Sekitar pukul 4.00 petang, Encik Rizal tiba-tiba muncul di muka pintu Chungseongseuleoun Odumagjib Eul Gidalineun dengan senyuman lebar. Lantas mengajakku menemaninya ke Wisma Azam. Konon hendak mencari barang. Aku cuba menolak ajakan itu beralasan sekarang masih waktu kerja. Tidak mahu curi tulang malah segan hendak tunjukkan contoh yang tidak elok kepada rakan-rakan sekerja yang lain. Namun desakan Encik Rustam yang turut sama bersekongkol dengan sepupunya itu membuatkan aku kehilangan akal untuk terus memberikan alasan yang kukuh dan terbaik. Malahan Encik Rustam memberikan kesanggupan mahu menyelesaikan semua tugasan hari itu termasuk mengambilalih kerja-kerjaku yang belum selesai.
Sudah hampir sejam kami merayau-rayau di bangunan Wisma Azam ini. Beberapa buah butik kami kunjungi, namun tiada yang berkenan di hati Encik Rizal. Encik Rizal mengajakku minum petang di Restoran Pelangi Rindu. Boleh tahan sajian menunya. Aku memesan Roti Cinta iaitu roti keping yang dibakar bersalut telur. Ada pelbagai inti seperti stawberi, blueberry, oren, kaya, keju dan pelbagai perisa lagi. Aku memesan inti jem oren dan blueberry, manakala Encik Rizal memilih Mi Goreng Semarak Kasih. Konon selepas makan mi ini kasih semakin menyala-nyala hangatnya. Aku tahu Encik Rizal sekadar berjenaka. Usai minum petang, aku dan Encik Rizal singgah di Butik ReZtu. Sehelai selendang sutera sarat berpermata menarik perhatian Encik Rizal lantas ditayangkan kepadaku.
“Cantik tak?” soal Encik Rizal. Aku mengangguk. Mestilah cantik berpatutan dengan harga yang mahal. Bilakah aku akan mampu membeli sehelai selendang sutera yang mencecah harga ribuan ringgit sebegitu. Rasa tidak berbaloi hendak membelinya.
“Awak suka warna pink, ungu dan merah kan,” teka Encik Rizal. Aku hanya senyum. Memang aku suka warna merah, pink, ungu dan jingga. Mesti Encik Rizal boleh meneka dengan tepat memandangkan pemerhatiannya ke atas pemakaianku selama ini. Akhirnya Encik Rizal memilih sehelai selendang berwarna merah dan sehelai lagi berwarna kuning keemasan. Dua helai selendang yang sarat dengan permata sudah siap disimpan di dalam kotak yang cantik. Selesai memilih selendang, Encik Rizal bergerak pula di bahagian pakaian lelaki. Aku hanya mengekori langkah Encik Rizal sambil berfikir barang apa yang perlu aku beli untuk hadiah ibu bapa Encik Rustam sempena ulang tahun perkahwinan mereka. Di bahagian pakaian lelaki ini aku biarkan sahaja Encik Rizal membuat pilihan dibantu oleh pekerja butik. Mereka lebih arif membuat pilihan dan penilaian untuk pakaian lelaki terutama terhadap jenis fabrik yang terbaik. Dari pandangan mata kasarku memang semua yang dijual di sini berkualiti. Cuma hanya memilih warna kegemaran sahaja. Encik Rizal memilih batik berlengan panjang sedondon warna dengan selendang keemasan tadi. Usai membuat pilihan, Encik Rizal bergerak ke kaunter. Aku masih setia mengekori langkah Encik Rizal.
“Nak tulis nama siapa pada kad ni encik?” soal gadis di kaunter yang sudah menguak kad untuk diselitkan pada kedua-dua kotak cantik itu.
“Nama Rizal Luqman dan Nur Zahra Nur Iman,” Kedengaran suara Encik Rizal menyebut namaku. Pantas aku berpaling ke arah Encik Rizal.
“Encik Rizal...,” panggilku terkedu. Tidak menyangka dia akan bertindak sedemikian. Encik Rizal hanya melemparkan senyuman padaku. Gadis itu sudah mula menulis nama-nama yang disebut oleh Encik Rizal tadi di dalam kad tersebut. Kemudian menyelitkan kedua-dua kad itu pada tali riben yang mengikat kotak-kotak cantik itu. Usai melangsaikan bayaran, aku dan Encik Rizal beriringan melangkah meninggalkan Butik ReZtu. Sepanjang perjalanan pulang aku lebih banyak mendiamkan diri daripada bercakap. Encik Rizal melirik ke arahku.
“Awak marah saya ke? Maaf ler saya suruh tulis nama awak pada kad tadi tu. Niat saya ikhlas nak berkongsi hadiah tu dengan awak. Kebetulan kita pilih sama-sama. Jadi hadiah tu pun sama-sama daripada kita,” jelas Encik Rizal menyedari bahawa aku tidak senang dengan tindakannya tadi.
“Saya tak nak lebih ramai orang salah faham terhadap hubungan kita, Encik Rizal,” luahku berterus terang.
“Minta maaf ler kalau awak tertekan dan tak suka dengan tindakan saya tadi. Tapi saya betul- betul ikhlas nak kongsi hadiah tu dengan awak. Takde niat lain. Jauh sekali beranggapan awak tak mampu beli hadiah untuk mereka,” tutur Encik Rizal bersungguh-sungguh. Jelasnya Encik Rizal risau juga dengan tindakannya tadi akan menyinggung perasaanku akibat salah fahamku.
“Saya memang tak mampupun beli hadiah semahal tu,” luahku jujur. Memang ini hakikatnya. Mana aku ada duit hendak membeli selendang dan baju batik yang bernilai ribuan ringgit.
“Iman...,” terusik perasaannya mendengar bicaraku itu. Air muka Encik Rizal berubah. Nampak dia pula yang terasa dengan bicaraku.
“Sebab saya tak mampu tuler saya segan bila Encik Rizal suruh bubuh nama saya sekali pada kad tu. Saya tak nak tumpang kemewahan Encik Rizal. Nanti apa kata orang lain. Saya tak mahu orang mengata saya ambil kesempatan pada Encik Rizal. Saya tak sedap hati ler, Encik Rizal,” luahku lebih beremosi.
“Minta maaf banyak-banyak kalau tindakan saya tadi menyinggung perasaan awak. Saya tak fikir perkara ni jadi serius macam ni,” ujar Encik Rizal serius. Aku tersenyum. Langsung tidak berniat mahu menyalahkan dirinya.
