Yen muncul di dapur tatkala aku hampir siap menyediakan sarapan. Awal dia bangun hari ini. Oh, pagi Sabtu dan Ahad dia memang ada kelas! Ingat tentang kelasnya itu, serta merta aku diserbu perasaan sedih dan tidak bersemangat. Misi aku telah gagal. Apa yang kuharapkan tidak menjadi. Aku mengeluh. Longlai langkahku menatang dulang yang berisi seteko air teh panas bersama dua biji cawan ini lalu kuletak di depan Yen yang sudah bersedia untuk bersarapan. Dia menatapku.
“Awal pagi dah tak bersemangat, macam ni ke student U,” bidasnya. Aku menatapnya dengan pandangan kosong. Bicaranya kubiarkan berlalu. Air teh panas yang sudah kutuang ke dalam cawan kuletakkan di depannya. Bilakah agaknya dia tahu menuang minuman untuk diri sendiri? Betapa bertuah menjadi dirinya mudah sahaja memiliki apa yang dihajatinya. Terasa pula dunia ini tidak berlaku adil kepadaku. Aku mengeluh lagi. Kutongkat dagu. Macam mahu berbaring sahaja di atas meja ini.
“Awak tak minum ke?”
“Aa...,” Kutatap Yen yang sedang memandangku.
“Boleh tak kalau awak ajar saya main gitar tanpa syarat?” soalku tiba-tiba. Yen menatapku lagi. Pertanyaanku tidak dijawab. Mulutnya sudah penuh dengan nasi goreng yang kusediakan. Alahai... bisu pula dia pagi ni! Aku menatapnya lagi. Kali ini dia sedang mencubit-cubit roti keping beralas jem menjadi cebisan sederhana kecil lalu dilontar ke dalam mulut yang sudah ternganga. Macam mana sekalipun aksi yang ditunjukkan, dia tetap kacak dan menawan. He...he.... he... Aku terus memerhatikan gelagatnya.
“Kalau awak nak belajar main gitar dengan saya, awak harus berhenti perhatikan saya makan,” ujarnya serius.
“Mwo (apa)!” Aku tersentak. Bingkas aku tegakkan tubuhku. Duduk elok-elok. Bagai baru dapat suntikan semangat.
“Betul ke? Bagaimana dengan syarat tu?” soalku lagi.
“Syarat tetap syarat” balasnya bertegas. Aku mengeluh. Semangatku kembali menjunam. Kepalaku terlentok lagi di tangan. Betul-betul orang yang sedang patah semangat.
“Bukan susah pun syarat tu. Awak hanya perlu menyanyi,” ujarnya.
“Menyanyi?” besar biji mataku menatapnya.Yen mengangguk.
“Awak ingat saya ni sejahat itu ke nak ambik kesempatan ke atas orang yang lemah,” di hujung bicara suaranya ditekan. Satu syarat penegasan terhadap makna yang cuba disampaikan. Aku mendengus dan menjelingnya. Hari ini berlagak pula dia. Mentang-mentanglah aku terlalu berharap pada pertolongannya. Aku dikatanya lemah? Berlagak betul pemuda Korea ini! Ada lori ada bas, ada hari boleh kubalas. Aku mula memikirkan tentang syarat yang mudah itu tetapi sangat sukar buatku. Aku langsung tiada bakat menyanyi. Bahkan seingat aku seumur hidupku ini tidak pernah pun aku menyanyi sendirian di depan seseorang. Aku bukan punya hobi yang suka melalak di bilik air. Lainlah kalau Roslinda Ayamor boleh dendangkan dua tiga buah lagu sekali gus. Dia gemar sangat berkaraoke di bilik air. Aku berfikir lagi. Lagu apa yang boleh aku nyanyikan nanti. Lagu Awie ‘Di Penjara Janji’? Tinggi sangat pitch. Nanti tak pasal-pasal hancur lagu itu aku buat. Kebetulan aku tidak hafal lirik. Lagu Wali Band? Ah... Yen rock! Nanti tidak pasal-pasal dia suruh aku tukar lagu. Percuma sahaja aku buat persembahan dua tiga kali. Bagaimana kalau aku menyanyikan lagu ‘Aku Budak Kampung’ nyanyian Jimmy Palikat yang pernah top suatu masa dahulu? Ahh... menyusahkan saja aku berfikir tentang lagu – lagu komersil ini! Apa kata kalau aku nyanyikan saja lagu ‘Negaraku’, bukankah cukup mudah. Bahkan menyuntik semangat patriotik dalam diri. Aku tersenyum sendiri.
