Wednesday, 6 October 2021

Awaklah SonataKu....Bab 28

 

Dia menggeliat di katil itu. Malas mahu bangkit. Dia masih berbaring di situ seketika. Pandangannya tenang menatap siling. Tiba-tiba kedengaran bunyi keroncong perutnya. Lapar. Laju dia bangkit meninggalkan katil lantas melangkah ke dapur. Tangannya pantas membuka periuk belanga yang masih terletak di atas dapur gas. Tatkala dia terpandang ayam kari itu, Yen tersenyum lebar. Laju tangannya menghidupkan api  memanaskan. Dia mencenduk nasi ke dalam pinggan. Menunggu masa untuk makan. 

Dia begitu berselera menikmati ayam kari itu. Sepinggan sudah habis. Baru sahaja dia hendak bangkit berhajat menambah lagi, dia kembali duduk. 

“Berdosa dah awak sebab makan terlalu kenyang,” suara gadis itu menghalangnya untuk makan sekenyang-kenyangnya.

Lantas dipadamkan niat sebentar tadi. Pinggan sudu yang digunakan diletakkan di singki dan dibiarkan begitu sahaja. Dia melangkah meninggalkan ruangan dapur. Langkahnya terhenti. Yen berpaling ke arah singki itu. Dia berfikir seminit. Kemudian berpatah balik ke singki lalu mencuci pinggan dan sudu itu. Dipandang permukaan meja, kabinet dan sekeliling dapur itu. Pantas tangannya mencapai tuala kecil itu lalu mengelap cebisan kotoran yang nampak di mata. Setelah dia berpuas hati dengan keadaan dapur itu, barulah dia beredar dari situ. Dia menjatuhkan tubuh ke sofa panjang itu. Di pandang sekeliling ruang tamu itu. Lama dia terpaku. Begitu sunyi. Bosan. Bagai dia baru menyedari wajah siang sedikit demi sedikit berganjak pergi. Sekarang wajah malam sudah datang mengganti. Yen bangkit dari sofa lalu memetik semua suis lampu membuatkan banglo itu bergemerlapan dengan cahaya lampu. Persis ada majlis keramaian bakal diadakan.

Yen melangkah meninggalkan ruang tamu dan membiarkan sahaja lampu-lampu itu terpasang. Langkahnya terhenti di anak tangga terakhir. Tangannya terus menekan suis lampu yang ada di situ menambah pencahayaan yang sememangnya sudah melebihi dari keperluan. Tatkala langkahnya berada di muka pintu biliknya, dia berpaling ke arah bilik itu. Terpaku di situ seketika. Dia tersentak tatkala iPhone yang tersimpan di dalam saku jeans bergetar. Dicapainya. Nama Velviana tertera pada skrin.

“Awak masih marahkan saya, honey? I’m sorry. Really sorry,” pujuk suara manja itu. Senyap. Yen belum memberikan tindak balas atas permohonan maaf itu.

“Awak kat mana sekarang?” soal Yen mula bersuara.

“Saya kat rumah  je. Tak ke mana-mana pun,” balas Velviana lembut.

“Kejap lagi saya datang jemput awak,” ujar Yen.

Really?” Velviana tersenyum girang. Harinya teruja ingin bertemu kekasih hatinya.

“Ya,” Balas Yen pendek dan tidak bersemangat.

“Ok. Bye... honey,” suara Velviana kedengaran semakin manja. Klik. Panggilan diputuskan. Yen melangkah ke bilik lalu menyiapkan diri untuk keluar bersama Velviana sebentar lagi. Dia tidak mampu bersendirian tika ini. Dia perlu keluar demi melenyapkan perasaan bosan itu dari terus-terusan membelenggunya.

 

Hari ini genap sebulan aku bergelar mahasiswi. Minggu orientasi sudah berlalu. Sekarang aku mula fokus pada kuliah dan kelas toturial. Aku merenung iPhone. Laju jemariku menekan menu panggilan. Terkuak senarai nama yang kusimpan di situ. Jariku terhenti pada nama ‘Jang Geun Suk’. Sudah sebulan aku tidak berhubung dengan Yen. Selama tempoh itu juga Yen langsung tidak pernah menghubungiku mahupun menghantar WhatsApp kepadaku. Yen terus  menjauhkan diri dariku. Bukan setakat itu sahaja, malah menghilangkan dirinya. 

“Awak tunggu call seseorang ke, Iman?” Aku tersentak mendengar teguran itu lalu berpaling ke arah suara itu. Azni sedang tersenyum menatapku. Dialah teman sebilikku di asrama ini. Orangnya cantik dan lemah-lembut. Sayangnya sudah diikat dengan ikatan pertunangan bersama pemuda pilihan sendiri. Peluang untuk  jejaka kampus ini memiliki hatinya sudah tertutup rapat. Azni seorang yang setia pada cintanya.  

“Takdelah...,”nafiku. Azni tertawa kecil.

“Cara awak tengok iPhone tu macam tembus ke sebelah,” tambah Azni buat aku tersenyum. Aku meletakkan iPhone itu di atas meja belajarku. Cuba berjauhan dariku.

“Esok habis kuliah saya nak balik ke rumah. Awak tak nak balik ke?” soal Azni. Aku geleng kepala. Aku tiada rumah hendak dituju. Mungkin kehadiranku di banglo mewah itu tidak diperlukan lagi. Yen pun pasti hidup selesa sekarang tanpa kehadiranku di situ. Mungkin aku boleh menumpang di rumah Linda.

