Wednesday, 27 October 2021

Awaklah SonataKu.... Bab 45

Aku mengemas fail-fail di atas meja lalu menyimpan di rak kayu di belakang tempat dudukku ini. Tanganku terus lincah mengemas meja. Segera melangsaikan semua memandangkan aku perlu ke hospital menemui Pak Long yang sedang menjaga Mak Long yang belum menunjukkan sebarang perkembangan yang positif. Perkara yang sangat merisaukan aku. Sebelum melangkah meninggalkan bangunan DLH, aku singgah di Restoran DHL menapau mi goreng dan sebotol besar air mineral untuk minum petang Pak Long. Selepas makan, Pak Long hanya minum air kosong. Satu kelaziman bagi Pak Long. Kemudian aku bergegas mendapatkan teksi. Mujur waktu begini teksi banyak berlegar di kawasan ini. Segera aku meminta pemandu teksi menghantarku ke Hospital Utama.

Setiba di perkarangan hospital, aku melangsaikan tambang teksi. Kemudian menemui Pak Long di kawasan wad ICU. Ketibaanku disambut Pak Long dengan senyuman ketabahan. Pak Long memintaku menemani Mak Long di bilik ini sementara dia solat asar. Walaupun masih ragu-ragu, aku bersetuju dan berjanji akan menjaga Mak Long sebaik mungkin. Sempat juga aku berpesan agar Pak Long terus makan mi goreng yang kutapau tadi seusai solat asar. Pak Long mengangguk akur lalu dia beredar. Kini tinggal aku dan Mak Long di bilik ini. Kutatap wajah pucat Mak Long lama. Perlahan-lahan kusentuh tangan Mak Long lalu kegenggam erat. Buat pertama kali aku menyentuhnya. Ada hiba dan terharu. Terasa kasih sayang menjalar dalam diriku. Selama ini hubunganku dengan Mak Long dipenuhi kedinginan.

“Assalamualaikum Mak Long, Iman ni. Saya harap Mak Long tak marah saya ada kat sini,” ujarku perlahan. Aku menarik nafas dalam-dalam. Cuba meredakan gelodak perasaanku tika ini.

“Semoga Mak Long cepat sembuh. Saya janji akan jaga Mak Long dengan baik. Saya takkan sia-siakan hidup Mak Long, Pak Long, Lili dan anak-anaknya. Semoga Mak Long kuat menghadapi semua ni,” ujarku menyambung bicara. Aku menghela nafas panjang.

“Saya yakin Mak Long dengar suara saya sekarang. Saya merayu pada Mak Long berilah peluang untuk saya membuktikan kasih sayang saya pada Mak Long. Saya benar-benar ikhlas pada Mak Long,” tuturku bersungguh-sungguh sambil memegang erat jemari Mak Long. Air mataku gugur pada tautan jemariku dengan jemari Mak Long. Aku menangis teresak-esak sendiri. Pilu hati mengenangkan penderitaan yang Mak Long alami sekarang. Hiba mengenangkan hubunganku dengan Mak Long selama ini tidak pernah mesra. Daun pintu ditolak. Genggaman tanganku pada jemari Mak Long terlerai. Segera kukesat air mataku. Aku menoleh. Terkejut aku melihat Linda dan Encik Rizal yang datang. Bingkas aku bangun mengalu-alukan kedatangan mereka.

“Tadi tanya doktor kat luar tu kalau kami boleh masuk menjenguk mak cik. Dia benarkan kami masuk ke sini tapi tak boleh bising,” jelas Linda dengan suara yang terkawal. Aku mengangguk dan tersenyum. Walaupun Mak Long berada di wad ICU tetapi dia masih boleh menerima tetamu yang bertandang.

“Bagaimana keadaan mak cik awak sekarang?” soal Encik Rizal dengan suara perlahan.

“Masih belum menunjukkan sebarang perkembangan positif,” keluhku kecewa. Keadaan Mak Long hari ini persis hari semalam. Mak Long masih belum sedarkan diri lagi.

“Sabar...,” Linda sudah mengusap-usap lembut belakangku.

“Tadi masa saya kat office Encik Rizal, mak call  beritahu mak cik kena serangan strok dan masih tidak sedarkan diri. Encik Rizal datang sekali nak jenguk Mak Long awak,” bisik Linda seakan memberi penjelasan tentang kemunculannya di sini bersama Encik Rizal. Aku mengangguk. Sebenarnya  tidak perlu dijelaskan oleh Linda. Aku tidak kisah pun dia bersama Encik Rizal.

