situ memerhatikan kepergian mereka. Kedua-dua sahabat Sara tadi menyusul di belakang. Air mata yang kusimpan lama jatuh berderai di pipi. Aku menangis bersendirian di situ. Bimbang perkara yang serius menimpa Daniel.
“Ya Allah... selamatkanlah Daniel...,” hatiku berbisik mendoakan keselamatan Daniel. 
♪♫♪♫♪♫♪♫
Aku masih terpacak di depan jendela ini melontar pandangan jauh. Fikiranku sarat memikirkan tentang Daniel. Bagaimana keadaannya sekarang? Sudah sedarkah dia? Mengapa Daniel tiba-tiba sahaja pengsan? Adakah Daniel menghidap penyakit kronik? Ohh..., berat kepalaku memikirkan semua ini! Aku berharap Daniel sihat walfiat. Sebagai sahabat yang pernah akrab dengannya pasti aku juga bimbang akan keadaan Daniel sekarang. Lebih-lebih lagi tatkala aku teringat pada Nek Jah. Nek Jah pasti risau tika ini. Daniel bukan sekadar cucu kesayangannya malah hubungan mereka persis ibu dengan anak. Sejak sekian lama Daniel tinggal dengam Nek Jah. Ringkasnya Daniel membesar di depan Nek Jah. Deringan iPhone memecah keheningan. Nama Zatul terpamer di dada skrin. Pasti Zatul telah mendapat perkhabaran terkini tentang Daniel.
“Assalamualaikum... Awak di mana sekarang?” tanya Zatul. Salam Zatul kujawab dalam diam.
“Rumah...,” jawabku pendek.
“Awak dah tahu Daniel masuk wad sekarang?” jelas Zatul seperti yang kujangkakan. Aku memang tahu Zatul akan memperkatakan tentang Daniel. Sehingga ke hari ini Zatul tidak pernah ketinggalan mengikuti kehidupan Daniel.
“Ya...saya dah tahu” sahutku lemah. Tidak mahu aku menceritakan kejadian yang menimpa Daniel berlaku di depan mataku. Aku tidak tahu bagaimana hendak memulakan cerita ini. Malah aku tidak mahu dihujani dengan banyak pertanyaan yang bakal keluar dari mulut Zatul.
“Marilah kita jenguk dia di hospital ” ajak Zatul. Senyap. Perlukah aku menerima ajakan Zatul ini? Sara tidak akan membenarkan aku bertemu dengan Daniel. Dia tidak pernah menyenangi kewujudanku. Apatah lagi hendak berdekatan dengan Daniel. Mahukah Daniel menemuiku?
“Kehadiran saya di situ tak diperlukan” luahku tanpa berselindung. Kedengaran keluhan Zatul. Tidak suka mendengar kata-kataku.
“Siapa kata? Saya tahu pasti Daniel mengharapkan awak bersamanya sekarang” tingkah Zatul begitu yakin. Aku menghela nafas panjang. Aku akan mempertimbangkan kehadiranku ke situ. Namun bukan sekarang.
“Sara tak senang saya berada di situ” jelasku. Suara kasar gadis itu terngiang-ngiang di telingaku.
“Awak bukan nak jumpa dia pun” tingkah Zatul. Memang benar. Berapa banyak keikhlasan di sebalik hajat yang ingin ditunaikan, namun Sara tetap akan menolaknya. Sara memang menganggapku musuh. Aku tahu saat begini pasti Sara sentiasa di samping Daniel. Aku tidak mahu mengundang kemarahan Sara. Bahkan aku tidak mahu menimbulkan suasana yang tegang dalam keadaan Daniel sekarang.
“Betul awak tak nak pergi?” tanya Zatul meminta kepastian.
“Awak pergilah dulu. Kalau keadaan mengizinkan, insya-Allah saya akan jenguk Daniel nanti” ujarku tidak pasti bilakah masa yang sesuai hendak bertandang ke situ. Keluhan Zatul kedengaran lagi. Dia tidak menyenangi keputusanku. Daripada menimbulkan kemarahan Sara lebih baik aku menanguhkan pertemuan itu. Rasanya Daniel pun tidak mengalu-alukan kedatanganku ke situ.