“Jomlah ikut saya balik,” ajak Azni sebaik sahaja aku masih mendiamkan diri. Aku geleng kepala sekali lagi. Azni mengetahui sedikit kisah hidupku. Aku ada memaklumkan kepadanya bahawa aku anak yatim piatu dan dibesarkan oleh keluarga Pak Long. Kemudian aku menyara hidupku sendiri sebaik sahaja tamat tingkatan 6. Azni nampak begitu simpati dengan takdir hidupku.  

“Saya nak berehat-rehat kat sini saja. Nanti boleh saya pergi ke library. Kalau saya bosan nanti saya ajaklah Wendy jalan-jalan di bandar,” ujarku membuat perancangan sendiri. Azni mengangguk.

“Betul ye awak tak nak ikut saya?” soal Azni meminta kepastian. Aku mengangguk. Kalau Suzan tidak bekerja, aku boleh ajak dia tengok wayang. Sudah lama juga aku dan Suzan tidak menonton tayangan filem Korea bersama-sama. Azni sudah berbaring di atas tilam. Begitu juga aku. Jam sudah mencecah ke pukul 11.00 malam. Lantas lampu dipadamkan. Hidup sebagai mahasiswi jarang benar dapat tidur awal. Di luar sana masih ramai mahasiswa dan mahasiswi giat dengan agenda sendiri.

“Boleh saya tanya awak sesuatu?” sayup-sayup kedengaran suara Azni. Tampak dia begitu berhati-hati.

“Tanyalah,” arahku sudah bersedia mendengar soalan yang akan keluar dari mulut Azni. Senyap seketika.

“Awak jangan marah kalau saya tanya soalan ni ye,” pinta Azni gusar. Aku tergelak. Tercuit dengan bicara Azni. Agaknya sikap lemah lembut yang dimilikinya menyebabkan dia terlalu khuatir jika bicaranya bakal melukai perasaan orang lain. Azni... Azni bertuah lelaki yang memiliki hatinya.

“Tak. Cakaplah,” arahku. Azni berdehem-dehem.

“Awak ada orang istimewa?” soal Azni. Diam seketika.

“Takde tapi suami Korea ada,” balasku bersahaja. Azni tergelak.

“Awak ni main-main pula. Saya tanya seriuslah Iman,” rungut Azni.

“Saya ni tak layak ke kahwin dengan lelaki Korea, Az?” soalku semula.

“Layaklah. Tapi susah nak jumpa lelaki Korea kat Malaysia ni,” balas Azni memaklumkan hakikat sebenar. Aku tersenyum.

“Nampaknya bertuahlah aku ni ye,” tuturku lagi. Bertuah sebab berpeluang menjadi isteri pemuda Korea. Malangnya perkahwinanku dengan pemuda Korea itu bukan atas dasar cinta. Aku tidak boleh berbangga. Aku menguap beberapa kali.

“Tidurlah.... Semoga awak bermimpi dilamar oleh pemuda Korea. Kemudian melangsungkan perkahwinan dan hidup bahagia sehingga ke anak cucu,” doa Azni mengusikku.

“Bahagia sehingga ke liang lahadlah,” sahutku membetulkan. Azni tergelak lagi. Doa sebegini yang sepatutnya kita panjatkan kepada Allah.

“Tidurlah cepat supaya pemuda Korea tu cepat datang,” arah Azni.

“Tak payah. Saya memang dah ada suami orang Korea pun. Cuma belum ada anak cucu lagi,” balasku berseloroh. Sekali lagi Azni tergelak. Beberapa minit kemudian tiada kedengaran lagi suara Azni mengajakku berbual. Pasti dia sudah lena dibuai mimpi indah bersama tunangan tersayang. Aku pula masih terkebil-kebil dalam kesamaran cahaya lampu neon yang masuk melalui celah-celah tingkap kaca ini. Bayangan Encik Rizal dan Yen silih berganti mendatangiku.

“Awak patut berpisah dengan Yen sekarang. Kemudian bercinta dengan Encik Rizal. Saya yakin awak akan bahagia bersama Encik Rizal,” suara Linda memberi cadangan bermain di telingaku.

Perlukah aku mencuba cadangan Linda itu? Sudah tiba waktukah untuk aku memaklumkan kepada Yen bahawa aku telah menemui cintaku? Lantaran itu aku berpisah dengan Yen. Kemudian Yen menjadi suami kepada Velviana dan mereka hidup bahagia selamanya. Puan Sodiah, Datuk Kamarudin dan Pak Long sekeluarga, bagaimana penerimaan mereka jika perkara ini benar-benar terjadi? Tegakah aku melukai perasaan insan-insan yang aku sayangi itu? Sukar aku hendak menjawab persoalan ini dan buat masa ini aku tidak ingin memikirkannya. Sungguh!

Sayup-sayup kedengaran bunyi pinggan-mangkuk berlaga di telinganya. Yen membuka mata. Dia masih terbaring di tilam, namun deria pendengarannya masih menangkap bunyi yang datang dari dapur itu. Bingkas dia bangkit tatkala mengingati hari ini merupakan hari Sabtu. Bermakna hari cuti bagi kebanyakan orang termasuklah hari rehat untuk pelajar-pelajar. Laju langkah ldiatur ke dapur.

“Ima...,” tidak sempat nama itu meniti di bibirnya. Senyuman yang terukir di bibir terus  padam. Terujanya lenyap begitu sahaja.

“Encik Yen, nak sarapan sekarang ke?” soal Mak Siti pembantu rumahnya yang baru sahaja memulakan hari pertama bekerja di banglo itu. Sebelum ini memang dia yang menguruskan dan menyelia rumah banglo itu. Namun sejak pemuda itu bernikah, tugas-tugas itu diambilalih oleh isteri pemuda itu. Semalam dia mendapat arahan daripada Puan Sodiah agar dia kembali ke banglo ini.  Sempat juga Puan Sodiah memaklumkan kepergian sementara menantu keluarga itu.

