Saturday, 23 October 2021

Awaklah SonataKu...Bab 35

 

“Sebelum mula main gitar, saya nak ajar awak mengenal nama bahagian-bahagian gitar agar mudah bagi saya mengarahkan awak mana yang patut dipetik nanti.  Sekurang-kurangnya kalau ada orang buat lawak tentang gitar, awak tak ler ditipu habis-habis,” tutur Yen lantas mengeluarkan carta yang memaparkan gambar sebuah gitar dengan label setiap bahagian gitar. Aku memerhatikan carta yang Yen gantung di depanku ini. Agaknya carta ini dipinjam dari kelas muziknya di My Dream.

“Bahagian yang penting ialah fret dan juga enam tali tersebut kerana kedua-dua bahagian ini digunakan semasa hendak membaca tab gitar. Untuk pengetahuan awak gambar gitar akustik pada carta ini ialah model Takamine Cutaway. Firstly, awak kenal bahagian-bahagian gitar seperti fret, nut, neck, bridge,” ujar Yen sambil menunjuk pada bahagian-bahagian gitar dalam carta.

Excuse me!” Aku memintas sesi PdP yang dilaksanakan oleh Yen sambil mengangkat tangan. Yen menatapku.

“Boleh tak beri saya masa nak lukis gambar gitar dan label bahagian gitar sebagai nota. Hanya baca sekali imbas saya tak boleh ingat semua tu,” tuturku berterus terang. Yen tersengih.

“Awak boleh google. Berlambak info gitar ada dalam Internet,” tingkah Yen.

“Lukis dan label sendiri lebih berkesan dari hanya memerhati dan baca sumber google,” tingkahku ada pendekatan dan pendirian sendiri.

“Memang saya tahu awak takkan ingat semua ni. Cepat salin,” tutur Yen sinis. Aku mencebik bibir. Sakit hati melihat sikap bongkaknya itu. Mentang-mentanglah dia pakar tentang gitar. Enam pemutar ini  namanya ‘Machine Heads’ dan bahagian atas sekali yang kosong ini dipanggil ‘Headstock’. ‘Fingerboard’, ‘Fret Markers’, ‘Cutaway’, ‘Soundhole’, ‘Strap Button’, Pickguard’, ‘Pickups’, ‘Saddle’, ‘Bridge’, ‘Endpins’, ‘Top’ dan akhir sekali ‘Strap Button’. Oh, semua dalam bahasa orang puteh! Berbelit-belit lidahku menyebut. Paling merisaukan kalau aku tersilap tulis ejaan. Pasti lain pula maksud. Mungkin langsung tidak bermakna.

“Kenapa ler label ni dalam bahasa Inggeris. Kan lebih mudah diingat kalau label bahasa kita,” rungutku memberikan komen.

“Masa saya belajar memang macam tu. Sekurang-kurangnya awak tambah vocabulary BI awak,” sahut Yen meningkah bicaraku. Aku mendengus bosan. Dia memang ada sahaja idea mahu mematahkan bicaraku.

“Jangan merungut ler nanti ilmu sukar nak melekat,” ujar Yen menakutkan aku. Aku terdiam. Risau kalau bicara Yen ada benarnya. Nanti belajar berhempa-pulas tetapi satu pun tidak dapat. Bukankah itu kerja sia-sia. Nauzubillahminzalik.

“Dah siap ke?” soal Yen sambil merenung gambar gitar yang kulukis. Cepat tanganku menutup. Tidak mahu Yen mengutuk visual gitar yang kulukis. Memandangkan aku langsung tiada bakat seni termasuk seni visual ini, maka aku cukup sedar yang aku tiada bakat melukis. Lukisan yang aku hasilkan tampak begitu teruk dan boleh mengelirukan orang lain untuk mentafsir. Sebab itulah aku tidak mengambil kelas lukisan ketika sekolah dahulu. Kalau ada tugasan yang melibatkan lukis- melukis ini selalu Lili dan Linda yang akan jadi mangsaku.    

