“Jangan pandang saya begitu, ... dan jangan terlalu baik dengan saya. Selagi awak ada Velviana jangan sesekali bersikap baik dengan saya. Saya tak suka!” suara gadis itu masih berlegar-legar di ruang fikirannya. Lama Yen memikirkan bicara gadis itu. Namun otaknya membeku untuk lebih memahami kata-kata gadis itu. Dia gundah-gulana di atas katil itu. Tubuhnya tidak mahu diam bagai cacing yang kepanasan. Bergerak mengiring ke kiri dan ke kanan berulang-ulang.
“Teruk sangat ke saya hingga membuatkan Iman menangis? Dia sensitif sangat. Saya tak bawa bekas tu ke office, tu pun buat dia menangis,” keluh Yen sendirian.
“Tapi... kasihan dia. Dah susah payah dia buat semua tu. Mestilah dia mengamuk dan marah. Logik. Dia sensitif pun mesti ada kaitan dengan Mak Long dia. Iman mesti susah hati melihat Mak Long yang belum menunjukkan perkembangan positif,” tutur Yen lagi berbicara sendiri. Dia geleng-geleng kepala. Menyesal dengan tindakannya hari ini.
“Saya mesti lakukan sesuatu...,” ujarnya nekad. Lantas dicapaikan iPhone lalu membuat panggilan.
“Assalamualaikum... Awak kat mana sekarang? Kawan yang lain masih ada kat situ? Bagus. Kejap lagi saya datang. Jangan ke mana-mana tunggu sampai saya datang,” tutur Yen memberi peringatan kepada Jack sebagai wakil sahabatnya yang lain. Yen bangkit dari katil meninggalkan bilik lalu melangkah ke dapur. Dipanaskan semula kuah sup itu. Kuih karipap itu dipanaskan dalam microwave. Sepuluh minit kemudian Yen terus keluar meninggalkan banglo itu.
“Wow, best dapat minum petang macam ni!” ujar Jack tersenyum sambil menatap bihun sup dan karipap yang sudah terhidang di atas meja. Sungguh membangkitkan selera.
“Air teh panas mana?” soal Haikal mahu menu tambahan wajib sebagai pelengkap.
“Yang tu kamu sedia sendiri,” sahut Yen lalu membiarkan Jack, Haiqal dan Affiq menikmati yang sudah tidak sabar-sabar lagi mahu menikmati hidangan minum petang itu.
“Affiq, pergi beli air teh panas kat restoran depan tu,” arah Jack.
“Okey geng...,” sahut Affiq tidak membantah.
“Saya nak milo ais,” Haiqal membuat permintaan sendiri. Affiq mengangguk lantas bergerak meninggalkan bilik pejabat My Dream itu. Masing-masing sudah mengunyah kuih karipap dalam mulut.
“Emm... sedap karipap ni. Inti banyak...secukup rasa. Memang pandai orang ni buat,” puji Jack sambil menilik-nilik kuih karipap yang ada di tangan. Yen tersenyum sendiri. Tumpang bangga mendengar pujian itu.
“Apa mimpi awak tiba-tiba je bawa makanan ke sini? Ada majlis doa kesyukuran kat rumah awak?” soal Jack hairan.
“Kat rumah saya Perang Dunia ketiga sedang meletus,” balas Yen.
“Apa Perang Dunia ketiga...! Velviana mengamuk lagi ke?” soal Haikal.
“Isteri saya yang mengamuk,” balas Yen bersahaja. Jack dan Haikal terus ketawa. Bicara Yen menggelikan hati mereka.
“Isteri nombor berapa ye?” soal Jack mengusik.
“Mestilah yang pertama. Awak ingat saya ada tabiat nak koleksi isteri ke,” balas Yen. Jack tersengih-sengih.
“Nampak macam kes berat ni. Awak sedang dilamun cinta sekarang,” tutur Jack tersengih. Haikal turut tersengih.
“What...!” Besar biji mata Yen menatap kawan-kawannya. Jack dan Haikal leka melayan selera mereka. Kebetulan mereka sedang kelaparan. Kemudian muncul Affiq bersama air yang dibeli di restoran di depan premis ini. Ketiga-tiga sahabatnya ini begitu berselera sambil diperhatikan oleh Yen. Yen sempat memikirkan bicara Jack sebentar tadi. Betulkah aku sedang dilamun cinta sekarang? Yen geleng kepala. Selama ini dia belum pernah menikmati perasaan indah dalam dirinya. Dia bersama Velviana sekarang pun atas dasar kepercayaan mereka kesunyian. Masing-masing cuba memberikan yang terbaik serta menikmati keuntungan atas hubungan tersebut. Ringkas dan mudah sahaja prinsip hubungan mereka.
“Yang awak geleng-gelang kecapi tu, apa hal?” suara Jack singgah di halwa pendengarannya. Yen sedikit tersentak.
“Cepat habiskan semua tu. Bekas tu saya nak bawa balik kejap lagi,” arah Yen sekali gus menutup ketelanjuran tingkahlakunya sebentar tadi. Timbul segan diperhatikan sedemikian. Jack geleng kepala. Lantas menyambung kembali seleranya.
