Friday, 22 October 2021

Awaklah SonataKu...Bab 31

 

Aku mendahului langkah Yen melepasi pintu utama. Kubesarkan langkah lantas masuk ke dalam kereta lalu duduk di kerusi penumpang depan di sebelah pemandu. Laju tanganku mengemas kedudukan alas dashboard di depanku ini. Tatkala Yen semakin dekat, aku mula mematungkan diri. Berlagak selamba. Aku tidak akan bercakap tentang alas dashboard baharu ini. Biarlah dia menyedari sendiri. Yen melabuhkan duduk di kerusi pemandu. Aku masih menanti reaksi yang bakal Yen tunjukkan tatkala terpandangan alas dashboard baharu ini. Warna merah ini cukup menyerlah untuk menyedarkan Yen tentang kewujudannya.

Yen menghidupkan enjin kereta. Lalu kereta ini meninggalkan perkarangan banglo dengan megah. Yen masih tidak membuka mulut memberikan sebarang komentar terhadap hamparan alas merah putih ini. Aku sudah mula bosan menanti kunjungan reaksi Yen. Barangkali mata Yen rabun sebab itu dia tidak nampak alas ini. Sebetulnya Yen langsung tidak prihatin dengan keadaan di sekeliling. Dia tidak menyedari kewujudan alas merah putih ini. Lantas aku ingatkan pada diri sendiri agar menamatkan sahaja penantian ini. Tidak payah terus menunggu komen Yen kerana dia tidak akan berbicara tentang pilihanku ini.

“Bila awak beli alas ni?” soal Yen. Laju aku berpaling menatap Yen. Akhirnya dia menyedari juga walaupun agak terlewat.

“Semalam. Awak suka warna tu?” soalku tidak mahu menunggu dia mengeluarkan pendapat sendiri.

“Saya lebih suka warna asal,” balas Yen. Aku mencebik bosan.

“Dah orang hadiahkan terima sajalah. Tak payah pilih-pilih warna,” rungutku geram. Yen tersenyum sendiri.

“Hadiah ke atau awak nak ganti alas yang telah awak rosakkan tu?” tingkah Yen. Aku menjeling tajam.

Two in one. Hadiah dan gantian,” balasku. Yen tersenyum lagi.

“Jadi awak tak suka dengan alas ni?” soalku lagi.

“Memandangkan ini hadiah awak, jadi saya biarlah kat sini,” ujar Yen buat aku mula tersenyum. Maksudnya Yen sudi menerima walaupun bukan warna pilihan hatinya. Syukur...syukur... selamat juga duit aku dari melayang membeli alas yang baharu.

“Kalau awak tak suka ni, saya akan beli yang warna asal,” ujarku.

“Tak usah membazir. Yang ni pun saya tengok boleh tahan juga,” ujar Yen berbaur pujian sekali gus jawapan yang memberi kepuasan kepadaku. Kalau dari awal dia berbicara beginikan senang. Tidak payahlah aku bercakap memanjang mahu mencungkil pandangannya terhadap alas baharu ini. Kenapalah susah sangat Yen mahu berterus terang menyatakan memang dia juga menyukai pilihanku? Ternyata keegoan Yen terlalu tinggi. Lelaki...lelaki rasanya kalau tiada ego mahu mati sahaja diri mereka.

“Sebelum saya hantar awak balik kita makan dulu,” ujar Yen. Aku mengangguk. Nanti tidak perlu aku pergi ke kafe membeli makanan. Kebetulan Yen mahu bersedekah. Betulkah dia mahu belanja aku makan? Jangan-jangan dia suruh bayar sendiri nanti. Risau juga kalau Yen ajak aku makan di tempat mewah.  Harga makanan di sana mahal-mahal walaupun rasa persis masakan gerai-gerai di tepi jalan. Namun banyak juga kelainan. Ohh...silap-silap hari bulan aku hanya mampu pesan air kosong sahaja! Naya...naya!

“Awak belanja saya makan?” soalku perlahan. Yen menjeling ke arahku. Aku tersengih.

“Yelah. Kenapa? Awak nak belanja saya makan ke?” soal Yen mengulangi soalanku tadi. Laju aku geleng kepala.

“Awak tu isteri saya. Saya kenalah bayar makanan yang awak makan,” tutur Yen. Sekali lagi dia mengeluarkan perkataan itu.

“Oh, jadi awak terpaksalah bayar! Tak ikhlas awak nak belanja saya makan,” kutukku.

