Wednesday, 27 October 2021

Awaklah SonataKu.... Bab 42

 

Sudah sejam aku dan Yen duduk berhadapan di meja makan ini. Sesekali kedengaran bunyi sudu berlaga dengan pinggan. Ternyata aku dan Yen sengaja mengkhusyukkan diri dengan hidangan makan malam ini. Masing-masing tidak mahu memulakan bicara. Aku pula terasa berat sahaja hendak mengangkat muka ke arah Yen setelah kejadian itu. Apatah lagi aku telah menampar muka Yen lantaran tingkahlakunya yang tidak beradap itu.

“Awak betul-betul serius nak bersama dengan Encik Rizal?” suara Yen memecah kesepian. Kupandang Yen. Aku mengangguk tanpa berfikir panjang. Pertanyaan Yen ini harus segera kujawab.

“Saya tak halang awak bercinta dengan dia. Satu je saya nak ingatkan awak agar jangan kerap sangat muncul berdua-duaan di khalayak ramai,” ujar Yen.

“Saya tahu apa yang saya lakukan,” sahutku kurang senang dengan teguran itu.

“Saya juga ada permintaan pada awak. Jangan sesekali ganggu saya ketika saya bersama dengan Encik Rizal. Saya tak suka,” tegasku.

Mwo (apa)! Awak kata saya mengganggu awak bersama Encik Rizal? Tak de masa saya nak buat macam tu,” tingkah Yen dengan wajah yang menyinga. Biji mata Yen terbuka luas. Tidak suka dia dengan bicaraku ini.

“Habis tu kenapa awak muncul di depan saya semalam?” soalku.

“Awak juga berkeras nak saya pergi bersama saya,” tambahku lebih mengukuhkan hujahku. Yen diam. Dia terkebil-kebil. Barangkali dia sudah terperangkap dengan bicaraku. Dia tidak mampu menyangkal hujah-hujahku tadi.

“Awak ingat saya ada banyak masa nak datang cari awak? Saya berada di situ secara kebetulan. Tika itu saya kelaparan sangat sebab itu saya minta awak temankan saya makan,” sahut Yen melindungi diri. Aku tersenyum sinis. Alasan yang tidak konkrit. Budak-budak pun boleh berkata sedemikian.

“Kalau awak lapar makan je ler. Yang awak datang menyibuk minta saya temankan awak apa hal?” soalku memerlinya. Yen mengetap bibir. Barangkali geram denganku kerana banyak kali telah berjaya mengenakannya.

  “Suka hati saya ler nak minta siapa saja temankan saya makan!” radang Yen dengan suara yang meninggi.

“Kalau macam tu awak minta ler Velviana temankan awak makan!” balasku dengan suara yang tinggi juga.

“Awak ni kan berlagak betul!” tuduhnya melulu.

Mwo (apa)!” Besar anak mataku menatap wajah Yen yang kelihatan serius. Perbualanku dengan Yen semakin tegang. Masing-masing mahu mempertahankan diri sendiri.

“Selagi saya tak ceraikan awak selagi tu awak takkan dapat kahwin dengan Encik Rizal. Bercinta ler kalian seumur hidup,” ujar Yen kian melalut-lalut. Aku mendengus. Bosan melihat sikap keanak-anakan Yen.

“Mungkin awak dah lupa yang Veviana takkan sanggup tunggu awak seumur hidupnya,” balasku menyedarkan Yen tentang hakikat itu.

“Awak juga yang kata nak berpisah dengan saya jika saya dah temui cinta saya. Awak nak jadi orang munafik ke?” soalku sinis. Senyap. Yen mendiamkan diri. Lantas aku bangkit lalu membawa pinggan yang sudah kosong ke singki. Aku mahu Yen berfikir panjang. Tidak semua perkara boleh dibuat sewenang-wenangnya. Sekurang-kurangnya Yen mesti lebih bertanggungjawab dengan bicara yang keluar dari mulut.

“Iman ssi...,” panggil Yen. Aku menoleh. Kali ini suaranya tidak meninggi lagi. Seketika aku dan Yen saling berpandangan.

“Betul ke awak dah temui cinta awak? Cinta awak tu Encik Rizal ke?” dua pertanyaan tercetus dari celah bibir merah Yen. Diam seketika. Yen masih menatapku menanti jawapan yang bakal kuberikan. Aku diserang serba salah.

