Saturday, 30 October 2021

Awaklah SonataKu....Bab 46

 

Aku menatap sekilas whatsApp paling pendek yang baru sahaja aku terima sekejap tadi. Mesej paling ringkas yang  pernah aku terima daripada Yen. Agaknya dia masih marahkan aku. Sampai bila dia mahu marah padaku? Mustahil marahnya begitu serius hanya semata-mata aku tidak memaklumkan tentang Mak Long yang dirawat di hospital. Barangkali juga Yen marah sangat sebab melihat aku bersama Encik Rizal di hospital persis yang disangkanya aku lebih suka memaklumkan keadaan Mak Long kepada Encik Rizal berbanding dirinya. Cemburukah Yen pada Encik Rizal? Cemburu tanda suka. Betulkah Yen ada perasaan sebegitu padaku? STOP, Iman!! Aku menepuk kepalaku beberapa kali. Berhentilah daripada berfantasi. Yen sudah menyerahkan sebulat jiwa raganya pada Velviana kekasihnya nan satu. Yen bersikap demikian kerana dia mahu melindungi rahsia kami agar tidak diketahui oleh Pak Long dan keluarganya. Sedarlah, Iman! Sedar...!!! Sedar...!!!

Lelaki sehebat Yen hanya layak untuk seorang gadis yang sempurna persis Velviana. Antara Yen dengan Velviana sudah saling melengkapi. Yen sudah sekian lama memadu kasih bersama Velviana. Tidak semudah itu dia akan mengalih kasihnya hanya kerana wujud ikatan yang bukan atas kerelaan hatinya. Aku menarik nafas dalam-dalam. Aku akan mengikis sedikit demi sedikit perasaan ini agar sampai pada satu tahap aku langsung tiada perasaan istimewa untuk Yen. Tidak tega  aku jadi perosok hubungan antara Yen dengan Velviana. Ya Allah, andai Yen jodoh terbaik buat Velviana dan Velviana jodoh terbaik buat Yen pertemukanlah mereka menjadi suami isteri yang bahagia sehingga akhir hayat mereka. Ya Allah permudahkanlah percintaan mereka. Aku mahu Yen hidup bahagia bersama insan yang dicintainya. Melayari kehidupan di dunia ini bersama insan yang dikasihi dan dicintai impian semua orang.

Hari ini aku meneruskan rutin beberapa hari yang lalu. Namun sedikit berbeza. Usai waktu kerja, aku tidak terus pergi ke hospital. Sebaliknya aku ke pasar membeli bahan-bahan mentah masakan sebagai hidangan makan malam nanti. Selepas solat isyak aku akan ke hospital membawa bekalan untuk Pak Long serta menemani Pak Long menjaga Mak Long sepanjang malam ini. Tadi aku telah memaklumkan perkara ini kepada Pak Long agar dia tidak ternanti-nanti akan kunjunganku mahupun hairan dengan ketidakmunculanku. Sekurang-kurangnya aku ada lebih masa sedikit berada di rumah. Usai solat asar, aku terus ke dapur menyiapkan hidangan makan malam. Yen belum pulang lagi. Barangkali lewat malam baru dia balik. Maklumlah bebanan tugas sekarang lebih berat. Biarpun memiliki kelayakan, namun tanggungjawabnya sekarang boleh dikatakan sesuatu yang baru diceburinya. Yen perlu gigih dan bersungguh-sungguh melakukannya. Semoga urusan Yen dipermudahkan Allah.

Usai solat maghrib, aku membuka Kalam Allah, lantas membaca Surah Asy-Syu'araa' ayat 95 hingga 118, sebanyak tiga kali. Lalu aku memohon doa kesembuhan dan kesejahteraan Mak Long kepada Allah s.w.t.  Selain bergantung pada perubatan moden, aku juga meyakini mukjizat Allah ini dengan izinNya akan jadi penawar dan penyembuh pada sakit Mak Long. Aku menggantung harapan sepenuh kepada Allah Yang Maha Esa. Dialah Yang Maha Berkuasa lagi Maha Pengasih. Segala-gala berada dalam ketentuanNya.

