Usai solat zohur, aku berbaring di katil. Hajat hati ingin menyambung kembali tidur yang hanya sekerat jalan tadi. Tinggal sendirian begini memang melelapkan mata pilihan terbaik. Kebetulan perut masih kenyang. Jadi aku mahu menjadi ular sawa tidur selepas kenyang. Baru sahaja aku hendak memejamkan mata, bertalu-talu daun pintu diketuk disusuli dengan suara yang memanggil-manggil namaku. Kuamati suara itu. Suara yang tidak asing lagi di telingaku. Siapa lagi kalau bukan Wendy Si Amoi bermata sepet itu. Entah apa pula hajatnya kali ini. Barangkali ingin melempiaskan kemarahan padaku gara-gara aku menghilangkan diri tadi. Dengan langkah malas, aku melangkah ke pintu. Kupusing tembol pintu. Tepat jangkaanku. Wendy sedang terpacak di muka pintu.
“Masuklah,” ajakku lalu berpatah ballik ke katil.
“Kekasih awak datang nak memujuk,” ujar Wendy masih berada di ambang pintu.
“Kekasih mana pula ni?” soalku bingung. Aku mengantuk. Jadi otakku lambat berfikir.
“Hoi, Cik Iman, berapa banyak kekasih yang awak ada ye!” Wendy tergelak-gelak. Aku tidak mempedulikan persoalan Wendy. Sebaliknya menyampaikan hajatku mahu berbaring di tilam ini. Lantas kurebahkan tubuh ke tilam persis sebatang pokok yang sedang tumbang.
“Hey, cepatlah! Pemuda kaya handsome tu tengah tunggu awak kat bawah tu!” ujar Wendy mengarahkan aku bangun meninggalkan tilam. Amoi ini memang pantang melihat aku bersenang- lenang. Perangainya persis Roslinda Si Ayamor. Fikiranku terus melayang kepada Yen. Mungkinkah Yen yang dimaksudkan oleh Wendy? Belum pun sampai sejam Yen pergi, tidakkan kembali ke sini lagi. Tadi pemuda Korea itu kemaruk hendak makan makanan laut. Mungkin sekarang kemaruk dengan aku pula? Tidak patut! Mungkin Yen datang ke sini semula sebab tidak senang hati dengan tindakan tidak sopan meninggalkan aku tadi. Mesti Yen hendak memohon maaf kepadaku. Aku tersenyum senang hati. Akhirnya sedar juga dia akan sikapnya yang tidak wajar itu.
“Yang awak senyum-senyum sendiri tu, kenapa? Cepat Cik Iman hoi! Lama betul dah Si Handsome tu tunggu awak,” gesa Wendy bimbang.
“Ye saya datanglah ni,” sahutku melangkah malas meninggalkan katil. Wendy menarik tanganku membawa pergi.
“Yang awak ni nak ke mana?” soalku.
“Saya nak ikut awaklah. Saya nak tengok lelaki handosem tu lebih dekat lagi. Mana tahu rezeki saya dapat berkenalan dengan dia,” ujar Wendy tersengih.
“Tak payah. Awak terus saja menonton tv,” arahku. Wendy tergelak. Tangannya laju singgah di pipiku lalu mencuit membuatkan aku terngadah.
“Ni mesti kes cemburu,” kutuknya. Laju aku mengangguk mengiyakannya. Pura-pura aku mengakui lantaran tidak mahu memanjangkan masa. Niatku aku mahu menyelamatkan Wendy daripada Velviana. Aku tidak mahu Wendy merasa keganasan Velviana persis yang pernah aku terima. Aku membelok ke arah anak tangga, manakala Wendy meneruskan langkah ke bilik tayang. Dari jauh aku sudah nampak Yen.
“Apa hal awak datang ke sini lagi?” soalku kurang senang.
“Saja nak tengok awak,” balasnya bersahaja.
“Jangan merepeklah,” rungutku tidak senang.
“Saya ada sesuatu nak beri kat awak. Terlupa pula nak beri tadi. Tunggu kejap,” pinta Yen. Dia membongkokkan tubuh ke bahagian penumpang di belakang. Aku hanya memerhatikan gelagat pemuda Korea ini. Bermurah hati betul Yen hari ini. Sudahlah belanja aku makan makanan laut yang mahal. Kemudian ada barang pula yang hendak diberikan kepadaku. Memang langkah kanan aku hari ini. Aku menatap kotak merah hati beriben putih di tangan Yen. Nampak menarik kotak itu.
