Aku menatap sekitar bilik ini. Langsung tiada perubahan. Almari solek masih terletak di sudut tepi itu. Katil tempat aku beradu masih berada di tengah-tengah bilik ini. Poster-poster hero Korea itu juga masih tertampal pada tempat asal. Hanya yang tidak sama cadar pada tilam ini. Pasti Mak Siti telah menukarkan dengan cadar baru. Pasti kepulanganku hari ini diketahui juga oleh Mak Siti. Jari-jemariku menyelusuri permukaan almari solek sehingga ke bahagian meja tempatku menulis-menulis termasuk katil ini. Kesat jariku. Ada debu-debu yang melekat pada permukaan yang kusentuh tadi. Lantas kucapai penyapu bulu ayam lalu membuangkan debu-debu tersebut. Esok aku akan mengelapnya.
“Iman ssi, awak buat apa sekarang? Datanglah sini berbual dengan saya!” kedengaran laungan Yen dari tingkat bawah. Pelik! Sejak bila pula dia pandai mengajak aku berbual ini. Jangan-jangan tinggal berjauhan membuatkan dia merinduiku. He...he...he... Aku tersenyum sendiri. Yen sesekali tidak akan merinduiku. Cuma dia tercari-cari pembantu rumahnya.
Usai membuang debu-debu di bilik ini, barulah aku memunculkan diri di depan Yen. Aku berlegar-legar seketika di ruang tamu membuat pemantauan sekilas sambil diperhatikan oleh Yen. Kuperhatikan setiap permukaan peralatan yang ada di ruang tamu ini. Mataku jatuh pada rak buku dan majalah itu. Kelihatan beberapa helaian majalah terjuntai dan buku yang tidak tersusun kemas. Aku berpaling menatap Yen.
“Awak tak kemas dan bersihkan rumah ke?” soalku kurang selesa dengan persekitaran yang berserabut dan kotor. Belum lagi aku menjejakkan kaki ke dapur. Keadaan bilik Yen barangkali persis tongkang pecah.
“Saya tak sempat nak bersihkan busy sangat,” ujar Yen bersahaja.
“Dulu saya pun busy juga tapi masih sempat pastikan rumah ni dalam keadaan bersih dan kemas,” ujarku tidak dapat menerima alasan itu. Yen mencebik bibir.
“Mak Siti ada datang sini tolong kemas rumah ni, tapi seminggu dah dia tak datang sebab ada masalah keluarga. Kalau dia datang taklah seteruk begini,” jelas Yen. Aku mengeluh. Inilah budaya orang kaya suka sangat bergantung kepada orang lain. Kerja mudah pun tidak ralat hendak lakukan sendiri.
“Tapi awak jangan lupa. Saya yang tukarkan cadar tilam awak tu. Saya tahu awak tak boleh tidur atas cadar yang lama terbiar,” ujar Yen tersengih. Ingat juga dia pada alahanku ini. Dahulu tika aku tidur di bilik Yen di Villa Sentosa habis leher dan tanganku tumbuh ruam gara-gara berbaring di atas cadar yang lama tidak ditiduri. Tika itu sempat juga aku menyusahkan Yen yang terpaksa menemaniku pergi ke klinik tengah malam mendapatkan pemeriksaan doktor. Bukan setakat itu sahaja aku menyusahkan Yen. Keesokannya pula, Yen bertungkus-lumus membersihkan bilik itu. Kemudian membawaku balik ke sini tidak mahu aku tidur di bilik itu untuk malam seterusnya. Ternyata Yen mengambil langkah selamat. Namun jauh di sudut hatiku, aku terharu. Biarpun tidak secara terang-terangan, namun itulah keprihatinan yang Yen tunjukkan. Aku duduk di sofa. Kupandang Yen.
“Sebab tu saya tak boleh nak marah awak. Apapun esok pastikan awak bangun awal. Kita sama-sama kemas dan bersihkan rumah ni,” ujarku persis puan besar di rumah ini. Yen nampak berfikir-fikir.
“Awak nak dating dengan Velviana ke esok?” soalku melihat Yen masih belum menyatakan kesanggupan dan persetujuannya. Yen geleng kepala.