“Kalau macam tu takpelah. Assalamualaikum... Bye...” Kedengaran suara Zatul hampa setelah ajakannya hendak menjenguk Daniel di hospital terpaksa kutolak. Keputusanku telah mengecewakan Zatul. Aku menghenyakkan tubuh di sofa panjang. Serba-salah. Suara Sara yang menyalahkan aku atas kejadian yang menimpa Daniel kedengaran kembali. Mustahil Sara menyalahkan aku rentetan penolakan cinta Daniel terhadapku. Setahuku Sara memang menyimpan perasaan pada Daniel. Tindakanku ini pasti mendapat restu Sara. Mungkin Sara menyalahkan aku kerana pernah menjadi sahabat akrab Daniel. Salahku juga membuatkan Daniel jatuh cinta kepadaku. Seharusnya aku tidak membiarkan Daniel mendekatiku. Sebaliknya meneruskan permusuhan yang pernah wujud antara kami. Namun siapa aku hendak menentukan suratan perjalanan hidup sebegini. Aku mengeluh lagi. Astagfirullah... !Kesal lantaran membanyakkan keluhan tatkala masalah menimpa diri. Bukankah sepatutnya aku muhasabah diri. Cuba membuat pertimbangan sewajarnya.
“Jangan terlalu kejam sangat Liya. Awak nak jadi orang yang takde perasaan?” bicara yang pernah keluar dari mulut Zatul terngiang-ngiang kembali. Zatul mempertikaikan tindakanku terhdap Daniel.
“Soal hati dan perasaan adakalanya tak boleh dikawal. Awak langsung takde perasaan pada Daniel atau awak tak yakin padanya?” tanya Zatul lagi. Memang aku tidak yakin Daniel boleh jadi kekasihku. Bahkan aku juga tidak yakin pada diriku sendiri. Terlalu banyak jurang perbezaan yang wujud antara kami.
“Perbezaan yang wujud adalah pelengkap pada sebuah perhubungan” suara Fatin pula kedengaran. Aku mula merasakan sahabat-sahabat akrabku seakan merestui Daniel menjadi kekasihaku. Walaupun tidak secara terang-terangan namun jelas Zatul, Umie dan Fatin mahu aku mempertimbangkan perasaan Daniel kepadaku. Ya Allah, apa yang patut aku lakukan? Berilah aku petunjuk yang terbaik buatku dan buat orang yang berada di sekelilingku. iPhoneku berdering mengejutkanku. Aku mengalih pandangan pada skrin iPhone. Tertera nama Nek Jah membuatkan aku bangkit dari perbaringanku di sofa ini.
“Assalamualaikum Nek Jah” sapaku berebar-debar. Salamku disambut oleh suara Nek Jah. Tidak pernah aku menduga Nek Jah akan menghubungiku.
“Apa khabar? Lama dah tak jumpa kamu” Lembut suara Nek Jah menyapa. Sejak Daniel bersikap dingin aku tidak lagi bertemu dengan Nek Jah.
“Sihat...Nek Jah sihat?” sahutku ringkas dan bertanya perkhabarannya.
“Alhamdulillah sihat. Kamu tahu Daniel demam?” suara Nek Jah mengajukan pertanyaan.
“Ya... saya tahu” jawabku serba salah.
“Bila nak datang ke sini? Daniel dah ada di rumah sekarang” jelas Nek Jah buat aku tersentak. Cepat Daniel meninggalkan hospital. Aku memang berharap Daniel akan cepat sembuh. Aku diam.
“Datanglah sini nanti. Daniel tak tahan dengan air hujan. Balik dari hantar kamu terus diserang demam. Tak sangka pula boleh serius macam ni sampai pengsan-pengsan” keluh Nek Jah.
“Ya... Daniel basah kuyup sebab dia berhujan masa hantar saya balik” sahutku kian rasa bersalah.