“Takpe ler Encik Rizal. Sejak sehari dua ni saya lebih sensitif. Perkara kecik pun jadi begitu serius pada saya. Encik Rizal janji dengan saya, lain kali perkara begini takkan berulang lagi,” ujarku menuntut janji kepada lelaki ini. Encik Rizal mengangguk. Wajahku ditatap seketika buat aku tidak sedap hati.
“Awak ada masalah ke?” soal Encik Rizal. Aku geleng kepala.
“Saya tak suka kalau Encik Rizal terlalu baik dengan saya. Encik Rizal layan ler saya seperti pekerja-pekerja lain,” pintaku lagi. Dia menatapku lagi. Hari ini banyak sangat permintaan yang aku utarakan kepada lelaki ini.
“Ada orang tak puas hati pada awak ke? Maksud saya rakan-rakan sekerja awak?” soal Encik Rizal sangsi. Aku geleng kepala dan tersenyum. Mana ada pekerja yang berani meluahkan rasa tidak puas hati kepada bos mereka secara terang-terangan. Barangkali kalau ada pun mesti melalui bisikan-bisikan sembunyi sahaja.
“Saya layan baik semua orang. Namun saya layan awak lebih daripada orang lain sebab saya suka awak, Iman. Dari dahulu dah saya cakap kat awak yang saya akan tetap tunggu kesudian awak menerima saya,” luah Encik Rizal serius. Aku terdiam. Lidahku kelu untuk berbicara.
“Adakah hati awak dah dimiliki? Awak boleh beri jawapan seikhlasnya?” soal Encik Rizal buat aku terkesima. Sukar untukku jawab soalan ini. Tika ini aku masih berangan-angan hendak memberikan hatiku ini kepada seorang lelaki yang bergelar suamiku. Namun aku takut di hatinya tiada ruang untukku kerana dia sudah memiliki kekasih yang begitu sempurna. Perbezaan yang terlalu banyak, persis langit dengan bumi jika dibandingkan aku dengan kekasihnya itu.Aku risau andai tika ini berlaku perpisahanku dengannya rentetan kasihku yang sudah melangkaui sempadan ikatan persabahatan. Perasaan indah yang tidak lagi berlandaskan persahabatan. Aku seakan takut untuk kehilangan dan berjauhan dengannya. Namun aku juga tidak punya kekentalan dan kekuatan hendak berdepan dengannya, jauh sekali mahu meluahkan isi hati ini. Bimbang perasaanku akan ditolak lalu aku dijadikan bahan jenaka. Sungguh aku tidak sanggup melalui semua itu. Akhirnya aku berada dalam kegelisahan yang panjang.
“Awak ada hubungan dengan pemuda Korea tu? Maksud saya sepupu awak tu,” soal Encik Rizal mengejutkan aku lagi. Kutatap wajah Encik Rizal.
“Perkara biasa kalau sepupu sama sepupu dijodohkan oleh keluarga. Kadang-kadang saya berfikir juga dengan tindakan kekasih dia menyerang awak tempoh hari. Ada sesuatu yang awak sembunyikan daripada saya?” soal Encik Rizal menambah terkejutku. Encik Rizal mula mencurigaiku. Tidak sangka selama ini dia telah memikirkan perkara ini sedalamnya. Bakal terbongkarkah segala-galanya di depan lelaki ini? Senyap. Aku menarik nafas panjang.
“Maafkan saya Encik Rizal, saya tak mampu bercakap tentang perkara ni sekarang. Saya berharap suatu hari nanti saya boleh meluahkan segala-galanya pada Encik Rizal. Ketahuilah sekarang hidup saya tak semudah yang Encik Rizal lihat,” luahku tidak mampu berterus terang.
“Awak ada masalah besar ke?”soal Encik Rizal cuba mencungkil rahsiaku. Aku memang ada masalah sekarang lantaran aku sudah ada hati kepada pemuda Korea itu. Semakin kerap aku memandangnya semakin banyak aku memikirkannya. Tatkala aku memandang wajah itu dan mendengar suaranya hatiku berdebar-debar. Ada gemuruh menguasai diri. Kegelisahan tidak pernah surut-surut mendatangiku. Aku tidak pernah mengalami keadaan sebegini. Sungguh! Aku merasakan begitu terasing dengan keadaan begini.
“Bukan masalah Encik Rizal, tapi perjalanan hidup saya,” ujarku tenang dan reda dengan perjalanan hidupku begini. Soal jodoh ialah ketetapan Allah. Allah telah tentukan Yen sebagai jodohku. Namun setakat mana jodoh kami tiada siapapun yang mengetahuinya. Andai perpisahan berlaku, bermakna sampai di situ sahajalah aku dan Yen hidup bersama. Aku tidak mampu menghalang semua itu terjadi. Ibarat aku tidak berkeupayaan meminta Yen turut merasa perasaan indah yang kualami tika ini lantas menerima cinta ini andai kata ini adalah CINTA.
Encik Rizal terdiam panjang. Begitu juga aku. Aku bagaikan kehabisan idea mahu berkata-kata setelah berbicara panjang sebentar tadi. Malah keadaan sebegini memang kusenangi. Saat ini aku lebih suka berdiam diri daripada terus berbicara. Encik Rizal pula mungkin sedang memikirkan bicaraku sedalamnya. Cuba memahami di sebalik kata-kataku itu. Namun yang pasti Encik Rizal sudah menyedari bahawa ada sesuatu yang berlaku antara aku dengan Yen. Sampai bilakah aku mampu menyembunyikan semua ini daripada Encik Rizal yang tampak berusaha mencungkil rahsia ini.
“Terima kasih Encik Rizal kerana masih sudi menghantar saya balik,” ujarku cuba mengukir senyuman indah melindungi keresahanku. Sebentar lagi aku akan bersemuka dengan Yen. Encik Rizal mengangguk dan tersenyum.
“Betul awak tak marahkan saya?” soalnya masih risau dengan perkara tadi. Aku mengangguk. Memang aku tidak pernah marahkan dirinya. Sama sekali tidak akan berlaku. Tiada perkara yang dilakukannya boleh membangkitkan kemarahanku kepadanya. Kalau ada pun cuma rasa kurang senang.
“Tunggu kejap ye,” arahnya lantas berpaling pada kerusi penumpang di belakang. Ada sesuatu yang diambil di situ.
