“Awak nak jadi perigi mencari timba ke, Iman?” suara kecilku berbisik sinis. Kutelengkup kedua-dua belah tangan ke telinga. Masih kedengaran bisikan suara sinis itu. Bahkan senyuman anganku asyik berlegar-legar di ruang mataku. Aku jadi malu pada diri sendiri. Lantas kutarik selimut lalu bersembunyi di bawah litupan selimut ini lalu terus berbaring.
“Iman ssi... awak ada kelas gitar sekarang. Awak tak nak belajar ke?” Sayup-sayup suara Yen di sebalik pintu dengan ketukan tangan beberapa kali.
“Tetiba je saya rasa tak sihat hari ni. Kita cancel je kelas malam ni,” pintaku. Tiada kekuatan mahu berhadapan dengan Yen tika ini. Serasa wajahku semerah kulit tomato masak andai bertentang mata dengan Yen.
“Betul ke awak tak sihat ni? Nak ubat?” soal Yen dengan prihatinnya.
“Ye saya kurang sihat. Takpe saya dah telan ubat tadi,” bohongku. Betulkah ada ubat yang boleh menstabilkan emosiku saat ini? Benarkah ada penawar yang boleh memadamkan debaran perasaanku ini?
“Jadi awak tak masak malam ni?” Banyak soal pula pemuda Koera ini. Aku mengeluh sendirian.
“Kejap lagi saya masak ler,” balasku melaung lagi.
“Betul ke awak tak sihat ni? Saya dengar suara awak bertenaga je,” laung Yen curiga. Lantas aku buat-buat batuk. Biar terbukti aku memang tidak sihat untuk mengaburi Yen.
“Okey, awak berehat ler. Saya nak buat kerja kat bilik studio. Kalau awak nak ke klinik cakap je kat saya, nanti saya bawa awak,” ujar Yen memperingatkanku. Kedengaran bunyi tapak kaki Yen berlalu dari muka pintu bilik ini. Aku melepaskan keluhan berat. Betul-betul menyusahkan diri sendiri. Buat apa aku malu dan segan hendak bersemuka dengan Yen sedangkan dia langsung tidak mengetahui gelodak perasaanku tika ini. Yen bukan ahli nujum yang bijak mentafsir perasaanku. Walau bagaimanapun, aku masih terlalu lemah hendak berhadapan dengan Yen.
Aku bangkit dari perbaringan tatkala teringat Yen sedang berada di bilik studio sekarang. Masa terbaik mahu menyediakan hidangan malam. Kukuak sedikit daun pintu. Kujengukkan kepala keluar membuat pemantauan sekeliling. Cuba menjejaki kelibat Yen. Andai aku ternampak kelibat Yen, aku akan batalkan sahaja niatku hendak keluar dari bilik ini. Laluan tiada halangan. Lantas aku keluar dari bilik lalu berjengket-jengket menuruni anak tangga. Tidak mahu disedari oleh Yen. Sepantasnya aku mahu segera sampai di dapur. Sebolehnya aku tidak mahu bertembung denga Yen. Sungguh aku belum bersedia ketika emosiku tidak stabil ini. Di dapur ini aku segera menyediakan hidangan malam yang ringkas. Pasti Yen juga akan memahami lantaran aku sudah menyuarakan yang aku tidak sihat. Disebabkan aku ‘tidak sihat’ ini juga aku wajib mengelakkan diri daripada bertembung dengan Yen. Aku tidak mahu Yen menatapku khuatir rahsiaku terbongkar. Ada masa Yen cukup bijak membaca tingkahlakuku. Bahkan aku merasakan saat ini aku tidak mampu bertentang mata dengan Yen. Aduhai, lemah aku dibuai perasaan sendiri! Rasanya memang sekarang hati dan perasaanku sudah terusik oleh pemuda Korea itu.
Usai menghidangkan makanan di atas meja, aku membuat tinjauan di ambang pintu dapur. Liar anak mataku memerhatikan sekeliling. Laluan di anak tangga lapang. Aku yakin Yen masih berada di bilik studio itu. Cukup berhati-hati aku menyusun langkah sambil anak mataku tertoleh-toleh ke kiri ke kanan.
“Iman ssi...,” Opocot...! Hampir-hampir aku terjerit kerana terperanjat dengan sapaan Yen yang tiba-tiba sahaja muncul dan bertembung denganku di anak tangga ini. Aku sudah terperangkap dan tidak boleh melarikan diri lagi. Namun satu-satunya yang mampu aku lakukan mengalih pandanganku dari wajah Yen. Aku langsung tidak mahu menatap wajah Yen lantas kutundukkan sahaja mukaku persis sedang menghitung anak tangga.
“Iman ssi...awak okey ke?” soal Yen sambil melentokkan kepala semata-mata mahu berlawanan pandangan denganku. Sungguh dadaku berdebar kencang sekarang. Aku jadi tidak keruan.
“Saya dah siapkan makanan malam. Awak boleh makan sekarang,” ujarku lantas berlari anak meninggalkan Yen terpinga-pinga memerhatikan tingkahlakuku. Langsung aku tidak sempat menatap wajah Yen. Kututup rapat daun pintu lalu mengunci. Di dalam bilik ini aku kematian akal. Tidak tahu apa yang patut aku lakukan selain berbaring di atas tilam empuk ini.
“Iman ssi... awak tak nak makan sama ke?” suara Yen kedengaran di sebalik pintu. Aku mematungkan diri. Biarlah Yen beranggapan aku tidur sekarang. Senyap. Mungkin Yen sudah beredar dari situ.
