Kedatanganku disambut oleh Lili dan anak-anaknya. Aku dan Lili berpelukan melepaskan kerinduan setelah lama tidak bertemu. Nana dan Adie juga tidak terlepas dari menerima ciuman bertalu-talu di pipi. Bahagia tatkala pipiku menerima ciuman balas oleh anak-anak Lili yang comel-comel dan bersopan santun ini.
“Barang awak mana?” soal Lili kehairanan melihat aku muncul hanya dengan beg galas di bahu. Aku senyum.
“Petang nanti saya balik ke bandar semula tak bermalam hari ni,” jelasku. Lili menarik muka masam. Penjelasanku tidak membuatkan dia gembira.
“Kenapa nak balik juga petang ni? Tinggallah kat sini sehari dua,” pujuk Lili. Aku geleng kepala.
“Tak boleh. Esok dah nak mendaftar masuk asrama,” sahutku.
“Ooohh...,” Lili mengangguk mula mengerti. Aku dan Lili masih berada di halaman rumah, duduk di bangku kayu ini. Dahulu inilah tempatku dan Lili berbual panjang seusai melakukan kerja-kerja rumah. Pohon rambutan yang merimbun memayungi bangku kayu ini menjadikan tempat ini teduh dan selesa untuk duduk lama-lama di sini tidak kira waktu.
“Kenapa Yen tak ikut balik sama?” soal Lili bertanyakan tentang pemuda Korea itu.
“Dia sibuk memanjang,” balasku.
“Kamu berdua belum merancang nak anak?” soal Lili membuatkan aku terkedu. Aku diam.
“Oh, lupa pula! Kan awak baru je nak mula kuliah. Masa ni tak sesuai pula nak ada anak,” tingkah Lili pada bicaranya sendiri. Aku tersenyum sekilas.
“Empat tahun baru tamat pengajian. Oh, panjang lagi masa tu, Iman! Yen sanggup ke tunggu selepas tempoh tu baru je boleh jadi ayah?” soal Lili lagi. Aku hanya mengangguk ikut gerak hati. Hubungan kami tidak akan sampai ke tahap itu. Yen ada Velviana yang begitu mencintainya. Dia perlu menikahi gadis itu dan membina keluarga bersama Velviana.
“Nampak yakin sangat je awak,” komen Lili. Aku mengangguk lagi.
“Kalau dia nakkan anak sangat, nanti saya suruhlah dia kahwin lagi,” balasku bersahaja. Terlopong mulut Lili mendengarnya.
“Awak jangan nak minta-minta perkara ni berlaku kat awak, Iman. Nanti tak pasal-pasal menangis tak berlagu awak kalau betul Yen madukan awak,” ujar Lili memperingatkanku. Aku tersengih panjang. Lili tidak tahu kisah hidupku selama ini. Di matanya, aku dan Yen sudah menjadi pasangan suami isteri seperti orang lain juga. Maafkan aku Lili, sebenarnya antara aku dengan Yen tidak wujud perkongsian hidup. Aku ada hala tuju sendiri. Begitu juga dengan Yen.
“Biarlah. Nanti di akhirat dapat juga payung emas,” selorohku membuatkan besar biji mata Lili menatapku. Aku ketawa. Lucu melihat tindak balas ekspresi wajah yang Lili tunjukkan. Betul-betul tampak terkejut sangat mendengar bicaraku tadi.
“Janganlah main-main perkara ni, tak suka betul,” luah Lili sambil menunjukkan muka masam. Aku diam. Kutatap wajah Lili. Kasihan Lili. Pasti dia mengharapkan perkara yang berlaku dalam hidupnya tidak menimpaku. Namun aku tetap berdoa semoga Lili hidup bahagia di samping anak-anak. Lili masih muda. Bukan perkara luar biasa malah aku amat merestui kalau dia berhajat mahu mendirikan rumahtangga lagi. Andai Lili dipertemukan jodoh kali kedua, aku berdoa semoga jodohnya kali ini berkekalan dan membahagiakan mereka sekeluarga. Lili berhak mendapat kebahagiaan.
