“Apa beza gitar akustik dengan gitar klasik?” soalku pada Yen yang kelihatan leka membetulkan tali gitar akustik itu. Pertanyaanku tidak terus dijawab. Sebaliknya pandangan sekilas dilontar kepadaku. Setahuku gitar akustik ini merupakan jenis gitar yang popular. Di Malaysia gitar jenis ini lebih glamour dengan panggilan “gitar kapok” dan selalu dimainkan untuk “rock kapak”.
“Banyak beza antara gitar akustik dengan gitar klasik. Perbezaan pada jenis tali atau string yang diguna. Tali gitar akustik ialah steel-base string manakala tali gitar klasik termasuk flamenco dan bossa-nova, menggunakan nylon-base string. Tali 1-3 walaupun ada menggunakan steel, tapi disalut pada tali base nylon. Konsep yang hampir sama dengan gitar akustik, tapi menggunakan string nylon,” jelas Yen berjela tetapi tetap bersahaja. Ada sesetengah konsep yang Yen sebut itu tidak aku fahami. Susah.
“Ramai yang tahu beli je tapi tak reti bela,” ujar Yen sinis sekali gus merasakan diriku turut tersindir sama.
“Maksud awak?” soalku buat-buat tidak faham.
“Gitar akustik ini memerlukan penjagaan yang lebih dan kos repair yang agak mahal. Believe it or not, secara purata gitar akustik lebih mahal terutama yang sudah dimasukkan dalam kategori vintage seperti Martin Guitars. Kebanyakan beginner give-up tengah jalan sebab alasan susah nak main, tali keras, jari kecil, tekan tak kuat. Sesetengah gitar mempunyai fretboard dan body yang besar,” jelas Yen lagi. Aku mengangguk-angguk buat-buat faham. Mahu lari dari kutukan Yen. Kagum aku mendengar penjelasan terperinci Yen tentang gitar. Terbukti Yen memang pakar gitar. Pengetahuannya tentang gitar begitu mendalam dan meluas. Nanti kalau aku ada tugasan bertulis tentang gitar mudahlah aku menyiapkan sebab aku ada sumber rujukan yang terbaik yang berada di depanku tika ini. Aku tersenyum lebar seorang diri.
“Jadi antara gitar akustik dengan gitar klasik, yang mana paling sesuai untuk orang yang baru belajar seperti saya ni?” soalku lagi.
“Mesti ler gitar klasik sebab tali nylon walaupun tebal, tetapi lembut dan mudah dimainkan. Sesuai untuk beginner. Kelebihannya juga bunyi yang lebih lembut dan romantik tapi passionate,” jelas Yen ingin berkongsi ilmu tentang gitar. Yen berpaling padaku.
“Awak tak jadi ler nak belajar main gitar akustik ni?” soalnya.
“Jadi..,” laju aku menyahut. Tidak boleh dibatalkan lagi. Kebetulan Yen sudah meminjamkan aku gitar akustik ini. Mustahil aku hendak menyusahkan diri pula mahu membeli gitar klasik. Akupun bukan banyak duit hendak penuhi semua kehendak hati.
“Tapi awak harus ingat, gitar klasik ni ada juga kelemahan. Genre muzik yang agak terhad. Lagipun jarak antara string dan fret yang besar, maka fretboard yang lebih lebar. Gitar ini susah dimainkan oleh mereka yang mempunyai jari yang kecil dan comel. Paling penting memerlukan penjagaan yang lebih dan kos repair yang agak mahal. Kebanyakan gitar klasik yang elok mempunyai harga yang jauh lebih mahal dari gitar akustik dan gitar elektrik. Ada gitar vintage klasik yang mencecah jutaan RM,” tambah Yen berbicara.
“Ye ke?” Aku terlopong mendengar kenyataan Yen itu. Yen mengangguk.
“Gitar macam tu ada kat sini ke?” soalku sambil menunding jari pada deretan gitar yang digantung dalam penyimpanan kaca itu. Yen tergelak sendiri. Mungkin pertanyaanku ini mencuit perasaannya.
“Penutup untuk perbincangan hari ni, apa nasihat awak?” soalku.