“Iman ssi ... awak dah tidur ke?” Kedengaran suara Yen lagi. Dia masih berada di depan pintu bilik ini. Aku masih mendiamkan diri. Senyap. Aku mendengar langkah Yen menuruni anak tangga. Kemudian kedengaran suara tv dari ruang tamu. Sah Yen sudah berada di ruang tamu. Aku menarik nafas lega. Mujur juga Yen tidak berdiri lama di depan pintu bilik ini.
AKU tiba di tempat kerja lebih awal daripada semalam. Bukan aku mogak dari menyediakan sarapan untuk Yen, tetapi aku bangun lebih awal dari kebiasaan. Maka siap sahaja hidangan sarapan, aku terus menyiapkan diri. Kemudian bergegas meninggalkan rumah. Sudah beberapa kali aku menguap. Masih ada sisa-sisa mengantuk. Semalam aku tidur tidak lena. Pagi ini terpaksa pula bangun lebih awal. Gara-gara mahu mengelak daripada bertembung dengan Yen. Memang sejak semalam aku risau mahu bersemuka dengan pemuda Korea itu. Risau kalau Yen boleh membaca pergerakanku lalu terbongkar rahsia hatiku. Andai semua itu berlaku, pasti aku akan malu besar. Tidak tahu bagaimana penerimaan Yen tika itu. Mungkin juga dia akan menjadikan perkara ini bahan lawak ketawanya. Maruahku tercalar balar ketika itu. Aduh... parahnya!
Masuk masa bekerja, aku mula menyibukkan diri. Cuba melawan gelodok perasaan yang luar biasa ini. Tidak mahu terus memikirkan dan mengalah pada bisikan hati. Perasaan indah ini untuk dinikmati bukan dijadikan penyebab kucar-kacir hidupku. Aku harus meneruskan kehidupan normalku. Tiada siapa yang tahu akan perasaanku terhadap pemuda Korea itu, maka aku tidak perlu risau. Selagi aku tidak membicarakan perasaan ini dan selagi tidak mempamerkannya selagi itu tiada sesiapa yang akan mengetahui. Aku mesti bijak mengawal diri. Namun aku masih tidak mampu bertentang mata dan bersemuka dengan Yen. Perkara ini menimbulkan kerunsinganku. Sukar kerana aku dan Yen tinggal sebumbung. Bahkan makan dan minum duduk semeja. Aku juga ada kelas gitar yang mengkehendakiku bersama Yen di dalam bilik studio itu. Situasi-situasi ini tidak dapat mengelakkan aku dari bersua muka dengan pemuda Korea itu. Mustahil aku mampu mengelakkan diri selama-lamanya daripada Yen selagi aku dan dia tinggal bersama. Malah kalau aku terus bertingkahlaku begini, Yen akan sedar lalu mula menyiasat. Segala akan terbongkar. Aku melepaskan keluhan berat. Fikiranku buntu.
Tepat pukul 12.30 tengah hari waktu rehat sudah bermula. Alhamdulillah aku berjaya menghabiskan lebih daripada separuh waktu kerjaku seperti biasa. Buktinya Encik Rustam rakan sekerja yang banyak bersamaku serta rakan-rakan lain tidak pernah memperkatakan tentang sikapku. Maka aku masih bertingkahlaku seperti biasa. Tiada yang nampak pelik dan aneh. Biarupun hakikatnya aku sedang bertarung dan berlawan dengan perasaan sendiri. Memang tidak kunafikan sesekali aku berkhayal memikirkan perasaanku namun cepat aku mematikan sebelum aku terlajak jauh melayari khayalan itu. Sebeginikah rumitnya hendak bercinta? Betulkah aku telah jatuh cinta kepada Yen? Pemuda Korea yang aku ketahui sudah berpunya dan dimiliki hatinya. Tidak kejamkah aku terhadap Velviana kerana berperasaan begini kepada kekasih yang dicintainya. Berhenti sekarang! Aku tidak boleh menyemai dan menyuburkan perasaan indah ini dalam jiwa sanubariku. Aku wajib menghentikan sekarang. Anggaplah aku sedang keliru persis yang selalu melanda Yen. Semua ini hanya mainan perasaanku. Perasaan yang fanatik sangat pada aktor Korea. Kemudian perasaan ini menjangkit pula kepada Yen. Inilah yang sebenarnya berlaku padaku.
“Sedar ler, Iman... Ini yang sebenarnya berlaku pada awak...!!!!” jerit hati kecilku yang tiba-tiba sahaja buat aku tersentak. Kira-kira 24 jam aku berkhayal dan dipermainkan oleh perasaan sendiri. Cukuplah semalaman hidupku kucar-kacir tatkala dilanda kacau-bilau gurauan perasaan ini.
“Awak belum nak balik lagi ke?” suara Encik Rustam mengutarakan pertanyaan ini mengejutkan aku.
“Kejap lagi,” balasku pendek.
“Ada janji temu dengan Encik Rizal?” duganya berbaur usikan.
“Hey, tak de ler!” laju aku menyahut. Aku dapat rasakan ada sesuatu yang Encik Rizal pernah perkatakan kepada pemuda ini. Sesuatu yang ada kaitan denganku.