“Untuk awak,” Encik Rizal menghulurkan beg kertas yang terpampang dengan nama Butik ReZtu. Aku memandang Encik Rizal. Berat hati hendak menerima. Aku tahu di dalam beg kertas ini ialah selendang merah yang sarat dengan permata. Nilai ribuan ringgit.
“Walau awak tak suka saya beri awak hadiah, ambillah hadiah ni. Saya janji ni kali terakhir. Lain kali saya akan buat perkara yang awak suka saja,” tutur Encik Rizal membebani perasaanku. Kusambut beg kertas yang dihulurkan oleh Encik Rizal.
“Kalau macam tu saya nak Encik Rizal padamkan perasaan encik pada saya. Saya nak Encik Rizal anggap saya sekadar kawan dan pekerja. Saya takkan kekok bersama Encik Rizal,” pintaku. Encik Rizal menatapku. Senyap. Tersinggungkah dia dengan permintaanku ini.
“Selama ni awak tak selesa bersama saya?” soal Encik Rizal.
“Setelah saya mengetahui Encik Rizal ada perasaan pada saya,” luahku mengiyakan pertanyaannya itu. Bukan sepanjang usia perkenalan kami aku berasa janggal ketika bersamanya. Ada juga saat aku bersama dengan Encik Rizal yang boleh dijadikan kenangan manis. Dia terlalu baik kepadaku. Malah jika dibandingkan dengan Yen, dia jauh lebih baik daripada pemuda Korea itu. Namun kenapa aku menaruh hati kepada Yen? Mungkinkah kerana dia suamiku? Bukankah cinta seorang isteri semestinya milik suami. Tetapi Yen hanya jadi suamiku pada nama sahaja, hakikatnya dia ialah milik Velviana. Velviana lebih awal mengenali Yen berbanding aku. Tempoh tujuh tahun itu bukan masa yang singkat. Pasti sudah banyak kenangan indah yang Velviana cipta bersama Yen. Berbanding denganku, aku hanya mengenali Yen tidak sampai setahun. Aku sedar aku tidak harus berangan-angan indah untuk hidup bersama Yen sepanjang hayatku. Aku dan Encik Rizal serupa, maka kami harus melakukan perkara yang sama iaitu memadamkan perasaan indah yang kami rasakan saat ini.
“Saya akan cuba atasi perasaan saya, tapi awak mesti janji takkan menjauhi saya selepas ni. Saya tak mahu kehilangan sahabat sebaik awak,” tutur Encik Rizal buat aku tersenyum. Lapang dadaku mendengar bicara yang baru sahaja keluar dari mulut lelaki ini. Lantas aku mengangguk. Namun sebaliknya yang dirasakan oleh lelaki ini. Sukar menjadi sahabat sedangkan perasaan sayang dan kasihnya yang menebal kepada gadis ini tidak mungkin dapat dikikis.
“Terima kasih atas hadiah ni. Saya juga tak nak kehilangan sahabat yang baik seperti Encik Rizal,” tuturku ikhlas. Encik Rizal tersenyum.
“Saya masuk dulu ye. Hati-hati pandu kereta,” tuturku memperingatkan Encik Rizal lalu mengatur langkah meninggalkannya yang masih melontar pandangan ke arahku. Ya Allah permudahkanlah kehidupan Encik Rizal. Semoga dia mampu memadamkan perasaan indahnya terhadapku dalam sekelip mata sahaja. Ya Allah pertemukanlah dia dengan wanita yang terbaik yang mampu membahagiakan hidupnya. Amin.
“Alangkah indah kalau awak tak nak kehilangan saya bukan atas dasar persahabatan. Pasti saya merasakan kehidupan saya ini terlalu bahagia,” ujar Encik Rizal sendirian. Dia terus memandu kereta BMW itu meninggalkan perkarangan banglo mewah itu dengan perasaan yang sebak. Sebak kerana perasaan indahnya telah ditolak oleh gadis itu.
Daun pintu terkuak. Iman muncul di sebalik daun pintu. Yen yang berada di ruang tamu melontar pandangan ke arah gadis itu. Tiada sapaan seperti yang selalu didengar. Gadis itu melewati persis angin yang berlalu. Bagai kewujudan pemuda itu tidak disedari oleh gadis itu. Yen kehairanan melihat tingkahlaku Iman. Iman langsung tidak nampak dia di ruang tamu ini.
“Iman ssi, are you okay?” soal Yen tidak mahu berdiam diri lagi. Risau melihat tingkahlaku gadis itu. Aku tersentak. Pantas aku berpaling. Yen sedang terkebil-kebil menatapku. Sungguh jauh aku berkhayal sehingga aku tidak nampak dia yang sedang terbaring di sofa panjang di ruang tamu ini. Sebetulnya aku asyik memikirkan tentang Encik Rizal tadi. Lama aku bersoal-jawab dengan diri sendiri. Bimbang permintaanku terhadap lelaki itu terlalu kejam. Bukan aku tidak tahu soal hati dan perasaan sukar dikawal. Kalau aku mampu mengawal sudah pasti aku tidak akan menaruh hati kepada Yen kerana aku tahu hatinya sudah dimiliki Velviana. Aku sengaja mengguris jiwa ragaku sendiri.
“Apa tu?” soal Yen sambil memandang beg kertas Butik ReZtu di tanganku. Anak mataku melirik pada beg kertas ini.
“Aa... ini...,” sahutku.
“Mesti bos awak yang beri,” teka Yen dengan tepat. Aku mengangguk.
“Tadi saya dan Encik Rizal ke Butik ReZtu beli hadiah untuk ulang tahun perkahwinan uncle dan auntie dia. Malam esok saya akan pergi ke majlis tu. Awak tak perlu risau saya akan masak awal untuk makan malam awak,” jelasku terperinci. Senyap. Yen hanya mendiamkan diri. Tiada tindak balas positif yang ditunjukkan.
“Awak tak kisahkan saya keluar dengan Encik Rizal?” soalku. Senyap.
“Jang Geun Sik, awak dengar tak ni?” soalku cuba mengejutkan Yen yang nampak berada di dunia lain.
“Aaaa...!!! Apa awak kata tadi?” soalnya seakan baru sedar.
“Awak tak kisahkan saya dan Encik Rizal pergi ke majlis tu,” ulangku ingin tahu.
“Ya saya tak kisah pun. Awak pergi ler dengan dia. Nanti boleh terus berkenalan dengan ibu bapa dan ahli keluarga dia yang lain,” tutur Yen kedengaran agak sinis sahaja nada suara itu.