Mwo (apa)!” Yen menatapku serius. Aku tersengih lagi.

“Takpe. Kalau saya dah kerja nanti, saya akan belanja awak makan pula. Setiap hujung bulan bolehlah,” ujarku berjanji memandangkan citarasa Yen mahal belaka. Yen tersenyum.

“Nanti dah jadi cikgu, jangan pula lupa dengan janji awak ni,” ujar Yen meningatkan aku. Aku mengangguk.

“Kalau dalam bahasa Korea, cikgu dipanggil apa?” soalku.

“Guru ler... ha...ha...ha...!” Yen tergelak besar.

“Hey, saya serius tanya awak!” rungutku. Yen masih tersenyum-senyum. Jahat betul akal dia!

“Buat apa awak nak tahu. Nanti awak belajar kat kelas bahasa awak,” arah Yen mula kedekut ilmu. Aku mencebik bosan.

“Saya nak belajar bahasa Korea sepatah sehari. Kalau saya langsung tak tahu rugi je saya kahwin dengan orang Korea,” ujarku menyindirnya.

Really?” soal Yen. Aku mengangguk.

Seonsaeng (guru),” ujar Yen memperkenalkan aku pada perkataan itu. Aku tersenyum suka. Akhirnya termakan juga Yen dengan bicaraku.

Se..on..sa…eng…,” ujarku menyebut perlahan-lahan mengulangi perkataan yang keluar dari mulut Yen.

Seonsaeng. Sebut terus perkataan tu,” arah Yen.

Seon..saeng… Susahlah nak sebut terus,” luahku. Berbelit-belit sudah lidah menyebutnya. Susah betullah hendak belajar bahasa Korea ini.

Seonsaeng...Seonsaeng... Seonsaeng...,” ulang Yen cuba membimbingku menyebut perkataan itu.

Seonsa.eng… Seonsaeng… Seonsaeng… Seonsaeng… Yahoo...! Saya dah pandai sebutlah perkataan ni!” ujarku teruja. Yen di sebelahku tersenyum. Maka sepanjang perjalanan ini aku asyik mengulangi perkataan tersebut. Ada juga Yen merungut kebisingan lalu memintaku agar berhenti menyebut perkataan yang baru sahaja diajarnya itu. Namun aku tidak mengendahkan permintaannya itu. Akhirnya Yen mengalah juga.

 

YEN sudah memesan hidangan tengah hari untuk kami nikmati. Ada sup tulang, ikan kerapu tiga rasa, sotong bakar dan sayur cendawan. Air minuman jus mangga untuk Yen dan aku memilih jus oren.  Cukup membangkitkan selera. Tanpa melengahkan masa aku dan Yen terus menikmati. Usai makan, aku dan Yen berlegar-legar di kompleks ini seketika. Liar mataku memandang sekeliling. Risau diperhatikan orang yang mengenaliku. Paling merisaukan kalau Velviana tetiba muncul menyerangku. Namun tatkala aku teringat yang dia sekarang ini berada di Paris perasaan risau itu terus sahaja padam.

“Awak ada nak beli barang sebelum balik ke asrama?” soal Yen. Aku geleng kepala. Kemudian tersenyum sendiri. Yen bertanyakan soalan itu seolah-olah aku ini pelajar asrama di alam persekolahan dahulu.

“Kalau ada apa-apa yang saya perlukan saya boleh beli kat kedai koperasi kampus,” jelasku. Yen mengangguk.

“Kalau macam tu awak nak balik sekarang?” soal Yen lagi.

“Yelah saya nak balik. Boleh saya berehat-rehat kat asrama. Esok kelas saya padat,” jelasku panjang lebar. Yen mengangguk. Lantas aku dan Yen terus bergerak ke muka pintu utama kompleks ini.

“Encik Aieqal…,” kedengaran ada suara gadis menyapa. Langkahku dan Yen terhenti. Serentak aku dan Yen berpaling ke arah suara itu. Seorang gadis kecil molek sedang tersenyum manis.

“Awak kan gadis yang saya jumpa kat IT First World,” teka Yen. Gadis itu tersenyum dan mengangguk. Mungkin kenalan baharu Yen. Sebetulnya juga Yen memang pantang tengok gadis cantik. Selalu peluang yang terbentang luas di depan mata tidak pernah dilepaskan. Sebab itu aku memberi gelaran pada Yen sebagai buaya darat dan lelaki berdahi licin. Kasihan Velviana. Sejelita dia pun Yen masih mahu curang kepadanya.