“Hujung minggu ni ada majlis kesyukuran ulang tahun perkahwinan my parents. Awak datang ler sekali dengan Encik Rizal nanti. Esok saya beri awak kad jemputan sebagai peringatan. Kehadiran awak adalah wajib. Jangan pula awak tak datang nanti,” ujar Encik Rustam selaku sepupu Encik Rizal dengan panjang lebar. Aku hanya senyum. Namun hatiku dilanda kerisauan. Majlis kekeluargaan yang akan mengumpul sanak-saudara. Memandangkan ada jalinan kekeluargaan antara Encik Rustam dengan Encik Rizal, sudah pasti ahli keluarga Encik Rizal pun akan datang sama ke majlis itu. Terbayang wajah kedua-dua ibu bapa Encik Rizal. Walaupun mereka nampak pasangan yang baik, namun aku tetap segan hendak berhadapan dengan mereka. Mereka merupakan golongan yang berstatus tinggi. Maka banyak sangat tatacara yang penuh bertatasusila yang harus diikuti. Hey...rimas aku memikirkan semua itu! Semoga mereka persis Datuk Kamarudin dan Puan Sodiah. Golongan berada yang merendah diri.
“Tak payah segan, ni majlis keluarga je. Tak jemput orang lain pun,” ujar Encik Rustam bagai dapat membaca perkara yang sedang bergolak dalam fikiranku. Aku senyum lagi.
“Kalau macam tu nampaknya saya tak payah ler pergi. Sayakan orang luar,” ujarku senang hati kerana aku masih berpeluang tidak hadir ke majlis ulang tahun perkahwinan itu nanti.
“Siapa kata awak orang luar. Tunggu masa saja awak akan jadi ahli keluarga saya juga nanti,” balas Encik Rustam berfikiran jauh.
“Saya takde apa-apa hubungan istimewa dengan Encik Rizal. Hubungan saya dengan dia sama je seperti hubungan saya dengan awak,” ujarku berterus terang. Tidak mahu lelaki ini tersilap tanggapan.
“Sedih hati Encik Rizal kalau dia dengar cakap awak ni,” tutur Encik Rustam buat aku terdiam panjang.
“Kenapa awak tak boleh terima dia saja?” soal Encik Rustam telus dan masih mahu memperkatakan tentang Encik Rizal dan aku. Sebenarnya aku kurang senang berbicara hal ini. Malah aku tidak mampu menghalang orang lain mengaitkan aku dengan Encik Rizal. Namun aku tetap berusaha membetulkan tanggapan silap mereka itu. Aku dan Encik Rizal hanya sahabat.
“Saya tak layak untuk Encik Rizal,” jawabku untuk pertanyaan Encik Rustam itu.
“ Tak layak ke atau awak dah ada orang lain? Awak dan sepupu Korea awak tu ada apa-apa ke?” soal Encik Rustam mengejutkanku.
“Saya tengok bukan main mesra dia dengan awak. Siap sekali pegang tangan awak pula. Saya dan sepupu-sepupu perempuan saya takde pun macam tu,” tutur Encik Rustam seakan mencurigaiku. Kali ini aku terkesima dan kematian akal untuk memberi alasan terbaik kepada Encik Rustam. Dalam masa yang singkat ini aku tidak mampu menyangkal bicara Encik Rustam.
“Saya balik dulu ler, Iman. Jangan lupa dengan jemputan majlis minggu depan tu ye,” ujar Encik Rustam mengingatkan aku. Aku mengangguk. InsyaAllah. Dengan keizinan Allah aku akan cuba usahakan kehadiranku ke majlis itu walaupun hatiku terasa berat. Bukan aku tidak sudi tetapi memikirkan ahli keluarga Encik Rustam yang juga melibatkan ahli keluarga Encik Rizal akan berkumpul membuatkan hatiku kurang senang. Lama juga aku memikirkan perkara ini. Akhirnya aku ambil pendekatan positif. Tidak perlu aku risau memandangkan aku pergi ke majlis keluarga Encik Rustam yang merupakan rakan sekerjaku. Tambahan pula aku tidak pernah menjanjikan apa-apa kepada Encik Rizal. Kalau ada yang beranggapan hubunganku dengan Encik Rizal melebihi hubungan sahabat terpulanglah. Masing-masing ada hak untuk membuat penilaian. Namun kalau aku ditanya tentang perkara ini, jawapanku tetap sama bahawa aku dan Encik Rizal hanya sahabat tidak lebih daripada itu.
Memandangkan habis waktu kerja tadi aku masih berada di pejabat sengaja melambat- lambatkan waktu balik, natijahnya aku terlepas bas yang sepatutnya aku naiki. Mujur juga ada teksi yang boleh aku tumpungi. Sepanjang perjalanan aku mendiamkan diri sambil bersandar di kerusi penumpang di bahagian belakang ini. Kebetulan pula pemilik teksi ini hanya mendiamkan diri. Barangkali melihat aku keletihan lantas dia tidak mahu mengganggu sebaliknya memberi aku peluang berehat. Aku memang cukup senang dengan keadaan sekarang. Fikiranku terlontar jauh. Aku mula memikirkan tentang pemuda Korea itu. Adakah dia sudah berada di rumah saat ini? Di manakah kedudukannya sekarang? Di ruang tamu, di bilik studio ataupun di biliknya? Aku berharap sangat kalau Yen berada di dalam bilik tidur. Harap-harap bukan di ruang tamu. Bagaimana aku hendak berhadapan dengan pemuda Korea ini? Semahunya aku tidak ingin bertembung dengan Yen saat ini.
“Minta maaf pak cik, tolong hantar saya ke Taman Biah, saya tak jadi pergi ke Taman Pujangga Hill,” ujarku sedikit rasa bersalah kerana tiba-tiba sahaja mengubah haluanku. Lelaki separuh usia ini mengangguk dan tersenyum.
