Bunyi jam dari iPhone itu mengejutkannya. Laju tangannya mematikan bunyi itu. Matanya masih mahu terpejam namun digagahi juga bangkit dari perbaringan. Hari ini dia mesti bangun lebih awal daripada biasa. Seketika Yen masih duduk di tilam empuk itu dengan mata yang masih terpejam. Betapa menyeksakan untuk menghilangkan mengantuk itu. Matanya masih mahu tidur lagi namun ada perancangan yang perlu dilakukan.
Akhirnya dalam keadaan masih mamai dia terbongkok-bongkok meninggalkan katil lantas mencapai tuala yang tersidai. Tatkala tuala itu bersatu dengan hidung ada bau wangian yang menyenangkan. Bibirnya tersenyum namun mata masih tertutup rapat. Tuala ini baru dicuci oleh gadis itu semalam. Tatkala Yen memusing pili air pancutan itu kedengaran jeritannya. Kedinginan air itu sudah cukup menyedarkannya. Dia terketar-ketar kesejukan lantas ditekan punat merah itu. Kali ini baru dia selesa tatkala suhu air pancutan itu diseimbangkan.
Usai menyiapkan diri dengan mengenakan seluar jeans hitam yang dipadankan dengan t-shirt merah, dia melangkah keluar dari bilik. Tatkala kakinya berada di ambang pintu dapur, kelihatan gadis itu sedang menyiapkan sarapan. Bagai ada orang yang sedang memerhatikanku. Lantas aku berpaling. Sedikit mengejutkanku tatkala melihat Yen sedang terpacak di muka pintu sedang memandang ke arahku. Ketampanannya begitu terserlah. Dalam hati sempat juga aku memuji betapa kacak pemuda Korea ini.
“Awalnya awak bangun. Awak ada hal ke?” soalku melihat penampilan Yen. Dia sudah siap mandi dan lengkap berpakaian kemas. Yen geleng kepala. Wangian semerbak purfume Dunill yang dipakai menyerang rongga hidungku.
“Kebetulan awak dah ada kat sini, jom sarapan,” ajakku. Yen melangkah masuk lalu terus duduk di kerusi. Hairan melihat kehadiran pemuda Korea awal sebegini. Bahkan sudah siap sedia bagai hendak keluar rumah sekejap lagi. Bertentangan dengan isyarat gelengan kepala yang ditunjukkannya tatkala aku bertanya tadi. Barangkali Yen ada hal penting namun tidak mahu memaklumkan kepadaku. Siapalah aku untuk tahu ke mana Yen mahu pergi. Merajuk pula hati ini. Ohh..., tidak mungkin!
“Minumlah,” jemputku setelah menyuakan secawan teh kosong di depan Yen. Nasi goreng dengan campuran makanan laut sudah sedia untuk dinikmati. Begitu juga dengan semangkuk kecil sup sayur. Seketika senyap. Aku dan Yen leka menikmati hidangan sarapan ini.
“Pukul berapa awak keluar rumah nanti?” suara Yen memecah kesepian.
“Nak mendaftar ke hostel?” soalku semula. Yen mengangguk.
“Petang sikit dalam pukul 2.00,” jawabku. Kelihatan sedikit pelik reaksi yang ditunjukkan oleh Yen tatkala mendengar jawapanku itu. Dia memalingkan wajah sambil menghembuskan nafas. Bagai orang yang tidak berpuas hati. Tanpa difahami oleh gadis itu, lelaki ini sebenarnya merasa satu kerugian terhadap pengorbanannya pada awal pagi ini. Dia bangun begitu awal sedangkan gadis itu baru sahaja menyatakan jam keberangkatannya. Dalam hati dia bersyukur, mujur juga dia tidak memaklumkan kepada gadis itu tentang perancangannya hari ini. Kalau tidak betapa dia merasakan keegoan dirinya tergugat.
“Kenapa?” soalku melihat perangai pelik Yen. Yen geleng kepala lagi.
“Mesti awak dah tak sabar nak suruh saya keluar dari sini kan?” tekaku.
“Jangan merepeklah,” tingkah Yen serius. Aku tersenyum. Suka mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Yen itu. Sekurang-kurangnya aku tahu kewujudanku di banglo ini bukan sesuatu yang tidak menyenangkan Yen.