“Encik buat apa kat sini?” soal gadis itu.

“Saya baru je lepas makan dengan isteri saya,” ujar Yen mengejutkan aku. Gadis itu memandangku dengan senyuman.

“Oh, ini rupanya isteri encik yang encik ada cerita hari tu,” sekali lagi aku tersentak mendengar kenyataan gadis itu.

“Cantik isteri encik ye...,” puji gadis itu padaku. Mujur juga aku sempat tersenyum bagi menghargai pujian itu. Tepatnya aku masih lagi terkesima dengan bicara Yen dan gadis ini. Sungguh aku tidak menyangka Yen akan mengakui aku ialah isterinya. Tambah mengejutkan aku tatkala gadis ini sudah mengetahui yang Yen sudah beristeri. Sesuatu yang tidak pernah Yen lakukan kepada sesiapa sebelum ini. Setahuku Yen dan aku begitu merahsiakan tentang hubungan kami.

“Puan, suka tak dengan iPad tu? Itu pilihan suami puan. Beruntung puan dapat suami yang begitu menyayangi puan,” ujar gadis itu lagi hampir-hampir membuatkan aku rebah ke lantai gara-gara terkejut sungguh. Kupandang Yen. Dia tetap dengan wajah bersahaja.

“Okeyah...Encik Aieqal, puan, saya pergi dulu. Tadi ada janji dengan kawan nak jumpa kat sini,” jelas gadis itu memohon diri. Yen mengangguk. Aku sempat mengukir senyuman kepada gadis itu.

“Jom...,” ajak Yen menyambung langkah. Aku mengekori langkah Yen dengan pelbagai persoalan. Betapa aku keliru dengan bicara gadis itu tadi.

“Gadis tadi tu kerja kat IT First World tempat saya beli iPad awak tu,” cerita Yen memberi penjelasan kepadaku.

“Saya cakap kat dia, saya nak beri hadiah pada isteri saya. Macam tu je,” ujar Yen seolah-olah ingin membetulkan tanggapan silap gadis tadi. Aku memang cukup sedar Yen tidak akan melafazkan kata-kata sayang padaku. Dalam hati Yen hanya ada perasaan kosong kepadaku.

 

Sepanjang perjalanan aku hanya mendiamkan diri. Begitu juga dengan Yen. Barangkali kerana kami sedang kekenyangan sekarang.

“Kenapa awak tetiba je diam ni?” soal Yen sambil berpaling kepadaku.

“Kenyang. Mengantuk pula,” balasku.

“Bila awak nak ambil lesen memandu?” soal Yen.

“Buat apa saya nak ambil? Macamlah saya ada duit nak beli kereta sekarang,” ujarku kurang wajar dengan persoalan Yen.

“Lesen tu penting. Bukan bila dah ada kereta baru nak ambil lesen. Kalau awak dah ada lesen memandu awak boleh guna kereta ni,” ujar Yen begitu bermurah hati. Besar anak mataku menatap Yen. Terkejut sangat dengan kemurahan hati Yen ini. Jangan-jangan dia masih mahu mempermainkan aku.

“Nak guna ke mana?” soalku buntu.

“Untuk awak ke kampuslah,”

“Saya boleh jalan kakilah. Jarak asrama dengan pusat pengajian bukan jauh pun. Lagipun pihak universiti ada sediakan perkhidmatan bas yang bergerak dalam kawasan kampus khas untuk pelajar-pelajar,” jelasku berjela.

“Yang saya maksudkan jarak kampus dari rumah kita,” ujar Yen. Pantas aku berpaling menatap Yen.

“Saya nak ulang-alik dari rumah awak ke kampus? Maksud awak... saya jadi pelajar harian?” soalku meminta kepastian daripada Yen.

“Apa salahnya. Jarak kampus dengan rumah kita bukan jauh sangat pun. Saya ingat ulang tahun perkahwinan kita saya nak beli kereta untuk awaklah,” ujar Yen mengejutkan aku untuk sekian kali. Hari ini banyak sangat kejutan yang aku terima.

“Apa...! Awak nak belikan saya kereta?” soalku semula. Yen mengangguk.