Hampir sepuluh minit kami berada di bilik ini merenung Mak Long yang terlantar di atas katil belum sedarkan diri lagi. Tiada banyak yang boleh kami tuturkan selain menatap bisu Mak Long yang pucat lesu. Kemudian melayan perasaan masing-masing. Cuba menginsafi diri sendiri. Pilu hatiku melihat situasi Mak Long yang terpaksa bertarung nyawa. Strok yang menyerang Mak Long dikategorikan sebagai kecemasan perubatan yang boleh menyebabkan kerosakan saraf yang kekal serta juga kematian jika tidak dikesan dan dirawat dengan cepat. Strok punca kematian ketiga terbesar di Malaysia selepas penyakit jantung dan kanser. Penyakit ini dianggap sebab utama kehilangan upaya yang teruk dan setiap tahun, dianggarkan 40,000 rakyat Malaysia mengalami strok. Sesiapa sahaja boleh mengalami strok, termasuk kanak-kanak. Namun kebanyakan kes menimpa orang dewasa. Ya Allah Engkau panjangkanlah usia Mak Long.

Pak Long muncul di sebalik daun pintu lalu bertegur sapa dengan Encik Rizal dan Linda. Mereka berbisik-bisik berbual. Tidak mahu mengganggu pesakit.

“Pak Long, saya balik dulu. Lepas maghrib nanti saya datang ke sini lagi,” ujarku perlahan.

“Baliklah. Kalau letih sangat tak payah datang ke sini nanti. Rehatlah puas-puas kat rumah. Tak payah risau Pak Long ada kat sini jaga Mak Long kamu,” tutur Pak Long.

“Saya datang lagi nanti,” ujarku mengulangi kenyataan tadi. Aku perlu menghantar makanan untuk Pak Long. Aku juga perlu tahu keadaan Mak Long dari semasa ke semasa. Semua ini mustahak untukku ketahui. Kuhulurkan tangan pada Pak Long lalu menciumnya.

“Saya pergi dulu, Pak Long,” ujarku memohon diri. Pak Long mengangguk.

“Lin, Encik Rizal, saya balik dulu. Terima kasih kerana datang,” ujarku berbesar hati dengan kunjungan mereka ini. Linda dan Encik Rizal hampir serentak mengangguk. Aku melangkah ke muka pintu, menguak daun pintu lalu menutup kembali. Ya Allah, Engkau berilah kesempatan untukku menjernihkan hubunganku dengan Mak Long. Janganlah Engkau panggil Mak Long kembali ke sisiMu tika ini kerana aku belum merasa kasih sayang Mak Long malah belum berkesempatan mencurah kasih sayangku pada Mak Long. Ya Allah perkenankanlah permintaan hambaMu ini. Doaku seiring langkahku. Tidak pernah putus-putus aku menggantung harapan mendoakan kesejahteraan Mak Long.

“Iman...!” Aku berpaling. Encik Rizal sedang berlari anak ke arahku. Kini dia sudah berada di sebelahku lalu melangkah seiring denganku.

“Balik dengan apa?” soalnya.

“Teksi...,” jawabku pendek.

“Biar saya hantar awak balik,” ujarnya menghulurkan khidmat.

“Takpe saya boleh naik teksi,” tingkahku tidak mahu terus menyusahkan Encik Rizal.

“Saya balik guna jalan yang sama dengan jalan rumah mak cik awak. Awak dah lupa ke?” soal Encik Rizal. Aku senyum. Encik Rizal memang bijak memerangkap aku.

“Tak payah fikir panjang. Awak tumpang je kereta saya. Cepat sampai  ke rumah cepat awak datang ke sini semula,” tutur Encik Rizal mempengaruhiku. Aku tersenyum lagi. Memang aku tidak boleh menolak pelawaan Encik Rizal ini. Aku dan Encik Rizal masuk ke dalam lif. Tiada sesiapa bersama kami ketika ini. Aku bersandar pada dinding lif cuba melepaskan keletihan yang masih membelenggu diri.

“Awak okey ke ni?” suara Encik Rizal menyapaku. Aku mengangguk.

“Cuma letih sikit sebab tak cukup tidur,” jelasku. Pintu lif terkuak. Aku mendahului langkah Encik Rizal. Tiba-tiba kakiku tersadung membuatkan aku hampir-hampir terjatuh. Namun tangan Encik Rizal lebih tangkas memaut tubuhku. Seketika aku berada dalam pautan kemas tangan Encik Rizal.

“Awak betul-betul okey ke ni?” soal Encik Rizal gusar.

“Ye saya okey,” sahutku lalu menjarakkan diri daripada Encik Rizal. Segan pula dalam keadaan sebegitu. Aku mengangkat muka.

“Jang Geun Sik...,” Yen terpacak di depanku dengan pandangan serius menatapku dan Encik Rizal.

“Awak baru sampai?” soalku cuba melenyapkan terkejutku dengan kemunculannya yang secara tiba-tiba ini. Bahkan pertemuan ini aku begitu janggal. Pertanyaanku tidak dijawab. Yen masih memandangku serius.