“Pilih gitar yang sesuai mengikut gaya, citarasa dan genre masing-masing. Kalau masih belum pasti, saya nasihatkan cuba gitar akustik. Gitar akustik memang sukar dimain pada permulaan tapi selepas kerap latihan dan setelah biasa dengan gitar akustik, pasti lepas tu takde masalah untuk main gitar elektrik. Kalau biasa sangat main gitar lembut sekali kena akustik jari krem. Gunakan gauge yang lebih halus. Biasanya pada kotak set tali gitar akustik tu ada tulis “Heavy”, “Medium”, “Light”, “Extra Light”dan sebagainya. Pilih tali “Extra Light”. Tali jenis ini lebih senang nak main. Cuma bunyi tak sekuat berbanding kalau guna medium atau heavy gauge strings. Pilih juga gitar yang mempunyai body yang lebih kecil seperti triple atau double O. Paling penting elakkan D-type atau Jumbo type,” panjang lebar Yen berbicara. Aku menghela nafas panjang. Berat nak hadam konsep-konsep ini.
“Pening! Pening! Banyak sangat ler konsep pelik-pelik yang saya tak tahu,” luahku bingung. Aku baru mendengar nama-nama itu.
“Eleh, baru cakap sikit dah pening! Belum lagi praktikal dan mengenal kord-kord gitar,” kutuk Yen. Aku mengangguk langsung tidak menyangkal.
“Kelas untuk hari ni dah tamatkan?” soalku. Yen mengangguk.
“Seonsaengnim gamsahabnida (terima kasih cikgu)...!” tuturku sambil berdiri tegak lalu bergerak ke muka pintu.
“Awak nak ke mana?” soal Yen sambil memandangku yang sudah menguak daun pintu. Aku menoleh ke arah Yen dengan sengihan.
“Kejap lagi saya nak keluar pergi RCC,” jelasku.
“Buat apa?” soalnya lagi.
“Saja nak jumpa kawan-kawan,” balasku.
“Jumpa bekas bos awak,” tingkah Yen.
“Kalau ada rezeki tak lama lagi dia akan jadi bos saya semula,” ujarku memaklumkan kepada Yen. Semalam Kak Sarimah menelefonku menyatakan permohonon kerja part-time yang aku hantar kepada RCC dalam pertimbangan. Dia meminta aku datang ke pejabat RCC sebab Encik Rizal ingin bertemu denganku. Mungkin aku perlu melalui proses temuduga yang akan dikendalikan oleh Encik Rizal sendiri. Kalau aku diterima bekerja di RCC semula, maka aku sudah boleh memulakan kerjaku. Jadi hari ini ada sedikit perbincangan dengan Encik Rizal berkaitan perkara ini. Harap-harap aku dapat kerja itu.
“Awak tak cakap kat saya pun yang awak nak kerja kat RCC semula,” suara Yen bernada rajuk.
“Saya cakap ler ni,” balasku tersenyum.
“Kenapa awak nak kerja kat sana lagi?” soal Yen kurang logik. Mestilah aku kerja sebab hendak kumpul duit belanja untuk menyara hidupku. Tidakkan itu pun dia tidak boleh fikir.
“Saya kerja part-time je ler kat sana. Jangan ler serius sangat,” balasku melihat perubahan wajah Yen. Mungkin Yen risau aku tidak akan melaksanakan tugas-tugasku di banglo ini. Tidak pun dia risau terhadap pengajianku akan terjejas.
“Awak tak cukup duit?” soal Yen. Aku hanya tersengih panjang.
“Kalau awak nak kerja sangat, kerja ler kat My Dream,” ujar Yen memberi cadangan. Aku menatap wajah Yen. Terkejut juga mendengar undangannya itu.
“Kat sana kerja apa ye? Saya mana boleh jadi tenaga pengajar. Jangan-jangan awak nak suruh saya jadi tukang pembersih kat situ,” serkap jarangku. Yen tersenyum sinis. Mulutnya terkumat-kamit berbicara sendirian. Mesti dia sedang perli aku sekarang. Yalah tidak reti main gitar, tetiba terfikir pula hendak dijadikan cikgu kelas muzik di My Dream. Memang tidak logik.
“Awak kerja ler bahagian office. Tak pun jadi pembantu saya,” ujar Yen masih cuba memancing kesudianku bekerja sebumbung dengannya. Aku diam. Cuba membuat pertimbangan sewajarnya.
“Tak payah ler. Saya tak tahu nak buat kerja di bahagian office ni. Nanti tak pasal-pasal saya makan gaji buta. Kalau awak nak minta tolong saya, sesekali boleh ler,” ujarku menolak pelawaan Yen secara lembut. Yen diam. Wajahnya masih kelat. Tidak tahu apa yang ada dalam fikirannya sekarang.
“Sebelum awak keluar, awak masak dulu untuk saya. Tetiba saya rasa lapar,” ujar Yen melengahkan masaku. Aku mencebik geram.