“Awak nak kereta yang mana? Kalau perempuan lebih sesuai guna kereta auto. Mudah nak kawal. Awak nak kereta apa? Nanti saya uruskan,” ujar Yen bersahaja sekali gus menimbulkan geramku. Dia ingat dia hendak beli kereta mainan yang hanya beringgit harganya.

“Kerja gila...!” radangku sudah tidak dapat mengawal perasaan.

“Apa yang gilanya?” soal Yen turut sama radang. Ketegangan mula terasa. Kenapa Yen tidak dermakan sahaja duitnya yang banyak itu ke rumah anak-anak yatim? Lagi berfaedah dapat pahala.

“Awak tahu kan hubungan kita bukan seperti pasangan suami isteri yang lain. Suatu hari nanti kita akan berpisah mencari haluan hidup sendiri. Saya tak nak dikata ambil kesempatan pada awak,” tegasku.

Mwo (apa)?” Serius wajah Yen menatapku.

“Awak ingat kereta tu dua tiga ringgit je ke harganya,” rungutku cuba menyedarkan Yen agar lebih realistik. Tidak berbaloi dia menghadiahkan aku dengan sesuatu yang berharga kerana suatu hari nanti aku akan berpisah dengannya juga.

“Saya tahulah Cik Iman... hoi! Pelik betullah awak ni. Orang lain akan gembira kalau dapat hadiah berharga macam ni tapi awak marah-marah pula,” rungut Yen. Aku mendengus.

“Saya memang berbeza dengan gadis-gadis yang awak kenali selama ni. Saya bersama dengan awak sekarang bukan untuk mengaut kekayaan awak mahupun menumpang kemewahan awak,” tegasku telus.

“Sebab awak berbeza dengan mereka...saya nak beri awak hadiah ni,” tingkah Yen masih berdegil.

“Cukup...! Saya tak nak cakap perkara ni lagi,” putusku. Aku terus berpaling ke cermin di sisi lalu melontar pandangan keluar. Senyap. Aku tidak mahu berbicara lagi. Yen juga turut mendiamkan diri. Keadaan ini berlanjutan sehingga kereta Mercedez Benz ini memasuki perkarangan asrama. Tatkala kereta berhenti, aku terus keluar tanpa sempat memandang wajah Yen. Manakala Yen juga membiarkan aku berlalu begitu sahaja. Tidak mahu menunggu lebih lama di situ, Yen terus memandu kereta meninggalkan perkarangan asrama sekali gus meninggalkan kelibatku. Maka tercetuslah perang dingin antara aku dengan Yen.

 

 

Hari ini merupakan hari terbuka kampus. Semua pusat pengajian terlibat sama termasuk bahagian-bahagian yang lain. Tatkala melalui gerai Pengajian Pusat Seni, langkahku terhenti di situ. Kunjunganku disambut mesra oleh pelajar-pelajar senior seni. Paling membuat aku teruja, malam ini akan diadakan program ‘Sedetik Jatuh Cinta’. Begitu dalam maknanya. Menurut pengerusi gerai Pusat Pengajian Seni ini program tersebut untuk memperkenalkan pelbagai cabang seni kepada pelajar-pelajar baharu yang berminat menjadikannya major, minor atau kegiatan kokurikulum bagi memenuhi jam kredit yang diambil sekali gus memenuhi syarat pensiswazahan. Kiranya program ini sebagai satu langkah promosi yang dilakukan oleh Pusat Pengajian Seni.

Ternyata program ini menarik perhatian ramai termasuklah aku. Aku tidak ketinggalan mendapatkan tiket percuma untuk membolehkan aku mengikuti sesi pengenalan itu nanti yang akan dikendalikan oleh seorang pensyarah berpengalaman dalam bidang seni di Bilik Kuliah G103. Tiket untuk program ‘Sedetik Jatuh Cinta’ ini hanya tinggal beberapa keping sahaja lagi. Memang mendapat sambutan hangat daripada pelajar-pelajar baharu.

 

BAYANGKAN......

 

Bukankah sesuatu yang menarik jika kita dapat memainkan sebarang lagu kegemaran kita menggunakan gitar dengan mudah? Kita mendengar lagu terbaru band atau artis kegemaran kita di radio atau televisyen lalu kita pun berfikir "best jugak lagu ni...," lantas kita mencapai gitar dan terus bermain lagu tersebut! Tidakkah anda teringin untuk memiliki kemahiran sebegitu? Mungkin juga anda berminat untuk menubuhkan band anda sendiri yang menjadi trend sekarang ni? Atau mencairkan hati insan tercinta dengan alunan gitar yang anda petik. Walau apa pun keinginan anda, kemahiran bermain gitar merupakan satu bakat yang sangat menarik untuk dimiliki.

