Usai menyiapkan sarapan untuk Yen, baru aku keluar meninggalkan banglo ini menuju ke DLH yang menempatkan cawangan RCC. Tiada sebarang pesanan mahupun mesej yang aku tinggalkan untuk Yen yang masih tidur ketika aku pergi tadi. Tidak perlu dimaklumkan kepadanya ke mana aku menghilang sepanjang hari ini kerana aku pasti dia tahu memandangkan semalam aku sudah memaklumkan kepadanya. Lagipun aku pasti dia kurang berminat hendak ambil tahu tentang aktivitiku.
Tatkala aku tiba di DLH, seperti biasa diambang pintu utama aku disambut oleh dua orang gadis Korea yang lengkap berpakaian Hanbok sejenis pakaian tradisional Korea. Kami saling bersapaan dan bertukar senyuman. Kalau sekadar sapaan selamat pagi, hello, ucapan terima kasih dan bertanyakan khabar dalam bahasa Korea memang aku boleh menuturkan dengan baik. Kemudian aku bergerak merentasi ruang lobi DLH ini. Terasa gah. Suasana kemewahan jelas terpamer. Sempat juga aku tumpang berbangga sedikit kerana tempat eksekulsif ini ialah milik sebuah keluarga Korea yang akan diwarisi oleh suamiku. He...he...he... Namun cepat aku sedar. Perasaan yang aku alami tika ini sebenarnya milik Velviana. Berbanding dengan diriku dia yang lebih berhak. Rasa banggaku tadi terus sahaja padam.
Dari kejauhan kelihatan seorang pemuda berkulit hitam manis sebaya denganku sedang tersenyum menyambut kedatanganku. Mungkin dialah Encik Rustam penyelia cawangan RCC di sini. Melihat senyuman mesra di bibir Encik Rustam sedikit menyenangkan aku. Lelaki ini kelihatan seorang yang boleh diajak berkompromi. Harap-harap tafsirku ini tidak silap. Aku menyambut huluran salam perkenalan daripada Encik Rustam sambil tersenyum membalas senyuman yang masih terukir di bibirnya.
“Rustam,” ujarnya memperkenalkan diri.
“Iman,” balasku turut memperkenalkan diri. Kemudian Encik Rustam memperkenalkan aku kepada rakan sekerja yang lain. Berdasarkan penilaian pertamaku semua nampak ramah dan mesra. Semoga pekerja di sini juga sama seperti teman-teman di RCC pusat. Usai sesi perkenalan, Encik Rustam mengajak aku ke pejabat. Mahu menunjukkan tempat dudukku. Aku cukup terpegun dengan deklorasi bilik ini terutama pada dinding yang dipenuhi dengan lanskap bunga sakura yang sedang berguguran.
“Ni meja Cik Iman. Maaf ler tak sempat nak hias lagi. Kerusi ni baru je sampai semalam. Belum sempat saya nak buang plastik. Kejap lagi saya buat ye,” tutur lelaki ini dengan ramahn.
“Terima kasih. Takpe ler Encik Rustam, biar saya yang buat sendiri nanti,” balasku lantas melabuhkan duduk di kerusi empuk yang masih berbungkus plastik ini. Aku menyandarkan tubuh. Terasa begitu selesa.
“Boleh ke, Cik Iman?” soalnya sangsi.
“Alah, kerja sikit je,” balasku langsung tidak terasa susah untuk melakukannya. Aku tidak layak menerima layanan yang terlalu istimewa daripada Encik Rustam mahupun rakan-rakan sekerja yang baru di sini.
“Minta maaf ler menyusahkan awak saja. Tak patut pula saya nak biarkan awak buat semua tu,” ujar Encik Rustam serba salah.
“Apa yang tak kenanya Encik Rustam. Kalau Encik Rustam yang buat kerja ni lagi ler tak patut. Saya ni kan orang bawahan Encik Rustam,” balasku cuba lebih meyakinkannya tentang hakikat tersebut. Kali ini Encik Rustam geleng kepala pula. Memang dia tidak bersetuju dengan kata-kataku.
“Cik Iman mana boleh dibandingkan dengan saya. Cik Imankan orang istimewa buat Encik Rizal,” ujar Encik Rustam buat aku tergamam. Bagaimana lelaki yang baru saja aku kenali ini boleh berkata demikian? Adakah gosip-gosip yang sering melanda aku dan Encik Rizal di RCC dahulu sudah merebak ke sini?
“Saya takde apa-apa hubungan istimewa dengan Encik Rizal. Tak sedap hati saya dengar kenyataan ni, Encik Rustam,” luahku berterus terang. Aku mahu memadamkan tanggapan yang ada dalam fikiran lelaki ini.