“Bagaimana awak setuju?” Pantas aku mengangguk. Yen memandangku seakan tidak percaya aku begitu yakin menerima syarat itu tanpa sebarang bantahan. Dia ingat senang dia hendak buli aku. Jangan haraplah! Aku akan menyanyi. Merdu atau buruk itu belakang kira. Paling penting aku sudah menyanyi. Biar sakit telinga guru muzikku ini nanti. Ha... ha...ha...!
“Sebelum saya berguru dengan awak, saya perlukan pertolongan awak lagi,” pintaku tersengih.
“Tapi kali ni tak payah ada syarat,” tambahku sebelum sempat Yen bersuara menambah syaratnya. Dia menatapku tanpa sebarang reaksi.
“Pertolongan apa?” soalnya.
“Sebelum kita mulakan pengajaran dan pembelajaran, saya nak beli gitar. Awak tolong pilih untuk saya. Saya tak reti nak beli gitar yang terbaik. Nanti awak boleh tolong decide gitar mana yang sesuai,” pintaku meminta ihsannya lagi.
“Itu mudah saja. Awak nak beli gitar macam mana?” soalnya.
“Gitar kayu yang boleh saya mainkan dengan mudah,” balasku.
“Gitar akustik. Apa-apa saja gitar akan dimainkan mudah kalau orang yang pegang gitar tu reti main,” balasnya. Sekali lagi terkena sebiji tembakannya. Aku tersengih. Yen bangkit dari duduk lalu melangkah mahu meninggalkan ruangan makan.
“Bila boleh keluar beli gitar?” soalku sebelum kelibatnya hilang di sebalik pintu. Langkahnya mati. Dia menatap jam di tangannya.
“Pukul 10.30 ni nanti. Awak siapkan kerja kat rumah dulu,” jawabnya tanpa menoleh ke arahku. Aku sedikit musykil.
“Awak takde kelas?” soalku lagi. Senyap. Barangkali Yen terlupa yang dia ada kelas pagi ini.
“Kalau nak pergi jangan banyak tanya,” ujarnya memberi amaran kemudian kelibatnya terus hilang di sebalik dinding pemisah antara ruangan makan dengan ruangan bebas banglo ini.
“Okey bos,” balasku sedikit melaung. Yen tersenyum sendiri mendengar suara gadis itu. Aku bergegas mengemaskan dapur dan semua ruangan di rumah ini. Yen sedang terbaring menongkat kepala di sofa panjang. Leka dia menonton satu program di kaca tv. Tidak sempat aku hendak melihat program yang disaksikan itu kerana aku harus bergerak sepantas mungkin. Langsung dia tidak mempedulikan aku yang ke hulu hilir di depannya macam lipas kudung ini.
Tepat pukul 10.30 pagi aku berlari-lari anak mendapatkan Yen yang sudah berada di dalam kereta sedang menantiku. Sengihanku dibalas dengan jelingan dan keluhan. Mujur juga ada wajah kacak jadi tidaklah buruk sangat lagak yang ditunjukkan itu. Laju aku melabuhkan duduk di kerusi sebelahnya. Kupasang seat-belt. Mercedez Ben hitam metalik milik Yen ini bergerak dengan gahnya.
“Velviana tak marah ke awak keluar dengan perempuan lain?” soalan cepu emas kuajukan kepada Yen di sebelah. Senyap. Dia nampak tidak berminat menjawabnya. Akhirnya kata hatiku yang menjawab persoalan yang kuajukan kepada pemuda ini.
Masakan dia tidak marah. Velviana seorang gadis yang agak agresif. Peristiwa dia menyerangku di tempat kerja masih segar dalam ingatanku. Semuanya bermula apabila dia terserempak aku dan Yen keluar dari pawagam. Memang patut pun dia marah tetapi yang tidak logik dia serang aku tanpa usul periksa. Sepatutnya dia minta penjelasanku terlebih dahulu bukan terus mengamuk dan menyerangku macam singa betina yang kelaparan.
Aku akui salahku juga sebab aku minta Yen temankan aku menonton cerita Korea di pawagam. Yang dahsyatnya aku boleh lupa seketika bahawa pemuda Korea ini ialah kekasih orang. Aku mengeluh. Kasihan Velviana. Pasti dia akan gelisah dan curiga sepanjang masa kerana memiliki kekasih si buaya darat. Inilah pengorbanan yang terpaksa ditanggung kerana memiliki kekasih hati yang tampan.