Bicara Encik Terance ketika mengendalikan program ‘Sedetik Jatuh Cinta’  masih segar dalam ingatanku. Memang aku telah jatuh cinta untuk mengenali dunia seni. Serta merta ingatanku melayang kepada Yen. Aku perlukan pertolongan pemuda itu. Semoga misiku berguru dengannya diterima. Maklumlah aku ini pelajar yang langsung tidak tahu tentang gitar selain menyukai gitar sebagai alat muzik yang boleh menghiburkan. Paling penting aku sudah mengenal pasti guru hebat yang boleh mengajarku. Usai satu masalah. Namun tatkala teringatkan perang dingin yang tercetus antara aku dengan Yen sedikit menimbulkan kerisauanku.  

Aku telah bercadang mengambil kelas muzik sebagai aktiviti gerko bagi mencukupkan jam kredit yang akan kuambil semester pertama penggal kedua yang hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi. Habis cuti penggal pertama ini nanti aku sudah melangkah ke penggal kedua. Bermakna kelas muzik itu akan bermula. Justeru, aku harus membuat persiapan awal untuk mengenal asas-asas bermain gitar. Bila aku ingatkan Yen terus aku memfokus pilihan kepada alat muzik gitar. Aku ada guru terbaik yang boleh mengajar aku memetik gitar di rumah pada hujung minggu mahupun pada cuti penggal pertama sebelum ketibaan penggal kedua. Mahu tidak mahu akhirnya dengan perasaan berat kuhantar permohonan maafku kepada Yen andai dia telah tersinggung dengan sikapku tempoh hari. Mujur juga mesej yang kuhantar disambut baik oleh Yen sekali gus menandakan perang dingin antara aku dengan Yen sudah berakhir. Aku menarik nafas lega. Baru lapang dadaku.

 

Aku tiba di banglo mewah ini ketika Yen tiada. Kupandang sekeliling. Tampak bersih dan kemas. Tidak seperti kunjungan pertamaku setelah bergelar siswazah. Barangkali ada pembersih yang diupah datang membersih dan mengemas banglo ini pada setiap hari seperti sebelum kehadiranku di sini. Mungkin juga Mak Siti sudah kembali bekerja. Aku melangkah ke bilik yang sudah dicap sebagai bilik tidurku di banglo milik pemuda Korea ini. Masih seperti biasa. Segala susun atur tidak berganjak dari tempat asal. Bilik ini bersih dari debu. Tidak perlu berjam aku membersihkan seperti minggu lalu. Terima kasih Yen kerana tidak mengecualikan bilik ini daripada sebahagian lokasi yang perlu dibersihkan. Agaknya dia masih ingat leteran dan kutukanku yang lalu.

 

 

Lama pandangannya menatap hidangan di atas meja ini. Kemudian beralih menatapku. Aku dan Yen saling berpandangan seketika.

“Duduklah,” arahku.

“Ada apa-apa celebrate hari ni? Birthday awak atau my brithday? Atau awak nak pujuk saya sebab tak bersikap rasional hari tu,” ujarnya bersoal jawab sendiri sekali gus mengungkit kejadian minggu la;u. Aku tergelak. Ada juga manusia begini di dunia ini.

“Hello, Mr. JGS, tolonglah takde masa saya nak pujuk rajuk orang tua ni,” perliku buat Yen tersenyum sendiri.

“Takkan birthday sendiri pun awak tak ingat,” tambahku memperli. Kalau hendak bergurau biarlah logik. Dia mengangguk serius.

“Saya sering lupa birthday saya bila cause selalu orang lain yang ingatkan,” jelasnya tidak berselindung. Mesti deretan kekasih hatinya akan bersaing menyambut hari kelahirannya itu. Tidak pun Velviana si model jelita itu.

“Takpelah kalau awak tak ingat. Bukankah awak ada ramai kekasih yang boleh ingatkan awak,” perliku lagi. Yen tersenyum lantas menatapku dengan pandangan nakal.

Are you jealous?” soalnya tersengih.

“Ha...ha...ha... Jangan nak mimpi saya akan jealous. Sekadar wajah awak ni, tak heran saya. Pemusnah anak gadis,” kutukku. Kali ini Yen tertawa berdekah-dekah menyambut bicaraku.