“Buat apa awak nak tahu, itu bukan urusan awak,” tingkahku tiba – tiba.

“Yah...!” suara Yen kembali melenting.

“Awak tipu saya kan. Mana ada awak bercinta dengan Encik Rizalkan,” duga Yen masih mahu menyiasat. Aku mengetap bibir menahan geram.

“Untuk pengetahuan awak memang saya jatuh cinta sekarang,” tegasku lantas meninggalkan Yen terkebil-kebil di situ. Langkahku sudah melepasi muka pintu ruangan makan. Kemudian menapak di anak tangga untuk ke tingkat atas. Aku mahu segera menjauhi Yen.

“Iman ssi...! Iman ssi...!” panggilan Yen tidak kuendahkan. Malas aku mahu terus melayan kerenahnya. Kukunci pintu bilik. Risau kalau Yen menerjah masuk. Aku mula berkurang di bilik ini. Kulemparkan tubuh ke tilam. Anak mataku menjejaki setiap ruang bilik ini. Bosan berada di bilik ini hanya dengan terbaring kaku di sini. Fikiranku berputar kembali pada bicaraku tadi. Aku mendengus. Kenaapalah aku beritahu Yen yang aku telah jatuh cinta sekarang? Huh, tidak apa! Yen mana tahu cintaku itu untuk siapa. Di fikiran Yen sekarang hanya terlintas nama Encik Rizal. Mana mungkin Yen mengetahui cinta di hatiku ini berputik untuknya. Ya Allah, janganlah bangkitkan perasaan itu lagi. Sesungguhnya aku dalam proses ingin memadamkan perasaan itu. Bahkan aku sudah berjanji dengan Encik Rizal untuk mempertimbangan perasaannya terhadapku.

Yen yang tinggal bersendirian di ruang makan itu termenung panjang. Ada sesuatu yang sedang difikirkan. Wajahnya tergambar kerunsingan. Hatinya  dilanda gundah. Betapa perasaannya tidak tenang ketika ini.

“Agaknya gadis tu tak tahu yang awak ni pewaris DLH,” suara Jack terngiang-ngiang kembali.

“Yeler macam mana dia nak tahu kalau awak tak mahu kerja kat situ,” suara Jack kedengaran lagi. Suara Jack berulang-ulang di telinganya. Yen terpaku menadah telinga pada bisikan suara sahabatnya itu. Dia mula memikirkan bicara itu.

“Aku pewaris tunggal DLH...,” bisiknya perlahan. Bingkas dia bangkit lantas mengangkat pinggan dan gelas yang sudah kosong ke singki. Dicuci pinggan dan gelas yang telah digunakan itu. Kini sudah menjadi kebiasaan melakukan kerja itu sendiri sejak Iman tinggal di asrama. Usai mengemas ruangan makan, dia mengatur langkah ke tingkat atas.

“Iman ssi! Iman ssi!” suara Yen memanggil namaku di sebalik pintu bersama ketukan tangan yang bertalu-talu. Aku membisukan diri. Tidak mahu aku memberikan tindak balas.

“Saya nak keVilla Sentosa kejap lagi. Awak nak ikut ke?” soal Yen bersuara lunak. Senyap. Aku tetap tidak menyahut bicara Yen itu. Sayup-sayup kedengaran bunyi derap langkah menuruni anak tangga. Aku pasti Yen sudah berlalu pergi. Kupejamkan mata. Dalam keadaan sekarang tidak banyak yang boleh aku lakukan selain berbaring di atas katil ini. Bosan terpenjara dalam bilik ini. Seminit kemudian kedengaran bunyi deruan kereta meninggalkan halaman. Yen baru berangkat pergi. Pandai-pandailah dia nanti memberi alasan kepada Puan Sodiah mengapa aku tidak datang bersamanya. Pasti Yen lebih bijak menyusun bicara. Kasihan Datuk Kamarudin dan Puan Sodiah terus menjadi mangsa penipuan.