“Kalau awak nak minta tolong saya, sila senyap,” ancam Yen tiba-tiba sahaja bersuara. Lamanya dia ambil masa mahu bersuara. Sudah habis aku beri jawapan sendiri baru dia hendak bersuara. Namun persoalanku itu masih tidak dijawab. Kalau dia tidak jawab pun aku sudah tahu akan jawapannya.
“Cuba dulu gitar yang nak beli tu. Jangan tengok ambik terus bayar. Kalau gitar elektrik, try cucuk ke amplifier dulu. Pick up nya okey ke tak. Minta orang kedai ‘tune’kan gitar itu, try petik tengok fretnya ada bunyi lari ke tak,” ujar Yen memberikan tips berguna kepadaku.
“Tanya warranty kalau ada.Warranty penting kalau gitar tu ada masalah nanti. Gitar yang ada brand seperti Fender, Gibson, Ibanez, Martin, Yamaha mesti ada warranty card. Check dulu dengan kedai. Tengok juga brand betul ke tak. Ada juga gitar yang tengok dari jauh macam logo Fender, tapi kalau dah dekat ditulis Tender. Gitar cilok memang takde jaminan,” tambah Yen sebagai seorang yang berpengetahuan luas tentang gitar. Seronok dan teruja mendengar penerangan Yen. Dia memang pakar tentang gitar. Tidak silap aku mengajaknya keluar mencari gitar yang terbaik.
“Beli juga aksesori gitar seperti guitar case sama ada yang soft case or hard shell case, guitar strap dan guitar strings set spare iaitu tali 1 hingga 6. Jika perlu boleh beli pic, guitar strap, guitar tuner, dalam kouta cukup-cukup. Kalau rasa perlu nanti boleh beli lagi,” bicara Yen lagi. Aku memandangnya. Betapa aku kagum dengan pengetahuan luasnya terhadap gitar ini. Entah berapa lama dia harus belajar tentang semua ini.
“Faham?” soalnya sambil menatapku. Aku hanya tersenyum. Semua itu belum cukup jelas padaku. Namun aku akan berusaha untuk lebih memahaminya agar usaha yang ditunjukkan oleh Yen ini tidak sia-sia sekali gus aku boleh membuktikan diriku sebagai pelajar yang boleh dibanggakan. Tika itu terlepas juga aku daripada kutukan dan perlian Yen.
“Jom kita pergi kedai sebelah lagi,” ajak Yen lalu melangkah meninggalkan kedai alatan muzik ini bagi meneruskan pencarian yang terbaik.
Aku yang terkebil-kebil melihat dia pergi begitu sahaja. Laju aku mengejar langkahnya. Kami memasuki sebuah kedai yang juga menjual gitar. Ini merupakan kedai ketiga yang kami kunjungi khusus menjual gitar. Kedatangan kami disambut mesra oleh seorang lelaki Cina. Aku biarkan Yen bersama lelaki itu berbincang memandangkan pengetahuanku tentang gitar ialah zero. Lelaki Cina pemilik kedai ini membawa Yen ke satu sudut. Aku tduduk di bangku yang tersedia di sini. Sebetulnya kakiku sudah lenguh. Sudah berjam-jam mencari, namun gitar yang aku kehendaki...bukan... sebenarnya gitar yang Yen temui belum memenuhi klasifikasi kehendak hatinya . Memang cerewet giler.
Aku memandang sekeliling kedai ini. Terdapat pelbagai jenis, bentuk dan warna gitar yang dijual di sini. Harap-harap Yen akan terpikat salah sebuah gitar yang terdapat di sini agar pencarian kami berakhir di sini. Aku memang sudah keletihan sangat. Tidak larat mahu menapak ke kedai peralatan muzik seterusnya. Tambahan pula perut aku asyik berkeroncong minta diisi. Kulirik jam di tangan. Sudah jam 2.40 petang. Patutlah masa makan sudah terlajak jauh.
“Iman ssi mari kejap!” panggil Yen. Laju aku melangkah mendapatkannya. Sudah tidak sabar aku hendak menamatkan pencarian ini. Mudah-mudahan ada gitar yang berkenan di hati Yen. Yen menunjukkan kepadaku sebuah gitar akustik berwarna ton biru gelap dan sedikit warna hitam. Nampak cantik dan berkilat. Aku pun berkenan dengan pilihan Yen ini. Tatkala aku menatap sebaris angka yang tertulis pada kertas putih tertampal di badan gitar itu, aku terkedu. Woi, mahalnya! Boleh tanggung kos makanku satu semester di kampus. Apa hal ler mamat Korea ini pilih gitar semahal ini. Dia ingat aku hendak tubuhkan band beli gitar sebegitu mahal. Memang tidak patut!