“Kenapa awak berperangai pelik hari ni?” soalku.
“Awak yang berperangai pelik. Semalam tak balik ke rumah, kenapa?” Yen terus melenting membingitkan telingaku.
“Kan saya dah WhatsApp awak...saya tidur rumah Linda,” ujarku mengulangi mesej yang telah aku hantar kepadanya semalam.
“Ada rumah sendiri tapi masih sibuk nak tumpang tidur rumah kawan,” rungut Yen sendirian namun jelas butiran bicara itu di telingaku.
“Ni bukan rumah saya,” tingkahku masih menyedari hakikat itu. Aku masih waras. Tidak akan semudah itu aku mengaku ada hak ke atas harta orang lain.
“Bukan ke saya pernah kata dulu, kita tinggal sama-sama di sini, menjaganya sama-sama. Jadi ini rumah awak juga. Kenapa otak awak lembap sangat nak fikir,” kutuk Yen sesedap mulutnya berbicara.
“Awak kata otak saya lembap?” rungutku radang.
“Habis tu yang awak tak boleh fikir perkara yang mudah,” rungut Yen.
“Saya ingatkan banglo mewah ini milik awak dan Velviana,” luahku berterus-terang. Senyap. Aku dan Yen berpandangan seketika. Lantas aku melarikan wajahku lalu memberi tumpuan pada hidangan di meja. Begitu juga dengan Yen.
“Apa khabar keluarga awak di kampung?” suara Yen kembali lagi.
“Baik. Oh... ye... Pak Long kirim salam,” ujarku. Terkumat-kamit mulut Yen menyahut salam itu.
“Perempuan itu...macam mana?”
“Mak Long?” Yen mengangguk.
“Mak Long pun ok juga dan saya masih berharap agar Mak Long dapat menerima kewujudan saya dalam keluarganya,” tuturku perlahan. Yen menatapku. Aku tersenyum cuba menyembunyikan kehibaan hatiku. Kepulanganku semalam langsung tidak dihiraukan oleh Mak Long. Aku ingin sekali bersalam dan mendakap tubuh Mak Long. Namun sehingga ke hari ini aku masih belum berkesempatan melakukannya. Ternyata Mak Long masih mendendamiku.
“Awak boleh masak kari untuk saya?” soal Yen menyentakkanku.
“Masak kari? Bukankah awak hanya suka makan sup?” soalku semula.
“Saya teringin sangat nak makan ayam kari macam yang awak masak kat kampung dulu. Sedap...,” puji Yen buat aku tersenyum bangga.
“Bahan takde nak masak ayam kari,” ujarku tatkala teringat hanya daging dan ikan sahaja yang ada dalam frezer saat ini. Aku menatap Yen dengan pandangan kasihan. Sudah sekian lama dia tidak meminta-minta sebegini.
“Awak dah kemas barang awak?” soal Yen.
“Tinggal sikit je lagi,” jelasku.
“Jom kita pergi beli bahan mentah,” ajak Yen. Aku tidak terus menyahut memberikan persetujuanku. Seketika aku berfikir. Risau juga kalau aku terlajak masa nanti terlewat pula hendak bergerak ke kampus. Namun tidak sampai hati pula aku hendak menolak permintaan Yen yang teringin hendak makan ayam kari. Takut kempunan pemuda Korea ini. Kalau aku hendak masak ayam kari pun bukan mengambil masa yang lama.
“Boleh tapi dengan syarat awak kena tolong saya kat dapur untuk menjimatkan masa,” pintaku. Laju Yen mengangguk menandakan persetujuannya.
“Saya tunggu awak dalam kereta. Cepat pergi bersiap sekarang,” arah Yen begitu bersemangat lalu bangkit dari duduk.
“Nak pergi sekarang?” soalku bingung. Terlalu mendadak.
“Yelah. Awakkan mengejar masa, nanti nak pergi mendaftar ke hostel lagi,” ujar Yen mengingatkan aku. Aku mengangguk setuju dengan kenyataan itu. Laju tanganku mengangkat pinggan dan cawan ke singki.