Huhhh, bosannya! Aku menghembuskan nafas. Memang membeku otakku tika ini. Hendak keluar tengok wayang dengan Suzan, pasti dia sekarang masih bekerja. Minggu ini gilirannya shif malam. Nama Linda Si Ayamor terlintas di fikiranku. Linda sahabat yang setia yang boleh kubawa ke hulu ke hilir. Walaupun dia tidak fanatik dengan tayangan Korea, namun jika aku meminta ditemani Linda tidak akan banyak soal. Pasti permintaanku itu akan dituruti. Terbukti dialah sahabat setiaku. Laju tanganku mencapai iPhone. Nama Linda Si Ayamor jadi pilihanku. Beberapa minit kemudian aku menunggu panggilan diangkat.

“Assalamualaikum, petang esok apa plan awak?” soalku tatkala mendengar suara Linda sudah berada dalam talian. Aku cuba merencana agenda untuk esok hari agar aku tidak kebosanan sebegini. Paling penting tidak perlu berkongsi masa bersama Yen di rumah ini.

“Pergi office RCC. Saya kena jumpa boyfriend awak. Dah janji nak jumpa dia esok kat sana,” tutur Linda lancar.

Boyfriend?” soalku semula. Hairan dengan kenyataan Linda. Bila masa pula dia tahu aku ada kekasih? Aku tidak pernah menyuarakan isi hatiku pada Yen sampai ke pengetahuan Linda. Semua itu masih jadi rahsiaku seorang. Betulkah Yen hendak berjumpa dengan Linda? Setahuku Yen hendak ke Villa Sentosa tadi.

“Yeler... Encik Rizal nak jumpa dengan saya,” jelas Linda menjawab kemusykilanku.

“Apa? Encik Rizal nak jumpa awak? Untuk apa?” soalku bertalu-talu. Aku terkejut dan kerisauan. Risau Linda akan terlepas bicara yang akan membongkar segala rahsiaku dengan Yen kerana hanya Linda satu-satunya lebih banyak tahu kisah hidupku. Kedengaran gelak kecil Linda. Pertanyaanku mencuit hati.

“Cakap ler apa hal awak nak jumpa dengan Encik Rizal?” soalku sedikit mengesa. Khuatir  kalau Encik Rizal bertanya banyak perkara tentangku.

“Kenapa? Awak cemburu ke Encik Rizal ajak saya keluar ni?” soal Linda mengusikku. Aku langsung tidak terfikir ke arah itu.

“Saya serius ler, Lin,” gesaku geram. Kedengaran tawa Linda lagi. Riang hatinya kerana telah berjaya menyemarakkan kerisauanku.

“Encik Rizal nak derma kat Permai Kasih. Kebetulan saya dah kenal dia jadi Puan Liya hantar saya mewakilinya,” jelas Linda masih tidak mampu memadamkan kegelisahanku.

“Kenapa Encik Rizal sendiri tak datang ke Permai Kasih? Atau bukan ke sepatutnya Puan Liya yang patut jumpa Encik Rizal,” tingkahku masih sangsi.

“Puan Liya ada meeting esok bersama pengarah kebajikan peringkat pusat. Saya penolongnya memang ler kena pergi jumpa Encik Rizal,” jelas Linda panjang berjela. Aku diam dan berfikir. Memang logiklah Linda yang menggantikan tempat Puan Liya.

“Awak betul-betul risau saya nak jumpa Encik Rizal ni?” soal Linda.

“Yeler risau sangat,” luahku tanpa berselindung.

“Awak risau kekasih awak tu jatuh cinta kat saya?” Linda tergelak lagi. Suka betul dia mengenakan aku.

“Saya memang berharap sangat kalau Encik Rizal jatuh cinta kat awak, Lin” luahku ikhlas tidak mahu menyangkal bicaranya itu.

“Oh... saya tak nak bermadu kasih dengan awak,” tingkah Linda terpesong anggapan terhadap hubunganku dengan Encik Rizal. Aku mengeluh. Ketidakseriusan Linda kurang menyenangkanku.

“Awak tak percayakan saya?” soal Linda lagi.

“Saya risau kalau Encik Rizal tanya tentang saya dan Yen. Dia nampak sangsi tentang hubungan saya dengan pemuda Korea tu. Saya beritahu Encik Rizal hubungan kami hanya setakat saudara sepupu. Saya tinggal di banglo tu bersama auntie. Kononnya ibu Yen,” jelasku berjela.

“Huuuhhh, awak cakap macam tu kat Encik Rizal!” Linda terkejut. Aku senyap.