“Awak nak jenguk Mak Long ke?” soalku masih cuba mengajak Yen berbicara. Senyap lagi. Yen mula melangkah dan melewatiku bersama Encik Rizal tanpa sebarang bicara dan tanpa sekilas senyuman pun. Kelibat Yen terus hilang sebaik sahaja pintu lif tertutup.

“Sepupu awak nampak dingin je,” komen Encik Rizal. Aku tersenyum tawar. Pemuda Korea itu memang sukar difahami.

“Kita pergi sekarang,” Aku mengajak Encik Rizal menyambung langkah kembali. Tidak mahu terus memikirkan sikap Yen yang mengguris perasaan. Encik Rizal menghantarku sampai ke banglo milik Yen. Setibanya aku di sini, aku melaksanakan rutinku. Hidangan makan malam untuk Yen sudah kusiapkan malah aku juga telah menyimpan nasi, lauk dan sayur untuk Pak Long di dalam bekas bertingkat yang akan kubawa ke hospital selepas solat maghrib nanti. Aku menanti-nanti kepulangan Yen untuk menyampaikan penghargaanku atas keprihatinannya terhadap minatku. Barang-barang itu akan menjadi koleksi kesayanganku. Usai solat maghrib aku bersiap-siap untuk keluar. Ketika melangkah keluar bilik sempat juga mataku menerawang jauh mencari kelibat Yen. Ternyata Yen belum pulang lagi. Aku melangkah ke dapur. Bekas bertingkat yang sudah terisi nasi dan lauk-pauk untuk Pak Long di atas meja kucapai. Aku keluar dari ruangan dapur, Yen muncul di ruang tamu sedikit mengejutkanku. Mungkin baru sahaja sampai.

“Awak baru balik,” sapaku sambil melangkah ke ruang tamu. Yen tidak menjawab pertanyaanku. Namun pandangannya tidak berganjak dari terus memandangku. Tampak Yen begitu dingin.

“Saya nak ke hospital kejap lagi nak hantar nasi untuk Pak Long. Mungkin saya tak balik malam ni. Saya nak temankan Pak Long jaga Mak Long. Hidangan makan malam saya dah siapkan. Awak makanlah nanti,” ujarku terus berbicara walaupun Yen kelihatan tidak berminat menyahut bicaraku ini.

“Saya pergi dulu ye.  Assalamualaikum...,” ujarku memaklumkan kepada Yen lalu beredar ke muka pintu. Tidak mahu aku melambat-lambatkan waktu kerana melayan kerenah Yen yang tidak menentu ini. Sesungguhnya, pemuda ini sukar hendak difahami.

“Jaga tingkahlaku awak. Jangan sampai apa yang tak sepatutnya diketahui oleh Pak Long awak. Pastikan juga awak berada di hospital sepanjang malam ni,” ujar Yen sinis. Aku berpaling menatap Yen. Niatku hendak melangkah keluar terus terbantut. Tidak senang mendengar bicara Yen yang persis sedang mencurigaiku.

“Apa maksud awak?” soalku serius. Yen diam.

“Saya tak suka dengan kata-kata awak. Apa maksud awak bercakap macam tu?” soalku tidak puas hati.

“Kenapa awak tak maklumkan kepada saya yang Mak Long awak dimasukkan ke hospital? Kalau nenek tak call saya sampai bila-bilapun saya takkan tahu. Ternyata awak lebih suka memaklumkan perkara serius begini kepada orang luar berbanding saya. Begitu pentingkah dia tu pada awak?” suara Yen bernada kecewa.

Aku terdiam dan terpukul dengan kata-kata Yen. Sedikit timbul salah faham Yen terhadapku. Aku tidak pernah memberitahu Encik Rizal tentang Mak Long yang sakit. Sebetulnya dia dapat tahu berita Mak Long sedang dirawat di hospital daripada Linda. Bukankah Linda ada menjelaskan tadi bahawa dia mendapat berita ini daripada maknya di kampung. Kebetulan pula ketika itu dia sedang bersama Encik Rizal atas urusan kerja. Bukan aku yang memaklumkan perkara ini kepada Encik Rizal. Silapnya aku tidak memaklumkan kepada Yen tentang keadaan Mak Long dengan anggapan kurang penting pada Yen memandangkan dia tidak menyukai sikap Mak Long.

Kulontar pandangan serius pada Yen. Tidak perlu aku memberi penjelasan lanjut pada Yen. Sepatutnya dia terlebih dahulu mengemukakan pertanyaannya kepadaku. Bukan terus melontar tuduhan persis tindakannya sekarang. Memang dia tidak perlukan penjelasan daripadaku. Aku mendengus bosan berhadapan dengan perangai buruk Yen ini.

“Saya betul-betul kecewa mendengar bicara awak. Sepanjang malam ni memang saya akan berada di hospital. Kalau awak tak percaya, awak boleh call Pak Long nanti,” tuturku meluahkan isi hati. Senyap.