Dalam aku menunggu waktu solat isyak, aku meluangkan masa duduk di ruang tamu. Mungkin aku boleh bertegur sapa dengan Yen kalau pemuda Korea itu balik awal hari ini. Aku bersandar di sofa memejamkan mata. Cuba menggunakan setiap detik masa dengan sebaik-baiknya. Sayup-sayup kedengaran laungan azan dari masjid yang berdekatan. Segera aku melangkah ke bilik menunaikan solat isyak. Tidak mahu berlengah agar aku boleh segera ke hospital. Risau Pak Long sedang menahan lapar. Aku yakin Pak Long tidak akan berganjak meninggalkan Mak Long bersendirian di situ. Bahkan kalau tiada sesiapa yang boleh menggantikan tempatnya, Pak Long akan bersolat di bilik ICU itu juga. Betapa mendalam kasih sayang Pak Long pada Mak Long. Kasih sayang yang tidak berbelah bahagi. Sungguh aku iri hati pada Mak Long kerana ada insan yang menyayangi dan mengasihinya sedalam itu.

“Assalamualaikum Pak Long,” sapaku tatkala muncul di sebalik daun pintu. Terkumat-kamit Pak Long menjawab salamku. Pak Long sedang mengelap tangan Mak Long.

“Biar saya yang buat. Pak Long pergilah solat isyak dulu. Pastu tu makan. Iman ada masak ikan gulai lemak cili api kegemaran Pak Long,” ujarku. Pak Long tersenyum lebar.

“Kalau macam tu Pak Long solat isyak dululah,” ujar Pak Long lalu melangkah ke muka pintu. Aku mengangguk lantas mengambil-alih tugas Pak Long tadi. Penuh berhati-hati aku mula mengelap seluruh tubuh Mak Long diiringi bicaraku mengajak Mak Long berbicara sama. Kemudian melabuh tuala kecil pada air suam di dalam besen kecil ini lalu membilas dan mengelap semula anggota tubuh badan Mak Long. Berulang-ulang sehingga seluruh tubuh Mak Long siap dibersihkan. Aku menggantikan pakaian Mak Long dan terus mengajak Mak Long berbicara. Aku yakin Mak Long mendengar suaraku.

“Mak Long mesti kuat menghadapi semua ini. Mak Long juga mesti cepat sembuh. Pak Long, Lili, Adie, Nana dan saya sentiasa mendoakan Mak Long. Masa ni Mak Long boleh rehat puas-puas, tapi esok Mak Long mesti bangun. Nanti bolehlah kita pergi cuti sama-sama,” ujarku pada Mak Long yang kaku terbaring di atas katil. Seingatku kami sekeluarga tidak pernah bercuti bersama. Hiba hati melihat keadaan Mak Long ini. Walaupun perasaan sedih menyerang diri, namun aku gagahi hati agar tidak menangis. Aku tidak akan menangis di depan Mak Long. Aku mesti kuat agar Mak Long menjadi lebih kuat. Kugenggam erat tangan Mak Long. Kedengaran bunyi daun pintu ditolak. Aku berpaling. Pak Long muncul di sebalik pintu dengan senyuman yang kelihatan lesu.

“Pak Long nak makan sekarang? Saya sediakan ye,” ujarku pada Pak Long yang sudah melabuhkan duduk di kerusi di sebelah katil Mak Long. Wajah Mak Long ditenung. Sarat rindu hendak mendengar suara Mak Long. Pak Long kesunyian. Teman bicaranya masih tidur.

“Kejap lagi Pak Long makan,” ujar Pak Long menahan aku bangkit dari kerusi untuk menyediakan makanan untuknya.

“Bekal untuk Pak Long, saya letak di atas meja tu,” ujarku lagi. Pak Long mengangguk sambil memandangku. Kemudian mengalih pandangan kembali kepada Mak Long. Memang Pak Long tidak mahu menjauhkan pandangannya daripada wajah Mak Long. Dia lelaki yang sungguh setia.

“Pagi tadi Yen ada datang ke sini bawa sarapan untuk Pak Long. Katanya kamu masak banyak,” tutur Pak Long. Aku menatap wajah Pak Long. Bicara Pak Long mengejutkan aku. Tidak sangka sebegitu awal Yen berkunjung ke sini. Terharu dengan tindakan Yen lakukan.

“Pak Long minta maaf pada dia sebab susahkan kamu asyik berulang-alik ke sini menyebabkan dia terabai,” keluh Pak Long.

“Tapi Yen kata dia beri keizinan pada kamu untuk berada di sini. Baru Pak Long senang hati bila suami kamu cakap macam tu. Pak Long tak larang kamu selalu datang ke sini tapi keperluan suami jangan sesekali diabaikan,” nasihat Pak Long. Aku mengangguk.

“Sebelum datang ke sini, saya memang dah sediakan semua keperluan dia,” jelasku cuba lebih mententeramkan hati Pak Long.