“Minta maaf ler Cik Iman kalau saya tersilap kata,” tuturnya kesal.
“Saya boleh maafkan Encik Rustam jika encik berhenti panggil saya Cik,” pintaku buat-buat serius. Lama juga Encik Rustam diam berfikir sebelum menyatakan persetujuaan. Aku mula tersenyum tatkala dia mengangguk kepala.
“Saya pun ada permintaan juga. Awak pun tak usah berencik-encik dengan saya,” pinta Encik Rustam. Demi membalas persetujuannya tadi dan demi mewujudkan kemesraan antara rakan sekerja, aku mengangguk setuju. Hari ini aku ada kawan-kawan baharu lagi. Terasa kehidupanku lebih seronok persis yang aku alami tatkala menatap hamparan dinding yang dipenuhi dengan lanskap bunga sakura yang sedang berguguran ini.
“Bilik ni baru je siap diberi wajah baharu sempena menyambut kedatangan awak,” tutur Encik Rustam bercerita membuatkan aku teruja. Dia turut sama memandang ke arah dinding yang telah mengikat pandangan mataku ini.
“Deklorasi bilik ni permintaan Encik Rizal. Boleh tahan jugakan citarasa bos kita tu,” puji Encik Rustam buat aku tersenyum mengakuinya.
“Awak suka dengan bunga sakura juga ke?” soalku ingin tahu. Aku tidak mahu kewujudan bunga sakura ini semata-mata kerana aku memandangkan kewujudanku di sini hanya sementara waktu. Berbanding dengan Encik Rustam dialah penghuni tetap bilik ini. Jadi persekitaran yang menyenangkan dan memberi keselesaan padanya patut menjadi keutamaan.
“Saya tengok cantik juga bunga sakura yang berguguran ni. Sedap mata memandang. Lagipun Iman, kalau tak dapat pergi ke Korea, merasa suasana berada di Korea pun dah cukup baik,” balas Encik Rustam berjenaka membuatkan aku tersenyum. Jawapan Encik Rustam menyenangkan aku. Sekurang-kurangnya kewujudan bunga sakura seluas dinding bilik ini tidak akan mengganggu pandangan mata Encik Rustam. Bahkan menimbulkan keseronokanku untuk terus menatapnya.
“Awak suka dengan bunga sakura?” soal Encik Rustam pula. Aku mengangguk membuatkan lelaki ini tersenyum lagi.
“Tak sia-sia juga usaha Encik Rizal buat semua ni,” tutur Encik Rustam sendirian namun cukup jelas dipendengaranku.
“Selamat bertugas di Chungseongseuleoun Odumagjib Eul Gidalineun (Teratak Setia Menunggu) Iman. Semoga kita boleh bekerjasama dengan baik,” tutur Encik Rustam menarik perhatianku.
“Apa nama premis ni?” soalku ingin tahu.
“Chungseongseuleoun Odumagjib Eul Gidalineun,” ulang Encik Rustam yang nampak fasih berbahasa Korea. Kebolehannya ini membuatkan aku teruja. Jelasnya aku sudah ada kamus bergerak yang boleh dijadikan rujukan. Kali ini nampaknya Yen tidak akan mudah mengutuk aku. Rasa bertuah dan beruntung juga dapat berkenalan dengan Encik Rustam ini. Harap-harap dia tidaklah kedekut ilmu persis Yen.
“Apa maksudnya?” soalku lagi.
“Saya pun tak tahu,” sahut Encik Rustam menghampakan aku. Begitu lancar dia menyebut frasa itu tadi tetapi makna tidak diketahuinya. Adakah dia sekadar menghafalnya sahaja tanpa mengerti akan maksudnya? Hampa. Perasaan terujaku terus padam.
“Betul ke encik…eh…betul awak tak tahu maksud frasa tadi?” soalku ragu-ragu dan hampir-hampir tersasul. Encik Rustam tersenyum. Sedikit mencurigakan melihat senyuman itu.
“Boleh awak tulisan frasa tu?” pintaku.
“Awak nak buat apa?” soalnya pula.
“Saya nak hafalnya. Nanti mudahlah saya nak cakap pada pelanggan,” ujarku beralasan. Encik Rustam terus mencapai kertas lalu menulis frasa tersebut pada dada kertas itu. Seminit kemudian kertas itu dihulurkan kepadaku.
“Gomaweo (terima kasih),” ujarku menyambut kertas yang dihulurkan itu sekaligus membuatkan Encik Rustam nampak tersentak.