“Macam mana berkenan tak?” soalnya menatapku. Memang pun aku berkenan sangat tetapi masalahnya harga itu di luar bajetku. Nanti tidak pasal-pasal aku puasa satu semester ini gara-gara habiskan duit untuk sebuah gitar. Kutatap Yen. Lantas aku tersenyum.
“Tak payah ler beli gitar ni. Saya kurang berkenan,” bisikku berbohong sekali gus menyembunyikan dari pendengaran lelaki Cina itu demi menjaga perasaannya. Sepatutnya aku kata begini... ‘Ya saya sangat berkenan gitar ni, tapi harganya mahal. Bajet saya tak cukup’... Namun demi menjaga air muka sendiri dan demi mengelakkan telinga berdesing dihujani kutukan pedas Yen terpaksalah aku berbohong sunat. Tatkala Yen mengajak aku meninggalkan kedai ini, sempat juga aku menatap gitar itu buat kali terakhir. Sedih juga hatiku kerana tidak mampu memilikinya. Yen turut sama menoleh ke arah pandangan mataku. Aku tersengih menatapnya. Cuba menyorokkan pandangan mataku sekali gus menyembunyikan isi hatiku yang tersirat.
“Aku akan beli gitar itu bila aku dah kerja nanti dan tika itu aku dah boleh bermain gitar dengan baik,” bisikku berjanji pada diri sendiri.
“Saya dah lapar ni. Awak belanja saya makan ye. Jom...,” ajak Yen terus melangkah. Laju otakku mengira bajet yang ada. Kalaulah pemuda Korea ini mengajak aku makan di tempat yang mahal habislah lari bajet yang aku peruntukkan. Silap-silap hari bulan tidak jadi aku hendak beli gitar. Langkah kami terhenti di depan sebuah restoran yang agak ekskulsif. Terus otakku mengagak menu yang disediakan di sini pasti mahal belaka.
“Boleh tak kita makan kat tempat lain... kat warung tepi jalan ke... Rasanya makanan kat sini tak sedap ler,” ujarku berdolak-dalih.
“Masuk je ler... Dah lapar sangat ni tak larat nak pergi tempat lain,” balas Yen. Mahu tidak mahu aku terpaksa mengalah. Longlai langkahku mengekori Yen. Kami sudah mengambil tempat duduk.
Datang seorang gadis berpakaian seragam premis ini. Ala-ala macam pramugari. Kutatap senarai menu yang dihulurkan kepadaku. Tertera nama ‘Pilot Cafe’ di bahagian tepi kiri kertas. Patutlah para pekerja laksana pramugara pramugari, rupanya premis ini ‘Pilot Cafe’ namanya. Yen sedang leka menatap menu yang disediakan. Aku masih terpaku melihat harga bagi setiap menu yang ada. Berganda harganya berbanding dengan harga menu yang sama yang sering aku makan. Betul-betul cekik darah. Yen masih lagi berfikir menu yang akan dipesan. Harap-harap tidaklah dia begitu berselera hendak order makanan banyak sangat. Memandangkan lama Yen membuat pilihan sudah pasti banyak makanan yang ingin dipesan, maka akhirnya aku buat keputusan drastik untuk melupakan sahaja rasa laparku ini.
“Adik, beri saya air kosang je,” pintaku. Gadis itu mengangguk lalu mencatat pada kertas ditangannya. Yen menatapku. Hairan.
“Awak tak nak makan ke?” soalnya. Aku geleng dan tersenyum. Sampai rumah nanti aku makan.
“Kalau macam tu awak tengok je ler saya makan ye,” ujar Yen serius. Aku hanya mengangguk. Sah ada beberapa menu yang Yen pesan siap sekali extra. Memang dia hendak makan banyak bagi menggantikan tenaganya yang banyak terbuang tadi.
“Kenapa awak tak nak makan? Awak kenyang lagi ke?” soalnya bertalu. Aku mengangguk. Betapa aku lapar sebenarnya hinggakan bersuara pun aku sudah tidak larat. Namun memikirkan wang yang ada sekadar cukup-cukup tambahan pula makan di tempat mahal sebegini, aku lawan sahaja rasa laparku ini.
