Tuesday, 26 October 2021

Awaklah SonataKu....Bab 41

 

 Aku menatap gitar di depanku ini. Gitar akustik yang Yen pinjamkan kepadaku buat sementara waktu. Andai aku sudah pandai memainkan melodi barulah Yen akan menghadiahkan gitar akustik ini kepadaku. Itu janji Yen padaku lantas memotivasikan aku untuk berusaha lebih gigih lagi. Aku ingin memiliki salah satu barang kesayangan Yen. Gitar ini terlalu bererti buatku. Kucapai gitar ini lalu memetik sesuka hati tanpa sebarang perasaan. Aku belum mengenali kod di sebalik barisan tali gitar ini.

“Iman ssi, awak masih ingat lagi tak bulat putih ni apa?” suara Yen mencelah di sebalik alunan petikan sumbang dan tidak bermakna ini.

“Cuma petik saja tali tanpa tekan mana-mana fret. Itu open note,” sahutku bersahaja. Fakta ini aku hafal sebaik sahaja aku mula mencatat dalam buku nota. Aku tidak mahu Yen memandang rendah memoriku. Bahkan aku tidak mahu Yen beranggapan mengajarku perbuatan sia-sia andai sesi PdP di kelas gitar ini tiada perkembangan.   

“Bagus...,” puji Yen.

“ Yang ni apa pula?” soal Yen sambil menunjuk pada bulat putih dan bulat hitam yang langsung tiada tanda itu.

“Tak payah petik tali tu,” sahutku.

“Bagus...,” puji Yen lagi. Aku tersenyum sekilas meraikan penghargaan itu. Bukan mudah mendapat pujian dari mulut pemuda Korea ini. Yen menggantung carta kod gitar pada cangkuk besi yang tertanam di dinding.

“Ini antara kod paling asas untuk bermain gitar. Praktis kod C, Dm, F, G dan Am,” terang Yen merujuk pada carta yang di gantung di dinding.

“Nama kod ditentukan dengan not root iaitu not pada tali yang dipetik pada # tali paling atas,” jelas Yen mengulangi pengajarannya dahulu. Kemudian Yen menghulurkan tangan meminta gitar yang ada di dalam dakapanku. Gitar akustik ini beralih tangan. Lalu dia mula memetik kod-kod asas.

“Untuk beginner seperti awak, saya syorkan praktis kod-kod yang saya tunjukkan tu especially yang dalam list Basic Chords. 7th kod seperti C7, D7 atau apa-apa yang ada nombor 7 tu sebenarnya sama dengan kod biasa, cuma ditambah kod ketujuh,” tutur Yen lagi dengan pandangan yang masih terikat pada gitar yang kini sudah berada dalam dakapannya. Seketika aku hanya memerhati Yen memetik tali-tali gitar itu. Begitu mudah. Malah saat ini sudah terbayang di mataku Jang Geun Suk, aktor Korea itu bermain gitar sambil menyanyikan lagu ‘I Will Promise You’ untuk kekasih hatinya Marry. Aduhai... angaunya aku sekarang!

“Kenapa tune gitar ni lari je. Awak ada ubah apa-apa ke?” soal Yen sangsi. Jemarinya mula memutar-mutar hujung pengikat senar atau tail piece cuba membetulkan rentak melodi gitar akustik ini.

“Hey, takde ler,” sahutku. Aku sedar dengan tahap kemampuanku. Tidak berani aku hendak memandai-mandai menyentuh dan mengubah bahagian-bahagian gitar ini. Aku masih sedar status gitar ini yang hanya dipinjamkan buat sementara waktu padaku. Jadi aku tiada kuasa mahu mengubah apa-apa yang sedia ada pada gitar ini. Aku hanya memetiknya sahaja. Senyap seketika. Hanya kedengaran alunan petikan gitar jemari Yen. Setelah berpuas hati dengan bunyi rentak yang terhasil, Yen mengembalikan gitar akuistik ini kepadaku. Aku mula memetik sedikit demi sedikit. Tiada melodi yang tersusun terhasil. Hanya kedengaran bunyi petikan gitar yang tidak tentu irama melodi.