“Sebenarnya sebelum awak datang ke sini saya nak beri hadiah ni, tapi ada saja halangannya,” luah Yen sambil menghulurkan kotak itu kepadaku.
“Gomawoyo (terima kasih). Apa benda ni?” soalku teruja.
“Awak tengoklah nanti. Jangan lupa juga tengok file photo kalau awak rindu saya,” ujar Yen tersengih.
“Eleh, buang masa je saya nak rindu kat awak!” balasku memperlinya.
“Saya nak balik dulu. Jangan lupa petang Jumaat ni saya jemput awak,” ujar Yen memperingatkanku sebelum kelibatnya hilang di sebalik kereta mewah itu. Aku memerhatikan Mercedez Benz itu berlalu bersama tuannya. Sempat juga aku membalas lambaian tangan Yen. Kutatap kotak merah hati ini. Aku tersenyum sendiri. Citarasa Yen tidak perlu dipertikaikan. Dia memang pandai membuat pilihan. Tiba di bilik, aku bersila di katil bersedia membuka kotak pemberian Yen ini. Memang aku ingin mengetahui kandungan kotak ini.
“Wah...!” Aku terpaku. Tidak sangka Yen akan menghadiahkan aku barang yang berharga ini. Sungguh aku terharu. Memang aku perlukan peralatan IT sebegini. Namun masalah kewangan yang aku hadapi membataskan kemahuanku. Perkiraanku semester kedua nanti barulah aku bercadang mahu membeli laptop. Cuti semester itu aku sudah bercadang mahu bekerja. Sebaliknya Yen lebih mendahuluiku dengan menghadiahkan aku Apple iPad Pro 12.9 yang mempunyai peminat tersendiri di pasaran. Mulai detik ini tidak perlulah aku pergi ke CC lagi untuk mendapatkan bahan-bahan rujukan tugasan. Apple iPad Pro 12.9 ini aku angkat keluar dari kotak penuh berwaspada. Girang sangat hatiku saat ini. Seketika kupeluk erat iPad silver ini. Pertama kali aku perlu cas bateri. Aku berbaring di tilam. Kucapai iPhone lalu membina frasa terbaik untuk Yen.
~ Gomawoyo. I really appreciate. Nanti saya belajar dengan awak cara-cara nak gunakannya ye. Gammsahamnida ...JJJJ ~
Terus kuhantar mesej ini kepada Yen. Aku tersenyum suka. Tidak sabar pula aku hendak menanti kedatangan hari Jumaat ini. Sudah membuak-buak mahu mendapatkan bimbangan Yen dalam mengeksplorasi fungsi-fungsi Apple iPad Pro 12.9 ini. Sahih sekarang aku tidak akan menolak kedatangan Yen hendak menjemputku. Bagai pucuk dicita ulam mendatang. Barang yang kuimpikan untuk memilikinya sekarang benar-benar sudah menjadi milikku. Terima kasih Jang Geun Suk. Aku memang tahu dalam diri Yen ada kebaikan. Dalam aku melayan keriangan hati sambil tersenyum memanjang, kedengaran bunyi mesej masuk. Laju jariku membuka mesej Yen yang baru sahaja aku terima ini.
~ Boleh tapi dengan syarat awak mesti masak sedap-sedap untuk saya di sepanjang hayat saya...JJJJ ~ Memang pemuda ini bijak menggunakan peluang keemasan yang terbentang luas untuknya. Dalam dia beramal masih juga mahu mengaut keuntungan.
Mengada betul pemuda Korea ini. Dia ingat aku akan berada di sampingnya selagi jasad ini bernyawa. Yen tidak pernah terfikirkah hendak hidup bersama Velviana? Tidakkan selamanya dia membiarkan sahaja hubungan mereka itu tergantung. Bahkan tidak selamanya juga aku akan hidup begini. Aku juga berkeinginan memiliki sebuah keluarga yang bahagia. Kejamlah Yen kalau mahu terus mengikatku dan membiarkan Velviana terus menunggunya.