“Bukankah awak minat sangat dengan pemuda Korea?” soalnya cuba memerangkapku.

“Awak tak termasuk dalam senarai tu,” tingkahku.

Wea  (kenapa)?”

“Saya tak suka lelaki buaya macam awak,” luahku tanpa berselindung.

“Mereka yang suka saya, bukan salah saya pun,” bidasnya tidak mahu mengakui kebenaran. Dasar buaya darat pantang menolak bangkai.

“Tapi awak yang menggalakkan gadis-gadis itu tergila-gilakan awak. Awak layan mereka berlebihan. Awak salah gunakan anugerah yang Allah berikan kepada awak,” omelku. Yen tersenyum sendiri.

“Tapi awak tak sehandsome manapun,” pantas aku menokok bicara sebelum Yen cepat bertindak balas atas ketelanjuran kataku sebentar tadi. Sebetulnya jauh di sudut hati aku memang mengkagumi kesempurnaan wajah dan fizikal yang dimiliki oleh pemuda yang sedang leka menikmati hidangan makan malam ini. Aku menatapnya seketika.

“Awak tak pernah tengok orang makan ke?” Aku tersentak. Laju aku turut serta menikmati hidangan di atas meja. Sebelum Yen mentafsirkan yang bukan-bukan terhadap pandanganku tadi baik aku makan. Nanti tidak pasal-pasal hilang pula selera makanku. 

“Awak tak boleh suka kat saya tau, nanti awak susah dan saya pun susah,” ujarnya selamba. Ahh, dia dah mula perasan! Pasti gara-gara pandanganku pada wajahnya tadi.

    Aigooo...,” Aku mencebik bibir kepada pemuda di depanku ini. Dia ingat aku tergila-gilakan dia seperti koleksi gadis yang dimilikinya itu.

“Hari ni masak sedap-sedap untuk saya, apa niat awak?” soalnya sudah dapat mengagak hajatku.  Aku tersenyum sendiri. Bijak juga pemuda Korea ini meramal. Aku muktamad telah mengambil muzik gitar sebagai aktiviti gerko.

“Selain saya masak untuk seorang suami, saya ada hajat besar yang perlu sangat-sangat pertolongan awak,” ujarku bersungguh-sungguh. Yen menatapku.

“Tolong apa?” soalnya.

“Saya nak berguru dengan awak. Awak terimalah saya jadi murid awak,” pintaku berharap sambil memandangnya dengan wajah yang minta belas kasihan.

“Jadi murid saya?” soalnya hairan.

“Saya nak belajar main gitar dengan awak. Gerko saya alat muzik gitar. Untuk saya lulus sekurang-kurangnya saya perlu tahu tentang gitar dan memainkan kord asas,” jelasku serius. Yen memandangku lagi.

“Awak langsung takde asas main gitar?” Aku mengangguk. Wajah Yen berkerut seribu.

“Susahlah macam ni. Anak murid saya sebelum ikut kelas pun dah tahu asas. Kalau awak tak tahu main gitar kenapa awak ambik course tu?” omelnya.

  “Sebab saya tahu awak hebat bermain gitar. Lagipun awakkan buka kelas gitar, seorang guru yang hebat tak perlu pilih-pilih anak murid,” pujiku turut mengenakannya sekali.

“Tapi saya tak pernah ada anak murid yang bengap begini,” rungutnya. Alamak, dia kata aku bengap! Memang tidak berinsurans mulut lelaki seorang ini. Harapkan muka sahaja handsome tapi langsung tidak tahu bersopan-santun. Geramnya!

“Kalau saya dah pandai, buat apa saya nak berguru dengan awak. Mana ada seorang guru kena pilih-pilih murid yang dia nak ajar,” protesku geram. Yen menatapku lagi.

“Boleh ler please...,” rayuku sedikit janggal. Terpaksa juga aku menagih simpati kepada pemuda ini bila sahaja pujianku tadi tidak berjaya memujuknya untuk menerimaku sebagai anak murid. Susah juga pemuda Korea ini hendak termakan pujukanku. Sah aku yang tidak berbakat dalam bab pujuk memujuk ini. Kenalah berguru lagi dengan Velviana.

“Awak tak perlu risau. Saya takkan ganggu kerja awak kat My Dream tu. Saya belajar kat rumah saja. Saya juga akan masak makanan  sedap-sedap untuk awak,” janjiku memberikan tawaran hebat.