“Jom naik ke rumah dan tolong saya masak. Kejap lagi ayah dan mak balik dari kebun. Nanti tak pasal-pasal marah pula mak bila tengok hidangan tengah hari belum siap lagi,” tutur Lili risau. Aku mengangguk lantas mengekori langkah Lili menuju ke anak tangga rumah. Bukan sesuatu yang ganjil kalau Mak Long marah-marah. Semua perkara boleh buat Mak Long naik angin. Apatah lagi kalau nampak aku.
Aku menolong Lili di dapur. Hakikatnya Lili yang melakukan semua sedangkan aku lebih berperanan sebagai peneman bicara. Begitu tangkas Lili melangsaikan setiap kerja yang dilakukan. Pengalaman bertahun-tahun menjadi suri rumah membuatkan Lili begitu cekap di dapur.
“Assalamualaikum... Lili beri ayah air kosong segelas,” Kedengaran suara Pak Long melaung dari serambi rumah. Teruja aku mendengar suara itu. Betapa aku merindui Pak Long. Sudah lama aku tidak menatap wajah Pak Long.
“Biar saya yang bawa air untuk Pak Long,” pintaku. Lili mengangguk lantas menghulurkan segelas besar air kosong kepadaku. Segera aku mendapatkan Pak Long. Kehadiranku tidak disedari oleh Pak Long yang sedang membelakangiku. Kelihatan Pak Long sedang termenung panjang.
“Airnya Pak Long,” sapaku sambil meletakkan segelas air kosong di sebelah Pak Long. Laju dia berpaling. Pak Long tersenyum lebar tatkala bertembung pandangan denganku.
“Bila sampai? Lama tak nampak kamu,” luah Pak Long kesal. Aku segera menyalami tangan Pak Long. Lembut tangan Pak Long mengusap-usap kepalaku. Lagak seperti yang sering dilakukannya kepada Nana dan Adie.
“Dalam pukul 10.00 pagi tadi. Tumpang Linda,” jelasku menjawab pertanyaan Pak Long.
“Kamu sihat?” Aku mengangguk. Kutatap wajah Pak Long. Tiada banyak perubahan selain pertambahan garis-garis di wajah Pak Long seiring dengan pertambahan usianya.
“Pak Long sihat?” tanyaku.
“Sihat. Kamu janganlah risaukan Pak Long,” ujar Pak Long seakan mengetahui yang aku sentiasa memikirkan tentang Pak Long sekeluarga.
“Mak Long mana?” soalku sebaik sahaja tidak melihat kelibat Mak Long dari tadi. Pak Long memandangku.
“Pergi ke rumah Mak cik Kiah kamu di depan sana tu,” sahut Pak Long sambil memuncungkan mulut ke arah itu. Aku mengangguk lagi. Sebenarnya janggal aku hendak bersemuka dengan Mak Long lantaran kejadian lalu. Walaupun aku terbela dengan tindakan Yen pada malam itu, namun jauh di sudut hati langsung aku tidak berniat mahu melawan kemarahan Mak Long ketika itu.
“Maafkan Iman dan Yen atas kejadian malam tu, Pak Long. Iman tak sangka Yen akan bertindak sedemikian. Kalau ikutkan Iman, memang Iman tak nak balik malam tu,” ceritaku memberikan penjelasan. Aku khuatir hati Pak Long tersinggung dan terguris dengan tindakan Yen itu.
“Memang sepatutnya Yen bertindak sedemikian. Sudah menjadi tugas seorang suami melindungi isterinya,” tutur Pak Long menyangkal perasaanku. Pak Long melontar pandangan jauh-jauh. Kedengaran keluhan tercetus.