“Baiklah dik, tak jadi masalah,” sahutnya mesra.
“Terima kasih, pak cik,” balasku berlapang dada. Kereta yang sepatutnya jalan lurus, terus sahaja membelok ke satu simpang jalan. Jalan ini akan membawa aku ke rumah sewa Linda dan Kak Leha yang suatu waktu juga merupakan rumah sewaku . Kami bertiga pernah berkongsi tempat tinggal. Tiba di destinasi, aku terus membayar tambang teksi lalu melangkah ke perkarangan pangsapuri yang diduduki oleh Linda dan Kak Leha. Melewati pondok pengawal keselamatan ini, sempat juga aku bertukar senyuman dengan lelaki yang bertugas waktu ini. Wajah yang pertama kali aku nampak. Dahulu waktu aku tinggal di sini, semua pengawal keselamatan yang bertugas menjaga keselamatan di sini kukenali. Aku meneruskan langkah mendaki tangga ke aras tingkat 2. Sengaja tidak mahu menggunakan lif memandangkan waktu sekarang sibuk. Pasti ramai yang mahu menggunakan perkhidmatan lif itu. Kebetulan pula aras tingkat 2 ini tidak jauh dan tidak menyukarkan aku untuk sampai ke rumah sewa sahabat-sahabatku ini. Memang patut aku memberi peluang kepada penghuni yang tinggal di aras yang lebih tinggi kerana mereka lebih berhak menggunakan lif ini. Kutekan loceng pintu lalu menanti Linda muncul di sebalik daun pintu. Kedatanganku ini tidak sempat aku maklumkan kepada Linda memandangkan tiada perancangan hendak datang ke sini. Tiba-tiba sahaja aku meminta pemilik teksi tadi menghantarku ke sini. Semoga Linda mahupun Kak Leha berada di rumah saat ini. Aku menarik nafas lega tatkala kedengaran kunci pintu disorong. Seminit kemudian terpancul wajah Linda Si Ayamor.
“Assalamualaikum...,” sapaku.
“Hey, Iman...!” Linda terjerit dengan kemunculanku di depan pintu rumah sewa ini. Tersenyum lebar dia menyambut kedatanganku.
“Masuk...masuk...,” arahnya sambil menguak seluas daun pintu.
“Awak belum jawab salam saya lagi,” usikku sambil merebahkan tubuh ke sofa panjang berwarna coklat gelap ini. Inilah lokasi kegemaranku. Aku yang menguasai sofa ini. Kak Leha dan Linda lebih suka berbaring di lantai. Waktu itu kami menonton rancangan kegemaran bersama di kaca tv. Indah kenangan itu. Rindu pula hendak mengulanginya. Masihkah aku, Linda dan Kak Leha berkesempatan mengulangi semua itu?
“Saya jawab dalam hati ler...Hah, yang awak tetiba je termenung tu kenapa?” suara Linda mematikan lamunanku. Aku tersengih.
“Saya teringat kenangan kita bertiga kat rumah ni,” luahku berterus-terang. Linda mencebik bibir.
“Aa... mula ler sentimental tu. Betul-betul kenangan mengusik jiwa awak ni ye,” perli Linda disambut dengan gelak tawaku. Lucu mendengar bicara Linda. Kini terasa lapang dadaku. Lupa seketika tentang bebanan perasaan yang menimpaku sehari dua ini.
“Malam ni saya nak tidur kat sini. Rindulah dengan Linda Si Ayamor,” usikku. Linda tersenyum. Suka dia mendengar bicaraku. Pasti hati berbunga-bunga kalau ada orang yang mengatakan rindu kepada kita.
“Boleh ke saya tidur di sini malam ni?” soalku meminta keizinan.
“Boleh...! Nak tinggal terus kat sini pun boleh,” sahut Linda buat aku tersenyum lebar. Senang hati mendengar keizinan Linda.
“Betul ke saya boleh terus tinggal di sini?” soalku menduga. Linda mengangguk.
“Tapi awak angkut ler sekali laki awak tu tinggal di sini,” ujar Linda memadamkan terus keriangan hatiku.
“Buat apa saya nak ajak dia tinggal di sini,” keluhku tidak bersetuju dengan cadangan Linda.
“Dah jadi laki awak, mesti ler ke mana awak pergi dia mesti ada bersama,” tutur Linda. Aku mencebibik bibir. Kurang suka dengan bicara Linda itu.
“Dia tahu ke awak datang ke sini?” soal Linda curiga. Aku geleng kepala. Sebelum tidur nanti aku hantar mesej kepada Yen. Aku tiada di rumah pun sama sekali tidak akan buat dia risau.
“Kata nak tidur kat sini, mana beg pakaian awak?” soal Linda lagi.
“Saya nak pinjam baju awak. Macam ler awak tak biasa bagi saya pinjam,” tuturku bersahaja.
“Sekadar nak pinjamkan awak baju boleh tak jadi hal. Awak lari dari rumah ke? Awak bergaduh dengan Yen?” soal Linda curiga. Laju aku geleng kepala.
“Kan saya dah cakap tadi rindu nak jumpa awak. Awak tak suka saya datang ke sini? Kalau tak saya balik sekarang,” balasku buat-buat merajuk.
“Jangan merepek ler Iman. Jom masuk ke bilik ambil tuala dan baju tidur. Lepas tu kita solat maghrib sama-sama,” ujar Linda persis seorang ibu. Aku tersenyum sendiri mengekori langkah Linda.