“Betul ke Yen tak kisah setiap malam kamu berada di sini?” soal Pak Long berbaur curiga. Aku mengangguk. Pak Long merenungku buat aku tidak sedap hati. Bila kufikirkan sedalamnya pertanyaan Pak Long itu, aku mula menyedari makna mendalam di sebalik pertanyaannya itu. Pertanyaan seorang lelaki yang bergelar suami.  

“Perkahwinan kamu takde masalahkan?” soal Pak Long curiga.

“Ye Pak Long,” sahutku cuba meyakinkannya. Pak Long menarik nafas dalam-dalam.

“Syukurlah kalau macam tu. Yen pun Pak Long tengok suami yang baik. Perwatakan berbeza dengan penampilan dirinya,” komen Pak Long buat aku tersenyum. Silap hari bulan orang lain boleh nampak Yen seorang gengstar. Mujur juga ada wajah yang tampan. Pak Long bangkit lalu melangkah ke singki membasuh tangan.

“Takpe biar Pak Long ambil sendiri,” tutur Pak Long menengahku bangkit dari tempat duduk. Beberapa minit kemudian, Pak Long mula menikmati bekal nasi dan lauk-pauk yang aku bawa dari rumah tadi. Perlahan  Pak Long menikmatinya walaupun itu ialah makanan kegemarannya yang sebelum ini pembangkit selera Pak Long. Pak Long susah hati. Dia tiada selera untuk makan. Semua tawar untuk ditelan. Kasihan Pak Long dan Mak Long. Pak Long ke singki semula membasuh tangan.

“Saya masak tak sedapkan, Pak Long,” tuturku sambil tersenyum memandang Pak Long. Pak Long senyum.

“Sedap tapi Pak Long belum berselera nak makan lagi,” jelas Pak Long.

“Mak Long dengar tak tu? Mak Long mesti cepat bangun masak untuk Pak Long. Kasihan Pak Long dah kurus sebab tak lalu makan. Saya masak tak sedap. Mak Long masak baru sedap,” tuturku tersenyum sambil menatap wajah Mak Long. Pak Long turut tersenyum.

“Rindu nak makan masakan Mak Long,” ujarku bersedih.

“Esok lusa Mak Long kamu sedar nanti dia masaklah untuk kita semua. Pak Long pun rindu juga nak makan masakan Mak Long kamu,” luah Pak Long berharap. Bergetar hatiku mendengar bicara Pak Long ini. Aku mengangguk. Memang itu yang aku harapkan.

Lama aku dan Pak Long berbual-bual tentang banyak perkara. Aku dan Pak Long juga tidak lupa mengajak Mak Long berbual sama. Ada juga kisah silam yang indah-indah berlaku antara mereka yang Pak Long ceritakan kepadaku. Aku dengan khusyuk mendengar sambil tersenyum panjang. Terlalu indah kenangan itu. Kenangan yang mengusik kalbu. Tidak mahu mengganggu Mak Long, aku dan Pak Long beralih duduk di sofa panjang di tepi sudut bilik ini. Aku dan Pak Long menyambung perbualan kami. Sesungguhnya, setiap yang berlaku ada hikmah. Saat ini aku punya lebih banyak masa untuk bersama Pak Long. Kalau Mak Long tidak sakit mungkin aku tidak berkesempatan untuk meluangkan masa bersama mereka. Namun aku tidak bermaksud mahu melihat keadaan Mak Long berlanjutan sebegini sebagai sesuatu yang mendatangkan faedah kepadaku. Kulihat Pak Long mula menguap beberapa kali.

“Pak Long tidurlah, biar saya yang jaga Mak Long,” ujarku.

“Terima kasih. Pak Long ni dah tua dah tak kuat berjaga malam, tapi Pak Long tak sedap hati nak tidur juga,” ujar Pak Long tersenyum.

“Takpe Pak Long. Pak Long tidur, saya jaga Mak Long,” ujarku mengulangi bicaraku tadi. Pak Long tersenyum.