“Buat apa nak balik cepat... lepaklah dulu kat sini,” ajak Haikal.
“ Ada hal malam ni,” balas Yen.
“Awak ni sejak jadi bos busy memanjang,” rungut Affiq.
“Hoi, bila masa pula awak ni jadi mak nenek pandai berleter!” kutuk Yen. Affiq tersengih.
“Saya tak kisah kalau awak dah jadi alim duduk rumah je, tapi anak-anak gadis kat kelas kita ni dah rindu sangat dengan awak. Lain kali datanglah jenguk-jenguk kat sini. Risau juga kalau lama-lama ramai yang cabut lari tak nak masuk kelas muzik kat sini lagi sebab awak dah takde,” jelas Affiq cuba menangkis kutukan Yen.
“Budak-budak tu datang ke sini sebab nak belajar main gitar bukan sebab saya,” tingkah Yen tidak bersetuju.
“Itu fikiran awak. Remaja sekarang tergila-gilakan artis Korea. Tempiasnya pun terkena pada awak. Awaklah aset berharga nak majukan My Dream ni,” jelas Affiq panjang lebar.
“Ya aku setuju,” sokong Haikal.
“Kamu berdua ni merepeklah,” ujar Yen kurang senang.
“Kalau awak tak caya cuba tanya Jack,” ujar Affiq mula membabitkan Jack yang hanya tersengih sejak dari tadi. Belum sempat sebarang persoalan dikemukakan kepada sahabatnya itu, Jack sudah mengangguk kepala menyokong pendapat Haikal dan Affiq itu. Yen mengeluh.
“Yelah ... yelah... Saya akan cuba luangkan masa sekerap mungkin untuk datang ke sini,” balas Yen mengalah. Jack, Haikal dan Affiq tersenyum lebar.
“Cepat habiskan semua ni,” arah Yen tidak mahu lama-lama di situ.
“Kami tahu isteri awak kat rumah tu sedang tunggu awak balik,” ujar Jack sinis cuba mengutuk Yen. Haiqal dan Affiq serentak tertawa. Yen hanya menjeling sekilas sahabat-sahabatnya itu. Belum terusik hati hendak memaklumkan perkara sebenar. Tambahan pula dia memang tidak suka memanjangkan bicara. Yang pasti kebenaran masih menjadi rahsia. Rahsia kukuh yang tetap tersemat dalam dirinya tanpa diketahui oleh teman-teman seiring dengan kehendak hatinya.
“YEN tak datang malam ni?” suara Pak Long singgah di telingaku. Aku berpaling ke arah Pak Long lantas geleng kepala. Pak Long menatapku buat aku serba salah. Risau kalau pengalaman hidup Pak Long boleh membaca tingkahlakuku sekali gus membongkar segala rahsiaku dengan Yen.
“Kalau Yen tak datang malam ni, tak payahlah kamu bermalam kat sini. Pak Long seorang boleh jaga dan temankan Mak Long kamu,” tutur Pak Long tidak menggembirakanku.
“Mungkin Yen datang ke sini tapi lambat sikit,” sahutku tidak mahu meninggalkan Pak Long bersendirian menjaga Mak Long di sini. Cuba berusaha mempengaruhi Pak Long dengan bicaraku itu agar dia tidak memaksaku berganjak dari bilik ini. Sungguh aku tidak tega meninggalkan Pak Long dan Mak Long yang sudah kuanggap persis mak dan ayah kandungku dalam keadaan begini. Betapa besar jasa mereka padaku selama ini. Malah jasa mereka sedikit pun tidak luak biarpun sepanjang bawah jagaan mereka, Mak Long melayanku begitu dingin. Sekurang-kurangnya Mak Long tetap sudi berkongsi keperluan asas denganku bersama keluarganya. Kalau tidak pasti hidupku merempet di jalanan. Bahkan aku tidak akan menjadi diriku sekarang biarpun kehidupanku kini tidak begitu membanggakan. Namun aku bersyukur adanya Pak Long sekeluarga. Kulirik jam tangan. Sudah menjangkau ke pukul 11.00 malam. Gerak hatiku menyatakan memang Yen tidak akan muncul. Malah aku juga tidak pernah mengharapkan dia ada bersamaku malam ini. Sakit hatiku pada pemuda Korea itu belum padam lagi.
“Doktor tak benarkan berdua jaga Mak Long?” soalku. Risau kalau Doktor Muaz kurang senang melihat pesakit ditemani melebihi seorang. Setahu aku keadaan Mak Long sudah stabil cuma menunggu masa untuk sedar sahaja lagi. Walau bagaimanapun, Mak Long masih dalam pengawasan kerana dalam keadaan sekarang apa-apa sahaja boleh berlaku. Pak Long geleng kepala.
“Kalau tak dibenarkan berdua jaga Mak Long dalam bilik ni, biar saya duduk kat luar depan bilik ni,” ujarku masih tidak mahu berganjak dari sini.
“Bukan macam tu. Sebenarnya Pak Long kasihan tengok kamu berjaga jauh malam. Lepas tu tidur pun bukan boleh lena,” jelas Pak Long. Aku geleng kepala. Langsung tidak menyusahkan aku. Aku lakukan dengan ikhlas. Aku mengerti perkara yang sedang bergolak di fikiran Pak Long.