“Pakaian dalam ada tak?” soalku mengusiknya.
“Ada yang awak punya sendiri saya simpan. Masa awak pindah dulu, ada juga barang-barang awak yang tertinggal dalam almari tu. Maklumlah pindah dengan berat hati,” ujar Linda mengungkit cerita lalu. Aku diam.
“Tapi jangan risau, saya dah cuci semula dan simpan elok-elok dalam laci almari ni,” tambah Linda buat aku terharu.
“Ye ke... Gomawoyo (terima kasih) Lin,” tuturku berbesar hati. Linda tersenyum. Usai mandi, kami solat maghrib bersama-sama. Kemudian ke dapur menyiapkan hidangan makan malam. Menu semua Linda yang tetapkan. Aku sekadar membantu menyediakan bahan-bahan sahaja. Kak Leha sekarang bercuti di kampung. Sudah dua hari dia di sana. Menurut Linda, esok baru Kak Leha balik semula ke sini. Rindu pada Kak Leha umpama kakak kandung kami sendiri. Dia seorang yang kaya dengan nasihat-nasihat bernas. Kak Leha begitu prihatin terhadap aku dan Linda. Jika kami melakukan kesilapan pasti akan ditegur dengan cara halus yang membuatkan kami berfikir semula lalu insaf. Sesungguhnya Kak Leha tidak pernah menyinggung perasaan kami. Yang pastinya aku dan Linda begitu menyenangi Kak Leha. Bahkan menyayangi wanita berusia lewat 30an ini. Sebenarnya Kak Leha pernah putus tunang. Kalau tidak kerana kecurangan tunang dia sudah pasti sekarang Kak Leha memiliki keluarga sendiri. Namun tiada jodohnya dengan lelaki itu. Kasihan Kak Leha. Hatinya telah dihancur leburkan oleh lelaki yang dicintainya. Semoga Kak Leha akan dipertemukan jodoh terbaik. Begitu juga dengan Linda. Amin.
“Bagaimana hubungan awak dengan Yen?” soal Linda. Aku diam seketika. Soalan ini soalan yang paling aku tidak gemar. Sukar aku hendak memberikan jawapan. Ibarat aku dalam situasi ditelan mati mak, diluah mati bapa. Susah aku hendak memberikan jawapan yang terbaik.
“Okey…,” balasku pendek.
“Okey macam mana?” soal Linda lagi.
“Tinggal bersama, menjalankan kerja rumah bersama, makan bersama, adakala meluangkan masa bersama termasuk ler keluar makan bersama,” jelasku merujuk aktiviti yang pernah aku lakukan dengan pemuda Korea itu.
“Kehidupan kamu masih tak seperti pasangan suami isterikan,” duga Linda penuh makna tersirat. Aku diam. Kali ini tiada jawapan yang mampu aku berikan untuk pertanyaan itu. Senyap.
“Awak langsung takde perasaan pada Yen ke? Setahu saya dari dulu lagi awak memang fanatik dengan genetik Korea ni,” balas Linda sempat buat aku tersenyum sekilas. Masih senyap.
“Yen tak buat awak jatuh cinta ke?” soal Linda masih menyuarakan perkara yang sama tetapi berbeza pengolahan persoalan itu. Ketahuilah Linda, sesungguhnya sekarang aku tiada kekuatan mahu bertentang mata dengan pemuda Korea itu. Dadaku berdebar kencang tatkala mendengar suaranya. Jiwa ragaku terasa bergolak. Sekarang aku berusaha menjauhkan diri daripadanya. Sebab itu aku wujud di depanmu tika ini. Perlukah aku berterus terang kepada Linda akan keadaanku saat ini agar Linda boleh mentafsirkan setepatnya? Ohh, aku tidak berdaya! Aku tidak mampu meluahkan kepada Linda. Aku malu andai Linda akan mentertawakan aku.
“Dengan keadaan kami sekarang saya takut untuk jatuh cinta padanya,” jawabku samar-samar sekadar menjawab persoalan yang Linda ajukan tadi. Kedengaran keluhan Linda. Sebetulnya aku hanya mahu menjawab pertanyaan Linda seadanya agar dia tidak mencurigaiku.
“Takpe ler, sekurang-kurangnya memudahkan kamu berpisah suatu hari nanti,” ujar Linda meluahkan isi hati.
“Saya mahu awak hidup bahagia. Hidup bersama lelaki yang benar-benar mencintai dan boleh melindungi awak. Sebab itu, saya masih berharap agar awak mempertimbangkan hubungan awak dengan Yen sekarang. Kalau hubungan ini tak memberi apa-apa makna pada kalian buat apa nak diteruskan. Semakin lama kamu lengahkan masa semakin banyak masa yang kamu bazirkan. Tahu-tahu ler usia kita ni kian berganjak. Takut pula terlewat mengecapi kebahagiaan sendiri,” tutur Linda panjang lebar. Bicara Lina penuh makna dan memang ada benarnya. Kehidupan manusia di alam fana ini hanya singkat. Bila-bila masa sahaja akan dipanggil kembali menghadap Yang Maha Esa. Soal jodoh dan maut adalah ketentuanNya. Aku hanya mampu berserah kepadaNya Yang Maha Berkuasa lagi Yang Maha Bijaksana untuk menentukan yang terbaik buat hambaNya.