“Kalau kamu mengantuk kamu tidurlah nanti,” arah Pak Long lalu menyandarkan tubuh di sofa ini. Aku mengangguk. Pak Long sudah memejamkan mata. Beberapa minit kemudian kedengaran bunyi dengkuran Pak Long buat aku tersenyum sendiri. Pasti Pak Long letih melalui semua ini. Aku bangkit dari sofa lalu melangkah mendekati Mak Long. Duduk seketika di tepi katil ini. Hampir sejam memerhatikan keadaan Mak Long, aku kembali ke sofa. Kucapai selimut yang kubawa dari rumah lalu menebarkan menutupi tubuh kurus Pak Long. Kupandang wajah Pak Long seketika. Pak Long sudah tua. Banyak garis-garis pada wajahnya. Simpatiku pada Pak Long kian menebal. Aku kembali duduk di sebelah Pak Long. Kukeluarkan Majalah Wanita keluaran terbaharu dari beg galas. Lantas mula membaca dan menyelak helaian satu persatu. Aku mula menguap. Kujeling jam tangan. Sudah hampir menjangkau pukul 1.00 pagi. Patutlah kelopak mataku mula terasa berat.  Pak Long di sebelahku sudah nyenyak. Aku cuba menahan mengantuk semampuku. Tidak sedar pukul berapa aku tertidur.

Tahu-tahu aku terlentok di bahu Pak Long. Bukan main lena aku tidur di bahu Pak Long. Kasihan Pak Long. Pasti aku telah menyusahkannya kerana bahu tua Pak Long terpaksa bertahan menampung bebanan kepalaku. Lantas kubuka mata perlahan-lahanan lantaran sisa mengantuk yang masih ada.

“Ahhh...!!!” Laju aku menutup mulutku kerana merasakan nada suaraku yang kuat telah mengganggu Mak Long. Mengantukku serta merta hilang. Kepalaku sudah tegak. Terkebil-kebil anak mataku menatap Yen yang sedang menatapku. Malunya aku. Kenapalah aku boleh terlena di bahu pemuda Korea ini? Aku memandang sekeliling.

“Mana Pak Long?” soalku mencari kelibat Pak Long. Tadi Pak Long berada di sebelahku. Bagaimana pula pemuda Korea ini tiba-tiba muncul di sini? Mengapa aku tidak sedar akan kehadirannya?

“Dia pergi solat hajat,” ujar Yen mula bersuara. Aku menggosok-gosok mata.

“Bila awak sampai ke sini? Kenapa tak kejutkan saya tadi?” rungutku tidak senang dengan perlakuanku tadi. Segan.

“Saya panggil awak tadi, tapi awak tidur nyenyak. Kasihan juga tengok awak nampak keletihan sangat. Jadi saya biarkanlah awak tidur,” jelas Yen. Aku garu-garu kepala yang tidak gatal. Seganku masih menyelubungi diri. Aku melontar pandangan pada Mak Long.

“Mesti bahu awak sakitkan,” ujarku perlahan dan serba bersalah. Pandanganku masih terarah pada Mak Long. Segan hendak beradu pandangan dengan Yen. Segan sebab tidur lena di bahu Yen yang kusangka bahu Pak Long tadi. Segan sebab Yen menyaksikan wajahku ketika tidur. Naya kalau air liur keluar atau aku berdengkur ketika tidur tadi. Pasti Yen puas kutuk aku tadi. Eee...malunya...!!!

“Lenguh. Balik rumah nanti awak kenalah urut bahu saya,” balas Yen sambil memicit-micit bahu kanan. Di situlah aku mendaratkan kepalaku untuk masa yang lama.  Aku diam. Tidak mungkin aku akan berbuat demikian. Aku tidak mahu menyentuh tubuh Yen persis aku yang tidak boleh disentuh oleh Yen. Ini larangan keras. Semua ini demi menjaga kesucian diri masing-masing. 

“Esok pagi baru saya balik,” sahutku masih tidak mahu memandang wajah Yen.

“Kejamnya awak. Jadi awak nak suruh saya balik sendirianlah,” tegas Yen berbisik. Aku mengeluh. Yen tidak boleh berfikir rasional. Betullah dia ini manusia yang tidak bertimbang rasa.

“Saya tak nak balik. Awak ingat sendirian kat rumah tu seronok,” balas Yen mula mengajak perbalahan denganku.

“Dulupun awak tinggal sendirian juga. Takkan tak biasa,” balasku geram. Aku menjeling tajam ke arah Yen.

“Tu dulu sebelum saya nikah. Sekarang saya dah ada isteri. Bukan ke seorang isteri harus berada di samping suami,” balas Yen. Aku mendengus geram. Perangai keanak-anakan Yen menjelma lagi.

“Takkan awak nak suruh saya tinggalkan Mak Long dalam keadaan begini! Awak ni betul-betul tak bertimbang rasa,” radangku dengan suara yang terkawal. Tidak mahu mengganggu Mak Long. Risau kalau tiba-tiba sahaja Pak Long muncul di muka pintu.