“Tak payah basuh. Balik nanti awak buat kerja tu,” arah Yen. Aku patuh pada arahan Yen. Lantas aku berlari ke bilik di tingkat atas. Kucapai t- shirt merah jambu lalu mengenakan jeans hitam. Tanpa dirancang penampilanku nampak sedondon dengan Yen. Kuikat tinggi rambutku dan menyapu bedak asas ke muka lalu mencelit sedikit lipstik pink lembut ke bibirku. Cukup ringkas dan ala kadar asalkan aku tidak nampak seperti orang baru bangun tidur. Kucapai beg galas lalu berlari ke halaman mendapatkan Yen yang sedang duduk di dalam kereta menanti kedatanganku.
“Kenapa awak lambat sangat bersiap,” rungutnya.
“Saya ambik masa 10 minit je tadi. Bukan lama sangat pun,” bidasku. Yen menjelingku. Enjin kereta dihidupkan lalu bergerak meninggalkan halaman banglo.
“Kalau Velviana bersiap paling cepat makan masa 30 minit. Boleh pula dia tunggu,” rungutku sendirian. Velviana yang sentiasa bersolek tebal itu, aku yakin dia memperuntukkan banyak masa untuk menata rias wajahnya itu. Malah dalam membuat pilihan baju yang hendak dipakai juga akan mengambil masa.
“Apa awak kata?” Aku tersentak mendengar suara Yen.
“Takde apa-apa,” balasku tersengih.
“Awak tak sama seperti perempuan lain yang saya kenali. Saya mahu awak terus menjadi diri awak seperti yang ada sekarang. Simple but very interesting. Paling penting ketegasan dan pendirian awak itu,” ujar Yen buat aku tergamam.
Ikhlaskah Yen menuturkan semua ini? Atau dia sekadar mahu membuai perasaanku? Barangkali juga Yen hanya mahu mengujiku. Aku sedar lelaki seperti Yen memang bijak berkata-kata. Kata-kata manis itulah yang akan menjerat perempuan yang berhati lembut. Lantas menjadi mangsa cinta murahannya. Ah, aku tidak akan terpedaya dengan kata-kata manis yang terbit dari bibir nipis pemuda Korea ini! Sungguh tidak akan aku biarkan Yen memperdayakanku.
“Awak tak nak turun ke?” soal Yen sambil menjengukkan diri ke dalam kereta. Aku tersentak. Baru sedar kami telah sampai ke tempat yang dituju. Buru-buru aku keluar mengejar langkah Yen yang sudah berada di depan.
“Awak ambil bahan-bahan biar saya yang tolong bawa,” ujar Yen seraya mencapai bakul putih yang disediakan oleh pihak pasar raya ini.
“Dan awak tolong bayar sekali,” tambahku tersenyum. Yen mengangguk. Soal wang tiada masalah buatnya. Selama ini pun 90% perbelanjaan dapur dibiayai oleh Yen. Tugasku hanya menolong membelanjakan wang peruntukan tersebut. Kemudian memasak untuknya. Hampir 30 minit sudah kami menghabiskan masa di bahagian bahan mentah dan bahan kering. Seingatku semua sudah kusimpan di dalam bakul putih yang sedang bimbit oleh Yen itu. Hanya menunggu masa untuk menjelaskan ongkosnya.
“Bayar sekarang...,” ajakku lantas mengatur langkah ke kaunter pembayaran. Yen mengekori langkahku. Aku sampai di kaunter, Yen tidak bersamaku. Sempat aku terlihat langkahnya memasuki satu lorong yang menempatkan bahan-bahan jualan yang lain. Barangkali ada sesuatu yang dihajatinya. Lantas aku berganjak ke tepi memberi ruang kepada pelanggan lain untuk berurusan di kaunter pembayaran. Yen muncul di depanku lalu meletakkan bakul yang sudah penuh terisi itu di depan juruwang untuk membuat perkiraan kos yang perlu dibayar.
Sesekali gadis yang bertugas di kaunter itu mencuri pandang ke arah Yen. Sebaliknya Yen tetap dengan wajah bersahaja. Kali ini nampak Yen jual mahal. Mungkin juga disebabkan kewujudanku di sini telah mempengaruhi tingkahlaku Yen. Konon Yen tidak mengerti dengan pandangan gadis itu. Aku yang sempat memerhatikan gelagat Yen dan gadis itu hanya tersenyum sendiri. Mujur juga Velviana tidak bersama Yen sekarang. Kalau tidak mahu dikungfu gadis ini termasuk aku dikungfu sekali. Dalam aku memerhatikan gelagat kedua-duanya, aku terpandang beberapa papan coklat cadbury dalam saiz yang paling besar. Musykil. Sejak bila pula pemuda Korea ini gemar makan coklat. Seingat aku Yen tidak suka makanan manis. Barangkali untuk Velviana. Menghadiahkan coklat kepada kekasih merupakan perkara romantik. Aku tersenyum sendiri.