“Saya pergi dulu,” ujarku menyambung bicara.

“Iman ssi...!” Aku tidak sempat berganjak tatkala mendengar Yen memanggil namaku. Sekali lagi aku berpaling menatap Yen. Kami beradu pandangan.

“Betul ke dia lebih penting daripada saya?” soalnya membuat perbandingan antara dirinya dengan Encik Rizal. Aku melepaskan keluhan panjang. Yen tetap tidak memahamiku.

“Bukan dia yang lebih penting tapi selama ni saya dapat rasakan awak tak pentingkan kewujudan saya,” tingkahku meluahkan isi hati. Yen tergamam. Oh, betapa lega setelah meluahkan rintihan hati ini! Aku melangkah ke muka pintu meninggalkan Yen yang masih terpacak di situ.

 

Setelah lama terpacak sendirian di ruang tamu, Yen melangkah ke bilik. Dilontar tubuh ke tilam. Seketika dia terbaring di situ tidak bergerak-gerak. Pandangannya menembusi hamparan siling bilik itu.

“Bukan dia yang lebih penting tapi selama ni saya dapat rasakan awak tak pentingkan kewujudan saya,” suara gadis itu terngiang-ngiang di telinga. Bukan sekali tetapi banyak kali.

“Oh..., kenapalah ikatan perkahwinan ini memeningkan saya!” keluh Yen berbicara sendiri. Yen mengiringkan tubuh lalu pandangan mata terarah pada potret wanita jelita pada dinding itu.

“Mama, fikiran Yen buntu sekarang. Kalau mama ada pasti mama tahu apa yang terbaik buat Yen,” ujarnya masih mahu berbicara sendiri. Lama ditatap wajah wanita Korea itu. Kenangan lalu terimbau kembali. Ada pesanan berharga yang pernah wanita itu katakan kepadanya.

“Pejamkan mata... Kosongkan fikiran... Pasti ada wajah yang akan mendatangi Yen. Mungkin itu wajah seorang wanita yang dicipta Ilahi sebagai jodoh terbaik Yen...,” suara mamanya kedengaran berbisik lembut di telinga. Yen melontar pandangan ke segenap ruangan bilik ini. Tiada sesiapa di situ selain dia bersendirian tika ini. Yen terkebil-kebil mengingati suara itu. Mungkin suara hati kecilnya. Dia mula memejamkan mata. Rapat. Berdebar-debar menanti bayangan wajah yang bakal muncul itu. Yen gagal melakukan tatkala dia kehilangan fokus diri. Dipejamkan mata lagi. Cuba dilakukan untuk kali kedua. Lebih fokus. Yen mengharapkan seraut wajah akan muncul memberikan jawapan pada kekeliruannya. Deringan kuat iPhone mengejutkannya. Meditasi lenyap. Yen sudah membuka mata luas-luas lantas tangannya mencapai iPhone di dalam saku seluar jeans itu. Terpamer nama Velviana pada skrin itu.

“Mungkinkah dia jodoh terbaik yang Allah utuskan buat diriku,” bicara Yen sendirian tatkala dia masih dalam pencarian tetiba Velviana muncul.

 

Menapak sahaja kakiku di ruang tamu, anak mataku terus terarah pada jam di sudut itu. Baru pukul 5.40 pagi. Awal lagi. Aku menguap beberapa kali. Masih mengantuk. Lantas kubaringkan tubuh di sofa. Subuh ini aku sampai di rumah lebih awal kerana Allah mempermudahkan perjalananku. Tiba di perkarangan Hospital Utama, sebuah teksi melewatiku. Aku menahan teksi tersebut. Menguap lagi. Sisa mengantuk masih ada. Kelopak mataku terasa berat hendak diangkat. Niat sebenar hendak baring-baring sekejap di sofa ini menanti detik jam 6.30 pagi menjelma untuk menyiapkan sarapan Yen.

 

Langkah Yen yang menapak di pertengahan anak tangga terus terhenti tatkala pandangan terarah pada Iman yang sedang lena di sofa. Dia tahu gadis itu keletihan memandangkan sehari dua ini tidak cukup tidur kerana berulang-alik ke hospital. Dia berjengkit-jengkit menyambung langkah menuruni anak tangga. Tidak mahu mengganggu lena gadis itu. Yen menjengukkan kepala ke ruang makan. Di atas meja kosong. Tiada apa-apa yang terhidang di situ. Dia berpaling melontar pandangan ke arah gadis itu semula. Lama juga pandangannya melekat di situ. Simpati menjalar dalam diri. Dia kembali melangkah ke bilik menyiapkan diri hendak ke tempat kerja. Tatkala kakinya sampai di muka pintu bilik, Yen berpaling semula. Dia berpatah balik lalu mencapai kertas-kertas di atas meja tepi katil itu. Terpaku seminit di situ. Kemudian laju tangannya menulis sesuatu di bahagian atas pada sehelai kertas A4 itu. Yen meneruskan langkah meninggalkan bilik. Cukup perlahan-lahan kakinya menuruni satu-persatu anak tangga. Dipandang gadis itu lagi. Dia memang tidak mahu mengejutkan gadis itu. Beberapa helai kertas yang berada di tangan diletakkan di meja kaca di sebelah gadis itu lalu melewati  pintu utama meninggalkan banglo itu.