“Kan awal lagi nak makan malam ni,” rungutku.
“Jangan lupa masak sebelum awak keluar. Kalau tak saya ikut je ke mana awak pergi,” ujar Yen persis budak-budak mengancamku.
“Saya tapau untuk awak ler nanti,”
“Tak nak! Saya mahu awak masak sekarang. Saya dah lapar ni, nanti kempunan ler saya. Awak mahu tengok saya kempunan ke?” bicara Yen kian melalut-lalut. Aku mendengus kasar.
“Merepak betul awak ni!” marahku.
“Saya nak makan kejap lagi!” ujar Yen berdegil.
“Okey ler... okey ler... Saya masak untuk awak sekarang,” ujarku mengeluh membuatkan Yen tersenyum lebar. Aku memasak ala kadar sahaja memandangkan aku mengejar masa tika ini. Kebetulan pula permintaan Yen ini mengejut. Lagipun belum sampai masa lagi untuk aku memasak hidangan malam. Usai mengemas dan membereskan masakan di dapur, aku bergegas ke bilik menyiapkan diri. Tidak mahu berlengah risau Encik Rizal lama menungguku memandangkan perjumpaan ini untuk membincangkan tentang kerja. Perjumpaan yang begitu penting. Tatkala aku memijak ruang tamu, Yen sudah berada di situ.
“Saya dah masak untuk awak. Awak boleh makan sekarang,” jelasku. Yen bangkit dari duduk. Ingatkan dia akan ke dapur untuk makan. Tiba-tiba tangan Yen mencapai tanganku.
“Nak ke mana ni?” soalku terkebil-kebil diperlakukan sedemikian. Tangan Yen kemas memuat tanganku lantas langkahku terdorong mengejar langkah Yen ke muka pintu.
“Biar saya temankan awak pergi ke RCC,” ujarnya.
“Mwo (apa)?” Aku terkejut mendengar bicara Yen. Apa mimpi dia mahu menghantarku ke RCC. Pelik bin ajaib perangai Yen ini. Betul-betul membingungkan aku. Aku menarik tanganku dari genggaman tangan Yen.
“Awak tersalah makan ubat ke?” soalku sinis. Yen geleng kepala.
“Kan awak kesuntukan masa sekarang. Jadi biarlah saya temankan awak,” ujar Yen memancing persetujuanku. Kutatap jam di pergelangan tanganku. Termasuk tempoh perjalanan, memang aku sudah terlewat sekarang. Yen masih berdiri di sisiku.
“Jom ler...!” Tahu-tahu Yen sudah menarik tanganku lalu mengheret langkahku melewati muka pintu. Aku hanya terkebil-kebil dengan tindakan Yen sekali gus mengikut sahaja gerak langkah yang diaturnya. Tatkala sampai di garaj, baharulah Yen melepaskan tanganku. Kedengaran suaranya mengarahkan aku masuk ke dalam kereta Mercedez Benz ini. Aku sekali lagi patuh pada arahannya. Cuba berfikiran positif dengan tindakan Yen. Dia memang berniat baik padaku.
“Pasang seat-belt sekarang,” arah Yen lalu menghidupkan enjin kereta. Aku mengunci tali pinggang keledar lalu duduk kemas-kemas. Mercedez Benz ini bergerak ke destinasi. Senyap. Aku dan Yen masih belum berbicara lagi. Sesekali aku melirik ke arahnya. Kesanggupan Yen menghantarku ke RCC terus menjadi persoalan mindaku. Dia mengarahkan aku masak kerana lapar yang tidak boleh ditahan-tahan lagi. Sepatutnya dia sedang makan sekarang menghilangkan laparnya itu. Ke mana pula hilang rasa laparnya itu? Kulihat Yen di sebelahku ini masih bertenaga tidak kelihatan langsung orang yang sedang kelaparan. Setahuku kalau dia kelaparan sangat persis singa jantan garangnya. Pelik... pelik... perangai Yen tika ini.
Gara-gara aku menyiapkan hidangan untuk Yen tadi, aku kesuntukan masa. Dalam aku terkial-kial mengejar waktu, Yen muncul dengan niat baik mahu menghantar aku ke RCC dengan alasan aku sudah terlewat. Memang aku sudah kesuntukan waktu. Tanpa sempat berfikir panjang, Yen menarik tanganku keluar rumah. Akhirnya aku duduk di sebelah Yen di dalam kereta Mercedez Benz yang sedang bergerak ini. Walaupun aku cuba berfikiran positif serta menerima niat baik Yen, namun hati kecilku tidak mampu dari terus mempersoalkan tindakan Yen ini. Mungkinkah Yen kurang senang pertemuanku dengan Encik Rizal? Cemburukah Yen pada Encik Rizal? Ohh... tidak mungkin! Aku geleng-geleng kepala sendirian.