“Pak Long jangan risau. Saya okey je. Kejap lagi pasti Yen akan sampai ke sini. Diapun kata nak temankan kita jaga Mak Long. Nanti bolehlah Pak Long tidur lena,” ujarku sedikit mereka bicara. Paling penting Pak Long yakin dengan bicaraku lantas tidak memaksaku pergi dari sini. Pak Long mengangguk tanda mengalah. Kulontar pandangan ke muka pintu. Betulkah Yen aku muncul di situ sekejap lagi? Bagaimana kalau Yen tidak datang malam ini? Alasan apa lagi yang patut aku berikan kepada Pak Long. Fikiranku bercelaru.
“Pak Long dah mengantuk sangat ni. Pak Long tidur dulu ye. Kalau suami kamu datang nanti kejutkan Pak Long,” pesan Pak Long lalu menyandarkan tubuh tuanya pada sofa biru di tepi dinding itu. Pak Long sudah memejamkan mata. Aku mengalih pandangan pada Mak Long yang nampak sedang tidur lena. Rambut Mak Long di depan sedikit terjuntai di dahi lantas kuselak ke atas. Hampir sebulan sudah keadaan Mak Long begini. Sedih hatiku menyaksikan Mak Long yang hanya terkujur kaku di atas katil ini. Air mataku menitis keluar. Kalaulah Mak Long tidak memendam perasaan berpuluh tahun lamanya, hidup Mak Long tidak akan tertekan sehingga menyebabkan Mak Long jadi begini. Aku mula menyalahkan diri lagi. Kalaulah ayah jadi lelaki setia dan kalaulah ibu tidak mencelah kehidupan ayah dan Mak Long, rasanya Mak Long akan hidup lebih bahagia. Aku mengeluh sendirian. Soal jodoh sudah menjadi ketetapan Ilahi. Aku tidak patut menyalahkan ayah dan ibu mahupun diri sendiri pada perkara yang telah berlaku. Namun perasaanku tidak sudah-sudah menyalahkan keluargaku dan diri sendiri. Selepas kepergian ayah dan ibu, aku pula yang jadi bebanan Mak Long. Mungkin kalau aku tidak wujud di dunia ini, Mak Long akan lebih mudah melupakan kisah-kisah sedih dalam hidupnya. Pasti juga tatkala Mak Long memandangku luka lamanya berdarah kembali.
“Maafkan saya, Mak Long,” bisikku perlahan sambil menyeka juraian air mata yang gugur dari kelopok mataku.
“Izinkan saya menebus segala kesalahan ayah dan ibu pada Mak Long. Sebab itu juga Mak Long harus bangun sekarang,” pintaku menahan gelodak perasaan. Kugenggam erat tangan Mak Long lalu kukucup berulang kali.
“Iman ssi...,” Aku berpaling ke arah suara itu. Yen terpacak di muka pintu sambil menatapku. Pantas aku memalingkan muka dari tatapan matanya. Laju jemariku mengesat juraian air mata yang sudah membasahi pipi. Setelah yakin dengan keadaanku, aku berpaling semula ke arah Yen.
“Buat apa awak datang ke sini,” tuturku berbisik tidak senang dengan kemunculannya ini. Tangannya membimbit sebuah beg kecil. Barangkali dia juga ingin bermalam di sini. Yen tidak mengendahkan persoalanku. Sebaliknya dia sudah melabuhkan duduk perlahan-lahan di sebelah Pak Long di sofa biru itu. Tidak mahu dia mengejutkan Pak Long.
“Don’t be sad,” ujar Yen perlahan namun cukup jelas di telingaku. Pantas aku berpaling menatap Yen.
“Kalau awak bersedih, saya juga akan turut bersedih,” tutur Yen menyambung bicara. Tersentuh hatiku mendengar bicara Yen itu. Namun hanya untuk seketika sahaja. Aku bingkas bangkit lalu langkahku berhenti tepat-tepat di depan Yen. Yen mendongakku. Tanpa sebarang kata aku terus menarik tangan Yen keluar dari bilik ini. Mujur Yen tidak menunjukkan sebarang bantahan. Kini aku dan Yen sudah berada di luar bilik tersembunyi dari pandangan Pak Long dan Mak Long.
“Awak baliklah sekarang,” arahku serius.
“Saya nak temankan awak kat sini,” jelas Yen.
“Tak perlu. Saya dan Pak Long dah cukup untuk jaga Mak Long,” bantahku bersikap dingin.
“Kenapa saya tak boleh berada di sini?” soal Yen berdegil.
“Saya tak suka awak berada di sini,” tegasku.
“Saya tak ganggu awak pun,” tingkah Yen.
“Tengok awak buat saya bertambah sedih,” luahku dengan harapan Yen akan segera beredar dari sini.
“Wae (kenapa)?” soalnya.