 

Terasa bagai ada cahaya yang memasuki celah-celah kelopak mataku yang sedikit renggang. Kubuka luas mataku. Cahaya pagi suria menembusi dinding kaca ruang tamu ini. Laju aku berpaling ke arah jam antik yang terletak di ruang tamu ini. Aku tersentak menatap jarum jam yang sudah hampir- hampir mencecah ke angka sepuluh pagi. Aku belum menyiapkan sarapan untuk Yen lagi dan aku juga perlu pergi ke tempat kerja. Aku tertidur tadi sedangkan niatku hanya untuk berbaring-baring sekejap sahaja. Terkocoh-kocoh aku bangkit dari perbaringanku. Baru sahaja menapak dua langkah, aku berpaling semula. Kertas di atas meja kupandang. Ada tulisan tangan Yen di situ.

 

~ Anyonghaseyo... Saya sarapan di tempat kerja hari ini  dan saya harap artikel-artikel ini dapat membantu awak. Rehatlah di rumah ye. Semoga awak akan lebih bertenaga dan bersemangat hari ni. Aza, aza fighting! JLKJ...~

Aku tersenyum sendiri. Terharu dengan keprihatinan Yen. Pasti artikel-artikel ini terlalu berguna kepadaku agar aku lebih memahami keadaan Mak Long. Sekurang-kurangnya aku tahu Yen juga mengambil berat terhadap Mak Long.

Gomawoyo (terima kasih) Jang Geun Sik…,” ujarku tersenyum. Kutatap lagi tulisan tangan Yen yang kemas ini.

“Rehatlah di rumah ye… Alamak, kerja...!” Bagai baru tersedar yang aku perlu pergi ke tempat kerja. Aku berlari ke bilik untuk mandi dan menyiapkan diri. Kemudian berlari lagi mendapatkan teksi. Mujur tidak perlu lama menunggu teksi yang datang. Dalam perjalanan aku menghubungi Encik Rustam memaklumkan keadaan sebenar serta menyampaikan permohonan maafku kerana terlewat sampai ke tempat kerja. Sedikit menghairankan aku tatkala mendengar suaraku Encik Rustam langsung tidak bertanya apa-apa. Aku lebih terkejut tatkala Encik Rustam menyatakan padaku bahawa aku ambil cuti hari ini. Bila masa pula aku pohon cuti? Keliru… keliru…!!! Usai membayar tambang teksi, aku terkocoh-kocoh masuk ke bangunan DLH dan terus mengorak langkah ke premis Teratak Setia Menunggu.

 “Cik Iman, tak jadi cuti ke hari ni?” soal Ruran menyapaku. Aku hanya sempat geleng kepala dan tersenyum kepadanya. Aku melangkah ke bilik pejabat.

“Haa... dah sampai awak,” sapa Encik Rustam tersenyum.

“Minta maaf banyak-banyak. Saya tertidur tadi. Balik dari hospital subuh tadi saya baring-baring di ruang tamu. Tak sangka pula boleh terlajak tidur,” rungutku kerana bersalah pada Encik Rustam dan Teratak Setia Menunggu.

“Awak letih sangat,” sahut Encik Rustam memahami situasiku. Aku hanya tersenyum. Mujur juga Encik Rustam seorang yang bertimbang rasa.

“Kenapa tak jadi cuti hari ni?” soal Encik Rustam persis persoalan yang Ruran ajukan tadi. Berkerut dahiku memikirkan persoalan itu. Seingatku tidak pernah aku menyatakan kepada Encik Rustam yang aku ambil cuti hari ini.

“Cuti?” Kupandang Encik Rustam.

“Bila masa saya kata nak cuti?” soalku semula.

“Sepupu awak datang maklumkan kepada saya yang awak tak datang kerja hari ni. Dia kata awak cuti sebab perlu rehat kerana sehari dua ni awak berada di hospital menjaga Mak Long awak sepanjang malam,” jelas Encik Rustam panjang lebar buat aku terkedu. Lantas aku teringat pada sebaris ayat tulisan tangan Yen yang mengarahkan aku berehat di rumah hari ini.

“Oh, mesti dia ingat saya tak larat nak pergi kerja tengok saya tidur lena di ruang tamu tadi,” sahutku memberi penjelasan pada tindakan Yen yang di luar jangkaanku.  Encik Rustam tersenyum.