“Kejap lagi,” pintaku sambil memadam tubuh gitar yang kulukis. Kurang shape pinggang gitar yang kulukis ini. Yen masih memerhatikan gelagatku.

“Cepat ler... Awak dah ambil masa lama hanya untuk melukis gambar gitar tu,” omel Yen tidak memahami kesukaran yang aku hadapi.

“Sabar ler... Guru mesti sabar dengan pelajarnya,” bidasku disambut dengan cemuhan Yen. Agaknya akulah satu-satunya pelajar yang Yen pernah jumpa yang begitu kurang cerdas dalam bidang seni ini. Tidak pun pelajar pemulihan kelas muzik ...he...he...he...

“Okey... dah siap. Sila mulakan pengajaran cikgu,” tuturku mengusiknya. Yen mengalih carta gambar gitar tadi lalu menggantung carta kedua dan ketiga pula. Aku terlopong melihat kedua-dua carta yang sudah terpampang di depan mataku ini. Aku nampak ada kotak-kotak empat segi tepat sebanyak 15 petak. Lima jalur menegak dan lima jalur melintang. Pada jalur menegak ditulis Fret 1-5, manakala pada jalur melintang ditulis Fret 6-1. Ada pula sebiji bulat putih dan tiga biji bulat hitam. Oh, betul-betul memeningkan aku melihatnya! Belum lagi anak mataku beralih pada carta di sebelah pula. Rasanya itu lebih memeningkan lagi.

“Ramai yang tak faham cara untuk baca kod gitar kat carta ni, so saya buatkan simple guide untuk awak. Sila rujuk guide ini kalau tak reti nak baca kod yang ada dalam chord lists pada carta sebelah,” tutur Yen. Anak mataku terkebil-kebil memandang carta yang ditunjuk oleh Yen.

“Apa makna yang bulat-bulat tu?” soalku ingin tahu. Kelebihan pelajar dewasa berbanding dengan pelajar remaja adalah keberanian menyoal serta keterujaan ingin tahu yang tidak dapat ditahan-tahan lagi. Tiada segan.

“Awak ni memang tak nak menyabar-nyabar,” rungut Yen disambut dengan sengihanku. Yen mencapai gitar akustiknya.

“Bulat hitam tu maknanya tekan kedudukan yang sama di fret dengan jari kiri,” jelas Yen seraya menunjuk cara menggunakan gitar akustik yang sudah berada dalam dakapannya itu. Aku cuba melakukan perkara yang sama. Kuletak tubuh gitar bersentuhan tubuhku lalu kupegang erat kepala gitar yang sudah berada dalam posisi seperti yang sedang Yen lakukan sekarang. Terasa kekok dan kurang selesa dalam posisi ini.

“Tangan tu jangan ler keras sangat,” rungut Yen lalu mendekatiku.

“Aduuuhhhh!” Aku mengadah kesakitan bila sahaja jari Yen menjentik jariku sebagai teguran atas kesalahan yang aku lakukan. Bukan main garangnya guru muzikku ini. Aku menjeling Yen menunjukkan rasa kurang senangku diperlakukan sedemikian. Seorang guru mesti sabar mendidik pelajar baharulah pelajar itu akan berjaya.

“Mulai esok saya bawa penyepit. Kalau kedudukan jari awak salah saya sepit je,” tutur Yen mengancamku. Aku mendengus memprotes hajat hatinya itu.

“Mana ada guru garang dan jahat macam ni!” tingkahku.

“Kalau pelajar tu bebal sangat boleh guna kaedah tu,” sahut Yen sinis memperliku. Aku menjuihkan bibir kepada Yen.

“Bibir awak tu saya sepit sekali nanti,” ujar Yen membuatkan anak mataku membutang menatap Yen. Yen tersenyum.