“Betul awak ikhlas dengan kata-kata awak?” dugaku menuntut kepastian.
“Ya memang saya ikhlas,” tutur Yen serius.
“Kalau macam tu takpe ler, saya nak berehat kejap,” ujarku meminta diri. Aku terus menyambung langkah yang terhenti seketika tadi. Kutinggalkan Yen yang masih terbaring di sofa.
“Iman ssi!” Langkahku yang baru menapak di anak tangga ketiga terus terhenti tatkala mendengar suara Yen memanggilku. Kupandang Yen. Seketika kami saling berpandangan. Mungkinkah Yen hanya berbohong tadi. Sebenarnya dia tidak mahu aku keluar dengan Encik Rizal memandangkan aku ialah isterinya. Yen tidak suka isterinya bersama lelaki lain. Cemburukah Yen pada Encik Rizal? Pasti Yen mahu menarik balik kata-katanya sebentar tadi. Hatiku mula berbunga-bunga riang. Bahagia kalau Yen akan menarik balik keizinannya sebentar lagi.
“Esok tak payah susah-susah nak masak. Malam ni pun tak payah masak. Kejap lagi saya nak keluar jumpa Vel,” jelas Yen menghapuskan angan-anganku sebentar tadi. Jauh sungguh angan-anganku. Hampa. Ternyata apa yang sedang aku fikirkan tidak sama dengan perkara yang Yen fikirkan.
“Esok awak dinner dengan dia juga ke?” soalku ingin tahu. Yen mengangguk. Langsung tiada penafian. Kecewa lagi.
“Okey ler kalau macam tu,” balasku lemah. Yen masih menatapku.
“Terima kasih kerana memudahkan kerja saya,” ujarku lalu melangkah longlai ke bilik. Beg kertas di tangan kuletak di atas meja solek. Aku terus membaringkan tubuh ke tilam. Keletihan dan kehampaan bersatu. Mungkinkah ini balasan yang kuterima kerana melukai perasaan Encik Rizal seorang pemuda yang begitu baik dan berhati mulia?
“Iman, hentikanlah angan-angan indah awak itu. Bukan cinta namanya kalau hanya bertepuk sebelah tangan. Yen sudah dimiliki. Mereka pasangan bahagia kerana saling mencintai. Halangan keluarga yang menyebabkan mereka tidak bersatu. Sedarlah Iman! Sedarlah...!!!” jerit suara hatiku.
“Bukankah lebih baik dicintai oleh orang yang betul-betul mahu mencintai diri kita, berbanding mencintai orang yang kita tak pasti untuk memilikinya. Sedarlah Iman, cinta untuk dinikmati dengan bahagia bukan untuk ditangisi yang membuatkan kita menderita,” suara hatiku berbisik lagi.
“Jealous? Jangan nak mimpilah. Awak bukan jenis gadis yang saya suka,” suara Yen terngiang-ngiang di telingaku.
“Saya takkan tertarik dengan awak,” suara Yen masih kedengaran.
“Saya juga takkan tertarik dengan lelaki jahat seperti awak! Awak ingat awak orang kaya, ada segalanya boleh buat sesuka hati! Walau pun saya miskin tapi saya masih ada maruah diri. Pergilah jahanam dengan rancangan dan kesombongan awak itu!” balas suara lantangku. Dialog pertemuanku dengan Yen di DLH yang kini jadi kenangan. Aku tersenyum sendiri. Betapa angkuh aku saat itu. Begitu mudah dan yakin aku tidak akan jatuh cinta pada Yen.
“Saya akan jadi sahabat baik awak dan demi keluarga saya, saya akan melindungi awak,” menyusul lagi suara Yen. Kali ini aku dan Yen mahu menjalin persahabatan pada hari kami diijab kabulkan sebagai pasangan suami isteri. Baru kini aku merasakan saat itu paling indah.
“Saya juga akan jadi sahabat yang boleh menggembirakan dan memeningkan awak, sebagai sahabat saya akan menjaga awak dan adakalanya akan menyusahkan awak juga,” sahut suaraku berjanji kepada pemuda Korea itu.
“Awak tak boleh menyukai saya. Kalau awak suka saya bermakna hubungan kita setakat ni saja,” suara Yen memberi peringatan tegas.
Senyuman di bibirku terus padam. Yen tidak mahu aku menyukainya. Kalau aku mahu terus berada di sisi Yen, aku harus melenyapkan perasaanku ini. Mampukah aku melakunya? Kupejamkan mata rapat-rapat. Terasa hangat mengalir di pipiku. Aku mesti melakukannya! MESTI! Aku sudah tiada pilihan lain.
“Awak balik lewat nanti?” soalku pada Yen yang berbaring santai di sofa di ruang tamu ini. Pandangannya terikat pada kaca tv. Siaran ekspedisi penggembaraan di kawasan pergunungan begitu menarik perhatiannya.
“Tak pasti pukul berapa saya balik nanti,” balasnya tanpa sempat mengalih pandangan dari kaca tv ke wajahku.
“Wea (kenapa)?” soal Yen. Kali ini dia menatapku.
“Saya takut awak tumpang tidur di rumah Vel. Nanti tak pasal-pasal saya dapat dosa sekali,” ujarku melempiaskan kerisauanku. Yen bangkit lalu menepuk lembut kepalaku. Tampak begitu mesra.
“Jangan merepek ler. Awak ingat saya jahat sampai ke tahap tu. Saya kan dah ada isteri. Kalau teringin sangat nakkan tu, saya boleh datang cari isteri saya,” tutur Yen mengusikku sambil mengangkat-angkat kening cuba menunjukkan aksi menggoda. Lagak lelaki kasanova. Wajahku terasa panas membahang. Segan mendengar Yen berbicara sebegitu.
“Awak...!!!” marahku. Yen tertawa. Ketawa yang berpanjangan. Bahkan ketika dia berada di dapur ketawa itu masih kedengaran. Akhirnya aku pun tersenyum sendiri.
Usai solat maghrib aku terus bersiap-siap. Kucapai sepasang baju kurung ungu berbunga putih halus lalu kusarungkan ke tubuh. Ketika aku sibuk menyiapkan diri, Yen baru sahaja keluar meninggalkan banglo ini. Tidak sangka dia mendahuluiku. Ada juga baiknya. Sekurang-kurangnya nanti tiada yang bising-bising memberikan komentar terhadap penampilanku malam ini. Tepat pukul 8.00 malam, Encik Rizal muncul di halaman bersama kereta BMW. Aku bergegas keluar mendapatkannya.