~ Boleh tapi hujung minggu ni je. Untuk selama hayat awak tak boleh coz saya hendak berkhidmat dengan ‘suami’ saya ...JJJJ ~
~ Hoi, awak dah lupa ke yang saya ni suami awak! ~
~ Suami olok-olok… he…he...he...JJJJ ~
~ Kalau awak fikir macam tu lagi saya akan ambil balik hadiah tu… LLL! ~
~ Buruk siku... KKKKK..!”
Senyap. Sudah tiada mesej Yen yang kuterima. Aku meletakkan iPhone di atas meja di sisi katil. Berbaring kemas-kemas di katil sambil merenung jauh hamparan siling yang memutih. Instrumental Sha -La -La -Humming untuk beberapa saat kedengaran. Lantas kucapai iPhone kembali. Mesej Yen menyusul lagi.
~ Dangsin-eun nal joh-ahaji issseubnida (awak boleh suka saya) ~ Kubaca berulangkali frasa Korea yang dikuterima ini. Malangnya aku langsung tidak mengetahui maksud di sebalik frasa tersebut. Barangkali dia sedang mengutukku.
~ Saya tak faham mesej yang awak send tu. Awak boleh jelaskan maksudnya kepada saya JJJJJJ…~ Mesej balasan kuhantar.
~ Awakkan fanatik apa saja tentang Korea. Takkan awak langsung tak tahu maksudnya. CARI SENDIRI !!!!! LLLLLLL ……~ balas Yen mengutukku.
~ Kedekut sangat!!!!! KKKKKKKK ~ balasku turut memerlinya.
Aku meletakkan kembali iPhone di tempat asal. Beberapa minit berlalu tiada kedengaran lagi nada dering mesej yang kuterima. Kupandang iPhone. Kelihatan skrin gelap sahaja. Akhirnya aku dan Yen sudah tidak berbalas mesej lagi. Lantas kucapai majalah hiburan yang mengandungi cerita-cerita sensasi artis Korea. Kuluangkan masa bersantai melapangkan fikiran sambil-sambil menanti bateri iPad yang sedang aku cas penuh.
~ Saya dah sampai ni. Cepat turun ~ Yen sudah sampai di depan blok asrama. Kucapai beg pakaian dan beg galas lalu mengunci bilik. Azni tengah hari tadi sudah dijemput oleh tunangnya. Aku membesarkan langkah tidak mahu Yen menungguku lama. Tiba di depan perkarangan asrama, kelihatan Mercedez Benz milik Yen sedang berada di parkir menanti kedatanganku. Aku terus masuk dan duduk di kerusi penumpang hadapan di sebelah Yen. Segera aku memasang seat-belt. Kereta bergerak meninggalkan perkarangan asrama.
“Lapar. Saya tak makan lagi. Awak dah makan?” soalku. Yen memandangku sekilas. Bicaraku tidak disahut. Mesti dia sedang mengutuk aku sekarang. Seketika senyap. Kukeluarkan iPhone dari beg galas. Aku mengisi masaku bersama iPhone yang tidak secanggih manapun.
“Awak nak ke mana ni?” soalku hairan sebaik sahaja melihat kereta yang Yen pandu membelok ke kanan, bukan arah yang selalu digunakan untuk sampai ke Taman Pujangga Hill.
“Tadikan awak kata awak lapar. Kita makan dulu,” sahut Yen buat aku tersenyum lebar.
“Nak makan kat mana?” soalku teruja.
“Awak nak makan masakan Korea?” soalnya.
“Nak... nak...,”sahutku laju. Peluang makan di restoran masakan Korea tidak akan aku lepaskan begitu sahaja. Bukan selalu dapat peluang sebegini.
“Saya suka makan kat restoran ni. Makanan sedap dan persekitaran yang selesa,” cerita Yen.
“Apa nama restoran tu?” soalku ingin tahu.
“Restoran Sakura,”
“Itu bukan restoran makanan Jepun ke?”
“Alah, Korea pun ada pokok sakuralah! Kalau awak nak tahu perkampungan arwah mama saya pun ada pokok sakura,” cerita Yen.