“Kalau awak berani cuba ler buat. Saya patah-patahkan jari awak tu nanti baru padan muka awak,” balasku langsung tidak gentar dengan ancaman Yen.

“Mak ooii....kuatnya awak. Kalau nak cederakan saya serah ler pada awak, tapi bila Velviana pukul awak tak pula awak melawan,” ujar Yen sinis. Aku mendengus kasar. Bicara sahut-menyahut antara aku dengan Yen mula terasa tegang. Tatkala Yen menyebut nama Velviana tetiba hatiku panas membahang. Marahku pada gadis itu belum padam lagi.

“Suka ler awak bila kekasih yang awak cintai tu pukul saya,” tegasku serius. Yen menatapku. Seketika aku dan Yen beradu pandangan.

“Awak suka sangat prasangka yang bukan-bukan. Saya tahu di mata awak, saya ni seorang lelaki yang jahat, yang suka mempermainkan perempuan. Pasti awak selalu membanding-bandingkan saya dengan bos awak tu,” tutur Yen bernada rajuk dan mula membabitkan Encik Rizal. Aku terdiam. Memang aku tidak menafikan bicara Yen ini. Aku memang selalu membandingkan dirinya dengan Encik Rizal. Perbandingan itu sudah pasti akan dimenangi oleh Encik Rizal.

“Kita sambung balik pembelajaran kita. Bulat putih tu maknanya cuma petik saja tali tanpa tekan mana-mana fret.  Ini juga dipanggil “open note”. Kalau takde tanda apa-apa pada tanda bulat putih atau hitam, maka tak payah petik tali tu,” tutur Yen serius. Aku hanya mendengar suara Yen tanpa ada keberanian mahu menatap wajah itu. Kufokus padangan pada carta lalu menyibukkan diri menyalin maklumat yang tertera di situ sebagai nota rujukanku nanti. Kiranya habis kelas nanti boleh aku membuat ulangkaji pada bila-bila masa sahaja terutama ketika ada kelapangan. 

“Ini adalah antara kod paling asas untuk bermain gitar. Praktis kod C, Dm, F, G dan Am. Saya yakin bila awak dah reti main gitar nanti dengan kod asas ni awak boleh main berpuluh-puluh lagu Melayu yang simple,” terang Yen beralih pada carta ketiga yang menunjukkan kod asas gitar dan Power Chords yang belum Yen perjelaskan lagi.

Power Chord selalu digunakan untuk main lagu-lagu rock dan metal. Petik cuma tiga tali pada satu masa dan mute iaitu matikan bunyi tali yang lain. Nama kod ditentukan dengan not root iaitu not pada tali yang dipetik pada # tali paling atas,” jelas Yen begitu lancar memandangkan aku langsung tidak bersuara mahu mencelah.

“Untuk beginner, saya syorkan praktis kod-kod yang saya tunjukkan tu especially yang dalam list Basic Chords. 7th kod seperti C7, D7 atau apa-apa yang ada nombor tujuh tu sebenarnya sama dengan kod biasa, cuma ditambah kod ketujuh. Untuk permulaan tak ingat pun takpe. Tapi kalau nak bunyi sedap sebelum tukar kod, eloklah praktis nanti,” tutur Yen lagi.

“Hari ni saya ajar awak teori. Awak harus ingat semua ni. Kelas seterusnya nanti kita buat praktikal pula. Saya rasa setakat ni je kelas kita,” ujar Yen menamatkan kelas teori pengenalan kod-kod asas gitar termasuk mengenal bahagian-bahagian gitar akustik. Terasa berat hendak aku fahami sesi PdP kelas pertama hari ini. Yen pula menyampaikan sesi pengajaran persis roket yang naik ke angkasa lajunya. Sukar juga aku hendak memahami pembelajaran hari ini.