“Aduuhhhh...!” Kukuku terasa sakit. Petikanku terhenti. Kutatap jari.

“Biasa ler tu... Belajar main gitar kena ler bersedia menghadapi kuku rosak,” ujar Yen mengingatkanku. Betulkah bermain gitar membolehkan kuku jariku pecah? Dahsyat.

“Nah ambik ni?” Yen menghulurkan satu benda plastik bulat pipih seperti buah almond. Seiras buah loket. Kutilik-tilik seketika.

“Tu pick gitar. Guna pick tu nak maksimumkan kerosakan kuku awak,” jelas Yen menjawab persoalan di fikiranku. Oh, nama benda ini pick! Senar diperbuat daripada kawat yang tersambung pada hujung pengikat senar. Manakala fingerboard  atau leher gitar berdekatan dan ditandai dengan garis besi yang dikenali sebagai frets. Frets merupakan tempat jari tangan sebelah kiri menekan senar. Gunakan untuk mempermudahkan mencari not dan bermain dengan irama.  Wow, tajam juga memoriku ini! Aku masih ingat bahagian-bahagian gitar yang telah Yen ajar kepadaku.

Tanpa membuang masa, Yen terus memulakan kelas gitar hari ini dengan menunjukkan kepadaku beberapa not yang harus aku ingat. Yen membongkokkan tubuh di belakangku bersentuhan denganku lantas membimbing aku memetik tali gitar untuk menghasilkan not-not yang berbeza. Tatkala Yen menyentuh tanganku cuba membetulkan letakan jariku, jantungku berdegup kencang. Mukaku membahang. Tika ini Yen terlalu dekat denganku. Wangian Dunhill memenuhi rongga hidungku. Aku kaku dalam keadaan tubuhku yang sedikit bersandar pada tubuh Yen. Sekarang seolah-olah aku duduk dalam pelukan tubuh Yen. Hangat tubuh Yen dan deruan nafasnya seakan mahu mencairkanku. Aku kalut dan kaku dalam situasi ini.

“Kenapa muka awak nampak merah?” suara Yen yang berbisik kedengaran begitu romantik di telingaku. Aku diam. Deruan nafasku tersekat-sekat. Betapa aku tidak selesa dalam keadaan sekarang. Namun aku tidak berhajat mahu menjauhkan diri dari kehangatan tubuh Yen. Aku tahu ini ialah tubuh suamiku yang halal bersentuhan denganku. Namun dalam tubuh ini tersimpan hati dan perasaan yang sudah menjadi milik Velviana. Oh, pedihnya menerima hakikat ini! 

“Begini ke cara awak ambil kesempatan ke atas pelajar perempuan kelas muzik awak?” soalku sinis.

Mwo (apa)...!” tinggi suara Yen melenting. Aku tersenyum lirih. Barangkali ini sahaja caraku melempiaskan kecewaku sebentar tadi.

“Oh, awak nak kata saya ambil kesempatan pada awak ye,” ujar Yen. Aku mendengus. Memang itu hakikat tabiat si buaya darat persis dirinya. Mana mungkin kesempatan yang ada dilepaskan begitu sahaja.

“Mari saya peluk awak,” Baru sahaja aku hendak bangun menjauhi Yen, tangan Yen merangkul pinggangku erat. Tubuhku terdorong dalam pelukan Yen. Kini tubuh Yen sudah mendakap kemas belakangku.

“Hey, apa ni! Lepas ler!” bentakku radang seraya menyiku-nyiku tubuh Yen. Aku memberontak cuba melepaskan diri. Namun pelukan Yen di tubuhku semakin kemas. Cuba kuleraikan pautan jemari Yen. Masih gagal.

“Jang Geun Sik! Saya jerit kuat-kuat nanti kata awak nak rogol saya!” ancamku kematian akal. Yen tertawa.

“Jerit ler! Mana ada orang boleh dengar pun suara awak walau macam mana kuat sekalipun awak menjerit,” balas Yen bersahaja. Aku diterjah ketakutan. Takut tatkala mengingati kalau Yen telah diirasuk syaitan tika ini. Tidak dapat aku bayangkan andai aku ternoda oleh pemuda Korea ini.