“Biarlah masa dan keadaan yang menentukan segalanya, Lin. Saya reda dan pasrah menerima ketetapan Allah. Kalau takdir mengkehendaki kehidupan saya begini saya reda. Andai takdir juga tertulis perpisahan saya dengan Yen, saya akan menerima dengan hati terbuka,” balasku telus dari hati kecilku. Segala-gala telah ditetapkan oleh Allah. Tiada siapa yang mampu menghalang daripada berlaku. Sebagai hambaNya, aku hanya mampu bermunajat meminta kesejahteraan dan limpahan rahmat daripadaNya Yang Maha Kuasa, lagi Yang Maha Pengasih dan Yang Maha Penyayang agar kehidupanku baik-baik sahaja dan berada di landasan yang betul. Amin.
“Kalau awak yakin tiada ruang hidup awak bersama Yen lagi, jangan buat awak ada hati dan perasaan padanya. Berikan ruang hati awak tu pada lelaki yang lebih memerlukan. Saya tahu ada lelaki setia yang cintanya hanya untuk awak,” tutur Linda mengingatkanku. Tetiba wajah Encik Rizal menjelma di mataku. Pasti orang yang dimaksudkan oleh Linda itu ialah lelaki ini. Selain Yen, hanya Encik Rizal yang sering dikaitkan denganku.
“Awak dan Yen suami isteri tapi ada kehidupan sendiri. Yen dah ada kekasih, awak pula keluar dengan Encik Rizal, lelaki yang ada perasaan pada awak. Kehidupan macam ni tak memberi makna apa-apa selain mengundang dosa. Tak elok diteruskan kalau macam ni,” tegas Linda memberi kesedaran kepadaku. Aku mengeluh. Fikiranku buntu. Sayup-sayup kedengaran laungan azan. Sudah masuk waktu solat isyak.
“Jom kita solat. Lepas solat kita makan,” ujar Linda mengajakku. Aku mengangguk lantas mengekori langkah Linda. Usai solat dan menikmati hidangan makan malam, aku dan Linda duduk di depan kaca tv di ruang tamu ini. Namun tidak lama kerana tiada rancangan tv yang menarik minat kami. Tambahan pula keletihan masih terasa setelah sepanjang hari bekerja. Lantas aku dan Linda bergerak ke bilik tidur mahu merehatkan diri. Aku mencapai iPhone di dalam beg galasku tatkala teringat yang aku belum memaklumkan ketidakpulanganku malam ini pada Yen. Ada sepuluh panggilan yang tidak dijawab tertera pada skrin. Semua panggilan daripada Yen. Laju jemariku menulis mesej memaklumkan tentang keberadaanku di rumah Linda. Belum habis mesej kutulis, ada panggilan yang memintas. Ternyata panggilan daripada Yen lagi.
“Hello, assalamualaikum...,” sapaku lemah.
“Yah..., Iman ssi! Kenapa tak balik-balik lagi...!!!” sergah suara Yen membuatkan bahuku terangkat dek terkejut. Aku menjauhkan iPhone dari telingaku. Sungguh suara pemuda Korea ini membingitkan telingaku.
“Awak ni tak reti bagi salam ke? Buat orang terkejut ada ler,” marahku balik. Linda hanya terkebil-kebil menatapku.
“Awak kat mana sekarang? Kenapa tak balik-balik lagi?” soal Yen.
“Saya tidur kat rumah Linda malam ni. Petang esok habis kerja baru saya balik ke sana,” balasku bersahaja.
“Iman ssi...!” melenting lagi suara Yen.
“Wae (kenapa)?” soalku bersahaja. Langsung tidak terusik mendengar suara radang pemuda Korea ini.
“Balik sekarang...!” arah Yen. Tegas.
“Dah lewat ni. Saya baru je nak tidur. Lagipun takde perkhidmatan bas dan teksi waktu begini,” balasku memberi alasan. Lantas Linda menunding jari pada diri sendiri. Aku tahu Linda bersedia menghantarku balik ke banglo pemuda Korea itu. Laju aku geleng kepala.
“Sekarang saya ambil awak. Tunggu saya datang,” Tut...tut....tut... Panggilan sudah diputuskan. Aku berpaling pada Linda. Kami berpandangan seketika.
“Kenapa?” soal Linda.
“Kejap lagi Yen datang,” jelasku diikuti dengan keluhan. Linda tersenyum. Senyuman perlian buatku. 20 minit kemudian Yen muncul di muka pintu. Lebih cepat daripada jangkaanku. Sepatutnya untuk sampai ke sini kalau dari Taman Pujangga Hill mengambil masa kira-kira 35 minit. Maka Yen menjimatkan masa 15 minit. Di mataku sudah terbayang persis Mat Rempit Yen memandu.
“Cepat balik,” ajak Yen yang melihat aku masih terpacak di depannya sekali gus membiarkannya masih terpacak di muka pintu tanpa menjemputnya masuk ke dalam rumah terlebih dahulu.
“Awak tunggu kejap saya nak tukar baju,” ujarku memintanya meluangkan sedikit masa menungguku.
“Tak payah tukar baju. Pakai je baju tidur tu kita terus balik ke rumah bukan nak ke mana-mana pun,” tegah Yen.
“Kalau ya pun masuk ler dulu,” pelawa Linda yang baru muncul. Yen tersenyum.
“Takpe ler Lin. Kami dah nak pergi ni,” laju aku mencelah sekali gus menghalang Yen menanggalkan kasut sebelum melangkah masuk ke dalam rumah. Yen mengangguk menyokong bicaraku.