“Saya takkan balik,” tegas Yen lantas menarik selimut lalu menutupi tubuhnya. Yen mula memejamkan mata. Aku terkebil-kebil menatap Yen yang sudah pura-pura tidur.

“Bangunlah...!!! Tidur kat rumah,” arahku seraya cuba menarik selimut itu. Yen sudah membungkus kemas tubuhnya dengan selimut itu. Langsung tidak bergerak-gerak. Betulkah dia sudah tidur? Aku menggaru-garu kepala lagi.

“Jadi awak nak tidur kat sini jugalah,” rungutku tidak suka dengan kedegilan yang Yen tunjukkan ini. Senyap. Kupandang wajah Yen lagi. Anak matanya terkatup rapat. Memang lagak persis orang yang sedang tidur. Kualih pandangan. Tidak mahu terus menatap wajah Yen. Khuatir emosiku berdetik lagi. Silap hari bulan pecah rahsiaku. Paling penting aku tidak mahu Yen sedar bahawa wajahnya itu sering kali memukau pandanganku. Aku melepaskan keluhan. Gundah hatiku tatkala Yen berada dekat denganku sekarang. Aku bangkit namun belum sempat berdiri sepenuhnya tatkala tangan Yen pantas memaut lenganku lalu menarikku untuk duduk di sofa itu semula.

“Biar saya temankan awak menemani Mak Long awak malam ni. Saya ikhlas melakukan. Saya harap bila saya buka mata pagi nanti, awak masih berada di sebelah saya,” tutur Yen cukup romantis sehingga membuatkan aku tergamam dan kelu lidah hendak berbicara lagi. Kuberanikan diri. Perlahan- lahan aku berpaling ke arah Yen. Yen masih memejamkan mata. Rapat. Aku menyandarkan tubuh ke sofa lalu melontar pandangan jauh-jauh. Betulkah Yen mahu bersamaku tika ini? Mengapa dia melakukan semua ini? Adakah semua ini sekadar lakonan di depan Pak Long? Aku keliru.

“Biar saya temankan awak menemani Mak Long awak malam ni. Saya ikhlas melakukan. Saya harap bila saya buka mata pagi nanti, awak masih berada di sebelah saya,” bicara Yen itu berulang-ulang di telingaku. Bahagia menerpaku.

“ Terima kasih Jang Geun Sik. Biarpun semua ni hanya lakonan awak tapi saya cukup senang dengan bicara awak itu. Sedetik saya bahagia sangat. Saya janji saya akan bersama awak sepanjang malam ni agar pagi esok tatkala awak membuka mata saya masih berada di sebelah awak,” bisik hati kecilku berbicara sendiri. Aku mula memejamkan mata. Sekali lagi aku memikirkan hikmah di sebalik kejadian yang berlaku. Di sini  Allah memberiku peluang bersama Yen biarpun hanya untuk beberapa jam. Ya Allah, betulkan aku tidak bermimpi mahupun berilusi. Kubuka mata lagi. Memang Yen berada di sebelahku sekarang. Aku kembali memejamkan mata sambil mengukir senyuman panjang di bibir.

“Yen...bangun nak! Dah masuk waktu solat Subuh sekarang,” sayup-sayup kedengaran suara garau lelaki mengejutkannya. Yen membuka mata. Lelaki tua itu sedang menatapnya. Laju Yen berpaling di sebelahnya. Gadis itu sudah tidak berada di situ. Yen mengeluh hampa.

“Iman kat bilik solat sekarang. Tadi dia pesan Pak Long kejutkan kamu,” jelas lelaki itu bagai memahami pandangan mata Yen. Yen mengangguk lantas bangkit dari sofa itu. Dia menguap beberapa kali. Langkah longlai diatur ke muka pintu. Kemudian kelibatnya hilang di sebalik daun pintu itu.

 

Aku memandang sekilas wajah Yen yang masam mencuka subuh ini. Bukan main lagi serius dia. Barangkali tidak lena tidur semalam. Dia menghidupkan enjin kereta. Lantas Mercedez Benz hitam ini meninggalkan perkarangan hospital. Kira-kira 10 minit sudah berlalu, aku dan Yen masih mendiamkan diri. Yen masih dengan wajah serius.

“Singgah kat warung depan sana tu nanti. Pagi ni kita sarapan nasi lemak je ye,” cadangku. Senyap. Yen belum menunjukkan sebarang tindak balas.