“Dia memang akan sakit kalau terkena air hujan” keluh Nek Jah lagi. Daniel demam pasti buat dirinya susah hati. Aku tidak tahu Daniel alah pada air hujan. Kalau aku tahu Daniel tidak boleh terkena air hujan sudah pasti aku tidak akan membiarkannya meredah hujan. Kasihan Daniel kerana aku dia jadi macam ini.
“Datang sini ye... Boleh jenguk Daniel demam” pinta Nek Jah seakan mengharap kehadiranku ke situ. Senyap. Aku sedang mempertimbangkan permintaan Nek Jah. Perlukah aku muncul di depan Daniel tika ini? Adakah Daniel  tidak akan terbeban dengan kehadiranku di situ nanti? Bimbang juga kalau Daniel fikir aku mencampuri urusan hidupnya.
“Datanglah... Nanti kamu boleh tolong Nek Jah jaga Daniel” tambah Nek Jah mengukuhkan permintaannya.
“Saya risau kedatangan saya akan buat Daniel marah” Kuluahkan jua perkara yang terpendam di hati tanpa halangan. Kedengaran tawa Nek Jah.
“Dia pasti suka kalau kamu datang sini” balas Nek Jah begitu yakin.
“Tak pun terus sihat walfiat tengok kamu datang” tambah Nek Jah berseloroh. Aku tersenyum sendiri. Pandai Nek Jah bergurau.
“Risau juga tengok Daniel tak bangun-bangun lagi. Tinggal di wad tak nak. Makan ubat pun tak nak. Mujur juga ada Doktor Feqri boleh datang rumah periksanya” rungut Nek Jah tentang kedegilan Daniel. Rupa-rupanya Daniel belum sihat lagi. Mujur keluarga Daniel kaya ada doktor peribadi yang boleh dipinggil bila-bila masa sahaja. Kalaulah dirinya macam orang kebanyakan pasti sakitnya melarat kerana tiada kemahuan hendak cepat sembuh. Terbayang keletihan di wajah tua Nek Jah. Kasihan.
“Kejap lagi saya datang sana” ujarku membuat keputusan setelah mempertimbangkannya sejenak. Daniel sakit kerana aku. Tidak wajar aku langsung tidak menjengukkan diri hendak melawatnya.
“Oh..., gembira Nek Jah mendengarnya” sahut Nek Jah ceria.
“Nanti kita jumpa Nek Jah. Assalamualaikum...” ujarku lantas mematikan perbualan di talian. Suara Nek Jah sudah tidak kedengaran lagi. Aku terus menghubungi ayah untuk mendapatkan keizinannya. Ayah tidak membantah.
“Assalamualaikum...” sapaku tatkala Mak Munah menguak pintu untukku. Kami saling bertukar senyuman. Lantas aku menyalami tangan Mak Munah dan bertanyakan perkhabaran dirinya. Senyuman ceria Mak Munah sudah cukup menjelaskan bahawa dirinya baik-baik sahaja. Dia dan suaminya seronok tinggal bersama Nek Jah yang baik hati. Beruntung bekerja dengan majikan yang bertimbang rasa. Mak Munah dan Pak Shuib pun baik orangnya.
“Dania dah datang?” Kedengaran suara Nek Jah melontar pertanyaan. Kelibatnya masih tidak kelihatan.
“Ya... datin, Dania ni” jelas Mak Munah. Nek Jah muncul lalu memelukku mesra. Persis aku sebahagian daripada ahli keluarganya.
“Daniel tidur. Mari kita tengok dia” ajak Nek Jah. Aku mengangguk dan mengiringi langkah Nek Jah mendaki anak tangga untuk sampai ke tingkat atas. Kedengaran rentak deru nafas Nek Jah yang lesu. Dia sudah tua hendak melalui kepayahan ini.
“Rasa semput juga dalam sehari banyak kali turun naik tangga. Nanti kalau kamu nak buat rumah, tak payah bertingkat-tingkat... menyusahkan. Bila dah tua macam ni tak larat” ujar Nek Jah meluahkan kepayahannya. Aku bersimpati dan mengerti. Pasti dia sendiri yang mahu menjaga cucu kesayangannya itu. Mungkin juga Daniel cerewet tidak mahu Mak Munah yang mengurus dirinya. Orang sakit selalu banyak kerenah. Daun pintu ditolak perlahan. Nek Jah menggeleng dan mengeluh tatkala melihat bubur nasi belum dijamah dan ubat belum ditelan. Terbiar di situ sahaja.