“Takpelah, Mak Siti. Nanti saya sarapan,” tutur Yen tidak bersemangat lalu beredar dari situ. Mak Siti geleng kepala.

“Nampaknya Encik Yen rindukan isterinya. Kasihan Encik Yen,” keluhnya sendiri sambil menyambung kembali tugas di dapur itu.

Usai sarapan, Yen bergerak ke ruang tamu. Hari ini langsung tiada perancangan mahu keluar. Dia ingin menghabiskan masa di banglo itu. Dia mahu menanti kemunculan gadis itu. Mungkinkah Iman akan balik hari ini? Dia bersoal-jawab sendiri.

“Encik Yen tak keluar ke hari ni?” soal Mak Siti mesra. Yen senyum dan geleng kepala.

“Kejap lagi Mak Siti nak ke pasar beli barang dapur dengan Pak Mahat. Kalau Encik Yen ada apa-apa nak kirim, nanti Mak Siti tolong belikan,” ujar perempuan itu lagi. Dia dan Pak Mahat ialah pasangan suami isteri yang sama-sama berkhidmat kepada keluarga Puan Sodiah sejak sekian lama. Yen geleng kepala.

“Kalau macam tu takpelah,” tutur Mak Siti lalu berpaling berhajat hendak melangkah ke dapur semula.

“Mak Siti...,” panggilnya membuatkan langkah perempuan itu terhenti. Dia berpaling menatap pemuda itu.

“Ye.. Encik Yen,” Seketika Yen mengambil masa untuk bersuara.

“Mak Siti rasakan...(terhenti)... Iman balik tak hari ni?” soalnya. Mak Siti tersenyum. Sedikit pelik dia mendengar persoalan itu.

“Mak Siti tak pasti pula. Encik Yen call Puan Iman tanyakan perkara ni,” ujarnya memberikan cadangan. Yen diam. Dia garu-garu kepala.

“Kalau Mak Siti jadi Encik Yen, Mak Siti akan buat kejutan kepada Puan Iman. Biar Puan Iman teruja,” ujar Mak Siti tersenyum.

“Kejutan?” Yen menatap wajah Mak Siti. Nampak dia seakan berminat mendengar penjelasan lanjut bicara perempuan itu.

“Encik Yen jenguklah Puan Iman kat asrama tu. Mesti Puan Iman  teruja dengan kedatangan Encik Yen tu nanti,” jelas Mak Siti.

“Betul ke Mak Siti, Iman akan teruja tengok saya datang menjenguk dia?” soal Yen tidak yakin.

“Belum cuba macam mana kita nak tahu,” balas Mak Siti. Senyap. Nampak Yen berfikir lagi.

“Mak Siti selalu pesan pada anak-anak Mak Siti supaya mencontohi sikap berani ayah mereka. Mak Siti ingatkan mereka, kalau dah suka kat seseorang tu, kenalah tunjuk suka tu. Kalau ada keberanian lebih baik berterus-terang. Yelah risau melepas nanti,” ujar Mak Siti penuh makna tersirat.

“Betul tak Encik Yen?” soalnya tatkala melihat Yen diam.

“Aaa...” Dia tersentak membuatkan Mak Siti tersenyum lagi.

“Betul ke Pak Mahat bersemuka dengan Mak Siti meluahkan perasaan?” soal Yen berminat. Timbul kekaguman kepada lelaki itu. Mak Siti mengangguk sambil tersenyum. Kenangan itu terlalu indah.

“Dengan keberanian itu Mak Siti tak jadi dijodohkan dengan orang lain. Cuba dia pendamkan saja perasaan dia tu tanpa meluahkan pada Mak Siti, pasti Mak Siti dah jadi milik orang lain,” cerita Mak Siti. Yen mengangguk.

“Kisah Encik Yen dan Puan Iman lainkan. Jadi suami isteri atas kehendak keluarga. Sebenarnya, Encik Yen dan Puan Iman, memang pasangan yang sempurna. Mak Siti tengok Puan Iman tu baik orangnya. Ikhlas dan pandai pula buat kerja-kerja rumah. Susah nak cari perempuan macam tu zaman sekarang ni, Encik Yen,” puji Mak Siti ikhlas yang juga turut mengenali gadis itu. Suaminya, Pak Mahat pun sering memuji-muji sikap yang dimiliki oleh gadis itu. Bahkan sempat berangan-angan hendak memiliki menantu persis Puan Iman. Sebetulnya, Puan Sodiah sesekali ada juga bercerita perihal pasangan suami isteri ini. Bahkan Puan Sodiah meluahkan kerisauan terhadap pemuda ini. Risau mereka tersilap langkah dalam membuat keputusan. Jadi dia tidak hairan kalau Encik Yen masih ada segan terhadap isterinya itu kerana pernikahan mereka atas kehendak keluarga.

“Encik Yen, ada apa-apa nak cakap dengan Mak Siti lagi?” suara perempuan itu mengejutkannya. Laju dia geleng kepala. Mak Siti terus berlalu dengan sisa-sisa senyuman yang masih terukir di bibir. Sesungguhnya dia mengharapkan Yen dan Iman menjadi pasangan suami isteri yang bahagia. Mak Siti juga berharap agar bicaranya tadi meninggalkan kesan kepada anak muda itu. Yen masih termenung di ruang tamu. Dia sedang mempertimbangkan bicara Mak Siti tadi.

“Betul ke Iman ssi akan teruja tengok muka ni. Jangan-jangan dia dah balik ke rumah kawan dia ataupun Encik Rizal sudah ajak dia bersiar-siar, tengok wayang...,” jemarinya bermain-main di wajah nan putih bersih itu. Yen geleng-geleng kepala.

