Aku bangun hampir-hampir jarum jam mencecah ke pukul 6.00 petang. Bergegas aku bangun lalu melangkah laju ke bilik air mengambil wuduk lantas melaksanakan kewajipan solat asar. Gara-gara keletihan tambahan pula kekenyangan tadi aku terlena. Mujur tidak terus terlajak tidur. Usai solat asar aku melangkah ke dapur menyiapkan hidangan makan malam. Alangkah seronok kalau aku tinggal bersendirian. Tidak payahlah aku memasak pada saat-saat dikuasai malas begini. Sekadar makan mi maggie sudah cukup untuk mengalas perut.
Aku meninjau-ninjau bahan mentah di bahagian tahap beku peti sejuk. Kembali kututup. Kupandang peti sejuk warna hitam berkilat yang serupa almari ini. Tidak sangka berpeluang juga aku menatap peti sejuk milik keluarga kaya yang sering aku tonton dalam drama-drama Korea. Agaknya memang budaya orang kaya Korea memiliki peti sejuk mewah seperti ini. Mana tahu peti sejuk salah satu mercu tanda kebanggaan dan kemewahan sesebuah keluarga. He...he...he...
“Belum cukup lagi awak perhatikan peti sejuk tu?” tegur satu suara membuatkan aku hampir terjerit kerana terperanjat. Kuurut-urut dadaku cuba meredakan gegaran jantungku yang begitu rancak.
“Kenapa, peti sejuk tu ada tumbuh mata hidung ke?”soal Yen memerliku. Tajam jelinganku singgah di wajahnya. Dasar manusia yang tidak suka melihat orang senang. Suka hati akulah hendak perhatikan peti sejuk ini walau sampai tersembul biji mata ini memerhatikannya. Mata aku hak aku. Tiada siapa yang boleh larang aku hendak tengok apa!
“Awak dari mana?” soalku tatkala melihat Yen meletakkan satu beg kertas di atas meja di depanku.
“Apa benda ni?” soalku lagi sebelum sempat soalanku tadi dijawab. Kujenguk ke dalam beg kertas tersebut. Aku nampak bekas-bekas yang penuh berisi makanan membuatkan aku tersenyum lebar. Bukan setakat aku boleh merasa semua ini malah aku tidak perlu memasak lagi. Bagai pucuk dicita, ulam mendatang.
“Mana awak dapat semua ni?” soalku lagi.
“Nenek yang suruh bawa balik tadi,” balasnya. Oh, Puan Sodiah yang masak, mesti sedap!
“Awak pergi jumpa nenek?” Yen mengangguk sambil meletakkan sekotak minuman herba di atas meja. Aku memandang Yen.
“Apa benda ni?”
“Ubat penyubur. Nenek suruh awak minum setiap hari pagi petang,” cerita Yen menambah kemusykilanku. Seingatku, aku sihat walfiat sekarang. Kenapa kena makan ubat pula?
“Ubat penyubur?” soalku menatap Yen.
“Ubat penyubur supaya cepat mengandung,” jelasnya selamba.
“What!” Besar biji mataku menatap Yen yang sudah tersengih. Kutatap sekotak herba itu. Puan Sodiah sudah salah faham. Aku tidak perlukan semua ini.
“Hati-hati dengan ubat tu. Ubat tu kalau diminum boleh buat orang hilang kawalan,” jelas Yen lagi. Kutatap herba itu lagi. Ngeri aku mendengar kenyataan itu. Begitu dahsyat kesan yang dibawanya. Kutatap Yen. Dia masih tersengih nakal. Tidak boleh jadi ini. Risau aku kalau Yen curi-curi minum. Yen beredar ke ruang tamu lantas aku menyembunyikan ubat herba ini. Biar seumur hidupnya tidak akan jumpa di mana aku letak ubat herba ini.