Haruman mewangi makanan yang baru sahaja dihidangkan di depanku ini memenuhi deria bauku. Semuan nampak menyelerakan. Aku menahan liur. Bila-bila masa Yen akan menikmatinya dan yang sedihnya aku sekadar jadi pemerhati. Memang betullah pujangga orang tua yang mengatakan ‘kalau malu lapar’. Tiba-tiba ... krucuuk... krucuuk... krukk...kruyuukkk... kkk...Ups! Wah lapar sekali sampai perut ini berbunyi! Aku menggenggam perutku cuba menghentikan bunyi tersebut.
Yen sedang menatapku. Malunya... mesti telinganya dapat mendengar alunan keroncong perutku sebentar tadi. Sah pembohonganku telah terbongkar. Aku tiada pilihan lain selain tersengih panjang menatap Yen. Nasi extra yang diminta tadi terus sahaja diletak di depanku. Sayur, lauk, sup dan udang yang dimasak sweet sour didekatkan kepadaku tanda berkongsi makanan.
“Makan ler,” arah Yen lalu dia terus menikmatinya. Memandangkan aku lapar, aku pun turut serta menikmati hidangan yang berada di depan mataku ini. Begitu berselera sehinggakan aku terlupa dengan bicaraku sebentar tadi. Aku dan Yen benar-benar menikmati hidangan makan lewat tengah hari ini tanpa mempedulikan sekeliling bahkan kami langsung tidak berbicara. Masing-masing fokus pada makanan yang terhidang.
Aku dan Yen tersandar kekenyangan setelah makanan di dalam pinggan bersih. Beberapa minit kemudian, kira-kira sudah selesa, Yen angkat tangan kepada gadis pelayan itu. Aku terus mencapai beg galasku mengambil dompet. Di saat aku masih tercari-cari dompet itu, Yen sudah pun menyerahkan kad kredit kepada gadis pelayan tadi. Tidak lama kemudian gadis pelayan tadi muncul semula membawa resit yang perlu ditandatangani oleh Yen.
“Are you actor?” tiba-tiba persoalan itu terpancul dari mulut gadis itu.
“Sorry...,” Yen menatap gadis pelayan itu. Begitu juga aku.
“Korean actor?” soal gadis pelayan itu lebih jelas lagi. Yen geleng kepala dan tersenyum.
“Twins. Nama dia Jang Geun Sik,” sampukku memandai-mandai.
“Really?” Aku mengangguk lagi. Yen menatapku dengan pandangan kurang senang. Sedangkan aku bersusah payah menahan diri dari ketawa. Tidak pasal-pasal Yen kena turunkan tandatangan kepada peminat barunya ini. Keluar dari Pilot Cafe, ketawaku terus terburai.
“Jang Geun Sik ... he... he...,” ujarku menyebut nama baharu Yen. Kelat wajah Yen dipermainkan sedemikian. Baru dia tahu siapa aku. Tadi puas dia mendera aku. Kononnya aku yang kena belanja dia makan, siap sekali pilih restoran yang mahal. Sengaja dia buat aku menggelabah. Memandangkan hari sudah lewat, tambahan pula sudah keletihan dan kekenyangan, aku dan Yen setuju terus balik ke rumah. Pencarian gitar akustik tergantung seketika.
“Jang Geun Sik... Gomawoyo (terima kasih), ” ujarku sebelum meninggalkan pemuda Korea itu di ruang tamu.
Tiba di kamar beraduku, aku menghumbankan tubuhku ke tilam. Betapa nikmat dapat berbaring-baring begini. Peristiwa di luar tadi satu persatu kembali berputar diingatanku. Suatu pengajaran aku peroleh. Akhirnya aku ambil keputusan nekad untuk bekerja part-time di Rozana Cupcake memandangkan belajar di universiti banyak memerlukan wang, tambahan pula wang simpananku sudah semakin susut. Aku harus berjumpa dengan Encik Rizal sesegera yang mungkin. Namun ada cerita lawak di sebalik kejadian hari ini. Selain aku dapat malu gara-gara nyanyian keroncong perutku, aku juga dapat kenakan Yen.
“Jang Geun Sik… Awak nampak cute sangat bila terkebil-kebil memberikan tandatangan pada gadis pelayan itu,” tuturku sendirian.
Rasa mengantuk sangat. Letih masih terasa. Perut pun sedang kekenyangan. Mataku semakin terasa berat. Akhirnya aku tertidur dalam senyuman.
No comments:
Post a Comment