“Yang awak geleng-geleng kecapi tu kenapa?” suara Yen menyentakkanku. Kupandang wajah Yen.
“Awak betul-betul ikhlas ke nak hantar saya ke RCC ni?” persoalan ini tidak mampu kupendam lagi. Yen mengangguk.
“Wae (kenapa)? Awak tak percaya ke? Jangan-jangan awak ingat saya nak halang awak dari jumpa Encik Rizal kan?” teka Yen. Yen tertawa buat hatiku panas. Segan aku bila Yen terlalu bijak membaca fikiranku.
“Iman ssi... jangan ler berfikiran jauh sangat. Awak pergi ler jumpa Encik Rizal tu, saya tak kisah pun,” jelas Yen menebalkan rasa maluku. Aku menghadiahkan jelingan tajam pada Yen yang sedang tersenyum lebar. Memang dia ini lelaki yang bermulut jahat. Tika berbicara langsung tidak mengendahkan perasaan orang lain.
“Perangai awak tu pelik. Bila saya kata nak jumpa Encik Rizal, awak terus suruh saya masak untuk awak sedangkan saya mengejar masa. Kononnya awak lapar sangat, tapi saya tengok sekarang bukan main bertenaganya awak ketawa dan perli saya,” bidasku sinis. Ketawa Yen lenyap. Serius wajahnya menatapku.
“Jang Geun Sik, awak tak rasa lapar lagi ke? Atau awak pura-pura lapar sebab nak lengahkan saya berjumpa dengan Encik Rizal? Awak jealous kan saya nak jumpa Encik Rizal,” ujarku sinis cuba mengenakannya balik.
“Yah...!” suara melenting Yen membingitkan telinga. Aku dan Yen berlawanan pandangan tajam seketika. Sama-sama mendengus geram lantas serentak mengalih muka ke cermin sisi. Senyap. Kami tidak berbicara lagi. Tidak lama kemudian, kelihatan bangunan Wisma Pelita. Kami sudah sampai ke destinasi yang dituju.
“Saya tunggu awak kat sini,” baru tanganku hendak menolak daun pintu kereta, terus terhenti tatkala mendengar suara Yen. Kupandang Yen.
“Tak payah tunggu saya. Saya boleh balik sendiri. Mungkin perjumpaan ni memakan masa yang lama. Mungkin saya dan Encik Rizal akan keluar minum atau saya temankan dia makan,” jelasku berjela.
“Saya akan tetap tunggu awak di sini,” balas Yen berdegil tanpa sempat menatap wajahku. Aku mengeluh.
“Jangan salahkan saya kalau awak terpaksa tunggu lama,” sahutku lalu beredar meninggalkan Yen di situ. Geram sangat dengan perangai Yen yang sukar diramal. Dia suka memeningkan kepalaku. Sekejap macam ini, lepas itu macam itu pula. Aku melangkah memasuki bangunan Wisma Pelita dengan perasaan yang tidak puas hati dengan sikap Yen. Dari kejauhan kulihat warga RCC sibuk melayan kunjungan para pelenggan. Tatkala berada di ambang pintu RCC sempat juga aku bertukar senyuman dan lambaian tangan sebagai sapaan pada Suzan yang melayan sebaris pengunjung yang menunggu giliran. Sempat juga dia menunding jari ke arah pejabat. Satu isyarat cuba disampaikan. Mesti dia ingin memperkatakan bahawa Encik Rizal sudah lama menunggu kedatanganku. Aku mengangguk. Tanpa berlengah terus aku brgerak ke pejabat pengurusan RCC. Kemunculanku disambut mesra oleh Kak Sarimah dan Fiona.
“Encik Rizal tunggu awak kat bilik,” ujar Kak Sarimah memaklumkan kepadaku. Aku mengangguk dan tersenyum.
“Terima kasih, Kak Sar,” ujarku atas informasi yang diberikan itu. Kak Sarimah tersenyum manis. Aku memang cukup senang dengan sikap dua orang pembantu Encik Rizal di bahagian pengurusan ini. Sangat ramah dan mesra biarpun jarang bersemuka dengan mereka.