“Baguslah dia prihatin pada awak,” balas Encik Rustam masih dalam senyuman. Aku turut tersenyum. Bicara Encik Rustam menyenangkanku.

“Dia dah berpunya ke?” soal Encik Rustam.

“Siapa?” soalku semula. Tidak mengerti siapa yang dimaksudkan oleh Encik Rustam itu.

Cousin awak tu,” jelas Encik Rustam. Aku mengangguk. Status diri Yen terlalu unik. Pertama dia telah menjadi suamiku. Namun aku tiada hak berdasarkan yang termaktub dalam perjanjian dengan syarat hubungan suami isteri hanya pada kertas sahaja. Kedua dia menjadi kekasih Velviana. Gadis yang lebih berhak memilikinya lantaran mereka saling mencintai.

“Kenapa? Awak berminat ke?” Encik Rustam tertawa. Julia, dia hendak letak di mana? Takkan Encik Rustam ini dua alam pula. Nauzubillahminzalik...! Tersasul pula aku mengemukakan pertanyaan yang tidak sepatutnya.

“Saja saya nak tahu. Sekurang-kurangnya saya nak pastikan posisi Encik Rizal selamat,” jelas Encik Rustam tersengih. Pelik bunyinya. Aku diam. Tidak mahu memohon penjelasan lanjut. Dapat aku rasakan bahawa Encik Rustam menggaitkanku dengan Yen sekarang.

“Yen sukakan aku ke? Itu ke yang Encik Rustam nampak pada pandangan matanya sebagai seorang lelaki? Huhhh..., hanya lelaki dengan lelaki yang memahami sesama mereka! Betul ke ni?” bisik hati kecilku mula memikirkan bicara Encik Rustam tadi.

“Iman, saya nak keluar sekejap,” suara Encik Rustam mengejutkanku. Aku mengangguk dan menatap langkah Encik Rustam meninggalkan bilik ini. Pasti dia ada urusan penting di luar sana. Aku menarik nafas panjang lalu menyandarkan tubuh di kerusi empuk ini. Pagi ini sedikit bercelaru gara-gara aku terlajak tidur lantas terlewat sampai di tempat kerja. Lima minit kemudian aku memulakan rutin kerjaku. Tidak banyak yang perlu aku selesaikan memandangkan aku tidak pernah menangguh kerja-kerjaku. Semua aku siapkan tepat pada masa. Kemudian aku memantau tugas-tugas rakan sekerja. Alhamdulillah semua berjalan lancar seperti hari-hari yang sudah. Setelah berpuas hati dengan semua, aku kembali ke pejabat.

Teringat pada artikel-artikel tentang strok yang Yen dapat daripada Internet, laju tanganku membuka beg galas. Aku perlu membaca untuk mengetahui serba sedikit tentang penyakit ini. Sudah pasti pengetahuan tentang penyakit ini berguna padaku agar aku tahu perkara yang patut aku lakukan pada Mak Long.  

Strok atau angin ahmar berlaku akibat penyempitan salur darah ke bahagian otak atau salur darah pecah. Sebahagian dari tisu otak akan rosak disebabkan kekurangan bekalan oksigen. Apabila bahagian tisu otak tersebut rosak, ia akan mati lalu fungsi otak akan hilang. Antara simptom yang ketara ialah pengsan, tidak sedarkan diri atau lemah sebahagian anggota. Penyakit yang berbahaya yang boleh mengakibatkan kecacatan kekal di peringkat dewasa. Aku menarik nafas dalam-dalam. Hatiku bergetar. Semoga Mak Long selamat.

Faktor risiko penyumbang kepada strok yang tidak boleh dikawal ialah peningkatan umur, terutama apabila meningkat umur hingga 65 tahun ke atas. Lelaki lebih berisiko tinggi berbanding wanita. Namun nasib malang telah menimpa Mak Long. Sejarah keluarga. Risiko lebih tinggi jika terdapat ahli keluarga yang menghidap strok. Setahuku dalam keluarga kami tiada sesiapapun pernah mengalami strok. Tidak tahu kalau di sebelah keluarga Mak Long. Seterusnya, tekanan darah tinggi, kencing manis, paras kolesterol tinggi, merokok, berat badan yang berlebihan, cara hidup tidak aktif, tekanan, pemakanan yang kurang serat dan tinggi lemak serta minum minuman keras yang berlebihan. Ya Allah, mungkinkah tekanan hidup menyebabkan Mak Long jadi begini? Keluargaku jadi punca nasib malang Mak Long ini. Aku bersalah sangat pada Mak Long dan pada Pak Long sekeluarga.