“Saya reti cakap Korea sikit je,” tuturku bagi menjawab reaksi yang ditunjukkannya itu mendahului persoalan yang mungkin akan keluar dari celah bibirnya itu. Encik Rustam tersenyum.
“Apa yang perlu saya bantu awak hari ni?” soalku tanda bersedia menurut perintah. Kertas tadi sudah kusimpan baik-baik di dalam beg galasku.
“Hari ni kita sama-sama check stok. Nanti saya bagi tunjuk bagaimana nak kira dan catat stok dalam borang. Next time saya ajar awak cara nak order barang dan guna borang pesanan. Kalau saya busy atau cuti boleh ler awak tolong saya handle semua ni,” ujar Encik Rustam bersungguh-sungguh.
“No problem bos,” sahutku senang hati. Senang hati sebab lelaki ini sudah berjanji mahu mengajar aku. Ilmu baharu ini tidak akan aku sia-siakan begitu sahaja. Dalam hidup ini memang kita perlu belajar banyak perkara. Ilmu itu ibarat lautan yang tiada tepian. Maka, pembelajaran akan berlangsung sepanjang hayat manusia.
Untuk hari pertama bekerja ini, aku dan Encik Rustam banyak menghabiskan masa di stor penyimpanan barang bersama dengan dua orang pekerja gagah perkasa sebagai pembantu kami. Maklumlah kerja mereka berat juga kerana mereka perlu mengangkat barang-barang khas memikul tepung yang berguni-guni. Semua ini perlukan kudrat tenaga mereka. Dalam hati timbul kekaguman. Kedua-dua pemuda ini langsung tidak mengeluh sebaliknya murah dengan senyuman. Lalu aku berkenalan dengan mereka. Seorang bernama Sufian dan seorang lagi namanya Suraj. Kedua-duanya menyenangkanku. Mereka ini memang pekerja tetap di bahagian penyimpanan stok ini sekali gus merupakan penjaga stor ini. Menurut Encik Rustam, setakat ini tiada pernah wujud masalah di bahagian ini. Maka dapatlah aku simpulkan bahawa kedua-dua pemuda ini memang amanah. Bertambah kagum aku terhadap mereka. Berbaloilah keprihatinan yang ditunjukkan oleh Encik Rizal kepada para pekerjanya selama ini. Sesungguhnya, majikan yang baik akan sentiasa dikurniakan pekerja-pekerja yang baik juga.
Tepat pada pukul 5.00 petang aku melangkah keluar dari bangunan DLH yang tersergam gah ini. Kuatur langkah secepat mungkin. Risau bas akan datang lebih awal daripada jam yang ditetapkan. Kebetulan jarak stesen bas kira-kira 200 meter dari sini. Sedikit agak ganjil dengan suasana sepanjang perjalanan di kawasan ini kerana jarang-jarang jumpa orang berjalan kaki di sini. Kebanyakannya ada kenderaan sendiri. Pasti orang lain juga melihatku pelik. Muncul cadangan Yen yang ingin membeli kereta untukku. Bagus juga kalau aku ada kereta sendiri. Tidak perlu aku sentiasa mengejar masa. Boleh juga aku bawa Pak Long, Mak Long dan Lili sekeluarga bersiar-siar. Tunggulah selepas empat tahun aku pasti akan memiliki kereta atas usahaku sendiri. Amin.
Poooonnnnn! Opocot! Aku terlonjak sedikit ke depan. Terkejut dengan sapaan hon yang terlalu dekat di belakangku. Aku berpaling. Encik Rizal sudah memberhentikan BMW di bahu jalan sambil tersenyuman lebar. Mesti hatinya tercuit melihat gelagatku tadi. Menyesal pula berangan-angan sakan tadi. Tidak pasal-pasal dapat malu sekarang. Padan muka. Sempat juga hatiku mengomel sebelum membalas senyuman Encik Rizal.
“Nak balik?” soal Encik Rizal. Aku mengangguk.
“Masuk ler biar saya hantar awak,” pelawa Encik Rizal. Laju aku geleng kepala. Aku cukup senang dan selesa kalau balik sendiri tanpa menyusahkannya. Tangan Encik Rizal menolak daun pintu kereta. Seminit kemudian daun pintu BMW itu sudah terkuak luas menantiku. Ternyata Encik Rizal tidak mempedulikan gelengan kepalaku sebentar tadi.
“Saya banyak masa terluang hari ni, tak menyusahkan pun saya nak hantar awak balik,” ujar Encik Rizal begitu memahami gelodok perasaanku. Aku tersenyum. Begitu mengkagumkan dengan kebolehannya yang begitu mudah membaca suara hatiku.