“Jangan tanya saya apa sebabnya,” pintaku lalu menolak daun pintu bilik meninggalkan Yen bersendirian di situ. Aku kembali di tempat dudukku tadi. Kulontar pandangan ke muka pintu lagi. Tiada tanda-tanda daun pintu akan terkuak. Barangkali Yen sudah pergi seperti yang aku mahukan. Aku bangkit dari duduk lalu berjengkit kaki melangkah ke muka pintu. Kukuak sedikit daun pintu. Dari celah-celah pintu ini aku melontar pandangan keluar cuba menjejaki kelibat Yen. Mana tahu dia masih berada di depan bilik ini ataupun di sekitar kawasan ini.Tiada kelihatan kelibat Yen lagi, mahupun bau wangian dunhill yang dipakainya. Kubuka daun pintu lebih lebar lalu menjengukkan kepala keluar. Kulontar pandangan sekitar kawasan ini, memang Yen sudah beredar dari sini. Aku menarik nafas lega. Kututup kembali daun pintu lalu mengatur langkah ke arah Pak Long. Lantas menyandarkan tubuh di sebelah Pak Long yang sudah lena dibuai mimpi.
Yen sudah nekad tidak berganjak dari situ. Selepas menghirup udara larut malam di taman bunga halaman hospital itu, dia kembali ke bilik itu. Namun hanya berada di depan pintu bilik sahaja. Teringat dia pada beg yang tertinggal di dalam bilik itu. Tidak mungkin dia mahu berpatah balik masuk ke dalam bilik itu. Risau gadis itu menghalaunya lagi. Maka malam ini Yen bakal kedinginan memandangkan selimut yang dibawa tadi ada di dalam beg itu. Lantas Yen membaringkan tubuh di bangku kayu yang bertentangan dengan pintu bilik itu sambil memeluk tubuh. Kedinginan semakin mencengkam tulang-temulang. Yen memeluk kemas tubuhnya. Akhirnya Yen terlena juga dalam keadaan kedua-dua belah tangan memeluk lutut persis udang yang kena bakar lagaknya.
Sayup-sayup kedengaran alunan azan subuh dari masjid besar tidak berapa jauh sangat dari lokasi hospital ini. Aku menggeliat beberapa kali. Terasa lenguh seluruh tubuhku. Tidak ingat pukul berapa aku tertidur semalam. Perlahan-lahan aku bangun sambil menguap lantas menutup mulut. Masih terasa mengantuk lagi. Dalam keadaan anak mata terpejam celik, tanganku memusing tembol pintu. Tatkala daun pintu terkuak sedikit aku nampak sesusuk tubuh yang cukup aku kenali sedang terlentang di bangku kayu itu. Langkahku terhenti. Tidak mahu meneruskan langkah. Tergamam aku seketika menatap Yen yang sedang lena sambil memeluk tubuh kedinginan. Semalam aku ingat dia telah pergi setelah aku menghalaunya. Timbul simpatiku tatkala menyaksikan keadaan Yen sedemikian.
“Yen datang ke semalam?” suara Pak Long menyentakkanku. Laju tanganku menutup daun pintu. Aku berpaling ke arah Pak Long.
“Apa Pak Long?” soalku semula.
“Ni beg sapa pula ni? Yen ada kat sini ke?” soal Pak Long lagi.
“Ye...ye...,” sahutku sedikit gagap. Tidak sampai hati berbohong lagi. Kebetulan memang sukar aku menafikan ketiadaan Yen di sini memandangkan dia meninggalkan bukti kedatangannya di sini. Kenapalah aku cuai sangat sehingga tidak menyedari beg pemuda Korea itu ada di sini.
“Mana dia?” soal Pak Long teruja.
“Kat luar. Mungkin dah solat subuh,” Terpaksa juga aku berbohong. Risau Pak Long akan menyesali tindakanku yang membiarkan Yen terlentang di bangku kayu di luar bilik ini.
“Pak Long duduk sana ye, jaga Mak Long. Biar saya pergi solat dulu lepas tu baru giliran Pak Long pula,” arahku sambil terkocoh-kocoh membuka daun pintu lalu melangkah keluar bilik. Pak Long hanya terkebil-kebil memerhatikan gelagatku. Sebenarnya aku bimbang kalau Pak Long ternampak Yen yang masih lena di bangku kayu ini. Tidak mahu mengundang kemusykilan Pak Long.
“Jang Geun Sik...bangun!” panggilku perlahan khuatir suaraku didengari oleh Pak Long. Yen masih tidak bergerak-gerak.
“Bangun...! Bangun...!!!” panggilku lagi seraya menggegar bahunya. Langsung tiada tindak balas. Lantas kubongkokkan tubuh lalu mendekatkan mulut di lubang telinga pemuda Korea ini. Wangian dunhill yang dipakainya masih menyengat.
“Bangun...! Bangun!!!” panggilku melontar suara tepat-tepat di lubang telinga Yen. Tubuh Yen terangkat. Pupp! Belum sempat aku menjauhi dahi Yen lebih awal memalu dahiku.
“Aduuhhhh...!” Aku menggoso-gosok dahiku yang terkena paluan kuat dahi keras Yen. Sakit. Terkebil-kebil Yen menatapku. Rambut yang terjuntai di dahi diangkat ke atas lalu tangan Yen menggosok-gosok dahinya yang kelihatan merah. Maklumlah kulitnya putih bersih.