Strok tidak terjadi tanpa amaran. Selalu ada tanda-tanda amaran. Gejala-gejala utama ialah kelemahan atau merasa kebas mengejut di sebelah bahagian badan. Tanda-tanda ini mungkin muka yang meluyut, meleleh air liur, lemah pada tangan atau kaki. Kekaburan penglihatan pada sebelah atau kedua-dua mata secara tiba-tiba. Selain itu, kesukaran bertutur atau memahami pertuturan atau pertuturan yang tidak jelas. Pening, kehilangan imbangan, kekeliruan serta sakit kepala yang teruk secara mengejut. Di samping, mual atau muntah. Pernahkan Mak Long mengalami semua ini? Oh, aku tidak rapat dengan Mak Long! Apa yang Mak Long alami tidak mungkin akan diluahkan kepadaku. Malah Mak Long juga lebih suka menyendiri. Kasihan Mak Long. 

Aku meneruskan pembacaanku. Kesan-kesan strok berbeza daripada seorang kepada seorang, bergantung kepada bahagian otak yang mana telah terjejas dan takat kerosakan. Bagi sesetengah orang, kesan agak sedikit dan sekejap, yang lain mengalami kehilangan upaya yang lebih teruk dalam jangka panjang. Ya Allah semoga tiada kesan serius yang menimpa Mak Long. Semoga Mak Long sembuh seperti sediakala tanpa ada cacat cela. Aku menelan liur pahit. Kesan strok ringan selalu mudah diatasi tetapi jika sebaliknya, mungkin mengakibatkan hilang upaya yang teruk dan mungkin kekal. Maka, sokongan dan bantuan emosi daripada keluarga, kawan-kawan dan petugas kesihatan amat mustahak kerana boleh membantu dalam proses pemulihan pesakit strok. Pesakit perlu dibantu mengekalkan dan memulihkan pertuturan serta menilai tahap kebolehan menelan. Selain itu, pesakit perlu diajar cara mengendali dan menunjuk ajar kemahiran baharu. Di samping, mengekalkan atau membantu meningkatkan pergerakan dan fungsi badan.

Aku menguatkan semangat diri meneruskan pembacaan. Apatah lagi artikel ini membicarakan kekurangan fizikal pesakit selepas strok. Tidak dapat aku bayangan keadaan Mak Long selepas ini. Namun aku masih berharap Mak Long akan pulih sepenuhnya.  Pesakit strok akan mengalami kehilangan pergerakan atau corak pergerakan yang tidak normal di sebelah badan. Oleh sebab bahagian kanan otak mengawal bahagian kiri badan dan sebaliknya, hemiplegia terjadi di bahagian badan yang bertentangan dengan lokasi strok. Koordinasi yang lemah, perawakan yang tidak normal, kesukaran bertutur dan memahami, serta membaca dan menulis. Bahkan tidak dapat mengawal pembuangan najis, kehilangan penglihatan separa serta tidak dapat menelan. Adakah Pak Long dan Lili tahu semua ini boleh berlaku pada Mak Long? Mereka perlu bersedia menghadapi semua ini.

Dari segi kekurangan kognitif, pesakit menjadi terlalu awas, cemas dan kelam kabut. Mudah murung, tidak dapat mengawal emosi. Di samping, konsentrasi yang lemah dalam mempelajari kemahiran baharu serta tidak dapat memahami percakapan atau pertuturan. Berlaku kekurangan tanggapan ruang  atau persepsi. Pesakit tidak boleh mengagak jarak, saiz dan kedudukan sesuatu. Kehilangan tindak balas di sebelah badan dan kehilangan imej tubuh. Aku menarik nafas dalam-dalam. Pilu hatiku mengenangkan nasib Mak Long yang tidak dapat dijangka. Aku sedar semua ini merupakan perkara yang mencabar dan perlu ketabahan diri. Aku bersedia memikul semua ini seikhlas hatiku. Paling penting Mak Long sembuh dan kembali menjalani hidup normal persis orang lain. Ya Allah berikanlah peluang kedua kepada Mak Long untuk menikmati kehidupan di dunia ini dengan penuh bahagia di samping keluarga yang sentiasa menyayangi dan mengasihi dirinya. Amin.

Setiap penyakit ada ubat kecuali maut dan setiap yang bernyawa pasti akan menghadapi maut. Terlalu dalam makna pernyataan ini. Sebagai hamba kita mesti berusaha. Tidak sanggup aku hendak membayangkan keadaan Mak Long yang ilumpuh bahagian badan seperti sebelah badan kiri atau kanan atau separuh bahagian badan ke bawah dari pinggang ke kaki atau tangan sahaja. Kehilangan keupayaan bercakap atau bertutur. Lupa atau "memory loss". Muka atau mulut senget sebelah. Penglihatan terjejas. Mudah-mudahan semua ini tidak akan berlaku pada Mak Long. Aku menarik nafas dalam-dalam lalu menyandarkan tubuh di kerusi empuk ini. Cuba mengusir kebimbingan yang bermukim di hati tika ini. Sungguh aku tidak dapat membayangkan kepayahan yang bakal Mak Long tempuhi andai semua ini menimpa dirinya. Ya Allah Engkau kekalkanlah kesempurnaan fizikal dan keupayaan yang pernah Engkau berikan kepada Mak Long. Aku benar-benar memohon ehsanMu ya Allah, ya Rabbi.