“Awak nak biarkan saya menunggu lama ke?” soal Encik Rizal.
“Bukan ke Encik Rizal kata tadi, encik banyak masa terluang,” balasku berjenaka cuba mengusiknya. Encik Rizal tersenyum.
“Saya tak kisah pun berapa lama nak tunggu awak, yang buat saya kisah saya tak tega nak biarkan awak terpacak lama di situ. Nanti kulit putih awak tu habis dimamah mentari,” puitis pula bicara yang keluar dari mulut Encik Rizal. Mukaku terasa panas membahang. Bicara Encik Rizal mengusik kalbuku.
“Iman, cepat ler masuk,” arah Encik Rizal menyentakkan aku dari lamunan singkatku. Aku terus membolosi pintu kereta BMW yang sudah ternganga luas ini lalu melabuhkan duduk di sebelah Encik Rizal yang sedang tersenyum lebar. Senyum kerana telah berjaya membuatkan aku mengalah pada pelawaannya untuk sekian kali.
“Bagaimana hari pertama bekerja?” soal Encik Rizal memulakan bicara sebaik sahaja kereta mula bergerak di dada jalan. Aku tersenyum.
“Alhamdulillah... Encik Rustam banyak membantu saya,” luahku terhutang budi kepada lelaki itu.
“Bagus ler kalau kamu berdua boleh bekerjasama dengan baik,” balas Encik Rizal berlapang dada. Aku mengangguk. Memang itu yang aku harapkan.
“Saya yakin dan percaya yang awak akan seronok bekerja dengan dia. Awak pun boleh belajar bahasa Korea dengan dia. Itu yang saya rasa buat awak bertambah seronok,” ujar Encik Rizal membuka cerita. Aku terus berpaling ke arah Encik Rizal. Terkejut apabila mengetahui yang Encik Rustam ada kebolehan bertutur dalam bahasa Korea. Sesuatu yang menakjubkan. Namun kenapa dia ingin menyembunyikan fakta ini? Teringat aku pada pertanyaanku tadi yang tidak dijawabnya dengan alasan tidak tahu. Apakah sebenarnya motif lelaki itu?
“Dia lama belajar kat Korea dulu dalam jurusan perniagaan,” tokok Encik Rizal bercerita tentang Encik Rustam sekali gus membantutkan pertanyaanku.
“Dia kerja dengan saya sekarang sekadar mahu menimba pengalaman saja. Sebenarnya dia tu sepupu saya. Mak saya dengan mak dia adik-beradik,” cerita Encik Rizal lagi mengejutkan aku dengan fakta yang baru sahaja disampaikannya ini. Aku berpaling lagi ke arah Encik Rizal.
“Pasti dalam keluarga Encik Rizal semua hebat-hebat belaka dan kaya dengan tatasusilakan,” pujiku telus.
“Sorry...,” Aku tergelak kecil. Seminit kemudian Encik Rizal turut sama tergelak. Pasti bicaraku tadi sudah selesao diproses lalu menyedari bicara tersiratku itu. Sebenarnya aku sedang memuji Encik Rizal dan Encik Rustam yang memiliki keperibadian tinggi sekali gus pujian juga untuk sesi keluarganya. Aku cukup yakin keluarga Encik Rizal dan Encik Rustam memang orang yang baik-baik belaka.
“Jadi awak suka ler bekerja dengan Rustam?” soal Encik Rizal mengujiku. Laju aku mengangguk. Encik Rustam persis Encik Rizal juga. Hanya bezanya dia lebih suka berahsia sedangkan Encik Rizal terlalu telus. Tiada satu perkara pun yang mahu disembunyikan dariku. Seboleh-bolehnya dia mahu berkongsi semua perkara denganku.
“Awak masih tinggal dengan mak saudara awak?” soal Encik Rizal ketika memasuki Taman Pujangga Hill ini. Sudah hampir dengan kedudukan banglo milik Yen.
“Ya Encik Rizal,” jawabku pendek.
“Sampai bila awak nak tinggal bersama mereka?” soal Encik Rizal seolah-olah kurang senang dengan situasi itu.
“Saya pun tak tahu sampai bila saya nak tinggal di situ, Encik Rizal,” keluhku lemah. Bayangan diri Yen menjelma. Selagi aku ada ikatan dengan Yen selagi itu aku wajib tinggal sebumbung dengan Yen. Perkara ini sudah termeterai dalam perjanjian. Selogiknya juga pasangan suami isteri perlu tinggal bersama-sama. Hanya ini sahaja cara aku dan Yen melindungi rahsia kami.