“Cantik awak malam ni,” puji Encik Rizal kubalas dengan senyuman. Entah mana yang cantiknya. Setahuku penampilanku malam ini begitu ringkas. Barangkali Encik Rizal jarang sangat tengok aku berpakaian begini, maka penampilanku kelihatan begitu berbeza daripada hari-hari biasa. Mungkin juga Encik Rizal sekadar mahu mengambil hatiku. Orang selalu kata perempuan sukakan pujian tetapi bukan aku. Pujian ikhlas hanya akan menyenangkan hatiku. Pujian yang meninggi selangit langsung tidak membangkitkan keterujaanku sebab aku sedar aku tidak patut dipuji secara berlebihan.
Sepanjang perjalanan, aku dan Encik Rizal berbual-bual santai sekadar menghilangkan gemuruh dalam diri. Berdebar-debar juga aku hendak menghadiri majlis sebegini. Sesekali aku mendiamkan diri cuba menenangkan perasaan. Tatkala kereta ini memasuki halaman banglo milik keluarga Encik Rustam, debaran jantungku kian rancak. Apatah lagi melihat banyak kereta mewah sudah berada di halaman. Pasti ramai tetamu sudah sampai. Sekejap. Buat apa aku risau sangat, aku bukan hendak jumpa keluarga bakal mertuaku. Aku muncul ini sekadar memenuhi undangan Encik Rustam yang merupakan rakan sekerjaku yang juga merupakan rakan sekerja Encik Rizal merangkap sepupunya, bisik hatiku cuba memotivasikan diri.
“Awak okey?” soal Encik Rizal barangkali melihat kegelisahan yang tidak mampu aku sembunyikan sepenuhnya. Aku tersenyum cuba menghilangkan debaran tika ini.
“Tak perlu takut semua orang yang ada kat dalam tu baik-baik belaka,” ujar Encik Rizal berjenaka cuba menghilangkan gemuruhku. Aku tertawa kecil. Lega sedikit. Mujarab juga teknik yang digunakan oleh Encik Rizal tadi. Dengan kalimah bismillahirahmanirahim, aku melangkahkan kaki kanan masuk ke dalam banglo ini mengekori langkah Encik Rizal yang berada di depanku. Seperti yang kujangka kemunculanku dengan Encik Rizal menarik pandangan mata yang berada di sini. Aku dapat rasakan pandangan mata itu lebih tertumpu kepadaku. Namun melihat senyuman yang terukir di bibir memberi kelegaan kepadaku. Aku dapat merasakan kemesraan mereka.
“Oh, kamu dah sampai. Mari...,” Encik Rustam muncul di sebalik tetamu yang berkumpul di ruang legar ini. Encik Rizal masih bersamaku. Mujur aku tidak ditinggalkan sendirian untuk dia beramah mesra dengan ahli keluarganya. Encik Rustam melambaikan tangan ke arah seseorang. Seorang gadis cantik berbaju kurung lengkap bertudung bergerak mendapatkan kami sambil tersenyum manis. Aku menyambut salam yang dihulurkan. Tampak gadis ini lemah-lembut dan bersopan-santun.
“Iman, ni Juita tunang saya,” ujar Encik Rustam memperkenalkan gadis ini kepadaku. Aku sedikit terkejut mendengar kenyataan ini. Tidak aku ketahui bahawa Encik Rustam sudah bertunang. Encik Rizal tidak pernah bercerita tentang perkara ini. Mujur juga aku tidak menyimpan perasaan kepada Encik Rustam yang agak kacak juga orangnya. Kalau tidak pasti frust menonggeng aku.... ha..ha...ha...ha... aku berlawak sahaja.
“Apa khabar, Iman?” sapanya dengan suara yang gemersik lembut.
“Sihat. Juita sihat?” soalku. Padan betul sebaris nama itu dengan dirinya. Tunang Encik Rustam memang jelita pun. Beruntung betul Encik Rustam memiliki tunang sehebat ini.
“Sihat. Jemput duduk,” ujarnya mempersilakan aku duduk. Aku terus bersimpuh di atas permaidani lembut ini bersama tetamu-tetamu yang lain.
“Pukul berapa majlis?” soal Encik Rizal.
“Kejap lagi,” sahut Encik Rustam.
“Juita, bawa ke sini Iman tu,” ada suara wanita memberikan arahan kepada Juita dengan menyebut namaku. Aku menoleh. Datin Faridah, ibu Encik Rizal yang duduk di satu sudut tersenyum ke arah kami.
“Kejap ye auntie,” pinta Juita lalu memandang ke arahku. Pandangannya bagai meminta keizinan untuk membawaku beredar ke situ.
“Tak payah risau, mama okey,” ujar Encik Rizal menenangkan aku. Encik Rustam mengangguk menyokong bicara itu. Begitu juga dengan Juita.
“Dia dah berkenan dengan awak tu,” ujar Encik Rustam mengusikku. Aku tersenyum tawar.
“Mari Iman...,” ajak Juita mahu aku mengekori langkahnya.
“Saya pergi dulu,” ujarku meminta diri lantas meninggalkan Encik Rizal dan Encik Rustam yang tersenyum. Aku bertukar senyuman dengan ahli keluarga Encik Rustam dan Encik Rizal.
“Duduk sini Iman,” arah Datin Faridah sambil menunjukkan ruang kosong di sebelahnya. Kuhulurkan tangan kepada Datin Faridah. Kami bersalaman. Aku terus duduk di sisinya. Beberapa orang perempuan yang seusia dengan Datin Faridah tersenyum kepadaku. Lantas kuhulurkan tangan menyalami semua.
“Iman, berbual-bual ler dengan auntie ye. Saya ke dapur dulu,” ujar Juita meminta diri. Juita berlalu pergi. Alangkah baik kalau Juita mengajakku sekali ke dapur bersamanya. Aku dengan senang hati mahu menolongnya.
“Ni Iman, kawan Rizal,” ujar Datin Faridah memperkenalkan aku kepada kawan-kawannya. Aku tersenyum.
“Apa khabar?” sapaku cuba beramah mesra.
“Baik...Sihat...,” sahut masing-masing.