“Awak pergi dulu tunggu saya dalam kereta. Kejap lagi saya turun,” ujarku seraya mengarahkan Yen bergerak dahulu. Namun Yen masih tidak berganjak.
“Pergi ler...!” arahku. Setelah digesa baharulah Yen melangkah membuatkan Linda tertawa.
“Nampak sangat dia takut awak nak tipu dia,” ujar Linda mentafsir tingkahlaku Yen sebentar tadi. Aku hanya mengeluh. Sekelip mata Yen telah merosakkan rancanganku bermalam di rumah ini.
“Lin saya pergi dulu ye. Saya pinjam baju tidur awak ni dulu. Esok-esok saya pulangkan,” ujarku sambil bergerak ke pintu. Beg galas sudah tergalas di bahuku. Linda mengangguk seraya menghantarku hingga ke muka pintu.
“Lain kali saya tidur di sini,” janjiku.
“Sebelum datang ke sini, minta izin suami dulu. Tak payah ler malam-malam kena pindah begini,” balas Linda memperliku. Aku mencebik bibir.
“Saya pergi dulu. Bye...,” Kutinggalkan Linda dengan lambaian tanganku. Terasa berat langkahku mendapatkan Yen. Sekali lagi aku bertukar senyuman dengan pengawal keselamatan yang sedang bertugas petang tadi. Nampak dia kehairanan. Kalau hendak tahu inilah gerangan isteri yang lari dari rumah. Kemudian berjaya dijejaki oleh suaminya. Bisik hati kecilku kepada lelaki itu. Aku menguak pintu kereta seluasnya lantas duduk di kerusi penumpang di sebelah Yen. Enjin kereta dihidupkan lalu Yen memulakan pemanduan meninggalkan perkarangan pangsapuri Taman Biah. Sesekali Yen melirik ke arahku. Namun tidak kuendahkan. Pura-pura tidak nampak.
“Apa kena dengan awak ni?” Aku diam. Bersedia mendengar rungutan Yen.
“Takde hujan, takde ribut tetiba je menghilangkan diri. Buat apa awak menyibuk nak tumpang tidur rumah orang lain sedangkan rumah sendiri ada,” leter Yen tanpa melengahkan masa. Aku tidak menyenangi bicara itu.
“Itu rumah sewa Linda ler, rumah kawan baik saya malah hubungan kami macam adik-beradik,” ujarku meningkah bicara Yen.
“Berbanding dengan kawan, hubungan awak dengan saya lebih rapat,” balas Yen tidak mahu mengalah.
“Tapi...(saya lebih rapat dan dihargai oleh Linda berbanding dengan awak. Kami saling mengenali, tapi dengan awak tidak)...,” Sebenarnya bicara ini yang ingin aku luahkan namun ternyata aku tidak mampu. Bicaraku tergantung.
“Tapi... apa?” soal Yen meminta penjelasan lanjut.
“Buat apa awak datang cari saya? Bukan ke saya dah cakap tadi saya balik esok lepas kerja,” ujarku mengubah topik perbualan. Senyap. Yen tidak mahu menjawab pertanyaanku.
“Saya belum makan lagi...,”
“Jadi awak nak suruh saya balik semata-mata nak saya masak ler nie?” soalku binggung. Yen diam.
“Awakkan ada kelas gitar malam ni,” tutur Yen lagi. Kulirik jam di tangan. Hampir-hampir mencecah ke jam 11 malam. Tidak logik aku hendak belajar main gitar jauh malam begini. Aku bukan kelawar yang tidak pandai tidur malam. Kalau Yen aku tidak hairan. Rutin hidup memang boleh memetik gitar sampai ke pagi.
“Dah lewat begini saya tak nak belajar gitar,” balasku. Senyap.
“Singgah mana-mana beli makanan. Saya tak nak masak dah lewat begini,” ujarku. Yen diam. Tidak memberi tindak balas pada bicaraku.
“Apa hal awak cakap tak tengok saya. Asyik-asyik pandang keluar je,” komen Yen buat aku tidak keruan. Akhirnya sedar juga Yen dengan tingkahlaku dari kebiasaan ini.
“Bukan muhrim,” tiba-tiba meluncur laju perkataan ini dari mulutku buat Yen tertawa besar. Hancuuussss! Macam mana aku boleh tersasul bicara sebegini. Hancur habiiisss!!!! Malunya...! Aku kian tiada keberanian mahu bertentang mata dengan Yen. Yen masih ketawa.
“Awak betul-betul dah nak jadi ustazah je,” ujar Yen sambil disusuli dengan tawa lagi. Dia teringat pada bicara Jack yang mengaitkan perubahan dirinya yang konon beralih cinta pada seorang ustazah. Kali ini Yen tersenyum sendiri. Sepanjang perjalanan aku hanya mendiamkan diri. Risau kalau banyak bicara banyak lagi kesilapan yang bakal aku lakukan. Natijahnya aku yang terpaksa menanggung malu. Bahkan aku masih tidak mahu bertentang mata dengan Yen. Tatkala sampai di halaman, aku mendahului langkah Yen masuk ke dalam rumah. Jauh juga Yen kutinggalkan. Aku melewati ruang tamu melangkah ke anak tangga. Dalam perkiraanku mahu terus masuk ke bilik.
“Awak nak kemana tu? Saya belum makan lagi ni. Cepat sediakan,” arah Yen sekali gus mematikan langkahku di anak tangga pertama.
“Dah lewat ni. Awak makan maggie je ler,” arahku semula. Masih tidak mahu menatapnya.