“Pak Long yakin Yen boleh jaga kamu dengan baik. Syukur juga perkahwinan yang dirancang ni tak silap kerana pada awalnya Pak Long risau juga kalau kamu tak bahagia. Sekarang senang hati Pak Long melihat kamu ada suami yang boleh jaga kamu,” luah Pak Long panjang lebar.
Aku terkedu. Dalam hati tercelit kekesalan yang begitu mendalam. Pak Long akan kecewa andai dia mengetahui hakikat sebenar. Aku dan Yen tidak pernah menjadi pasangan suami isteri yang sebenar-benarnya. Tiada wujud perkongsian hidup persis pasangan suami isteri yang lain. Yen sudah ada cintanya sendiri. Aku pula sedang mencari cinta itu namun pencarianku terkongkong tatkala mengingati ikatan yang terjallin antara aku dengan Yen. Statusku sebagai seorang isteri membataskanku. Ikatan suci ini telah merantaiku sedangkan Yen kulihat begitu bebas hanya kerana dia seorang lelaki. Delima seorang perempuan.
“Betulkan Iman?” soal Pak Long meminta kepastian memandangkan aku berdiam panjang. Aku tersentak. Laju aku mengangguk. Aku tidak akan menceritakan hakikat sebenar kehidupanku bersama Yen. Namun aku akui juga Yen memang menjagaku dengan baik. Tindakan melindungiku sering kali ditunjukkannya.
“Pak Long, nak pergi mandi kejap. Nanti bolehlah kita solat zohor berjemaah,” ujar Pak Long. Aku mengangguk dan tersenyum senang hati. Memang aku teringin solat berjemaah bersama Pak Long sekeluarga.
Pak Long meninggalkan aku bersendirian di serambi rumah ini. Kulontar pandangan ke halaman rumah. Ketika nenek masih hidup, aku dan Lili sering bermain guli dengan membuat beberapa lubang di halaman ini. Aku dan Lili bermain dengan riang. Tiada kegusaranku terhadap Mak Long ketika itu. Aku melepaskan keluhan. Lantas aku bangkit lalu melangkah ke dapur. Tidak mahu Mak Long melihatku duduk bersenang-lenang begitu.
Tatkala mahu makan tengah hari baru nampak kelibat Mak Long. Sempat juga dia melirik tajam ke arahku. Aku cuba berlagak biasa biarpun hatiku gemuruh. Keadaan itu yang aku rasa setiap kali Mak Long ada bersama. Traumakah aku?
“Mak tak makan sama?” soal Lili sebaik sahaja melihat Mak Long bergerak ke muka pintu mahu meninggalkan dapur sedangkan yang lain sudah duduk menghadap makanan di meja. Langkah Mak Long terhenti.
“Makanlah dulu. Mak nak mandi dan solat kejap,” balas Mak Long tanpa sempat berpaling. Lili terdiam. Aku turut sama diam. Mak Long tidak sudi makan semeja denganku. Aku tahu Mak Long cukup dingin denganku.
“Cepat letak nasi dalam pinggan ni Lili, ayah dan anak-anak kamu dah lapar sangat ni,” suara Pak Long memecah kesepian. Lili tersedar dan tersenyum melihat Pak Long dan anak-anaknya sudah mengangkat pinggan sambil menyuakan ke arahnya untuk diisi. Aku turut tersenyum.
“Kita makan je tak payah tunggu orang yang tak reti lapar,” ujar Pak Long bagai sindiran kepada Mak Long. Aku terdiam lagi. Begitu juga Lili.
“Betul tak Nana?” soal Pak Long kepada Nana yang duduk di sebelahnya. Nana mengangguk.
“Betul... betul... betul,” sahut Nana dengan meniru lagak Upin dan Ipin bersuara. Aku, Lili dan Adie serentak tergelak. Makan tengah hari ini berlangsung dengan penuh berselera. Sudah lama juga aku tidak merasa masakan kampung. Kebetulan pula Lili memang pakar memasak.