“Kalau pergi ke sana..., dia takde sia-sia je,” bicaranya lagi. Dia garu-garu kepala. Dipandang iPhone itu. Yen membuat pertimbangan sama ada mahu menghubungi gadis itu atau sebaliknya. Keegoan diri menghalang dia bertindak sedemikian. Dia menyandarkan tubuh ke sofa. Bosan berfikir lama-lama. Malu kalau Mak Siti sedang memerhatikan gelagatnya itu, Yen terus melangkah ke bilik. Dia melepaskan tubuh ke tilam. Berbaring seketika di situ. Cuba menenangkan diri. Dalam dia terkebil-kebil masih memikirkan tentang perkara yang perlu dilakukan, dia terpandang kotak merah hati beriben putih itu. Bingkas dia bangkit dari perbaringan. Tangannya terus  mencapai iPhone itu lantas membina frasa kata yang ingin dihantar kepada gadis itu.

~ Iman ssi, awak tak boleh pergi ke mana-mana hari ni. Sekejap lagi nenek datang ke sana JJJJ ~

 Terus ibu jarinya menekan punat menandakan mesej telah dihantar kepada gadis itu. Yen tersenyum simpul seorang diri. Suka sangat dia dengan idea yang baru sahaja muncul itu. Usai dia menukar pakaian, pantas tangannya mencapai kotak merah hati beriben putih yang terletak di atas meja lalu melangkah keluar dari bilik itu. Mercedez Benz hitam metalik itu terus meluncur laju menuju ke  destinasi.

   “Iman, ada pemuda handsome kaya datang nak jumpa awak,” suara Wendy jelas berkumandang. Pandanganku pada skrin iPhone beralih ke muka pintu. Wendy tersenyum meleret. Laju aku meletakkan ibu jari ke bibir meminta agar dia mengawal suara. Beberapa orang pelajar yang berada di bilik belajar aras dua blok ini turut memandang Wendy. Barangkali terganggu dengan suara Wendy tadi. Lantas  Wendy menjunjung sembah memohon kemaafan dengan senyuman yang masih terukir di bibir. Aku terus mengemas buku rujukan, nota serta alat tulis lalu bangun dan menarik Wendy menjauhi bilik belajar ini. Perancangan awal hari ini, aku mahu mengulang kaji kuliah yang lalu sebelum bermula diskusi kumpulan yang dijanjikan berlangsung pada pukul 11.00 pagi nanti. Kira-kira tinggal 30 minit sahaja lagi.

“Ada tak perempuan bersama pemuda tu?” soalku. Menurut mesej daripada Yen yang belum sempat aku balas itu, Puan Sodiah akan datang ke sini. Aku cukup pasti pemuda yang dimaksudkan oleh Wendy itu ialah Yen. Wendy geleng kepala.

“Awak yakin?” soalku musykil.

“Awak pergilah tengok sendiri mana tahu ada dalam kereta tu yang saya tak nampak,” balas Wendy mencebik tatkala aku meragui pandangan matanya.   

“Siapa pemuda tu, Iman? Boyfriend awak ke? Handsome betul. Dia pelakon ke?” soal Wendy bertali arus. Aku menulikan telinga pura-pura tidak mendengar. Malas mahu menjawab deretan pertanyaan amoi cantik ini.

“Kalau kawan-kawan yang lain dah sampai nanti, beritahu mereka saya ada hal kejap,” ujarku lalu berpisah dengan Wendy kerana dia ingin terus menonton televisyen di bilik tayangan itu. Wendy mengangguk sambil melambaikan tangan kepadaku. Tatkala aku memijakkan kaki ke laman parkir di depan blok ini, aku terpandang Yen yang sedang tersandar di kereta menanti kemunculanku.

“Kenapa awak lambat sangat nak muncul? Awak bersolek lagi ke tadi?” suara Yen melenting menyapaku. Satu jelingan tajam kulemparkan kepada Yen. Buat apa aku hendak berlawa-lawa kalau sekadar bertemu dengannya. Lagipun bukan dia tidak pernah tengok wajah semula jadiku. Rasanya Yen tidak akan mati terkejut melihat wajahku tanpa solekan. Tiba-tiba sahaja Yen mendepakan tangan seluasnya menyambut kedatanganku. Aku menatapnya dengan seribu kehairanan. Lantas aku mematikan langkah. Kira-kira tiga langkah jarakku daripada Yen.

“Kenapa awak berdiri jauh sangat?” soal Yen.

“Awak tu nak buat apa?” soalku semula. Sangsi melihat perlakuan pelik Yen. Kalau tidak silap pemerhatianku lagaknya persis menanti tubuh yang ingin didakapnya.

“Saya nak peluk awak. Kan kalau lama dah tak jumpa lebih elok saling berpelukan,” sahutnya selamba sekali gus mensahihkan penilaianku sebentar tadi. Terbeliak anak mataku menatap Yen yang sedang tersengih-sengih macam kerang busuk itu. Buang tabiat agaknya pemuda Korea ini.

“Apa...! Awak ingat saya ni Velviana nak awak peluk-peluk...!” marahku.

“Apa salahnya awakkan isteri saya,” balas Yen masih tersengih.

“Awak ni buang tabiat agaknya,” marahku lagi.

“Takpelah kalau awak tak nak. Awak ni memang tak pandai ambik peluang. Kat luar ni ramai lagi gadis yang teringin nak merasa kehangatan pelukan saya tau,” ujar Yen angkuh begitu menjengkelkan aku. Dia ingat aku kemaruk sangat dengan sentuhannya itu.

“Perangai tak senonoh betul,” ujarku menyinga. Yen garu-garu kepala dan tersenyum. Tidak patut dia hendak samakan aku dengan gadis-gadis yang tergila-gilakan dirinya itu.