“Terima kasih Encik Rizal,” tuturku sebaik sahaja kereta berhenti di perkarangan banglo. Encik Rizal hanya tersenyum. Kulambaikan tangan kepada Encik Rizal yang sudah bergerak meninggalkan aku. Aku melangkah ke pintu utama melewati kereta Mencedez Benz hitam metalik ini. Pasti Yen berada di sini sekarang.
“Assalamualaikum... anyonghaseyo... saya dah balik ni!” ujarku lalu melontar pandangan ke ruang tamu. Yen sedang tersandar di sofa sambil menatapku dengan wajah kosong. Aku menapak ke ruang tamu lalu melabuhkan duduk di sofa selang dua buah sofa dari Yen. Kupejamkan mata. Letih.
Yen berpaling ke arah gadis itu. Mata gadis itu terpejam rapat. Tidak bergerak-gerak lagi. Nampak keletihan sehingga begitu mudah dia terlentok di situ. Dicapai remote lalu mengurangkan suara tv itu. Yen berpaling lagi. Direnung wajah gadis itu seketika. Kesal dan simpati bercampur baur. Dia mengeluh. Perutnya terasa pedih. Laju telapak tangannya menekup perut cuba menghalang bunyi keroncong beralun keluar. Yen bangkit lalu berjengket-jengket meninggalkan ruang tamu. Risau jika alunan keroncong itu didengari oleh gadis itu. Dia tidak mahu mengganggu lena gadis itu.
Kelopak mataku sedikit terkuak. Sinaran lampu memasuki celah-celah tautan kelopak mataku yang tidak rapat. Ternyata lampu sudah dihidupkan. Lampu dihidupkan??? Mataku terbuka luas lalu menatap jarum jam. Alamak, sudah hampir-hampir mencecah ke angka 7.00 petang! Tergopoh-gapah aku meninggalkan ruang tamu melangkah ke bilik. Sungguh tidak sangka akan terlajak tidur selama ini. Yen tidak mengejutkan aku sedangkan sebelum aku melelapkan mata tadi dia juga ada bersamaku di ruang tamu. Usai solat maghrib, aku bergegas ke dapur. Kedengaran langkah Yen menuruni anak tangga. Aku berpaling ke arah jam. Sudah sampai masa untuk hidangan makan malam sedangkan satu makanan pun belum aku masak lagi. Tiba-tiba sahaja otakku membeku memikirkan menu pilihan malam ini. Habislah aku kali ini. Teringat janjiku tidak akan mengabaikan tugasku di rumah ini biarpun aku bekerja. Ternyata hari pertamaku bekerja aku gagal mengotakan janjiku.
“Mianhea (maaf) saya belum masak lagi. Saya terlewat bangun tadi,” ujarku berterus terang sambil menayangkan wajah bersalahku.
“Hari niesaya nak makan kat luar. Awak nak ikut saya sekali ke?” sahut Yen di luar dugaanku namun begitu melapangkan hatiku. Cepat aku mengangguk.
“Jom...,” ajak Yen. Aku berlari ke bilik mengambil beg galas. Kemudian berlari ke halaman. Yen sudah menantiku di dalam kereta. Seminit kemudian kereta Mercedez Benz ini mula bergerak.
“Nak makan kat mana?” soalku.
“Ada restoran baru buka semalam. Member kata boleh tahan menu kat situ. Apa kata kita try menunya,” ajak Yen. Aku mengangguk dan tersenyum suka. Rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari. Gendang gendut tali kecapi, kenyang perut senang hati. Gomawoyo (terima kasih) Jang Geun Sik! Gamsahamnida (terima kasih) Jang Geun Sik!
Kuali Cafe yang baru sahaja beroperasi kami kunjungi. Tika aku dan Yen sampai, ramai juga pengunjung yang menjamu selera di sini. Malam ini aku dan Yen hanya makan ringkas sahaja. Nasi ayam madu istimewa pilihanku manakala Yen memilih nasi ayam rendang. Yen turut memesan sup cendawan udang galah sebagai menu tambahan. Memang cukup membangkitkan selera. Udang galah yang segar terasa manis. Nasi dalam pinggan sudah habis. Hanya menunggu masa untuk menghabiskan jus oren di dalam gelas sambil memendapkan makanan yang baru sahaja disimpan di dalam kantung perut ini. Yen masih menghirup sup di dalam mangkuk. Dia memang gemar sangat dengan sup.