Yen meninggalkan kaunter sambil membimbit dua beg plastik di tangan. Aku mengekori langkah Yen. Aku menyedari pandangan gadis di kaunter tadi masih menyoroti langkah Yen. Tatkala Yen memasukkan barang-barang di plastik ke dalam bonet, aku terus masuk ke dalam kereta dan duduk di kerusi penumpang di sebelah pemandu. Yen masuk dan menghidupkan kereta.
“Yang awak senyum-senyum tadi apa hal?” soal Yen tanpa membuang masa. Aku senyum lagi. Di otakku sekarang masih berimaginasi lagak kungfu Velviana.
“ Awak tak perasan cara gadis kat kaunter tu tengok awak lain je,”
“Kenapa? Awak jealous?” Yen tersengih-sengih.
“Aigoo... Awak dah perasan,” kutukku. Yen masih tersengih.
“Tadi saya nak cakap kat dia yang isteri saya ada di belakang saya. So saya tak dapat nak layan dia lebih-lebih,” balas Yen.
“Saya tak kisah,” tingkahku.
“Awak tak kisah tapi saya yang kisah,” balas Yen.
“Apa yang awak kisahkan?” soalku. Yen memandangku sekilas. Tidak dijawab pertanyaanku ini.
“Saya kisah sebab awak tak pernah terasa apa-apa,” jawab Yen setelah berdiam seketika. Kupandang Yen. Aku tidak mengerti maksud bicara yang cuba disampaikannya itu.
“Awak tu patung, takde perasaan,” tambah Yen lagi. Aku terdiam tatkala Yen menuduhku sedemikian.
“Sampai bila awak nak jadi macam ni, Iman ssi?” soal Yen serius.
“Boleh tak kalau awak berhenti mengutuk saya. Pedas telinga ni tau!” pintaku seraya menekup tangan ke telinga.
“Itulah awak. Saya cakap tak pernah faham. Lurus bendul, degil pula tu. Macam mana agaknya awak jadi mahasiswa nanti,” perli Yen lagi.
“Mulut awak ni betul-betul takde insurankan. Kalau awak cakap lagi saya tak jadi masak ayam kari untuk awak,” ancamku. Kelihatan Yen menelan liur. Terus senyap. Akhirnya tahu pun dia mendiamkan diri. Kupalingkan muka ke tingkap lalu melemparkan senyuman. Puas hati sebab berjaya buat Yen menutup mulut.
Tiba di dapur, aku membahagikan tugas. Kuletakkan seekor ayam di depan Yen lalu mengarahkannya memotong ayam itu menjadi ketulan-ketulan bersaiz sederhana. Sebahagiannya akan aku masak kari, yang selebihnya pula akan disimpan. Nanti pandai-pandailah Yen masak sendiri ketika ketiadaanku nanti. Yen tidak membantah. Langsung tiada kesukaran untuk Yen melakukan semua itu memandangkan dia juga rajin ke dapur. Usai mengupas dan memotong bawang termasuklah halia dan serai.
“Awak tolong saya tumbuk semua ni,” perintahku lantas meletakkan bahan-bahan yang perlu ditumbuk di depan Yen. Yen menjelingku.
“Jangan melawan nanti kempunan nak merasa ayam kari yang saya masak,” ancamku membalas jelingan Yen.
“Buat apa susah-susah nak tumbuk, kan mesin pengisar ada. Lagi mudah dan cepat,” bantah Yen.
“Buat saja apa yang saya suruh,” tegasku. Yen mencebik. Kemudian terkumat-kamit mulutnya berbicara sendiri. Mengutuk akulah tu.
“Awak ni cerewet,” ujar Yen.
“Bukan cerewet. Kalau awak nak tahu, masakan yang menggunakan bahan-bahan yang ditumbuk di lesung batu lebih sedap. Ni petua orang tua tau,” terangku cuba berkongsi ilmu pengetahuan dengan Yen. Yen diam. Mungkin sekejap lagi dia akan mengutukku sebagai gadis tradisional. Sesaat...seminit...