“Wah, bestnya!” Sudah terbayang di mataku bunga sakura yang berguguran. Suasana yang cukup indah dan romantik membuai perasaanku seketika. Aku terbaring di bawah hamparan sakura sambil berbantalkan lengan. Kelopak sakura berguguran ke wajahku. Aku mematungkan diri dan membiarkan wajahku disinggahi kelopak-kelopak sakura yang berguguran dek disapa bayu senja. Wangian bunga sakura menenangkan jiwaku.
“Iman ssi...!” suara Yen begitu dekat denganku. Perlahan-lahan aku mengangkat kelopak mataku. Yen tidak berada di depanku. Aku berpaling. Tergamam dan terkedu panjang. Jarak muka Yen dengan wajahku hanya seinci. Aku bingkas bangkit namun laju tangan Yen menghalangnya. Tubuhku kembali terbaring di sebelah Yen. Deruan nafas Yen begitu dekat dengan wajahku. Aku nampak Yen mendekatkan wajahnya ke arahku sambil memejamkan mata. Dekat... dekat... kian mendekati wajahku.
“Jangan...!” jeritku sekuat hati sebelum kucupan Yen singgah di pipiku. Aku sudah bersilat-silat menolak tubuh Yen. Kugenggam kuat pipi Yen lalu mencakar-cakar penuh amarah. Kemudian kutarik-tarik rambut Yen.
“Iman ssi, awak buat apa ni?” suara Yen lantang menusuk telingaku.
“Aahhh...,” Aku terkebil-kebil menatap Yen yang sedang merenungku tajam. Alamak! Kain alas dashboard yang berbulu-bulu ini tercabut dan berselerakan. Aku memandang Yen dengan perasaan yang bersalah.
“Ampun...ampun... Saya tak sengaja,” tuturku menggelabah. Bulu-bulu ini sudah melekat pada pakaianku.
“Maaf...,” rayuku sekali lagi sambil menatap wajah Yen yang masam mencuka. Yen menolak daun pintu kereta. Aku masih terpaku di tempat duduk. Terbeban sangat dengan tindakanku sebentar tadi.
“Awak tak nak turun ke?” soal Yen sambil menjengukkan kepala ke dalam kereta. Aku terkejut sekali lagi. Sudah sampai ke destinasi yang dituju. Bergegas aku bangkit dari duduk. Aku berdiri di sebelah Yen sambil mengibas-ngibas cuba membuang bulu dari kain alas dashboard yang melekat di pakaianku. Yen mengeluh dan geleng kepala.
“Apa yang ada dalam fikiran awak sekarang?” soal Yen sinis. Aku diam. Khayalan sebentar tadi berputar kembali di ingatanku. Beberapa kali aku menampar lembut pipiku sambil geleng-geleng kepala. Tidak patut! Tidak patut! Aku tidak mahu memikirkan perkara yang bukan-bukan.
“Hah, apa dia?” soal Yen lagi. Laju aku geleng kepala.
“Takde apa-apa,” balasku. Aku tidak rela menjatuhkan maruahku sendiri. Kalau dia mengetahui cereka dalam fikiranku sebentar tadi, bermakna memberi peluang kepada Yen berfikiran jahat. Pasti Yen akan habis-habisan menggutukku.
“Awak bersihkan apa yang awak selerakkan dalam kereta ni,” arah Yen. Laju aku mengangguk. Langsung tiada bantahan. Aku tahu semua ini salahku. Yen sudah mengatur langkah bergerak ke muka pintu restoran. Lantas aku membesarkan langkahku mengejarnya.
“Sakula sigdang e osin geos-eul hwan-yeonghabnida (Selamat datang ke Restoran Sakura),” sapa seorang gadis Korea yang menyambut kedatanganku dengan Yen sambil menundukkan kepala. Cantik gadis yang berpakaian hanbok ini. Rambut disanggul kemas. Yen tersenyum sambil mengangguk sama. Laju aku meniru lagak Yen.
“Joh-eun jeonyeog eul hwan-yeonghabnida (Selamat malam dan selamat datang),” muncul seorang pelayan lelaki juga berpakaian tradisional Korea dengan senyuman ramah. Kami saling bertukar senyuman dengan lelaki ini. Lelaki ini melambaikan tangan kepada sahabatnya. Mereka berbicara sesuatu yang tidak aku fahami. Lantas pemuda ini mendapatkan aku dan Yen.