“Kalau awak tak lepaskan saya, saya akan menangis,” ancamku lagi. Mungkin teknik ini lebih berkesan memandangkan air mata perempuan boleh melemahkan kekuatan lelaki. Aku harap Yen akan ambil serius akan kata-kataku ini. Aku akan bersungguh-sungguh melakukan.

“Menangis ler...,” sahut Yen masih dengan suara yang bersahaja. Dia masih tidak mempedulikan ancamanku. Di mataku sudah terbayang perlakuan tidak bermorol Yen. Tidak sanggup lagi aku memikirkan perlakuan kejam Yen yang sudah kerasukan nafsu syaitan. Lantas kupejam rapat mataku.

“Aaarrrggghhhhhh...aaaarrrgggggghhhh... aaa...aaa...,” pipiku sudah dibasahi air mata. Aku menangis sungguh-sungguh.

“Iman ssi...Iman ssi...!” Tubuhku digoncang kuat. Perlahan kubuka mata yang terkatup rapat.  Yen sedang tercengang-cengang menatapku. Anak matanya membutang memandangku.

Sorry... mianhae (maaf) ...,” perlahan-lahan ungkapan itu tercetus di celah bibir Yen. Kutatap wajah Yen lama. Tiba-tiba terasa ringan sahaja tanganku lalu melayang singgah di pipi Yen. Muka Yen terpaling seketika. Dia kaget.

“Sesekali awak jangan berani ambil kesempatan ke atas saya. Saya tak  rela!” bentakku serius lalu melangkah meninggalkan Yen masih mendakapkan tangan ke pipi yang baru sahaja menerima sentuhan tangan kasarku.

“Iman ssi...! Iman ssi...!” Yen melaung namaku, namun aku tidak mengendahkan. Aku mengorak laju langkahku. Tidak mahu aku bertentang mata lagi dengan pemuda Korea itu. Aku terus berkurung dan mengunci diri di dalam bilik ini. Kulemparkan tubuh ke tilam lantas aku menangis teresak-esak di situ. Aku menyambung kembali tangisanku tadi. Belum cukup aku mengeluarkan air mata lagi. Aku mahu menangis sepuas-puas agar semua yang terbuku dalam hati ini mampu kulempiaskan lalu melontarkan sejauh mungkin. Nun jauh di sudut hati, aku kecewa dan menyesali sikap Yen. Tidak sangka Yen mahu mengambil kesempatan ke atasku. Dia langsung tidak  menghormatiku.

    “Iman ssi...! Iman ssi...!” suara Yen memanggil-manggil namaku dari pintu bilik ini. Kucapai bantal lalu menekup ke telinga. Aku bersembunyi di bawah bantal sambil menahan sendu sedan.

“Iman ssi... awak okey ke ni?” laung Yen lagi di sebalik pintu. Aku tetap tidak mahu mengendahkannya. Mematungkan diri.

“Awak marahkan saya ke? Mianhae (maaf), ” suara Yen terus berkumandang. Aku menulikan telinga dan membisukan diri. Tidak akan aku sahut bicara Yen itu. Akhirnya aku tertidur bersama penghujung tangisanku.

 

 

~ Never cry for the person who hurts you ... just smile and say thanks for giving me a chance to find someone better than you ~ Kupandang iPhone yang sudah beberapa kali berdering itu. Nama Yen tertera pada skrin. Kupandang sekilas. Kemudian kualih muka pada tulisan yang terpamer pada dinding kaca di depanku ini. Leka aku memerhatikan. Beberapa minit kemudian menyusul pula whatsApp yang masuk. Mesti whatsApp daripada Yen setelah beberapa panggilan tidak kujawab. Aku masih tidak mengendahkan. Anak mataku tetap terikat pada sebaris ayat pada dinding kaca premis yang bertentangan dengan RCC ini. Kata-kata indah yang begitu dalam maknanya. Aku menyukainya.

“Jangan pernah menangisi orang yang telah melukai awak. Senyum saja dan ucapkan terima kasih kerana memberi peluang kepada saya untuk mencari seseorang yang lebih baik daripada awak,” suara Encik Rizal begitu dekat denganku. Aku berpaling. Encik Rizal sudah berada di depanku sambil tersenyum.