“Dia kat Paris sekarang. Ada show kat sana,” jelas Yen memaklumkan.
“Patutlah awak nampak monyok je macam orang tengah kematian isteri,” perliku mengusiknya. Besar anak mata Yen menatapku.
“Lain kali saya tak nak dengar awak cakap macam tu!” tegas Yen serius.
“Wea (kenapa)?” soalku.
“Saya tak nak awak tinggalkan saya,” balas Yen. Aku terdiam. Terkeliru dengan bicara pemuda Korea ini.
“Apa kena mengena dengan saya pula,” balasku hairan.
“Iman ssi, awak dah lupa ke yang awak tu isteri saya,” balas Yen geram.
“So...,” balasku belum mengerti.
“Macam mana awak boleh belajar kat universiti kalau otak lembab begini,” kutuk Yen langsung tidak mahu melepaskan peluang.
“Yah...!” Aku melaung geram. Yen tersengih suka kerana telah berjaya menyakiti hatiku. Lantas kudiamkan diriku sambil memikirkan bicara Yen tadi. Memang saya isteri Yen. Apa yang Yen tidak suka dengan kata-kataku tadi? Monyok ... kematian isteri. Ohh, agaknya inilah yang Yen tidak berkenan. Hehehe... Tidak rela juga dia menyandang status duda kalau aku mati lebih awal daripadanya. Mungkin juga Yen fikir bicaraku tentang kematian itu merujuk kepada Velviana. Eh, tidak patut dia berfikir begitu! Aku tidaklah sekejam itu hendak mendoakan perkara yang tidak elok kepada kekasihnya itu.
“Dah boleh fikir maksud bicara saya tadi?” soal Yen setelah melihat aku hanya mendiamkan diri. Aku mencebik bosan.
“Kalau isteri awak mati, awak kahwin lagi. Awakkan ramai peminat. Girlfriend pun berderet,” perliku. Pandangan Yen tetap serius menatapku. Memang dia tidak suka mendengar bicaraku. Padaku, bicara ini merujuk aku bukan isterinya lagi. Mudah sahaja aku mencadangkan perkara ini kepadanya.
“Kan saya dah cakap tadi saya tak suka awak cakap macam tu,” tegas Yen sekali lagi. Aku tersengih. Giliranku pula suka melihat Yen menarik muka masam. Bukan susah pun hendak buat dia marah. Namun walau macam mana sekalipun ekspresi wajah yang ditayangkannya, pemuda Korea ini tetap kacak menawan. Agaknya sebab ini jugalah Velviana fanatik sangat dengan Yen. Yalahkan kembar seiras Jang Geun Suk. Pasti di luar sana aktor kacak Korea ini memiliki jutaan peminat di seluruh dunia. Rentetan itu Velviana begitu bangga sungguh memiliki kekasih seperti Yen seorang pemuda yang begitu sempurna. Kesimpulannya, Velviana akan bermati-matian mempertahankan Yen menjadi milik mutlaknya. Eee...gerunnya aku!
“Awak tahu tak tanpa awak rumah ni rasa sunyi sangat,” suara Yen memecah kesepian. Dia tersenyum sendiri buat aku terdiam seketika.
“Baguslah. Boleh juga awak fokus dengan kerja-kerja awak sebab takde orang yang ganggu awak lagi,” sahutku.
“Awak dah habis eksplorasi iPad tu?” soal Yen mengingatkan aku pada niat utama kepulanganku ke sini. Sebab hendak meminta tunjuk ajar dialah aku teruja sangat hendak balik hari ini. Kebetulan pula memang Yen mewajibkan aku berada di sini malam ini. Aku geleng kepala. Selain belum mahir, aku juga belum sempat meluangkan banyak masa untuk menjelajah setiap fungsinya. Risau juga kalau aku silap langkah akan memudaratkan iPad tersebut. Memandangkan iPad itu mahal harganya, jadi aku ambil langkah berwaspada.
“Malam nanti awak ajarlah saya macam mana nak guna semua fungsi yang ada kat situ,” pintaku memujuk Yen. Yen mengangguk buat aku senang hati. Kali ini mudah pula Yen menyetujuinya. Barangkali risau kalau aku terus melabel dirinya si kedekut ilmu. Aku tahu Yen sedia membantuku pada bila-bila masa sahaja. Satu perkara lagi memang Yen pernah melafazkan untuk menolong dan melindungiku.