“Tengok... Daniel macam budak kecil tak mahu makan ubat” rungut Nek Jah. Aku tersengih. Tidak mahu memberi komen. Sebenarnya akupun tidak suka makan ubat.
“Macam mana nak cepat sembuh kalau tak mahu makan ubat. Langsung tak mahu makan mestilah takde tenaga” omel Nek Jah bingung. Daniel masih lena. Langsung tidak terganggu dengan suara Nek Jah. Tubuhnya berselimut. Mukanya pucat. Bibirnya merekah dan kering. Kurang air. Demam Daniel memang serius.
“Takpe...nanti saya paksa Daniel makan bubur nasi dan telan ubat. Kalau dia takde selera nak makan, boleh cuba masak bubur yang lain pula” ujarku cuba menyenangkan hati Nek Jah. Nek Jah tersenyum.
“Kamu boleh masak bubur nasi?” tanya Nek Jah teruja. Aku mengangguk.
“Bubur nasi ayam cendawan” jelasku tersenyum. Menu turun-temurun yang diperturunkan ayah kepadaku. Bubur nasi ayam cendawan ayah sangat sedap. Aku sangat menyukainya.
“Wah..., sedap tu!” puji Nek Jah suka.
“Nanti Nek Jah rasa ye...” pintaku. Nek Jah mengangguk-angguk setuju. Daniel bergerak. Suaraku dengan Nek Jah telah mengganggu lenanya. Kelopak matanya terangkat sedikit. Lemah. Tidak bertenaga.
“Dania datang ni...” beritahu Nek Jah. Daniel memandangku sekilas. Kemudian memejamkan matanya kembali. Nek Jah mengeluh kecil.
“Sejak kecil dia memang tak boleh berhujan. Pantang kena air hujan mesti demam teruk” keluh Nek Jah. Aku semakin rasa bersalah. Tidak patut aku biarkan Daniel meredah hujan yang turun mencurah-curah pada malam itu. Kalau tahu Danie tidak boleh terkena hujan aku rela basah kuyup. Nasib tidak baik, aku hanya akan diserang selsema. Tidaklah seteruk keadaan Daniel sekarang.
“Nanti Dania masak bubur sedap untuk kamu. Kamu mesti makan banyak-banyak” ujar Nek Jah sambil mengatur selimut menutupi tubuh Daniel. Tiada kemampuan Nek Jah hendak memaksa Daniel makan bubur nasi dan ubat ini. Nek Jah mencapai bubur nasi yang sudah dingin kerana terbiar lama untuk dibawa ke dapur.
“Mari Dania...” Nek Jah menyentuh bahuku lantas kami beriringan melangkah keluar dari bilik ini meninggalkan Daniel yang sudah lena kembali.

Usai menikmati minuman dan kuih yang dihidang oleh Mak Munah, aku bergerak ke dapur ditemani oleh Nek Jah dan Mak Munah. Mak Munah membantuku menyediakan bahan-bahan bubur nasi ayam cendawan  manakala Nek Jah hanya jadi pemerhati sambil tersenyum-senyum. Terasa persis pertandingan memasak yang sering kutonton di kaca tv. Sedikit kekok apabila Nek Jah tidak mahu mengalih pandangan dariku yang sedang menunjukkan bakat menjadi chef. Terdetik kebimbangan jikalau caraku beraksi di dapur bercanggah dengan kebiasaan Nek Jah. Namun melihat senyuman panjang Nek Jah, perasaan bimbang itu lenyap perlahan-lahan. Nek Jah bukan datin yang cerewet dan banyak pantang larang yang wajib dituruti persis perwatakan yang selalu digambarkan dalam cerita tv. Sebaliknya Nek Jah seorang yang sederhana dan berhati mulia. Tidak sombong, tidak angkuh seperti Daniel. Untung Daniel ada Nek Jah.