“Saya nampak awak leka tengok tulisan kat dinding kaca tu,” tegur Encik Rizal buat aku rasa segan.

“Awak menyukainya?” soal Encik Rizal. Aku mengangguk. Terasa ada kaitan dengan diriku. Kupandang wajah Encik Rizal. Mungkinkah Encik Rizal ini gerangan seseorang yang lebih baik itu. Lantas akalku terus membuat perbandingan antara Encik Rizal dengan Yen. Hakikatnya memang kebaikan itu lebih banyak dimiliki Encik Rizal. Encik Rizal sama sekali tidak pernah melukai perasaanku. Bicara yang keluar dari mulutnya semua indah-indah. Tingkahlakunya penuh keprihatinan kepadaku. Bahkan dia sudah berterus-terang bahawa dia memang menyimpan perasaan terhadapku. Aku  turut diperkenalkan kepada ahli keluarganya tanpa dirancang dan di luar kemahuanku. Oh, mungkinkah Encik Rizal gerangan lelaki terbaik untukku?

“Apa hal Iman?” suara Encik Rizal yang bertanya menyentakkanku.

“Hey, takde...,” Aku sedikit menggelabah tatkala bertatapan dengan Encik Rizal. Segan pula merenung sedalam itu sedangkan otakku berfikir jauh.

“Jom ler kita gerak sekarang,” ajakku lalu bangkit dari duduk. Tidak mahu lebih lama ditenung sedemikian oleh Encik Rizal. Aku dan Encik Rizal beriringan melangkah meninggalkan RCC sambil berbual santai. Mujur juga Encik Rizal tidak meminta penjelasan lanjut terhadap tingkahlakuku sebentar tadi. Sesungguhnya tidak pernah aku merenung Encik Rizal dan mana-mana lelaki sedalam itu.

“Nak makan kat mana?” soalku memanjangkan bicara dengan Encik Rizal. Encik Rizal hanya melemparkan senyuman manis kepadaku. Lokasi tempat kami makan menjadi rahsia.

“Iman ssi!” Perbualanku dengan Encik Rizal terhenti. Serentak kami menoleh ke arah suara itu. Yen sedang melangkah mendekatiku.

“Sekejap ye Encik Rizal,” Aku meminta Encik Rizal menantiku di situ. Lantas kudekati Yen mempercepatkan pertemuanku dengannya. Dalam masa yang sama aku tidak mahu Encik Rizal menantiku lebih lama.

“Kenapa awak tak jawab call saya?” radang Yen langsung tidak mempedulikan pandangan Encik Rizal yang sedang memerhatikan kami.

“Saya sibuk...,” sahutku.

“Sibuk? Tapi awak masih sempat keluar dengan lelaki ni kan,” lirih suara Yen. Aku diam. Tidak menjangka akan kedatangan Yen ke sini.

“Apa hal awak cari saya?” soalku. Yen menatapku tajam.

“Mari ikut saya, ada hal penting saya nak cakap kat awak,” jelas Yen.

“Saya nak keluar makan dengan Encik Rizal,” jelasku menolak ajakan itu. Yen menatapku tajam.

“Kenapa awak nak makan dengan dia?” soal Yen menjanggalkanku.

“Sebab saya lapar,” sahutku lurus bendul.

“Awak makan dengan saya. Nanti saya belanja awak makan,” tingkah Yen berdegil.

“Mana boleh saya buat macam tu sebab saya dah janji dengan Encik Rizal. Saya pergi dulu,” balasku. Baru sahaja aku berpaling dan menapak selangkah, tangan Yen hinggap di tanganku. Langkahku terhenti.

“Saya juga lapar. Awak sepatutnya temankan saya makan,” ujar Yen meragam. Kurenung wajah Yen. Sikap kebudak-budakan Yen mendatang lagi. Geramnya...!

“Lepaskan tangan saya. Saya nak makan dengan Encik Rizal. Awak ajak ler Velviana makan bersama awak,” cadangku.

“Saya nak awak temankan saya makan,” ujar Yen berdegil.

“Suka hati awak ler tapi saya tak nak makan dengan awak. Saya nak makan dengan Encik Rizal. Muktamad!” tegasku tidak mahu beralah. Yen mengeluh.