Seketika aku berdiri di depan pintu sambil menarik nafas panjang. Cuba menenangkan diri sekali gus mengembalikan mood setelah Yen menimbulkan amarahku sebentar tadi. Kuketuk daun pintu perlahan-lahan. Kedengaran suara Encik Rizal mengarahkan aku masuk. Tatkala daun pintu terkuak, pandanganku dan Encik Rizal bertembung. Lantas kami bertukar senyuman.
“Sila duduk Iman,” arah Encik Rizal lagi. Aku melabuhkan duduk di kerusi di depan Encik Rizal.
“Maaf Encik Rizal, saya terlambat,” ujarku kesal. Encik Rizal hanya tersenyum. Sedikit pun tidak terpamer perasaan kurang senang setelah terpaksa menunggu kedatanganku. Berbeza sangat dirinya dengan Yen. Sempat juga aku membuat perbandingan sikap kedua-dua lelaki ini.
“Saya dah terima permohonan kerja awak. Sebab awak bekas pekerja RCC, jadi tak perlu ler nak interview lagi. Bila awak boleh mula kerja?” ujar Encik Rizal terus kepada topik perbincangan sekali gus mengejutkan aku. Terlalu pantas perkara ini diputuskan sehingga aku tergamam seketika.
“Esok boleh?” soal Encik Rizal memberi cadangan tatkala aku masih berdiam. Kupandang Encik Rizal. Rasanya inilah satu-satunya tawaran keemasan berlaku terlalu mendadak dalam hidupku. Bagai purnama jatuh ke riba. Persis mendapat durian runtuh. Alhamdulillah. Allah murahkan rezekiku.
“Betul ke saya dah boleh kerja?” soalku ragu-ragu. Encik Rizal mengangguk. Sememangnya bicara Encik Rizal telus. Dia tidak pernah berbohong mahupun mempermainkan aku. Aku tersenyum seraya meraup tangan ke muka tanda kesyukuran kepada Allah atas limpahan rezekiNya ini.
“Terima kasih, Encik Rizal,” baru sekarang aku berkeyakinan mengucapkan penghargaan ini kepadanya. Encik Rizal tersenyum lagi.
“Esok awak dah boleh mula kerja ke?” soal Encik Rizal mengulangi bicara tadi. Aku mengangguk. Tiada halangan aku memulakan kerja esok. Yen pun pasti tidak akan menghalangnya. Lagi pun aku sudah menyatakan perkara ini kepadanya.
“Awak akan kerja di RCC cawangan DLH sebagai pembantu Rustam penyelia pekerja di sana,” ujar Encik Rizal menyambung bicara. Aku tersentak. Aku ingatkan tawaran kerja yang aku terima ini sama seperti dulu. Rupanya lebih tinggi jawatan yang ditawarkan daripada dulu. Aku terdiam dan mula berfikir.
“Berbanding dengan kedudukan akademik awak sekarang, sebenarnya awak lebih layak menerima jawatan yang lebih tinggi dari itu. Namun saya tak nak bagi tekanan kerja pada awak memandangkan komitmen awak pada pengajian awak lebih penting sekarang,” ujar Encik Rizal seakan melihat aku tidak berpuas hati dengan jawatan yang ditawarkan itu. Ternyata Encik Rizal silap tafsiran. Sejujurnya jawatan yang ditawarkan sekarang lebih tinggi daripada yang aku harapkan. Seperkara lagi aku memikirkan bekerja di DLH. Ada rahsia yang perlu aku pegang. Risau andai kemesraan Datuk Kamarudin dan Puan Sodiah terhadapku mengundang kehairanan warga cawangan RCC termasuklah Encik Rizal. Sebabnya aku memikirkan bukan mustahil aku akan bertembung dengan ahli keluarga Yen di situ. Apatah lagi jikalau Velviana melihatku berada di kawasan DLH. Pasti curiga dan prasangka pada Yen bertambah-tambah. Oh, peningnya kepalaku hendak membuat keputusan ini!
“Encik Rizal, boleh tak beri saya masa sehari berfikir sebelum saya membuat keputusan?” soalku memohon pertimbangan kepada Encik Rizal.
“Kenapa? Awak tak puas hati dengan jawatan yang saya tawarkan?” soal Encik Rizal. Laju aku geleng kepala.
“Lebih dari tak puas hati. Saya ingat saya kerja di bahagian kaunter je. Tak sangka juga kerja di cawangan RCC,” luahku berterus terang.
“Kebetulan Rustam perlukan pembantu. Saya rasa awaklah yang layak mengisi jawatan tu,” ujar Encik Rizal begitu yakin.