“Awak nak nasi lemak kerang cili atau sotong cili? Atau awak nak nasi lemak biasa?” soalku masih cuba mengajak Yen bersuara. Senyap lagi. Yen nampak begitu dingin.

“Saya beli apa-apa je nanti ye,” ujarku membuat keputusan sendiri setelah Yen hanya mendiamkan diri. Bukan perkara aneh Yen diam membisu. Memang sudah menjadi tabiat.

“Bukan ke saya nak awak berada di sebelah saya bila saya buka mata pagi ini. Kenapa awak tak terus berada di situ? Awak tinggalkan saya,” keluh Yen mengungkit bicara semalam.

“Saya solat subuh,” sahutku.

“Kenapa awak tak kejutkan saya?” soal Yen radang. Awal pagi sudah mahu bertegang leher denganku. Aku mengeluh.

“Saya dah kejutkan tapi awak langsung tak bergerak,” balasku.

“Awak bohong!” tingkah Yen.

“Terpulang kalau awak tak nak percaya,” sahutku. Hakikatnya memang aku tidak mengejutkan Yen tadi. Aku tidak mahu Yen tahu bahawa sepanjang malam tadi memang aku ada bersamanya. Bicara Yen dinihari itu hanya membahagiakanku seketika. Selepas aku bangun subuh tadi aku mula sedar dan terfikir tentang Velviana. Aku tidak mahu Yen menatap wajah kecewaku tika itu, maka aku tinggalkan dia di situ dan meminta Pak Long mengejutkannya agar Yen menyusul kemudian ke bilik solat. Aku tidak kuat hendak seiring langkah dengan Yen.

“Tak payah awak nak berlakon lagi, Pak Long dah takde kat sini,” ujarku.

Mwo (apa)!” suara Yen melenting kuat. Aku diam. Kedengaran keluhan Yen. Memang dia tidak puas hati denganku tika ini.

“Awak ni sukar nak difahami,” keluh Yen.

“Saya pun sukar nak memahami awak,” balasku berterus-terang. Yen menatapku. Laju aku mengalih pandanganku.

“Jangan pandang saya begitu, ... dan jangan terlalu baik dengan saya. Selagi awak ada Velviana jangan sesekali bersikap baik dengan saya. Saya tak suka,” tegasku telus.

Mwo (apa)!” Yen menatapku lagi. Senyap. Aku mengambil keputusan tidak mahu bersuara lagi. Tidak mahu memulakan hari ini dengan kemurungan.

“Singgah kat warung depan tu,” ujarku memperingatkan Yen tatkala jarak kereta dengan warung itu kira-kira 100 metar sahaja lagi. Namun kelajuan kereta ini kian bertambah. Aku hanya memandang sekilas warung tersebut tatkala Mercedez Benz ini melewati sepintas lalu. Aku menatap tajam wajah Yen.

“Kenapa awak tak singgah kat warung tu tadi?” soalku radang.

“Saya nak awak sendiri buat breakfast. Jangan lupa buat mihun sup nanti. Saya nak awak buat tomyam dan kuih karipap juga,” tegas Yen persis manusia yang begitu berkuasa. Sebetulnya dia sedang melepaskan geram kepada gadis itu. Aku mendengus. Permintaan Yen ini sudah melampau. Dia berfikir ke sebelum berbicara tadi.

“Mana ada banyak masa nak buat semua itu. Takkan semua tu awak nak makan sekali gus,” sahutku janggal dengan permintaan itu.

“Buat saja. Hari ni ada jamuan kat office. Semua orang mesti bawa menu sendiri,” jelas Yen serius.

Mwo (apa)!” tersentak aku mendengar penjelasan Yen.

“Kenapa awak tak cakap awal-awal. Mana ada masa nak sedia semua tu. Awak tempah jelah nanti kat luar,” pujukku dan berharap semoga Yen bersetuju. Aku mengeluh tatkala melihat Yen geleng kepala.

“Saya nak awak buat juga. Pandai-pandailah awak nanti cari masa awak,” tutur Yen sewenangnya tanpa belas kasihan dan pertimbangan wajar. Aku menggigit bibir hingga berbekas menahan geram.

“Awak ni kejam,” kutukku.

“Bukan ke awak larang saya buat baik pada awak tadi. Awak dah lupa ke?” soal Yen sinis. Aku diam. Kereta yang dipandu Yen memasuki perkarangan banglo mewah milik pemuda Korea ini. Aku bergerak pantas meninggalkan Yen di belakang. Sudah tidak ada masa aku mahu berlengah-lengah lagi.