“Lepaskan tangan saya,” arahku sambil menarik tanganku dari genggaman tangan Yen. Lantas aku mengorak langkah mendekati Encik Rizal meninggalkan Yen yang masih memandangku.

“Mari Encik Rizal,” ajakku meminta Encik Rizal mengekori langkahku. Aku dan Encik Rizal terus melangkah meninggalkan Yen yang masih terpacak di situ. Langsung tidak mahu mengendahkan kewujudan Yen di situ. Di dalam kereta ini aku hanya mendiamkan diri. Di manakah Yen sekarang? Adakah dia masih berada di situ? Kenapa Yen datang mencariku? Di kepalaku masih terlintas nama pemuda itu. Ada keresahan yang tidak mampu aku bendung.

“Senyap je...,” tegur Encik Rizal yang mula menyedari diamku.

“Kenapa sepupu awak tu datang cari awak?” soal Encik Rizal menyentakkan aku. Kupandang Encik Rizal. Apa yang harus aku jawab sedangkan aku sendiri tidak tahu tujuan kedatangan Yen. Persoalanku tadi tidak dijawab oleh Yen. Aku hanya menyedari Yen kurang senang melihat aku bersama Encik Rizal.  Sudah semestinya dia risau kalau kami terserempak dengan ahli keluarganya. Kemudian terbocorlah rahsia yang kami lindungi selama ini.

“Dia ada hal nak cakap dengan saya. Saya suruh dia call saya kemudian,” ujarku mengubah sedikit fakta cerita.

“Mungkin ada hal penting dia nak cakap. Kalau tak, takkan sampai ke sini cari awak,” ujar Encik Rizal membuat andaian sendiri dengan begitu yakin.  Hal penting? Rasanya tidaklah penting. Tidak pernah ada perkara penting yang disampaikan oleh Yen kepadaku.

“Kenapa awak tak ikut dia saja?” soal Encik Rizal menduga.

“Saya dah janji nak makan dengan Encik Rizal. Saya tak suka mungkir janji,” jawabku serius. Encik Rizal tersenyum.

“Awak boleh janji dengan saya?” pinta Encik Rizal tiba-tiba. Kutatap wajah Encik Rizal.

“Janji apa Encik Rizal?” soalku.

“Awak boleh janji akan hidup bersama saya?” soal Encik Rizal menyentakkanku. Aku terdiam panjang. Berat sungguh permintaan Encik Rizal ini.

“Biarlah takdir yang menentukan hidup kita Encik Rizal. Andai Encik Rizal jodoh saya pada masa akan datang, saya akan terima penuh reda. Tapi sekarang saya tak boleh menerima cinta Encik Rizal mahupun hidup bersama dengan Encik Rizal,” luahku tetap menyedari keterbatasan hubunganku dengan lelaki ini.

“Kenapa?” soal Encik Rizal curiga.

“Perjalanan hidup saya sekarang sangat sukar Encik Rizal sehingga saya tak tahu mana yang terbaik untuk diri sendiri,” luahku buntu.

“Biar saya yang permudahkan hidup awak tu,” pinta Encik Rizal serius. Kutatap wajah Encik Rizal. Sungguh aku terharu dengan kemurniaan hatinya ini.

“Terima kasih Encik Rizal,” hanya kalimah ini yang mampu tercetus di celah-celah bibirku. Betapa aku menghargai kesanggupan Encik Rizal ini. Ya Allah, mungkinkah lelaki ini yang Engkau utuskan untukku. Lantas menjadi teman penyeri hidupku. Aku tahu Encik Rizal mampu melindungiku.

“Saya akan pertimbangkan kehadiran Encik Rizal dalam hidup saya,” ujarku perlahan dengan hati yang telus ikhlas. Encik Rizal tersenyum lebar.

“Terima kasih Iman. Awak buat saya bahagia sangat,” ujar Encik Rizal dengan senyuman yang lebih lebar. Aku turut tersenyum. Apa salahnya kalau aku membahagiakan hati Encik Rizal insan yang banyak berbuat baik kepadaku. Aku melirik sekilas ke arah Encik Rizal. Sepanjang perjalanan ini aku nampak dia tersenyum sendiri. Wajahnya ceria.