“Tapi saya kerja part-time je, Encik Rizal,” ujarku memperingatkannya. Risau Encik Rizal terlupa pula. Nanti tidak pasal-pasal mengundang masalah kemudian hari. Encik Rizal mengangguk-angguk.
“Saya tahu. Awak tak suka ke dengan kerja ni?” soal Encik Rizal.
“Suka,” balasku pendek. Encik Rizal senyum.
“Macam ni je ler. Balik rumah awak fikir baik-baik. Lepas dapat jawapannya awak beritahu saya keputusan awak,” tutur Encik Rizal bertimbang rasa. Aku mengangguk menyetujui cadangan Encik Rizal.
“Terima kasih, Encik Rizal,” ujarku berbesar hati dengan sikap diplomasinya ini. Encik Rizal memang kaya dengan sikap mulia.
“Tapi awak perlu ingat, saya memang berharap sangat awak terima jawatan ni,” ujar Encik Rizal buat aku terkedu. Bermakna kalau aku menolak pasti Encik Rizal akan kecewa. Bicara Encik Rizal sedikit memberi tekanan kepadaku. Kegirangan yang berputik sebentar tadi terjejas.
“Jom, temankan saya minum,” ajakan Encik Rizal menyentakkanku. Encik Rizal sudah bangkit dari kerusi lalu berdiri di sisiku.
“Dah lama kita tak minum bersama,” ujar Encik Rizal menambah bicara. Aku bingkas bangun dari kerusi ini. Sekarang ini sudah berdiri di sebelah Encik Rizal.
“Kali ini biar saya yang belanja Encik Rizal minum,” ujarku disambut anggukan kepala Encik Rizal. Kalau setakat minum aku masih mampu membayar. Rasa tidak sedap hati juga kalau Encik Rizal sahaja yang mengeluarkan duit. Tatkala aku dan Encik Rizal beriringan meninggalkan RCC, senyuman mengusik teman-teman dilemparkan kepada kami. Suzan juga sempat menayangkan ibu jari kepadaku. Mujur Encik Rizal tidak menyedari tingkahlakunya itu. Gembira sangat dia melihat aku bersama dengan Encik Rizal.
Di Restoran Bayu Borneo yang baru beberapa bulan beroperasi ini, aku memesan jus oren, manakala Encik Rizal sekadar mahu minum air teh kosong. Ringkas sangat pilihannya persis orangnya. Tatkala aku ajukan pertanyaan tentang makanan yang ingin dipesannya, Encik Rizal sekadar geleng kepala. Kononnya minum semeja denganku sudah cukup mengenyangkannya. Penuh makna tersirat juga bicara Encik Rizal ini. Silap hari bulan boleh membuai perasaanku sekali gus lupa pada status diriku. Tiba-tiba aku teringatkan Yen yang berkeras mahu menungguku. Kulirik jam di pergelangan tangan. Jarum jam sudah mencecah ke angka 5.15 petang. Bermakna hampir dua jam sudah Yen menungguku di dalam kereta. Itupun kalau Yen mampu bertahan dan terus bersabar menanti kemunculanku. Jangan-jangan dia sudah meninggalkan perkarangan Wisma Pelita ini. Aku bukan tidak kenal dengan perangainya yang kurang sabar itu. Mustahil dia sanggup menungguku begitu lama. Penantian itu satu penyeksaan. Tambahan pula peredaran waktu 24 jam itu tidak cukup untuk memenuhi kesibukan Yen. Jadi logiknya Yen tidak akan membiarkan waktu yang sangat berharga ini berlalu begitu sahaja.
“Awak mengejar masa?” soal Encik Rizal setelah menyedari beberapa kali aku menatap jarum jam ini. Aku geleng kepala. Pura-pura bagai tiada apa yang berlaku. Andainya Yen terus mahu menungguku, pasti saat ini dia rimas menantiku lama. Rasanya kalau aku dalam situasi itu sekarang, pasti juga sukar untuk bertahan. Aku melirik lagi ke arah jarum jam. Sedikit gusar juga aku tatkala mengingati Yen. Mesti dia murka sangat sekarang.
“Betul ke awak takde apa-apa hal masa ni? Kalau tak kita pergi sekarang,” ujar Encik Rizal masih curiga dengan tingkahlakuku. Aku tersengih panjang. Jadi serba salah aku dibuatnya. Kugaru-garu kepala yang tidak gatal.