“Okey...dah siap” ujarku girang setelah berjaya menamatkan misi di dapur. Bingkas Nek Jah bangkit dari kerusi lalu mendekatiku. Mak Munah menyusul dan tidak mahu ketinggalan menatap bubur nasi cendawan ayam yang sedang mengeluarkan aroma wangi.
“Wah..., wanginya! Mesti sedap” puji Nek Jah disokong dengan anggukan kepala Mak Munah.
“Mari kita rasa sebelum pesakit makan” ujar Nek Jah tergelak sendiri. Aku senyum. Bicara Nek Jah mencuit hatiku.
“Silakan...” pelawaku berbesar hati lantas memasukkan dua senduk bubur ke dalam dua biji mangkuk. Aku menghidangkan bubur nasi cendawan ayam ini kepada Nek Jah dan Mak Munah. Pengkritik utama sebelum nasi bubur ini dihidangkan kepada Daniel.
“Terima kasih...terima kasih” Aku tersenyum memandang Nek Jah dan Mak Munah yang sudah tidak sabar hendak menikmati bubur nasi ini.
“Hati-hati...panas bubur ni” pesanku mengingatkan kedua-duanya. Hampir serentak mereka menyuap bubur nasi ini. Aku menatap Nek Jah dan Mak Munah yang giat mengunyah tiba-tiba senyap. Gerakan mulut mereka juga terhenti. Nek Jah dan Mak munah saling berpandangan. Berkomunikasi dengan bahasa isyarat.
“Kenapa? Tak sedap?” tanyaku gusar. Tawar? Tidak secukup rasa? Atau terlebih garam? Rasanya aku telah memasak bubur nasi ini dengan sempurna. Mungkin seleraku tidak serupa dengan selera mereka yang lebih berpengalaman di dapur. Bubur yang kumasak ini tidak setanding dengan kelazatan masakan Nek Jah yang pernah kurasa. Kecewa. Aku sudah bersungguh-sungguh melakukannya.
“Biar saya yang habiskan bubur ni nanti. Tak payah Daniel makan” ujarku kesal kerana tidak mampu memikat selera Nek Jah dan Mak Munah. Nek Jah menggeleng kepala membantah kata-kataku.
“Boleh kami tambah bubur nasi lagi? Tak puas makan semangkuk” suara Mak Munah memecah kesepian. Serentak Nek Jah dan Mak Munah menunjukkan ibu jari ke atas. Memuji kelazatan bubur nasi cendawan ayam ini. Aku tergelak. Lucu. Lagak mereka tadi sungguh mengelirukan aku.
“Suatu hari nanti kamu akan jadi isteri yang baik” puji Nek Jah dengan mata bercahaya. Aku tersenyum. Bicara Nek Jah sangat bermakna. Alhamdulillah. Bubur nasi resipi ayah ini berjaya memikat selera Nek Jah dan Mak Munah. Harap-harap Daniel juga akan menyukai bubur nasi ini.
“Kamu hantar bubur ini pada Daniel. Masih panas ni sedap dimakan” ujar Nek Jah mengarahkan aku. Aku mengangguk. Kumasukkan bubur nasi ini ke dalam mangkuk dan menuang segelas air kosong di dalam gelas. Kemudian menyusunnya di atas dulang.
“Nek Jah tak ikut sama?” tanyaku sambil menatang dulang hendak bergerak ke bilik Daniel. Lebih selesa jikalau Nek Jah ada bersama.
“Kamu sajalah yang beri Daniel makan bubur nasi tu. Sakit lutut Nek Jah dah banyak kali turun naik tangga” keluh Nek Jah dengan dahi berkerut sambil memegang lututnya. Kasihan Nek Jah. Usia sudah meningkat kudrat tidak segagah dahulu.
“Jangan lupa suruh dia makan ubat” pesan Nek Jah meletakkan sepenuh tanggungjawab ini kepadaku.