Aku masih belum berganjak dari duduk. Kuperhatikan Yen yang sedang menurunkan carta-carta yang tergantung itu lalu meletakkan di atas meja. Aku ingin berbicara namun tidak tahu hendak memulakan. Tiba-tiba iPhone Yen berdering. Yen berpaling lalu membelakangiku. Nampak sangat panggilan itu rahsia lantas dia tidak mahu aku mendengar. Sayup-sayup aku terdengar nama Velviana yang keluar dari mulut Yen. Mesti panggilan itu daripada Velviana. Memandangkan Yen nampak sibuk dan kewujudanku di sini mengganggunya lantas aku bangun lalu beredar ke muka pintu. Namun langkahku terhenti sebelum sampai ke muka pintu tatkala Yen memanggilku. Perlahan-lahan aku berpaling lantas mengarah pandangan pada Yen.

“Berdiri di situ sekejap,” arah Yen. Memandangkan tercelit rasa bersalahku pada Yen, maka aku patuh sahaja pada arahan itu. Aku terpacak di situ sedikit pun tidak berganjak sambil memerhatikan gelagat Yen. Adakah Yen ingin menghukum atas sikapku tadi? Aku mengeluh kecil menyesali prasangka burukku pada Yen. Sepatutnya aku insaf sekarang dan mula berhenti dari beranggapan negatif pada Yen. Kulihat Yen meletakkan kertas A4  kosong di atas meja lalu mencapai pen. Dia nampak begitu leka mencoret sesuatu pada kertas itu sehingga langsung tidak sempat menoleh ke arahku. Kira-kira lima minit berlalu, barulah Yen mengangkat muka memandangku. Yen masih tidak bersuara. Dia bergerak mendekatiku buat aku berundur selangkah ke belakang. Cuba menjarakkan diri daripada Yen. Tidak selesa.

 

“Ambik ni,  saya tengok gambar gitar yang awak lukis tadi nampak teruk sangat. Macam buah papaya je,” ujar Yen lantas menghulurkan kertas A4 itu kepadaku. Dia kata gambar gitar yang aku lukis itu persis buah betik. Celupar betul mulut pemuda Korea ini. Kutatap dada kertas A4 yang sudah terbentang di depanku ini. Aku terpaku pada gambar gitar lengkap dengan label sekali. Hanya dalam masa lima minit sahaja dia menghasilkan lukisan sempurna ini. Memang betul-betul wujud pelbagai cabang seni dalam dirinya. Kagum sangat pada bakat dan kebolehan Yen.  

Gomawoyo (terima kasih),” tuturku tersengih panjang. Yen hanya menunjukkan wajah bersahaja. Tiada riak megah yang terpancar di wajahnya.

“Saya nak keluar kejap lagi. Jadi awak makanlah nanti,” ujar Yen mula sibuk mengemas meja tanpa sempat memandang ke arahku. Memang pun aku tidak pernah mengharapkan dia akan menatap wajahku banyak kali. Langsung tidak pernah terfikir.

No problem…,” balasku tidak kisah lalu bergerak ke muka pintu meninggalkan Yen. Kuatur langkah ke bilik tidur. Aku terus mendekati katil lalu menghumban tubuh di situ. Kepalaku terasa berat selepas tamat kelas bersama Yen tadi. Terasa sukar aku hendak memahami dan mengingati semua isi pelajaran yang disampaikan oleh Yen tadi. Namun aku cuba berfikiran positif dan berpegang pada peribahasa ‘Di Mana Ada Kemahuan Di Situ Ada Jalan’. Kutatap kembali catatan yang kubuat sepanjang sesi PdP tadi. Kemudian pandanganku beralih pada kertas A4 buah tangan daripada Yen. Aku tersenyum sendiri. Cukup terhutang budi pada Yen. Hilang lapar. Yang ada hanya rasa mengantuk. Akhirnya aku terlelap dalam senyuman yang panjang.

