Wednesday 21 September 2011

NoVeL : GuruKu CintaKu, Cikgu Itu KekasihKu.....14



BAB 14

“Pastikan tidur awal malam ni. Esok awal – awal pagi perlawanan dah mula. Jangan lupa jaga disiplin kamu semua” nasihatku sebelum melepaskan skuad bola baling perempuan sekolahku ke bilik penginapan yang khas disediakan oleh pihak penganjur di perkampungan sukan ini.
“Baik cikgu” sahut mereka hampir serentak lalu melangkah meninggalkan aku yang masih terpacak memerhatikan kelibat mereka sehinggalah hilang dari pandangan mataku. Cikgu Robert pasti bersama dengan skuad bola baling lelaki memberikan amanat terakhir memandangkan mereka  adalah pasukan pertama yang memulakan perlawanan pada awal pagi esok. Aku tidak risau sangat kerana Cikgu Robert sememangnya boleh diharap mengendalikan pasukan lelaki itu kerana dia juga sepertiku sudah biasa sangat membawa wakil – wakil sekolah bertanding dalam segenap pertandingan.
Aku melangkah ke bilik khas yang disediakan untuk guru pengiring sekaligus merangkap jurulatih pasukan. Setelah membaringkan diri dalam beberapa minit, mataku masih liat hendak tidur. Pantas saja aku mencapai laktopku lantas membuka facebookku. Aku meneliti beberapa mesej yang kuterima. Cepat saja aku membalas  mesej Lina yang bertanyakan tentang keseronakanku di sini. Kutitip pesanan buatnya juga agar jangan menangis kesunyian dan mati keboringan sepanjang ketiadaanku di sana. He... he.... he....
 Aku renung lagi paparan mesej itu. Tiada tertera nama yang aku cari. Sedikit hampa. Termasuk hari ini sudah lima hari aku tidak menerima kiriman nukilan daripada Amir Hamzah. Laju saja tanganku menaip namanya di ruangan search. Sekejap saja sudah terpapar facebooknya. Aku mencari – cari kalau ada sebarang pertambahan pada paparan facebooknya. Masih sama seperti kali terakhir aku melayarinya. Langsung tiada perubahan.
Ke manakah Amir Hamzah menghilang? Sudah keringkah ideanya mengilhamkan kalimah – kalimah puitis yang indah? Sakitkah dia sehingga tidak berkesempatan melakar ihlamnya di sini? Oh, tuhan berikanlah dia kesejahteraan yang berpanjangan agar dia akan terus mengukir bait – bait indah untuk jadi tatapanku, pengubat rasa hatiku, penghibur jiwa ragaku. Sungguh aku rasa rindu sangat! Rindu pada ilhamnya. Rindu pada Amir Hamzah.
“Tahniah semua!”
Aku menepuk bahu seorang demi seorang pemain skuad bola baling perempuan sekolahku. Gembira atas kejayaan yang dikecapi oleh mereka. Berbaloi juga penat lelah kami setelah berjuang berhabis – habisan selama seminggu di perkampungan sukan ini. Pasti pengetua tersenyum lebar penuh kebanggaan dengan kejayaan yang kami bawa balik ke sekolah hari ini. Skuad bola baling perempuan telah menjuarai pertandingan manakala skuad bola baling lelaki mendapat tempat ketiga, suatu pencapaian turut dibanggakan. Paling bermakna kebanyakan daripada kalangan mereka sama ada pemain perempuan mahupun pemain lelaki telah terpilih untuk membarisi pasukan bola baling wakil daerah ini. Aku dan Cikgu Robert tersenyum puas atas kejayaan yang telah dicapai oleh anak – anak didik kami.