“iPad tu dah dilengkapi dengan internet dan 4G. Awak boleh guna Internet bila-bila masa saja nak cari bahan-bahan untuk buat tugasan awak. Bayaran bulanan Internet tu tak payah awak risaukan. Saya akan tanggung semuanya,” ujar Yen. Betapa aku terharu dengan kebaikan Yen ini. Banyak sangat sudah aku terhutang budi dengannya.
“Bila saya dah bekerja nanti, saya akan bayar semua tu kat awak,” janjiku tidak mahu terlalu banyak terhutang budi dengan Yen.
“Tak payah. Awak belajar je sungguh-sungguh. Lepas tu capai semua impian awak,” balas Yen menolak janjiku.
“Tapi saya nak bayar juga,” balasku masih berdegil. Yen mengeluh.
“Saya tak nak terhutang budi banyak sangat dengan awak. Tak elok kalau saya terus bergantung pada awak,” balasku meluahkan isi hatiku.
“Selagi awak bergelar isteri saya maka awak dah jadi tanggungjawab saya. Awak tak boleh menolak tanggungjawab saya pada awak,” tingkah Yen. Aku diam. Yen mula bersungguh-sungguh mahu melaksanakan tanggungjawab seorang suami yang dipikulnya tapi aku? Risau juga kalau banyak sangat termakan budi, nanti tergadai body. Ee... tidak rela aku! Aku dan Yen hanya sepasang suami isteri yang tertera pada kertas sahaja.
“Saya tak senang hatilah,” luahku. Yen mengeluh panjang.
“Kalau awak berdegil nak bayar semua tu, okey... awak bayar dengan hayat awak,” ujar Yen. Kupandang wajah Yen. Keliru.
“Maksud awak?” soalku meminta penjelasan lanjut.
“Hidup bersama saya sepanjang hayat awak,” jelas Yen buat aku tergamam. Yen sudah tersenyum-senyum.
“Kejamnya awak!” bentakku. Apa tidak kejamnya. Dia mahu aku selamanya berada di sampingnya seperti kehidupan sekarang. Bagaimana aku hendak membina impianku untuk memiliki sebuah keluarga lengkap yang bahagia. Sebaliknya dia dengan Velviana akan beranak-pinak dan hidup bahagia. Tidak adil!
“Kalau hidup terus macam ni, macam mana saya nak capai impian saya nak hidup bahagia bersama keluarga saya,” luahku.
“Awak perlukan orang lain ke untuk capai impian awak tu?” soal Yen. Laju aku mengangguk. Wajah Yen serius.
“Awak ada Velviana. Sudah pasti saya juga mahukan pasangan saya,” luahku jujur. Inilah lumrah alam. Setiap makhluk di muka bumi ini memerlukan pasangan demi melengkapkan kehidupan masing-masing. Sejarah sudah terukir tatkala Nabi Adam hidup kesunyian keseorangan. Lantas Allah ciptakan Hawa sebagai penemannya di syurga dan di muka bumi ini.
“Apa salahnya kalau awak bermadu dengan Velviana,” cadang Yen selamba. Besar anak mataku menatap Yen. Sesuatu Perkara yang tidak akan berlaku. Aku tahu Yen berkemampuan untuk beristeri lebih daripada seorang, tetapi sanggupkah Velviana melihat Yen membahagikan kasih sayang dan perhatiannya kepada isteri-isterinya yang lain? Aku pula memang tidak sanggup. Bukan aku hendak menentang perkara yang pernah Rasullullah lakukan tetapi aku khuatir aku tidak ikhlas melakukannya. Hidup dalam keterpaksaan begitu menyeksakan. Lihat sahaja keadaan Mak Long yang terpaksa menerima kewujudanku dalam keluarganya.