“Tak perlu ler saya masak untuk malam ni kan,” ujarku tersenyum riang melewati Yen di ruang tamu. Yen hanya berwajah kosong menatapku. Langsung tidak ambil kisah bicaraku. Aku melangkah meninggalkan dapur.
“Awak nak ke mana?” soalnya buat langkahku terhenti.
“Nak mandi dan sedia nak tunggu waktu solat maghrib. Kenapa? Awak nak ikut sekali ke?” soalku memerlinya.
“Boleh juga. Awak tak kisah ke kalau saya mandi sama awak,” balasnya sambil tersenyum nakal dan menggoda.
“Eee... geramnya!” aku meninggalkan Yen di situ dengan gelak tawanya yang kian menjadi- jadi. Betul-betul tidak sangka. Ingatkan hendak kenakan dia. Malangnya aku yang terkena balik. Tidak sangka juga dia boleh fikir ke situ pula. Menang kreatif betul otak buaya darat ini.
Tepat pukul 8.40 malam, aku dan Yen siap menikmati hidangan malam yang disediakan oleh Puan Sodiah. Memang sedap dan menyelerakan sehingga dua kali aku menambah nasi. Yen memang sentiasa berselera. Walaupun tubuh kurus, tetapi seleran memang tidak boleh dilawan. Setiap masa boleh makan banyak. Satu kelebihannya makan banyak tetapi tidak gemuk-gemuk. Seronok kalau semua orang jadi macam dia. Pasti gulung tikar bisnes produk pelangsingan badan. Usai makan aku mengemaskan dapur dan membasuh pinggan-mangkuk. Tidak kupedulikan Yen yang masih tidak berganjak dari tempat duduknya itu. Barangkali sedang mencari ihlam hendak mencipta lagu dan melodi baharu. Tidak pun sedang berkhayal mengingati Velviana si jantung hatinya nun jauh di sana he... he...
“Lepas solat isyak nanti awak jumpa saya kat bilik kerja saya,” arahnya.
“Baiklah Jang Geun Sik,” balasku.
Jang Geun Sik, nama baru Yen sebagai kembar Jang Geun Suk. He... he... Pandai-pandai aku buat cerita. Bermula dari saat ini aku akan memanggil Yen dengan nama baharu itu. Usai solat isyak seperti yang dijanjikan, aku muncul di ambang pintu mini studio. Kuketuk daun pintu. Tiada suara yang menyahut. Aku menolak daun pintu. Sepi. Yen tidak berada di bilik ini. Aku melangkah masuk. Aku mengambil peluang mendekati barisan koleksi gitar yang ada di sini. Semua berkilat. Sudah pasti Yen menjaga nyawa kedua ini dengan rapi. Kutoleh ke kiri ke kanan, Yen tidak berada di sini. Kuangkat tanganku...
“Jangan sentuh!” sergah suara Yen. Tanganku masih di awangan. Perlahan-lahan aku berpaling. Yen sedang menatapku tajam. Kumatikan niatku. Kempunan lagilah aku hendak membelai nyawa keduanya ini. Kedekut nak mampus!
“Duduk diam-diam kat sana,” arahnya sambil menunding jari pada sofa di tepi dinding. Aku bagai anak kecil patuh sahaja pada arahannya itu.
Seketika aku hanya duduk di sofa ini dengan penuh sopan-santun lagak seorang gadis yang sedang berhadapan dengan bakal mertua. Kuperhatikan gelagat Yen yang sedang leka menatap gitar-gitar kesayangannya itu. Tangannya tmencapai gitar akustik yang berwarna hitam ton kelabu itu lalu duduk di kerusi di depanku. Dipetik gitar seketika sambil menghayati alunan petikan yang terhasil. Aku yang masih setia memerhatikan gelagatnya itu seakan tidak wujud. Memang betullah gitar ialah nyawa keduanya. Melodi ialah nadi hidupnya. Yen tidak boleh hidup tenang tanpa alunan muziknya!