“Bangunlah cepat! Buat apa awak tidur kat sini nanti Pak Long tengok awak,” rungutku melempiaskan kebimbanganku. Yen sudah bangun dan bersandar di dinding sambil memeluk sepasang lutut. Kakinya sudah diangkat ke atas bangku. Dagunya diletakkan di celah-celah tautan lutut dan kepalanya turut terlentok sama. Nampak comel sangat walaupun baru bangun tidur. Yang pasti memang Yen masih mengantuk.
“Bangunlah...!” arahku sambil tajam menatap wajahnya.
“Kejap lagilah...,” sahutnya sambil menguap-nguap. Kedengaran bunyi daun pintu dikuak. Laju tanganku menarik tubuh Yen berdiri tegak. Yen terkebil-kebil diperlakukan sedemikian sambil tangannya masih menggosok-gosok dahi. Rambutnya yang mencecah bahu sedikit nampak kusut masai.
“Siapa dengan awak berbual tu Iman?” suara Pak Long mengejutkanku. Laju aku berpaling ke arah Pak Long yang sudah tercengat di depan pintu. Aku tersenyum tawar.
“Hey, Pak Long! Assalamualaikum...,” sapanya bersahaja sambil menundukkan kepala persis orang Korea menyapa orang tua sebagai tanda hormat. Pak Long tersenyum. Aku melirik ke arah Yen yang nampak masih mamai-mamai. Jangan-jangan dia menginggau.
“Oh, kamu rupanya! Awal subuh menghilang kamu pergi ke mana tadi?” soal Pak Long seakan menyiasat. Aku diserbu kebimbangan menanti jawapan yang bakal keluar dari mulut Yen menjawab persoalan daripada Pak Long itu.
“Saya pergi tandas tadi perut tak selesa,” sahut Yen tersengih sambil garu-garu kepala. Syukur ...syukur...! Dalam keadaan mamai otaknya masih berfungsi dengan baik. Kalaulah Yen cakap baru bangun tidur tadi, habislah aku dimarahi oleh Pak Long. Terima kasih Jang Geun Sik kerana sudi menyelamatkan aku.
“Takpelah Pak Long, kami pergi solat dulu. Nanti terlambat pula Pak Long solat,” ujarku mengingatkan giliran yang aku cadangkan tadi lantas membawa Yen pergi demi menyelamatkan diri. Khuatir lama-lama di sini akan membuatkan Yen terlepas bicara. Lantas kupaut tangan Yen lalu menariknya beredar dari situ. Terasa berat langkah Yen mengiringi langkahku. Maklumlah langkah orang yang masih mengantuk.
“Cepatlah...!” arahku kerana terpaksa memikul bebanan langkah Yen. Tiba-tiba kepalanya terlentok di bahuku. Laju tanganku menolak kepalanya membuatkan anak matanya yang sedikit sepet terbuka luas. Pautan tangan kami sudah kuleraikan.
“Dasar lelaki buaya, tak kira masa, tempat dan keadaan. Pantang dapat peluang mesti mahu digunakan sebaiknya,” kutukku geram. Kutolak tubuh Yen agar menjauhiku.
“Awak pun pernah ambik kesempatan pada saya. Sepanjang malam awak terlentok di bahu saya,” ujar Yen mengungkit kejadian itu.
“Itu bukan disengajakanlah. Lagipun mengapa awak menyibuk duduk di sofa tu mengambilalih tempat Pak Long. Jangan-jangan awak nak ambil kesempatan pada saya juga,” tegasku menuduhnya.
“Aigooo...!” Yen sudah mencebik. Aku mendengus kasar. Begitu juga dengan Yen. Akhirnya masing-masing memasamkan muka. Aku dan Yen berpisah tatkala sampai di bahagian ruang pemisah antara bilik solat lelaki dengan bilik solat perempuan.
Di bilik ini, aku dan Yen bersemuka lagi. Hanya jelingan tajam yang kulontarkan kepada Yen. Dibalas dengan mimek muka herot sambil mulutnya terkumat-kamit mengutukku. Mesti dia tidak puas hati dengan tuduhanku tadi. Tuduhanku itu memang berasas. Bukan sesuatu yang tidak masuk akal dia ada tabiat sebegitu. Dasar buaya darat, kaki perempuan.
“Kamu berdua belum nak balik lagi ke dah dekat pukul 7.00 pagi ni,”
“Hari ni tak keja, Pak Long,” hampir serentak aku dan Yen memberikan jawapan yang sama pada Pak Long. Aku menjeling ke arah Yen. Tidak suka dia meniru jawapanku. Di belakang Pak Long, jelinganku dibalas mimik herot Yen. Sengaja menambah sakit hatiku. Pak Long tersenyum.
“Bagus kamu berdua ni sehati sejiwa,” komen Pak Long mengusik. Aku buat-buat senyum mendengar usikan Pak Long itu. Dalam hati membara.
“Duduk jauh-jauh,” tegahku berbisik tatkala Yen melabuhkan duduk di sofa biru ini bersebelahan denganku. Aku mengesot menjauhi Yen. Sempat juga dia membalas jelinganku.
“Hari Sabtu hari ni. Pak Long dah lupa hari,” keluh Pak Long tersenyum lesu. Senyap. Kasihan Pak Long. Kebimbangan membuatkan dia lupa tentang peredaran hari. Sudah lupa Pak Long hari yang mendatang dan hari yang berlalu.