“Awak tak mahu hidup bermadu ke?” soal Yen setelah melihat wajah mendungku. Sebetulnya aku bersedih tatkala mengenangkan kisah hidupku dengan Mak Long. Betapa sebenarnya aku kasihan pada Mak Long. Sebenci-benci Mak Long kepadaku, masih ada juga kesudian dia menumpangkan aku tinggal di rumah mereka dan makan masakannya. Atas jasa dan budi Mak Long sekeluarga aku hidup hingga ke hari ini. Tetiba hatiku dipagut sayu yang amat. Perlahan-lahan tpanas mengalir di pipiku.
“Iman ssi, kenapa dengan awak?” suara Yen menerjah telingaku. Laju aku mengesat air mata di pipiku tatkala menyedari aku sedang menangis tanpa aluan sendu-sedanku. Yen terkebil-kebil menatapku.
“Kalau awak tak nak hidup bermadu takpelah. Saya takkan paksa awak terima Velviana sebagai madu awak dan saya berjanji selagi awak bergelar isteri saya selagi itu saya takkan kahwin dengan perempuan lain,” ikrar Yen.
Ternyata Yen sudah salah faham dengan tingkahlaku tika ini. Ingin aku memperbetulkan tanggapan salah Yen itu, namun mulutku terus terkunci. Bicaraku tersekat di kerongkong. Aku dan Yen saling berpandangan. Tika ini hanya terlukis keseriusan dan kesungguhan di wajah Yen. Betulkah Yen senekad bicaranya itu? Aku terkedu dan tergamam panjang memikirkan ikrar yang telah Yen lafazkan sebentar tadi. Seiringan dengan itu air mataku terus mengalir perlahan-lahan menuruni cerun pipiku. Suka dan duka bercampur baur menghuni hatiku. Bahagia, terharu, teruja bergabung menjadi satu.
Seperti yang dijanjikan dan dipersetujui, aku dan Yen bangun awal pagi. Usai menikmati sarapan, kami terus memulakan kerja-kerja pembersihan rumah. Bermula dengan ruang dapur. Kemudian bergerak ke ruang tamu. Dari ruang tamu sampai lengkaran anak tangga ini semua disapu bersih. Selepas itu, bergerak ke kamar tidur Yen. Aku mengumpulkan pakaian-pakaian Yen yang kotor yang perlu dibasuh ke dalam bakul besar. Sementara Yen membersihkan lantai. Debu-debu semua disedut. Cepat sahaja kerja pembersihan dilakukan.
Usai membersihkan kamar tidur Yen, Yen bergerak ke mini studio. Sebaliknya aku singgah di bilik tidurku mengelap sisa-sisa debu yang masih tertinggal dengan kain basah. Tidak banyak yang perlu aku lakukan memandangkan semalam aku sudah membuang debu-debu tersebut. Berpuas hati dengan kebersihan bilik ini, aku bergerak ke mini studio membantu Yen mengemaskan ruang kerjanya itu. Tidak banyak yang dapat aku lakukan memandangkan di bilik ini dipenuhi dengan audio dan peralatan muzik. Kebetulan pula memang bilik ini dipenuhi dengan harta karun kesayangan Yen. Pantang bagi Yen membiarkan orang menyentuh peralatan di sini termasuklah aku. Boleh dikatakan di sinilah nadi nyawa Yen.
Aku berdiri di depan deretan gitar milik Yen. Kuperhatikan satu-persatu. Gitar-gitar yang tergantung dalam penyimpanan kaca ini dijaga dengan rapi. Sedikitpun permukaan gitar ini tiada nampak cacat-cela. Alangkah seronokn kalau aku juga berkemampuan memetik tali gitar lalu mengalun melodi indah. Pasti aku akan mencipta sebuah lagu yang menceritakan kisah kehidupanku. Kemudian aku memperindahkan lagu tersebut dengan melodi yang mengasyikkan. Lantas aku akan mengalun menghiburkan hati yang adakala dirundung duka lara. Berpeluangkah aku merealisasikan angan- anganku ini? Sudikah Yen menjadi guruku? Oh, alangkah indah jika imaginasi ini menjadi realiti.
“Hoi, jauhnya awak mengalamun! Awak sedang bercakap dengan gitar-gitar tu ke?” soal Yen berbaur perlian. Aku berpaling dan tersenyum. Segera aku berganjak dari terus menghadap gitar-gitar ini. Lantas duduk di sofa sambil memandang ke arah Yen.