“ Eoseo osipsio. Myeotppunisijiyo? (Selamat datang. Berapa orang)?”
“Du myeong-ieyo (Dua orang),” sahut Yen.
“Geumyeonseogeul wonhasimnikka? (Adakah tuan mahu tempat duduk yang dilarang merokok)?”
“Ne (ya mahu),”Yen mengangguk.
“Naneunjwaseog sonnim gwa agassi jijeoghaessda. Nawa hamkke hasigi balabnida (Saya tunjukkan tempat duduk tuan dan puan. Sila ikut saya),” ujar pemuda ini. Yen mengangguk. Aku langsung tidak faham perbualan Yen bersama pemuda ini. Lantas aku hanya menjadi pendengar dan mengikut gerak langkah Yen.
“Ijjogeuro anjeusipsiyo (Silakan duduk di sini), ” ujarnya mempersilakan sambil menarik kerusi untukku dengan Yen.
“Gamsahamnida (terima kasih),” ujarku turut sama berbahasa Korea. Dia mengangguk dan tersenyum. Mujur juga dia tidak terus berbicara denganku. Kalau tidak percuma sahaja Yen akan mengutukku jikalau aku perlukan dirinya menjadi penterjemahku.
“Menyu yeogi isseumnida (Ini menunya),” Aku menyambut senarai menu yang disajikan di Restoran Sakura ini. Begitu juga dengan Yen. Kupandang Yen. Lantas kuberi isyarat mengarahkannya agar membuat pesanan. Bermakna aku makan apa sahaja yang Yen pesan.
“Mwogamasitjjyo? (Apa yang enak)?” soal Yen.
“Bulgogiwa galbiga masisseumnida. Oeguk bundeureun bibimbaptto joahaseyo (Masakan Bulgogi dan Galbi, cukup enak dan orang luar suka makan Bibimbap),” cadang pemuda ini.
“Geureom, bibimbabeul juseyo (Kalau begitu, saya pesan Bibimbap),” sahut Yen dan memesan beberapa jenis menu lain. Aku biarkan Yen dengan pemuda itu berbicara.
“Neomu maepjji anke hae juseyo (Tetapi jangan pedas),” tambah Yen. Pemuda itu mengangguk.
“Awak ada apa-apa nak pesan lagi?” soal Yen. Pemuda itu memandangku. Aku geleng kepala. Kalau aku hendak pilih menu yang disenaraikan ini aku bukan tahu pun. Jadi langkah selamat, aku terima sahaja menu yang Yen pesan.
“Geurigo pokeu jom juseyo (Minta garpu),” bicara Yen lagi.
“Algyesseumnida (Ya),” Pemuda ini mengangguk. Bagai Yen sedang membuat satu permintaan.
“Husikeun mueoseuro hasigyesseumnikka? Keopiwa nokchaga isseumnida (Apa yang tuan sukai untuk pencuci mulut)? Ada kopi dan teh hijau,” pemuda itu bersuara lagi.
“Nokcharojuseyo (Minta teh hijau),” sahut Yen”
“Mueos - dangsin i dasi pil-yohabnida? (Ada apa-apa lagi yang tuan perlukan)?” soal pemuda ini lagi.
“Anio /( tidak),” Yen geleng kepala.
“God ulineungunju wa yeoja leul wihaeyolileul jegong habnida. Nudeu neun yeogie iss-eul geos-eulo yesangdoenda. Gamsahabnida (Sekejap lagi kami akan hidangkan makanan untuk tuan dan puan. Diharap kalian seronok berada di sini. Terima kasih),” ujar pemuda ini sambil menundukkan kepala memberi hormat. Yen mengangguk dan tersenyum. Pemuda itu berlalu meninggalkan aku dan Yen. Kupandang Yen dengan senyuman.
“Wae (kenapa)?” soal Yen kurang senang melihat senyumanku itu.
“Awak fasih betul berbahasa Korea ye. Nanti boleh ajar saya. Saya nak ambil kelas bahasa Korea nak cukupkan jam kredit saya semester depan,” ujarku memaklumkan perancangan awalku kepada Yen.