“Pak Long dah fikir dalam-dalam dan Lili pun dah setuju, Pak Long nak bawa Mak Long kamu balik e krumah sehari dua lagi,” tutur Pak Long perlahan.
“Saya tak setuju!” bantahku serius menyuarakan isi hatiku. Yen tersentak. Pak Long hanya membisu menatapku.
“Keadaan Mak Long kamu langsung tak menunjukkan perkembangan yang positif. Pak Long dah bincang dengan Doktor Muaz. Dia pun tak dapat bagi kata putus. Mungkin takde harapan Mak Long kamu nak sembuh. Jadi Pak Long rasa dah sampai masa Pak Long bawa Mak Long kamu balik ke rumah,” ujar Pak Long perlahan dengan wajah yang mendung.
“Saya betul-betul tak setuju Mak Long dibawa balik ke rumah. Doktor manusia biasa Pak Long. Soal maut, qada dan qadar semua ketentuan Allah. Kita tak boleh cepat berputus asa. Kita usaha lagi Pak Long,” rayuku tanpa mengendahkan pandangan Yen. Situasi sekarang amat serius. Aku tidak akan mengalah sama sekali. Putus asa Pak Long dan Lili sedikit pun tidak akan mempengaruhiku.
“Mungkin setakat ni je usaha kita, Iman,” putus Pak Long mengalah.
“Minta maaf, Pak Long. Saya tetap juga nak Mak Long mendapat rawatan di hospital ni. Kalau tak pun saya akan usahakan cari tempat yang lebih baik lagi. Kita mesti terus berjuang demi Mak Long,” rayuku lagi.
“Kita tak mampu lakukan semua tu,” tingkah Pak Long sayu.
“Soal duit, biar saya yang fikirkan. Kalau gaji saya tak cukup, saya ada simpanan. Kalau masih tak cukup juga, saya ada barang-barang kemas peninggalan arwah ibu dan arwah nenek. Kita boleh gadai semua tu. Kita boleh gadai tanah kat kampung peninggalan arwah ayah tu,” tuturku nekad. Aku sanggup bergolok-gadai demi Mak Long.
“Tak payah. Suatu hari nanti kamu perlukan semua tu,” sahut Pak Long membantah.
“Harta benda boleh dicari bila-bila masa Pak Long. Sekarang bukan masa untuk kita fikirkan masa akan datang. Saya tak perlukan semua tu,” tingkahku tegas. Pak Long memandangku sayu.
“Biar saya yang tanggung semua kos tu. Iman dan Pak Long tak payah risau,” suara Yen mencelah setelah sekian lama berdiam.
“Tak perlu! Semua ini bukan urusan awak,” sahutku. Sedikit kasar.
“Iman...,” tegur Pak Long kurang senang mendengar bicaraku. Memang aku nampak kasar dengan Yen. Namun bicara Pak Long ini membuatkan aku hilang pertimbangan. Aku seakan tidak percaya Pak Long akan bertindak begini. Sudah pudarkah kasih sayang Pak Long kepada Mak Long lantaran sudah merasakan cukup lama menunggu Mak Long bangkit semula. Andai Pak Long sudah lenguh menunggu, biar aku yang mengambilalih tugas Pak Long di sini. Aku dengan rela hati sanggup melakukan semua ini.
“Beri peluang pada saya bantu keluarga awak,” ujar Yen serius menatapku. Aku dan Pak Long membisu seribu bahasa. Aku tahu Yen berkemampuan melakukan semua itu. Namun aku tidak mahu melibatkannya. Cukuplah perkahwinan yang dirancang ini telah menyelesaikan hutang-piutang Pak Long. Aku tidak mahu terus membebankan Yen. Sesungguhnya aku juga turut terbeban lantaran terbit perasaan yang kualami sekarang ini.
“Nanti kita bincang balik perkara ni,” pinta Yen.
“Kamu berdua baliklah berehat di rumah. Sepanjang malam dah kamu berada di sini,” tutur Pak Long mengubah topik perbualan. Aku bangkit lalu menyalami tangan Pak Long. Yen juga berbuat perkara yang sama.
“Balik dulu Pak Long,” ujar Yen mendahului langkahku ke muka pintu. Berat langkahku mahu meninggalkan bilik ini. Tiba di depan pintu, aku tidak terus menguak daun pintu. Sebaliknya aku berpaling semula ke arah Pak Long.
“Pak Long, jangan sesekali bawa Mak Long keluar dari bilik ini tanpa pengetahuan saya. Kalau Pak Long lakukan juga, saya akan menyalahkan diri seumur hidup,” ujarku memberi peringatan kepada Pak Long. Pak Long hanya melontar pandangan sayu padaku. Kukuak daun pintu lantas menghilangkan diri di sebalik daun pintu ini. Terkilan dengan perancangan Pak Long dan Lili. Kasihan Mak Long.