“Kenapa dengan awak ni? Dah ler cakap tak tengok orang. Pelik benar perangai awak ni. Dari semalam saya tengok awak macam ni je,” omel Yen mengulas perubahan sikapku ini. Aku diam lagi.
“Cepat sediakan sekarang,” arah Yen berdegil. Kali ini aku mengalah. Dengan langkah longlai aku menuruti langkah Yen ke dapur. Yen ke singki membasuh tangan, manakala aku masih terpacak di tepi meja. Yen berpaling.
“Buka tudung saji tu,” arahnya. Aku patuh lagi. Tatkala tudung saji terangkat, aku tergamam. Sudah terhidang beberapa menu lazat sedia dinikmati. Sudah sejuk. Mungkin sudah lama terhidang menanti kepulanganku.
“Duduk,” arah Yen lagi. Aku melabuhkan duduk di kerusi dengan pandangan yang masih terikat pada hidangan yang memenuhi meja ini.
“Awak kata semalam tak sihat. Jadi saya masak untuk awak malam ni,” jelas Yen bersahaja. Kupandang Yen tetapi sekejap sahaja tatkala dadaku sudah mula berdebar-debar. Getaran jiwaku datang lagi.
“Kata tak sihat tapi awak pergi kerja juga hari ni,” omel Yen sendirian. Aku masih diam. Yen sudah meletakkan nasi dan beberapa jenis lauk pauk ke dalam pinggan lalu meletakkan di depanku. Segelas jus dituang ke dalam gelas untukku. Nampak romantik Yen melayanku sebegini.
“Awak tersalah makan ubat ke semalam sehingga awak jadi pediam ni,” tutur Yen sambil menatapku. Aku hanya menundukkan kepala menatap nasi dan lauk pauk di dalam pinggan. Perasaanku tika ini sukar digambarkan.
“Makan...,” arah Yen tatkala melihat nasi dan lauk pauk di dalam pinggan belum terusik lagi. Walaupun sebenarnya aku masih kenyang, namun tidak sampai hati pula aku hendak menolak pelawaan Yen menikmati hidangan malam ini setelah mengenangkan Yen bersusah payah menyediakan semua ini.
“Sedap tak?” soal Yen cuba mengajakku berbicara. Aku mengangguk.
“ Ni sup ayam masakan Korea yang pernah saya masak untuk awak,” tutur Yen lalu meletakkan semangkuk sup ayam. Yen pernah mereneh sup ini untukku. Tika itu aku diserang demam selsema gara-gara kehujanan. Kehujanan sebab mencari vcd Korea. Tika itu Yen marah sungguh denganku. Malah dia juga menjagaku dengan baik. Bukti kejadian itu aku diperintahkan menggantung rantai silver berloket sepasang bintang yang bersatu ini di leherku. Pada dada bintang ini tertulis nombor iPhone Yen. Sepasang rantai yang khas ditempah oleh Yen untukku. Maka selagi rantai ini tergantung di leherku selagi itu aku tidak akan tersesat kerana Yen sentiasa bersedia menjemputku walau di mana sahaja.
“Makan ler lagi,” arah Yen tatkala nasi di dlaam pingganku tinggal sisa. Aku geleng kepala. Sudah terlalu kenyang. Tidak mampu dipaksa0paksa lagi. Aku ke singki membasuh tangan. Yen melangkah ke peti sejuk lalu mengeluarkan sesuatu. Aku kembali ke meja makan dan duduk di sini sebagai peneman Yen yang masih mahu meneruskan misi seleranya. Aku juga mesti menunggu Yen selesai makan memandangkan aku perlu mengemas pinggan mangkuk ini dan membersihkan meja makan serta dapur ini. Sudah menjadi tugas rutinku. Yen meletakkan gelas kaca ekskulsif berisi dadih perisa mangga, epal hijau dan jagung di depanku. Semua perisa kegemaranku buat aku teruja dan terharu.
“Makan dadih kegemaran awak ni. Saya buat khas untuk awak,” tutur Yen. Tiba-tiba aku dengar suara Yen begitu romantik. Kutatap wajahnya nampak bersinar-sinar sehingga membuatkan aku terpukau. Oh, penyakit deraan jiwaku datang semula! Aku harus menghentikan semua ini! Wajib...!!!!!! Aku terus bangun dan berdiri tegak membuatkan Yen terpinga-pinga menatapku.
“Jang Geun Sik, berhenti berbuat baik dengan saya! Saya tak suka!” tegasku keras bagai terkena tiupan angin hitam. Aku melangkah meninggalkan Yen yang bagai terkena renjatan elektrik tatkala mendengar suara lantangku tadi.
“Iman ssi, kenapa dengan awak ni?” laung Yen bingung dengan sikapku. Aku meneruskan langkah tanpa pedulikan laungan pertanyaan Yen. Kukurung diri di dalam bilik berkunci ini. Sesungguhnya, aku juga ingin menyatakan kepada Yen bahawa aku sendiri tidak faham dengan diriku sendiri. Namun aku tidak mampu meluahkan kepada pemuda Korea itu. Akhirnya, aku hanya mampu membisikkan kalimah maaf kepada Yen. Minta maaf sebab aku tidak mampu mengawal perasaanku sendiri. Aku telah tewas! Kali ini benar-benar tewas!
“Mianhae (maaf), Jang Geun Sik…,” tuturku lemah lantas membaringkan tubuh ke tilam persis gugurnya seorang pahlawan di medan perang.
No comments:
Post a Comment