“Awak dah sedia nak buat persembahan?”
“Persembahan?” Kulontar pandangan kepada Yen yang masih asyik dengan aluan petikan gitar akustik itu. Dia hanya menghantar bicara tanpa menatap wajahku.
“Awak dah lupa dengan janji awak?” soalnya lagi. Aku berfikir seketika.
“Kenapa otak awak lembab sangat? Awak ni langsung tak nampak seorang yang educated. Agaknya bagaimana awak boleh diterima study kat U ye,” perlinya. Alamak, pedas sungguh bicaranya! Aku mengetap bibir menahan geram.
“Oh..., saya dah ingat sekarang. Syarat berguru dengan awak,” jelasku.
“Apa tunggu lagi, cepatlah buat persembahan. Berdiri!” arahnya serius. Fuhh, garang amat guru muzikku ini!
“Bukan ke kita belum beli gitar lagi. Kalau takde gitar macam mana nak belajar,” ujarku keliru. Kutatap barisan gitar yang ada di sini. Aku pandang gitar akustik yang berada didakapan tangannya sekarang. Mustahil dia hendak pinjamkan gitar itu pada aku. Hendak sentuh pun dia tidak benarkan.
“Berdiri cepat!” arahnya lagi tanpa mempedulikan pertanyaanku tadi. Aku sudah berdiri. Kuuru-urut urat leher. Cuba mencari keselesaan diri. Bila-bila masa sahaja aku akan mengalun suara mahalku ini. Tidak dapat aku jangkakan reaksi yang bakal Yen tunjukkan tatkala mendengar suara emasku ini. Satu... dua... ti...
“Saya tak nak dengar lagu Negaraku,” suara amaran Yen lebih awal keluar mendahului suara nyanyianku. Kututup kembali bukaan mulutku. Belum sempat aku melontar suara menyanyikan lagu itu, terlebih dahulu Yen mengeluarkan larangan. Magik betul anak muda ini. Macam tahu-tahu sahaja yang aku akan mendendangkan lagu yang paling popular di Malaysia ini. Kecil besar, tua muda, miskin kaya, lelaki perempuan, ringkasnya masyarakat pelbagai kaum di negara boleh menyanyikan lagu ini.
“Kenapa pula tak boleh?” soalku kurang setuju. Yen hanya geleng-geleng kepala.
“Nyanyi lagu lain,” pintanya tanpa memberikan penjelasan kepadaku. Aku mula berfikir. Kalau lagu ‘Negaraku’ tidak boleh, maka lagu ‘Ibu Pertiwiku’ juga pasti jadi lagu larangan. Ehh... langsung tiada semangat patriotik dalam dirinya! Mentang-mentang dia orang Korea senang-senang sahaja hendak halang aku menyanyikan lagu tersebut. Orang seperti dia ini harus dihalau keluar dari negara ini.
“Buat apa lagi terkebil-kebil itu, cepat ler nyanyi,” omelnya. Aku hendak mendendangkan lagu apa ye? Aku garu-garu kepala. Kusut. Susahnya tiada bakat menyanyi ini. Kalau aku tahu begini susah, aku akan fikir banyak kali sebelum mengambil kursus muzik ini. Belum lagi menempuh kesukaran mengenal kod dan memainkan gitar. Hancur... hancur...! Awak boleh buat Iman...! Semangat...! Semangat...! Tiba-tiba terlintas difikiranku sebuah lagu yang cukup aku gemari zaman kanak-kanakku. Ringkas dan senang hendak diingat sebab itu juga aku suka akan lagu ini.
“Saya nak menyanyi sekarang,” ujarku.
“Nyanyilah,” arahnya. Aku menarik nafas lalu menghembuskannya. Kulafazkan kalimah bismillahirahmanirahim lalu...