“Hari ini Nek Jah lantik kamu jadi jururawat Daniel” ujar Mak Munah tersengih. Laju sahaja kepala Nek Jah mengangguk. Suka mendengar kenyataan Mak Munah. Aku garu kepala yang tidak gatal. Turut tersengih dan belum mahu berganjak dari dapur.
“Daniel tak marah nanti? Diakan sedang tidur” ujarku was-was. Gusar Daniel akan mengamuk dan tidak mengalu-alukan kedatanganku ke situ.
“Dia suka kamu datang. Kamu mesti pujuk dia makan” pinta Nek Jah. Bukan mudah hendak mengarah orang yang degil macam Daniel.
“Kamu boleh tolong Nek Jahkan...” Kupandang wajah Nek Jah yang mengharap. Simpati pula aku kepadanya.
“Okey...saya akan buat” janjiku akan memastikan Daniel makan bubur nasi dan menelan ubat dengan cara apa sekalipun. Nekad.
Good luck, Dania” ujar Nek Jah menyuntik semangat bagai aku hendak turun ke medan pertempuran. Namun menyedarkan aku bukan mudah hendak berhadapan Daniel yang degil. Aku menarik nafas dalam-dalam. Kemudian memulakan langkah sambil menatang dulang yang berisi semangkuk bubur nasi dan segelas air kosong dengan harapan yang Daniel tidak banyak ragam kali ini.
“Mak Munah... saya harap suatu hari nanti Dania jadi isteri Daniel. Dia saja yang mampu mengubah Daniel” ujar Nek Jah serius masih menyoroti langkah Dania yang sedang mendaki anak tangga hendak ke bilik pemuda itu.
“Amin. Saya sokong datin” ujar Mak Munah menunjukkan kesetiaannya kepada majikannya itu. Dia memang berkenan kepada gadis itu. Dania calon teman hidup yang baik buat Daniel.
Langkahku mati tepat-tepat di depan bilik Daniel. Aku menarik nafas lagi dan menitip doa. Harap-harap semua akan berjalan lancar. Bismillahirahmanirahim. Kutolak perlahan daun pintu lalu kulangkahkan kaki kanan melangkah masuk ke dalam bilik ini. Daun pintu kukuak seluas-luas. Mudah hendak menyelamatkan diri jika Daniel mengamuk nanti. Langkah berwaspada dan menjaga batas pergaulan. Kuletakkan dulang di atas meja di sisi katil. Daniel masih tidak bergerak-gerak. Dia tidak menyedari kedatanganku.
“Assalamualaikum... Saya nak beri awak makan bubur nasi dan ubat” tuturku berhati-hati. Tubuh Daniel masih statik.
“Daniel...” panggilku lembut. Kali ini Daniel bergerak. Berat kelopak matanya hendak diangkat.
“Makan sedikit ye...” pujukku. Daniel menatapku dengan wajah lesu. Pucat. Dia masih tidak bersuara.
“Awal mesti makan. Mari saya tolong awak bangun” ujarku lalu mendekatinya. Berdiri di sisi katil di sebelahnya. Kupaut lengan Daniel. Dia bersusah-payah hendak bangun. Kuletakkan bantal di kepala katil lalu menyadarkannya di situ.
“Saya tolong suapkan ye...” Daniel menggeleng. Dia tidak mahu disuapkan. Mungkin kekok diperlukan sedemikian.
“Okey... awak suap sendiri” arahku. Daniel menggeleng lagi.
“Awak mesti makan supaya ada tenaga” gesaku. Daniel memandang kosong bubur nasi ini. Bicaraku tidak dipedulikannya.
“Makan sedikit saja ye...” pujukku cuba berlembut.
“Kasihanlah saya kalau awak tak nak rasa bubur nasi cendawan ayam ni. Susah-susah dah saya masak bubur ni tadi” tambahku cuba memancing kesudian Daniel menjamah bubur nasi ini. Daniel masih dengan kedinginannya. Tidak mahu dipujuk.
“Nek Jah dan Mak Munah kata bubur nasi yang saya masak ni sedap tau” Aku tersengih memandang Daniel. Segan pula bercakap begini. Rasa macam angkat bakul sendiri pula.