Tetiba aku teringatkan sesuatu yang harus aku utarakan kepada Yen. Lantas kuselak beg galas. Seketika kutatap tulisan tangan Encik Rustam di dada kertas yang aku pinta di tempat kerja siang tadi. Mulutku terkumat-kamit dan aku cuba menghafalnya. Niat hati memang aku tidak mahu Yen nampak kertas ini. Kononnya hendak berlagak di depan pemuda Korea ini yang lidahku sudah lembut untuk menyebut ayat-ayat dalam bahasa Korea he...he...he...he...! Berlagak.
“Apa maksud Chungseongseuleoun Odumagjib Eul Gidalineun?” soalku. Yen menatapku sambil menyandarkan tubuh di kerusi. Sup di dalam mangkuk tinggal sisa. Kemudian menyedut jus tembikai di dalam gelas untuk membasahi tekak.
“Awak berangan-angan nak buka restoran ke?” soal Yen mengejutkanku. Dahiku berkerut memandangnya. Aku tanya lain dia balas lain pula.
“Bila masa saya cakap nak buka restoran. Saya tanya awak, apa maksud Chungseongseuleoun Odumagjib Eul Gidalineun,” ulangku sambil menekan intonasi suaraku di pengakhiran ayat. Yen menatapku lagi.
“Teratak Setia Menanti,” ujarnya tiba-tiba.
“Chungseongseuleoun Odumagjib Eul Gidalineun tu maksudnya Teratak Setia Menanti?” ulangku bertanya lagi. Yen mengangguk. Lantas aku teringat pada Warung Setia Menanti. Aku pernah mengajak Encik Rizal makan di situ. Patutlah Yen bertanyakan aku tentang restoran tadi. Ada juga aku terdengar pekerja di sana menyebut akronim TSM. Maknanya Teratak Setia Menanti.
“Wae (kenapa)?” soal Yen. Aku tersengih panjang.
“Saya nak ajak awak buka restoran masakan Korea,” ujarku berlawak.
“Nanti ketika pengunjung menikmati hidangan sambil-sambil itu awak hiburkan mereka dengan petikan gitar awak,” ujarku lagi. Yen tersenyum menawan.
“Boleh difikirkan,” ujar Yen seakan menyetujui cadanganku itu. Senyap.
“Jom kita balik,” ajakku kerana ingin segera berbaring di katil. Keletihan masih terasa. Yen terus bangkit diikuti aku. Aku dan Yen beriringan melangkah. Namun Yen singgah di kaunter pembayaran bagi melunaskan bayaran hidangan santapan kami tadi. Sementara itu, aku berdiri berhampiran ambang pintu menanti Yen. Usai berurusan dengan juruwang, Yen melangkah ke arahku.
“Mari...,” Aku dan Yen beriringan melangkah ke muka pintu. Namun belum jauh aturan langkahku dan Yen, langkahku terhenti. Yen menoleh ke arahku.
“Wae (kenapa)?” soal Yen.
“Encik Rizal...,” Nama pemuda ini meniti perlahan-lahan di celah bibirku. Aku mengajak Yen menyoroti pandanganku ke hadapan. Aku, Yen, Encik Rizal dan pasangan warga tua ini, barangkali Datuk dan Datin merangkap ibu bapa Encik Rizal memandangkan wajah pasangan ini seiras wajah Encik Rizal saling bertatapan. Kami saling bertukar senyuman.
“Dah nak balik ke?” soal Encik Rizal menatap wajah Yen kemudian beralih ke wajahku. Aku mengangguk. Pandangan Encik Rizal beralih ke wajah Yen semula. Kedua-duanya saling bertukar pandangan. Mungkinkah Encik Rizal mula mengingati raut wajah Yen ini? Tetiba hatiku digamit kerisauan.
“Saya Rizal,” ujar Encik Rizal memperkenalkan diri lalu menghulurkan tangan kepada Yen.
“Yen,” balas pemuda Korea ini sambil menyambut huluran tangan Encik Rizal. Seketika tangan kedua-dua pemuda ini saling bertautan.
“Sepupu Iman?” soalan itu terpancul dari mulut Encik Rizal.
“Aaahh...,” Nampak Yen kurang mengerti dengan bicara Encik Rizal itu.
“Ye dia ni ler anak mak cik saya,” laju aku mencelah. Yen berpaling ke arahku. Kami saling berpandangan. Ada persoalan yang terpamer di wajah Yen.
“Ini... ayah dan mak saya,” ujar Encik Rizal memperkenalkan kami kepada kedua-dua orang tuanya. Tepat juga jangkaanku tadi. Aku dan pasangan suami isteri ini bertukar senyuman lagi.