“Kalau Iman nak tahu, itulah pasangan romantik yang kita nak raikan,” tutur Datin Faridah berjenaka. Aku memandang ke arah ibu bapa Encik Rustam yang baru sahaja menuruni anak tangga sambil berpegangan tangan. Persis pengantin sedang bersanding. Memang romantik. Kemunculan pasangan bahagia ini disambut dengan tepukan tangan anak-anak buahnya. Alangkah seronok kalau aku juga seperti mereka. Kebahagiaan seiring dengan usia. Tidak semua orang yang mampu mempertahankan keharmonian hubungan suami isteri sebegini. Malah tidak semua pasangan akan mengecapi kebahagiaan seperti mereka. Ya Allah, semoga aku akan bahagia bersama jodohku seperti pasangan ini. Iri hati aku melihat kebahagiaan ibu bapa Encik Rustam. Teringat pada Pak Long dan Mak Long. Alangkah baik kalau hubungan Pak Long dengan Mak Long semesra dan sebahagia ini. Sebak dan pilu hatiku mengingati semua ini. Kian hiba hatiku tatkala merasakan keluargakulah punca sikap dingin Mak Long. Kasihan Pak Long menjadi mangsa keadaan.
Ibu bapa Encik Rustam berpisah seketika. Datuk Razali Omar bergerak ke ruangan tetamu lelaki untuk bersalaman, manakala Datin Azizah bersalaman dengan tetamu perempuan di ruangan ini. Sejuk mata memandang kerana semua para datin yang ada di sini bertudung dan menutup penuh aurat mereka. Sesuatu yang baru kusedari. Semua berpenampilan penuh kesederhanaan termasuk pasangan yang diraikan ini. Sesuatu yang agak berbeza daripada kehidupan para datin yang sering digambarkan selama ini. Segan aku dengan keadaanku sekarang yang hanya menutupi kepalaku dengan selendang. Ya Allah berikanlah aku hidayah untuk berhijrah ke arah yang lebih baik. Amin. Lantas jemariku menyembunyikan rerambutku yang terjuntai keluar di sebalik selendang ini.
“Iman ke ni Kak Long?” soal Datin Azizah bertanyakan aku kepada Datin Faridah. Datin Faridah tersenyum lebar. Lantas kedua-dua saling berpelukan mesra. Nampak hubungan adik-beradik ini begitu kukuh. Sekali lagi aku iri hati. Betapa bertuah lahir dalam keluarga ini. Keluarga yang dilimpahi kasih-sayang. Bertentangan dengan kehidupanku. Aku kekurangan kasih sayang. Hampir sama dengan kehidupan Yen. Namun Yen lebih beruntung kerana masih memiliki Datuk Kamarudin dan Puan Sodiah. Mereka begitu menyayangi Yen walaupun agak lambat Yen menyedarinya. Namun aku tetap bersyukur kerana akhirnya Yen menyedari juga kasih sayang mereka itu.
“Iman ler ni, kawan Rizal,” balas Datin Faridah sambil menepuk lembut bahuku. Aku tersenyum lantas bersalaman dengannya.
“Selamat ulang tahun datin. Semoga bahagia selamanya,” ujarku mendoakan kesejahteraan pasangan suami isteri ini seikhlasnya. Datin Azizah tersenyum menampakkan lesung pipit di pipi. Cantik wanita ini. Biarpun sudah berusia, namun lekuk lesung pipit itu masih kelihatan. Fikaranku terbang mengingati Yen. Dia juga ada sepasang lesung pipit. Setiap kali dia mengukir senyuman sungguh tampan. Bahkan lesung pipit itulah yang membezakan dirinya dengan Jang Geun Suk. Oh, tanpa sedar aku masih memikirkan pemuda Korea itu! Pasti saat ini dia berbahagia bersama Velviana. Sedikit terguris hatiku.
“Cantik Iman...,” puji Datin Azizah disambut dengan senyumanku sekilas. Jika dibandingkan dengan dirinya, dia lebih cantik lagi. Ibarat primadona. Begitu juga dengan wanita yang duduk di sebelahku ini.
“Jangan segan-segan kat sini ye, Iman. Buat macam rumah sendiri,” pesan Datin Azizah sebelum berlalu pergi untuk meneruskan sapaan mesra kepada tetamu yang lain. Masa yang ada ini digunakan sepenuhnya oleh Datin Faridah untuk memperkenalkan aku kepada sanak saudaranya. Daripada penerangan Datin Faridah, baru aku tahu Encik Rizal ada seorang kakak yang sudah berkeluarga dan kini menetap di Kota London dan seorang adik lelaki yang sedang belajar di Jepun. Sekarang Encik Rizal memiliki sepasang anak saudara hasil perkahwinan kakaknya dengan seorang pensyarah yang berdarah Inggeris. Pasti anak-anak buah Encik Rizal bermata biru dan berambut perang. Dapat kubayangkan betapa comel mereka. Anak kacukan Inggeris-Melayu akan menjadi gadis yang cantik dan pemuda yang tampan. Sudah ada satu kelebihan buat mereka. Fikiranku mengarah kepada Yen, lantas terus aku padamkan. Saat ini aku tidak mahu memikirkan Yen lagi. Biarlah Yen berbahagia bersama kekasih hatinya sekarang.
Sekarang hanya Encik Rizal yang tinggal bersama mereka. Maka dia mengimpikan cucu yang ramai. Malah dia berangan-angan mahu memiliki keluarga yang besar agar hidupnya tidak kesunyian. Datin Faridah sempat juga meluahkan keinginan untuk melihat Encik Rizal menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat ini. Ciri-ciri menantu pilihan Datin Faridah tidak begitu sukar untuk dipenuhi. Asalkan anak mudanya itu berkenan, mereka dengan senang hati menerimanya. Senang dan mudah. Aku tahu mereka cukup mempercayai kemampuan Encik Rizal memilih pasangan hidup yang terbaik untuk dirinya dan keluarganya. Entah kenapa Datin Faridah bersungguh-sungguh membicarakan semua ini kepadaku? Mungkinkah dia ingat aku ialah calon menantunya? Harap-harap Datin Faridah tidak akan berfikir sejauh itu.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa selamat. Sayup-sayup kedengaran suara yang tidak begitu asing di telingaku. Aku melontar pandangan menjejaki kelibat Encik Rizal. Wajah Encik Rizal kutemui. Sahih dialah gerangan yang sedang mengetuai bacaan doa yang masih kedengaran ini. Nampak dia begitu khusyuk bermunajat kepada Allah. Seketika aku terpegun dan kagum. Sungguh terserlah kepimpinan dalam dirinya. Kalimah-kalimah Allah yang keluar dari bibir menerangi wajahnya. Nampak wajah Encik Rizal berseri-seri dan menyenangkan mata memandang.