“Maaf Encik Rizal, sebenarnya saya ada hal sekarang,” tuturku perlahan. Encik Rizal geleng kepala.
“Awak ni... kenapa tak cakap je tadi,” rungut Encik Rizal.
“Jom...,” tutur Encik Rizal lalu bangun dan mahu melangkah ke kaunter pembayaran. Namun cepat aku mematikan langkahnya itu.
“Encik Rizal nak ke mana? Bukan ke saya yang janji nak belanja Encik Rizal minum tadi,” ujarku sedikit berbisik tidak mahu orang sekeliling mendengarnya.
“Kali ini biar saya yang bayar. Lain kali awak yang bayar untuk saya,” tutur Encik Rizal berbisik juga. Begitu dekat dengan telingaku. Lagaknya sungguh romantis. Wajahku terasa membahang dengan perlakuan Encik Rizal ini. Encik Rizal tersenyum lebar meninggalkan aku yang masih terpacak di situ.
Usai melangsaikan harga segelas jus oren dan secawan air teh kosong yang aku dan Encik Rizal minum tadi, kami beriringan melangkah meninggalkan Restoran Bayu Borneo. Di pertengahan jalan, aku dan Encik Rizal berpisah mengikut haluan masing-masing. Sempat juga Encik Rizal berpesan agar mempertimbangkan sebaik-baiknya tawaran yang diberikan sebentar tadi. Lantas aku berjanji akan memikirkan sedalam mungkin. Aku meneruskan langkah ke pintu utama bangunan Wisma Pelita ini. Belum sempat aku menapak di ambang pintu, pantas aku berpaling tatkala terpandang premis KFC. Aku berfikir seketika. Seminit kemudian, langkahku terus bergerak ke premis itu. Burger dan segelas besar air milo ais kutapau. Mungkin saat ini Yen perlu sangat-sangat hidangan ringkas ini. Bahkan boleh dijadikan pengalas perut sepanjang perjalanan balik nanti. Sesampai di rumah nanti boleh terus makan memandangkan sebelum keluar tadi aku sudah masak untuknya.
Dari kejauhan aku nampak kerete Mercedez Benz itu masih berada di laman parkir tadi. Tidak sangka Yen mengotakan kata-katanya mahu menungguku. Aku juga tidak pernah berharap yang dia akan membazirkan masa kerana aku. Tatkala aku berada di sisi kereta Mercedez Benz ini, kulihat Yen sedang lena. Mujur pintu tidak berkunci. Jadi tidak perlu aku mengganggu tidurnya untuk meloloskan diri masuk ke dalam kereta ini. Seketika aku duduk diam di sebelah Yen. Berpeluang juga aku merenung wajah pemuda Korea ini ketika tidur. Dalam diam aku memuji ketampanannya. Walau macam mana sekalipun lagaknya, ketampanan tetap terserlah. Jarang orang yang sedang tidur ini nampak handsome dan cantik...he...he...he...he...! Timbul belas kasihanku melihat Yen tertidur begini. Perlahan-lahan perasaan geramku padanya tadi padam.
Tiba-tiba Yen bergerak. Laju aku mengalih muka memandang ke depan. Pura-pura leka dengan pandangan yang ada di depan mataku. Kedengaran Yen menguap beberapa kali. Belum cukup tidur barangkali. Tambahan pula terlena dalam duduk bukan boleh tidur nyenyak pun.
“Awak dah ada kat sini. Lapar ler...,” keluhnya sambil menggeliat beberapa kali. Ditepuk-tepuk tengkuk. Mungkin terasa lenguh.
“Saya ada beli burger dan milo ais untuk awak. Nah...,” alantas menyuakan beg kertas KFC itu kepadanya. Yen langsung tidak menolak. Tangannya laju membuka beg kertas itu. Begitu rakus dia menikmati burger dan milo ais itu. Betul-betul nampak menyelerakan. Kasihan aku melihatnya.
“Terima kasih,” tutur Yen tiba-tiba.
“Terima kasih untuk apa?” soalku hairan.
“Ni beli burger dan milo ais untuk saya,” jelasnya tersenyum.
“Alah, dah nak habis makan baru nak ucap terima kasih,” kutukku mengusiknya. Yen tersengih panjang. Beg kertas diletak di tepi. Yen mengelap bibir dan jari-jemarinya dengan tisu sebelum memulakan pemanduan. Kemudian Mercedez Benz mula bergerak meninggalkan perkarangan Wisma Pelita.
“Bagaimana? Dapat tak kerja tu?” soal Yen sambil melirik kepadaku. Aku mengangguk.