“Patutlah awak masak sedap. Rupa-rupanya ni rahsia awak,” ujar Yen memesongkan andaianku sebentar tadi. Aku tersenyum. Bangga dapat pujian daripada pemuda Korea ini. Bukan selalu pun dia memujiku. Tepat pukul 12.00 tengah hari, aku dan Yen sudah bersiap sedia menikmati hidangan tengah hari. Yen nampak tidak sabar-sabar hendak menikmatinya. Maklumlah kali ini dia melibatkan diri dalam penyediaan bahan-bahan hidangan tengah hari ini. Memang berbaloi-baloi dengan tenaga yang digunakan ketika proses penyediaan tadi apabila Yen makan dengan begitu berselera. Dua kali dia menambah nasi. Semangkuk ayam kari tidak mencukupi untuknya. Lantas aku menyuakan semangkuk kecil lagi ayam kari kepada Yen. Dia langsung tidak menolak.
“Alhamdulillah ... kenyangnya,” Yen tersandar di kerusi.
“Berdosa dah awak sebab makan terlalu kenyang,” ujarku.
“Kongsi dosa ni sebab awak masak sedap sangat. Kemudian mendorong saya makan banyak,” ujar Yen seakan turut mempersalahkan aku.
“Awak ni suka sangat membabitkan saya,” rungutku.
“Binggo. Saya takkan semudah itu melepaskan awak,” ujar Yen mengakui sekali gus memberi amaran. Senyap seketika.
“Jang Geun Suk, awak suka saya ke?” soalku tanpa segan silu. Senyap. Yen menelan liur lagi. Dia menghembuskan nafas. Barangkali terkesima mendengar pertanyaanku itu. Pasti di luar jangkaan aku akan mengemukakan pertanyaan itu.
“Kalau saya kata... saya ... saya suka awak, macam mana?” ujar Yen berteka-teki. Senyap. Aku dan Yen saling bertatapan. Lidahku kelu. Segala bagai mimpi. Yen memberikan kejutan yang betul-betul mengejutkan aku.
“Awak bukan jenis perempuan yang saya suka,” suara Yen berbisik di telingaku. Aku ketawa membuatkan Yen terpinga-pinga menatapku. Ketawaku berpanjangan sehingga mataku berair. Yen garu-garu kepala sambil terus memerhatikan gelagatku. Aku cuba meredakan ketawaku sebab terasa sesak nafas. Jariku mengesat sisa air yang masih tertinggal di ekor mataku.
“Saya pun suka awak juga,” ujarku dengan wajah yang serius. Namun sekejap sahaja. Selepas itu aku ketawa lagi dengan lebih kuat.
“Jang Geun Suk, awak ingat saya akan percaya kata-kata awak tu? Tak semudah itu awak mempermainkan saya,” ujarku.
“He...he...he...,” Yen tersengih-sengih sambil garu-garu kepala.
“Pandai juga awak berlawak ye. Lain kali awak kena buat lebih serius lagi agar saya percayakan awak he..he...he...,” usikku. Yen hanya menatapku. Bagai ada sesuatu yang sedang di fikirkannya.
“Sampai bila pun bicara awak takkan berjaya memperdayakan saya sebab saya tahu saya bukan jenis perempuan yang awak suka. Awak dah lupa ke yang awak pernah kata begitu pada saya,” ujarku mengungkit pada bicara lalunya.
“Aaa...,” Aku tersengih menatap Yen tersentak dengan tepukan tanganku yang mendarat di bahunya. Yen menatapku tajam. Tidak suka dia diperlakukan demikian. Bingkas dia bangun mengejutkan aku.
“Awak nak ke mana?” soalku melihat Yen sudah berdiri tegak.
“Saya ada beli coklat tadi untuk awak makan kat hostel nanti. Jangan lupa keluarkan dari beg plastik tu,” ujar Yen serius memperingatkan aku.
“Coklat untuk saya? Saya ingat awak beli untuk Velviana,” ujarku terkejut. Aku dan Yen saling berpandangan.
“Kalau awak tak nak simpan je dalam peti sejuk. Esok-esok saya beri kat Velviana,” ujar Yen bagai orang yang sedang merajuk.