“Saya sedang memikirkan kalaulah saya pandai memetik gitar..,” jelasku tanpa segan silu. Yen tersenyum.
“Kadangkala jealous juga tengok awak begitu mahir memetik gitar,” luahku tanpa berselindung. Yen tersenyum lagi.
“Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan,” balas Yen memperingatkan aku bahawa sesuatu yang di luar jangkaan tidak akan menjadi mustahil kalau kita ada kesungguhan mahu melakukannya. Memang kemahiran bermain gitar boleh dipelajari asalkan aku mahu berusaha gigih. Aku tersenyum sendiri.
“Sekejap lagi saya nak basuh pakaian awak. Bahagian awak jangan lupa menjemur,” ujarku memperingatkan Yen lalu bangkit dari sofa mahu beredar dari situ. Yen mengangguk akur.
“Lepas ni apa rancangan awak?” soal Yen membuatkan langkahku terhenti di ambang pintu. Aku berpaling menatap Yen.
“Petang nanti saya nak keluar jumpa Suzan dan kawan-kawan kat RCC,” ujarku.
“Nak jumpa Encik Rizal sekali,” tambah Yen.
“Apa salahnya kalau kebetulan terserempak dengan dia. Lagipun jumpa dia bukan ada siapa-siapa marahpun. Bukan macam awak ada pengawal peribadi yang ganas taksub,” balasku mengaitkan dia dengan Velviana. Yen diam. Barangkali dia faham maksud bicara yang cuba aku sampaikan itu.
“Velviana pukul awak sebab dia tak tahu tentang hubungan kita,” balas Yen. Aku tersenyum sendiri.
“Agaknya kalaulah dia tahu yang saya ni isteri awak, barangkali mahu dibunuhnya saya,” balasku menyedarkan Yen betapa menakutkan gadis itu sekali gus memperingatkan Yen agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada dengan tingkahlaku dan bicaranya. Khuatir rahsia ini akan terbongkar.
“Jadi awak takut dengan Velvianalah,” ujar Yen membuat kesimpulan.
“Anio (tidak) ...,” Yen menatapku dengan persoalan.
“Tindakan berani Velviana membuktikan betapa dalam cintanya pada awak. Beruntungkan awak sebab ada orang yang menyayangi awak sebegitu,” tambahku membuatkan Yen terdiam panjang. Kutinggalkan Yen yang masih dalam diamnya. Biarlah dia terus berfikir. Sekurang-kurangnya dia akan menyedari semua itu lantas mengajar dirinya menjadi setia. Setia pada Velviana dan berhenti dari mencari cinta lain sekali gus tidak perlu berbicara manis dan puitis denganku lagi.
USAI solat asar, aku meninggalkan banglo ini untuk menemui teman-teman RCC. Tatkala aku ingin berangkat, kereta Mercedez Benz sudah tiada di garaj. Ternyata Yen telah mendahuluiku. Dia ada rencana sendiri. Tidak pun mereka ada sesi jimming. Tepat 4.00 petang, aku tiba di Pelita Mall yang menempatkan premis RCC. Aku mengatur langkah ke destinasiku. Kedatanganku ke RCC sengaja tidak kumaklumkan kepada Suzan. Niat hendak membuat kejutan pada teman-teman. Kelihatan Suzan separa badan menjenguk di bawah kaunter. Manakala kaunter di sebelah kosong. Ada seorang dua yang sedang mengemas kerusi meja. Teman-teman lain tidak kelihatan. Mungkin sibuk di bahagian dapur. Aku melangkah perlahan-lahan mendekati kaunter.
“Morning, saya nak order set Cheese Cupcake dan dua set Mini Choc Cupcakes,” ujarku perlahan. Lantas tubuh Suzan terus tertegak lalu memandang ke depan.
“Selamat da... Iman...!!!” suara Suzan bergema menyebabkan pelanggan yang berada di situ melontar pandangan ke arah kami. Laju sSuzan menutup mulut. Baru menyedari lontaran suaranya yang kuat itu telah menarik perhatian orang yang berdekatan. Aku tersengih. Lucu melihat telatah Suzan.
“Lama tak jumpa. Rindu dengan awak,” tutur Suzan.