“Iman ssi...!” panggil Yen membuatkan langkahku mati di pertengahan anak tangga. Aku berpaling ke arah Yen.

“Apa yang saya lakukan semalam semata-mata nak buktikan pada Pak Long awak kononnya kita suami isteri yang bahagia. Awak jangan pula salah faham ye,” ujar Yen sinis.

“Sudah pastu saya takkan salah faham,” sahutku.

“Baguslah kalau macam tu. Sekarang siapkan menu yang saya suruh tadi,” arah Yen lagi. Aku menyambung langkah. Namun kali ini langkahku terasa berat. Bicara Yen sebentar tadi telah meragut semangatku pagi ini. Kemudian aku sedar Yen memang bijak bermain kata-kata sehingga aku terpedaya buat seketika. Mujur juga aku tidak berada di sisi Yen tatkala dia membuka mata subuh tadi. Sekurang-kurangnya aku masih mampu menarik nafas lega biarpun hatiku kecewa dan bersedih angkara bicara dan tindakan Yen. Seperti yang aku katakan tadi, aku memang tidak memahami dirinya.

 

Usai menyiapkan sarapan untuk Yen dan menyiapkan diri, aku terus bergerak ke tempat kerja tanpa pengetahuan Yen. Tidak mahu menumpang kereta Yen biarpun dia sudah mengingatkan aku agar pergi bersamanya. Semakin banyak masa bersama Yen, semakin banyak luka yang aku rasa. Langkah bijak aku mahu menjauhinya. Rutin kerjaku berjalan seperti biasa. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar. Sedikit meletihkan aku. Semua berpunca daripada permintaan mengejut Yen yang di luar jangkaan. Aku menampal plaster pada luka di jari kelingkingku. Masih terasa perit. Akibat terlalu tergesa-gesa menyiapkan menu yang diarahkan oleh Yen pagi tadi tanpa kusedari aku terhiris jari sendiri. Malang sungguh nasibku.

Tepat pukul 5.00 petang, aku meninggalkan bilik pejabat. Sejak Mak Long sakit dan berada di hospital, aku tidak berpeluang melebihkan masa untuk berada di tempat kerja memandangkan aku ada komitmen lain. Mujur Encik Rustam memahami. Terfikir untuk berhenti bekerja sementara di Teratak Setia Menunggu ini agar aku boleh menumpukan sepenuh masa menjaga Mak Long di hospital. Namun tatkala aku fikir balik, aku perlu wang untuk membayar kos pembiayaan rawatan Mak Long di hospital. Akulah yang diharapkan oleh keluarga Pak Long untuk menanggung semua itu biarpun tidak pernah disuarakan. Pak Long tiada pendapatan tetap. Lili hanya suri rumah sepenuh masa menjaga anak-anak yang perlukan perhatian.

Tatkala kakiku melewati pintu utama, aku terpandang kereta Mercedez Benz hitam milik Yen berada tepat-tepat bertentangan dengan pintu utama ini. Yen ada di dalam kereta itu. Senyap-senyap aku melangkah cuba meloloskan diri dari pandangan Yen. Tidak mahu Yen menyedari kemunculanku. Sebetulnya aku belum berniat mahu bertemu dengannya setelah kejadian pagi tadi. Hatiku masih terguris dengan bicaranya. Pooonnnn...!!! Pooonnnn...! Aku tersentak lalu mengurut dada beberapa kali. Terkejut mendengar sergahan bunyi hon kereta itu. Kereta Mercedez Benz itu sudah mengekori langkahku perlahan-lahan.

“Iman ssi... masuk ke dalam kereta sekarang!” laung Yen sambil menjengukkan muka keluar tingkap.

“Saya tahu balik sendiri,” balasku dingin. Kereta berhenti. Yen melangkah keluar lalu bergerak pantas ke arahku. Tanganku ditarik.

“Awak buat apa ni?” radangku.

“Jangan degil...! Awak ikut saya balik sekarang!” tegas Yen tidak mahu melepaskan tanganku sebaliknya menarikku masuk ke dalam kereta.

“Saya belum mahu balik,” bohongku. Yen sudah menolak lembut tubuhku duduk di kerusi penumpang di sebelah pemandu. Daun pintu ditutup. Yen kembali di kerusi pemandu lalu memasang tali pinggang.

“Pasang seat-belt tu sekarang,” arahnya. Aku menulikan telinga tanda protes atas tindakannya memaksa aku berada di dalam kereta ini. Yen mengeluh.