 

 

Aku menatap wajah Yen di depanku ini. Dia masih berdiam diri sambil leka menikmati hidangan sarapan ini. Kuteguk air milo panas di dalam cawan. Sesekali memandang Yen lagi.

“Awak ada apa-apa nak cakap dengan saya?” suara Yen menyentakkanku. Bagai ada magik dia boleh membaca tingkahlakuku.

“Saya dah buat keputusan menerima tawaran Encik Rizal. Esok saya akan mula bekerja di cawangan RCC di DLH,” tuturku berhati-hati. Suapan nasi goreng ke mulut Yen terhenti. Dia memandangku dengan wajah yang cukup serius. Reaksi yang ditunjukkan ini jelas dia kurang senang dengan keputusanku ini.

“Serius ke awak nak kerja kat situ?” soalnya seakan tidak mempercayai bicaraku. Agaknya pemuda Korea ini ada masalah pendengaran. Aku mengangguk. Memang aku serius dengan keputusanku ini. Tidak mungkin aku aku akan berganjak daripada keputusan yang telah aku ambil ini. Aku sudah bercadang selesai sahaja sarapan nanti aku akan menghubungi Encik Rizal untuk memaklumkan perkara ini kepadanya.

Mianhae (maaf) kalau keputusan saya ni tak menggembirakan awak. Saya janji akan jaga tingkahlaku saya agar rahsia kita berdua tetap jadi rahsia selamanya,” ikrarku bersungguh-sungguh. Yen mengeluh. Sukarkah untuk Yen mempercayai janjiku ini? Kesal dan kecewa juga aku dengan respons yang Yen pamerkan tika ini.

“Jang Geun Sik, awak marah saya ke?” soalku setelah melihat Yen hanya mendiamkan diri dengan wajah serius. Tiba-tiba Yen bangkit lalu berdiri di depanku. Ditenungnya wajahku dengan sorotan mata tajam.

“Kenapa sukar sangat awak nak menerima wang saya?” soal Yen lantang membuatkan bahuku terangkat.

“Saya tak nak menyusahkan awak,” sahutku.

“Awak takut ke wang saya tu haram?” sinis sahaja suara Yen.

“Saya tak pernah pun terfikir macam tu,” tingkahku kurang senang dengan bicara Yen. Yen terlalu berprasangka yang bukan-bukan. Aku tidaklah sekejam itu mahu menuduhnya sedemikian.

“Mulai hari ni awak buat ler apa yang awak suka. Saya tak nak masuk campur!” tegas Yen beredar meninggalkan aku terkebil-kebil.

“Jang Geun Sik!” panggilanku langsung tidak diendahkan oleh Yen. Kelibat Yen lesap di sebalik dinding konkrit pemisah ruangan dapur dengan ruang tamu. Beberapa minit kemudian kedengaran bunyi deruan kereta meninggalkan halaman. Yen berlalu membawa kemarahannya. Tidak  aku menduga Yen akan semarah itu. Perlahan-lahan keluhanku tercetus. Lama aku hanya mematungkan diri di meja makan ini. Fikiranku buntu. Perasaanku tidak menentu.

 

AKU masih terbaring kaku di tilam empuk ini. Sesekali anak mataku memandang jarum jam loceng di atas meja solek di sisi katil ini. Hampir-hampir mencecah ke pukul 11.00 malam. Belum kedengaran deruan kereta Yen memasuki halaman banglo ini. Terbit kerisauan di hati tatkala Yen belum balik-balik lagi. Ke manakah agaknya dia membawa diri? Kali ini nampak dia marah betul kepadaku. Aku bangkit dari perbaringan lalu melangkah mendekati tingkap. Kuselak sedikit langsir labuh bercorak ala-ala Inggeris yang memperlihatkan kuntuman bunga ros ini lalu melontar pandangan keluar. Garaj masih kosong. Kuhantar pandangan ke seberang jalan sana, kalau-kalau kereta Yen baru sahaja berada di kawasan taman perumahan elit ini. Jalan raya kelihatan sepi. Pasti kebanyakan orang sedang dibuai mimpi-mimpi indah sekarang.