“Maafkan Iman Pak Long. Iman tak berniat nak ugut atau beri amaran pada Pak Long. Iman tahu Pak Long dan Lili lebih berhak dalam membuat keputusan perkara yang ada kaitan dengan Mak Long. Namun Iman tak boleh berdiam diri jika Pak Long mahu meneruskan niat tersebut,” bisik suara hatiku mengiringi gerak langkahku. Tiba di perkarangan luar hospital, aku mendongak ke langit lalu memandang hamparan langit nan memutih. Cuaca hari ini menjanjikan hari yang ceria. Aku menarik nafas dalam-dalam. Semoga kehidupan keluarga Pak Long juga akan ceria. Ya Allah, bangunkanlah Mak Long dari terus lena yang panjang. Berilah peluang kepada Mak Long untuk melihat keindahan dunia ciptaanMu ini untuk sekian kali. Ya Allah, ya Rabbi, aku merayu kepadaMu ya Allah.
“Iman ssi...!!” Aku memandang sekilas Yen yang sudah berada di dalam kereta di bahu jalan melambaikan tangan kepadaku. Ternyata kakiku tidak mahu berhenti dari menyusun langkah demi langkah. Tidak kuendahkan lambaian tangan Yen itu.
“Iman ssi...!!!” panggil Yen melaung namaku lagi. Yen keluar dari kereta lalu berlari ke arahku. Tangan Yen sudah mendarat ditanganku membuatkan langkahku terhenti. Aku berpaling menatap wajah Yen.
“Kenapa dengan awak ni?” rungutku tidak suka diperlakukan sedemikian oleh Yen. Tajam pandanganku singgah di wajah Yen. Persoalanku tidak dijawab. Yen terus memaksa aku mengikut langkahnya masuk ke dalam kereta. Pintu kereta dikunci. Lantas dipandu laju meninggalkan perkarangan hospital. Barangkali Yen risau aku akan melepaskan diri.
“Kenapa dengan awak ni hah? Saya dah pun suruh kawan-kawan saya habiskan makanan dalam bekas tu. Kalau awak tak caya, awak boleh tanya mereka,” tutur Yen cuba mengaitkan kemurkaanku dengan bekas yang terisi makanan yang tertinggal di atas meja dapur semalam. Aku mendengus.
“Awak tak patut marahkan saya lagi kerana semua dah habis dimakan,” jelas Yen memperkatakan perkara yang sama. Sensitiviti dirinya terlalu tipis membuatkan aku bosan. Aku membisukan diri. Kulontar pandangan jauh keluar. Hatiku masih dilanda kerunsingan. Bicara PakLong benar-benar membimbangkanku.
“Awak masih memikirkan tentang cadangan Pak Long ke?” teka Yen sambil melirik kepadaku. Aku tetap mematungkan diri. Langsung tidak mahu mengalih pandangan ke wajahnya.
“Biar saya tanggung semua kos rawatan Mak Long. Awak tak perlu risau lagi,” ujar Yen masih mahu berbicara denganku.
“Tak payah! Saya tak perlu pertolongan awak,” sahutku ego. Sudah tiba masa untuk tidak melibatkan Yen. Tidak mahu terus terhutang budi kepadanya.
“Saya buat semua ni nak tolong Mak Long. Bukan kerana awak dan langsung tiada kaitan dengan awak. Puas hati sekarang,” ujar Yen melepaskan geram kepadaku. Aku mengetap bibir. Sedikit terasa dengan bicara Yen.
“Kalau betul niat awak macam tu kenapa awak tak tolong saja pengemis-pengemis kat kaki lima tu,” tingkahku emosional.
“Iman ssi...,” panggil Yen lebih lembut.
“Saya tak nak cakap dengan awak,” balasku tanpa sempat menatap wajah Yen walaupun hanya sekilas. Sesampai di banglo Yen, aku berkurung di dalam bilik ini. Usai mandi dan menyiapkan diri, aku terus berbaring di katil sambil melayan perasaan. Detik menjangkau ke pukul 11.00 pagi, barulah aku melangkah ke dapur menyediakan hidangan tengah hari. Pandanganku terarah pada bekas-bekas yang sudah dicuci dan kini disimpan di rak pinggan. Yen telah mencucinya. Aku percaya dengan bicara Yen tadi. Tatkala aku memijakkan kaki di dapur semalam semua bekas itu sudah tidak berada di meja lagi. Kebetulan pada masa itu Yen sudah keluar. Aku memandang sekitar ruang banglo ini. Baru aku menyedari rumah ini sunyi sepi. Sudah lama aku tidak mendengar alunan petikan gitar Yen mahupun alunan suara merdunya. Sudah bersara dia menjadi ahli pemuzik sedangkan dia berbakat besar dalam bidang itu. Bahkan begitu sempurna untuk bergelar seorang selebriti. Apakah keriernya sekarang membataskannya untuk mengisi masa senggang dengan minatnya. Oh, aku mesti berhenti dari terus memikirkan tentang Yen!