“Awak nampak comellah marah begitu,” Subahanallah! Apa yang telah terjadi kepada pemuda Korea ini? Semakin menjadi-jadi pula perangai peliknya. Jangan-jangan semenjak ketiadaanku dia telah menjadikan banglo mewahnya itu sebagai tempat persinggahan gadis-gadis yang fanatik kepada dirinya. Tengok perangai miangnya ini. Yen sudah mendekatiku lalu menyentuh tocang rambutku. Pantas kutepis.

“Ganasnya awak langsung bukan macam perempuan,” kutuknya. Tidak kupedulikan kutukan itu. Paling penting dia tidak boleh sewenang mengambil kesempatan ke atasku.

“Mana Puan Sodiah? Awak kata  tadi dia nak datang ke sini,” ujarku mengungkit. Yen tersengih.

“Nenek tak jadi datang sebab tiba-tiba je ada hal penting,” sahut Yen nampak meragukan.

“Jangan-jangan awak sengaja nak jual nama Puan Sodiahkan. Sebelum ni pun awak pernah lakukannya,” balasku curiga lantas mengungkit perkara lalu. Yen tersengih panjang. Langsung tiada penafian yang keluar dari mulutnya. Memang sahihlah sangkaanku itu.

“Kenapa awak tak balas mesej saya tadi?” soal Yen merungut.

“Tak sempat nak balas. Awak sampai cepat sangat,” luahku jujur. Tika aku membaca mesej itu tiba-tiba Wendy muncul memaklumkan tentang kedatangannya ini. iPhone berada dalam keadaan senyap sebab aku berada di bilik belajar. Maka lambat menyedari kedatangan mesej itu.

“Jom temankan saya,” ajak Yen.

“Nak ke mana?” soalku.

“Saya nak makan seafood. Teringin sangat nak makan sekarang macam orang tengah mengidam. Keinginan ni memang tak boleh dikawal-kawal lagi,” tuturnya siap sekali dengan kata perbandingan. Memang Yen cuba memperlihatkan betapa dia teringin sangat hendak makan makanan laut tika ini.

“Saya tak boleh keluar. Kejap lagi saya ada discussion dengan kawan-kawan. Awak ajaklah Velviana atau kawan-kawan awak pergi,” ujarku menolak ajakan Yen. Yen geleng kepala.

 “Mereka semua sibuk dengan hal masing-masing. Awak temankanlah saya,” rayu Yen bagai anak kecil.

“Saya ada perbincangan kumpulan kejap lagi,” ujarku mengulangi.

Please... Awak minta excuse dengan kawan-kawan awak tu. Atau pun tunda ke hari esok. Kan esok hari Ahad masih cuti lagi,” ujar Yen pandai-pandai memberi cadangan. Aku mencebik bosan dengan kedegilan Yen.

“Okey kalau awak tak mahu temankan saya takpe. Tapi kalau dalam perjalanan balik nanti saya terlibat dalam kemalangan kemudian mati sebab kempunan nak makan seafood awak tanggung ye, Iman ssi. Lepas tu saya janji saya akan jadi hantu mengganggu hidup awak selama-lamanya,” ujar Yen mengancamku.

“Jang Geun Suk, merepeklah awak ni!” marahku. Sekejam-kejam aku tidak sampai hati aku hendak melihat Yen mati dalam keadaan tragik begitu itu. Aku masih memiliki belas kasihan sesama insan.

“Kalau awak tak nak saya mati begitu, awak mesti temankan saya pergi hari ni juga,” ujar Yen seakan memaksaku menuruti kemahuannya. Aku diam dan berfikir seketika. Cuba membuat pertimbangan wajar. Dalam hati gerun aku mengingati bicara Yen itu. Bukan setakat aku tidak rela Yen terlibat dalam kemalangan itu, malah aku tidak sanggup hidup aku diganggu kalau betul Yen jadi hantu. Nauzubillahminzalik...! Selisih 44 malaikat. Jauh-jauhkan semua ini berlaku.

“Jomlah...,” Yen sudah menarik tanganku mengajak aku masuk ke dalam kereta.

“Takkan saya nak pergi dengan pakaian begini,” ujarku cuba menyedarkannya. Yen menatapku. Sekarang aku hanya memakai t-shirt pink yang dipadankan dengan seluar trak hitam lengkap berselipar jepun. Lebih cantik sedikit daripada selipar ke tandas kerana selipar yang aku pakai ini berbunga-bunga pink. Sedondon dengan t-shirt yang aku pakai ini. Rambutku yang bertocang dua diikat dengan gelang getah pengikat sayur berwarna merah. Tanpa sebarang bedak di wajahku. Betul- betul nampak persis gadis klasik.

“Kan awak nampak comel macam ni,” puji Yen. Tidak tahu sejauh mana keikhlasan bicaranya ini. Aku mengeluh. Tidak percaya akan kata-kata Yen. Dia sengaja berbicara manis sebab dia sudah kemaruk sangat hendak makan makanan laut.

“Awak bagi saya masa tukar pakaian,” pintaku. Yen geleng kepala.

“Awak ingat saya percayakan awak. Jangan-jangan lepas ni awak tak muncul-muncul lagi. Terus saja bertapa kat bilik awak tu. Kemudian whatsApp saya minta maaf tak boleh pergi,” ujar Yen berfikiran jauh. Yen sangsi padaku.

“Sumpah saya akan datang balik selepas saya tukar baju,” janjiku sambil mengangkat tangan berikrar. Cuba meraih kepercayaan Yen.

“Tak perlu. Awak pergi saja dengan pakaian awak sekarang. Saya dah tak boleh tunggu walaupun hanya sesaat. Dah terbayang di mata saya ketam, sotong, udang, lobster. Air liur pun dah nak meleleh ni,” ujar Yen gian sangat hendak makan makanan laut. Yen tersengih. Akhirnya aku mengalah juga.