“Pembohongan awak dah kian menjadi-jadi. Ni bukan sikap awak, Iman,” tingkah Linda tidak bersetuju.

“Saya terpaksa. Saya  tak nak Yen dapat susah,” tuturku telus. Kedengara keluhan Linda lagi.

“Awak hanya fikir tentang kebaikan dia je. Macam mana dengan kau? Takkan selamanya hidup begini,” tegur Linda kurang senang. Aku diam.

“Yen bahagia berkasih sayang dengan girlfriend dia tu sedangkan awak masih terikat dengannya. Tak adil dan saya sebagai sahabat awak, sebagai seorang perempuan tak dapat terima semua ni,” tegas Linda.

“Apa lagi yang mampu saya lakukan, Lin,” tuturku lemah persis orang yang sedang patah semangat.

“Berpisah dengan Yen. Kemudian bercinta dengan Encik Rizal. Hidup bahagia bersama lelaki yang lebih memerlukan awak,” tingkah Linda bersungguh-sungguh. Linda berbicara terlalu mudah sedangkan sukar untukku bertindak sedemikian. Aku tidak boleh tinggalkan Yen selagi Yen sendiri tidak meleraikan ikatan antara kami. Aku juga harus memikirkan keadaan Puan Sodiah. Sakit perempuan itu serius. Berita yang mengejutkan boleh mengancam nyawanya. Nun jauh di sudut hati aku senang Yen ada bersamaku walaupun banyak kali hatiku terluka dengan sikap dan tindakannya. Mungkin inilah dikatakan jatuh cinta sebenar.

 “Jangan bazirkan masa awak lagi. Sekarang awak berhak hidup bahagia,” nasihat Linda lagi. Betulkah kalau aku pilih Encik Rizal sebagai teman hidup semati aku akan bahagia? Mampukah kehadiran Encik Rizal akan memadamkan perasaanku terhadap Yen?

“Sekalipun awak dah jatuh cinta pada Yen tapi kalau dia tak balas cinta itu, awak tetap takkan bahagia,” tutur Linda memukul perasaanku. Hakikat yang sakit kuterima. Cinta yang tidak berbalas memang menyakitkan.

“Saya harap sehingga ke hari ni awak takkan jatuh cinta pada Yen,” tutur Linda perlahan. Aku masih tidak menyahut bicara Linda.

“Jika awak jatuh cinta pada Yen saya takut akan lebih menyakitkan awak,” luah Linda. Tepat! Memang menyakitkan sangat Linda. Aku hanya mampu menangis demi mengurangkan kesakitan ini.

“Sebab Yen dah ada kekasih,” tambah Linda. Aku cukup sedar dengan kebenaran bicara Linda itu. Hati Yen sudah dimiliki oleh Velviana gadis yang begitu sempurna. Ramai lelaki yang mengintai- intai untuk mendampinginya. Kebetulan cinta Velviana begitu mendalam terhadap Yen. Dia tidak akan mudah melepaskan Yen.

 

AKU bangun awal seperti biasa. Tepat pada jam, sarapan untuk Yen sudah terhidang di meja. Aku bergegas ke bilik menyiapkan diri. Usai bersiap aku melangkah ke dapur semula minum air milo di dalam mug yang aku biarkan sejuk di bawah tudung saji tadi. Tatkala aku tiba di ambang pintu, langkahku terus terhenti. Terkejut aku tengok Yen sudah duduk di situ sedang menikmati sarapan. Sekali lagi aku terkejut melihat penampilannya yang berbeza daripada hari-hari biasa. Aku berpaling ke ruang tamu. Ada baju kot hitam tersadai di bahu sofa.

“Awak dah sarapan? Jom ler minum sekali,” ajak Yen tanpa menghiraukan pandangan hairanku. Aku mendekati Yen lalu duduk bertentangan dengannya. Kucapai mug yang terisi  dengan air milo sedikit panas lantas menghirup perlahan sambil terus menatap Yen. Kemeja berlengan panjang berwarna merah yang menyaluti kulit nan putih bersih ini menyerlahkan penampilannya. Rambut panjang yang sedikit beralun diikat kemas. Tidak dapat disangkal lagi memang tampak kacak menawan.