“Anak itik Tok Wi, Mandi dalam kolam, Sakit apa Tok Wi,Sakit sendi tulang, Ubat apa Tok Wi,Ubat limau lelam,”Fuhh! Mahu semput nafasku hendak menghabiskan lagu ini. Kuusap-usap wajahku. Hangat. Mesti saat ini mukaku merah merona macam udang kena bakar. Pertama kali dalam hidupku berjaya menyanyikan lagu secara solo di depan seseorang. Semua gara-gara hendak belajar main gitar. Seakan aku tidak percaya melihat Yen yang langsung tidak tersenyum jauh sekali untuk ketawa. Dalam fikaranku aku bakal nampak Yen yang sedang terguling-guling ketawa bila saja mendengar lagu evergreen yang aku dendangkan itu. Namun yang aku lihat Yen nampak mencatat sesuatu pada kertas di depannya dan sesekali menyaksikan aku membuat persembahan kaku itu.
“Awak nyanyi sekali lagi bersama melodi ni.” pintanya.
“Ah... nyanyi lagi? Biar betul,” besar biji mataku menatapnya. Hendak kata suara aku merdu memikat hatinya, jauh sekali. Aku sendiri sedar suaraku tidak sedap. Barangkali dia hendak kenakan aku sahaja.
“Sedia. Bila saya petik jari baru awak mula nyanyi ye,” jelasnya. Sekarang masuk kelas vokal pula. Aku hendak belajar main gitar bukan menyanyi. Petikan gitar Yen sudah berkumandang. Kedengaran bunyi petikan jarinya dan aku terlewat beberapa saat.
“Semula...!” keluhnya.
“Saya nak belajar main gitar, bukan nak belajar vokal,” protesku.
“Saya guru muzik awak. Awak mesti patuh dengan arahan saya,” Menyampahnya! Dia sudah mula menggunakan kuasa veto yang tidak iktiraf. Memandangkan aku sangat perlukan tunjuk ajar sifu, akhirnya aku terpaksa akur juga dengan arahan itu. Aku sekali lagi mendendangkan lagu tadi tetapi kali ini diiringi alunan petikan gitar Yen. Kurang juga sumbang kerana nyanyianku dilindungi oleh suara gitar Yen. Tidak sangka persembahanku akan diiringi oleh petikan gitar seorang pemuzik profesional. Satu peluang yang jarang-jarang diperoleh oleh insan yang langsung tidak berbakat seperti aku .... he... he... he. Gomawoyo Jang Geun Sik. Awak membuatkan saya sedikit teruja dan yakin kepada diri sendiri.
“Nampak comel awak menyanyikan lagu tu,” komennya. Lantas jelingan tajamku singgah ke wajahnya. Kalau hendak perli orang serahkanlah kepadanya. Dia memang cukup pakar dalam bab mengutuk orang.
“Kalau nak kutuk orang, kutuk saja ler tak payah beralas-alas,” marahku. Dia ingat aku ini lurus bendul dan boleh ditipu mentah-mentah. Jangan haraplah! Bicaranya tidak selari dengan kata hatinya. Pujian dimulut tapi kutukan di hatinya. Yen senyap. Bicaraku dibiarkan berlalu.
“Mari sini kejap?” arahnya. Aku berfikir sebelum melangkah. Kutatap wajah itu. Tenang.
“Cepatlah,” rungutnya sambil menatapku geram. Menapak beberapa langkah aku sudah berada di depannya.
“Tengok nie...,” Aku nampak huruf C dan G pada baris-baris lirik lagu ini. Kutatap Yen meminta penjelasan.
“Lagu klasik dan penuh nostalgia. Nak main lagu ini pun tak susah, perlu dua kod sahaja, C dan G. Okay, are you enjoy?” soal Yen menatapku. Aku hanya tersengih. Kagum lagi dengan bakatnya ini. Beberapa saat dia sudah dapat menangkap kod daripada lagu tadi. Memanglah dia dengan muzik tidak boleh berjauhan ibarat lagu dan irama tidak boleh dipisahkan.