“Emm...Iman, amin...,” tegur Datin Faridah buat aku tersentak. Terus kuraup kedua-dua belah telapak tangan ke mukaku. Datin Faridah tersenyum membuatkan aku segan dan malu. Terpegun sangat dengan Encik Rizal tadi membuatkan aku tidak menyedari suara Encik Rizal yang bermunajat tidak kedengaran lagi. Mesti Datin Faridah berfikir yang bukan – bukan terhadapku. Melihat senyuman lebar di bibirnya aku sudah dapat mengagak perkara yang sedang bermain di fikirannya. Datin Faridah menyangka aku dan anak mudanya itu ada hubungan istimewa yang telah menyatukan hatiku dengan hati Encik Rizal. Ya Allah bagaimana untuk aku jelaskan kepada wanita ini agar dia tidak tersalah tafsir terhadap hubunganku dengan Encik Rizal. Aku tidak mahu Datin Faridah berangan-angan lebih jauh kelak dirinya yang kecewa.
Usai makan, aku menolong ahli keluarga yang lain mengemas. Mulanya aku ditegah berbuat demikian memandangkan aku ialah tetamu. Namun aku meyakinkan mereka bahawa aku tidak kisah malah senang hati turut sama melakukan kerja-kerja yang ada. Semua dilakukan secara bekerjasama malah merapatkan lagi hubungan kekeluargaan mereka. Tidak seperti keluarga berada yang lain, selalu majlis sebegini akan diuruskan oleh orang luar. Mereka hanya perlu menghulurkan ongkos. Satu perkara yang aku pelajari, para isteri dalam keluarga ini masih setia menyediakan hidangan makanan untuk suami dan anak-anak dengan air tangan sendiri biarpun suatu majlis keramaian. Patutlah kasih sayang antara mereka sekeluarga begitu erat. Sementara aku menolong di dapur, Encik Rizal berbual-bual dengan ahli keluarga lelaki di ruang tamu. Encik Rustam, Datuk Razali Omar dan Datuk Rafie, ayah Encik Rizal turut ada bersama. Sempat aku memerhatikan kemesraan mereka. Terbukti tanggapanku kepada keluarga Encik Rizal dan Encik Rustam selama ini adalah sahih. Beruntungnya Encik Rizal dan Encik Rustam memiliki keluarga yang harmoni sebegini.
Usai segala kerja pembersihan dan pengemasan di dapur, aku meminta diri untuk pulang. Kebetulan jam sudah menjangkau ke pukul 10.40 minit malam. Sudah agak lewata. Sekurang-kurangnya dalam pukul 11.00 lebih baru aku sampai ke kawasan Taman Pujangga Hill. Kuberi isyarat kepada Encik Rizal menyatakan kerja-kerja telah selesai dan kini kami boleh berangkat pergi. Mujur dia cepat faham lantas bercakap sesuatu kepada ahli keluarga yang lain. Kemudian mereka menoleh ke arahku sambil tersenyum. Ada yang melambaikan tangan ke arahku sebagai ucapan selamat jalan. Lantas kubalas lambaian tangan itu. Encik Rustam, Datuk Rafie dan Datuk Razali Omar bersama Encik Rizal melangkah ke arahku. Kemudian Datin Azizah, Datin Faridah serta Juita turut sama menghampiriku. Kemudian mereka bersama-sama menghantarku sehingga ke halaman. Segan pula menerima layanan sebegini daripada mereka.
“Saya balik dulu ye. Terima kasih atas undangan ke majlis ni,” ujarku lalu bersalaman dengan Datin Azizah dan Juita. Kini giliranku bersalaman dengan Datin Faridah. Tanpa kuduga tiba-hatiba saja wanita ini terus memeluk tubuhku. Begitu erat. Aku terkedu dengan tindakan Datin Faridah ini. Lantas aku hanya mendiamkan diri ketika berada dalam pelukan ini. Sempat juga aku melihat Encik Rizal dan yang lain yang berada di sini memerhati sambil tersenyum. Paling mengejutkan aku tatkala pipi dan dahiku turut sama dikucup. Dalam aku terkejut, aku turut terharu dengan kasih sayang yang ditunjukkan oleh Datin Faridah kepadaku.
“Kak Long dah suka sangat kat awak, Iman,” tutur Datin Azizah buat yang lain tertawa girang. Aku memaksa diri turut tersenyum. Sungguh aku terbeban dengan keadaan ini. Kasih sayang Datin Faridah yang tidak berhak kumiliki.
“Saya pergi dulu...,” tuturku sekali lagi. Mereka mengangguk.
“Hati-hati bawa anak dara orang tu,” ujar Datin Faridah memperingatkan Encik Rizal. Encik Rizal tersenyum. Bersama dengan Encik Rizal memang aku selamat.
“Mama tak payah risau. Saya akan pertaruhkan nyawa saya demi keselamatan Iman,” ujar Encik Rizal begitu berkesan di hatiku. Aku terdiam. Masihkah perasaan Encik Rizal melebihi perasaan seorang sahabat terhadapku?
“Wow, romantiknya anak Pak Long dan Mak Long ni,” usik Encik Rustam buat yang lain tertawa.
“Rizal memang romantik, bukan macam kamu tunggul kayu. Betul tak Juita?” ujar Datin Azizah pula mencelah mengusik Encik Rustam. Juita hanya tersenyum manakala Encik Rustam tersengih mendengar perlian ibunya itu.
“Mari Iman...,” ajak Encik Rizal.
“Pergi ler kamu. Kalau dilayan sangat mereka ni sampai ke pagi tak habis-habis celoteh,” ujar Datuk Razali Omar pula membuatkan Datin Azizah menjeling manja ke arah suaminya.
“Lagi ler Mak Long suka. Nanti boleh Iman tidur dengan Mak Long,” sahut Datin Faridah yang nampak berkenan sungguh dengan gadis itu.