“Awak ada show  ke hari ni atau hari ni konvo pelajar kelas muzik awak?” soalku bertalu cuba merungkai kemusykilan yang bersarang di kepala ini. Yen memandangku sekilas. Kemudian kembali menikmati nasi goreng udang yang berbaki sedikit lagi.

“Saja nak tukar penampilan diri. Kenapa tak sesuai ke saya berpakaian begini?” soal Yen membalas pertanyaanku. Aku hanya geleng kepala. Apa jenis pakaian sekalipun yang dikenakan ditubuh pemuda Korea ini, ketampanannya tidak pernah tenggelam. Meskipun pakai baju terbalik.

“Kenapa awal sangat awak sarapan hari ni?” soalku lagi.

“Awal lapar,” sahut Yen masih tidak memuaskan hatiku. Senyap. Aku meneguk air milo lagi.

“Semalam awak ke Villa Sentosa buat apa?” soalku.

“Kalau asyik nak tanya sampai bila nak habiskan sarapan ni,” rungut Yen buat aku tersengih. Senyap. Aku menghabiskan tegukan terakhirku. Kemudian terus bangun dan melangkah ke singki membasuh mug. 

“Saya pergi dulu,” ujarku meminta diri ketika melewatinya.

“Iman ssi...!” Langkahku terhenti. Aku berpaling ke arah Yen semula. Dia menatapku. Kami saling berpandangan seketika.

“Apa pandangan awak terhadap penampilan baru saya ni?” soal Yen di luar jangkaanku. Aku terdiam seketika.

“Emmm...tampan.... penuh gaya,” luahku telus. Yen tersenyum sendiri. Hatinya berbunga-bunga mendengar pujianku itu. Hakikatnya memang dia layak menerima pujian sedemikian. Sudah terbayang di mataku, pasti pelajar-pelajar perempuan yang ditauliahkan nanti bersaing-saing hendak mengambil gambar kenangan bersamanya. Gadis-gadis remaja memang sering kali gagal mengawal perasaan keterujaan mereka. Yen pun pernah bercerita tentang pelajar-pelajar perempuan yang pernah mengajaknya keluar bertemu janji. Konon Yen menolak ajakan tersebut. Entah benar atau tidak pengakuan itu. Setahuku buaya darat ini jarang menolak mangsa.

“Saya pergi dulu...,” ujarku meminta diri semula.

“Jumpa nanti,” balas Yen. Entah di mana dia hendak jumpa aku. Mungkin di rumah ini nanti. Mustahil dia dan Velviana hendak berkunjung di DLH. Kalaulah dia ajak perempuan itu pergi ke sana sama seperti dia menempah maut sendiri. Rasanya Yen masih mampu berfikir waras. Jangan-jangan jamuan konvokesyen pelajar-pelajarnya diraikan di restoran DHL. Logik.

 

Melangkah sahaja di Chungseongseuleoun Odumagjib Eul Gidalineun, aku memulakan tugas harianku.  Tugas pertamaku bertemu dan bertegur sapa dengan rakan sekerja. Kemudian 10 minit memberikan taklimat dan kata-kata semangat kepada mereka sebelum memulakan tugas hari ini. Selalunya Encik Rustam akan bersamaku. Namun pagi ini dia kelihatan sibuk membuat persediaan terakhir dalam penyediaan bahan-bahan pembentangan berkaitan operasi premis ini untuk mesyuarat peringkat pusat yang dijadualkan jam 2.00 petang nanti. Encik Rustam akan muncul di bilik mesyuarat RCC bersemuka dengan ahli lembaga syarikat. Encik Rizal juga ada bersama nanti. Huhhhh...! Kalau aku dalam situasi Encik Rustam pasti terasa kecut perut.

“Hari ini sama-sama kita berjuang meningkatkan produktiviti!” seruku penuh bersemangat sambil menggenggam penumbuk lalu melayangkannya ke awangan.

“Baik Cik Iman!!!!” sahut pekerja-pekerja Teratak Setia Menanti hampir serentak. Aku tersenyum puas. Satu janji yang begitu bermakna buatku, buat Encik Rustam, buat Encik Rizal dan buat Teratak Setia Menanti. Begitu menyenangkan hati melihat semangat mereka yang berkobar-kobar. Untuk kesekian kali aku ingin menyatakan bahawa betapa bertuah Encik Rizal memiliki pekerja yang produktif dan berdisiplin persis mereka. Bahkan mereka juga beruntung kerana ada majikan yang baik dan bertimbang rasa seperti Encik Rizal.