Usai makan tengah hari, Pak Long dan anak-anak Lili bergerak ke ruang tamu berehat. Sementara aku dan Lili mengemaskan dapur dan meja makan. Makanan untuk Mak Long sudah kusimpan di dalam pinggan dan kuletakkan di bawah tudung saji. Sekejap lagi mesti Mak Long akan makan. Aku bergerak ke singki membasuh pinggan-mangkuk hidangan tengah hari.
“Buat apa kau balik? Kau nak bagi tunjuk kat semua orang kampung yang kau ni pintar boleh masuk universiti!” suara kasar Mak Long singgah di telingaku. Aku berpaling. Mak Long sedang bergerak ke singki. Aku segera berganjak memberi ruang kepada Mak Long yang berhajat membasuh tangan. Pili air dipusing kasar.
“Aku tak suka kau datang ke rumah ni,” cemuh Mak Long sambil menatapku tajam. Sudah cukup menampakkan kebencian Mak Long yang terlalu menebal kepadaku. Sedikit pun tidak berkurangan biarpun sudah sekian lama.
“Mak...,” kedengaran suara Lili mencelah. Lili tidak suka Mak Long berbicara sedemikian. Pasti hati Lili juga turut terguris persis yang aku alami setiap kali Mak Long berbicara kepadaku. Sedikit berbeza kali ini Mak Long nampak menahan-nahan kemarahannya. Suaranya tidak lagi begitu lantang namun masih berbisa. Nampak Mak Long begitu mengawal nada suaranya itu. Barangkali cuba menyekat daripada sampai ke pendengaran Pak Long. Mana tahu Pak Long mengancamnya jika berlaku kasar padaku. Mungkin juga satu perjanjian telah temeterai antara Pak Long dengan Mak Long di luar pengetahuanku. Barangkali aku boleh mendapat kesahihannya daripada Lili. Mesti Lili mengetahui perkara yang berlaku di rumah ini.
Mak Long berganjak menjauhiku dengan dengusan kasar. Betapa Mak Long tidak menyukaiku dari dahulu sampai sekarang.
“Lepas ni jangan jejakkan kaki kau ke sini lagi. Aku memang tak suka keturunan Lijah memijak rumah ini. Perempuan tak guna, sundal, suka merampas hak orang lain!” marah Mak Long. Aku tersentak.
“Mak, janganlah cakap macam tu kat Iman,” tegah Lili.
“Sampai hati Mak Long cakap macam tu kat arwah ibu,” luahku kesal.
“Memang betul dia tu perempuan sundal. Dia nak rampas tunang aku. Perempuan murahan!” tutur Mak Long garang.
“Mak Long...!” “Mak...!” serentak aku dan Lili melontar suara.
“Jangan cakap yang bukan-bukan. Mak Usu dah takde. Tak elok mak cakap macam tu,” nasihat Lili sambil mengesat air mata yang menitis di pipi. Aku menahan diri.
“Dia bukan Mak Usu kamu! Perempuan tu perempuan jahat!” ujar Mak Long lagi belum cukup mengutuk arwah ibu. Saat ini hatiku terguris dalam. Air mataku menitis ke pipi. Laju tanganku menyapu deraian air mataku. Aku tidak mahu Lili menyedarinya.
“Iman ssi, awak hidup bukan untuk menderita tapi hidup untuk menikmati kebahagiaan. Jangan jadikan diri awak galang ganti untuk perkara yang telah terjadi. Awak berhak merasai kebahagiaan itu,” tiba-tiba aku mendengar suara Yen berbisik di telingaku. Bagai ada suntikan keberanian untukku berhadapan dengan Mak Long. Lantas aku berpaling lalu mengatur langkah mendekati Mak Long. Kini aku sudah terpacak di sebelah Mak Long membuatkan Mak Long diserbu kehairanan. Lili nampak terkedu melihat tingkahlakuku. Mungkin dia tidak menduga keberanianku untuk berada dekat dengan Mak Long.