“Kasihan ler Pak Long tidur kesejukan sorang-sorang,” Encik Rustam mengusik lagi. Kali ini ketawa mereka lebih nyaring lagi. Aku dan Encik Rizal hanya tersenyum. Boleh tahan juga nakal Encik Rustam. Sebelum berlalu meninggalkan perkarangan banglo Encik Rustam sekeluarga sempat juga aku membalas lambaian tangan mereka. Walaupun hanya beberapa jam aku bersama mereka, namun kemesraan sudah terjalin. Keluarga Encik Rizal dan Encik Rustam memang menyenangkan. Malah aku mempelajari sesuatu yang berharga dalam keluarga ini. Kasih sayang begitu penting dalam sebuah keluarga. Hidup sederhana biarpun berharta lebih menjamin kebahagiaan. Terima kasih Encik Rustam kerana menjemputku ke majlis kekeluargaan seperti ini. Terima kasih juga kepada Encik Rizal. Sesungguhnya banyak yang aku pelajari dengan adanya pertemuanku dengan keluarga kalian.
“Apa pendapat awak tentang mereka?” suara Encik Rizal bertanyakan tentang keluarganya. Aku tersenyum.
“Begitu menyenangkan. Beruntung dapat berkenalan dengan mereka,” luahku telus. Aku memang gembira sangat mengenali mereka.
“Lebih beruntung kalau awak sudi menjadi sebahagian daripada keluarga ini,” bisik hati Encik Rizal namun tidak mampu diluahkan. Setiap bicara dan tindakan harus berhati-hati. Dia sudah berjanji kepada gadis ini akan menjadi sahabat. Namun dia masih tidak mampu memadamkan perasaan cinta pada Iman.
“Siapa nama adik Encik Rizal?” soalku membuatkan Encik Rizal tersentak. Barangkali dia sedang berkhayal memikirkan sesuatu.
“Nama adik saya?” soalnya semula. Aku mengangguk.
“Razilan Hakim,” jawabnya.
“Nama abang ipar, Encik Rizal?” soalku lagi.
“Razif Andersion,” sahut Encik Rizal. Gabungan nama Melayu-Inggeris. Nama baru setelah memeluk Islam.
“Razali Omar, Rustam Reslee, Rafie, Rizal Luqman, Razilan Hakim, Razif Andersion... anak buah Encik Rizal, nama dia?” soalku mahu menyusun nama-nama ahli keluarga lelaki dalam keluarga Encik Rizal.
“Raziman Eddie,” sahut Encik Rizal. Aku tersenyum sendiri.
“Encik Rizal perasan tak nama lelaki dalam keluarga Encik Rizal semua pangkal huruf R,” ujarku setelah selesai membuat penyelidikan. Encik Rizal mengangguk dan tersenyum.
“Selepas abah dan mama saya bernikah memang mereka merancang nama-nama sedemikian. Kebetulan Pak Usu dan Mak Usu pun buat perkara yang sama,” jelas Encik Rizal menjawab persoalan yang bermain di kepalaku.
“Keluarga yang serasi dan sehati sejiwa,” ujarku.
“Dengar macam bunyi rancangan tv je,” komen Encik Rizal lalu tertawa. Aku turut sama tertawa. Senyap.
“Encik Rizal biasa mengetuai bacaan doa dalam majlis?” soalku lagi.
“Majlis keluarga je. Kenapa?” soalnya. Encik Rizal seorang yang merendah diri. Dia berdoa dengan hati yang telus tanpa melihat tulisan-tulisan yang berada di depan mata. Doa itu dilafazkan dengan penuh khusyuk dan kesungguhan.
“Perkara yang harus mendapat pujian,” balasku jujur. Encik Rizal tersenyum. Aku tahu pujianku itu tidak akan membuatkan dia riak dan bongkak. Encik Rizal dididik dengan penuh kesederhanaan. Berbanding dengan Yen yang adakala riak dengan kesempurnaan yang dimiliki. Aku mengeluh. Fikiranku kembali terarah kepada pemuda Korea itu.
“Kenapa?” soal Encik Rizal yang menyedari keluhan yang keluar dari mulutku ini. Aku geleng kepala dan tersenyum.
“Mungkin awak letih,” tuturnya. Ingin dicadangkan kepada gadis itu agar mengambil cuti rehat. Namun dia cepat tersedar lalu mengingatkan diri agar jangan meluahkan perkara yang sedang terlintas di fikirannya itu. Kebaikan yang cuba diberikan akan membebankan gadis itu. Dia akan tetap mengingatkan dirinya pada bicara Iman dan janjinya pada gadis itu.
“Seronok juga dapat berkumpul bersama keluarga. Encik Rizal mesti rapat dengan ibu bapa Encik Rustam kan,” tekaku mengaitkan dia dengan ibu bapa Encik Rustam. Encik Rizal mengangguk.
“Awakkan rapat juga dengan mak cik awak. Kalau tak masakan boleh tinggal bersama sekarang,” balas Encik Rizal. Aku terdiam. Bersalah kerana telah berbohong pada Encik Rizal.
“Dia selalu keluar negara menemani suaminya,” ujarku tiba-tiba.
“Jadi awak dan anak muda dia je ler tinggal kat rumah tu,” tutur Encik Rizal seakan terkejut. Wajahku ditatap.
“Hey, takde ler.... Ada pembantu rumah yang tinggal bersama kami. Kami bertiga tinggal kat rumah tu kalau mereka ada urusan di luar negara,” ujarku. Mujur juga aku cepat berfikir. Minta maaf untuk sekian kali Encik Rizal kerana meneruskan pembohongan ini. Aku terpaksa. Encik Rizal mengangguk-angguk. Begitu mudah dia mempercayai bicaraku ini.
“Tak sedap hati juga dengar kalau awak dan anak muda tu tinggal berdua je kat rumah tu. Bahaya,” ujar Encik Rizal meluahkan kerisauannya.
“Ye saya tahu Encik Rizal,” ujarku menyokong bicaranya. Dalam hati aku kagum dengan sikap Yen. Sekurang-kurangnya lelaki normal seperti dia masih mampu bertahan daripada bisikan godaan syaitan. Aku tahu lelaki buaya yang sentiasa bernafsu memuncak persis dirinya bukan mudah mengawal diri tatkala tidur sekatil sepanjang malam dengan seorang perempuan. Apatah lagi perempuan yang bergelar isteri yang halal untuk disentuh. Dalam aku memuji sikapnya itu, aku sedar bahawa Yen memang tidak pernah tertarik padaku. Jauh sekali mahu jatuh cinta kepadaku. Bermula pada hari akad nikah itu sehingga ke hari ini Yen hanya menganggapku sekadar sahabat. Kenyataan ini amat menyakitkan untukku terima.
No comments:
Post a Comment