“Cik Iman tak keluar makan ke?” soal Amenda yang bertugas di kaunter. Aku melirik jam di tangan. Sudah sampai waktu rehat makan tengah hari. Begitu pantas masa berlalu tanpa disedari. Lantas aku geleng kepala menjawab pertanyaan Amenda itu.

“Ingat nak tapau kat restoran sebelah tu je nanti,” ujarku.

“Tadi kat ruang lobi hotel DLH ni ada ramai orang, Cik Iman,” suara Ruran mencelah. Aku teringat pada Yen. Mungkin rombongan pelajar Yen yang baru sahaja ditauliahkan. Tepat juga jangkaanku mereka akan meraikan hari bersejarah mereka di sini. Pasti ada hidangan istimewa sedang menanti mereka. Seronok kalau aku berpeluang menikmati kelazatan hidangan tersebut pada saat aku lapar begini. Aku bingkas bangun tatkala perutku mula berkeroncong.

“Saya nak tapau makanan di restoran dekat ni,” ujarku memaklumkan kepada Amenda dan Ruran. Serentak mereka mengangguk. Aku mengatur langkah ke Restoran DLH membawa laparku. Tiba di restoran ini aku terus memesan nasi ayam madu berserta jus oren. Cukuplah melenyapkan laparku. Di sini ada banyak pilihan masakan Korea. Namun aku tiada keyakinan mahu memesannya memandangkan aku tidak arif tentang masakan Korea. Kalau makan bersama Yen sudah pasti aku akan meminta pandangannya terhadap menu-menu ini. Sementara menunggu pesananku siap, aku melangkah ke ruang legar. Sebuah ruangan yang disediakan untuk pelanggan bersantai-santai. Ruangan ini berlatar belakangkan air terjun buatan yang begitu cantik dan mempesonakan. Lantas aku duduk di bangku kayu menghadap air terjun buatan ini. Pemandangan yang begitu unik dan menyegarkan. Ada pelbagai bunga hidup sebagai hiasan sampingan yang menambah kesegaran dan keindahan lanskap di sini. Mesti ratusan ribu kos yang dikeluarkan untuk mencipta pemandangan hidup sebegini. Kulontar pandangan di sekitar restoran ini. Kelihatan lanskap bunga sakura muncul samar-samar di sebalik dinding kaca itu. Bayangan bunga sakura yang berkilau-kilau. Memang nampak cantik sangat. Setiap sudut ada gambar-gambar yang berkaitan budaya Korea tergantung bersama frem kayu yang tampak kukuh dan mewah. Ada gambar perempuan dan lelaki Korea yang sedang memperagakan pakaian hanbok pakaian tradisonal Korea, gambar penari Talchum yang memakai topeng, lukisan petroglif, kaligrafi dan ukiran-ukiran indah, gambar-gambar tembikar dan seramik serta gambar rumah tradisional Korea iaitu hanok.

Paling menarik perhatianku Taman Hyangwonjeong yang terletak di Gyeongbokgung, Seoul. Ada kolam bunga teratai yang dihubungkan dengan aliran air yang mengalir yang tampak begitu indah. Ada juga gambar taman-taman yang terkenal lain seperti Poseokjeong dan Anapji terletak di Gyeongju dan Taman Huwon yang berada di dalam kompleks istana Changdeok di Seoul. Gambar permainan tradisional Korea seperti baduk, igo, janggi, yut, ssangnyuk, backgammon, chajeon nori, ssireum, bergulat, tuho, geunetagi, seokjeon dan gakjeo. Berbelit-belit lidahku menyebut tulisan yang terpampang pada setiap gambar ini. Berada di sini seolah-olah berada di sebuah galeri di Korea. Betapa aku kagum dengan ilham pereka dalaman ini.

“Iman ssi...!” Ada suara lelaki yang cukup kukenali memanggil namaku. Aku berpaling. Aku tersentak melihat Yen sedang menatapku dengan wajah yang bersahaja.

“Awak curi tulang ye,” tuduh Yen sesuka hati.

“Hello, sekarang masa rehat ler,” tingkahku tidak senang dituduh

sedemikian. Yen tersengih. Kupandang sekeliling cuba menjejaki rombongan yang datang bersama Yen.