Usai menyediakan hidangan tengah hari, aku kembali berkurung di dalam bilik menghabiskan masa seharianku di bilik ini. Cuba mengisi masa yang ada dengan buku-buku kuliah yang sudah terbiar dan langsung tidak kubaca sejak tiga hari lalu. Aku membaca namun fikiranku melayang jauh. Barisan-barisan ayat pada muka buku ini liat hendak aku fahami. Lantas kututup buku ini kerana tidak mahu melakukan perkara yang sia-sia. Serancak manapun mulut aku membunyikan konsonan-konsonan dan vokal-vokal aksara ini kalau aku tidak memahami maksud tidak guna juga. Aku meletakkan kembali buku di atas meja kecil di sebelah katil ini. Lantas aku bangun lalu menarik laci almari solek ini. Kukeluarkan peti kayu klasik yang kuwarisi daripada arwah nenek ini. Di sini barang-barang kemas peninggalan arwah ibu dan nenek untukku. Dua utas rantai, sebiji loket sebesar syiling 50 sen dan dua utas gelang tangan. Kuletak di telapak tangan kesemua lalu menimbang-nimbang cuba membuat anggaran berat. Memandangkan barang kemas ini tidak kosong, mungkin dapat pulangan yang banyak kerana harga pasaran emas dunia sekarang tinggi. Nanti bolehlah menampung kos rawatan untuk Mak Long. Aku sudah nekad akan menghantar barang-barang kemas ini di pajak gadai. Kucapai buku akaun simpanan ASB lalu kuselak helaian terakhir. Nilai RM 5000 ini sedikit sebanyak boleh menampung kos rawatan andai wang pajakan barang kemas itu tidak cukup nanti. Aku mula membuat perkiraan. Gaji bulan ini sebahagian besar juga boleh diperuntukkan untuk bayaran kos rawatan Mak Long di hospital nanti. Garen tanah yang Pak Long serahkan kepadaku sebelum aku berhijrah ke sini ada aku simpan dalam fail. Menunggu masa untuk diperlukan sahaja. Alhamdulillah... ada juga sedikit aset berharga yang boleh aku pertaruhkan.
“Ibu, nenek, maafkan Iman. Iman janji akan tebus semula barang-barang kemas ni. Jika ibu dan nenek ada saat ini, Iman yakin pasti ibu dan nenek merestui tindakan Iman ni,” ujarku sendirian. Kumasukkan barang-barang kemas ini di dalam beg galasku. Esok aku akan mula menguruskannya. Habis sahaja laungan azan zohor, aku terus menunaikan solat. Aku bermunajat lagi pada Allah memohon kesembuhan segera Mak Long serta meminta Allah melenyapkan hajat hati Pak Long yang ada dalam fikirannya saat ini. Ya Allah kembalilah semangat juang dalam diri Pak Long agar terus berjuang bersama-sama Mak Long.
Tatkala aku melangkah ke dapur, Yen sudah berada di situ. Nampak segar-bugar wajahnya. Mungkin sudah puas tidur setelah sepanjang malam tidak boleh tidur nyenyak. Aku menghidangkan makanan tengah hari di atas meja. Kusenduk nasi ke dalam dua pinggan lalu sepinggan nasi kuletak di depan Yen. Tanpa menghiraukan pandangan Yen, aku terus menikmati hidangan tengah hari. Seminit kemudian Yen turut sama menikmati.
“Takkan sebab saya tak bawa makanan tu kat tempat kerja awak marah saya lagi,” suara Yen memecah kesunyian ini. Aku tetap mendiamkan diri. Kedengaran keluhan Yen. Barangkali rimas dengan perang dingin yang kulancarkan sejak semalam.
“Makanan yang awak masak tu pun kawan-kawan saya dah habiskan. Mereka kata sedap. Adunan karipap sempurna,” tutur Yen cuba mengambil hatiku. Aku masih tidak bersuara dan terus mempamerkan wajah bersahaja. Pujian Yen tidak membuatkan aku teruja.
“Awak tak patut marah saya lagi sebab saya dah tebus kesalahan saya. Saya dah pastikan semua masakan awak habis dimakan oleh kawan-kawan saya,” keluh Yen seakan mahu merajuk. Aku diam lagi sambil mengunyah makanan di dalam mulut.
“Tumpang bangga juga bila kawan-kawan puji masakan awak. Saya tahu isteri saya memang pandai masak,” tutur Yen tersenyum sendiri. Kualih pandangan pada Yen. Seketika aku dan Yen beradu pandangan. Tatkala merasakan diriku tidak cukup kuat untuk melawan renungan mata Yen, pantas aku bangkit lalu bergerak ke singki meninggalkan Yen bersendirian di meja makan. Aku mula menyibukkan diri mencuci pinggan mangkuk dan peralatan dapur yang telah digunakan.
“Iman ssi...,” suara Yen bersaing dengan bunyi curahan air dari pili paip. Walaupun aku tidak memalingkan tubuh dan wajahku ke arah Yen, namun aku sudah memasang telinga untuk mendengar bicara yang bakal diungkapkannya.
“Sampai bila awak nak layan saya begini?” soal Yen disusuli keluhan berat. Akan terus begini sehingga Yen sudah lenguh dan bosan untuk berbicara sendirian. Sehingga perasaanku padanya padam. Aku ingin meluahkan bicara ini pada Yen, namun lidahku kelu. Akhirnya aku hanya mampu terpacak di depan singki ini lalu melontar pandangan jauh keluar tingkap. Lantas membiarkan pertanyaan Yen tidak dijawab.
No comments:
Post a Comment