Aku kembali berbaring ke tilam. Mula terasa mengantuk. Beberapa kali aku menguap. Rasanya aku mahu tidur sekarang kerana sudah tidak larat hendak terus menanti kepulangan Yen. Lagipun dia sudah cukup dewasa. Pandailah dia menjaga keselamatan diri nanti. Sebetulnya memang kelazimannya suka balik  lewat begini. Hanya aku tidak sedap hati dengan cara dia keluar meninggalkan banglo ini tadi. Yen keluar dalam keadaan marah. Perkara ini yang merunsingkan aku. Kali ini Yen sensitif sangat. Aku menguap lagi. Cuba kulawan mengantukku. Kalau aku mampu bertahan aku hendak terus menunggu kepulangan Yen. Selepas itu baru aku boleh tidur dengan lena.

Kupejamkan mata. Sebahagian diriku di ambang lena dan selebihnya separuh sedar. Namun telingaku masih mengesan bunyi di sekeliling. Sayup-sayup aku terdengar bunyi deruan kereta memasuki halaman. Anak mataku yang terpejam terus terbuka luas. Aku melangkah bergerak mendekati tingkap lalu menyelak sedikit langsir. Kelihatan Yen baru keluar dari kereta. Melihat kelibat Yen aku menarik nafas lega. Sekarang bolehlah aku tidur lena dan berlapang dada kerana Yen sudah selamat pulang.

Aku memejamkan mata kembali. Harapanku boleh lena sekarang. Terasa sukar aku hendak melelapkan mata. Mengantukku lenyap. Kupaksa diri untuk terlena. Namun hatiku disapa kegelisahan. Aku bangkit  dari perbaringan dan duduk termanggu-manggu di katil ini. Aku turun dari katil lalu melangkah ke muka pintu. Kukuak sedikit daun pintu lalu menjengukkan kepala di sebalik daun pintu. Kebetulan Yen sedang mendaki anak tangga lalu melewati bilik ini. Bergegas aku keluar di sebalik daun pintu bilik ini.

“Jang Geun Sik...,” panggilku perlahan. Langkahnya terhenti. Namun wajahnya tidak terarah kepadaku. Memang dia marah sangat padaku sekarang sebab itu dia tidak mahu berpaling menatapku.

“Awak masih marah saya ke? Mianhae (maaf),” tuturku tidak mempedulikan reaksi yang ditunjukkannya itu. Senyap. Yen masih dengan posisi tubuhnya tadi. Aku memang berharap kalau Yen memberikan sebarang reaksi. Tidak kisah apa sahaja reaksi yang ditunjukkannya.

“Iman ssi, pergi tidur sekarang dah lewat ni,” tutur Yen dengan suara mendatar memecah kesepian lalu menyambung kembali langkahnya. Langsung dia tidak sempat menoleh ke arahku. Kelibat Yen lenyap di sebalik pintu bilik. Aku menutup daun pintu lalu melangkah longlai ke katil. Berbaring kembali ke tilam. Kedinginan Yen sudah cukup membuktikan bahawa dia memang sedang marahkan aku sekarang. Aku mengeluh. Tidak selesa aku berada di DLH kalau Yen tidak merestui sedangkan hal ini melibatkan kami berdua. Waduuuhhhh… pusing! Pusing! Aku menguap lagi. Kali ini terasa aku tidak mampu bertahan lagi.

“Jang Geun Sik…maafkan saya. Mianhae (maaf)...,” tuturku lalu memejamkan mata. Bayangan dan cerita tentang Yen terus lenyap bersama lenaku. 

 

“Assalamualaikum, Encik Rizal. Saya terima tawaran kerja tu,” ujarku perlahan. Kedengaran suara girang Encik Rizal. Jawapan yang aku berikan ini cukup menyenangkan hatinya.  