Kujeling jam di pergelangan tangan. Sudah hampir menjangkau waktu rehat makan tengah hari. Nama Yen melintas di fikiranku. Pagi tadi aku tidak sempat menyediakan sarapan untuknya. Mujur juga dia tidak melenting kerana aku sudah ingkar pada isi kandungan perjanjian yang termeterai pada hari pertama kami menjadi pasangan suami isteri. Malah hari ini dia telah berjasa padaku. Pengetahuan berguna yang aku perlu untuk menjaga Mak Long nanti. Lantas aku bangkit lalu mengatur langkah ke muka pintu.

Lunch, Cik Iman?” sapa Ruran di kaunter.

“Nak tapau masakan Korea yang special hari ni,” jelasku tersenyum.

“Nak tapau makanan kat Restoran DLHlah ni,” teka Ruran. Aku mengangguk.

“Saya pergi dulu ye,” ujarku meminta diri lalu menyambung langkah semula. Tiba di Restoran DLH, aku meminta penjelasan menu istimewa yang terbaik yang boleh aku pesan untuk Yen. Layanan yang kuterima cukup memuaskan hati. Lalu aku pesan beebimbap yang disebut “beebimbap dolsot” yang bermaksud pot batu. Nasi disajikan dalam periuk batu panas. Sayuran yang digunakan dalam beebimbap ialah mentimun, lobak putih, bayam, akar Bellflower,  rumpai laut dan ada beberapa jenis sayuran lain yang didatangkan dari Korea. Sukar aku hendak menyebut dan mengingati nama-namanya.  Menurut pemuda ini semua bahan digaul bersama-sama dengan saksama sebelum makan. Hidangan ini merupakan makanan yang sangat sihat kerana ada pelbagai jenis sayuran dan terdiri daripada unsur-unsur makanan yang seimbang yang diperlukan oleh tubuh kita. Aku juga memesan sepinggan bulgogi iaitu daging lembu panggang serta kimchee untuk melengkapkan hidangan tengah hari ini.

 

Perkhidmatan yang disediakan di sini memang cekap dan cepat. Tidak perlu menunggu lebih lama makanan disediakan. Usai membayar harga makanan yang dipesan, aku terus melangkah ke pejabat Yen dengan bantuan pekerjanya. Maklumlah aku tidak pernah menjejakkan kaki ke sini. Kedatanganku disambut mesra oleh Nancy, setiausaha Yen yang pernah diperkenalkan kepadaku. Lalu aku amanahkan kepada Nancy agar menyerahkan makanan yang kubeli tadi kepada Yen. Kebetulan ketika ini Yen sedang bermesyuarat. Sedikit lega perasaanku kerana Yen belum makan lagi. Sekurang-kurangnya tidak sia-sia aku membeli untuk Yen. Seminit dua berborak dengan Nancy lalu aku meminta diri.

“Encik Yen, tadi sepupu encik ada datang ke sini bawa makanan tengah hari untuk encik. Saya dah letak di atas meja di dalam bilik encik,” jelas Nancy tatkala terpandang Yen yang baru sahaja melewatinya.

My cousin?” soalnya semula. Dahi Yen berkerut. Nancy mengangguk.

“Yes. Cik Iman yang encik pernah perkenalkan kepada saya dahulu. Dia ada datang ke sini tadi,” jelas Nancy tanpa sebarang curiga biarpun Yen memperlihatkan terkejutnya.

“Oh..., Iman ssi. Okey thanks,” sahut Yen tersenyum. Wajahnya terus ceria. Lalu diatur langkah ke bilik itu. Tidak sabar mahu menikmati memandangkan dia kelaparan sekarang kerana pagi tadi tidak bersarapan. Senyuman Yen terukir mekar tatkala menatap hidangan masakan Korea yang sudah sekian lama tidak dinikmati. Tanpa membuang masa dengan kalimah Allah, dia terus menikmati beebimbap dan  bulgogi. Sesekali mengunyah kimchee. Biarpun dia tidak gemarkan kimchee, namun tetap dinikmati juga demi menghargai pemberian gadis itu. Sungguh berselera Yen menikmati hidangan tengah hari yang istimewa itu. Lantas dicapai iPhone lalu menulis satu perkataan lantas menghantarnya.

~ Gomawoyo (terima kasih)…!!! ~

Pendek sahaja whatsApp yang dihantar kerana perasaan marah pada gadis itu belum padam lagi. Yen kembali menikmati hidangan tengah hari itu dengan senyuman yang tidak lekang di bibir.

 

No comments:

Post a Comment