“Apa yang perlu Iman buat demi menebus kesalahan ibu pada Mak Long? Iman akan lakukan apa saja asalkan Mak Long boleh maafkan kesalahan ibu dan ayah Iman. Kalau Mak Long tak suruh Iman datang ke sini lagi, Iman akan lakukannya. Kalau Mak Long nak terus membenci Iman, Iman akan terima semua tu dengan reda dan tanpa sebarang perasaan dendam. Malah Iman dah bersumpah akan jaga keluarga ni selagi Iman bernyawa,” tuturku serius.
“Hey, budak tak tahu diuntung berani kau bersuara depan aku!”
“Maafkan Iman Mak Long. Iman berhak hidup bahagia. Begitu juga dengan Pak Long dan Mak Long. Pak Long perlukan perhatian Mak Long. Iman memang mengharapkan Pak Long dan Mak Long hidup bahagia,” luahku.
“Kau tak perlu mengajar aku anak tak guna!” tangan Mak Long melayang ke tubuhku. Namun cepat aku mengelak dari terkena pukulan itu.
“Sekarang kau dah berani melawan aku hah!” marah Mak Long dengan dada yang berombak kencang.
“Mak, betul kata Iman tu. Mak mesti padamkan dendam mak tu. Sekarang mak dah ada ayah, ada Lili dan anak-anak Lili. Kami semua menyayangi mak. Kalau mak terus bersikap begini, kita semua akan terluka terutama ayah. Ayah tu suami mak, orang yang lebih berhak ke atas mak sekarang,” pujuk Lili mendayu.
Senyap. Lili sudah memaut bahu Mak Long sambil menangis teresak-esak. Aku turut mengalirkan air mata. Mak Long terdiam panjang. Pantas tangan lelaki tua itu menyapu air mata yang jatuh di pipinya. Kehadirannya di sebalik langsir labuh di muka pintu itu tidak disedari oleh mereka. Betapa dia terharu mendengar bicara anaknya itu.
“Atuk... atuk... kenapa atuk ngangis?” tangannya ditarik-tarik. Dia menundukkan kepala. Anak gadis kecil itu sedang mendongak wajahnya.
“Atuk tak ngagis. Ada habuk masuk mata atuk,” ujarnya berbohong.
“Kenapa mak dan mak cik Iman menangis, atuk?” soal Nana lagi. Lelaki tua itu hanya geleng kepala. Mulutnya tidak terkata lagi.
“Jom kita ke halaman,” ajaknya seraya menarik tangan si kecil itu berganjak dari situ. Nana melangkah seiring langkah atuknya sambil mula menyanyi-nyanyi kecil. Betapa riang hatinya. Dia langsung tidak mengerti apa-apa. Beberapa minit kemudian Nana dan Adie yang kebetulan sudah berada di halaman rumah bergabung tenaga lalu dengan riang gembira berkejaran. Encik Musa melabuhkan duduk lalu bersandar pada bangku kayu itu sambil memerhatikan gelagat cucu-cucunya itu.
“Apa yang Iman katakan itu betul. Dia berhak hidup bahagia. Keluarga ini mesti bersatu dan hidup harmoni. Timah, sudah sampai masa kau memaafkan mereka agar kau boleh hidup dengan tenang. Aku dan Lili serta anak-anaknya memang dahagakan kasih sayang dan perhatianmu,” bisik hati kecilnya. Encik Musa mengeluh lagi. Pandangan matanya setia memandang gelagat anak-anak kecil itu. Encik Musa tergelak sendiri. Telatah cucu-cucunya itu mencuit hati. Perlahan-lahan kesedihan yang dirasai tadi sedikit demi sedikit telah padam.