“Tak nak. Awak usaha sendiri,” balas Yen tidak mahu menolongku. Kedekut ilmu betul.
“Tak elok kalau orang kedekut ilmu ni,” ujarku mengingatkannya.
“Kalau saya ajar awak nanti susahlah saya nak kutuk awak kalau awak dah faham,” jelas Yen berniat kurang baik. Aku mencebik bibir. Sekarang ini memang menjadi kelebihannya untuk mengatakan apa sahaja kepadaku sebab aku tidak memahami bahasa Korea.
“Saya tak faham mesej yang awak hantar semalam? Apa maksud mesej tu?” soalku tatkala teringat pada mesej Yen itu. Yen tersenyum sendiri. Timbul prasangka buruk. Mesti mesej dia itu mengutukku.
“Awak kutuk saya kan,” serkap jarangku.
“Awak carilah sendiri maksud mesej tu,” arah Yen tidak mahu berterus-terang sambil masih tersenyum-senyum. Suka dia berjaya mempermainkan aku. Aku mencebik bibir. Geram dengan tindakan Yen yang mahu merahsiakan perkara ini.
“Takpe nanti saya cari sendiri apa yang awak tulis dalam mesej tu. Saya akan belajar bahasa Korea dengan tekun supaya awak tak boleh buli saya lagi,” ujarku bersungguh-sungguh sambil menunjukkan wajah serius membuatkan Yen tersenyum lagi.
“Iman ssi, ttae hwaga neomu seungmuwondeul-i myeonglanghan boinda (Awak nampak comel bila awak marah begitu), ” Sebuah jelingan kulemparkan pada Yen. Sungguh aku tidak mengerti bicaranya itu. Namun aku tahu Yen cuba mengusikku. Barangkali juga sedang memerliku. Nanti aku cari orang yang lebih pakar untuk menterjemahkan bicara Yen. Jangan ingat aku akan cepat berputus asa dan menyerah kalah begitu sahaja. Pemuda tadi bersama seorang rakan sekerjanya datang menghidang makanan dan minuman yang dipesan oleh Yen tadi.
“Masitge deusey (Selamat menikmati),” ujar pemuda itu lalu menundukkan kepala dan beredar meninggalkan aku dan Yen. Memandangkan aku sudah lapar, maka tanpa ingin bertanya tentang menu tersebut aku terus sahaja menikmatinya. Barangkali Yen juga sedang kelaparan sebab itu dia tidak memperkenalkan masakan Korea yang sudah terhidang di depan kami. Aku menikmati hidangan ini dengan berselera. Seronok dapat merasa masakan negara lain. Namun bagi Yen perkara ini sudah lazim buatnya. Satu kelebihan bagi anak yang lahir dari penyatuan bangsa dan budaya yang berbeza.
Aku dan Yen tersandar kekenyangan di kerusi. Lantas aku membisikkan kesyukuran atas rezeki yang Allah berikan. Yen pula masih berusaha menghabiskan teh hijau di dalam gelas itu.
“Macam mana rasanya?” soalku ingin tahu memandangkan tidak pernah minum teh hijau.
“Sedap. Nak cuba ke?” soalnya semula. Laju aku geleng kepala.
“Kenapa? Awak tak nak berkongsi minuman dengan saya ke? Pasangan suami isteri yang lain selamba je mereka kongsi air,” tutur Yen. Kutulikan telinga. Malas mahu bertikam lidah dengan Yen.
“Awak dah siap makan ke? Kalau tak marilah kita balik. Saya banyak kerja nak buat lagi ni,” tuturku mengenangkan sampai sahaja di rumah nanti aku perlu membersihkan kereta Yen. Namun sedikit lega kerana tidak perlu memasak lagi memandangkan aku dan Yen sudah makan di luar. Mungkin aku hanya perlu buat hidangan ringan sebagai mengalas perut kalau tiba-tiba sahaja lapar malam nanti. Tanpa berbicara, Yen bingkas bangun dan mula mengatur langkah ke muka pintu. Aku buru-buru mengejar langkahnya.
“Yeogiseohoseuteuwayeoja leul meogneun dangsin-ui uiji jusyeoseo gamsahabnida. Ulineun dangsingwa haengbog (Terima kasih atas kesudian tuan dan puan menjamu selera di sini. Kami gembira bersama kalian),” ujar gadis yang bertugas di muka pintu ini berbahasa Korea sambil tersenyum.