“Apa khabar Datuk, Datin?” sapaku seraya menghulurkan tangan kepada ibu Encik Rizal.
“Kami sihat. Alhamdulillah. Ni Iman kan,” teka ibu Encik Rizal mewakili suaminya sekali gus buat aku sedikit terperanjat. Tidak sangka pula dia mengetahui namaku. Aku mengangguk. Ayah Encik Rizal turut mengangguk dan tersenyum. Sempat juga aku menyiku lengan Yen mengarahkannya menghulurkan tangan kepada ayah Encik Rizal itu. Mujur Yen cepat faham. Lantas dia berjabat tangan dengan lelaki itu.
“Encik Rizal, Datuk dan Datin, kami pergi dulu. Risau pula mak cik kat rumah tu ternanti-nanti kepulangan kami,” ujarku memohon diri sekali gus mencipta alasan dusta. Minta maaflah aku terpaksa berbohong demi Yen.
“Baiklah, hati-hati ye,” pesan ibu Encik Rizal begitu mesra. Aku mengangguk. Untuk sekian kali, kami saling bertukar senyuman lagi. Yen sudah melangkah mendekati kereta.
“Minta maaflah Encik Rizal, sepupu saya tu memang tak mesra orangnya,” ujarku berbisik kepada Encik Rizal. Risau kalau mereka tidak selesa dengan sikap Yen tadi. Dalam masa yang sama juga aku tidak mahu Encik Rizal berpandangan negatif kepada Yen. Encik Rizal tersenyum.
“Saya pergi dulu...assalamualaikum...,” Terkumat-kamit bibir mereka menyambut salamku. Aku mempercepatkan langkah ke arah Yen yang sudah berada di dalam kereta. Sempat juga aku menoleh ke belakang semula. Kelihatan Encik Rizal dengan ibu bapanya sudah melepasi pintu utama Kuali Cafe lalu memilih tempat duduk. Kukuak daun pintu kereta lantas melabuhkan duduk di kerusi penumpang di sebelah Yen.
“Berseri muka awak lepas jumpa kekasih dan bakal mertua awak,” sinis suara Yen hinggap di telingaku.
“Awak boleh tak jangan merepek,” rungutku sambil menjeling ke arah Yen. Yen tersenyum sinis. Suka dia melihat aku menarik muka masam.
“Malam ni saya harap awak boleh tidur lena,” ujar Yen lagi. Aku berpaling menatap wajah Yen. Tidak faham makna tersirat di sebalik bicara itu.
“Kenapa pula? Mesti ler saya boleh tidur lena malam ni. Malah setiap malam saya boleh tidur lena,” balasku.
“Tiba-tiba kan saya dapat firasat, saya rasa ler malam ni mak cik awak datang jenguk awak. Jadi awak jangan lupa kunci tingkap betul-betul. Jangan ler biar mak cik awak tu senang je nak masuk bilik awak,” ujar Yen berbisik mengeluarkan suara misteri yang menyeramkan.
“Jang Geun Sik!” terkeluar suara lantangku. Bulu romaku tegak berdiri. Seram sejuk seluruh tubuh. Kuperhalusi bicaraku kepada Encik Rizal dan ibu bapanya tadi yang mengatakan tidak mahu ‘mak cik’ risaukan kami. Dalam konteks itu, Yen ialah sepupuku merangkap anak ‘mak cik’ku. Bermakna ‘mak cik’ku itu ialah ibu Yen. Bukankah ibu Yen sudah tiada lagi di dunia ini? Eee...tidak mahu aku berfikir lebih mendalam. Kiranya aku ini boleh tahan juga penakutnya. Tidak tahan dengan suasana gelap gelita. Takut sangat dengan ulat.
“Awak tahu tak kalau ikut kepercayaan orang Korea, nama arwah kalau diseru-seru boleh bangkitkan rohnya,” ujar Yen menambah gerun hatiku.
Tidak tahu setakat mana kebenaran bicara pemuda Korea ini. Namun yang pasti bicara Yen menambah seram sejuk seluruh tubuhku. Yen benar-benar telah berjaya menakutkan aku. Aku mendiamkan diri. Tiada keinginan mahu berbicara dengannya lagi. Sekarang aku asyik memikirkan bicara Yen sahaja. Sepanjang perjalanan ini aku hanya mendiamkan diri. Sesekali Yen melirik ke arahku namun tidak kuendahkan. Bicara pemuda Korea ini betul-betul telah mempengaruhiku. Kereta memasuki perkarangan banglo bergerak ke garaj dan berhenti di situ. Enjin kereta dimatikan. Aku masih duduk mematungkan diri di kerusi ini. Yen berpaling ke arahku.