AKU melirik iPhone yang kuletakkan di atas dashboard ini. Mungkin ada panggilan atau mesej yang kuterima yang tidak aku dengar memandangkan lagu-lagu rancak yang sedang berkumandang di corong radio kereta ini. Lantas kucapai iPhone ini lalu menekan mana-mana punat untuk menyalakan lampu pada skrin. Tiada sebarang mesej mahupun panggilan yang tertera pada skrin ini lalu aku meletakkannya kembali di atas dashboard.
“Awak tunggu panggilan Yen?” soal Linda mengejutkanku. Serta merta wajahku panas membahang. Tidak sedar pula Linda memerhatikan gelagatku. Segan.
“Takdelah,” nafiku. Linda tersenyum sendiri.
“Betullah tu. Tengok muka awak merah menahan malu,” usik Linda.
“Saya risau kalau-kalau dia belum angkat pakaian di jemuran. Tadi saya ada WhatsApp dia tapi sampai sekarang belum reply balik,” jelasku membetulkan tanggapan salah Linda.
“Awak call dia. Lagi cepat dan mudah,” cadang Linda. Aku diam. Memikirkan kedinginan yang Yen tunjukkan semalam mengingatkan aku tindakan itu kurang sesuai. Aku tidak akan terhengeh- hengeh berbual dengan Yen yang jelas tidak mahu berbual denganku. Semalaman aku cuba mengajaknya bersuara namun tidak silap aku sekali sahaja dia menyahut. Selebihnya dia hanya memandangku. Buat sakit hati aku dengan perangai peliknya itu.
“Awak nak dengar firasat saya tak?” soal Linda buat aku tergelak.
“Awak ni macam bomoh berfirasat-firasat pula,” kutukku.
“Saya serius ni,” rungut Linda setelah melihat aku tidak ambil peduli.
“Cakaplah...saya dengar,” balasku sambil menyelek rambut dari menutupi telinga. Sengaja mahu mengusik Linda.
“Sebenarnya kan.... awak dah suka kat Yen,” luah Linda mempendengarkan firasat itu.
“Kuurrr... semangat! Firasat awak ni jauh betul menyimpang mak bomoh. Selisih 44 malaikat,” balasku buat Linda tergelak besar.
“Masa ni awak belum sedar lagi. Nanti kalau awak dah berjauhan dan tak bersama Yen lagi baru awak tahu,” balas Linda menegakkan firasat itu.
“Masa tu buat apa saya nak ingat kat dia lagi. Saya mesti dah jumpa orang lain,” balasku yakin tentang masa depanku.
“Macam mana awak nak jumpa orang lain sedangkan awak masih terikat dengan Yen kecuali awak dan Yen dah bercerai,” tutur Linda menyedarkanku. Bercerai? Ngeri aku mendengar perkataan itu. Satu-satunya perkara yang tidak disukai Allah tetapi halal di sisi Islam. Namun itu juga yang akan aku lalui bersama Yen. Bilakah detik itu akan tiba? Terbayang di mataku wajah kecewa Pak Long, Puan Sodiah dan Datuk Kamarudin. Bukan mudah untuk melalui situasi itu. Aku mengeluh.
“Itulah yang buat saya susah hati,” keluhku. Tatapan Linda kubiarkan sahaja.
“Kalau awak takut nak lakukan biar saya saja yang tolong cakap,” ujar Linda tersengih-sengih.
“Saya tak takut cuma saya rasa bersalah pada Pak Long, Puan Sodiah dan Datuk Kamarudin. Kami berbohong pada mereka. Mesti mereka marahkan,” luahku gusar.
“Apa taknya, kalau saya di tempat mereka pun saya pasti mengamuk. Perkahwinan ini bukan boleh buat main-main. Berdosa di sisi agama kalau suami isteri tak menjalankan tanggungjawab masing-masing,” sahut Linda bagai mahu berceramah pula. Bertambah gerun tatkala mendengar bicara Linda ini.