“Hey, nak. Sapa kata tak nak. Gomawoyo… Gamsahamnida (terima kasih),” ujarku memberi penghargaan yang berganda-ganda. Dengan wajah yang bersahaja sukar untuk ditafsirkan, Yen meninggalkan aku di sini.
“Jang Geun Suk!” panggilku membuatkan langkah Yen terhenti. Dia berpaling menatapku.
“Betul ke awak tak nak hantar saya ke hostel?” soalku mencuba nasib.
Yen tetap dengan ekspresi wajahnya tadi. Tiada jawapan kepastian yang diberikan. Dia menyambung langkah kembali. Lantas aku membuat kesimpulan sendiri. Yen tetap dengan keputusan awal tidak mahu menghantarku ke asrama. Tatkala teringat yang aku belum habis mengemaskan barang-barang, laju aku membasuh pinggan-mangkuk, sudu dan gelas di singki. Usai semua, aku bergegas ke bilik.
Kira-kira 15 minit menjangkau ke pukul 2.00 petang, aku melangkah keluar bilik sambil terbongkok-bongkok mengangkat beg pakaian. Kupandang bilik Yen yang kelihatan sunyi sepi. Namun aku yakin Yen ada di dalam bilik itu sekarang.
“Jang Geun Suk, saya tahu awak ada di dalam bilik tu. Keluarlah saya dah nak pergi ni. Saya tahu awak tak nak hantar saya ke asrama, sekurang-kurangnya awak hantarlah saya kat luar. Tolong saya bawa beg ni. Beratlah...!” ujarku sedikit melaung. Tiada tindak balas daripada Yen.
Aku meneruskan langkah. Di ruang tamu ini aku masih mendongak ke tingkat atas banglo ini. Mana tahu Yen akan muncul. Mustahil dia sampai hati tidak mengucapkan selamat jalan kepadaku mahupun kata-kata nasihat yang memintaku agar menjaga diri. Kualih pandangan ke anak tangga. Tiada tanda-tanda Yen akan muncul. Aku mengalih pandangan ke halaman. Tersentak aku melihat kereta BMW yang baru memasuki halaman banglo ini. Kelihatan Suzan keluar dari kereta BMW itu diikuti oleh Encik Rizal. Suzan datang bersama Encik Rizal. Perkara yang tidak ingin aku perlihatkan pada pandangan mata Yen. Yen tidak begitu menyukai Encik Rizal. Lantas bergegas aku keluar dengan harapan segera juga meninggalkan halaman banglo ini.
Yen masih terlentang di katil itu sejak dari tadi. Otaknya ligat berfikir sedangkan anak matanya dari tadi terikat pada jam loceng itu. Dia membuat perkiraan dan pertimbangan. Buntu. Tiada kata putus yang ditemui. Keegoan merantai diri. Dia tidak tahu apa yang harus jadi keutamaan saat ini. Jam sudah mencecah ke angka 2.00 petang. Hatinya digamit kegelisahan. Dia berpaling ke muka pintu. Perlukah dia melangkah keluar ataupun terbaring sahaja di situ? Yen dalam kekeliruan yang panjang. Lantas dialih tubuh mengiring ke kanan pula cuba melarikan pandangan dari muka pintu itu. Matanya terpandang kotak merah hati beriben putih itu. Lantas dia bangkit dari katil itu, mencapai kotak merah hati itu lalu berlari keluar dari bilik.
“Iman ssi... tunggu saya,” bisiknya. Tatkala kakinya memijak lantai ruang tamu, lariannya terhenti. Pandangan matanya terikat pada kereta BMW itu. Tidak mahu dia meneruskan langkah lagi. Dia melupakan hajat hatinya tadi. Lantas membiarkan kereta itu mula bergerak membawa gadis itu bersama lelaki itu. Kotak merah hati beriben putih itu dijatuhkan perlahan ke sofa bersama tubuhnya. Yen tersenyum hambar sendirian.
“Selamat tinggal Jang Geun Suk. Awak mesti jaga diri baik-baik,” bisik hati kecilku tatkala berpaling ke pintu utama ketika kereta ini mula bergerak perlahan-lahan meninggalkan halaman ini. Tiba-tiba sahaja hatiku sayu.
No comments:
Post a Comment