“Mana pelajar-pelajar awak?” soalku setelah tidak nampak kelibat pelajar-pelajarnya. Dahi Yen berkerut.

“Bila masa pula saya kata nak bawa pelajar-pelajar saya ke sini?” ujar Yen memulangkan persoalan kepadaku.

“Bukan ke hari ni konvo pelajar-pelajar awak? Ada majlis makan-makan kat sini,” dugaku lagi. Kian berkerut dahi Yen mendengar bicaraku ini.

“Jom temankan saya lunch,” ajak Yen seraya menarik tanganku. Tubuhku terdorong ke arahnya. Namun cepat tanganku menepis.

“Tak payah nak miang-miang pegang orang. Saya reti jalan sendiri,” rungutku berbisik. Yen tersenyum sendiri. Aku tidak akan membiarkan Yen berterusan mengambil kesempatan kepadaku. Jangan ingat di tempat terbuka sebegini aku akan berdiam diri dan malu untuk melakukan sebarang tindakan drastik. Kalau berani cubalah buat.

“Saya dah tapau. Awak makan ler sendiri,” arahku menolak ajakannya.

“Jangan banyak cakap awak ikut saya je,” rungut Yen dengan wajah menyinga. Anak matanya yang sedikit sepet terbuka luas. Aku menahan senyum lalu mengekori langkah Yen.

Good afternoon Mr. Yen,” sapa seorang lelaki berpakaian kot hitam seperti pakaian Yen sekarang menundukkan sedikit kepala memberi hormat. Mereka saling berbalas senyuman. Aku turut tersenyum. Dua orang lelaki berpakaian seragam hotel datang menarik kerusi lalu mempersilakan kami duduk.

“Terima kasih,” ucapku disambut dengan senyuman dan anggukan kepala. Aku dan Yen sudah duduk dalam posisi yang bertentangan.

“Apa mimpi awak datang ke sini?” soalku sinisku. Setahuku dia kurang gemar hendak memijakkan kaki ke DLH  kalau tiada urusan penting.

“Dah DLH ni milik keluarga saya, suka hati saya ler nak datang ke sini,” tingkah Yen riak. Aku mencebik bibir.

“Saya tahu ler,” balasku.

“Kenapa... tak boleh ke saya datang ke sini?” soal Yen lagi.

“Sangat dialu-alukan,” balasku malas mahu bertikam lidah dengannya lagi. Yen memandangku tanpa reaksi.

“Lepas ni tiap-tiap hari awak akan jumpa saya. Sekarang tugas baru awak, mulai hari ni awak wajib temankan saya lunch di sini,” tegas Yen.

“Banyak masa  awak nak datang ke sini setiap hari,” perliku. Yen tersenyum. Bicara Yen tidak kuambil serius. Dari jauh kelihatan seorang gadis mengorak langkah ke arah kami bersama beg kertas di tangan. Pasti dia ingin menghantar makanan yang kupesan tadi. Terkocoh-kocoh aku mencari dompet di dalam beg galas ini. Gadis ini menundukkan kepala memberi hormat kepada Yen selaku pewaris DLH. Pasti semua pekerja di sini sangat mengenali Yen walaupun Yen jarang bertandang ke DLH ini.

“Kejap ye,” Aku mengira-ngira wang kertas di celah-celah dompetku. Kutarik beberapa keping wang kertas untuk membayar harga nasi ayam madu dan jus oren yang kupesan sebentar tadi.

“Dia tak payah bayar. Masuk dalam akaun saya,” ujar Yen sambil tangannya menegah tanganku dari menghulurkan wang kertas kepada gadis itu.

“Dia isteri saya,” ujar Yen menyentakkanku.

“Jang Geun Sik...,” Aku terkejut dengan pengakuan berani Yen ini. Kupandang gadis ini. Ada senyuman terukir di bibir. Wajahnya langsung tidak tergambar kemusykilan. Bahkan aku lebih terkejut daripadanya. Mungkin pengakuan Yen ini kurang bermakna. Pasti dia juga memperkenalkan Velviana sebagai isterinya. Malah perempuan-perempuan lain yang keluar bersamanya juga akan diperkenalkan oleh Yen sebagai isterinya. Huhhh..., isteri yang tidak bernilai! Isteri yang hanya dijadikan sebagai teman penghibur dan pemuas nafsun. Aku jadi sakit hati dan geram.