“Belum terlambat lagi untuk awak dan Yen mulakan hidup sebagai pasangan suami isteri yang sepatutnya. Lepas tu lahirkan anak-anak untuk Yen. Pasti kamu akan hidup bahagia,” tutur Linda tampak begitu mudah.
“Semua itu takkan berlaku,” balasku.
“Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan,” ujar Linda bermadah pujangga pula. Itu bagi pasangan yang mempunyai haluan hidup yang sama. Bukan seperti aku dan Yen yang memiliki haluan hidup yang berbeza.
“Sama ada saya menyukai Yen atau tak, kami tetap tak boleh bersama selamanya. Yen ada Velviana. Dia akan membina hidup bahagia bersama gadis itu,” tuturku lebih yakin. Linda mendengus mendengar nama gadis itu.
“Suami awak tu memang takde citarasa langsung. Apa benda yang dia suka sangat kat betina garang macam singa tu,” kutuk Linda mengata Velviana. Aku tersenyum. Pasti hati Linda masih membara atas tindakan drastik Velviana tempoh hari.
“Sebab Velviana cantik dan seksi,” balasku sengaja menambah kemarahan Linda. Linda mendengus kasar. Anak matanya bersinar garang. Aku tertawa apabila berjaya membuat Linda bertambah panas hati.
“Tak payahlah kita cakap pasal ni lagi,” pintaku.
“Now, awak cakap pula tentang awak,” Linda mendengus.
“Saya mana ada masa nak bercinta, Iman. Seingat saya hanya pernah berbual panjang dengan Encik Rizal,” jelas Linda.
“Encik Rizal?” Aku terkejut. Namun tersenyum lebar. Senang hati mendengar bicara Linda. Betapa aku merestui kalau Linda ada hubungan istimewa dengan Encik Rizal. Kemudian mereka menjadi pasangan suami isteri. Linda dan Encik Rizal memang sepadan. Doa-doaku semoga termakbul mereka menjadi pasangan yang bahagia.
“Awak jangan fikir yang bukan-bukan,” tangan Linda sudah mendarat di kepalaku. Berkerut wajahku menahan sakit.
“Encik Rizal memang sesuai untuk awak, Lin” ujarku bersungguh-sungguh meluahkan isi hati. Aku memang suka benar kalau Linda dan Encik Rizal ada ikatan.
“Saya rasa Encik Rizal suka berbual dengan saya sebab nak dekati awak. Dia suka sangat dengan awak, Iman. Setelah pendekatan yang digunakan selama ini tak berhasil, maka dia perlukan pertolongan saya pula untuk mendapatkan awak,” luah Linda menimbulkan gerunku. Sudah jauh terpesong daripada perkara yang aku harapkan berlaku.
“Awak jangan cakap yang bukan-bukan tentang saya,” ujarku memperingatkan Linda. Linda tersenyum buat aku tidak sedap hati. Risau rahsiaku dengan Yen terbongkar dari mulut Linda.
“Saya promote habis-habis awak kat Encik Rizal. Dia memang dah berkenan dengan awak pun,” balas Linda. Aku mencebik. Tidak suka kalau betul apa yang telah Linda lakukan.
“Suatu hari nanti bila awak dah berpisah dengan Yen, bolehlah awak bersama dengan dia,” cadang Linda.
“Awak dan Encik Rizal memang sepadan bagai pinang dibelah dua. Encik Rizal pun baik orangnya,” tambah Linda memuji lelaki itu. Hakikat itu sememangnya aku ketahui.
“Janganlah awak padankan saya dengan Encik Rizal. Saya tak suka,” tegahku serius.
“Sahlah awak memang dah ada hati kat suami awak,” Linda terus sahaja ketawa. Ketawa yang berterusan.
“Roslinda Si Ayamor!” bentakku geram. Ketawa Linda berpanjangan. Riang hatinya mengusikku.