“Awak nak tidur dalam kereta ni ke?” soal Yen serius. Aku menatap Yen dengan wajah menagih belas kasihan. Laju aku geleng kepala.
“Cepat keluar...,” arah Yen lalu meninggalkan aku yang masih terpaku di kerusi ini. Melihat Yen sudah terpacak menantiku di luar, perlahan-lahan aku bangkit. Kalaulah Yen ini kaum sejenisku pasti aku sudah bergayut dan memeluk tubuhnya tika ini agar rasa takutku ini berkurangan. Biar aku kongsi seram sejukku ini bersamanya.
“Iman ssi, apa kat belakang awak tu!” laung Yen dengan mata terbeliak sambil menunding jari ke arah belakangku.
“Aaaahhhhhh...!!!!!” Aku menjerit sekuat hati pantas menerpa ke arah Yen. Aku terus meloncat ke belakang Yen lalu bergayut di batang lehernya. Yen terbatuk-atuk kerana tercekik oleh pautan erat tanganku.
“I...Iman...Ima...nn...Iman...ssi...,” suara Yen terputus-putus. Batuknya masih kedengaran.
“Iman...ssi...lepaskan...saya...Saya...tak boleh...bernafas ni...,” suara Yen terputus-putus.
“I...Ima...nn...ssi...,” suara Yen tenggelam timbul. Yen mula membongkokkan tubuh. Mungkin sudah tidak berdaya menampung berat tubuhku. Kakiku yang tergantung tadi sudah mencecah ke lantai simen. Kuleraikan kuncian lenganku di leher Yen. Yen terduduk di lantai simen buat seketika. Aku baru sedar akan keadaan Yen. Kulihat wajahnya merah merona. Tindakanku telah memudaratkan Yen. Tampak Yen tercungap-cungap kekurangan oksigen. Dia tidak boleh bernafas.
“Jang Geun Sik...awak okey?” soalku bersimpati dan rasa bersalah. Lantas mengusap-usap lembut belakang Yen cuba memberi kelegaan. Batuk Yen mula reda.
“Mianhae! Mianhae! (maaf ) saya tak sengaja,” ujarku cemas.
“Awak mahu bunuh saya ke?” soal Yen baru mampu bersuara dengan jelas. Aku geleng kepala dengan wajah menagih simpati. Sekurang-kurangnya nampak aku tiada niat langsung hendak berlaku kejam kepadanya.
“Kalau macam ni nampaknya hantu pun takutkan awak,”
“Jang Geun Sik!” bentakku kurang senang dengan bicara itu. Begitu sensitif aku mendengar perkataan hantu itu. Belum habis lagi ketakutanku ini. Yen bangkit lalu meneruskan langkah ke muka pintu utama. Aku berlari mengejar langkahnya. Tidak mahu tertinggal di belakang Yen. Lantas sebaik sahaja daun pintu ditolak oleh tangan Yen, aku berlari masuk ke dalam mendahului Yen. Kedengaran rungutan Yen kerana aku hampir-hampir melanggar tubuhnya. Mujur juga dia pantas mengelak daripada rempuhanku. Kalau tidak berlaku kemalangan lagi untuk kesekian kali.
Aku mempercepatkan langkah. Mahu segera berada di bilik dan ingin mempastikan tingkap sudah berkunci. Peringatan Yen sebentar tadi aku ambil serius. Tidak salah aku berhati-hati. Teringat kembali pada cerita Yen tentang kepercayaan orang Korea. Kakiku ligat memijak satu persatu anak tangga. Tatkala kaki menapak di anak tangga terakhir... tiba-tiba... ttuppp! Sekelip mata pandanganku gelap-gelita. Cahaya lampu semua padam. Hitam. Tidak nampak apa-apa.
“Jang Geun Sik!” laungku ketakutan. Aku memakukan langkah di anak tangga ini. Sunyi sepi. Langsung tiada kedengaran bunyi. Tidak tahu Yen di mana. Aku teringat kembali cerita Yen tentang kepercayaan orang Korea terhadap si mati.
“Jang Geun Sik...!!!!!!!” Aku menjerit sekali lagi dengan nada yang lebih kuat dan lantang. Perlahan-lahan terasa panas meluncur laju membasahi pipiku. Aku menangis teresak-esak dalam kegelapan ini. Sungguh aku ketakutan sekarang. Ketakutan yang terlampau dan sukar kugambarkan.
No comments:
Post a Comment