“Kenapa awak cakap saya isteri awak! Saya tak suka ler!” tegasku setelah gadis itu berlalu pergi. Kupandang Yen dengan pandangan yang serius.

“Saya cakap betul ler. Yang awak tak suka kenapa? Bukan saya kata awak perempuan simpanan saya,” sahut Yen bersahaja.

“Saat ini status isteri awak sama seperti perempuan simpanan. Sebab tu gadis itu tersenyum dan langsung tak terkejut tadi. Awak ingat dia percaya ke dengan pengakuan awak tadi sedangkan awak sering kali keluar dengan perempuan lain,” radangku meluahkan perkara yang terbuku di hati. Kalau tidak masakan gadis tadi langsung tidak terkejut dengan pengakuan Yen. Mesti gadis itu berfikiran negatif terhadapku tadi. Oh, malunya aku!

“Saya cakap betul ler, yang awak fikir jauh macam tu kenapa?” bentak Yen. Aku memasamkan muka. Tidak perlu dia memperkenalkan aku sebagai isterinya kepada gadis itu.

“Okey, kalau awak tak puas hati mari saya perkenalkan awak pada semua orang yang awak ni isteri sah saya. Awak ada bawa sijil nikah kita? Cepat saya tunjukkan pada gadis tadi dan semua orang kat sini,” ujar Yen serius.

“Awak jangan nak merepek,” rungutku marah. Barangkali dia ingat aku berbangga sangat ada suami bakal pewaris DLH ini. Kalau hanya setakat hendak menumpang kemewahan dan kesenangan orang lain itu bukan prinsipku. Namun sudah jadi rezeki tatkala Allah memperkenalkan aku dengan dua orang lelaki daripada kalangan keluarga elit.

“Oh, Mr. Yen... afternoon. Jangan lupa petang nanti jam 4.00 pm Encik Joseph akan mengiringi Mr. Yen ke Bahagian Promosi dan Pemasaran,” ujar gadis Tionghua itu dengan formal. Aku menatap gadis ini. Dari segi penampilan tampak seorang setiausaha.

“Oppss... sorry. Lupa nak perkenalkan diri. Saya Nancy Liu setiausaha Mr.Yen di Bahagian Pentadbiran DLH,” ujar gadis ini sambil menghulurkan tangan kepadaku. Aku tergamam. Terkejut sungguh mendengar kenyataan gadis ini. Kupandang Yen. Dia tetap dengan wajah bersahaja. Sedar- sedar tanganku dan Nancy sudah bersatu.

“Iman,” balasku memperkenalkan diri. Nancy mengangguk dan tersenyum. Kemudian terus meminta diri. Kupandang wajah Yen yang diam membisu. Kenyataan Nancy kembali berputar di ingatanku. Sungguh sukar untuk aku mempercayai. Kupandang Yen. Patutlah dia berpakaian formal sebegini. Huhhh..., pemuda Korea ini penuh dengan kejutan! Tindakannya memang tidak dijangka.

“Awak... huhhh...,” Aku terus kematian akal untuk meneruskan bicara. Di mataku sudah terbayang wajah ceria Puan Sodiah dan Datuk Kamarudin. Tidak diduga sekarang saat untuk Yen berkhidmat sekali gus mengambilalih empayar perniagaan keluarganya. Aku bayangkan Yen akan mengambil masa panjang sebelum membuat keputusan untuk berada di sini. Tidak sangka berkesempatan juga aku melihat Yen mencurah tenaga di DLH. Aku menarik nafas lega. Paling penting kewujudan Yen di DLH akan membahagiakan keluarganya.

“Mulai sekarang saya akan perhatikan awak di sini...,” nada amaran dari suara Yen.

Mwo (apa)!” Yen sudah bangkit dan mula mengatur langkah meninggalkan aku yang masih duduk selesa di kerusi empuk ini. Langsung dia tidak menoleh-noleh lagi. Sekelip mata sahaja Yen sudah berada di luar restoran mewah ini. Aku hanya mampu melihat kelibat Yen di sebalik dinding-dinding kaca ini. Betapa segak pemuda Korea itu. Akhirnya bayangan Yen terus lesap dari pandangan mataku.   

No comments:

Post a Comment