“Tak salahkan kalau saya suka pada suami sendiri,” ujarku mengiyakan cuba memadamkan perasaan seronok Linda tatkala mengusikku. Kali ini Linda geleng-geleng kepala.
“Baguslah. Nampaknya saya bakal ada anak sedara peranakan Korea. Bestnya...,” usik Linda lagi sambil berangan-angan jauh. Aku mencebik bibir lalu memasamkan muka.
“Saya dapat bayangkan betapa comel anak awak dengan Yen nanti,” tutur Linda. Aku mengeluh.
“Dah...dah... Saya tak nak dengar lagi awak merepek yang bukan-bukan,” pintaku cuba mempamer wajah serius.
“Okey...okey...,” Akhirnya tahu juga Linda diam setelah puas mengusikku. Hampir-hampir jam 11.00 malam, aku dan Linda baru memasuki kawasan bandar. Memang patut kami terlewat memandangkan di kampung tadi Linda lambat mengambilku. Ingatkan dia tidak jadi balik ke bandar tadi buat aku risau. Aku turut memikirkan langkah yang patut aku ambil sekiranya Linda tidak muncul-muncul. Pasti aku akan perlukan ehsan Yen untuk datang menjemputku. Sekurang-kurangnya aku perlu berada di kawasan bandar ini biarpun tidak berada di bonglo Yen hari ini.
“Saya nak tidur rumah awak, Lin. Dah lewat ni. Malas pula nak balik ke sana,” ujarku.
“Dialu-alukan tapi awak kena beritahu Yen dulu nanti risau pula dia,” nasihat Linda.
“Dia tahu saya balik kampung tadi,” tingkahku cuba mengelak daripada menghubungi Yen.
“Tapi awak kata awak pulang hari ni kan,” tutur Linda cuba meminta kepastian. Aku berfikir seketika. Tidak pasti cakap aku pada Yen. Seingatku aku ada cakap pada dia esok aku hendak melapor ke asrama. Pertolongan yang kupohon darinya ditolak. Mujur juga Suzan menyatakan kesudian umahu menghantarku ke kampus sebelum sempat aku menyuarakan. Aku tidak perlu menyusahkan Linda.
“Kalau awak nak tidur kat rumah sewa saya, wajib call atau WhatsApp Yen. Saya tak nak bersubahat,” tutur Linda tersengih.
“Lecehlah begini,” rungutku. Gara-gara teringin sangat hendak bermalam di rumah sewa Linda yang juga pernah menjadi rumah sewaku suatu waktu dahulu, maka dengan berat hati kuutus juga mesej kepada Yen. Ringkas dan padat sahaja mesejku.
“Awak dah WhatsApp dia?” soal Linda. Aku mengangguk.
“Kita singgah kejap kat restoran ni. Beli apa yang patut untuk dimakan sampai rumah nanti,” ujar Linda. Sekali lagi aku mengangguk.
LAJU stangannya mencapai iPhone itu tatkala mendengar bunyi mesej masuk. Tertera nama gadis itu.
~ Saya tidur rumah Linda malam ni ~
Mulutnya terkumat-kamit membaca mesej itu. iPhone di tangan dijatuhkan ke tilam perbaringan. Kedengaran keluhan. Kecewa. Sejak dari siang tadi dia menanti kepulangan gadis itu. Ternyata penantian itu tidak berbaloi. Dilontar pandangan pada kotak merah hati beriben putih itu. Kini hasrat tertangguh. Yen melepaskan keluhan yang panjang. Lantas dicapai alat kawalan jauh itu lalu memadamkan lampu. Selimut ditarik menyelubungi tubuh. Dia mula memejamkan mata. Sungguh dia keletihan sangat hari ini. Tambahan pula kekecewaan mendatanginya. Tiba-tiba sahaja Yen marah pada gadis itu dan pada dirinya sendiri.
No comments:
Post a Comment