“Ambik buku teks Sejarah. Buka halaman 105” arahku kepada pelajar - pelajar setelah usai melaksanakan set induksi untuk tajuk  p & p pada hari ini.
Sudah seminggu aku tinggalkan kelas ini. Difikiranku sudah tercadang kelas tambahan bagi menggantikan kelas yang tertinggal, namun belum aku luahkan pada kelas. Aku harus melaksanakan kelas tambahan agar tidak menjejaskan perancangan tahunan yang telah aku buat.  
“Cikgu topik ni dah diajar oleh cikgu baru yang teach – in ketika cikgu takde” beritahu Osman selaku ketua kelas Tingkatan 5 Ixora.
Aku sedikit tersentak. Guru baru? Tidak juga aku nampak wajah – wajah asing dari pandanganku ketika melangkah di bilik guru awal pagi ini. Barangkali dia belum sampai ketika aku berada di bilik guru tadi. Kebetulan pula aku lebih awal meninggalkan bilik guru sebelum loceng berbunyi gara – gara ingin mempastikan Bilik Gerakan Panitia Sejarah sudah dibersihkan oleh pelajar – pelajar yang telah ditugaskan pagi ini. Maklumlah seminggu sudah aku tidak berada di sekolah. Risau juga kalau ada yang ambil kesempatan melarikan diri dari tugas. Alhamdulillah pelajarku semuanya bertanggungjawab. 
“Betul cikgu, cikgu baru dah ajar tajuk ni. Ni nota dan latihannya” sokong Hajar penolong ketua kelas seraya mempamerkan bukunya sebagai bukti.
Aku merapati mejanya. Kucapai buku itu. Memang ada nota ringkas dan latihan untuk Tema 11 Pembinaan Negara Dan Bangsa Ke Arah Kemunculan Negara Malaysia  Berdaulat. Kemas sekali tulisan tangannya yang menyemak buku ini. Siapakah gerangan cikgu baru ini? Lelaki ke perempuan?
“Handsome cikgu baru tu, cikgu” ujar Reka disambut dengan suara sumbang pelajar – pelajar lelaki di dalam kelas ini.
Sah guru lelaki. Aku tersenyum melihat gelagat pelajar – pelajarku.
“Nama dia siapa?” tanyaku ingin tahu.
Senyap. Tiada suara yang menyahut.
“Kami tak sempat berkenalan cikgu. Kebetulan dia tak pakai name tag hari tu” ujar Osman lagi.
Aku mengangguk faham. Guru memang banyak ragamnya. Ada yang suka berkenal – kenalan pada pertemuan pertama. Ada juga yang tidak mahu buang masa lalu meneruskan p & p tanpa sempat berkenalan.
“Takpe ler nanti saya berkenalan dengan dia” putusku disambut dengan senyuman mengusik pelajar – pelajarku.
Mesti otak mereka sudah menyimpang jauh. Melangkahi niat suciku.
“Cikgu baru tu memang padan dengan cikgu, sama cantik sama lawa” tutur Ravi nakal disambut dengan gelak tawa rakan – rakannya.
Aku hanya geleng kepala. Budak – budak ini kalau dilayan semakin menjadi. Masa pun akan terbuang begitu saja. Baik aku meneruskan pengajaranku saja.
“Baiklah kita buat ulangkaji sedikit tentang topik ni. Saya nak uji sama ada kamu masih ingat dengan apa yang telah kamu belajar” putusku.
“Ravi bangun, sebutkan peranan – peranan Dato’ Onn Jaafar dalam pembinaan negara bangsa ke arah Malaysia yang berdaulat?” soalku.
“Beliau mewakili orang Melayu dalam Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum (CLC), menjadikan perpaduan kaum sebagai asas kemerdekaan yang akan dicapai, malah dilantik sebagai Pengerusi pertama Lembaga Pembangunan Industri Desa ( RIDA ). Selain itu, beliau juga telah membuka keahlian UMNO kepaada golongan bukan Melayu serta  menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) yang kemudian membuka keahlian kepada semua kaum. Jelas beliau
menggunakan konsep kerjasama kaum dalam satu parti” jelas Ravi lengkap.
“Oh, bagus. Saya suka cara awak jawab soalan ni. Beri tepukan kepada Ravi kelas” pujiku.
Aku bertepuk tangan bersama pelajar – pelajar lain sebagai ganjaran motivasi kepada hero Tamil tunggal di dalam kelas Sejarahku ini. Boleh dikatakan satu kejutan buatku melihat kepetahan Ravi menjawab persoalan yang kukemukakan kepadanya itu. Jawapan yang cukup lengkap dan tepat.
“Namun malangnya IMP telah menemui kegagalan. Apakah sebab kegagalan IMP? Suka rela siapa nak jumpa soalan ini?” ujarku membuka peluang kepada pelajar – pelajar di kelas ini mencuba tahap penguasaan mereka terhadap tema ini.
“Okey, Hajar sila berdiri dan jawab” arahku sebaik saja melihat gadis itu mengangkat tangan.
IMP gagal kerana kaum Cina, India dan kaum lain tidak merasakan mereka satu bangsa Tanah Melayu. Justeru, rasa perpaduan terlalu asing bagi mereka. Kebetulan mereka sudah mempunyai parti yang mewakili kaum masing-masing pada masa itu” jawab Hajar begitu yakin.
“Jawapan yang tepat. Bagus. Tepuk tangan untuk Hajar”
Sekali lagi bergema tepukan tangan menandakan persoalan yang telah aku ajukan dijawab dengan betul. Rasa teruja hatiku melihat perkembangan drastik yang memberangsangkan telah melanda pelajar – pelajarku.
“Parti Perikatan berperanan besar membawa negara ke arah kemerdekaan. Apakah kejayaan Parti Perikatan ini? Sebutkan dua kejayaan itu” soalku menunding jari kepada Kemilia memintanya menjawab persoalan yang baru saja aku kemukakan itu. Kemilia pelajar kecik molek ini berdiri bersedia untuk memberikan jawapannya.
“Memenangi pilihanraya Majlis Perbandaran Kuala Lumpur 1952 dan memenangi pilihanraya Majlis Perbandaran beberapa bandar utama” jawabnya. Aku mengangguk tanda jawapan yang diberikan itu tepat.
“Kejayaan seterusnya?” Ibu jariku terus saja menunding kepada pelajar di sebelah Kemilia.
“ Memenangi Pilihanraya Negeri 1954 dan mengasaskan penubuhan Parti Perikatan 1955”
“ Lagi?”
 “ Menganggotai Jawatankuasa Pilihanraya Majlis Mesyuarat Perundangan dan memenangi pilihanraya Majlis Perundangan Persekutuan 1955”
“Menubuhkan kerajaan dan membentuk kabinet. Tunku Abdul Rahman menjadi Ketua Menteri”
“ Membahagikan kabinet daripada pelbagai kaum dan seterusnya Tunku Abdul Rahman mengetuai rombongan rundingan kemerdekaan”
 Sederet pelajar di barisan hadapan yang kuarahkan berdiri untuk menyatakan kejayaan – kejayaan yang telah dicapai oleh Parti Perikatan pada masa itu, semuanya memberikan jawapan yang tepat. Menambah – menambah keterujaanku. Aku tersenyum puas.
“Apa pula Manifesto Parti Perikatan ini?” soalku semakin rasa seronok.
Osman angkat tangan lalu berdiri memberikan jawapannya.
“Pertama, mencapai kemerdekaan dalam masa empat tahun. Kedua, mewajibkan pendidikan.  Seterusnya, menjadikan perkhidmatan awam bercorak tempatan. Di samping, menjaga hak asasi rakyat serta melindungi hak Raja-raja Melayu sebagai Raja Berperlembagaan” jawab Osman tersenyum bangga.