“Bila kita nak mula belajar main gitar ni?” soalku berkaitan fokus utama pembelajaran. Yen senyap.
“Tapi kalau nak belajar pun bukan ada gitar pun...,” keluhku. Aku kembali ke sofa. Duduk dan bersandar kurang bersemangat di situ. Memerhatikan Yen bermain gitar mengalun melodi lagu tadi. Aku bertepuk tangan tatkala petikan gitar itu berakhir. Langsung tiada reaksi yang ditunjukkan. Dia bangun, melangkah dan kini berdiri tepat-tepat di depanku. Aku mendongak wajah itu. Hairan dengan tingkahlakunya itu. Aku lebih tidak mengerti tatkala gitar akustik itu diserahkan kepadaku. Lambat juga aku mahu menyambut gitar yang dihulurkannya ini. Masih ingat pantang larangnya yang menghalang aku menyentuh gitar-gitar yang diibaratkan sebagai nyawa keduanya itu. Gitar akustik hitam ton kelabu itu sudah beralih tangan.
“Gitar ni lebih mahal daripada gitar yang awak tengok kat kedai semalam. Awak harus menjaga gitar ni seperti nyawa kedua awak. Keep in mind,” ujarnya. Aku mengangguk.
“Awak bagi pinjam gitar ni kat saya?” soalku seakan tidak percaya. Yen mengangguk membuatkan aku tersenyum lebar. Macam bermimpi aku. Bukan mudah Yen mahu melakukan sedekah jariah ini. Apatah lagi pada barang kesayangannya ini. Suatu pengorbanan besar telah dilakukan. Sesungguhnya, tangan yang memberi lebih mulia daripada tangan yang menerima.
“Awak tahu kebaikan dan kelemahan gitar akustik ni?” soalan bonus yang keluar dari mulutnya kusambut dengan gelengan kepala. Mahu sahaja aku menempelaknya kerana mengajukan soalan itu kepadaku, namun aku matikan niat itu bila mengingati Yen sudah melakukan satu kebajikan kepadaku.
“Boleh dimainkan tanpa amplifier, boleh dibawa dan dimain di mana-mana,” jawabku mencuba nasib.
“Itu pengetahuan asas yang boleh dilihat dengan mata kasar. Gitar ni walaupun tak perlu amplifier, bunyi yang keluar sangat kuat untuk main sambli menyanyi ramai-ramai sebab gitar akustik pakai steel strings,” jelasnya.
“Seperti pergi berkelah,” tambahku mencelah. Yen mengangguk.
“Variasi muzik yang luas dan selalu gitar akustik ngam untuk dimainkan semua genre. Gitar akustik tidak mudah lari tune kerana lebar string yang lebih besar berbanding gitar eletrik kecuali masalah loose nut atau dimainkan di bawah pengaruh matahari atau pencahayaan yang kuat,” terang Yen panjang lebar dan aku sedikit kurang jelas dengan beberapa konsep yang terselit dalam bicaranya itu. Apa-apapun info yang diberikan oleh Yen begitu berguna kepadaku.
“Gomawoyo (terima kasih). Saya akan cuba ingat semua itu,” janjiku.
“Bagus,” balasnya pendek.
“Kalau saya amik terus gitar ni boleh?” soalku tersengih.
“Pinjam. Saya hanya akan beri gitar itu kepada awak sebaik saja awak boleh memainkannya dengan baik,” ujarnya.
“Really?” Yen mengangguk. Saat ini kutanamkan kesungguhan dalam diri mahu belajar bermain gitar bersungguh-sungguh. Tawaran sebegini bukan selalu keluar dari mulut Yen. Justeru, aku tidak akan mudah melepaskan peluang yang sudah terbuka luas di depanku ini. Chaiyok! Chaiyok Iman! Awak pasti boleh melakukan dengan baik. Aku tersenyum sendiri.
No comments:
Post a Comment