“Dasi hanbeon gamsadeulibnida. Anaewa jeoneun jegonghan mas-issneun yoliwa ttatteushan seobiseuwa ma-eum-eul manjog (Terima kasih kembali. Saya dan isteri saya berpuas hati dengan hidangan yang sedap dan layanan mesra yang diberikan),” balas Yen yang langsung tidak kufahami butiran bicaranya selain ucapan terima kasih.
“Gamsahabnida. Jebal dasi hanbeon. Gobyeol hago dangsin-ege anjeonhan yeohaeng eul giwonhabnida (Terima kasih. Sila datang lagi. Selamat jalan dan semoga perjalanan kalian selamat),” ujar gadis itu lagi yang masih tidak lekang dengan senyuman mesra.
“Gamsahabnida. Dasi mannal su (Terima kasih. Jumpa lagi),” balas Yen dalam bahasa Korea juga.
“Ye (Ya),” Nampak sangat Yen mesra dengan para pekerja Restoran Sakura ini. Memang betul Restoran Sakura ini restoran kegemaran Yen yang sering dikunjunginya. Barangkali Yen dan Velviana sering berkunjung ke sini.
Sesampai di banglo Yen, aku bergegas keluar dari kereta meninggalkan Yen. Kuletakkan beg galas dan beg pakaian di sofa. Aku tidak terus ke bilik tidur di tingkat atas. Sebaliknya melangkah ke bilik stor mengambil vacum. Segera mahu melangsaikan kerja yang aku janjikan dengan Yen tadi.
“Awak nak buat apa dengan vacum tu?” soal Yen hairan.
“Awak dah kunci kereta?” soalku tanpa mempedulikan pertanyaan itu. Yen mengangguk. Lantas aku mendekatinya lalu mencapai kunci kereta di tangannya. Kunci kereta Mencedez Benz milik Yen sudah berada di tanganku. Aku berpatah balik ke muka pintu sambil masih diperhatikan oleh Yen.
“Awak tak boleh ke buat kerja tu esok,” tegur Yen.
“Saya tak nak tangguhkan kerja saya dan banyak kerja lagi yang perlu saya buat,” jelasku tidak mahu mempertimbangkan cadangan Yen.
“Kalau macam tu bersihkan betul-betul. Sehelai pun saya tak mahu nampak bulu-bulu tu melekat kat mana-mana dalam kereta tu,” ujar Yen berpesan mula menampakkan kecerewetannya.
Aku mencebik dan meneruskan langkah. Kelibat Yen sudah tidak kelihatan kerana dihalang oleh dinding konkrit banglo ini. Namun suaranya masih kedengaran sedang berbual dengan seseorang di talian. Barangkali dia sedang berbicara dengan Velviana untuk memaklumkan kepulangannya. Aku meneruskan misiku. Hampir satu jam, kerjaku pun selesai. Aku menarik nafas lega dan tersenyum lebar kerana berpuas hati dengan hasil kerjaku. Tentang kebersihannya tiada yang perlu Yen persoalkan lagi.
Kupandang kain alas dashboard yang sudah tampak cacat ini. Kesal. Gara-gara tindakanku tadi kain alas ini sudah tidak secantik asal. Imaginasiku tadi terimbau kembali. Diam-diam aku tersenyum sendiri. Kenapalah kelibat Yen juga yang muncul di saat aku ingin menikmati keindahan itu. Mujur juga aku mampu melindungi diriku dari dinodai oleh Yen. Huhuhuhuhuhu...!
Aku tersenyum lagi tatkala mengingati nasib malang Yen berganda. Bukan setakat aku mendera dirinya, bahkan aku turut sama merosakkan kain alas dashboard Mercedez Benz ini. Kasihan Yen. InsyaAllah aku akan menukarkan kain alas dashboard ini dengan yang baharu. Sekurang-kurangnya aku boleh menyenangkan hati Yen. Sejak akhir-akhir ini aku selalu sahaja teringin untuk menceriakan hidup pemuda Korea itu. Sesuatu yang tidak aku fahami sendiri.
No comments:
Post a Comment