“Boleh tapi bersyarat,” putusnya. Senyumanku yang baru sahaja terukir terus padam. Kutatap wajah Yen.

“Syarat?” Yen mengangguk.

“Apa syaratnya?” soalku.

“Kemudian saya cakap. Kalau betul awak nak berguru dengan saya, awak mesti terima syarat yang akan saya tetapkan. Bagaimana awak setuju?” Kali ini dia pula yang membuat tawaran kepadaku.

“Betul ke ni kena ada syarat?” soalku ragu-agu. Terasa macam hendak berguru bersilat pula. Yen mengangguk.

“Mesti ler, mana ada benda percuma kat dunia ni. Kalau awak terima syarat yang saya tetapkan, barulah saya terima awak jadi anak murid saya,” jelasnya masih mempersoalkan syarat permintaannya itu.

“Awak nak saya buat apa?” soalku kematian akal. Yen menatapku. Aku membalas pandangan itu. Dia tersenyum simpul. Girang hati mendengar pertanyaanku.

“Awak tunggu saja ler. Kemudian saya beritahu awak,” balasnya mahu berahsia sekali gus menimbulkan curigaku.

“Bagaimana? Awak bersedia memenuhi syarat saya?” soalnya tersenyum. Keningnya terangkat-angkat memandangku. Diulangi lagi aksi menggoda itu sekali gus menimbulkan syak wasangkaku. Betapa aku tidak senang hati melihat senyuman yang meleret di bibirnya itu. Nampak sangat lelaki yang sedang ketandusan perempuan. Eee... betul-betul menggerunkan aku!

“Awak ada niat burukkan?” soalku menyiasat. Yen masih tersenyum. Seleraku sudah lenyap. Perkara yang sedang bermain di kepalaku ini cara menyelamatkan diri daripada buaya darat ini. Lupa sudah aku dengan objektif utama perbincangan yang hendak dicapai tadi. Semangatku yang berkobar- kobar hendak berguru dengannya terus tergendala.

“Takut saya tengok awak ni,” luahku berterus terang. Deraian tawanya bergema. Lantas aku bangkit dari duduk. Tidak mahu aku lama-lama bersamanya di situ. Naya kalau tiba-tiba sahaja Yen terkam aku di situ. Lebih baik aku bertindak dahulu sebelum malang berlaku. Aku harus berhati-hati dengan pemuda ini. Sesungguhnya berdua-duaan antara lelaki dengan perempuan akan wujud pihak ketiga yang sentiasa berbisik mendorong manusia ke arah kejahatan.

“Awak makan ler ye..., saya dah kenyang ni,” balasku kalut.

“Awak takut saya ke?” soal Yen tersenyum lagi. Aku menelan liur. Rasa menyesal tidak mendaftar diri di kelas teakwondo. Balik kampus nanti aku mesti masuk kelas seni mempertahankan diri pula. Pemuda Korea ini tidak boleh dipercayai sangat. Tanpa menjawab pertanyaannya itu, aku bergegas meninggalkan Yen di situ.

“Awak tak jadi belajar main gitar dengan saya? Kalau nak, jangan lupa dengan syarat tu!” laung Yen dari dapur. Aku mengetap bibir menahan geram. Gelak tawa Yen kedengaran lagi. Mesti dia seronok sangat tika ini kerana berjaya mempermainkan aku.

 

Kelibat gadis itu sudah tidak kelihatan lagi. Dia menyandarkan tubuh di kerusi. Sudah tidak larat menghabiskan hidangan di depannya itu. Terasa letih kerana banyak sangat ketawa. Hilang kesunyian seminggu yang bersarang di banglo ini. Seronok di hatinya. Dia tersenyum sendiri.

 

“Iman ssi awak betul-betul menghiburkan saya...,” bisiknya perlahan bersama senyuman. Kemudian dia termenung panjang sendirian di situ seketika. Otaknya ligat berfikir. Tiba-tiba laju tangannya mengeluarkan iPhone dari poket. Ditekan sederet nombor. Seminit kemudian ada suara yang menjawab panggilannya itu.

 

“Assalamualaikum, Jack. Awak tolong tampal notis pembatalan kelas esok sehingga lusa. Jangan lupa juga hantar kat WhatsApp kelas. Saya ada hal penting,” arahnya ringkas lalu mematikan panggilan itu.

 

No comments:

Post a Comment