“Awak nak buat apa ni?” soalku tatkala Yen sudah mendekatkan diri denganku. Anak maktaku besar menatap Yen. Tanganku sudah bersilang di tubuh cuba melindungi diri.

“Awak jangan fikir yang bukan-bukan. Saya nak pasang seat-belt awaklah,” ujar Yen buat aku malu sendiri. Tidak pasal-pasal aku kantoi lagi. Yen terus memandu kereta meninggalkan perkarangan DHL yang berdiri megah mencakar langit. Senyap.

“Iman ssi...,” panggil Yen. Aku diam. Tidak mahu menyahut panggilan itu. Masih marah denganaya.

“Awak suka saya ke?” tiba-tiba soalan cepumas itu keluar dari mulutnya. Pantas aku berpaling menatap Yen.

“Awak marah saya begini buat saya terfikir yang awak suka kat saya,” jelas Yen bersahaja malah berkeyakinan tinggi menuturkannya. Aku mendengus.

“Baik awak cuci fikiran awak tu sebersih-bersihnya. Kalau pun saya suka awak saya kena fikir banyak kali sebab awak tak layak jadi kekasih saya. Setahu saya awak hanya reti menyakiti  perasaan saya,” tingkahku serius.

Mwo (apa)!” suara Yen meninggi. Tajam pandangan matanya menatapku.

“Mungkin awak tak sedar yang awak tu terlalu bangga diri. Anggap diri boleh pikat semua gadis. Tak guna juga muka lawa kalau perangai buruk,” kutukku lagi sengaja mencucuh api kemarahan Yen.

Mwo (apa)!” Yen melenting lagi. Aku terus memalingkan muka ke tingkap lalu melontar pandangan keluar. Tidak pedulikan Yen yang berada di sebelahku tika ini. Akhirnya masing-masing melayan diri sendiri. Berhenti sahaja kereta di garaj, aku mendahului langkah Yen masuk ke dalam rumah. Tidak mahu beriringan langkah dengan Yen. Kalau boleh malas aku mahu memandang mukanya tika ini. Tatkala kakiku melangkah ke anak tangga pertama, niatku hendak menapak di anak tangga tersebut terbantut. Pandanganku terikat pada bekas bertingkat yang masih berada di atas meja sama seperti kedudukan pagi tadi. Statik di situ. Langsung tidak terusik dan berganjak. Aku berpaling ke arah Yen yang turut sama melontar pandangan ke situ.

“Awak tak bawa pun bekas tu ke office pagi tadi,” ujarku serius.

“Aaa...,” Yen tersentak mendengar bicaraku. Riak wajahnya berubah.

“Saya dah terlewat tadi dan terlupa bawa semua tu. Mianhae (maaf). Tapi saya ada beli makanan di restoran tadi,” jelas Yen membangkitkan marahku.

“Lucunya awak,” Aku tersenyum sinis.

Mwo (apa),”

“Saya ni bukan budak-budak nak awak tipu sesuka hati awak,” tegasku cuba mengawal marahku yang membuak-buak. Yen diam. Aku mendengus kasar. Kecewa betul dengan sikap Yen. Dia tidak tahu betapa aku bertungkus-lumus menyediakan semua itu. Bukan mudah aku hendak bersaing dengan waktu yang terlalu singkat. Semua dilakukan dalam tergesa-gesa. Natijahnya, aku terhiris jari kelingking sendiri. Patutkah Yen anggap semua ini gurauan. Ya Allah, kenapa Yen dera aku sebegini?

“Iman ssi... betul saya nak bawa makanan tu tadi,” ujar Yen masih mahu mempertahankan diri.

“Kenapa dengan awak ni hah! Awak ingat saya ni apa! Pelawak nak dijadikan bahan gurauan awak!” tegasku sakit hati. Setitis air mataku gugur ke pipi. Laju tanganku mengesat. Sudah tidak mampu aku mengawal lagi. Yen sendiri menyaksikan titisan air mataku ini.

“Saya juga ada hati dan perasaan. Tolong jangan permainkan saya lagi,” rayuku dengan hati yang terguris. Yen diam.

“Jangan salahkan saya kalau saya dah tak mampu bertahan untuk bersama awak lagi,” luahku kecewa lalu berlari mendaki satu-persatu anak tangga meninggalkan Yen terpacak di situ.

Di bilik ini, air mataku merembes keluar. Pilu dan pedih bercampur-baur tatkala mengenangkan nasib diriku. Ya Allah, janganlah Engkau biarkan aku tewas menghadapi dugaan kerdilMu ini. 

 

No comments:

Post a Comment