“Maaf Encik Rizal, boleh tak kalau esok saya mula kerja,” pintaku.

“Oh, tak jadi masalah. Bila-bila saja awak boleh mula kerja,” sahut Encik Rizal masih bernada riang. Alhamdulilah Encik Rizal tidak banyak soal. Kuletakkan iPhone kembali di tempat asal. Aku menatap jam di atas meja solek. Sudah sampai waktu untuk sarapan. Tatkala aku menguak daun pintu, Yen sedang melewati bilik ini. Tegak kepalanya memandang ke depan. Laju langkahku mengejar langkahnya yang sudah berada di anak tangga. Ternyata aku masih berusaha untuk menamatkan Perang Dingin yang dilancarkan oleh Yen ini.

Morning Jang Geun Sik...,” sapaku. Yen berpaling menatapku. Kepalanya menggeleng seakan aku melakukan kesalahan.

“Waalaikumusalam...!” Toing! Toing! Mengena sebiji bom atom padaku. Aku tersengih sendiri. Tidak guna betul pemuda Korea ini. Diam-diam dia mengenakan aku. Mungkin mood sudah kembali normal.

“Awak dah buat breakfast?” soalnya.

“Dah. Jom ler sarapan,” ajakku sambil meneruskan langkah ke dapur sekali gus melupakan terus kedinginan yang Yen tunjukkan kepadaku sebelum ini. Aku menuang teh kosong ke dalam cawan. Kemudian menyenduk mi goreng ke dalam pinggan lalu meletakkan di depan Yen. Kemudian menyusul pula sup sayur tauge. Aku mendengar kalimah bismillahirahmanirahim keluar dari celah bibir Yen lalu dia menikmati mi goreng di dalam pinggan. Sesekali aku melirik ke wajah pemuda Korea ini. Tampak begitu tenang tidak seperti semalam yang kelihatan tegang dan akhirnya jadi dingin membeku.

“Awak ada perkara nak cakap kat saya ke?” soal Yen bagai dapat membaca perkara yang bergolak dalam fikiranku sekarang. Ligat otakku membuat pertimbangan. Perlukah aku membicarakan perkara semalam? Bagaimanakah reaksi yang bakal Yen tunjukkan jika aku memberitahunya tentang perkara ini? Apakah penerimaannya masih sama persis semalam? Aku geleng kepala. Tidak sampai hati hendak mematikan seleranya menikmati sarapan ini. Yen meneguk air teh kosong di dalam cawan.

“Awak dah beritahu bos awak kan yang awak terima tawaran kerja kat cawangan RCC tu,” ujar Yen tepat sekali. Perlahan-lahan aku mengangguk.

 

“Kalau ada masalah kemudian hari, awak jangan cuba babitkan saya. Awak tanggung ler sendiri ye,” ujar Yen memberi amaran keras kepadaku. Aku menelan liur pahit. Nampak sangat Yen serius dengan bicaranya itu. Terkilan juga dengan bicara Yen ini. Seolah-olah dia sedang mendoakan perkara tidak elok berlaku kepadaku.

 

“Awak tak payah risau. Saya memang takkan libatkan awak jika ada masalah timbul. Jadi awak hidup ler dengan baik-baik ye,” balasku geram.

 

“Bagus ler kalau macam tu,” puji Yen begitu menyenangi janji yang aku berikan. Jauh di sudut hati, aku masih terkilan dengan bicara Yen ini. Namun aku juga tidak pernah mengharapkan sokongan penuh daripadanya. Kehidupanku ialah milikku seorang. Akulah yang berhak mencorak sendiri. Sunyi sepi. Aku dan Yen tidak mahu berbicara lagi biarpun sedang berhadapan di meja makan ini. Masing-masing mahu melayan perasaan sendiri.

 

No comments:

Post a Comment