“Saya pun rindu kat awak juga,” balasku. Suzan tersengih suka.
“Awak tak rindu kat orang dalam office tu?” tutur Suzan mengusikku sambil muncungnya mengarah ke pejabat RCC.
“Mestilah saya rindu kat Kak Sar dan Fiona. Mereka kawan kita juga,” balasku buat-buat tidak faham. Sengaja mempermainkan Suzan.
“Bukan itulah maksud saya,” rungut Suzan geram. Aku tertawa kecil.
“Sejak awak takde kat sini, hidupnya tak berapa ceria. Sian dia, Iman,” ujar Suzan bersedih. Aku hanya mendiamkan diri.
“Awak call dan whatsApp dia selalu,” arah Suzan persis ibu kepada Encik Rizal lagaknya. Aku masih mendiamkan diri. Sudah berulangkali aku maklumkan kepada Suzan dan teman-teman RCC bahawa hubunganku dengan Encik Rizal hanya sekadar sahabat tidak lebih dari itu. Namun mereka masih berdegil mahu mengubah hakikat itu. Mungkin mereka hanya akan berdiam diri jikalau aku maklumkan status sebenarku saat ini.
“Saya duduk lepak kat dalam dulu ye,” ujarku meninggalkan Suzan tatkala sekumpulan remaja perempuan melangkah masuk ke premis ini. Suzan terus menyambung kerjanya. Aku duduk di sudut tepi premis ini dan seketika memerhatikan sekeliling. Tiada yang berubah termasuk susun atur kerusi meja di sini masih sama seperti tika aku bekerja di sini. Kekemasan, kebersihan dan keramahan warga RCC masih menjadi keutamaan. Sempat juga aku memerhatikan teman-teman melayan para pelanggan sentiasa dalam senyuman.
“Iman, bila awak sampai sini? Kenapa tak masuk jumpa saya?” tegur suara yang cukup aku kenali. Aku mendongak wajah Encik Rizal yang sedang tersenyum ceria menatapku. Ternyata bicara Suzan tadi langsung tidak menggambarkan akan dirinya tika ini.
“Ingat nak singgah kejap je kat sini,” jelasku. Encik Rizal mengeluh kecil. Terguriskah hatinya dengan bicaraku ini?
“Jom temankan saya minum,” pelawa Encik Rizal. Melihat wajah Encik Rizal seringkali membuatkan aku tidak sampai hati mahu menolak ajakannya. Rasa bersalah sahaja kalau aku tidak dapat memenuhi permintaannya. Aku mengangguk tanda menerima pelawaan itu. Sebelum meninggalkan RCC, sempat aku melihat senyuman mengusik Suzan bersama lambaian tangan kepadaku. Pasti saat ini gosip liar sedang bergerak aktif dalam kalangan warga RCC. Sesuatu yang mudah dijangka akan berlaku.
Encik Rizal mengajak aku ke Restoran Nasi Ayam Murni tempat yang sering kami kunjungi ketika aku masih berkhidmat di RCC. Aku sekadar memesan jus oren kerana masih kenyang. Encik Rizal pula memilih untuk makan nasi ayam kerana tengah hari tadi belum sempat makan. Seketika aku hanya menemankan Encik Rizal menghabiskan nasi ayam yang dipesan tadi. Usai makan, aku dan Encik Rizal bersantai-santai di Pelita Mall. Langkahku terhenti di depan premis yang menjual aksesori kelengkapan kereta.
“Awak nak beli barang kat sini ke?” soal Encik Rizal.
“Saya nak cari barang. Encik Rizal nak ikut sekali ke?” soalku memberi peluang kepada Encik Rizal untuk meneruskan hajatnya andai dia tidak ingin bersamaku tika ini. Encik Rizal mengangguk.
“Masuklah saya temankan awak,” ujar Encik Rizal mendahului langkahku sekali gus mendatangkan ketidakselesaan buatku. Premis ini cukup luas dan lengkap. Setiap sudut menempatkan aksesori kereta berdasarkan nama kereta. Dari kereta mewah luar negara sampai kelengkapan kereta Kancil keluaran negara yang mempunyai nilai jimat. Para pekerjanya juga dari kalangan yang berkemahiran dan bijak berkomunikasi. Pasti premis ini dimiliki oleh jutawan yang begitu meminati bidang automobil.