“Teruklah awak ni,” kutukku. Yen tersengih.

“Kalau awak dapat malu kerana saya, jangan salahkan saya tau,” ujarku memperingatkan Yen sekali gus mengancam dirinya. Aku sudah duduk di sebelah Yen dalam kereta Mercedez Benz yang sedang bergerak ini. Yen tersenyum meleret. Senyuman kemenangan. Senang hati kerana berjaya mengajak gadis itu pergi bersamanya.

Kereta Mercedez Benz yang Yen pandu berhenti tepat-tepat di depan sebuah restoran di pinggir pantai. Tatkala aku melangkah keluar, aku ternganga di depan restoran ini. Ini bukan restoran biasa-biasa. Aku sudah dapat mengagak tatkala melihat deretan kereta mewah yang berada di laman parkir. Begitu juga dengan restoran yang tampak begitu gah menyambut pengunjung-pengunjung elit yang ingin menjamu selera di sini.

“Jom...,” ajak Yen. Aku masih terpaku di depan restoran mewah ini. Kalau ikutkan hati aku ingin berlari masuk ke dalam kereta semula menyembunyikan diri. Yen yang sudah berada beberapa langkah di depanku, berpaling semula.

“Kenapa?” soal Yen kehairanan.

“Saya tak jadi nak temankan awak makan seafood dengan pakaian saya macam ni. Risau saya kita akan dihalau keluar,” luahku bimbang. Dengan penampilanku sekarang memang tidak memenuhi etika pakaian yang ditetapkan oleh restoran mewah ini. Setahu aku tempat makan elit seperti ini pasti ada peraturan dan undang-undang berpakaian yang harus pelanggan patuhi.

“Tak payahlah risau kan saya ada. Saya member kat sini. Takde sesiapa yang akan berani halau awak,” ujar Yen meyakinkan aku. Aku tiada pilihan lain. Sekali lagi aku mengalah dan memberi kemenangan kepada Yen. Dengan langkah berat aku mengekori langkah Yen. Tiba di muka pintu, pemuda yang bertugas sebagai penyambut tetamu itu menyambut kedatangan kami dengan senyuman. Kemudian pandangannya beralih ke wajahku. Kekok. Aku tersengih memanjang menutup perasaan malu dan segan diperhatikan sedemikian rupa. Melepasi pintu, lebih banyak lagi pandangan terarah kepadaku. Lelaki dan perempuan berpakaian seragam putih itu berbisik-bisik sambil melirik ke arahku. Pasti sedang mempertikaikan penampilanku tika ini. Tatkala mereka beradu pandangan dengan Yen, senyuman indah dihadiahkan buat pemuda Korea ini. Terasa tidak adil diberi layanan yang tidak saksama.

Pandangan mata yang berterusan mengekoriku membuatkan aku hilang keyakinan diri. Yang ada hanya perasaan malu yang menebal. Dalam hati sempat juga aku menyumpah-nyumpah Yen kerana memaksa aku datang ke sini. Sungguh berbatu-batu jauhnya kurasa kerusi dan meja ini. Yen menarik kerusi mempersilakan aku duduk. Berlagak romantik pula pemuda Korea ini denganku. Laju aku melabuhkan duduk ke situ. Tidak kuat lagi kakiku hendak berdiri. Kutatap Yen dengan pandangan tajam.

“Semua ni salah awak. Semua orang tengok saya semcam je” marahku.

“Mereka tengok awak sebab awak nampak comel,” sahut Yen cuba berlawak bodoh. Kian panas hatiku melihat sikapnya yang bersahaja.

“Salah awak sebab paksa saya datang ke sini,” marahku lagi.

“Salah saya pula. Tadi awak warning saya agar tak menyalahkan awak. Tengok sekarang tak sudah-sudah awak salahkan saya,” balas Yen.

“Memang salah awak pun. Awak yang tak benarkan saya tukar pakaian tadi. Sekarang semua orang tengok saya macam saya ni alien dari planet marikh,” marahku memanjang. Yen tergelak. Kemarahanku langsung tidak dipedulikan. Bertambah sakit hatiku melihat sikap bersahajanya. Barangkali dia sengaja mahu menjatuhkan maruahku di khalayak ramai ini. Yen bukan baik sangat pun. Aku mendengus kasar. Membara-bara api kemarahanku. Aku malu semalunya tetapi dia masih mampu bersahaja. Memang Yen awal-awal sudah berniat buruk kepadaku.

“Awak ajak saya datang ke sini sebab awak sengaja nak buat saya malu dan nak jatuhkan maruah sayakan,” ujarku serius. Yen menatapku.

“Sampai hati awak tuduh saya sampai macam tu sekali. Saya benar-benar ikhlas nak ajak awak makan kat sini. Saya ingatkan awak tak kisah dengan penampilan awak sekarang sepertimana penerimaan saya sekarang. Saya tak tahu pula awak betul-betul serius sampai macam ni sekali,” ujar Yen bersungguh-sungguh. Reaksi wajahnya juga jelas tergambar kekesalan. Aku terdiam.

“Orang seperti awak memang takde perasaan,” luah hati kecilku. Namun tidak sempat aku meluahkannya. Tidak sampai hati pula hendak berkata kejam pada Yen.

“Saya minta maaf kalau awak dah terasa begitu,” ujar Yen lagi. Senyap. Seorang pekerja lelaki muncul di depan kami. Aku biarkan sahaja Yen membuat pesanan kerana dia yang teringin sangat hendak makan di sini.