Tidak sampai satu jam aku menghabiskan masa rehatku makan bersama Encik Rizal. Usai menikmati hidangan tengah hari, Encik Rizal menghantar aku ke perkarangan DLH. Aku meneruskan kerja-kerjaku yang dijadualkan mesti siap hari ini. Semua beres. Aku menyandarkan tubuh di kerusi empuk ini sambil membuat gerakan senaman ringan. Cuba memberi keselesaan diri sendiri. Kupandang iPhone yang terletak di atas meja. Ada simbol whatsApp dan panggilan yang tidak dijawab. Panggilan dan whatsApp daripada Yen. Kutenung seketika. Tanganku terus mencapainya. Semua panggilan daripada Yen.

~Awak kat mana sekarang? Awak masih marah saya ke? Kan saya dah minta maaf dengan awak~ WhatsApp pertama. Aku mengetap bibir.

~Kenapa awak tak jawab call tu?~ WhatsApp kedua.

  ~Jawab call saya ni!~ WhatsApp ketiga. Giliran WhatsApp keempat kupaparkan.

~Saya lapar sangat sekarang belum makan lagi. Awak pun tak sediakan sarapan untuk saya pagi ni. Sampai hati awak tinggalkan saya di sini ye...                  ~

                      

Aku mengeluh. Perangai Yen persis budak-budak. Kalau sudah tahu lapar pergilah makan. Kuabaikan WhatsApp Yen. Tidak berminat aku hendak memikirkannya. Yen sudah cukup dewasa tahu mengisi perut sendiri. Kucapai fail di atas meja lalu kuselak satu-persatu. Tanganku terhenti. Aku termangu sendirian. Bagaimana kalau Yen jatuh sakit gara-gara diserang gastrik kerana tidak makan? Kalau sesuatu musibah menimpa Yen pasti akan membabitkan aku. Aku menepuk-nepuk kepalaku. Huh...pening... pening kepalaku memikirkannya!

“Yang awak terkebil-kebil ni kenapa? Macam orang yang ada masalah je,” tegur satu suara. Aku melontar pandangan ke muka pintu. Encik Rustam tersengih panjang kepadaku.

“Awak dah terima lamaran Encik Rizal?” soal Encik Rustam mengejutkan aku. Aku tergamam panjang. Ada sesuatukah yang telah Encik Rizal dan Encik Rustam kongsi bersama di luar pengetahuanku? Encik Rustam tersenyum meleret. Mungkin dia sekadar ingin mengusikku.

“Kalau dia  lamar awak nanti, awak mesti terima lamaran tu,” ujar Encik Rustam masih mahu berbicara tentang lamaran itu.

“Jangan merepek ler,” tingkahku tidak mahu Encik Rustam terus mengusikku. Tidak selesa aku digandingkan dengan Encik Rizal dengan statusku sekarang. Dalam masa yang sama aku tidak mahu mengumpul dosa kerana menduakan suami. Walaupun Yen terang-terangan memberi keizinan kepadaku untuk mencari cinta itu. Semua itu belum cukup memberi kebebasan untukku bercinta dengan lelaki lain. Aku sudah memikirkan sedalamnya andai aku ingin jadi pasangan Encik Rizal biarlah aku berpisah dengan Yen dahulu. Aku tidak mahu dibebani dosa kerana jadi isteri pada lelaki lain dan bercinta dengan lelaki lain. Barangkali sudah sampai masa aku menamatkan sahaja ikatan yang terjalin antara aku dengan Yen.

 

iPhone di atas meja ini ditenung lama. Sejak dari tadi pandangan hanya terikat pada skrin iPhone itu. Ada panggilan dan WhatsApp yang sedang dinanti. Namun sehingga tika ini iPhone ini hanya menyepikan diri. Yen menyandarkan tubuh di kerusi empuk itu dengan keluhan panjang. Mendongak kepala menatap siling. Dia terpaku seketika. Fikirannya menerawang kembali pada kejadian tengah hari tadi. Hatinya sakit lagi tatkala mengingati diri diperlakukan sedemikian oleh gadis itu.