Aku bergerak ke bahagian aksesori kereta modul Mercedez Benz. Laju kakiku bergerak ke sudut yang menempatkan kusyen kereta. Encik Rizal masih setia mengekori langkahku. Ada pelbagai pilihan di sini. Aku menemui alas dashboard serupa dengan alas dashboard Mercedez Benz Yen yang telah aku rosakkan. Seketika aku berfikir sama ada memilih jenis yang serupa lantas meminta pekerja ini mereka bentuk dan menjahit mengikut kesesuaian dashboard kereta Mercedez Benz Yen yang aku nyatakan awal tadi. Ada juga keinginan mahu memilih jenis yang sama tetapi warna yang berbeza. Sebenarnya aku lebih tertarik dengan gabungan warna merah putih berbanding warna hitam ini. Lama aku berfikir untuk membuat keputusan ini. Aku hendak membuat kelainan daripada asal. Lantas terus kuputuskan untuk memilih kombinasi merah putih ini. Andai Yen tidak setuju, aku boleh beli yang hitam seperti warna asal ini pula.
“Dalam masa 30 minit siap dijahit. Cik boleh tunggu ataupun pergi jalan-jalan dulu,” ujar pemuda bermata sepet yang begitu fasih berbahasa Melayu. Aku mengangguk. Lantas aku dan Encik Rizal memanjangkan langkah menjelajahi keluasan premis ini. Kami sepakat untuk terus berada di premis ini sahaja.
“Awak dah beli kereta ke?” soal Encik Rizal. Aku tergelak kecil. Manalah aku ada duit hendak membeli sebuah kereta. Kalau kereta mainan bolehlah... hehehe.
“Saya nak hadiahkan kat kawan,” ujarku berahsia. Segan aku hendak menceritakan kisah sebenar. Pasti Encik Rizal akan gelakkan aku betul-betul. Dalam masa yang sama juga tidak mahu Encik Rizal berfikiran negatif terhadapku. Adegan itu amat memalukan untuk dikongsi dengan orang lain. Lebih memalukan kalau Yen yang mengetahuinya. Bahkan setiap kali aku mengingatinya, aku juga akan rasa malu. Malu yang berulang-ulang. Mujur juga Encik Rizal tidak bertanya lebih lanjut. Bukan mudah untukku berbohong mereka cerita semata-mata mahu melindungi hubunganku dengan Yen.
Seperti yang dijanjikan, aku dan Encik Rizal datang kembali menemui pemuda bermata sepet tadi. Memang dia menepati janji. Tatkala aku sampai di situ, tempahanku sudah siap. Seketika aku menilik-nilik alas dashboard yang sudah siap dijahit ini. Begitu kemas jahitannya. Aku sangat berpuas hati. Lantas tanpa sebarang aduan, aku terus melangsaikan harganya di kaunter pembayaran. Harap-harap Yen akan suka dengan pilihanku ini.
Aku pulang dengan teksi. Mujur juga aku berjaya menolak pelawaan Encik Rizal yang bersungguh-sungguh mahu menghantarku balik tadi. Bukan mudah aku hendak melepaskan diri malah pelbagai alasan cuba kuberikan. Tatkala teksi memasuki halaman, kelihatan kereta Yen sudah berada di garaj. Dia lebih awal balik dariku. Aku segera membayar tambangku lalu melangkah keluar. Langkahku terhenti di depan pintu kereta Mercedez Benz Yen. Kebetulan tika ini kereta Mercedez Benz ini tidak berkunci. Aku tersenyum senang hati. Lantas aku keluarkan alas dashboard yang aku tempah tadi lalu meletakkannya di atas dashboard Mercedez Benz yang masih belum beralas ini. Sekali lagi aku tersenyum senang hati.
“Jang Geun Suk, duit aku dah habis nak beli alas ni. Harap-harap awak menyukainya,” tuturku sendirian lalu menutup perlahan daun pintu kereta. Aku terus melangkah ke pintu utama. Mungkin Yen sedang menunggu kepulanganku.
No comments:
Post a Comment