“Awak macam tak happy je dapat kerja tu,” komen Yen melihat aku hanya bersahaja memaklumkan berita gembira itu kepadanya. Kurang teruja.
“Saya risau ler kerja kat cawangan RCC tu. Takut ada masalah timbul kemudian hari,” luahku berterus-terang. Mana tahu Yen ada jalan penyelesaian. Mahu aku melihat tindak balas Yen terhadap perkara ini.
“Awak kerja kat RCC di DLH tu ke?” pantas saja Yen menyedari bicaraku. Aku mengangguk. Kutatap wajah Yen melihat tindak balas yang diberikan. Diam. Keluhan kecilku tercetus.Yen juga tidak mampu memberikan pendapat dalam hal ini.
“Kenapa awak tak mohon jadi guru ganti je. Baru sesuai dengan course awak,” ujar Yen memberi cadangan yang kurang memberangsangkan.
“Awak bina ler sekolah sendiri. Nanti saya apply kat sana,” balasku sinis. Yen tersengih.
“Saya dah buka sekolah pun. Malah saya dah pelawa awak kerja dengan saya tapi awak tolak. Awak masih juga nak kerja dengan Encik Rizal tu. Entah ilmu apa yang Encik Rizal guna nak ikat awak,” ujar Yen sesedap mulut dia sahaja berbicara.
“Apa awak kata?” Aku mendengus geram mendengar tuduhan Yen yang tidak berasas itu. Yen tersenyum-senyum.
“Kalau saya jadi cikgu kat sana, mesti saya yang diajar oleh anak-anak murid saya bukan saya yang mengajar mereka,” balasku geram. Yen tertawa. Hatinya tercuit mendengar pengakuan telusku itu.
“Bukan saya nak suruh awak jadi tenaga pengajar. Awak bukan reti pun main gitar. Saya nak awak jadi pembantu saya. Buat kerja office,” ujar Yen sempat juga memperliku.
“Kalau nak buat kerja office sama juga ler kerja kat RCC. So lebih baik saya kerja di RCC,” putusku.
“Awak tetap juga pilih Encik Rizal dan ketepikan sayakan,” ujar Yen membuatkan aku terdiam. Tidak sangka Yen boleh berfikir sejauh itu. Namun tidak pula aku terniat mahu membetulkan kenyataannya itu. Kalaulah dia hendak beranggapan begitu biarlah. Malas aku hendak mengubah kenyataan itu dalam keadaan fikiranku berserabut ini. Kalau aku menyangkal bicara itu, khuatir aku jikalau Yen fikir aku syok padanya seperti awal-awal tadi. Tidak pasal-pasal nanti aku malu lagi.
Kereta Mercedez Benz sudah memasuki perkarangan banglo. Yen yang kuharapkan memberikan pendapat langsung tidak bersuara lagi. Nampak dia tidak berminat mencampuri hal ini. Barangkali dia merasakan pendapatnya tidak diperlukan sedangkan aku memang berharap sangat dengan luahan buah fikirannya memandangkan perkara ini ada kaitan dengannya. DLH ialah milik keluarganya. Suatu hari nanti Yen akan mentadbir dan menguruskan DLH. Pada masa itu aku dan Yen harus lebih berjaga-jaga demi mahu rahsia kami tidak terbongkar. Barangkali juga Yen tidak mahu aku salah faham seperti yang aku fikirkan saat ini. Akhirnya aku hanya mendiamkan diri dan bercadang akan memutuskan perkara ini sendiri.
“Tak payah kerja kat situ. Mulai hari ni biar saya yang sara hidup awak sepenuhnya,” ujar Yen tiba-tiba lantas keluar dari kereta meninggalkan aku yang masih berdiam diri di dalam kereta ini. Aku masih tidak bergerak-gerak dari dudukku memikirkan bicara Yen sebentar tadi. Bukan itu yang aku harapkan yang keluar dari mulut Yen.
Tetiba satu kenyataan melintas di fikiranku. Seorang isteri sudah menjadi tanggungjawab seorang suami. Bermakna sudah menjadi kewajipan Yen untuk membiayai keperluan hidupku sebagai isterinya. Namun ikhlaskah Yen berbuat demikan? Adakah Yen mula merasakan bahawa aku ialah isterinya lantas mula menyedari tentang tanggungjawabnya terhadapku? Tiba-tiba sahaja aku tidak tenteram memikirkan semua ini. Hatiku jadi gundah-gelana. Aku kematian akal untuk terus berfikir.
No comments:
Post a Comment