Tepukan sorak terus bergema. Hari ini aku benar – benar rasa seronok. Masa sejam berlalu tanpa disedari. Walaupun bukan aku yang mengajar mereka tema ini, namun aku tetap berasa bangga dengan kebijaksanaan pelajar – pelajar ini. Kali ini aku boleh menarik nafas lega. Setiap persoalan yang aku ajukan semuanya dapat dijawab dengan tepat dan padat. Hebat juga cikgu baru itu. Pendekatan apakah yang dia gunakan sehinggakan aku boleh lihat pelajar – pelajarku ini begitu faham tatkala aku meminta penjelasan mereka terhadap persoalan berkaitan Kesedaran Tentang Pembinaan Negara Dan Bangsa. Paling mengejutkan aku Daus pelajar yang agak slow dengan subjek Sejarah ini boleh menjawab soalanku walaupun dalam keadaan tersekat – sekat. Aku betul – betul kagum dengan cikgu baru itu. Nanti bolehlah aku berguru dengannya tentang ilmu pedagogi yang digunakannya. Mesti dia seorang guru Sejarah yang hebat kaya dengan pengalaman.

Loceng berdering menandakan tamatnya waktu pengajaranku. Aku meminta Osman selaku ketua kelas mengutip buku latihan usai saja mereka menjawab soalan ringkas yang sempat aku berikan. Soalan yang aku berikan sekadar memantapkan kefahaman mereka terhadap Tema 11 bagi subtopik yang telah dipelajari. Osman yang sedang menatang buku – buku latihan beberapa langkah di depanku, tiba – tiba saja kematian langkah. Dia berpaling ke arahku menimbulkan rasa hairanku.
“Kenapa Osman?” laju saja aku bertanya.
“Cikgu, itulah cikgu baru tu” tuturnya sambil menunding jari pada satu arah.

Aku menatap sesusuk tubuh yang sedang berlaga pandangan denganku tika ini. Seraut wajahnya kutatap lama. Lidahku kelu. Aku betul – betul tergamam  panjang.















No comments:

Post a Comment