“Saya nak tanya sesuatu kat awak,” ujar Yen kepada lelaki itu mengejutkan aku. Persoalan apakah yang ingin Yen utarakan kepada lelaki ini.

“Ya... Encik Yen,” sahut lelaki itu hormat. Aku musykil melihat mulut lelaki ini menyebut nama pemuda Korea ini dengan tepat. Dia mengetahui nama pemuda Korea ini? Tiada pengenalan diri Yen yang tertera.

“Awak mesti jawab dengan ikhlas dan jujur,” pinta Yen.

“Saya janji Encik Yen,” ujar lelaki itu seraya mengangkat tangan berikrar. Aku hanya jadi pemerhati gelagat Yen dengan lelaki berseragam putih ini.

“Cuba awak tengok gadis di depan saya ni, apa pendapat awak tentang dia?” soal Yen meminta pendapat lelaki itu. Pandangan lelaki itu beralih padaku. Direnung aku buat seketika menyebabkan aku tidak keruan.

“Comel... sesedap mata memandang. Kecantikan semula jadi,” puji lelaki itu tanpa teragak-agak. Nampak dia yakin dengan bicaranya.

“Kan saya dah kata tadi awak comel. Awak saja yang tak yakin dengan diri sendiri,” ujar Yen padaku. Lelaki itu tersenyum dan mengangguk-angguk.

“Awak...,” Besar biji mataku menatap Yen.

“Isteri saya ni rendah diri. Dah banyak kali saya cakap yang dia ni comel dan boleh memikat hati sesiapa saja tapi dia tak pernah percaya. Terima kasih pada pandangan awak tu,” ujar Yen tersenyum simpul. Aku terkedu. Bukan kata pujian Yen yang membuatkan aku kehilangan kata-kata, tetapi pengakuan Yen yang mengatakan aku sebagai isterinya yang mengejutkan aku. Lelaki itu beredar.

  “Awak dah puas hati sekarang?” soal Yen menyentakkanku. Aku diam. Kematian akal mahu meneruskan bicara. Tiba-tiba aku teringat akan perbincangan yang telah kami janjikan pada pukul 11.00 pagi tadi. Sekarang sudah menjangkau lebih 12.00 tengah hari. Laju tanganku mengeluarkan iPhone. Terbeliak mataku tatkala melihat mesej dan panggilan yang tidak dijawab tertera pada skrin iPhone. Panggilan daripada Wendy sejam yang lalu. Pantas jariku beralih pada kotak mesej. Aku menarik nafas lega sebaik sahaja membaca mesej yang dihantar oleh Wendy. Perbincangan ditangguhkan keesokan gara-gara tiga orang tidak dapat menghadirkan diri. Tiga orang itu termasuklah aku sendiri. Aku batalkan niatku mahu menghubungi Wendy sebaik sahaja mendapat penjelasan melalui mesej yang dihantar itu.

  Belum sempat aku menyambung bicara dengan Yen, datang dua orang pekerja lelaki bersama troli membawa hidangan yang dipesan oleh Yen tadi. Aku tergamam melihat pelbagai masakan makanan laut yang sudah berada di depan kami tika ini.

“Silakan makan Encik Yen, Puan Iman,” jemput lelaki tadi sambil tersenyum mempersilakan aku dan Yen menikmati makanan yang sudah terhidang. Sekali lagi aku terkejut. Kali ini lelaki itu tahu pula namaku. Dia beredar meninggalkan aku dan Yen.

“Makan...,” arah Yen dan terus menikmati tanpa membuang masa lagi. Yen memang menikmati sepenuh hati. Bicaranya tadi memang berasas. Yen menimbunkan sotong, kerang, udang dan ketam ke dalam pinggan. Lobster yang mahal nilainya itu belum terusik lagi.

“Kenapa awak tak makan lobster tu?” soalku.

“Saya order untuk awak,” balasnya. Aku geleng kepala.

“Awak makanlah,” arahku. Yen menatapku.

“Kenapa awak tak nak makan? Awak merajuk lagi ke?” soal Yen.

“Bukan merajuk tapi marahkan awak,” ujarku memperbetulkan bicaranya itu. Penggunaan perkataan merajuk itu kurang sesuai. Aku bukan kekasih Yen mahu merajuk dengan perbuatannya. Yen tersenyum.

“Lepas ni awak balik ke rumah dengan saya ye,” ujar Yen pandai-pandai membuat keputusan sendiri. Membutang mataku menatapnya.

“Awak hantar saya balik ke asrama semula,” tegasku. Kali ini aku tidak akan mengalah dengan kehendak hati Yen lagi. Aku tetap dengan keputusanku mahu kembali ke asrama. Esok aku ada perbincangan kumpulan. Perkara itu mustahak.

“Kenapa awak tak nak balik ke rumah sedangkan esok cuti lagi?” soal Yen tidak berpuas hati dengan keputusanku.

“Esok saya ada discussion,” balasku.

“Bila awak nak balik ke rumah? Dah sebulan awak tak balik tau,” komen Yen. Aku diam. Tidak sangka pula kunjunganku ke banglo itu masih dialu-alukan.

“Esok-esok bila dah tak busy baliklah saya nanti,” balasku tidak pasti.

“Jawapan yang tak pasti. Minggu depan saya datang jemput awak,” ujar Yen membuat keputusan untukku.

“Tunggu saya WhatsApp awak. Risau kalau saya ada discussion. Nanti sia-sia pula awak datang,” ujarku memperingatkannya. Yen geleng kepala tanda tidak bersetuju dengan bicaraku.

“Saya tak peduli. Saya akan tunggu sampai awak habis discussion tu,” tingkah Yen nekad.

“Kalau discussion habis lewat malam, awak masih juga nak tunggu saya?” soalku menguji. Yen mengangguk.