“Rugi kalau awak tak rasa” tambahku masih berusaha memikat kesudian Daniel merasa bubur nasi ini.
“Makan ye...” Kuceduk  bubur nasi di mangkuk lalu mendekatkan ke mulut Daniel. Mulutnya masih tertutup rapat. Tidak mahu menyuap bubur nasi ini.
“Makan...” pintaku masih bersabar dengan kedegilannya.
“Saya akan makan kalau awak mahu menyanyi” perlahan suara Daniel tetapi jelas di telingaku. Besar mataku menatap Daniel. Sukar hendak percaya. Sakit-sakitpun dia masih ada keinginan hendak membuliku. Aku mengetap bibir. Geram. Permintaan Daniel tidak masuk akal. Kalau aku tidak menyanyi, Daniel tidak akan makan bubur nasi dan menelan ubat. Biarlah Daniel berlapar. Namun kasihan pula kepada Nek Jah. Terlanjur aku sudah berjanji kepadanya.
“Saya tak reti menyanyi” ujarku mengharap Daniel melupakan permintaannya. Daniel menggeleng. Tidak percaya.
“Suara saya sumbang. Sakit telinga awak mendengarnya nanti” tambahku cuba menolak permintaan Daniel yang luar biasa ini. Sakit-sakit masih berkeinginan hendak mendengar orang menyanyi. Tidakkah dia kebisingan nanti?
“Awak rasa sunyi ye... Takpe nanti saya pasang radio” tuturku tersengih. Daniel mempamer wajah kosong. Nampak tidak berminat dengan cadanganku.
“Nyanyilah...” arah Daniel tiada diplomasi dan menolak cadanganku. Aku mengeluh. Berkerut seribu mukaku. Perkara yang sukar hendak aku lakukan.
“Saya akan menyanyi tapi dengan syarat awak akan makan bubur dan ubat. Boleh?” tanyaku mahu membuat perjanjian dengannya. Daniel mengangguk.
“Bukan setakat hari ini saja tapi sampai awak sembuh” ujarku memperincikan isi perjanjian. Daniel mengangguk lagi. Mudah sahaja dia bersetuju.
“Nyanyi sekarang...” perintahnya tidak sabar-sabar. Harap-harap Daniel tidak akan mentertawakan aku.
“Saya hanya hafal lagu semut...” ujarku masih mengharap Daniel membatalkan permintaannya ini.
“Nyanyilah...” arah Daniel. Kupandang Daniel. Dia sedang menunggu nyanyianku berkumandang. Aku berdehem-dehem. Cuba mengatur saluran kerongkongku.
♪♫♪♫♪♫♪♫
“Saya persembahkan lagu semut ini buat Daniel Adhwa. Semoga awak cepat sembuh. 1...2...3...♪♪♪Tubuhnya yang kecil, badan berkerat tiga, ada enam kaki, sesunggut di kepala. ♫♫♫ Ada yang melata, dan terbang di udara, bermacam bentuknya, bermacam warnanya. ♪♫♪♫Serangga yang halus, sangat rajin bekerja, tak kira siang malam. Tekun dan usaha, dua sikap mullia, marilah kita amalkannya... ♪♫♪♫♪♫♪♫” Aduh..., semput nafasku! Daniel tidak ketawa. Dia seolah-olah sedang menghayati lagu zaman kanak-kanak ini. Mungkin dia tidak pernah mendengar lagu ini.

“Bagus... Akhirnya dapat juga saya dengar suara awak menyanyi. Saya suka suara awak” ujarnya serius menatapku. Aku diam. Tidak teruja mendengar kata-kata Daniel. Tidak pasti sejauh mana dia ikhlas menuturkan bicaranya itu. Setahuku suaraku tidak merdu.

Daniel juga menepati janjinya. Tanpa paksaan mahupun pujukan, dia menghabiskan semangkuk bubur nasi dan menelan ubat. Berbaloi juga aku menyumbangkan suaraku yang tidak merdu ini ke telinga Daniel. Malu. Pasti Nek Jah dan Mak Munah turut mendengar nyanyian sumbangku tadi. Malu dan Segan.