“Berlagak betul awak ye, Iman ssi,” getusnya sendirian. Daun pintu bilik itu ditolak. Jack melangkah masuk. Dia memandang sekilas ke arah Yen yang seakan tidak menyedari akan kedatangannya itu. Jack mencapai fail di kabinet. Dia berpaling lagi ke arah pemuda itu.

“Yang awak nampak bingung ni, kenapa?” soalnya. Bahu Yen terjengkit. Dia tersentak mendengar suara Jack yang menyapanya. Duduknya diatur kemas. Baru dia menyedari kewujudan Jack di bilik ini. Jack geleng kepala lantas melabuhkan duduk di kerusi di depannya ini. Tidak pernah – pernah dia menyaksikan tingkahlaku Yen yang termenung panjang sebegitu.

“Awak bergaduh dengan Vel ke?” soal Jack menyiasat. Yen geleng kepala. Velviana langsung tiada dalam fikirannya saat ini. Hanya yang ada perasaan marah terhadap gadis itu.

“Habis tu apa yang buat awak termenung panjang tadi?” soal Jack lagi.

“Saya marah pada seseorang,” luah Yen.

“Awak marah kat sapa ye?” soal Jack masih mahu bertanya.

“Seorang gadis,” luah Yen disambut oleh gelak Jack.

“Yang awak ketawa ... kenapa?” soal Yen kurang senang.

“Tak pernah-pernah saya tengok awak bingung macam ni kerana seorang gadis. Ni kekasih awak yang nombor berapa ye,” ujar Jack mengusiknya.

“Saya lagi bengang. Dia senang-senang tinggalkan saya terpacak macam tunggul tengok dia pergi dengan bos dia,” keluh Yen tidak puas hati. Kali ini gelak Jack kian kuat. Emosi Yen yang kurang baik tidak menghalangnya untuk menghemburkan tawa itu. Bicara pemuda itu telah mencuit hati.

“Mesti ler dia pilih bos dia. Yang awak apa yang ada? Harap muka handsome je tak cukup kawan,” usik Jack memerlinya lagi. Yen mengetap bibir. Bicara Jack terasa telah mencalar keegoannya.

“Saya pun ada duit. Awak jangan lupa saya ni pewaris tunggal DLH tau,” tingkah Yen tidak mahu mengalah. Jack tersenyum meleret. Bicara Yen tidak mahu disangkal.

“Agaknya gadis tu tak tahu yang awak ni pewaris DLH,” ujar Jack. Yen diam. Anak matanya terkebil-kebil persis sedangkan memikirkan sesuatu.

“Yeler macam mana dia nak tahu kalau awak tak mahu kerja kat situ,” tokok bicara Jack lagi.

“Dia tahu ler,” tingkah Yen.

“Dia tahu? Oh, tabik hormat ler pada gadis tu sebab dia tak materialistik seperti kebanyakan perempuan zaman sekarang. Rasanya dia tolak awak sebab dia tak nak awak madukan dia dengan Vel. Awak pun tahukan perangai Vel macam mana,” ujar Jack lagi. Senyap. Jack bangkit dari duduk.

“Awak betul ke suka dengan gadis tu? Kalau Vel dapat tahu cerita ni meletus Perang Dunia ketiga. Saya nasihatkan awak agar cepat-cepat nikah dengan Vel. Biar hati awak hanya untuk seorang perempuan saja,” nasihat Jack. Yen masih membisu. Keegoan tercalar tatkala Iman memilih untuk bersama lelaki itu. Selama ini situasi sedemikian tidak pernah menimpanya.

“Saya pergi dulu. Lain kali awak cerita kat saya siapa gadis yang tak nak kat awak tu,” ujar Jack disusuli dengan gelak lagi. Yen langsung tidak menghiraukan usikan Jack itu. Wajah Velviana dan Iman mendatangi silih berganti.  

Sometimes i think i love you but i’m not so sure,” bisik suara hatinya. Untuk siapa bicara ini ditujukan. Tidak pasti sama ada Velviana atau Iman yang harus mendengar ungkapan luahan hati kecilnya ini. Yen sendiri tidak mengerti akan dirinya. Fikirannya buntu.

No comments:

Post a Comment