“Kalau saya tak nak balik, macam mana?” soalku lagi.

“Saya akan angkat awak masuk ke dalam kereta. Bukan saya tak pernah buat awak macam tu,” ujar Yen bersahaja sekali gus menimbulkan gerun. Sudah terbayang di mataku Yen sedang memaut tubuhku sambil diperhatikan oleh warga kampus. Eee... malunya aku! Tidak akan aku biarkan Yen memperlakukan aku sedemikian. Kutatap Yen. Dia sedang tersenyum-senyum penuh makna menatapku.

“Awak ni kan saya tengok semakin menjadi-jadi,” rungutku. Yen tergelak sendiri. Suka benar dia dituduh sedemikian.

“Memang normal lelaki berperangai macam ni,” macam tahu-tahu sahaja dia makna bicara tersiratku. Aku menjeling Yen. Malas mahu melayan dia lebih-lebih. Semakin dilayan semakin menjadi. Silap hari bulan diterkam aku yang berada di depannya ini. Pemuda Korea ini sungguh menggerunkan aku. Aku mula memberi tumpuan yang lebih pada makanan di depanku. Tangan Yen yang memegang pisau mula mencungkil isi-isi dari tubuh lobster itu. Lalu diletakkan di dalam pingganku dan di pinggannya bergilir-gilir. Yen sudah mengunyah-ngunyah isi lobster dengan penuh perasaan.

“Sedap. Rasa manis je. Memang seafood kat sini segar sangat,” pujinya. Aku memasukkan isi lobster ke dalam mulut. Mengunyah perlahan sambil cuba menghayati keenakannya. Memang sedap. Kesegarannya begitu terserlah. Kenyal dan manis. Apatah lagi dimasak dengan secukup rasa oleh cef yang memang pakar dalam bidang masakan.

“Pemilik restoran ni mesti bertuahkan sebab dapat makan makanan laut yang segar pada bila-bila masa sepuas-puasnya,” ujarku.

“Alah, kalau awak nak makan seafood, setiap hari nak datang ke sini pun boleh!” sahut Yen bersahaja. Aku mencebik bosan. Angkuh dengan wangnya yang bertimbun itu. Aku tahulah dia berkemampuan hendak makan di restoran mewah ini sepanjang masa. Esok-esok kalau Allah tarik balik kekayaannya itu baru padan muka. Pada masa itu baru dia sedar sikap takbur dan riak itu dilaknat Allah. Bila sudah berlaku musibah menyesal pun tiada guna.

Hampir sejam berada di restoran mewah yang menyajikan hidangan laut yang segar dan enak, tambahan pula pemandangan yang cukup indah dan udara yang segar, aku dan Yen berangkat pergi. Memang pengunjung dapat menikmati hidangan laut di sini dalam penuh keselesaan. Biarpun harga makanan mahal, namun menjanjikan kepuasan yang maksimum.

“Kenapa awak tak bayar makanan yang kita makan tadi?” soalku meluahkan kemusykilanku kepada Yen. Aku hairan melihat Yen selamba melangkah ke muka pintu tanpa perlu singgah ke kaunter pembayaran. Malah tiada seorang pun pekerja yang mengejar kami tadi. Bahkan layanan istimewa pula yang kami terima. Apa tidaknya siap sekali lelaki yang bertugas di muka pintu itu menguak daun pintu kaca itu lantas menundukkan kepala memberi hormat kepadaku dan Yen. Semua menimbulkan persoalanku.

“Duit saya tak cukup. Kebetulan pula kad kredit saya dah luput tarikh. Terlupa nak renew. Jadi saya hutang je dulu,” jawab Yen selamba. Biar betul pemuda Korea ini. Jangan-jangan dia hendak mempermainkan aku.

“Yelah tu,” balasku tidak percaya.

“Saya cakap betullah. Awak tak percaya saya ke?” Yen menatapku. Aku mendengus. Perut sudah kenyang. Mengantuk menjelma.

“Saya nak tidur kejap. Nanti awak kejutkan saya kalau dah sampai asrama,” pesanku lalu memejamkan mata.

“Betul ke awak tak nak balik ke rumah ni?” soal Yen meminta kepastian. Aku mengangguk dengan mata yang masih terpejam. Pura-pura tidur, namun tidak sangka aku betul-betul tertidur. Yen mengejutkan aku seperti yang aku minta. Kehadiran Mercdez Benz hitam metalik di perkarangan asrama mengundang pandangan warga kampus yang lalu-lalang. Selepas mengucapkan terima kasih kepada Yen, segera aku keluar agar tidak lebih ramai yang memandang dan menyedari aku bersama Yen bagi yang mengenaliku. Cermin tingkap kereta diturunkan. Yen memandangku.

“Jangan lupa, minggu depan saya datang jemput awak,” ujar Yen mengingatkan aku. Aku mengeluh.

“Tengoklah nanti. Saya tak janji saya boleh balik,” ujarku memperingatkannya.

“Saya akan datang petang Jumaat tu,” tegasnya berdegil.

“Tapi...,” Cermin tingkap kereta ditutup. Yen terus memandu kereta Mercedez Benz itu meninggalkan perkarangan asrama. Langsung dia tidak mahu memberi peluang aku berbicara lagi. Aku mengorak langkah ke bilik. Sesekali mengeluh mengenangkan sikap Yen sebentar tadi.  Aku tahu Yen akan mengotakan kata-katanya itu. Aku tiada pilihan lain dan sebagai langkah selamat, aku mesti memastikan tiada sebarang aktiviti yang melibatkan aku menjelang petang Jumaat ini. Muktamad. Sudah terbayang senyuman kemenangan Yen di ruang mataku. Perlahan-lahan keluhanku tercetus lagi.

 

No comments:

Post a Comment